Sunday, January 11, 2015

KELEBIHAN KAEDAH PERCERAIAN MELALUI HAKAM BERBANDING FASAKH (SIRI 2)



Sebagai kesinambungan daripada entri sebelum ini, saya akan kongsikan sedikit lagi ilmu berkaitan perceraian. Bukan tujuan saya untuk menggalakkan perceraian kerana agama Islam sendiri tidak menyukai perceraian tetapi jika ia terpaksa dilakukan maka Islam menyediakan jalannya. Begitu juga ilmu peperangan diajar dalam Islam bukan untuk menggalakkan peperangan, tetapi jika ada keperluan untuk berperang maka bersiap sedialah dengan ilmu peperangan supaya tidak kecundang di medan tempur.

Berikut dinyatakan secara ringkas antara kelebihan kaedah perceraian melalui hakam berbanding fasakh, iaitu seperti mana berikut:

1) Mesra Masa: Tempoh masa yg diambil bagi penyelesaian kes perceraian melalui hakam dalam prosiding penuh kebiasaannya di bawah 1 tahun (purata 8-10 bulan) berbanding perceraian secara fasakh dlm prosiding penuh yg mengambil 1 hingga 2 tahun atau lebih.

2) Mesra Objektif: Kebarangkalian mencapai okjektif perceraian dlm kes hakam adalah lebih tinggi berbanding kes fasakh yg tertakluk kpd penolakan. Melalui kaedah hakam perceraian akan terhasil juga jika salah satu pihak tidak mahu lagi meneruskan perkahwinan manakala dlm kes fasakh prinsip ini tidak berlaku.

3) Mesra Bajet: Penjimatan kos lebih ketara dlm kes perceraian melalui hakam kerana tidak memerlukan jumlah kehadiran yg banyak berbanding fasakh yg memerlukan banyak kehadiran bagi setiap sebutan dan perbicaraan  dlm menyempurnakan keterangan utama, soal balas dan soal semula pihak-pihak dan semua saksi terlibat.

4) Mesra Prosedur: Perceraian melalui kaedah hakam hanya memerlukan 3 peringkat prosedur iaitu keputusan pihak-pihak secara bersama, keputusan jawatankuasa pendamai dan keputusan hakam. Manakala dalam kes fasakh banyak prosedur perlu dilalui termasuklah sebutan-sebutan kes, bantahan awal (jika ada), pengurusan kes, perbicaraan-perbicaraan (plaintif, saksi-saksi plaintif, defendan, saksi-saksi defendan) dan penghujahan perlu disempurnakan terlebih dahulu sblm mendapatkan keputusan hakim.

5) Mesra Peguam: Bebanan tugas peguam dalam kes perceraian melalui hakam adalah lebih ringan iaitu untuk memastikan perlantikan hakam dan penyerahan kuasa penuh dibuat dengan betul dan beberapa urusan litigasi utk memastikan kehendak perundangan dipatuhi atau memastikan sekiranya ada ruang utk pengecualian mana-mana prosedur atau memendekkan jangka masa sesuatu prosedur berpandukan kpd autoriti perundangan. Manakala dalam kes fasakh beban tugas peguam adalah sangat berat daripada proses menyediakan pliding, memeriksa dokumen dan keterangan saksi, menjalankan perbicaraan, menyediakan afidavit, hujah, ikatan autoriti dan lain-lain proses litigasi.

6) Mesra Mahkamah: Bebanan tugas Hakim di dalam kes perceraian melalui hakam juga adalah lebih ringan kerana tugas membuat keputusan diserahkan kepada hakam-hakam dan Mahkamah hanya campur tangan apabila perlu sahaja berbanding dlm kes fasakh peranan dan bebanan tugas Hakim adalah lebih berat dari mula kes disebut, dibicarakan dan sehinggalah dalam membuat keputusan.

7) Mesra Keluarga: Di dalam kes perceraian melalui hakam anggota keluarga kpd pihak2 boleh memainkan peranan yg besar sebagai wakil jawatankuasa pendamai dan hakam dan kebolehterimaannya adalah tinggi. Manakala dalam kes fasakh anggota keluarga hanya boleh berperanan sbg saksi dan kebolehterimaan keterangan mereka adalah rendah (seperti saksi ibu dan bapa).

8) Mesra Tatasusila: Dalam kes perceraian melalui hakam keaiban pihak-pihak dlm sesuatu perkahwinan tidak  didedahkan kpd orang awam atau pihak luar kerana ia tidak dibicarakan dlm mahkamah terbuka seperti dlm kes fasakh. Sebaliknya keaiban tersebut jika ada pun, hanya didedahkan secara tertutup dalam majlis jawatankuasa pendamai dan majlis tahkim sahaja.

9) Mesra Rayuan: Kes perceraian yg diputuskan oleh hakam adalah muktamad dan tidak boleh dirayu. Hanya proses semakan kehakiman sahaja dibolehkan jika melibatkan kecacatan prosedur. Manakala dalam kes fasakh keputusan yg dibuat oleh Hakim di peringkat mahkamah rendah Syariah boleh dirayu dan disemak ke mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan syariah dan ada kemungkinan keputusan fasakh tersebut boleh dibatalkan jika terdapat kecacatan yg material.

10) Mesra Mutaah: Isteri yg diceraikan melalui proses hakam masih berhak membuat tuntutan berbangkit slps perceraian seperti mutaah menurut qaul sahih dlm mazhab syafie (walaupun ia diceraikan secara tebus talak- Rujuk pandangan Imam Nawawi dalam Raudah al-Talibin). Manakala isteri yg difasakhkan pernikahannya tidak berhak membuat tuntutan mutaah walaupun fasakh tersebut berpunca dari keaiban suami spt kecuaian nafkah dsb.

11) Mesra Alam Sekitar: Ini pun satu lagi kelebihan kaedah perceraian secara hakam kerana ia tidak memerlukan banyak kertas dan dakwat bagi menyediakan pliding kes. Hanya beberapa helai mukasurat untuk menyediakan surat akuan, lampiran dokumen, laporan jawatankuasa pendamai, laporan hakam dan perintah Mahkamah. Berbanding dengan dalam kes fasakh jumlah kertas yang digunakan adalah lebih banyak. Malah kadang kala terpaksa membuka lebih daripada satu jilid fail disebabkan tebalnya dokumen yang digunakan.

Semuanya mesra-mesra belaka. Sekian sahaja buah fikiran yg dapat dikongsikan kali ini. Sekiranya terdapat apa2 kekeliruan atau kekhilafan bolehlah ia dibincangkan dalam medium yg sesuai.

Wallahu A'lam

Thursday, January 8, 2015

PERCERAIAN: MELALUI HAKAM ATAU FASAKH?




Assalamualaikum.

Semoga kita dan semua umat Nabi Muhammad SAW di seluruh alam akan diberikan keampunan dan rahmat Allah SWT. Ketahuilah bahawa segala yang kita ada sebenarnya adalah amanah dan ia adalah milik Allah. Telah lama saya tidak dapat mengemaskini blog ini. Kali ini saya akan kongsikan sedikit pengalaman saya dalam mengedalikan kes syariah.

Setelah beberapa lama saya beramal sebagai peguam syarie saya mendapati masalah perceraian ini amat menyedihkan. Namun lebih sedih lagi ramai wanita yang keliru atau tidak tahu apakah jalan yang patut mereka pilih untuk melepaskan dirinya dari ikatan perkahwinan yang tidak lagi membawa erti. Ramai wanita di luar sana menyangka bahawa talaq dan cerai adalah hak mutlak suami sahaja. Justeru fasakh, cerai taklik atau khuluk dijadikan sebagai alternatif jika suami tidak setuju bercerai. Namun setelah memulakan tuntutan fasakh tersebut barulah mereka sedar bahawa ranjau yang terlalu berliku perlu dilalui hingga mengheret diri mereka ke dalam kancah pertikaian selama beberapa tahun yang akhirnya MUNGKIN berakhir dengan suatu KEGAGALAN.

Tambahan pula suatu tuntutan fasakh itu perlu dibicarakan dan ia akan membangkitkan banyak pertikaian di Mahkamah yang membebankan bukan sahaja Mahkamah untuk membuat keputusan bahkan membebankan para peguam untuk berhujah dan diri pihak isteri sendiri yang terpaksa mengeluarkan kos untuk tujuan tersebut.

Bagi seorang peguam syarie yang dididik dengan etika kepeguaman Islam, menjauhkan perselisihan dan pertikaian itu sepatutnya menjadi pertimbangan yang paling utama dalam memberikan panduan dan pilihan kepada anakguamnya. Jika FASAKH menjadi pilihan maka samalah ertinya memilih untuk PERTIKAIAN. Atas dasar itu dalam kebanyak kes perceraian dewasa ini, saya secara peribadinya, telah mula menjauhkan diri daripada menerima permohonan klien untuk memfailkan tuntutan fasakh kecuali dalam kes suami yang ghaib dan seumpamanya sahaja.

Maka sebagai alternatifnya, jika terdapat alasan yang wajar untuk bercerai, saya mencadangkan perceraian secara damai difailkan dan jika pihak suami enggan melafazkan cerai secara damai, maka kes tersebut akan diselesaikan melalui hakam yang akan diberikan kuasa penuh sama ada untuk mengislahkan pasangan (jika mendapat persetujuan kedua-dua pihak), atau menceraikan  pasangan secara talak atau tebus talak (jika salah satu pihak tidak bersetuju untuk meneruskan perkahwinan).

Untuk tujuan itu beberapa perkara teknikal perlu diperhalusi bagi membolehkan dan mempercepatkan proses hakam dijalankan. Kini di Negeri Selangor dengan penguatkuasaan  Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 proses hakam ini akan menjadi lebih sistematik dan profesional.

Berikut dikemukakan contoh surat akuan bagi permohonan cerai yang boleh digunapakai bagi melancarkan proses perceraian melalui hakam (kesesuaian fakta adalah bergantung kepada keadaan kes). Semoga ia dapat dimanfaatkan oleh sesiapa yang memerlukannya dan saya memohon supaya Allah Taala menjadikannya sebagai suatu yang bermanfaat dan dijauhkan saya daripada segala mudarat. Amin.....

(AM 80)
SURAT AKUAN
 (Permohonan Cerai)


Bahawa saya ………………….., Kad Pengenalan bernombor: ……………. yang beralamat di …………………. Selangor Darul Ehsan dengan sesungguhnya dan sebenarnya mengaku bahawa:-

1.      Saya ……………………., Kad Pengenalan bernombor: ………………. yang bermastautin di alamat …………..  Selangor Darul Ehsan adalah Plaintif dalam kes ini dan menyatakan bahawa segala maklumat yang saya berikan adalah benar dan dalam pengetahuan saya.


2.      Pihak Defendan adalah suami saya yang sah menurut Hukum Syarak, bernama …………………., Kad Pengenalan bernombor: …………………………. yang beralamat di ………………………….  Selangor Darul Ehsan.


3.      Saya dan Defendan telah bernikah menurut Hukum Syarak dengan berwalikan …………….pada …………………. di Daerah .............................. Perkahwinan ini telah didaftarkan dengan Surat Perakuan Nikah ……………… No. siri: ………….., dengan bilangan daftar……………...


4.      Hasil dari perkahwinan ini, saya dan Defendan telah dikurniakan seorang anak iaitu:

Nama                                                  No. Mykid                        Umur/Jantina


5.      Saya dan Defendan tidak pernah bercerai sebelum ini dan ini adalah perkahwinan saya yang pertama.

6.      Saya memohon kepada Mahkamah Rendah Syariah Daerah …………… untuk bercerai dengan Defendan mengikut peruntukan Seksyen 47 dan/atau Seksyen 48 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 atas alasan-alasan seperti berikut:

i-                    Telah berlaku pecah belah dalam rumah tangga saya dan Defendan yang tidak dapat dipulihkan lagi kerana:

a)      Saya dan Defendan telah tiada persefahaman dan tidak dapat bermua’syarah secara makruf menurut Hukum Syarak. Malahan Defendan telah berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah, hanya selepas 3 minggu Defendan berkahwin dengan saya tanpa memberikan sebarang penjelasan mengenai hak-hak saya kepada saya.

b)      Saya tidak dapat merasakan kebahagian dan mawaddah dalam perkahwinan dengan Defendan yang sebenarnya didirikan atas perancangan keluarga dan saya sentiasa berasa kecewa dengan layanan dingin Defendan  terhadap saya.

c)      Saya dan Defendan tidak dapat berkomunikasi dengan baik kerana Defendan banyak berahsia daripada saya hinggakan saya belum dapat mengenali Defendan dengan lebih dekat walaupun telah lebih setahun berkahwin.


ii-                  Telah berlaku syiqaq atau perbalahan yang berpanjangan antara saya dan Defendan sehingga mewajarkan ia ditamatkan dengan perceraian kerana:

a)      Defendan telah menyebabkan dharar syarie ke atas diri saya kerana telah gagal menunaikan kewajipan nafkah batin atau persetubuhan terhadap saya melebihi tempoh satu tahun iaitu sejak hujung tahun 2013 hingga sekarang sedangkan tiada halangan dari pihak saya untuk melakukan persetubuhan dengan Defendan.

b)      Defendan telah menzalimi diri saya dan tidak dapat menzahirkan sifat keadilannya dalam berpoligami kerana setelah mempunyai 2 orang isteri Defendan kerap pulang lewat untuk menunaikan hak bermalam bersama saya iaitu kebiasaannya dari jam 2.00 pagi hingga 3.00 pagi tanpa sebab yang munasabah, sedangkan ketika itu saya telah pun tertidur.

7.      Ini adalah kali kedua saya membuat permohonan cerai di Mahkamah. Sebelum ini saya pernah memfailkan tuntutan perceraian terhadap Defendan di Mahkamah Rendah Syariah ………… melalui Saman No. …………………………. Namun saya telah menarik balik kes tersebut terhadap Defendan kerana ingin memberi ruang dan peluang kepada Defendan untuk berubah dan menjalankan kewajipannya.

8.      Saya telahpun mengambil langkah-langkah untuk mencapai perdamaian dengan Defendan melalui cara berikut:

a)    Menarik balik permohonan cerai yang difailkan oleh saya sebelum ini dan memberi peluang kepada Defendan untuk melakukan islah atau pembaikan dalam rumahtangga. Namun tiada sebarang perubahan positif yang berlaku.

b)    Berbincang dan mendapatkan nasihat daripada keluarga kedua-dua belah pihak.


9.      Berdasarkan kepada fakta-fakta di atas, saya memohon supaya Mahkamah membenarkan Defendan melafazkan talak satu terhadap saya tetapi sekiranya Defendan enggan melafazkan cerai secara damai terhadap saya, maka saya memohon supaya Mahkamah Yang Mulia ini mensabitkan syiqaq sentiasa berlaku dalam perkahwinan saya dan Defendan dan Mahkamah memerintahkan perlantikan hakam dengan kuasa penuh dibuat menurut seksyen 48 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan kaedah 3 Kaedah-Kaedah Hakam  (Negeri Selangor) 2014.

10.  Sehubungan dengan itu, saya juga memohon supaya Mahkamah ini mengecualikan penubuhan jawatankuasa pendamai di bawah subseksyen 47 (15) (e) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 atas sebab syiqaq tersebut yang telah bersifat luar biasa yang menyebabkan rujukan kepada jawatankuasa pendamai menjadi tidak praktik.

11.  Oleh itu saya memohon Mahkamah meluluskan permohonan saya ini dan saya membuat Surat Akuan ini dengan kepercayaan bahawa apa-apa yang tersebut di dalamnya adalah benar serta menurut Undang-Undang Surat Akuan 1960.



Diperbuat dengan sebenar-benarnya                                       )

Oleh nama yang tersebut di atas iaitu:                                    )

………………………………
(Tandatangan)
 
……………………………………………………….           )      

NO. K/P: ……………………………………………           )                                                                                
Di ……………………………………………..                     )

Di  NEGERI …………………………………                     )

Pada ………..hb……………………….. 2015                      )                  Dihadapan saya,


                                                                                                                       




 ……………………………………
Tandatangan Yang Dipertua Mahkamah Tengah,
Pengadil atau Pesuruhjaya Sumpah

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus