Tuesday, June 30, 2009

Diari Kehidupanku: Tiada Universiti Sebaik MAIS


LANGKAH PERTAMA KE MAIS


Bermula dengan segulung ijazah dan segulung diploma yang mentah, aku melangkahkan kakiku ke gerbang universiti MAIS. Semua itu berlaku 5 tahun yang lalu. Setelah meninggalkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, aku belum pernah menjumpai universiti kehidupan sebaik MAIS. Di universiti ini aku diberikan ilmu teori dan amali. Daripada seorang bekas guru agama yang hanya tahu membaca kitab, MAIS memberikan aku ijazah kepeguaman syarie yang tak pernah diimpikan bagi seorang lulusan ilmu wahyu sepertiku.

Aku sendiri tidak menyangka, rezeki dan peluang seperti turun dari langit. Aku ketepikan ijazahku, demi selangit harapan untuk menimba ilmu baru di universiti kehidupan ini. Peluang itu datang betul-betul di saat aku mula mengasah bakat keguruanku. Buku yang sedang kukarang untuk anak didikku terbengkalai dan akhirnya hilang dari genggaman.

MATRIKULASI DI JAIS


Sebelum layak ke universiti MAIS ini, aku telah dimatrikulasikan terlebih dahulu di kolej JAIS. Di situ aku mula mengenali erti undang-undang dan syariah pada amalinya. Aku mula berjinak-jinak dengan undang-undang keluarga Islam. Aku mula menajamkan pena penulisanku serta lidah penghujahanku. Lebih 3 tahun bergelumang dengan permasalahan masyarakat dalam isu keluarga dan rumahtangga, sekali sekala terjun dalam isu akidah dan muallaf, akhirnya aku dilayakkan untuk menduduki kerusi universiti ini. Kerusi yang pernah aku pohon daripada sebuah Jabatan Persekutuan tetapi hanya layak menduduki calon simpanan.

KERUSI KEPEGUAMANKU


Memang aku mengimpikan kerusi ini untuk membuktikan nilai segulung ijazah yang pernah kusembunyikan. Betapa untuk memiliki kerusi ini aku telah menolak kerusi lain yang setanding dengannya. Kini hampir 2 tahun kerusi ini aku duduki, Alhamdulillah ia telah jauh membawaku ke persada Negara. Aku sendiri tidak menyangka peluang diberikan lagi untuk aku mengenali erti kehidupan. Tetapi kerusi ini adakalanya membuatkan aku lupa pada perjuangan yang lebih payah dan perit tetapi penuh bermakna. Akhirnya aku berkata bahawa ini hanyalah sebuah kerusi selesa yang harus aku tinggalkan. Ini adalah kerusi yang mungkin akan menyebabkan aku dihisab sebegitu dahsyat di mahsyar kelak.

MENCARI PhD KEHIDUPAN


Terima kasih MAIS. Kau memang sebuah universiti terhebat dalam kehidupanku. Terasa bagaikan engkau telah mengurniakanku segulung sarjana. Aku menerimanya dengan seribu kesyukuran. Namun aku masih perlu mencari universiti yang lain untuk PhD kehidupanku. Universiti yang baru itu akan cuba kubina sendiri dengan keringatku bertiangkan ilmu yang kau bekalkan.

NOSTALGIA DI TAMAN ILMU

Di saat ini, teringat aku kata-kata seorang rakan sepengajianku 9 tahun yang lalu, ketika aku menimba ilmu Diploma Undang-Undang dan Pentadbiran Kehakiman Islam. Beliau ketika itu seorang hakim syarie dan kini menjadi peguam syarie BBG. Katanya ketika meraikan majlis perpisahan angkatan DAIJ 2000/2001 “Di manakah kita akan berada10 tahun dari sekarang”? Mengingati kembali kata-kata itu, aku mula mengira bahawa tempoh 10 tahun itu hampir tamat. Namun aku tetap bersyukur dengan apa yang aku ada dan di mana aku berada sekarang.

Perkahwinanku ketika di bangku universiti dulu, kini menobatkan aku sebagai seorang bapa yang bakal menyambut kelahiran anak keenam pada Ramadhan ini (Insya-Allah). Mengikut perkiraanku cahaya mata keenam ini adalah mercu permulaan kepada PhD kehidupan yang sedang aku jejaki, memulakan dekad baru dalam rumahtangga dan kerjaya. Semuanya demi masa hadapan yang masih jauh.

LANGKAH TERAKHIR SEBAGAI PENJAWAT AWAM


Aku harus tabah meneruskan keputusan ini. Memang sukar membuat keputusan ini hinggakan dua mesin pencetak ku tidak mampu mencetak surat yang hanya setebal 2 halaman. Aku tergamam memikirkan mengapakah mesin yang tidak bernyawa ini menghalang keputusanku.

Akhirnya aku menadah tangan memohon restu daripada Yang Maha Mengetahui. Dialah yang membenarkan semua ini terjadi. Aku harus pergi, tetapi bukan menjauh diri. Aku hanya melucutkan seragam penjawat awamku, tetapi aku tetap menyarungkan jubah kepeguamanku untuk melalui perjuangan berliku. Perjuangan yang sama. Dulu, kini dan selamanya...

Friday, June 26, 2009

Hadiah Puisi Dalam Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009


Inilah puisi yang sempat saya gubah dan deklamasikan sebagai selingan penutup dalam pembentangan kertas kerja saya di Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009. Puisi ini tersirat 1001 makna yang mendalam. Dalamnya terkandung harapan menggunung untuk melihat ISTANA BAITULMAL tersergam indah. Istana yang di dalamnya seorang pemerintah Islam yang adil akan bertakhta. Dengan sebuah baitulmal teragung di muka dunia berada di bawah penguasaannya. Seolah-olah sejarah kegemilangan silam akan berulang, jika maksud puisi terzahir kelak. Siapa tahu?

ISTANA BAITULMAL

Di atas pusara Kapitalisme
kubinakan sebuah istana indah
untukmu Baitulmal…


Di sebalik runtuhan tembok Sosialisme
kubinakan sebuah taman Iqtisad
untukmu Baitulmal…

Rela kuhulurkan harta kekayaanku
Rela kulucutkan seragam kepegawaianku
Rela kukorbankan jiwa ragaku
untukmu Baitulmal…

Dan keranamu Baitulmal
akan ku sarungkan jubah kepeguamanku
akan ku bela setiap penderitaanmu
akan ku tuntut ke muka pengadilan
untuk memastikan kau terus bangkit dan mara
di persada dunia
Lantas menabur jasa kepada ummah


Keranamu Baitulmal,
jiwa ini rela bersatu,
Keranamu Baitulmal,
Istana ini kubina untukmu…

JURAISH KAMARUDDIN AL-MUHAMI
24/06/2009; 7.00 ptg
Dideklamasikan Dalam Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009

25/06/2009; 9.15 pg

Saturday, June 20, 2009

Ringkasan Kertas Kerja Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009


Pemerkasaan Entiti dan Sumber Perbendaharaan Baitulmal Melalui Dinamika Muamalat dan Undang-Undang Syariah
Oleh: JURAISH BIN KAMARUDDIN


Ringkasan (Summary)


Kertas ini menumpukan kepada aspek pemerkasaan baitulmal melalui kaedah pemerbadanan serta aspek peningkatan perbendaharaan baitulmal melalui kaedah penjenamaan produk muamalat baitulmal di samping aspek agihan hasil baitulmal yang menyentuh skala ekonomi makro yang lebih meluas.

1. PEMERKASAAN ENTITI BAITULMAL

Baitulmal perlu diperbadankan supaya ia mempunyai entiti undang-undang yang lebih kukuh, turun-temurun dan mempunyai locus standinya yang tersendiri. Dengan adanya locus standi tersendiri, baitulmal akan lebih mampu menggerakkan sepenuhnya fungsi ekonomi Majlis Agama Islam. Strategi pemerbadanan mampu memberikan imej korporat dan daya saing kepada baitulmal agar mampu menjadi ikon terkemuka dalam sektor ekonomi Islam. Kaedah undang-undang yang paling praktikal dalam memperbadankan baitulmal ialah melalui Perintah Majlis yang diperuntukkan antara lainnya di bawah seksyen 8 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Implikasi Pemerbadanan Baitulmal

Baitulmal boleh beroperasi sebagai satu perbadanan dengan menyerap perjawatan dan kos operasi sedia ada Majlis Agama Islam Negeri. Penyelarasan dalam sistem akaun wang Majlis perlu dilakukan setelah baitulmal diperbadankan. Kumpulan wang baitulmal perlu diletakkan dalam hierarki tertinggi dengan meletakkan kumpulan wang wakaf dan kumpulan wang zakat di bawah kumpulan wang baitulmal. Kumpulan wang Disatukan Majlis perlu diwujudkan sebagai kumpulan wang utama bagi semua hasil agama Islam yang diterima di bawah kumpulan wang baitulmal dan kumpulan wang Majlis yang lain.

Kriteria Bagi Perbadanan Baitulmal

Baitulmal perlu memiliki simpanan tetap yang membentuk satu rizab berkanun bagi memastikan kedudukan kewangannya lebih stabil terutama ketika kegawatan ekonomi. Rizab ini boleh dijadikan ekuiti saham yang diperlukan untuk mewujudkan bank milik baitulmal. Ia juga boleh membentuk satu ‘kumpulan wang bekaltua’ untuk membiayai bayaran pencen penjawatnya. Baitulmal juga perlu memberi penekanan kepada simpanan stok keperluan asasi seperti makanan, pakaian, ubat-ubatan dan sebagainya. Ini penting dalam menghadapi situasi kekurangan stok keperluan asasi di pasaran. Sistem pertanian, perladangan, perkilangan dan perindustrian asas milikan baitulmal perlu diusahakan untuk menjamin stok keperluan asasi sentiasa mencukupi di pasaran.

Baitulmal juga perlu membentangkan belanjawan tahunannya di hadapan mesyuarat Majlis yang disiar secara langsung kepada awam melalui media elektronik. Ini dapat mempamerkan ketelusan baitulmal dan dapat meraih kepercayaan umat Islam untuk terus menyumbang kepada baitulmal. Agihan hasil baitulmal haruslah menyeluruh kepada makro ekonomi negara seperti agihan untuk orang bukan Islam yang mematuhi peraturan Islam, agihan untuk zawil arham, agihan dalam bentuk pinjaman modal perniagaan dan agihan dalam bentuk penyediaan kemudahan infrastruktur. Selain itu agihan khas perlu dibuat kepada DYMM Sultan, Majlis Agama Islam sendiri, Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan negara-negara Islam.

Alternatif Kepada Pemerbadanan Baitulmal

Diharapkan dalam masa terdekat satu ‘kumpulan wang baitulmal kebangsaan disatukan’ yang terbentuk daripada rizab berkanun setiap baitulmal negeri dapat diwujudkan. Mesyuarat Penyelarasan Baitulmal Kebangsaan JAWHAR bolehlah dilantik sebagai pentadbir kumpulan wang ini. Masalah semasa dalam pengurusan organisasi baitulmal negeri seperti ketidakseragaman nama dan fungsi baitulmal, kekurangan bidang perjawatan, ketiadaan cawangan baitulmal daerah, kegagalan membaitulmalkan institusi masjid, kekurangan unit sokongan dalam memungut hasil dan ketiadaan peraturan khas berkaitan pemungutan hasil baitulmal perlulah diselesaikan segera.

2. PEMERKASAAN SUMBER PERBENDAHARAAN BAITULMAL

Usaha gigih perlu dilakukan untuk mengkaji sumber perbendaharaan baitulmal yang bermasalah seperti wang riba di bank konvensional, wang ta’widh di bank Islam, dana tidak patuh syariah di pasaran modal Islam, wang syubhah atau haram, wang rasuah atau terimaan hadiah luar biasa, wang tidak dituntut, harta beku, wang denda kesalahan jenayah Syariah, harta terlucut hak akibat jenayah Syariah, harta orang murtad, harta orang mafqud, hasil fi Mahkamah Syariah dan fi Jabatan Agama Islam. Selain itu hasil qard hasan, tabarru’ dan potongan gaji sebagai infaq wajib pekerja Islam perlu dikaji untuk dilaksanakan dengan lebih berkesan.

3. PENJENAMAAN PRODUK MUAMALAT BAITULMAL

Produk muamalat tradisi yang ditawarkan oleh baitulmal seperti wakaf, hibah, wasiat dan sebagainya perlulah dijenamakan untuk kemudahpasaran dan menarik minat masyarakat untuk menyertainya. Penjenamaan ini perlu bagi menyesuaikan baitulmal dengan perkembangan semasa dalam dunia ekonomi Islam. Antara contoh jenama yang boleh diwujudkan ialah:

a) Produk Wasiat: Wasiyyah lil-Ummah dan Wasiyyah lil-Qarabah.

b) Produk Hibah: Al-hibah al-muntahiyyah bil-muawanah, Al-hibah thumma al-ukhuwwah, Al-hibah bil-Wakalah dan Al-hibah lil-Qarabah.

c) Produk Nazar: Nazar Tabarrur dan Nazar Mutlaq.

d) Produk Luqatah: Al-luqatah al-muntahiyyah bil-musyarakah.

e) Produk Pusaka: Faraid Mardudah lil-Ummah dan Faraid Zawil Arham.

f) Produk Wakaf: Wakaf Ta’liq, Wakaf Muallaq bil-Maut, Wakaf Zurriy / Ahliy dan Wakaf Nafsiy.

g) Produk Tabarru’: Tabarru’ Am dan Tabarru’ Wajib (Potongan Gaji)

h) Produk Qard Hasan: Qard Hasan Muwaqqat, Qard Hasan Mu’ajjal dan Qard Umra.

Tuesday, June 16, 2009

KONFLIK: Antara Mahkamah Syariah dan Sivil

Hari ini satu lagi keputusan penting dalam sistem perundangan negara akan bermula. 16 Jun 2009 telah ditetapkan untuk pendengaran permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh ahli keluarga si mati bernama Mohan Singh a/l Janto Singh di Mahkamah Tinggi (Sivil) MT3 Shah Alam. Kes ini dibuat antara lain bagi memohon penentuan status agama si mati yang dipertikaikan sama ada seorang Islam atau sebaliknya.
.
Pemohon-pemohon yang merupakan ahli keluarga si mati telah menamakan 6 pihak sebagai Responden termasuklah Kerajaan Malaysia, Kerajaan Negeri Selangor, Ketua Pengarah Kementerian Perubatan Malaysia, Pengarah Hospital Sg. Buloh, Majlis Agama Islam Selangor dan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu Sikh dan Tao.
.
Pemohon dalam pernyataannya antara lain telah mencabar keesahan undang-undang Syariah yang digubal oleh badan Perundangan Negeri Selangor terutamanya seksyen 61(3)(b)(xi) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Ini satu lagi cabaran yang dikemukakan terhadap undang-undang Islam di samping cabaran-cabaran yang telah dikemukakan sebelum ini dalam kes Abdul Kahar (Rasul Melayu Palsu) dan Lina Joy (Melayu Palsu?)
.
Di sudut lain, sebelum ini pada 4 Jun 2009 satu perintah telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam yang mengesahkan status si mati sebagai seorang Islam pada masa kematiannya dan mengkehendaki Pengarah Hospital Sg. Buloh agar menyerahkan jenazah si mati kepada MAIS. Perintah tersebut dikeluarkan setelah Yang Arif Hakim berpuas hati dengan keterangan saksi dan dokumentar yang dikemukakan oleh pihak MAIS. Antara pertimbangan yang diberikan adalah sijil akuan masuk Islam Pulau Pinang, qarinah perbuatan si mati yang masih menyimpan sijil akuan masuk Islam dengan baik dan ketiadaan permohonan dibuat oleh si mati semasa hidupnya untuk diisytihar sebagai bukan Islam serta pengakuan yang dibuat oleh si mati kepada salah seorang saksi bahawa dia adalah seorang Islam beberapa hari sebelum kematiannya.
.
Walau bagaimanapun, perintah tersebut tidak dapat dilaksanakan oleh pihak hospital atas alasan mereka terpaksa akur dengan perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi Sivil. Bilakah dan bagaimanakah kemelut perundangan ini akan berakhir? Jawapannya telah lama bermula dan hari ini ia dipersaksikan sekali lagi....

Tuesday, June 2, 2009

NO WAY TO MURTAD?

Memohon untuk murtad? Memohon kebenaran untuk murtad? Menuntut hak kebebasan beragama dan meninggalkan agama? Memeluk Islam dengan bersyarat? Semua itu slogan yang tidak pernah tercatat dalam kamus Islam. Tiada kebenaran untuk murtad. Itulah jawapan daripada al-Quran. Antara lain firman Allah Taala yang sering disebut setiap kali khutbah Jumaat:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan kekal sebagai orang Islam".


SAYA ULANGI: Janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan kekal sebagai orang Islam. Maka bagaimana seseorang boleh memasang niat akan murtad apabila tidak jadi berkahwin, atau akan murtad apabila bercerai. Jika niat untuk murtad ini ada dalam hati seseorang ketika saat memeluk Islam, maka Islamnya itu tidaklah sah. Ini kerana perbuatan memeluk Islam dengan meletakkan syarat untuk murtad apabila terjadi sesuatu keadaan, dengan sendirinya menafikan keislaman. Sama juga halnya jika seseorang Islam memasang cita-cita untuk murtad pada esok hari, maka ia akan dikira murtad pada hari itu juga (serta merta), dan wajiblah ia bertaubat.

Memandangkan betapa pentingnya membersihkan hati daripada niat atau cita-cita untuk murtad, maka wajarlah setiap muallaf yang hendak memeluk Islam ditanya apakah ia bercita-cita hendak murtad pada suatu hari nanti? Terutamanya jika pemelukan Islam itu disebabkan oleh faktor perkahwinan dan sebagainya. Tanyakanlah kepadanya, jika perkahwinannya gagal adakah dia berniat untuk murtad? Rekodkanlah jawapannya itu supaya dapat dirujuk bagi membuktikan keesahan Islamnya pada saat ia mula memeluk Islam. Janganlah jadi seperti kes Fatimah Tan yang diputuskan bahawa pemelukan Islamnya itu tidak sah. Alangkah sedihnya, daftar muallaf yang diberi pengiktirafan kehakiman, akhirnya terobek. Bukan kerana murtad tapi kerana pengislaman yang tidak sah.

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus