Wednesday, December 31, 2008

FIQH SYAFI'I (Mughni al-Muhtaj): Bab Muamalat-Dalil Hadith Jual Beli




وأحاديث كحديث سئل النبي صلى الله عليه وسلم أي الكسب أطيب فقال عمل الرجل بيده وكل بيع مبرور أي لا غش فيه ولا خيانة رواه الحاكم وصححه وحديث إنما البيع عن تراض

Terjemahan dan Syarahan:

Manakala dalil pensyariatan dan keharusan jual beli daripada Hadith ialah seperti hadith: “Sesungguhnya Nabi SAW ditanya mengenai pekerjaan apakah yang paling baik. Maka jawab Baginda: Pekerjaan terbaik ialah kerja halal yang dilakukan oleh seseorang dengan tangannya dan semua jualbeli mabrur (yang menepati semua hukum hakamnya) iaitu yang tiada berlaku penipuan dan khianat padanya.” Hadith ini diriwayatkan oleh al-Hakim dan ia mengatakan hadith ini adalah sahih. Dalil berikutnya adalah hadith bermaksud: “Bahawasanya jualbeli itu berlaku dengan cara reda meredai (antara penjual dan pembeli).”

Monday, December 29, 2008

PENULIS BLOG MENGHINA NABI: Terrorist Yang Mengancam Keamanan Sejagat

Sama ada penulis blog menghina Rasulullah SAW itu suka atau tidak, gelaran terrorist atau pengganas sememangnya telah layak dinobatkan kepadanya. Amalan menghina agama lain tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Orang Islam tidak akan tergamak menghina agama lain, apatah lagi menghina agama sendiri. Allah Taala melarang umat Islam menghina tuhan-tuhan patung yang disembah oleh penganut agama lain. Secara qiyas atau mafhum muwafaqahnya, perbuatan menghina nabi, pengasas agama atau pendokong agama lain juga adalah dilarang. Islam mengalakkan hubungan baik antara seluruh manusia sejagat dan tidak menjadikan sentimen agama sebagai pencetus permusuhan. Namun gara-gara penulis blog tersebut telah jelas mempamerkan sikap permusuhannya terhadap Islam yang sentiasa menyambut baik perdamaian.
Sekiranya penulis blog menghina Nabi dan Rasul yang diimani oleh umat Islam itu adalah seorang Islam maka dia wajiblah bertaubat dengan beristighfar dan kembali memperbaharui kalimah syahadahnya. Sekiranya dia bukan orang Islam maka ia hendaklah meminta maaf kepada seluruh umat Islam. Jika sebelum ini ia menzahirkan kata-kata penghinaan dengan cara penyamaran, maka setidak-tidaknya gunakanlah cara yang sama bagi menzahirkan rasa bersalah dan meminta maaf. Janganlah menjadi seperti pepatah melayu ‘lontar batu sembunyi tangan’.

Thursday, December 25, 2008

MENUNTUT KEBENARAN MURTAD: Relif yang Menyalahi Syariah


Segelintir umat Islam masih tersasul lidahnya apabila membicarakan persoalan murtad. Itu belum lagi mengambilkira pihak non-muslim yang sememangnya jahil Syariah. Antara keceluparan mulut mereka ialah apabila mereka berani memfailkan permohonan kebenaran keluar daripada Islam (murtad) di Mahkamah Syariah. ‘Ayat-ayat cinta’ yang biasa digunakan dalam pernyataan tuntutan mereka ialah “menuntut relif supaya Mahkamah Syariah memberi kebenaran kepada Pliantif untuk keluar daripada agama Islam”. Cheewah! Banyak cantik dia punya ‘ayat cinta’!

Di pihak sebelah sini pula, ada juga orang kita yang gatal lidah mengatakan bahawa Mahkamah Syariah berbidang kuasa atau boleh memberi kebenaran untuk seseorang keluar daripada agama Islam. Waw! Siapa pulak yang mengajar mereka ‘ayat cinta’ sedemikian?

Saya suka mengingatkan bahawa Mahkamah Syariah tidak boleh memberi kebenaran untuk murtad dan orang Islam tidak boleh memohon kebenaran murtad. Alasannya sangat mudah. Untuk memudahkan kefahaman, cuba anda tukarkan perkataan ‘murtad’ dengan perkataan ‘zina’. Jadi adakah Mahkamah Syariah boleh memberi kebenaran untuk berzina dan adakah seseorang boleh memohon kebenaran untuk berzina? Lagi sekali, cubalah anda fikirkan betapa celuparnya mulut mereka yang mengatakan Mahkamah Syariah boleh memberi kebenaran untuk murtad. Kalaulah kebenaran murtad boleh diberi, maka kebenaran berzina dan berjudi pun suatu hari nanti akan dituntut oleh mereka.

Kita perlu tahu apakah istilah atau ‘ayat cinta’ yang patut digunakan dalam isu murtad ini. Di sini saya tak tergamak nak mengatakannya. Nanti saya pulak dituduh mengajar orang cara-cara nak murtad.

Thursday, December 18, 2008

Fiqh Syafie: Bab Murtad (Kitab Mughni al-Muhtaj)

Takrif Murtad: iaitu memutuskan (atau menamatkan) keislaman sama ada dengan niat (dalam hati) atau perkataan kufur (yang menyatakan keingkaran terhadap hukum Allah) atau perbuatan (seperti menyembah selain daripaa Allah), sama ada dengan cara mempersendakan, membantah atau mempercayai apa yang bertentangan dengan aqidah Islam.

BENGKEL BAGAIMANA MENANGANI ISU MURTAD

Alhamdulillah....................... Satu bengkel tertutup bertajuk "Bagaimana Menangani Isu Murtad" telah berjaya dilaksanakan pada hari ini. Ia dibuat sebagai salah satu daripada keperluan penyelidikan yang dijalankan dengan kerjasama beberapa Universiti Awam tempatan. Saya berpeluang menyertainya. Namun tiada laporan lanjut boleh dikemukakan di sini. Posting ini sekadar memaklumkan bahawa usaha-usaha menangani permasalahan murtad sedang dijalankan dan cadangan penyelesaian akan diperhalusi sebaik mungkin sebelum sebarang langkah diambil.

Saturday, December 13, 2008

Fiqh Syafi'i: Bab Muamalat JUAL BELI (Kitab Mughni al-Muhtaj)



والأصل في الباب قبل الإجماع آيات كقوله تعالى وأشهدوا إذا تبايعتم وقوله تعالى وأحل الله البيع وأظهر قولي الشافعي أن هذه الآية عامة في كل بيع إلا ما خص بالسنة فإنه صلى الله عليه وسلم نهى عن بيوع والثاني أنها مجملة والسنة مبينة لها وتظهر فائدة الخلاف في الاستدلال بها في مسائل الخلاف فعلى الأول يستدل بها وعلى الثاني لا يستدل

Terjemahan dan Syarahan:

Dalil asas (yang menyatakan hukum keharusan) dalam bab jualbeli sebelum berlakunya Ijmak Ulamak ialah beberapa ayat al-Quran seperti firman Allah Taala, (…dan persaksikanlah apabila kamu berjualbeli)- al-Baqarah; ayat 282. Daripada ayat ini ternyatakan bahawa berjual beli itu disyariatkan dalam Islam kerana jika tidak demikian maka tiadalah faedah dianjurkan supaya mengadakan saksi dalam berjual beli. Perintah mendatangkan saksi ketika berjual beli menunjukkan bahawa jual beli itu suatu yang disyariatkan dan tidak dilarang.

Keduanya adalah firman Allah Taala (…dan Allah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba’) –al-Baqarah; ayat 275. Ayat ini lebih jelas daripada ayat pertama kerana menyebutkan hukum halal bagi jual beli. Tambahan daripada itu ayat ini juga menyebut keharaman riba yang bercanggah dengan konsep jual beli.

Menurut Qaul al-Azhar daripada dua qaul Imam al-Syafie, ayat 275 surah al-Baqarah di atas yang menghalalkan jual beli adalah bersifat umum (mengambil hukum lafaz am) yang meliputi semua jenis jualbeli. Beristidlalkan kepada lafaz am ini maka semua jenis jual beli adalah halal melainkan apa yang ditakhsis, dibataskan atau dilarang oleh al-sunnah (Hadith Nabi) seperti hadith “sesungguhnya Rasulullah SAW melarang daripada beberapa jenis jualbeli” (seperti membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain, membeli secara ihtikar atau menyorok barang untuk menjualnya dengan lebih mahal, membeli barang dengan cara memintas di perjalanan sebelum penjual mengetahui harga pasaran dan jual beli yang melibatkan penipuan).

Menurut qaul kedua Imam Syafie (qaul al-zahir), ayat 275 al-Baqarah di atas adalah bersifat mujmal (ringkas) yang tidak menunjukkan keharuskan jual beli secara mutlak bahkan ia memerlukan kepada dalil lain untuk memperincikan syarat-syarat keharusan jual beli. Justeru al-sunnah (hadith Nabi) diperlukan untuk memperincikan (sebagai mubayyin) hukum-hakam jual beli supaya dapat dibezakan jual beli yang dihalalkan dan yang dilarang.

Berdasarkan kepada kedua-dua qaul al-Syafi’i, terdapat beberapa khilaf hukum yang timbul dalam beristidlal dengan ayat di atas, iaitu pada beberapa permasalahan khilaf antaranya terdapat juga dalam bab jual beli. Secara ringkasnya di sini, jika hukum dalam permasalahan khilaf itu diputuskan menurut qaul al-azhar, maka ia akan beristidlal dengan ayat al-Quran yang mempunyai lafaz umum. Sebaliknya jika permasalahan khilaf itu bersandarkan kepada pendapat kedua (qaul az-zahir), maka ia tidak akan beristidlal dengan ayat al-quran yang bersifat mujmal. Bahkan ia akan merujuk kepada al-Sunnah untuk memperincikan hukumnya. Wallahu A’lam.

Thursday, December 4, 2008

KETUANAN ISLAM DI MALAYSIA: Agama Rasmi vs Agama Persekutuan

Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan “Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”. Inilah peruntukan yang paling penting dan utama dalam Perlembagaan Persekutuan. Hal itu dapat dibayangkan daripada kedudukannya sendiri yang dimasukkan antara perkara terawal dalam Perlembagaan. Peruntukan ini juga membayangkan hasrat sebenar penggubal Perlembagaan yang mewakili suara Raja-Raja Melayu dan seluruh rakyat Tanah Melayu yang berbilang bangsa dan agama pada masa itu. Sebagai umat Islam semangat peruntukan ini perlulah terus dihayati dan diperluaskan dalam seluruh urusan pentadbiran Negara kita.

Malangnya, peruntukan di atas pernah ditafsirkan suatu ketika dahulu dengan maksud bahawa “Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan”. Namun pada hari ini kita harus sedar bahawa tafsiran Islam sebagai agama rasmi Persekutuan adalah salah. Ia jauh terpesong daripada kehendak sebenar Perlembagaan dan amat menindas umat Islam. Ini kerana agama rasmi mempunyai skop pemakaian yang sangat terbatas.

Terdapat perbezaan yang ketara apabila dikatakan ‘Islam sebagai agama persekutuan’ dan ‘Islam sebagai agama rasmi persekutuan’. Jika Islam sekadar agama rasmi Persekutuan maka kesannya Islam hanya terpakai dalam upacara rasmi kerajaan seperti membaca doa atau ayat al-Quran dalam Majlis rasmi, tetapi perundangan Islam itu sendiri tidak dipakai dalam urusan lain yang lebih menyeluruh. Sebaliknya jika dikatakan Islam sebagai agama Persekutuan, maka perundangan Islam yang syumul ini akan terpakai dalam seluruh perkara berkaitan Persekutuan sama ada dalam upacara rasmi atau tidak rasmi termasuklah dalam hal ehwal pentadbiran, perundangan, kehakiman, kewangan dan sebagainya.

Sama juga halnya jika disebut ‘Islam adalah agama rasmi si polan’ dan ‘Islam adalah agama si polan’. Kedua-dua ungkapan ini mempunyai maksud yang jauh berbeza. Jika Islam adalah agama rasmi si polan, maka agama Islam hanya akan digunakan dalam urusan rasminya sahaja seperti menggunakan nama panggilan Islam, memakai pakaian Islam dan seumpamanya. Ini bermakna selain daripada urusan rasmi si polan itu boleh menggunakan agama lain sebagai amalan seperti memakan makanan tidak halal, bermuamalat dengan riba dan sebagainya. Sebaliknya jika dikatakan Islam sebagai agama si polan, maka keseluruhan perjalanan hidup si polan itu hanya akan berlandaskan agama Islam, baik dalam urusan rasmi atau urusan peribadi. Inilah perbezaan konotasi yang perlu difahami.

Justeru konsep Islam sebagai agama Persekutuan perlulah ditafsir dan difahami bahawa Malaysia sebagai sebuah Negara yang menjalankan dasar perundangan Islam yang adil dalam semua aspek berkaitan pentadbiran, perundangan, kehakiman, ekonomi, politik dan sebagainya. Manakala agama bukan Islam tetap diberi kebebasan untuk diamalkan dalam urusan peribadi orang bukan Islam selagi mana tidak melibatkan kepentingan Negara.

Saya yang beragama Islam hanya mengakui Islam sebagai agama saya dan akan marah jika dikatakan Islam sebagai agama rasmi saya. Bagaimana pula dengan anda?

P/S: Bolehkah anda mengisi borang ini?
NAMA: POLAN BIN POLAN
AGAMA RASMI: ISLAM
AGAMA TIDAK RASMI: ...........?

Tuesday, November 25, 2008

PERJALANAN MEMELUK ISLAM: Merebut Hidayah, Hadhanah, Harta atau Wanita?


Semalam saya dikunjungi oleh seorang bakal muallaf untuk mendapatkan nasihat undang-undang. Saya memberi penghormatan kepadanya dengan ucapan ‘Selamat Pagi” kerana menjangkakan dia belum menjadi seorang Islam. Dia seorang lelaki berbangsa India dan beragama asal Hindu. Mempunyai seorang isteri yang dikahwini secara Hindu dan berdaftar serta 2 orang anak di bawah umur 18 tahun. Rupanya dia telah lebih setahun mengenali Islam melalui pembacaan dan pemerhatian. Hadirnya membawa persoalan yang merunsingkan benak fikirannya selama ini. Isterinya dapat tahu dia ingin memeluk Islam dan memberikan reaksi negatif dengan memberi ‘notis’ tidak akan ‘menceraikannya’ di mahkamah sivil jika dia memeluk Islam. Si isteri juga menuntut semua harta perkahwinan (sepencarian) diserah kepadanya berserta hak jagaan semua anak.

Alhamdulillah, saya dapat berjumpa dengan seorang bakal muslim yang benar-benar memeluk Islam kerana HIDAYAH. Dia sanggup menyerahkan semua harta perkahwinan (rumah dan kereta) dan hak jagaan anak (hadhanah) kepada si isteri, asalkan si isteri sanggup ‘menceraikannya’ di mahkamah sivil. Tidak ramai bakal muallaf yang sanggup melakukan sepertinya. Insya-Allah, jika ada jodoh, dia akan mengahwini seorang wanita Islam dan menunaikan haji. Tapi dia mengingatkan saya bahawa pemelukan Islamnya ini tidaklah sekali-kali bertujuan untuk mengahwini wanita itu. Kelihatan dia memang ikhlas menerima Islam dengan sebenar-benar penerimaan.

Tindakannya itu mengingatkan saya kepada sabda Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW: “Barang siapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasulnya, maka (dia mendapat pahala disebabkan) hijrahnya itu kerana Allah dan Rasulnya, barang siapa yang berhijrah kerana untuk mendapatkan harta atau mengahwini wanita, maka hijrahnya (tidak mendapat pahala di sisi Allah tetapi) hanya mendapat apa yang dihijrahkannya.”

Saya percaya hijrah saudara ini kepada Islam adalah benar-benar kerana Allah. Bukan kerana harta, bukan juga kerana wanita. Rupa-rupanyanya dia yang saya lihat ini telah pun menjadi Islam kerana dia memaklumkan telah mengucapkan syahadah, walaupun tidak melafazkannya di hadapan saya. Malah dia telah mula menunaikan solat 5 waktu. Cuma dia belum mendaftarkan keislamannya kerana ingin menyelesaikan masalah isteri, anak dan harta yang sedia ada. Lihatlah betapa benarnya pernyataan al-Quran bahawa isteri, anak dan harta menjadi ujian dan fitnah bagi manusia. Kalaulah tidak kerana isteri, harta dan anak sudah tentu dia tidak bermasalah memeluk dan mendaftarkan keislamannya.

Alhamdulillah dia telah mendapat nasihat daripada pihak lain dan pada hari ini dia datang kepada saya dengan cadangan seperti berikut mengikut keutamaan:

1) Dia akan menandatangani perjanjian pindah milik rumah dan kereta kepada isterinya yang bukan Islam.
2) Dia akan memberi nafkah sarahidup kepada isterinya yang bukan Islam sebanyak RM… sebulan
3) Dia akan menandatangani persetujuan hak jagaan anak kepada isterinya yang bukan Islam
4) Dia akan terus kekalkan nama isteri bukan islam sebagai penama KWSP dan pampasan insuran.
5) Dia harapkan supaya isterinya setuju dengan perceraian di mahkamah Sivil.
6) Setelah perintah perceraian dikeluarkan oleh Mahkamah Sivil dia akan mendaftarkan keislamannya. Dia tak perlu memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah kerana telahpun bercerai menurut undang-undang.
7) Dia akan berkahwin secara Islam dan menunaikan haji dengan aman disamping tidak lupa tanggungjawab kepada anak-anak yang dijaga oleh bekas isteri.

Sekali pandang cadangan di atas macam bernas kerana dapat menyelesaikan konflik bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah dalam masalah perceraian bagi orang yang memeluk Islam. Tetapi saya harus menasihatinya supaya menyusun semula keutamaan seperti berikut:

1) Isytihar keislamannya secara rasmi dan mendaftarkan keislaman menurut undang-undang. ALASAN: kerana HIDAYAH ISLAM patut diutamakan dan direbut terlebih dahulu daripada harta, anak dan sebagainya. Apatah lagi dia seorang yang ikhlas menerima Islam. Bukannya Islam semata-mata kerana nak berkahwin atau hendak merebut harta. Jika dia ditakdirkan meninggal dunia selepas didaftarkan sebagai Islam, maka urusan jenazahnya akan menjadi mudah. Urusan hartanya pula, jangan bimbang dan jangan menuduh Majlis Agama akan membolot semua hartanya apabila dia mati.

2) Saya maklumkan kepadanya supaya membuat wasiat 1/3 harta – rumah&kereta (maksimum) kepada bekas isterinya yang bukan islam sejurus selepas dia memeluk Islam. ALASAN: Ini penting supaya jika berlaku kematian mengejut, pihak Majlis Agama boleh melaksanakan urusan pembahagian harta wasiat kepada bekas isteri yang bukan Islam (atas kehendak pewasiat) dan bakinya sahaja yang dijadikan pusaka. Wasiat ini adalah cagaran kepada janji perceraian yang akan diberikan oleh isteri bukan islam. Jika isteri bukan islam tetap enggan ‘menceraikannya’ di Mahkamah Sivil, maka wasiat tersebut boleh dibatalkan. Ini menjadikan keadaan lebih adil kerana jika si suami yang Islam mati dengan meninggalkan isteri bukan islam yang belum tercerai secara sivil, isteri itu akan turut mendapat sebahagian daripada harta pusakanya. Justeru wajarlah wasiat ini dibatalkan. Jika perceraian telah berlaku secara sivil barulah wasiat ini diteruskan. Isterinya yang bukan Islam juga harus ingat, tidak semestinya si suami akan mati dahulu. Boleh jadi si isteri bukan islam yang mati dahulu. Jika ini terjadi maka harta si isteri akan turut diwarisi oleh suami yang Islam menurut undang-undang sivil.

3) Setelah memeluk Islam, saya menasihatinya membuat hibah (nafkah sarahidup dll) yang dijanjikannya kepada isteri bukan Islam. ALASAN: Melakukan pemberian hibah sebelum beragama Islam tidak mendapat pahala. Justeru wajarlah dia memeluk Islam dahulu kemudian baru melakukan hibah. Ini juga penting bagi menunjukkan betapa Islam tidak pernah menghalang penganutnya berbuat baik kepada bekas keluarga yang bukan Islam. Ini juga boleh dijadikan cagaran kepada perceraian yang akan dilakukan oleh isteri bukan Islam di mahkamah Sivil. Jika si isteri tetap tidak mahu menceraikannya, hibah ini boleh dihentikan.

4) Kemaskini penama KWSP dan pampasan insuran. Tunjukkan kepada isteri bukan islam bahawa hanya namanya sebagai penama tunggal bagi KWSP dan insuran tersebut. Dan ingatkan kepadanya dia boleh mengubah penama jika si isteri tidak mahu menceraikannya di Mahkamah sivil.

5) Dan ingatkan juga kepada isteri bukan islam bahawa dia boleh menghibahkan (pindah milik) semua hartanya kepada isteri baru atau orang lain yang Islam supaya di saat kematiaannya tiada apa-apa harta yang dapat dituntut oleh isteri bukan islam sebagai pusaka kerana ia tidak meninggalkan sebarang harta.

6) Dalam masa yang sama tunjukkan kebaikan Islam dan sampaikan dakwah Islam kepada isteri yang bukan Islam dan anak-anak. Setelah melebihi tempoh 3 bulan atau tamat iddah isteri, failkan permohonan faraq nikah di mahkamah Syariah untuk mendapatkan perintah perceraian.

7) Selepas perkahwinan terbubar menurut undang-undang Islam dia bebas berkahwin dengan mana-mana wanita Islam dan menunaikan haji bersama-sama.

8) Hak jagaan anak diselesaikan secara rundingan dan tanpa melalui Mahkamah kerana tidak mahu menjadikan anak sebagai subjek rebutan. Tuntutan di Mahkamah akan menyebabkan anak tidak selesa dan akan menyalahkan Islam sebagai penyebab. Biarlah bapa sendiri yang menjalankan tanggungjawab sebagai da’i untuk menyampaikan kebenaran Islam kepada anak supaya apabila cukup umur, anak itu akan dapat membuat pilihan yang bijak. Saya yakin dia boleh melakukannya.

Dia menerima baik cadangan saya dan akan membincangkannya dengan pihak yang terlebih dahulu menasihatinya. Saya mengakhiri pertemuan dengan memberikan ucapan salam kepadanya kerana yakin dia telahpun menjadi seorang Islam. Alhamdulillah, dia menjawab salam itu.

KESIMPULAN: TIADA JALAN UNTUK MENYEKAT SESEORANG YANG TELAH DIBERI HIDAYAH UNTUK MEMELUK ISLAM. INI ADALAH JANJI ALLAH KERANA DIALAH YANG MEMBERI PETUNJUK.

PENGHARAMAN YOGA: Antara Fatwa & Proses Undang-Undang


Kita perlu mengakui bahawa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan adalah forum ulama yang paling berkaliber di peringkat Persekutuan kerana ia dianggotai oleh Mufti-Mufti setiap negeri. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ini sebenarnya ditubuhkan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKBHEI) yang dianggotai oleh Menteri di JPM dan menteri-menteri besar setiap negeri. MKBHEI pula ditubuhkan di bawah Majlis Raja-Raja. Keadaan yang sama berlaku di peringkat negeri yang mempunyai Jawatankuasa Fatwa Negeri di bawah struktur organisasi Majlis Agama Islam Negeri yang diketuai oleh Sultan negeri itu. Apabila Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan atau Negeri mengeluarkan pandangan maka ia telah sah dinamakan sebagai fatwa yang mengikat umat Islam menurut hukum Syarak kerana syarat-syarat ijtihad telah dipenuhi.

Namun menurut struktur perundangan atau proses undang-undang, pandangan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa belumlah menjadi satu undang-undang yang berkuatkuasa sehinggalah ia dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja (bagi fatwa persekutuan) dan diwartakan kepada awam. Untuk sampai ke peringkat itu ia memakan masa dan karenah birokrasi. Namun jika pemerintah tertinggi komited, pasti akhirnya pandangan tersebut akan tergazet menjadi fatwa yang mempunyai kuat kuasa undang-undang.

Dalam isu pengharaman Yoga, umat Islam yang betul-betul bersifat ‘Syariah compliant’ sepatutnya telah akur dan menerima pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu sebagai fatwa yang mengikat dirinya, tanpa perlu menunggu ia diwarta sebagai fatwa yang sah di sisi undang-undang. Namun bagi pihak penguatkuasa undang-undang mereka terpaksa menunggu sehingga pandangan Jawatankuasa Fatwa itu diwartakan. Selagi tidak diwartakan ia belum mempunyai efek undang-undang dan tidak boleh dikuatkuasakan. Justeru kesalahan jenayah mengingkari fatwa (seksyen 12(c) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995) tidak dapat diambil tindakan sewajarnya. Apa yang disebarkan dalam akhbar kebelakangan ini, tidaklah mempunyai kesan pewartaan kerana ia tidak mengikut proses perundangan yang ditetapkan.

Inilah masalahnya bila pembuatan fatwa dan undang-undang tidak dapat diselesaikan dalam satu forum. Walau apapun, kita yang bersifat ‘syariah compliant’ perlulah menerima pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebagai fatwa di peringkat Persekutuan walaupun ia belum melepasi semua proses untuk menjadikannya suatu undang-undang.

Sunday, November 23, 2008

KEKELIRUAN MURTAD: Kebebasan Memilih Agama vs Kebebasan Bertukar Agama

Istilah MURTAD amat menakutkan dan adakalanya amat menyedihkan untuk didengar. Sebahagian daripada rakyat Malaysia masih keliru antara kebebasan memilih agama dan kebebasan bertukar agama. Apa yang jelas, setiap individu sememangnya berhak memilih dan mengamalkan agamanya, tetapi dia tidak bebas untuk bertukar-tukar agama. Analoginya samalah ibarat kebebasan seseorang memilih pasangan tetapi tidak bebas bertukar-tukar pasangan. Contohnya apabila seorang perempuan telah memilih pasangan lelaki dan telah mengahwininya, maka dia tidak bebas lagi bertukar pasangan untuk berkahwin dengan lelaki lain pula. Sebaliknya dia akan tertakluk kepada peraturan yang dikenakan dalam perkahwinannya dengan lelaki yang telah sedia dipilih olehnya. Sama juga halnya bagi seorang lelaki yang telah memilih pasangan perempuan sebagai isteri, dia tidak bebas bertukar-tukar isteri dengan menceraikan isteri pertama sesuka hati atau berpoligami sesuka hati. Sebaliknya dia dikehendaki melaksanakan kewajipan perkahwinan dan menunaikan hak-hak terhadap isteri yang sedia ada.

Memilih agama bagi orang yang belum beragama atau yang bukan Islam adalah hak yang diakui oleh Islam seperti yang disebut dalam surah al-Kafirun dan ayat 256 surah al-Baqarah. Mereka berhak memilih untuk memeluk Islam atau kekal dengan agama bukan Islam. Inilah yang dimaksudkan dengan ungkapan 'tiada paksaan dalam beragama'. Akan tetapi sesudah mereka memilih Islam sebagai agama, mereka tidaklah bebas bertukar-tukar kepada agama lain. Sebaliknya mereka dikehendaki mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam agama Islam yang telah sedia dipilih oleh mereka sendiri. Antara peraturan yang terpakai dalam bab murtad ialah kewajipan menjalani proses istitabah. Setiap individu yang hendak murtad wajib melalui proses ini supaya mereka dapat diberi pilihan yang adil untuk bertaubat atau sebaliknya. Tiada hukuman muktamad boleh dikenakan ke atas mereka melainkan setelah proses istitabah ini selesai.


JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus