Friday, May 22, 2009

PREVIEW: Kertas Kerja Pemerkasaan Baitulmal dalam Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009


Pemerkasaan Entiti dan Sumber Perbendaharaan Baitulmal Menerusi Dinamika Muamalat dan Undang-Undang Syariah


Oleh: Juraish Kamaruddin

Ketua Unit Syariah, Bhg Undang-Undang, MAIS


Baitulmal harus dilihat sebagai institusi perbendaharaan yang tertinggi dalam negara yang mengimplimentasi sistem ekonomi Islam. Kemampuan sebenar baitulmal dalam menjana kekuatan dan keseimbangan ekonomi hingga ke tahap dunia perlulah ditingkatkan dari semasa ke semasa demi manfaat sejagat. Usaha ke arah menganjak entiti baitulmal dan meningkatkan hasil serta agihannya sangatlah perlu supaya kesejagatan baitulmal akan lebih dirasai. Kita tidak seharusnya melihat semata-mata kepada sumber zakat dan wakaf untuk menjana kemajuan ekonomi. Ini kerana agihan zakat adalah terbatas dan telah dikhususkan agihannya hanya kepada lapan asnaf. Asnaf fi sabilillah walaupun pada zahirnya kelihatan meluas, namun ia tetap mempunyai batasan tertentu berdasarkan kepada kehendak nas. Begitu juga manfaat wakaf masih mempunyai kekangan tertentu kerana ia hanya berhak dinikmati oleh mauquf alaih dan adakalanya telah dikhususkan sebagai wakaf khas di samping wujud sekatan dalam melakukan tasarruf mutlak terhadap mawquf. Pergantungan penuh hanya semata-mata kepada dua sumber tersebut akan menyebabkan agihan kekayaan ekonomi menjadi tidak seimbang. Ini kerana terdapat banyak lagi harta kekayaan umat Islam dan bukan Islam yang tidak mampu diusik oleh kedua-dua instrumen zakat dan wakaf. Justeru, di sinilah perlunya baitulmal melebarkan sayapnya untuk meningkatkan perbendaharaannya bagi melindungi maslahah pihak-pihak yang terhijab daripada mendapat manfaat zakat dan wakaf. Ke arah itu, perlulah locus standi atau entiti baitulmal ditingkatkan supaya tangannya mampu mencapai harta-harta yang selama ini tidak mampu disentuh oleh instrumen zakat, wakaf dan sebagainya. Bahkan produk muamalat yang menjadi sumber perbendaharaan baitulmal perlulah distruktur, dijenama dan dipasarkan sejajar dengan prinsip muamalat Islam yang dinamik dan fleksibel.


Al-Quran menjelaskan bahawa institusi baitulmal telah bertapak sejak sekian lama sebelum Rasulullah SAW diutuskan lagi, antaranya di Zaman Nabi Yusuf a.s. dengan baitulmal yang dikenali sebagai ‘khazain al-ard’.[1] Berkemungkinan ini adalah contoh model baitulmal yang tertua di dunia. Malah semasa zaman Jahiliyyah, konsep baitulmal masih kelihatan bertapak di bawah kepimpinan Arab Quraisy melalui badan bernama Darul Nadwah yang mempunyai beberapa portfolio antaranya Majlis al-Siqayah, Majlis al-Rifadah dan Majlis al-Khazanah yang antara lain bertujuan menyediakan bekalan makanan dan minuman kepada pengunjung tanah suci pada musim haji / ziarah.[2]

Kemuncak daripada itu, di zaman Rasulullah SAW usaha memperkasa institusi baitulmal dengan prinsip keadilan dan kebajikan mula diterapkan khususnya sejak terbinanya kerajaan Islam yang pertama di Madinah dan turunnya perintah kewajipan berzakat dengan kadar yang khusus. Namun begitu, istilah baitulmal masih belum lagi digunakan secara rasmi pada zaman Baginda SAW disebabkan harta yang diterima tidak sempat disimpan, bahkan terus diagih serta merta.

Usaha ini kemudiannya diteruskan oleh para Khalifah selepas Baginda hinggalah istilah ‘al-diwan’ kemudiannya ‘bait-al-mal’ dipopularkan secara rasmi pada zaman Khalifah Umar al-Khattab. Seterusnya baitulmal ini dikatakan telah mencapai puncak kegemilangannya semasa pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz hinggakan sukar untuk mencari penerima agihan zakat disebabkan kekayaan negara telah dinikmati secara adil, seimbang dan optimum.

Namun demikian, usaha memartabat baitulmal yang dirintis oleh generasi terdahulu akhirnya tergendala diakibatkan oleh kelemahan generasi Islam terkemudian yang semakin alpa dengan kemewahan dunia sehingga memberikan ruang kepada musuh Islam menjajah segenap ruang hidup mereka. Dengan tersebarnya pengaruh kolonial Barat yang membawa agenda kapitalisme, maka penguasaan dan peranan baitulmal dalam arus ekonomi semakin tenggelam dan dipinggirkan.

Kini tibalah masanya untuk kita membuktikan keperkasaan baitulmal lebih-lebih lagi dalam mengharungi krisis ekonomi global yang sedang melanda dunia akibat daripada ideologi kapitalisme itu sendiri. Apatah lagi kedudukan istimewa baitulmal itu sendiri telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai suatu institusi yang mempunyai kedudukan dan kaedah pentadbiran tersendiri serta kebal daripada pencerobohan sebarang agenda Kapitalisme yang diwariskan oleh penjajah Barat.

Pada dasarnya pemerkasaan baitulmal secara menyeluruh boleh dibuat daripada beberapa aspek antara lainnya:

i) Pemerkasaan entiti/ perbadanan baitulmal
ii) Pemerkasaan sumber perbendaharaan baitulmal
iii) Pemerkasaan perjawatan / keanggotaan baitulmal (sumber manusia)
iv) Pemerkasaan belanjawan / perakaunan baitulmal
v) Pemerkasaan sistem pengurusan / pentadbiran baitulmal

Kertas ini akan menyentuh sebahagian daripada aspek pemerkasaan yang disebutkan.
[1] Lihat Surah Yusuf, ayat 55.
[2] Lihat Hj. Dusuki Hj Ahmad, Ikhtisar Perkembangan Islam, ms 33.

Wednesday, May 13, 2009

Jawapan Teka-Teki Fiqh (Siri 1)


SOALAN: Bilakah dua (2) keadaan seseorang suami wajib beriddah selepas bercerai DAN dua (2) keadaan suami wajib beriddah tanpa bercerai?

JAWAPAN: Dua keadaan suami wajib beridddah selepas bercerai ialah:


i) Apabila suami telah mempunyai 4 orang isteri lalu dia menceraikan salah seorang daripada mereka dengan talaq raj'i. Suami ini wajib beriddah mengikut tempoh iddah isteri yang diceraikan kerana dalam tempoh itu dia tidak boleh berkahwin dengan mana-mana perempuan. Dalilnya surah al-Nisa' (ayat 3) menyatakan lelaki tidak boleh memiliki lebih daripada 4 orang isteri dalam satu masa. Isteri yang diceraikan dengan talaq raj'i itu hakikatnya belum tercerai secara ba'in dan dia masih dikira sebagai isteri dari beberapa sudut hukum. Sebab itu suami itu hendaklah menunggu (beriddah) sehingga isteri itu tercerai secara ba'in.




ii) Apabila suami telah menceraikan isterinya dengan talaq raj'i, kemudian ia berhasrat pula untuk menikahi mahram kepada isterinya (seperti adik kandung isteri) atau menurut istilah Melayu 'salin tikar'. Maka dalam keadaan itu, suami itu hendaklah beriddah mengikut tempoh iddah isteri yang diceraikan kerana seseorang lelaki tidak boleh mengahwini (menghimpunkan- jama' baina al-ukhtaini) antara dua orang perempuan bersaudara (mahram) dalam satu masa. Dalilnya surah al-Nisa' (ayat 23). Ini kerana isteri yang diceraikan secara talaq raj'i masih diangap sebagai isteri dari beberapa sudut hukum dan dia hanya menjadi ba'in setelah tamat iddahnya.


Manakala jawapan bagi dua keadaan suami wajib beriddah tanpa bercerai ialah:


1)???

2)???


Bersambung...

Friday, May 1, 2009

TEKA-TEKI FIQH SIRI 1-4: Uji Jiwa Tafaqquh Anda


Posting kali ini saya ingin berkongsi teka-teki fiqh untuk cuba dijawab oleh pengunjung blog saya. Sesiapa yang berminat nak mengasah jiwa tafaqquh bolehlah cuba menjawab. Untuk lebih bermanfaat seboleh-bolehnya setiap jawapan mestilah dinyatakan alasannya sekali. (Jangan main hentam je tau)….

Pengunjung yang dapat menjawab soalan dengan tepat akan diberi hadiah percuma senaskhah buku terbitan DMP yang terpampang kat blog saya ni. (Boleh pilih nak yang mana satu). Penghantaran hadiah secara pos akan ditanggung oleh pemilik blog dalam Malaysia sahaja.

Anda digalakkan (bukan wajib) mendaftar sebagai follower terlebih dahulu untuk memudahkan saya menghubungi anda jika terpilih sebagai pemenang.

1) Bilakah 2 keadaan suami wajib beriddah selepas bercerai DAN 2 keadaan suami wajib beriddah tanpa bercerai?

2) Seorang suami telah melafazkan ta’liq talaq 3 ke atas isterinya dengan lafaz: “Kalau engkau keluar je dari rumah ni, maka jatuh talaq 3 atas engkau”. Macam mana suami nak elakkan jatuh talaq 3 dan pada masa yang sama isteri boleh keluar rumah untuk pergi berkerja.

3) Masa bila seseorang wajib meminjam untuk pergi menunaikan haji?

4) Masa bila suami boleh dapat bahagian ASABAH daripada harta pusaka arwah isterinya?

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus