Monday, December 28, 2009

WASIAT untuk anak ANGKAT, HIBAH untuk anak ABAH



Pendek sahaja tajuk entri kali ini, tapi pengertiannya amat mendalam dan tidak boleh dipandang sebelah mata. 'Wasiat' dan 'hibah' adalah antara beberapa bentuk transaksi kehartaan yang begitu popular dan diiktiraf dalam hukum Syarak. Namun begitu segelintir pengamal wasiat dan hibah adakalanya sering tersalah haluan dalam memilih dan melaksanakan prinsip atau produk yang sesuai dipakai. Akhirnya ini menyebabkan kesan negatif terhadap institusi wasiat dan hibah dan mengakibatkan ia dipandang sebagai tidak praktikal dan tidak dapat memenuhi keperluan semasa.

Antara kesilapan yang sering dilakukan dalam bermuamalat dengan produk wasiat dan hibah adalah seperti berikut:

1) Wasiat dibuat untuk ahli waris sendiri seperti anak dll, dengan kadar yang melebihi bahagian faraid. Walaupun ia harus dilakukan tetapi ia memerlukan persetujuan waris-waris yang lain dan persetujuan yang diterima pakai adalah persetujuan selepas kematian pewasiat, bukan semasa pewasiat masih hidup. Ini akan mengundang masalah kerana kebiasaannya waris akan mengubah fikiran selepas pewasiat meninggal dunia. Akhirnya wasiat hanya tertulis di atas kertas dan fi yang dibayar kepada pengamal wasiat terbuang begitu sahaja (tidak berbaloi) kerana wasiat itu sendiri tidak dapat dilaksanakan.

TINDAKAN PEMBETULAN: Sedang difikirkan supaya wasiat yang dibuat akan terlaksana 100% selepas kematian pewasiat, tanpa sebarang pindaan, pembatalan, penolakan atau pengubahsuaian. Kecualilah jika penerima wasiat enggan menerima wasiat. Tapi jalan lain sedang difikirkan supaya wasiat tersebut boleh diserah kepada penerima wasiat kedua atau ketiga, jika penerima wasiat pertama menolaknya.


2) Hibah dibuat kepada anak sendiri melalui perantaraan pemegang amanah bagi mengelakkan anak bertindak mengingkirkan si ayah setelah hibah diterima. Ini juga adakalanya menimbulkan masalah apabila pemegang amanah sendiri yang pecah amanah dan tidak menyerahkannya kepada penerima hibah pada masa yang sepatutnya. Akhirnya jadilah bak kata pepatah "terlepas dari mulut harimau, masuk mulut buaya".

TINDAKAN PEMBETULAN: Hibah dari seorang bapa perlu dibuat terus kepada anak (yang cukup umur) sebagai penerima hibah dengan beberapa syarat antaranya, transaksi itu perlu didokumenkan sebagai hibah, harta hibah hendaklah dapat dikawal oleh bapa melalui kaedah konvensional seperti kaveat atau kaedah syarak seperti injuksi Mahkamah Syariah, bagi mengelakkan ia dilupuskan sesuka hati oleh si anak. Jika si anak berani-berani menyingkirkan ayahnya setelah menerima harta hibah, maka ayah berhak membuat tindakan pembatalan hibah dan harta tersebut boleh dipindahmilik semula kepada si ayah menerusi saluran undang-undang. Manakala bagi penerima hibah yang tediri daripada anak bawah umur pula, perantaraan wasi harta atau pemegang amanah tidak dapat dielakkan. Namun proses perlantikan wasi tersebut wajar juga dibuat secara kehakiman bagi memastikan kepentingan penerima hibah tidak termudarat.

Itulah sedikit sebanyak apa yang dapat dikongsikan pada kali ini. Dalam entri ini saya menyeru marilah sama-sama kita menjadikan instrumen wasiat dan hibah sebagai satu produk muamalat yang praktikal bukan sahaja untuk orang Islam, bahkan juga kepada orang bukan Islam. Ini bukan perkara baru dalam dunia muamalat yang berasaskan Syariah.

Thursday, December 24, 2009

UCAPAN ISLAMIK TERHADAP BUKAN ISLAM SEMPENA KRISMAS

Kita sedia maklum bahawa terdapat khilaf di kalangan ulama' dalam menentukan hukum mengucapkan selamat kepada orang bukan Islam ketika perayaan mereka terutama jika ia melibatkan elemen keagamaan dan akidah. Sebagai contoh ucapan 'Merry Christmas' sebahagian ulamak menyatakan haram hukumnya jika diucapkan oleh orang Islam kepada penganut Kristian kerana ia membawa kesan akidah seolah-olah kita mengiktiraf kepercayaan Kristian bahawa Allah itu mempunyai anak dan lain-lain kepercayaan yang menyeleweng.

Perayaan Krismas disambut sekadar untuk mengenang tarikh kelahiran Jesus yang kononnya dikatakan sebagai anak tuhan (Subhanallah). Itupun mereka masih bertelagah dalam menentukan tarikh kelahiran Jesus. Menurut kalender Julius (Gereja Ortodoks dan Koptik) ia disambut pada 7 Januari manakala menurut kalender Gregorian ia disambut pada 25 Disember setiap tahun.

Walaupun begitu, jika dikaji secara mendalam perayaan Krismas itu sendiri bukanlah berasal daripada ajaran agama Kristian sebaliknya ia telah bercampur aduk dengan adat. Justeru perayaan Krismas yang disambut oleh penganut Kristian pada hari ini bukanlah suatu perkara agama bahkan ia hanyalah perkara adat kerana ia tidak dinyatakan sebagai suatu tuntutan dalam Bibble. Buktinya tidak terdapat bukti kukuh daripada Bibble atau nas Syarak menyatakan Nabi Isa sendiri pernah menyambut perayaan Krismas kerana baginda sendiri tidak pernah merayakan hari lahirnya.

Walaupun Krismas hanya sekadar perayaan adat, ia perlu juga difahami sebagai suatu upacara agama yang berpengaruh dalam agama Kristian kerana ia telah diiiktiraf seolah-olah sebagai satu upacara keagamaan. Justeru tidaklah perlu bagi umat Islam mengucapkan tahniah atau selamat dengan ungkapan "Merry Christmas" kepada penganut Kristian tanpa sebarang tujuan melainkan dalam keadaan tertentu yang diharuskan sahaja seperti:

1) Pendakwah yang bertujuan untuk mendekati penganut Kristian bagi menyampaikan risalah Tauhid, jika tiada cara lain yang boleh digunakan untuk mendekati mereka.
2) Pemimpin yang bertujuan menjaga keharmonian masyarakat yang diperlukan untuk menjaga keamanan negara, jika situasi memerlukan.
3) Sahabat kepada sahabat karib yang bertujuan untuk menjaga ikatan persahabatan selagi mereka tidak memusuhi Islam
4) Saudara Baru (muallaf) kepada ahli keluarganya yang belum Islam dengan tujuan untuk menjaga silaturrahim dan memujuk mereka kepada Islam.
5) Murid kepada guru yang bukan Islam jika ilmunya diperlukan untuk sesuatu urusan keduniaan yang diiktiraf oleh Syarak, jika keadaan memerlukan.
6) Lain-lain keadaan yang memerlukan.


WALAU BAGAIMANAPUN, adalah lebih wajar jika kita mengungkapkan ucapan selamat tersebut kepada penganut Kristian dengan mengikut cara kita iaitu sebagai contohnya:

i) ASSALAMU 'ALA 'ISA YAUMA WULIDA السلام على عيسى يوم ولد Bermaksud: "Sejahteralah ke atas Nabi Isa pada hari Dia dilahirkan". Ungkapan ini selain diambil daripada mafhum kata-kata Nabi Isa sendiri yang dipetik dalam al-Quran (Surah Maryam, ayat 33) , ada logiknya juga, kerana pada hari Krismas mereka menyambut kelahiran Nabi Isa. Justeru sudah pasti wajar kita mendoakan kesejahteraan untuk Nabi Isa, bukan sekadar kesejahteraan untuk pengikutnya.

ii) ASSALAMU 'ALA MAN ITTABA'A AL-HUDA السلام على من اتبع الهدى (Sumber surah Taha, ayat 47) Bermaksud: "Sejahteralah ke atas sesiapa yang mengikuti Petunjuk". Ini adalah ucapan "salam selamat" yang diungkapkan oleh Nabi Musa dan Harun semasa menghadap Firaun ketika menyampaikan seruan dakwah kepadanya. Ungkapan ini jika diaplikasikan boleh diterima sebagai satu doa kepada penganut Kristian dengan harapan mudah-mudahan mereka akan mendapat petunjuk dan hidayah dalam mencari agama yang benar iaitu ISLAM.

Wallahu A'lam.

Monday, December 14, 2009

SEKADAR PENDAPAT:Pendekatan Terbaik Tangani Isu Kenaikan Mas Kahwin


1) Elakkan daripada menetapkan kadar mahar minima berdalilkan hadith "sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah maharnya." Ungkapan 'yang paling mudah' adakalanya boleh ditafsirkan dari sudut harga/kuantiti atau jumlah mahar. Jika jumlah atau kadar mahar minima telah ditetapkan maka kehendak hadith ini dalam memberikan kemudahan untuk menentukan mahar tidak dapat diraikan sepenuhnya.

2) Elakkan daripada menetapkan kadar mahar maksima berdalilkan umum ayat "dan kamu telah memberikan salah seorangnya (isteri) harta yang banyak (qintar) sebagai mahar -Al-nisa' ayat 20". Ungkapan 'qintar' dalam ayat di atas menunjukkan harus memberikan sejumlah harta yang banyakkepada isteri sebagai mahar tanpa dihadkan kepada suatu kadar maksima. Saidina Umar r.a. sendiri telah menarik balik pendapatnya dalam menetapkan mahar maksima sebanyak 400 dirham setelah beliau dibacakan dengan ayat ini oleh seorang wanita quraisy.

3) Usahakan supaya dapat menentukan kadar mahar pertengahan atau mahar al-ausat berdalilkan hadith: "Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan (sederhana)". Kadar ini bukanlah kadar minima dan bukan juga kadar maksima. Ia hanyalah kadar sederhana yang dirasakan sesuai dan layak oleh pemerintah untuk mengelakkan pertikaian dalam menentukan mahar bagi kebanyakan kes.

4) Usahakan agar suatu mekanisma kawalan ditetapkan bagi membolehkan pemberian mahar dibuat dengan kadar yang lebih rendah atau lebih tinggi daripada kadar mahar pertengahan untuk tidak menyukarkan mana-mana pihak yang hendak berkahwin. Sebagai contoh kebenaran meletakkan mahar yang lebih rendah atau tinggi perlu diperolehi daripada pendaftar semasa proses kebenaran berkahwin. Pendaftar hendaklah meneliti fakta bagi setiap kes dan meluluskan apa-apa kadar mahar yang munasabah yang dipersetujui oleh pasangan suami isteri.

5) Elakkan daripada menetapkan kadar mahar dalam bentuk satu angka tetap seperti RM100, RM200, RM300 dan sebagainya kerana kemungkinan untuk berlaku kesilapan ijtihad dalam menentukan satu nilai tunggal adalah tinggi. Di samping itu satu kadar tetap juga akan mengurangkan pilihan dan fleksibiliti serta menimbulkan kesukaran apabila ia tidak dapat dipenuhi.

6) Usahakan agar penetapan kadar mahar pertengahan itu nanti dibuat dalam angka berjajaran seperti dari RM100 hingga RM300 dan bukannya dalam bentuk angka tetap/tunggal seperti RM100, RM200 atau RM300. Dengan kaedah ini pasangan bebas menentukan apa-apa jumlah mahar dari mana-mana angka yang tercangkup dalam nilai jajaran RM100 hingga RM300. Ini sudah tentu lebih menyenangkan dan tidak terlalu mengikat.

Wallahu A'lam.

4 Jenama Produk Qard Hasan Baitulmal Berasaskan Tempoh Qard (Siri 8)


4.8.1- Qard Hasan Mu’ajjal (المعجل) - Jangka Pendek


Mu'ajjal bermaksud 'disegerakan'. Qard hasan mu'ajjal ini bermaksud sumbangan sementara (mu’aqqat) berjangka pendek yang dibuat oleh seseorang kepada baitulmal atas prinsip qard hasan dengan ikhlas mengharap keredaan Allah, tanpa mendapat pulangan keuntungan material. Contohnya tempoh qard hasan mua’jjal boleh ditetapkan untuk tempoh kurang daripada satu tahun, tertakluk kepada tempoh minima 3 bulan, dan sumbangan minima RM1,000.00 (contoh sahaja). Rasional tempoh kurang setahun ditetapkan untuk produk ini kerana tempoh ini tidak melibatkan kewajipan zakat simpanan atau harta kerana tidak cukup haul. Manakala rasional tempoh minima 3 bulan ditetapkan adalah mengambil kira masa yang munasabah untuk manfaat qard hasan terhasil melalui mudharabah, simpanan tetap dan lain-lain transaksi seperti mana yang diamalkan oleh pihak bank kormersial.

CIRI-CIRI: Baitulmal berhak memanfaatkan sumbangan qard hasan selama tempoh qard yang ditetapkan. Namun penyumbang boleh, sebelum tamat tempoh qard, atas permintaannya, menebus kembali sebahagian atau keseluruhan sumbangan pokok qard hasan dengan membayar fi perkhidmatan yang ditetapkan. Fi perkhidmatan wajar dikenakan bagi mengantikan manfaat qard yang terjejas akibat penyumbang menebusnya lebih awal. Jika fi tidak dikenakan maka qard yang dilakukan akan menjadi sia-sia kerana tiada sebarang manfaat atau tidak sempat dimanfaatkan, bahkan hanya memudaratkan penerima qard, sedangkan niat asal qard itu adalah untuk dimanfaatkan. Namun kadar fi tidak wajar melebihi 2.5% kerana qard hasan adalah infaq yang bukan wajib, maka tidak wajar ia dikenakan bayaran wajib yang melebihi kadar infaq wajib iaitu kadar zakat. Sekiranya penebusan tersebut dibuat selepas tamat tempoh qard, maka tiada bayaran perkhidmatan dikenakan kerana manfaat qardnya telah diperolehi. Wallahu A’lam.

4.8.2- Qard Hasan Muakhkhar (المؤخر ) - Jangka Panjang

Muakhkhar bermaksud dilewatkan. Qard hasan muakhkhar ini bermaksud sumbangan sementara berjangka panjang yang dibuat oleh seseorang kepada baitulmal atas prinsip qard hasan dengan ikhlas mengharap keredaan Allah, tanpa mendapat pulangan keuntungan material. Contohnya sumbangan qard hasan mu’akhkhar boleh dibuat untuk tempoh setahun atau gandaan setahun dan ke atas, tertakluk kepada had minima RM100.00 (contoh sahaja). Rasional tempoh setahun ke atas ditetapkan kerana ia melibatkan tempoh haul yang dikenakan zakat. Jika sumbangan pokok qard hasan itu mencukupi nisab zakat tahunan semasa, maka bayaran zakat akan ditolak secara automatik (tertakluk kepada keputusan fatwa mengenai kewajipan zakat ke atas sumbangan pokok qard hasan yang dihuraikan selepas ini).

CIRI-CIRI: Baitulmal berhak memanfaatkan sumbangan qard hasan selama tempoh qard yang ditetapkan. Namun penyumbang boleh, sebelum tamat tempoh qard, atas permintaannya, menebus kembali sebahagian atau keseluruhan sumbangan pokok qard hasan dengan membayar fi perkhidmatan yang ditetapkan. Sekiranya penebusan tersebut dibuat selepas tamat tempoh minima setahun, maka tiada bayaran perkhidmatan dikenakan, tertakluk kepada kadar zakat wajib 2.5% jika mencukupi nisab. Ini kerana walaupun penebusan dibuat sebelum tempoh matang, namun ia telah melepasi tempoh setahun yang lazimnya sumbangan qard hasan telah dapat dimanfaatkan. Namun begitu ada kemungkinan zakat boleh dikenakan kerana harta pokok telah mencukupi haul tertakluk kepada kadar nisab dan keputusan fatwa.

4.8.3- Qard Hasan Mutlaq (المطلق) -Tanpa Tempoh

Iaitu sumbangan qard hasan secara sementara, tanpa dinyatakan tempoh, yang dibuat oleh seseorang kepada baitulmal dengan ikhlas mengharap keredaan Allah, tanpa mendapat pulangan keuntungan material.

CIRI-CIRI: Baitulmal berhak memanfaatkan sumbangan qard hasan selagi mana sumbangan itu tidak ditebus oleh penyumbang. Jika penyumbang membuat penebusan sebelum tempoh setahun, maka fi perkhidmatan akan dikenakan. Namun jika ia membuat penebusan selepas tempoh setahun, maka tiada bayaran perkhidmatan dikenakan, tertakluk kepada kadar zakat wajib 2.5% jika mencukupi nisab dan haul.

4.8.4- Qard Hasan Umra (العمرى) - Seumur Hidup


Umra bermaksud seumur hidup. Qard hasan Umra ini bermaksud sumbangan sementara untuk tempoh seumur hidup penyumbang, yang dibuat oleh seseorang kepada baitulmal atas prinsip qard hasan dengan ikhlas mengharap keredaan Allah, tanpa mendapat pulangan keuntungan material.

CIRI-CIRI: Baitulmal berhak memanfaatkan sumbangan qard hasan selagi mana penyumbang masih hidup dan tidak menebusnya. Jika penyumbang membuat penebusan pada masa hayatnya, sebelum tempoh setahun, maka fi perkhidmatan akan dikenakan. Namun jika ia membuat penebusan selepas tempoh setahun, maka tiada bayaran perkhidmatan dikenakan, tertakluk kepada kadar zakat wajib 2.5% jika mencukupi nisab dan haul. Setelah penyumbang meninggal dunia, sumbangan pokok qard hasan akan dibahagikan kepada waris-waris yang berhak mengikut sijil faraid kerana ia adalah harta milik penyumbang. Wallahu A'lam.

(NOTA: Cadangan Penjenamaan Produk Qard Hasan Kepada Baitulmal ini masih di peringkat kajian. Satu kertas fatwa sedang dilengkapkan oleh pihak .... untuk dipertimbangkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri ....)

...bersambung dalam: Jenama Produk Qard Hasan Baitulmal Berasaskan Jumlah Sumbangan

Friday, December 11, 2009

Kenaikan Mas Kahwin Selangor & Keperluan Penentuan Mahar Al-Ausat


Seperti yang telah dipersetujui dalam beberapa siri bengkel dan mesyuarat fatwa akhirnya kenaikan kadar mas kahwin di Negeri Selangor menjadi kenyataan setelah hampir separuh abad ia tidak dinaikkan.

Apa yang dapat saya simpulkan, keputusan yang dicapai ini dibahagikan kepada 2 perkara. PERTAMA dari segi kadar mahar (al-taqdir) pemerintah Negeri Selangor bersetuju menetapkan RM300.00 sebagai kadar mahar terbaru yang juga merupakan kadar mahar kedua tertinggi selepas Negeri Sembilan yang menetapkan mahar RM200.00. KEDUA dari segi penghadan (al-tahdid) pemerintah Negeri Selangor bersetuju menetapkan bahawa RM300.00 itu adalah kadar mahar MINIMA.

Mengimbau kembali peristiwa perbahasan dalam siri bengkel semakan semula kadar mas kahwin Negeri Selangor yang pernah saya hadiri ketika memegang jawatan Pegawai Syariah di MAIS. Ketika itu majoriti bersetuju bahawa kadar mahar semasa sebanyak RM80.00 perlu dinaikkan. Saya tidak terkecuali dalam hal ini, kerana saya juga bersetuju ia dinaikkan memandangkan kadar lama tidak lagi menepati realiti semasa.

Namun selain itu saya sempat juga mengutarakan pandangan yang menyalahi majoriti dengan mengemukakan cadangan supaya dari segi TAHDID kadar mahar baru ini tidak ditetapkan sebagai KADAR MINIMA, sebaliknya ia ditetapkan sebagai KADAR PERTENGAHAN atau dengan istilah teknikalnya MAHAR AL-AUSAT berdalilkan hadith: "Khairul-umuri ausatuha". Ini bermaksud apa yang ditetapkan oleh pemerintah hanyalah satu kadar mahar yang sederhana dan menepati keadaan semasa dengan tidak menafikan wujudnya keadaan khas yang membolehkan mahar itu ditetapkan selain daripada kadar pertengahan. Dengan kata lain pemerintah hanya mengesyorkan satu kadar mahar standard yang wajar diikuti tetapi tidak wajib diikuti.

Dengan pendekatan ini, ruang untuk mana-mana pasangan meletakkan kadar mahar yang lebih rendah atau lebih tinggi adalah terbuka asalkan dipersetujui oleh kedua-dua pasangan suami isteri. Namun untuk mengawal supaya tidak berlaku penganiayaan terhadap wanita dengan meletakkan kadar yang rendah daripada MAHAR AL-AUSAT dan mengelakkan penganiayaan terhadap lelaki dengan menetapkan kadar yang lebih tinggi daripada MAHAR AL-AUSAT, satu mekanisme kawalan boleh ditetapkan dengan mensyaratkan kebenaran khas pendaftar diperolehi untuk menetapkan kadar mahar selain daripada MAHAR AL-AUSAT.

Pada pandangan saya ketika itu, kaedah menetapkan mahar pertengahan adalah lebih baik daripada tidak menetapkan langsung kadar mahar (seperti beberapa buah negeri) kerana jika ia langsung tidak ditetapkan adakalanya kita akan menghadapi kesukaran untuk menentukan kadar yang dipersetujui. Ketiadaan penetapan mahar juga menyebabkan kita tidak dapat mengukur kadar standard mahar secara legal sebaliknya hanya dapat mengukurnya secara adat dan mithil semata-mata yang adakalanya berbeza-beza. Rujukan kepada mahar mithil pun adakalanya menimbulkan kesukaran jika terdapat dua kadar mithil yang tidak sama. Maka isteri akan menuntut kadar tertinggi, manakala suami pula menuntut kadar terendah.

Pada pandangan saya juga penetapan kadar mahar pertengahan adalah lebih baik daripada menetapkan kadar minima (seperti yang diamalkan oleh kebanyakan negeri), kerana tidak terdapat dalil qat'i yang mensabitkan penetapan mahar minima. Malah sebentuk cincin besi juga boleh dijadikan mahar menurut Hadith. Begitu juga tidak terdapat dalil qat'i yang menetapkan mahar maksima. Walaupun terdapat pandangan Sahabat yang menetapkan kadar maksima ia tidak dapat membataskan keumuman kalimah "qintar" bermaksud 'harta yang banyak' yang disebut dalam al-Quran ketika memperihalkan tentang mahar.

Namun begitu, pandangan saya tersebut belum dapat diterima pada ketika itu kerana majoriti bersetuju menetapkan KADAR MINIMA bukan KADAR PERTENGAHAN. Saya harus menghormati pandangan majoriti dan menerimanya. Apa yang penting tanggungjawab saya sudah tertunai dengan melontarkan cadangan tersebut. Allah sahaja yang lebih mengetahui pandangan manakah yang lebih menghampiri kebenaran.

Penjenamaan Produk Qard Hasan Baitulmal (Siri 7)


4.8- Hukum Menjenamakan Produk Qard Hasan Baitulmal

Selari dengan perkembangan era globalisasi, keperluan menjenamakan ‎produk-produk muamalat Islam memang tidak dapat dinafikan. Institusi ‎perbankan Islam telah lama memanfaatkan budaya penjenamaan produk ‎untuk memudahkan pemasaran produk perbankan mereka. Justeru baitulmal ‎juga haruslah menggunakan kaedah yang sama untuk memasarkan produk ‎qard hasan ini kepada pasaran dan orang awam. Walau apapun, ‎penjenamaan produk qard hasan ini mestilah menepati piawaian patuh-‎Syariah dengan mendapat pandangan fatwa terlebih dahulu. Berikut dicadangkan beberapa jenama produk qard hasan yang ‎diklasifikasikan berdasarkan kepada tempoh qard dan jumlah qard untuk ‎pertimbang telitian selanjutnya.‎

JENAMA PRODUK BERORIENTASIKAN TEMPOH SUMBANGAN QARD HASAN

Menurut Sayyid Sabiq, jumhur ulama’ berpendapat tidak harus mensyaratkan ‎tempoh dalam sesuatu qard kerana ia adalah tabarru’ sukarela semata-mata. ‎Justeru orang yang memberi qard berhak menuntut kembali qard tersebut ‎pada bila-bila masa, walaupun tempoh qard telah ditetapkan. Namun Imam ‎Malik berpendapat, harus mensyaratkan tempoh qard dan ia menjadi syarat ‎lazim. Jika qard itu telah ditetapkan tempoh tertentu, maka hendaklah diikuti ‎tempoh tersebut dan pemberi qard tidak berhak lagi menuntutnya semula ‎sebelum sampai tempoh yang ditetapkan. Pendapat ini berdalilkan firman Allah ‎dalam surah al-Baqarah ayat 282: “apabila kamu berhutang sehingga tempoh ‎tertentu maka hendaklah kamu menulisnya…” dan hadith riwayat Abu Daud, ‎Ahmad, al-Tirmizi dan al-Daruqatni: “Orang Islam itu terikat dengan syarat yang ‎mereka buat”.‎

Dalam hal memberi tempoh kepada qard, Al-Syarbini menyebutkan dalam ‎Mughni al-Muhtaj ketika membahaskan syarat harta yang dipinjam:‎


فَاَلَّذِي يَظْهَرُ فِيهِ أَنَّ الْعَارِيَّةَ إنْ كَانَتْ مُطْلَقَةً أَوْ مُؤَقَّتَةً بِزَمَنٍ يُمْكِنُ الِانْتِفَاعُ بِهِ فِيهِ صَحَّتْ وَإِلَّا فَلَا ، وَلَمْ أَرَ ‏مَنْ تَعَرَّضَ لِذَلِكَ .

“Pendapat yang zahir dalam masalah ini, sekiranya pinjaman qard itu dibuat ‎secara mutlaq (tanpa bertempoh) atau dalam waktu sementara (yakni ‎bertempoh) selagi mana harta yang dipinjamkan itu boleh dimanfaatkan ‎padanya, maka sah qard itu. Jika ia tidak dapat dimanfaatkan, maka tidak sah. ‎Aku tidak mengetahui ada pandangan lain yang membantah perkara ini”.‎

Daripada pandangan al-Syarbini di atas dapatlah difahami bahawa ‎menetapkan tempoh qard hasan bukanlah suatu yang ditegah asalkan ‎manfaat qard itu dapat diperolehi sepanjang tempoh qard yang ditetapkan. Ini ‎selari dengan matlamat asal qard untuk membantu pihak yang ‎memerlukannya. Justeru apabila harus menetapkan tempoh qard, maka harus ‎jugalah kita mempelbagaikan tempoh itu sama ada berjangka pendek, ‎sederhana atau jangka panjang. Dari sinilah timbulnya asas untuk meletakkan ‎jenama produk qard hasan berdasarkan kepada tempohnya.‎

Monday, November 30, 2009

Kaedah Perlaksanaan Qard Hasan Kepada Baitulmal (Siri 6)


4.7- Kaedah Perlaksanaan Qard Hasan

Berikut dicadangkan kaedah perlaksanaan sumbangan qard hasan kepada baitulmal untuk pertimbang telitian ahli Mesyuarat yang berkenaan:

i) Individu atau syarikat mengisi borang sumbangan qard hasan (akad bertulis) sama ada melalui kaunter pejabat, pos, wakil (agen korporat), email atau internet (laman web); yang mengandungi maklumat lengkap diri penyumbang, maklumat waris (penting jika berlaku kematian), jumlah sumbangan qard hasan, tempoh qard, cara tebus semula qard (melalui akaun bank atau tunai dsb), jenis produk dan sebagainya.

ii) Pelanggan menghantar borang (manual atau online) dan menyerahkan wang sumbangan qard hasan kepada baitulmal melalui kaunter, agen yang dilantik atau pindahan wang menerusi perbankan internet.

iii) Pihak baitulmal mengeluarkan sijil qard hasan kepada penyumbang bagi setiap transaksi qard hasan yang dilakukannya. Sijil tersebut menyatakan nombor siri, nombor akaun, jumlah sumbangan, jenis qard, tempoh qard, dan lain-lain maklumat berkaitan.

iv) Pihak baitulmal mengakaunkan (mendeposit) sumbangan qard hasan ke dalam akaun induk yang dikhaskan. Untuk memudahkan pengurusan akaun, satu akaun data dibuka atas nama setiap penyumbang qard hasan di dalam sistem data kewangan baitulmal bagi memudahkan pengurusan akaun terutamanya bagi mengawasi tarikh tamat (matang) qard dll.

v) Pihak baitulmal mengarahkan kepada pihak bank atau institusi pelaburan supaya semua keuntungan yang diperolehi daripada akaun qard hasan dikreditkan ke akaun induk baitulmal setiap bulan bagi kegunaan / manfaat umum.

vi) Pihak baitulmal boleh menggunakan hasil keuntungan daripada sumbangan qard hasan atau sumbangan pokok qard hasan itu sendiri untuk kegunaan yang diluluskan oleh Majlis tertakluk kepada syarat dan rizab yang ditetapkan.

vii) Pihak baitulmal memulangkan semula wang pokok qard hasan (tanpa sebarang faedah) kepada penyumbang setelah tamat tempoh yang dijanjikan mengikut jenis produk. ATAU memulangkannya kepada waris penyumbang sekiranya penyumbang meninggal dunia. ATAU menukarkannya kepada wakaf, hibah, hadiah dsb mengikut arahan penyumbang dari semasa ke semasa, ATAU menyerahkannya kepada pihak ketiga dengan perintah Mahkamah Syariah dalam kes hiwalah, nafkah, harta sepencarian dll.

Wednesday, November 18, 2009

HAK BAPA:Batalkan Hibah Kepada Anak Derhaka


HAK BAPA UNTUK MEMBATALKAN PEMBERIAN HIBAH KEPADA ANAK

Kita kerap mendengar perkataan ‘anak tak mengenang budi’. Khususnya apabila anak yang telah diberi harta oleh kedua ibubapanya tiba-tiba bertindak ‘membuang’ mereka. Perkara ini kerap terjadi walaupun jarang diceritakan. Namun masih ramai ibubapa yang tidak tahu hak mereka untuk mengambil semula harta tersebut daripada anak mereka. Si anak pula terlalu pintar dan tahu mencari jalan untuk menafikan terus peluang ibubapanya menarik balik pemberian harta tersebut.

Dalam entri ini mari kita dedahkan rahsia kepintaran si anak dan kuasa sebenar si bapa. (Mana boleh anak nak lawan bapak beb!). Dalam kitab fiqah isu ini ada dibahaskan dalam bab hibah, di bawah fasal hukum bapa menarik semula hibah. Dalam konteks sekarang perkara ini perlulah dirujuk ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan perintah pembatalan hibah bagi membolehkan harta itu dipindah milik semula kepada ibu atau bapa. Semoga ia menjadi pengajaran kepada anak yang ‘tak mengenang budi’.

Secara ringkasnya, inilah hukum yang perlu diketahui oleh ibubapa dan anak mengenai hibah atau pemberian ketika hidup:

Ibubapa/ datuk nenek dan ke atas harus (berhak) menarik semula (membatalkan) pemberian hibah yang dibuat kepada anak/cucu dan ke bawah dengan syarat:

1) Harta tersebut sememangnya diperolehi oleh si anak melalui hibah daripada ibubapanya. Justeru bapa perlu membuktikan bahawa harta yang ingin dituntutnya itu adalah harta yang dihibahkannya kepada anaknya. Bapa yang pintar akan memastikan transaksi hibah itu dibuat di hadapan saksi atau dengan dokumen yang berautoriti (seperti surat perisytiharan hibah) untuk keselamatannya di kemudian hari. Anak yang pintar pula akan berusaha menafikan harta itu bukan hibah. Sebagai contoh dia tidak mahu ada saksi melihat pemberian hibah tersebut atau dia tidak mahu ada dokumen yang mengisytiharkan hibah tersebut atau dia mencari jalan supaya harta tersebut diperolehi dengan cara lain seperti jual beli daripada bapanya sendiri walaupun dengan bayaran yang rendah. Inilah rahsianya.Namun hakikatnya siapa yang bertawqa dialah yang paling pintar.

2) Harta tersebut masih wujud. Jika harta itu telah habis ‘dijoli’ oleh si anak, maka bapa tidak dapat lagi menuntutnya kembali. Justeru bapa yang pintar akan memastikan harta tersebut tidak mudah dihabiskan atau dilupuskan oleh si anak dengan sentiasa memantaunya. Anak yang pintar pula akan berbuat apa sahaja untuk mencairkan dan membelanjakan harta itu tanpa atau dengan pengetahuan si bapa walaupun terpaksa menggunakan pujuk rayu atau tipu daya. Inilah rahsianya.Namun hakikatnya siapa yang bertawqa dialah yang paling pintar.


3) Harta itu masih dalam milikan si anak. Jika harta itu telah dipindahmilik kepada orang lain, maka si bapa tidak boleh lagi membuat tuntutan. Justeru bapa yang pintar akan memasukkan kepentingannya ke dalam harta tersebut seperti dengan cara kaveat, pemegangan amanah, penama, wasi, dsb. Manakala anak yang pintar pula akan mencari jalan bagaimana nak melepaskan diri daripada ikatan si bapa.

4) Harta itu tidak diperolehi semula oleh anak dengan cara lain. Jika harta itu telah pernah berpindah milik kepada orang lain kemudian diperolehi semula oleh si anak melalui transaksi yang baru seperti hadiah, pembelian atau pusaka daripada orang lain, maka ia tidak boleh lagi dituntut oleh si bapa. Justeru bapa yang pintar akan berbuat apa yang patut. Manakala anak yang pintar pula akan berbuat apa yang patut untuk memastikan transaksi hibah yang dibuat oleh bapanya telah diselangi oleh transaksi lain. Inilah rahsianya.Namun hakikatnya siapa yang bertawqa dialah yang paling pintar.

Sekian dulu untuk kali ini. Ingat slogan saya: “Menuntut Demi Keadilan Membela Dari Kezaliman”.

Syarat dan Rukun Qard Hasan (Siri 5)


4.6- Syarat dan Rukun Qard

Terdapat 3 rukun asas bagi qard iaitu:

i) Dua pihak yang berakad (penghutang dan pemiutang)

Al-Sheikh Sayyid Sabiq menyebutan bahawa akad qard adalah dianggap sebagai akad memberi milik manfaat (tamlik), maka ia tidak boleh dilakukan melainkan oleh orang yang mempunyai kuasa tasarruf.

Kedua-dua pihak hendaklah berakal waras, baligh, tidak ditegah menggunakan harta (bukan mahjur alaih), sukarela dan mempunyai hak tasarruf kamil terhadap harta. Al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj menyatakan sah qard yang dibuat oleh pihak yang memiliki manfaat harta walaupun dengan cara wasiat (wali bagi pihak anak bawah umur) atau wakaf, meskipun dia tidak memiliki zat harta itu. Ini kerana qard itu hanya melibatkan pemindahan hak memanfaatkan, bukan pemindahan hak milik zat harta. Ibn Rif’ah menambah bahawa harus seseorang mawquf alaih (penerima manfaat wakaf) melakukan qard terhadap harta wakaf (mawquf) sekiranya ia adalah nazir (pemegang amanah) harta wakaf itu. Al-Nawawi pula menukilkan pendapat Sahih dalam mazhab Syafi’i bahawa harus bagi penyewa (al-musta’jir) melakukan qard ke atas harta yang disewanya kerana dia adalah pemilik manfaat harta itu.

ii) Lafaz ijab dan qabul

Al-Nawawi menukilkan pendapat yang paling sah (asah) dalam mazhab Syafi’i, qard tidak akan terlaksana melainkan dengan lafaz, kerana lafaz dapat menzahirkan kerelaan hati. Ini diqiyaskan kepada akad jual beli dan hibah. Akan tetapi memadai dengan lafaz oleh salah satu pihak disertai dengan perbuatan pihak yang lagi satu. Tidak sah qard dilakukan dengan perbuatan oleh kedua-dua pihak tanpa lafaz.

Qard boleh terlaksana engan lafaz sareh yang difahami seperti ‘meminjamkan’ (qard) atau ‘mendahulukan’ (salf) atau ‘saya menghutangkan’ atau ‘aku serahkan harta dengan engkau memberikannya semula’ dan semua lafaz yang membawa kepada makna yang sama [1]. Menurut mazhab Maliki, pemilikan akan sabit dengan wujudnya akad, walaupun harta qard belum diserah terima. Pendapat yang paling sah (asah) dalam mazhab Syafi’i, penghutang akan memiliki manfaat qard hanya setelah berlaku penerimaan.

iii) Harta yang dipinjam/dihutang (al-musta’ar)

Al-Nawawi menyebutkan bahawa syarat utama bagi harta yang dipinjamkan ialah harta yang bermanfaat dan kekal zatnya (sama seperti apa yang disyaratkan dalam mauquf, harta wakaf). Sifat kekal pada zat harta diperlukan bagi membolehkan proses pemulangan balik harta itu dilakukan. Namun begitu boleh juga memberi qard menggunakan harta yang tidak kekal, iaitu harta yang diguna-habis seperti sabun, garam, gula beras dan sebagainya.


Jika zat harta qard itu telah binasa, diguna-habis atau rosak, maka harus bagi orang yang meminjam memulangkan semula harta yang senilai dengannya. Jika zat harta itu masih elok dan tidak berubah, maka ia haruslah memulangkan harta yang asal itu sendiri sama ada senilai atau tidak senilai selagi ia tidak berubah (terkurang nilai) disebabkan oleh perbuatan peminjam. Jika harta itu telah berubah disebabkan perbuatan peminjam, maka wajiblah dikembalikan yang senilai dengannya, atau dipulangkan zat harta bersama tambahan nilai yang terkurang.


[1] Penulis merasakan perlu diijtihadkan sama ada dalam budaya Melayu perkataan ‘aku menyumbangkan secara sementara’ dsb boleh diterima sebagai lafaz sareh bagi qard. Ini kerana maksudnya difahami sama seperti meminjamkan. Jika lafaz ‘menyumbangkan secara sementara’ dapat digunakan bagi maksud qard maka permasalahan undang-undang tentang kuasa meminjam dan menerima deposit tidaklah timbul. Seperti yang telah dinyatakan penulis cuba mengelakkan daripada memakai istilah ‘meminjam’ dalam menghuraikan prinsip qard hasan supaya tidak berlaku konflik undang-undang.

Tuesday, November 17, 2009

Hikmah dan Kelebihan Sumbangan Qard Hasan Kepada Baitulmal (Siri 4)


4.5- Hikmah dan Kelebihan Sumbangan Qard Hasan

i) Dijanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda di sisi Allah kerana ia dilakukan dengan niat ikhlas untuk menolong orang lain yang memerlukan, bukan bertujuan mendapatkan keuntungan dan menindas orang yang susah.

ii) Dapat memberikan manfaat yang besar kepada ekonomi umat Islam kerana manfaat sumbangan qard hasan kepada baitulmal dapat digunakan untuk tujuan umum yang lebih luas, berbeza dengan zakat yang hanya boleh diagih untuk 8 asnaf dan berbeza juga dengan wakaf yang hanya boleh dinikmati oleh mauquf alaih dan harta mawquf tidak boleh dipindahmilik.

iii) Sumbangan pokok qard hasan boleh diurusniaga secara lebih fleksibel iaitu dipindah milik sebagai sedekah, hadiah, hibah, wasiat, wakaf, hiwalah, bayaran nafkah dan sebagainya dalam tempoh qard, atas kehendak penyumbang atau perintah Mahkamah (jika melibatkan kes hiwalah, nafkah dan sebagainya)

iv) Mudah dicairkan atau ditunaikan kerana qard hasan lazimnya berbentuk wang atau harta alih. Dengan itu ia lebih mudah untuk dimanfaatkan dan proses penebusan atau pemulangan semula harta qard hasan juga akan lebih mudah.

v) Keselamatan terhadap sumbangan pokok qard hasan lebih terjamin kerana ia ditadbir oleh pihak baitulmal yang terdiri daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang.

vi) Tidak menghilangkan hakmilik penyumbang terhadap harta pokok yang disumbangkan secara qard hasan kerana ia bukanlah sumbangan kekal. Ini dapat dijadikan suatu bentuk tabung perlindungan kepada penyumbang sekiranya berlaku kecemasan di kemudian hari kerana dia boleh menebus semula sumbangan pokok qard hasan yang pernah dibuatnya.

vii) Tidak memudaratkan ahli keluarga penyumbang qard hasan kerana jika berlaku kematian, sumbangan pokok qard hasan tersebut akan dapat dipusakai oleh waris-waris penyumbang qard hasan mengikut faraid.

viii) Dilindungi di bawah undang-undang kerana qard hasan dianggap sebagai hasil agama Islam yang terletak hak kepada baitulmal dan tidak boleh menerima campurtangan pihak lain menurut Perlembagaan Persekutuan.

ix) Dapat melatih individu supaya menanam minat menginfakkan harta ke jalan Allah bermula dengan memberi pinjam (sumbangan sementara) dan akhirnya mungkin berakhir dengan bersedekah (sumbangan kekal) ketika mana ia tidak lagi memerlukan harta pokok qard hasan tersebut.

x) Mampu menjadi alternatif yang boleh diterima pakai bagi menggantikan prinsip wakaf sementara yang dipertikaikan hukumnya di kalangan fuqaha’.

xi) Mampu menjadi alternatif kepada produk terbitan sukuk (bon Islam) baitulmal yang agak rumit kerana memerlukan kelulusan Suruhanjaya Sekuriti. Qard Hasan lebih mudah dikendalikan oleh baitulmal berbanding sukuk kerana ia tidak melibatkan pembayaran keuntungan kepada pelabur.

xii) Mampu menjadi pencetus untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam sektor kewangan Islam, kerana qard hasan adalah perkara agama (hasil baitulmal) yang termasuk dalam senarai kuasa negeri.

xiii) Dapat memperkasa dan memartabatkan kembali peranan institusi baitulmal dalam sistem ekonomi negara setelah mendapat suntikan dana baru yang meningkatkan hasil baitulmal.

Hukum Menyumbang Qard Hasan Kepada Baitulmal: Siri 3


4.3- Hukum Menyumbang Qard Hasan Kepada Baitulmal

Tidak syak lagi, perbuatan menyumbang secara qard hasan dengan niat ikhlas tanpa mengharapkan faedah duniawi adalah suatu yang sangat disunatkan. Apatah lagi jika sumbangan qard hasan itu diberikan kepada baitulmal, maka sudah tentulah manfaatnya lebih banyak lagi kerana ia dapat digunakan untuk maslahah umum dan tidak terhad kepada individu tertentu sahaja. Ini selari dengan kaedah fiqhiyyah:
(المصلحة العامة أولى من المصلحة الخاصة)
“Maslahah umum itu lebih utama daripada maslahah individu”

Dalam hal ini juga Allah Taala berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 271:

إِنْ تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ وَإِنْ تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَيُكَفِّرُ عَنْكُمْ مِنْ سَيِّئَاتِكُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ (271)

Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa pahala orang yang memberi sedekah kepada orang yang memerlukan dengan merahsiakannya adalah lebih baik daripada memberi sedekah dengan cara menghebahkannya. Jika qard hasan ini diqiyaskan kepada sedekah, maka memberi sumbangan (pinjaman) qard hasan dengan perantaraan baitulmal juga adalah lebih afdal kerana dengan cara itu identiti orang yang memerlukan bantuan akan terahsia dan tidak diketahui kerana orang yang memberi bantuan tidak mengetahui siapakah orang yang menerima manfaat daripada bantuannya. Dengan cara itu orang yang menerima manfaat qard hasan tidaklah dapat disakiti oleh orang yang membantunya dengan perbuatan mengungkit-ungkit atau sebagainya.


4.4- Hukum Baitulmal Menerima Sumbangan Qard Hasan

Prinsip hukum menetapkan bahawa apabila haram memberi atau menggunakan sesuatu maka haramlah mengambilnya, berdasarkan kepada kaedah fiqhiyyah:
ما حرم استعماله حرم اتخاذه

Kaedah ini antara lain diambil daripada prinsip pengharaman rasuah yang ditegah daripada mengguna, memberi mahupun menerimanya. Secara mukhalafahnya, dapatlah dikatakan bahawa apabila harus memberikan sesuatu maka harus jugalah menerimanya. Justeru apabila dihukumkan perbuatan memberi sumbangan qard hasan kepada baitulmal sebagai sunat, maka hukum pihak baitulmal menerima sumbangan tersebut juga adalah sunat. Malah jika sampai ke tahap darurat dan kegawatan ekonomi, maka qard itu boleh menjadi wajib, maka menerimanya juga boleh menjadi wajib. Ini selari dengan kaedah fiqhiyyah yang lain:
ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Dr. Mustofa al-Khin menyebutkan dalam al-Fiqh al-Manhaji, halaman 1432, hukum qard menjadi WAJIB jika pemiutang mengetahui orang yang berhutang amat memerlukan hutang tersebut untuk menampung hidupnya dan keluarganya dan tiada cara lain untuk dia memperolehinya kecuali dengan cara berhutang.

Dalam hal ini, baitulmal bolehlah dianggap sebagai individu yang mempunyai tanggungjawab ekonomi dan sosial yang besar untuk menjaga kemaslahatan seluruh umat Islam di negerinya. Sekiranya hasil baitulmal tidak mencukupi untuk membantu seluruh ahli masyarakat di negerinya, melainkan melalui qard hasan, maka qard hasan itu akan menjadi WAJIB.

Wednesday, November 11, 2009

Wajarkah Firma Guaman Syarie Swasta Memberi Khidmat Guaman PERCUMA?

Dalam entri kali ini izinkan saya untuk mendapatkan pandangan daripada pembaca sekalian berkaitan institusi kepeguaman syarie. Khidmat guaman syarie percuma sering saja dikaitkan dengan agensi kerajaan seperti Biro Bantuan Guaman di peringkat Persekutuan dan Unit Guaman Syarie JAIS di peringkat Negeri Selangor. Amat jarang kedengaran firma guaman syarie swasta yang sanggup memberikan khidmat guaman syarie secara percuma. Apakah ini disebabkan terdapat halangan undang-undang atau halangan lain?



Apakah reaksi anda jika anda mendapati wujudnya mana-mana firma guaman syarie swasta yang menawarkan khidmat guaman percuma untuk anakguam yang berpendapatan rendah? Sebagai contoh dalam keadaan seperti ini:

Kos guaman PERCUMA untuk pemohon yang berpendapatan kurang daripada RM1,000.00 sebulan dalam kes yang melibatkan:

a) Muallaf yang telah menghayati agama Islam dalam kes kebenaran nikah mengunakan wali hakim;

b) Ibu Tunggal yang ditinggal langsung oleh suami tanpa nafkah dalam kes perceraian fasakh/ ta’liq secara sebelah pihak;

c) Waris si mati dalam kes pengesahan pusaka (sijil faraid) yang melibatkan lebihan baki yang diserah kepada baitulmal;

d) Orang kena tuduh dalam kes jenayah Syariah yang sanggup mengaku bersalah dan telah bertaubat tetapi bercadang untuk merayu bagi diringankan hukuman;

Adakah dengan bantuan guaman ini dapat menyampaikan mesej dakwah secara berkesan? Contohnya untuk muallaf yang hendak berkahwin, agar mereka lebih menghayati agama Islam, untuk ibu tunggal supaya mereka tidak terus menderita dan dapat menutup pintu kejahatan, untuk waris pusaka supaya pembahagian harta dapat diselesaikan dengan baik dan dapat dimanfaatkan oleh baitulmal, untuk orang kena tuduh supaya ia mengaku bersalah dan bertaubat.

Saturday, November 7, 2009

KEMELUT PGSM vs DR. ASRI: Kembali Kepada Yang Hak dan BERDAMAI

Entri kali ini, saya cuma ingin kongsikan pendirian saya dalam kemelut yang sedang melanda PGSM dan Dr. Asri. Sebagai seorang pengamal undang-undang Syariah yang turut berpayung di bawah PGSM, saya menyeru supaya kita sama-sama mencari jalan damai. Firman Allah : "dan perdamaian sulh itu adalah lebih baik". Tiada yang kalah jika sesuatu permasalahan dapat diselesaikan secara damai, iaitu setelah setiap pihak memahami hak dan tanggungjawab masing-masing. Andainya pertikaian diteruskan hingga ke muka pengadilan, sudah pasti akan ada yang rasa dikalahkan. Dalam keadaan tersebut, walaupun penghakiman telah diperolehi, pada hakikatnya ia tidak dapat memuaskan hati kedua-dua pihak. Justeru hakimilah diri sendiri sebelum kita dihakimi.
***
Saya tetap bersama kalian selagi kalian bersatu kerana Allah dan RasulNya, selagi kalian memaafkan antara satu sama lain, selagi kalian berkasih sayang kerana Allah, selagi kalian mengakui kekhilafan diri yang bernama insan, selagi kalian mengucapkan kalimah LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD-UR-RASULULLAH. Kita tetap sama walaupun pendapat kita berbeza.
***
WALLAHU MUSTA'AN.

Sunday, November 1, 2009

Firma Guamanku: Selepas 3 Bulan Berlalu

Hari ini tamatlah 3 bulan pertama saya mengendalikan firma guaman syarie sendiri. Masih banyak keperluan firma yang perlu dibina. Masih banyak lagi ilmu dan seni guaman yang perlu diterokai. Sebelum ini peluang agak terhad untuk mendapatkan pengalaman mengendalikan pelbagai kes kekeluargaan dan kehartaan. Kini dengan kebebasan mengendalikan kes, pengalaman baru mula ditimba. Apapun syukur kepada Allah, atas pertolonganNya semua urusan berjalan dengan lancar. Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang sentiasa menyokong, memperkenal dan memberi tunjuk ajar dalam menguruskan firma. Bersama-samalah kita berjuang dalam memartabatkan perundangan Syariah di muka bumi ini.
"Menuntut Demi Keadilan Membela Dari Kezaliman"
JURAISH SYARIAH ASSOCIATES

Wednesday, September 23, 2009

NUR HUJJATUN RUJHA BINTI JURAISH: Anugerah AidilFitri 2009

Pada kesempatan ini saya sekeluarga ingin mengucapkan Salam Selamat Hari Raya Aidilfitri untuk semua umat Islam di mana sahaja mereka berada. Semoga syawal ini membawa erti kemenangan sejati kepada kita semua dalam menegakkan Syariah Allah di muka bumi dan menentang segala kezaliman.
Saya juga mengucapkan setinggi kesyukuran kepada Allah Taala atas kurniaannya yang menganugerahkan cahaya mata keenam buat saya dan isteri tercinta pada awal pagi 25 Ramadhan yang lalu. Saya namakan puteri kecil ini sebagai NUR HUJJATUN RUJHA yang bermaksud CAHAYA HUJJAH YANG TERKUAT. Semoga dengan nama ini menjadi satu doa yang dapat mencorakkan masa depannya sebagai seorang pembela Islam sama ada menjadi peguam syarie atau apa sahaja profesyen yang diredhai. Apa yang penting setiap tutur kata dan fikirannya kelak biarlah tertegak di atas hujah yang sahih, rajih dan nyata selari dengan maksud namanya. Wallahu musta'an.

Friday, September 11, 2009

Hukum Menyumbang Qard Hasan Kepada Baitulmal: Siri 2

4.2- Hukum dan Fadilat Qard Hasan

Ayat-ayat di atas telah jelas mengharuskan dua perbuatan iaitu memberi pinjam dan meminjam. Bahkan ia memberi galakan (sunat) yang lebih kepada perbuatan memberi pinjaman (sumbangan) qard hasan ke jalan yang diredai Allah dengan tidak mengharapkan faedah duniawi, sebaliknya hanya mengharapkan ganjaran pahala, Syurga dan keampunan daripada Allah.

Al-Sheikh Sayyid Sabiq menyatakan di dalam Fiqh al-Sunnah bahawa qard itu adalah ibadat yang dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala kerana padanya terdapat sifat kasihan belas sesama manusia, memudahkan urusan dan melepaskan kepayahan mereka. Memandangkan Islam menetapkan sunat hukumnya memberikan qard, maka menerima qard itu adalah diharuskan dan tidak sesekali dimakruhkan hukumnya kerana ia mengambilnya untuk dimanfaatkan bagi menutup hajat keperluan kemudian mengembalikannya semula seperti mana asalnya.

Terdapat banyak hadith yang menggalakkan amalan memberikan qard hasan atau pinjaman ikhlas antara lain:

2422 - حَدَّثَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ عَبْدِ الْكَرِيمِ حَدَّثَنَا هِشَامُ بْنُ خَالِدٍ حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ يَزِيدَ و حَدَّثَنَا أَبُو حَاتِمٍ حَدَّثَنَا هِشَامُ بْنُ خَالِدٍ حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ يَزِيدَ بْنِ أَبِي مَالِكٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَيْتُ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي عَلَى بَابِ الْجَنَّةِ مَكْتُوبًا الصَّدَقَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا وَالْقَرْضُ بِثَمَانِيَةَ عَشَرَ فَقُلْتُ يَا جِبْرِيلُ مَا بَالُ الْقَرْضِ أَفْضَلُ مِنْ الصَّدَقَةِ قَالَ لِأَنَّ السَّائِلَ يَسْأَلُ وَعِنْدَهُ وَالْمُسْتَقْرِضُ لَا يَسْتَقْرِضُ إِلَّا مِنْ حَاجَةٍ

Dari Anas ra berkata: " berkata Rasulullah SAW, aku telah nampak pada malam aku diperjalankan (pada malam isra' mikraj), tertulis di pintu syurga : satu sedeqah dipergandakan pahalanya sebanyak sepuluh kali, manakala ‘qard' atau pinjaman tanpa faedah digandakan sebanyak lapan belas kali ganda..." (Riwayat Ibn Majah)

Pertamanya hadith di atas membuktikan wujudnya transaksi qard yang merupakan infaq dalam bentuk memberi pinjam secara ikhlas. Ini mengukuhkan lagi maksud Firman Allah dalam keenam-enam ayat di atas. Keduanya ia membuktikan terdapat perbezaan ketara antara prinsip sedekah dan qard.

Secara jelasnya hadith di atas membuktikan bahawa ganjaran pahala bagi orang yang memberikan qard atau pinjaman adalah lebih banyak daripada ganjaran pahala orang yang memberi sedekah. Ini disebabkan orang yang bersedekah lazimnya tidak memerlukan lagi harta yang disedekahkannya itu kerana harta yang disedekahkan itu merupakan lebihan daripada apa yang ia tidak perlukan, berdalilkan firman Allah (وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ). Sedangkan orang yang memberi pinjam hakikatnya masih memerlukan harta yang dipinjamkannya, tetapi ia rela mengetepikan kepentingannya demi membantu orang lain yang lebih memerlukan dan ia tidak pula mengambil kesempatan di atas kesusahan pihak lain dengan mengenakan faedah. Ini selari dengan firman Allah Taala dalam surah Ali Imran ayat 134: الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ. Atas alasan itu, maka layaklah orang yang memberikan qard hasan diberi ganjaran pahala berlipat ganda mengatasi pahala orang yang bersedekah secara biasa.

Perbuatan memberi pinjaman dengan niat membantu orang yang memerlukan sangatlah disukai oleh Allah seperti mana sabda Rasulullah SAW:

4867 - حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى التَّمِيمِيُّ وَأَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ وَمُحَمَّدُ بْنُ الْعَلَاءِ الْهَمْدَانِيُّ وَاللَّفْظُ لِيَحْيَى قَالَ يَحْيَى أَخْبَرَنَا و قَالَ الْآخَرَانِ حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ أَبِي صَالِحٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

“Barangsiapa yang melepaskan satu kesukaran saudaranya, maka Allah akan melepaskan pelbagai kesukarannya di akhirat.." (Riwayat Muslim)
Dalam hal ini Allah Taala juga berfirman dalam surah Al-Maidah, ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (2)
4.2.1- Ijmak Ulama Dalam Keharusan Qard

Telah dinyatakan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji bahawa seluruh umat Islam telah mengamalkan sistem qard ini sejak zaman Rasulullah SAW hinggalah ke zaman kita hari ini. Para ulama pula telah menerima sistem qard ini dan tiada seorang pun yang menentang keharusannya.

Tuesday, September 8, 2009

09-09-09 Hari Lahir Ke-33, Ulang Tahun Perkahwinan Ke-10


Entri kali ini teringin rasanya berkongsi mengenai tarikh penting dalam hidup saya seperti tarikh lahir dan tarikh ulang tahun perkahwinan. Saya agak bertuah pada tahun ini kerana pada esok hari 09-09-09 adalah merupakan hari lahir saya yang ke-33. Hari yang sama juga adalah hari ulangtahun perkahwinan saya yang ke-10 bersama isteri tercinta Hafiza Ayobee Sellahuddin Ayobee. Tahun ini debarannya lebih terasa lantaran kami sedang menunggu kelahiran cahaya mata keenam kami yang akan dilahirkan ke dunia pada bila-bila masa di bulan Ramadhan ini. Harapnya kalau dapat kami berdoa biarlah esok juga anak keenam kami dilahirkan. Maka semakin meriahlah tanggal 9 September setiap tahun. Kami semua telah bersedia untuk menantikan kehadirannya.

Qais Tajul Muhtajj, Qaim Tammul Minhaj dan Qaid Faqihul Hukkam adalah barisan anak lelaki kami, penyambung perjuangan ke jalan Allah. Nur Fahwa Fitnina dan Nur Fahwa Qistina pula adalah barisan puteri kami. Kali ini harapnya biarlah puteri juga. Walau apapun itu semua kehendak Allah. Akan kami terima dengan redha. Cepat la lahir duhai anak, janganlah engkau keluar masa kami nak beraya... he, he... Sekian dulu coretan kali ini. Wassalam.

Hukum Menyumbang Qard Hasan Kepada Baitulmal: Siri 1


Definisi Qard Hasan

Al-Qard dalam bahasa Arab bermaksud al-Qat’u yang membawa maksud ‘potongan’. Misalnya perkataan al-miqrad bermaksud gunting iaitu alat untuk memotong. Istilah qard digunakan juga kepada maksud ‘pinjaman’ kerana pinjaman itu adalah potongan ke atas harta pemiutang untuk diberikan kepada peminjam. Al-Hasan pula bermaksud baik. Justeru qard hasan bermaksud pinjaman yang baik.

Definisi qard hasan menurut Syarak pula ialah pinjaman yang diberikan kepada peminjam secara ikhlas kerana Allah untuk membantunya menyelesaikan masalah yang dihadapi yang sangat berhajatkan kepada pertolongan, tanpa mengenakan sebarang bentuk balasan. Mazhab Syafi’i mentakrifkan qard sebagai memberi milik sesuatu harta oleh seseorang kepada orang lain untuk digunakan. Peminjam dikehendaki memulangkan semula harta yang dipinjam kepada pemiutang dalam keadaan yang sama seperti sebelum dipinjam atau diganti dengan barang yang sama nilai dengan harta yang dipinjam. [1]

Istilah Berkaitan Qard Hasan

Menurut Dr. Mustofa al-Khin dalam al-Fiqh al-Manhaji, al-qard dinamakan sebagai al-salaf (السلف)oleh penduduk Hijaz. Al-Salaf bermaksud mendahulukan (seerti dengan memberi pinjam). Misalnya perkataan ‘ulama al-salaf’ bermaksud ‘ulama terdahulu’. Dalam sesetengah kitab fiqh seperti Mughni al-Muhtaj al-qard disebut juga sebagai ‘al-ariyyah’(العارية) . Al-Syarbini mentakrifkan al-ariyyah menurut syarak sebagai keharusan memanfaatkan barang yang halal dimanfaatkan dengan mengekalkan (tidak melupuskan) barang itu.

Dengan sebab itu istilah yang dipakai untuk orang yang meminjam (penghutang), yang meminta atau menerima qard adakalanya disebut sebagai: al-muqtaridh (المقترض), al-mustaqridh (المستقرض), al-mustaslif (المستسلف) atau musta’ir(المستعير) . Manakala orang yang memberi qard atau pemiutang disebut sebagai al-muqridh (المقرض) , al-muslif (المسلف) atau al-mu’ir (المعير).

Untuk mengelakkan kekeliruan, perlu juga dinyatakan di sini bahawa dalam sesetengah kitab seperti Minhaj al-Talibin dan Mughni al-Muhtaj, istilah qiradh (قراض) yang diambil daripada kata asal qard tidak dipakai bagi maksud pinjaman tanpa faedah tetapi ia dipakai bagi maksud al-mudharabah (المضاربة) yang melibatkan perkongsian untung. Sedangkan dalam qard hasan tidak terdapat soal mengambil untung disebabkan ia adalah pertolongan ikhlas. Ini berlaku disebabkan al-Nawawi dan al-Syarbini menggunakan istilah al-ariyyah untuk qard.
[1] Al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj, 3/243. Al-Bujairimi, Hasyiah al-Bujairimi ala al-Minhaj, 8/45

Monday, August 24, 2009

LAPORAN AKHIR: Kajian Kes Murtad Negeri Selangor

Entri kali ini saya hendak kongsikan kesibukan kami ahli penyelidik analisa kajian kes murtad Negeri Selangor dalam menyediakan laporan akhir untuk dikemukakan kepada Majlis Agama Islam Selangor. Kajian ini dibuat terhadap kes-kes yang melibatkan isu murtad yang difailkan sama ada di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Mahkamah Sivil, Jabatan Mufti Selangor (rundingcara akidah) dan Majlis Agama Islam Selangor dari tahun 2003 hingga 2008.

Kajian ini adalah ditaja oleh Majlis Agama Islam Selangor dengan geran penyelidikan sebanyak RM35,000. Ia dimulakan pada pertengahan tahun 2008 yang melibatkan kerjasama daripada pakar akademik daripada UIAM dan UiTM serta pengamal undang-undang daripada MAIS sendiri. Ahli penyelidik yang dilantik adalah seramai 8 orang. Ketua penyelidik dalam projek ini adalah Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dari UiTM. Penyertaan saya sebagai ahli penyelidik dibuat atas tiket pengamal undang-undang Syariah / Peguam Syarie yang mengendalikan kes murtad sebagai wakil MAIS di Mahkamah Syariah.

Dalam kajian ini, saya ditugaskan untuk melakukan analisa terhadap profil kes murtad bersama dengan ahli kumpulan yang lain. Kumpulan saya ini diketuai oleh bekas pensyarah saya ketika mengambil Diploma Undang-Undang dan Pentadbiran Kehakiman Islam (DAIJ) di UIAM, iaitu Datin Paduka Prof. Zaleha Kamaruddin. Manakala kumpulan satu lagi yang diketuai oleh Ketua Penyelidik sendiri akan melaksanakan kajian perundangan berhubung isu murtad.

Dalam analisa yang kami lakukan, terdapat 14 variable (pembolehubah) yang disentuh iaitu kategori defendan yang disaman dalam kes pengisytiharan murtad di mahkamah, bangsa pemohon, agama asal, jantina, status perkahwinan, umur, cara pengislaman, tempat memeluk Islam, tempoh memeluk Islam, tujuan memeluk Islam, tahap bimbingan Islam, tahun fail kes, perwakilan peguam dan sebab murtad. Setiap data yang diperolehi daripada semua kategori pembolehubah akan dianalisa pula secara kualitatif bagi memahami senario kes murtad secara lebih mendalam.

Hasilnya kami mendapati beberapa dapatan yang sangat menarik perhatian. Insya-Allah ia akan dimaklumkan di sini setelah ia dimuktamadkan oleh semua ahli penyelidik dalam masa terdekat. Apapun kita bedoa kepada Allah Taala agar kita semua dikekalkan iman dan ditingkatkan darjat ketaqwaan supaya kita terus tetap berpegang dengan kalimah "LA ILAHA ILLA ALLAH" hingga akhir hayat. Sekian dulu. "Selamat berpuasa". Kullu am wa antum bil khair.

Tuesday, August 18, 2009

Adakah Isteri Yang Menuntut Fasakh Berhak Mendapat Mut'ah?


Entri kali ini kita akan membincangkan hak isteri khususnya dalam isu mut'ah. Pada prinsipnya selalu kita mendengar bahawa isteri berhak mendapat mut'ah jika dia diceraikan tanpa sebab yang patut mengikut hukum Syarak. Justeru apakah isteri yang menuntut fasakh berhak mendapat mut'ah? Jika anda seorang isteri anda tentu akan menjawab YA. Semoga jawapan itu ada benarnya. Namun sebelum itu mari kita amati 6 keadaan isteri yang tidak berhak mendapat muta'ah.


1) Jika isteri bersetuju dalam perjanjian yang dibuat selepas perceraian bahawa dia tidak akan menuntut mut'ah daripada suaminya.


2) Jika isteri telah membuat perceraian secara tebus talaq atau menukarkan hak muta'ahnya sebagai 'iwad atau bayaran bagi tebus talaq.


3) Jika pembubaran perkahwinan disebabkan oleh pernikahan fasid atau batil yang tidak sah.


4) Jika isteri diceraikan sebelum disetubuhi tetapi telah dibayar kepadanya maskahwin (1/2 mahar muthamma)


5) Jika perceraian berpunca daripada isteri kerana isteri murtad, enggan memeluk Islam, isteri bertukar menjadi mahram suami akibat susuan atau wati' syubhah.


6) Jika perceraian disebabkan oleh kematian suami atau anggapan kematian (mafqud).


Selain itu, terdapat juga pandangan yang menyatakan isteri tidak berhak mendapat mut'ah jika dia menuntut fasakh walaupun atas alasan keaiban daripada pihak suami. Berdasarkan pandangan ini, jika fasakh yang dituntut oleh isteri itu dibuat atas alasan suami tidak memberi nafkah, dia juga tidak layak mendapat mut'ah. Akan tetapi apakah kesannya jika pandangan ini terus diamalkan dan diterima pakai? Adakah ia satu ketetapan atau pendekatan yang dapat menjamin keadilan terhadap isteri?


Ayuh kita bincangkan di sini....

Saturday, August 15, 2009

Jawatan Yang Kutinggalkan Kini Diiklankan Kekosongannya

PEGAWAI SYARIAH LS41


Belum sampai pun satu purnama kakiku meninggalkan 'Kamar Syariah' MAIS, kini kekosongan jawatan itu telahpun diiklankan untuk diisi oleh khalifah selepasku (kira khalifah le jugak, sebab dia adalah pengganti). Namun kali ini syarat keutamaannya agak lebih ketat dari apa yang saya miliki.


Masa jawatan pegawai syariah ini saya isi buat pertama kali pada November 2007, kelayakan atau keutamaan yang diperlukan hanyalah sijil Peguam Syarie Negeri Selangor. Namun dalam menjalankan tugas-tugas yang melibatkan kepentingan MAIS, saya berjaya meluluskan diri bagi mendapatkan sijil Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan. Kebetulan sijil itu amat bermakna lantaran terdapat juga kes yang melibatkan kepentingan MAIS dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan. Maka secara tak langsung kelayakan untuk jawatan ini telah terupgrade.


Dalam awal tahun ini pula, kepentingan MAIS telah bertambah luas dengan turut melibatkan perundangan Syariah di Negeri Perak dalam kes-kes harta pusaka yang terletakhak kepada baitulmal Selangor yang dituntut oleh pemastautin di Negeri Perak.Maka secara tidak langsung jawatan pegawai syariah ini diupgrade lagi agar perlu memiliki sijil Peguam Syarie Negeri Perak.


Dalam kesempatan ini, adalah diseru kepada rakan seperjuangan yang berminat dan bermatlamat untuk meninggikan syiar Islam atas muka bumi, agar menyahut seruan MAIS. (Mohon jangan tak mohon). Silalah memohon jawatan ini yang telah saya kosongkan khas untuk kalian. (Tak boleh pegang jawatan lama-lama, bagi peluang pada orang lain pulak.)


Satu je pesanan saya, jalankan tugas dengan amanah, mesra dan prihatin, selari dengan slogan MAIS. Emm... kalau ada sesiapa yang nak tahu soalan bocor untuk temuduga nanti, boleh la hubungi saya... (he, he... tapi kena buka fail klien dulu, he, he, he... acah aje... mane la saya tahu soalan bocor... soalan lama dah expired... mesti penemuduga akan buat soalan baru punya...). Jika berminat sila layari www.mais.gov.my dan hantar permohonan sebelum 24 Ogos 2009. Sekian untuk kali ini.


Tuesday, August 11, 2009

ISTERI NUSYUZ: Apa tindakan suami? Terapi Anti-Nusyuz!

Beberapa hari ini, saya kerap dirujuk mengenai persoalan isteri nusyuz. Para suami kerap mengadu isteri mereka telah nusyuz. Aduan ini pada dasarnya belum dapat mensabitkan kenusyuzan isteri, namun ia sudah cukup untuk mensabitkan kepincangan dalam kaedah suami mengurus rumahtangga. Saya tidak menyalahkan para suami (termasuklah diri saya) sepenuhnya. Namun tidak dapat dinafikan, kenusyuzan isteri sedikit sebanyak turut berpunca daripada sikap suami.

Memang lumrah kehidupan, ada hamba yang taat ada hamba yang derhaka. Begitu juga lumrah rumahtangga ada isteri yang taat, ada pula yang tidak taat, itulah isteri nusyuz. Tidak ketinggalan adakalanya suami juga ada yang berlaku nusyuz terhadap isteri tanpa mereka sedari. Pasti ada yang tidak kena, bila isteri berlaku nusyuz. Syaitan sudah tentu tak henti-henti menjadi batu api yang mencetuskan keretakan dalam rumahtangga. Namun syaitan tidak wajar dipersalahkan kerana syaitan sudah sememangnya sentiasa salah. Justeru jangan buang masa menyalahkan syaitan.

Apakah yang harus dilakukan jika isteri mula berlaku nusyuz? Adakah suami perlu terlebih dahulu melakukan tiga (3) tindakan tersusun menurut perspektif al-Quran? Atau suami boleh terus sahaja memfailkan permohonan sabitan nusyuz di Mahkamah Syariah untuk menggugurkan hak isteri terhadap nafkah lantaran bimbang nanti isteri akan failkan tuntutan fasakh? Atau suami boleh sahaja terus menceraikan isterinya?

Pendekatan yang terbaik dalam menyelesaikan isu nusyuz perlulah berpandukan al-Quran yang telah menyediakan tindakan pencegahan sejak peringkat pra-nusyuz lagi. Di peringkat pra-nusyuz suami disuruh memberikan nasihat yang lemah lembut dan berhikmah kepada isteri. Jika nasihat lemah lembut ini tidak berkesan, perlulah nasihat semula disampaikan dengan cara yang lebih tegas dan profesional. Untuk tujuan kehakiman, di peringkat ini suami perlu membuktikan nasihat telah diberi kepada isteri sama ada melalui surat bertulis yang ditujukan kepada isteri dan dibuktikan penerimaannya, atau melalui saksi yang mendengar nasihat tersebut disampaikan secara lisan. Sebagai alternatif, pihak suami boleh mengupah peguam syarie untuk mengemukakan surat kepada isteri agar kembali taat. Mungkin juga 'ayat-ayat cinta' daripada Peguam Syarie mampu merawat penyakit nusyuz isteri.

Seterusnya jika isteri masih enggan taat, bolehlah suami meninggalkan isterinya di tempat tidur. Berpandukan al-Quran, memang boleh. Namun apa pula halnya jika memang suami isteri sudah lama tinggal berasingan. Sudah tentu langkah ini tidak praktikal lagi. Justeru adakah boleh suami terus melakukan tindakan terakhir dengan memukul isteri? Jangan! Isteri tidak suka dipukul walaupun ia dibenarkan oleh Syarak. Melainkan suami seorang 'pemukul' yang profesional, silakanlah. (Yang ni kena belajar cara 'memukul' isteri yang nusyuz secara profesional) Memukul isteri yang nusyuz secara tidak profesional sama seperti mengundang isteri ke majlis perceraian. Jika suami tidak mahu menempa risiko ke jalan perceraian, jangan mencari padah. Silap-silap suami boleh masuk penjara gara-gara memukul isteri. Jangan main-main.

Jadi apa yang harus dilakukan lagi? Adakah suami dah boleh failkan kes sabitan nusyuz? Sabar dulu! Jangan nak cepat sangat. Bangga sangat ke memiliki isteri yang nusyuz? Apa kata kita guna cara psikologi pulak. Cari punca isteri nusyuz, dan lakukan terapi anti-nusyuz. Macammana nak lakukannya? Insya-Allah, jika berkesempatan kita akan bincangkannya lagi.


Monday, August 10, 2009

APA FIRMA GUAMAN SYARIAH BOLEH LAKUKAN?

‎1)‎ Perkhidmatan Peguam Syarie

‎-‎ Bertindak secara profesional melalui perlantikan / ‎wakalah peguam syarie untuk mewakili pihak-pihak yang ‎berkepentingan dalam kes-kes Mahkamah Syariah.‎

‎-‎ Bertindak secara profesional dalam mendokumentasi dan ‎mempersaksi perjanjian dan suratcara yang melibatkan ‎urusan Syariah seperti perjanjian penyelesaian sulh, ‎perjanjian persetujuan wakaf, hibah, sumpah syarie ‎pentadbiran dan sebagainya.‎

‎-‎ Bertindak secara profesional dalam mewakili klien bagi ‎mencari jalan penyelesaian secara aman terhadap ‎perselisihan dan tuntutan hak melalui perundingan damai ‎di luar Mahkamah.‎

‎2)‎ Perkhidmatan Perundingcara Keluarga

‎-‎ Bertindak secara profesional dalam memberikan ‎bimbingan dan rundingcara kekeluargaan Islam ‎melibatkan permasalahan suami isteri, ibu bapa, anak-‎anak dan kaum keluarga.‎
‎-‎ Bertindak secara profesional sebagai wakil pihak-pihak ‎dalam jawatankuasa pendamai yang dilantik secara ‎khusus untuk menangani perbalahan suami isteri (di ‎dalam kes syariah yang bukan bertindak sebagai ‎peguam syarie)‎

‎-‎ ‎(Akan datang) Bertindak secara profesional atas ‎perlantikan Mahkamah sebagai hakam dalam sesi ‎timbangtara bagi meyelesaikan syiqaq antara suami isteri.‎

‎3)‎ Perkhidmatan Perundingcara Akidah

‎-‎ Bertindak secara profesional dalam memberikan ‎bimbingan dan rundingcara akidah kepada bakal ‎muallaf yang hendak memeluk Islam dan orang Islam ‎yang terlibat dengan gejala murtad.‎

‎-‎ ‎(Akan datang) Bertindak secara profesional dalam ‎merangka dan membangunkan modul bersepadu bagi ‎proses istitabah yang dijalani oleh orang Islam yang ‎terlibat dengan gejala murtad.‎

‎4)‎ Perkhidmatan Perunding Wakaf dan Pusaka

‎-‎ Bertindak secara profesional dalam merundingkan status ‎harta wakaf bagi proses pendaftaran rasmi dengan pihak ‎berkuasa agama.‎

‎-‎ Bertindak secara profesional sebagai nadzir (penjaga) ‎bagi harta wakaf khas (atas perlantikan wakif dengan ‎kebenaran pihak berkuasa agama).‎

‎-‎ Bertindak secara profesional dalam merundingkan status ‎harta pusaka dan bahagian pusaka yang melibatkan hak ‎individu atau kepentingan awam yang perlu diserahhak ‎kepada pihak berkuasa agama.‎

‎-‎ ‎(Akan datang) Bertindak sebagai agen kutipan saham ‎wakaf bagi pihak berkuasa agama.‎

‎-‎ Bertindak secara profesional dalam melaksanakan ‎pembahagian pusaka sama ada melalui perintah ‎Mahkamah Syariah (Sijil Faraid) atau surat kuasa ‎mentadbir.‎

‎5)‎ Perkhidmatan Penulisan Wasiat dan Hibah

‎-‎ Bertindak secara profesional dalam mendokumentasi ‎suratcara wasiat harta, wasiat perlantikan wasi dan hibah ‎untuk orang Islam.‎

‎-‎ Bertindak secara profesional dalam melaksanakan wasiat ‎yang telah didokumentasi sama ada melalui perintah ‎Mahkamah Syariah atau surat kuasa probet.‎

‎-‎ Bertindak secara profesional sebagai pemegang ‎amanah, wasi atau penjaga ad litem kepada pemilik ‎harta hibah yang dikhususkan untuk manfaat individu ‎tertentu.‎

‎6)‎ Perkhidmatan Perancangan Harta Islam

‎-‎ Bertindak secara profesional dalam merancang ‎pemerolehan, pelaburan, perlindungan, perbelanjaan ‎dan pewarisan harta individu mengikut prinsip Syariah.‎

‎-‎ Bertindak secara profesional dalam merancang ‎pemerolehan dan pembangunan produk muamalat ‎baitulmal dan hasil agama Islam bagi manfaat awam.‎

‎7)‎ Perkhidmatan Penyelidikan Undang-Undang Syariah

‎-‎ Bertindak secara profesional dalam menjalankan ‎penyelidikan undang-undang Syariah meliputi pelbagai ‎jurusan seperti kekeluargaan, kehartaan, akidah dan ‎sebagainya.‎

‎8)‎ Perkhidmatan Nasihat Syariah dan Muamalat

‎-‎ Bertindak secara profesional dalam memberikan nasihat ‎berkaitan Hukum Syarak dan transaksi muamalat ‎berlandaskan Syariah.‎

‎9)‎ Perkhidmatan Bimbingan Perkhidmatan Awam

‎-‎ Bertindak secara profesional dalam memberikan ‎bimbingan motivasi kepada pekhidmat awam.‎
‎-‎ Bertindak secara profesional dalam tribunal atau ‎jawatankuasa (atas perlantikan ad hoc) bagi sesuatu ‎tindakan tatatertib melibatkan penjawat awam.‎

‎10)‎ Perkhidmatan Ceramah Agama

‎-‎ Bertindak secara profesional dalam menyampaikan ‎ceramah agama dan kuliah pengajian Islam ‎bersumberkan kitab-kitab muktabar.‎

Wednesday, July 29, 2009

FATWA QARD HASAN: Misi Terakhirku di MAIS


Ini adalah petikan kertas kerja yang akan (Insya-Allah) dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor akan datang yang sedang dalam penulisan dan kajian akhir.


MEMINTA FATWA MENGENAI HUKUM MENYUMBANG KEPADA BAITULMAL MELALUI PRODUK QARD HASAN DAN MENJENAMAKANNYA UNTUK TUJUAN KEMUDAHPASARAN

(Disediakan oleh: Juraish bin Kamaruddin, Pegawai Syariah, Majlis Agama Islam Selangor)


PENDAHULUAN


Istilah ‘Qard Hasan’ (قرض حسن) yang bermaksud pinjaman yang baik (ikhlas dan hanya mengharap keredaan Allah, tanpa mengharap faedah duniawi), telah disebut dalam Al-Quran sejak lebih 1400 tahun yang lalu. Namun qard hasan lazimnya hanya diaplikasikan dalam sistem muamalat Islam dari satu sudut sahaja iaitu apabila individu ingin meminjam daripada institusi tertentu tanpa dikenakan faedah. Sedangkan qard hasan dari sudut keharusan individu memberi pinjam (menyumbang) kepada institusi tertentu seperti baitulmal tanpa faedah duniawi sering pula dilupakan.

Kertas kerja asas berkaitan produk qard hasan dari perspektif yang dimaksudkan ini pernah dibentangkan dalam Konvensyen Baitulmal Kebangsaan pada 25 Jun 2009 di Masjid Wilayah Persekutuan atas tajuk “Pemerkasaan Entiti dan Sumber Perbendaharaan Baitulmal Menerusi Dinamika Muamalat dan Undang-Undang Syariah” (Sila rujuk petikan kertas kerja di Lampiran A). Selari dengan tajuk itu, pembentang kertas kerja tersebut telah memulakan inisiatif membuat sumbangan qard hasan yang pertama kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebanyak RM1,000.00 selama tempoh satu tahun, melalui skim potongan gaji. (Sila rujuk surat di Lampiran B).

Justeru, kertas ini akan membahaskan secara lebih lanjut aplikasi qard hasan sebagai salah satu produk muamalat baitulmal untuk mendapatkan pandangan fatwa.


TUJUAN

Kertas ini dibentang untuk mendapatkan pandangan fatwa mengenai hukum-hakam berkaitan qard hasan dari pelbagai aspek seperti berikut:

i) Hukum orang awam memberi sumbangan[1] secara qard hasan kepada baitulmal dan hukum baitulmal menerima sumbangan tersebut serta kaedah perlaksanaannya yang sesuai.

ii) Hukum mengklasifikasikan qard hasan kepada beberapa jenama produk khusus dengan syarat-syarat khusus seperti qard hasan bertempoh (mu’aqqat) sama ada jangka pendek (mu’ajjal) atau jangka panjang (muakhkhar), qard hasan tanpa tempoh (mutlaq), qard hasan seumur hidup (umra), qard hasan bertambah (mutazayid), qard hasan berkurang (mutanaqis) dan sebagainya.

iii) Hukum-hakam tertentu dalam berurusan atau bermuamalat dengan sumbangan qard hasan apabila melibatkan keuntungan, kerugian, permohonan penebusan sebelum matang, permohonan pertukaran (pindah milik) kepada wakaf, hibah, wasiat, hiwalah, perintah nafkah; kewajipan mengeluarkan zakat dan hak pewarisan harta qard apabila berlaku kematian penyumbang qard dalam tempoh qard hasan masih berkuatkuasa.

[1] PENTING: Penulis ingin mengelak daripada menggunakan istilah ‘memberi pinjam’ atau ‘menerima pinjaman’ tetapi lebih cenderung menggunakan istilah ‘memberi sumbangan’ atau ‘menerima sumbangan’ dalam membahaskan prinsip qard hasan. Ini kerana istilah ‘memberi pinjam’ akan melibatkan persoalan undang-undang yang lebih rumit seperti kelulusan MMKN bagi membuat pinjaman menurut seksyen 10(1) EPAINS 2003 dan seksyen 25(1) Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 yang melarang pihak tidak berlesen daripada menerima, mengambil atau setuju menerima deposit. Qard hasan jika dipandang sepintas lalu seolah-olah sama seperti penerimaan deposit dan pinjaman. Justeru pemilihan perkataan yang sesuai perlu diputuskan daripada awal supaya tidak menimbulkan konflik undang-undang. Sokongan fatwa diperlukan bagi menentukan pemakaian istilah yang sesuai. Qard hasan walaupun kelihatan menyamai deposit dan pinjaman tetapi hakikatnya ia adalah salah satu bentuk sumbangan yang dianggap sebagai hasil baitulmal yang termaktub secara tersirat dalam seksyen 81(2) EPAINS 2003 dan dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan. Hujahan selanjutnya akan dibahaskan dalam kertas ini.

Thursday, July 23, 2009

Menanti Kelahiran Firma Guaman Syarie Sendiri

JURAISH SYARIAH ASSOCIATES. Kemunculan yang kutunggu dalam beberapa hari lagi. Semoga harapan dan cita-cita ku ini akan terlaksana. Semoga Allah Taala sentiasa membantuku selagi mana aku membantu saudara-saudaraku. Itulah yang pernah disabdakan oleh Rasululah SAW:

وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ




Wednesday, July 15, 2009

Entiti Baitulmal Kebangsaan: Satu Tafsiran

Syor pertama daripada lima syor yang diutarakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia ketika perasmian Konvensyen Baitulmal Kebangsaan pada 24 Jun 2009 untuk mengkaji keperluan mewujudkan entiti baitulmal kebangsaan perlulah ditafsirkan secara harmoni.

Tafsiran sebegini perlu dibuat bagi merealisasikan syor tersebut sekaligus mengelak salah faham daripada pelbagai pihak.

Usaha berterusan dalam mencari ruang memperkasa institusi baitulmal tidak seharusnya terhenti dengan terbentangnya kertas kerja dan tertutupnya tirai konvensyen. Bahkan jendela pemikiran yang optimis perlu sentiasa dibuka.

Ruang untuk mencari titik persamaan dan penyatuan perlu diusahakan. Apabila tiba masanya, kepentingan khusus atau maslahah khassah perlu diketepikan demi memelihara kepentingan umum atau maslahah ammah yang lebih besar dan diutamakan dalam Syariat Islam.

Membedah Tubuh Baitulmal

Tidak dinafikan bahawa Perkara 97(3) Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan baitulmal dan segala hasil agama Islam sebagai hak negeri. Baitulmal dari segi tubuh fizikalnya memang merupakan hak negeri sama ada ia diberi entiti perbadanan atau tidak.

Namun dari sudut mekanismanya, undang-undang Persekutuan masih mempunyai peranan besar dalam memastikan kelangsungan baitulmal terutamanya dari sudut dasar monetari dan beberapa aspek lain seperti percukaian, perjawatan, perakaunan dan sebagainya.

Dari sudut monetari, baitulmal tidak dapat lari daripada berurusan dengan mata wang Ringgit Malaysia yang merupakan hak dan kawalan Persekutuan.

Dari sudut percukaian, undang-undang Persekutuan telah mengiktiraf peranan baitulmal apabila sumbangan yang dibayar oleh individu atau syarikat tertentu kepada baitulmal dikira dalam pengurangan cukai.

Dari sudut perjawatan, baitulmal yang terletak di bawah Majlis Agama Islam tidak dapat lari daripada sumber manusia yang dibiayai oleh Perbendaharaan Persekutuan sama ada perlantikan secara langsung atau tidak langsung.

Manakala dari sudut perakaunan, baitulmal juga tidak dapat lari daripada berurusan dengan bank untuk menyimpan wang Ringgitnya.

Semua pihak mengakui bahawa baitulmal tidak menyimpan keseluruhan wang Ringgit yang merupakan harta utamanya, dalam tubuh, gedung atau premisnya sendiri.

Bahkan baitulmal menggunakan perantaraan bank untuk menyimpan dan melaburkan wangnya. Sebanyak manapun wang baitulmal, ia tetap akan dimasukkan ke dalam bank dan bukannya ke dalam baitulmal.




Kita akui wang itu adalah milik baitulmal, tetapi kita terpaksa mengakui bahawa wang itu tidak mampu disimpan oleh baitulmal di dalam tubuhnya walaupun ia bermaksud ‘rumah harta’.

Membedah Dana Wang Baitulmal

Sekarang marilah sama-sama kita ‘membedah siasat’ dana wang baitulmal yang tersimpan di luar tubuh baitulmal.

Soalan pertama yang boleh diajukan kepada baitulmal, mengapakah baitulmal perlu menyimpan wang Ringgitnya ke dalam bank? Sudah tentu jawapannya kerana baitulmal tidak memiliki bank sendiri.

Namun sedarkah bahawa bank kormersial yang ada pada hari ini sama ada milik swasta atau kerajaan adalah ditubuhkan dan dikawal oleh undang-undang Persekutuan. Ini bermakna baitulmal telah lama menyerahkan wang Ringgitnya kepada entiti Persekutuan.

Keduanya, berapa banyakkah bank yang terlibat dengan urusan wang Ringgit baitulmal? Jawapannya sudah tentu lebih daripada satu bank.

Setiap bank pula tidak terlepas daripada kawalan tunggal sebuah bank pusat iaitu Bank Negara yang merupakan entiti Persekutuan. Jelaslah bahawa wang Ringgit baitulmal telah lama dipusatkan dalam kawalan sebuah bank induk.

Sekarang cuba bayangkan jika kesemua 14 baitulmal di Malaysia terus menyimpan (bukan menyerah milik) wang Ringgitnya hanya di sebuah bank. Maka berapakah kekuatan bank itu?

Seterusnya, berapakah pula kekuatan yang dapat dihasilkan oleh dana wang baitulmal jika kesemua dana yang bertaburan di bank-bank itu dikumpulkan dalam satu ‘permodalan’? Jawapannya, sudah tentu kekuatan dana baitulmal itu mampu membeli sekurang-kurangnya sebuah bank.

Seribu Baitulmal Kecil Satu Baitulmal Besar

Setiap umat Islam sudah pasti ingin melihat sebuah baitulmal besar menguasai dunia ekonomi pada suatu hari nanti. Ini adalah kewajipan fardu kifayah yang perlu dipikul bersama-sama.

Namun mustahil sebuah baitulmal boleh menjadi besar tanpa seribu baitulmal kecil berada di bawahnya. Begitu juga mustahil seorang pemimpin mampu berkuasa tanpa seribu rakyat berada di bawahnya.

Hakikatnya setiap baitulmal negeri mempunyai baitulmal-baitulmal kecil di setiap daerah jajahannya, iaitu masjid. Ini kerana masjid juga turut menjalankan fungsi baitulmal dalam menerima sumbangan daripada masyarakat awam.

Namun kebanyakan baitulmal negeri masih tidak dapat menyatukan dana masjid-masjid daerahnya supaya dipusatkan di bawah baitulmal negeri. Sedangkan masjid-masjid berada di bawah kawalan mutlak Majlis Agama Islam Negeri dan baitulmal negeri.

Kegagalan kedua juga terus berlaku apabila baitulmal negeri pula gagal menyatukan dirinya sendiri ke dalam baitulmal kebangsaan atau Persekutuan yang lebih besar.

Ini pula akan menyebabkan kegagalan ketiga apabila baitulmal Persekutuan gagal bersatu dengan baitulmal serantau. Seterusnya kegagalan keempat akan terjadi apabila baitulmal serantau gagal bersatu dengan baitulmal sedunia yang terbesar.

Apa yang pasti, tubuh baitulmal sedunia, baitulmal serantau mahupun baitulmal Persekutuan masih belum wujud. Justeru tidaklah wajar entiti tubuh yang belum wujud itu dibebankan dengan persoalan.

Sebaliknya persoalan demi persoalan hanya terpikul di atas bahu dan tubuh baitulmal yang wujud. Pada masa ini hanya terdapat dua tahap entiti baitulmal yang wujud di bumi Malaysia ini, iaitu baitulmal di peringkat negeri (Majlis Agama Islam) dan baitulmal di peringkat daerah (masjid).

Di antara dua entiti itu, sudah tentu beban persoalan yang paling berat akan terpikul di atas bahu baitulmal yang lebih besar dan berkuasa. Siapa lagi kalau bukan baitulmal negeri yang ditadbir oleh Majlis Agama Islam Negeri.

Mencari Pemilik Baitulmal

Tidak ada seorang pun yang boleh mengucapkan bahawa “baitulmal ini aku yang punya”, walau apapun jawatan yang disandangnya. Baitulmal tidak dimiliki secara tunggal oleh seorang individu. Kalaupun ada pemilik tunggal bagi baitulmal, maka ia adalah Allah Taala.

Baitulmal atau ‘rumah harta’ sama ada rumahnya atau hartanya, kedua-duanya adalah milik seluruh ahli masyarakat. Pemerintah hanyalah pemegang amanah yang dilantik untuk berkhidmat kepada pemilik sebenar baitulmal, iaitu rakyat jelata.

Kemegahan memiliki kuasa mutlak dan tunggal tidak seharusnya bersarang dalam jiwa pentadbir baitulmal. Selagi baitulmal tidak berakar umbi di lantai rakyat jelata dan berbumbung di puncak empayar Islam, maka selagi itulah amanah pentadbir baitulmal belum tertunai.

Satu Permodalan Multi Pemilikan

Cadangan YAB Perdana Menteri untuk menubuhkan entiti baitulmal kebangsaan yang dimodelkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) atas nama Permodalan Baitulmal Kebangsaan (PBK) adalah satu langkah permulaan yang bijak.

Ini adalah langkah untuk menyatukan dana baitulmal dalam satu permodalan, bukan langkah untuk membubarkan 14 tubuh baitulmal yang sedia ada. Kesemua 14 tubuh baitulmal kecil perlu terus kekal menjadi anggota dalam tubuh sebuah baitulmal raksasa, memiliki saham tersendiri dan menikmati keuntungan mengikut ekuiti masing-masing.

Keuntungan yang terjana daripada permodalan ini akan diagih kepada setiap baitulmal mengikut jumlah saham masing-masing. Seterusnya terpulanglah kepada baitulmal negeri untuk mengagih dan menggunakan semula keuntungan daripada dana ini mengikut budi bicaranya.

Sedar atau tidak dana permulaan bagi entiti baitulmal kebangsaan ini telahpun berjaya dikutip daripada peserta konvensyen sebanyak RM2,000.00, sebagai tanda sokongan padu. Peserta yang hadir pada hari itu tentu telah menyaksikan bahawa dana itu sesungguhnya bermula daripada sen yang pertama. Namun pada penghujung konvensyen ia telah bertambah sebanyak itu.

Apakah nasib dana tunai sebanyak RM2,000.00 ini jika cadangan penubuhan entiti baitulmal kebangsaan tertangguh lagi? Maka ke baitulmal manakah dana itu akan diamanahkan?

Antara Bank dan Permodalan

Apa kata kalau anda tidak bersetuju menyatukan dana baitulmal dalam satu permodalan raksasa, tetapi anda terus menyimpan wang baitulmal anda di bank. Kemudian apa pula kata anda jika pihak bank sendiri yang menyatukan dana tersebut ke dalam satu konsortium perbankan raksasa. Anda tentu tidak dapat berkata apa-apa pada masa itu kerana bank lebih bijak dan sememangnya bijak.

Jika itu terjadi, adakah anda akan mengeluarkan kesemua wang baitulmal anda daripada bank demi mengelakkan dana baitulmal bersatu? Mustahil, kerana anda tidak memiliki walaupun sebuah bank kecil untuk menyimpan wang baitulmal.

Anda sendiri telah maklum betapa ruginya jika anda menjauhkan diri daripada bank. Tetapi adakah kini anda sedang memilih untuk melakukannya? Jika baitulmal anda ingin menjauhkan diri daripada satu permodalan besar, maka baitulmal anda juga harus bersedia untuk menjauhkan diri daripada sekecil-kecil bank.

Jika anda membantah syor tersebut, maka anda tidak seharusnya menyimpan wang baitulmal anda di bank lagi. Jika anda masih menyimpannya di bank, siapa tahu nanti bank itu akan dibeli oleh permodalan baitulmal raksasa. Maka ketika itu wang baitulmal anda akhirnya akan berada dalam genggaman baitulmal raksasa yang anda pernah melarikan diri darinya.

Dasar Fiskal Baitulmal

Kita sering terlupa dasar fiskal baitulmal yang diamalkan suatu masa dulu di zaman pemerintahan Nabi Yusuf a.s. Baginda telah melakukan manipulasi yang cekap terhadap tiga alatan fiskal iaitu hasil (sumber perbendaharaan), simpanan (pelaburan) dan perbelanjaan (agihan).

Dasar fiskal seumpama itu telah dibuktikan dalam al-Quran sebagai senjata yang cukup ampuh dalam menangani kegawatan ekonomi yang diakibatkan oleh kemarau selama tujuh tahun.

Mana-mana baitulmal atau perbendaharaan atas muka bumi ini yang cuba mengabaikan alatan fiskal yang kedua iaitu simpanan atau pelaburan, maka suatu hari ia pasti akan dibinasakan oleh serangan ekonomi.
Hanya entiti baitulmal di zaman Rasulullah sahaja yang boleh kekal tanpa alatan fiskal simpanan. Berbeza dengan Nabi Yusuf, Rasulullah telah menguruskan baitulmalnya dengan dua alatan fiskal sahaja iaitu hasil dan perbelanjaan. Ini kerana Baginda adalah penghulu segala Rasul dan menerima wahyu daripada Allah. Tentu sahaja alatan fiskal simpanan tidak dapat menandingi kehebatan wahyu.

Sementara itu dasar fiskal konvensional yang diamalkan pada hari ini tidak memberi penekanan yang besar kepada alatan simpanan. Bahkan mereka mengantikannya dengan instrumen hutang. Apabila hasil sedikit, tetapi perbelanjaan bertambah, maka hutang dijadikan alatan fiskal. Namun sebelum hasil dibelanjakan mereka terlupa alatan fiskal bernama simpanan.

Di atas dasar fiskal manakah baitulmal kita ini perlu berdiri? Adakah baitulmal kita perlu berdiri dengan kesenangan berbelanja pada hari ini dan rebah dengan hutang pada hari esok. Mengapa tidak baitulmal berdiri dengan kekangan berbelanja pada hari ini untuk menyimpan bagi mendepani keperitan hari esok?


Memiliki Bank Baitulmal Sendiri

Memahami betapa signifikannya instrumen simpanan dan pelaburan, maka baitulmal tidaklah harus mengabaikan dinamika dana wang tunai yang disimpannya di bank. Baitulmal sewajarnya menanam impian untuk memiliki banknya sendiri yang bermula dengan satu kumpulan permodalan.

Untuk itu, baitulmal negeri haruslah mendapatkan perkenan Ketua Agama Islam di negeri masing-masing. Pihak JAWHAR pula haruslah merangka segala surat cara yang diperlukan bagi merealisasikan syor ini.

Baitulmal negeri yang berminat kelak bolehlah meletakkan sejumlah dana tunai ke dalam permodalan baitulmal kebangsaan. Jika untuk permulaan ini setiap baitulmal negeri bersedia meletakkan RM10 juta, maka kumpulan wang atau permodalan baitulmal kebangsaan itu akan berjumlah RM140 juta.

Itu belum termasuk suntikan tambahan daripada masyarakat awam dan pelbagai institusi lain yang terjana daripada strategi penerokaan sumber baru dan penjenaman produk muamalat baitulmal.

Jika ini berterusan selama 7 tahun, maka dana pokoknya sahaja akan mencecah angka bilion, tidak termasuk keuntungan yang sudah tentu berlipat ganda di dunia dan di akhirat.

Penulis adalah Ketua Unit Syariah di Majlis Agama Islam Selangor. Penulis juga merupakan salah seorang pembentang kertas kerja dalam Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009 bertajuk “Pemerkasaan Entiti dan Sumber Perbendaharaan Baitulmal Melalui Dinamika Muamalat dan Undang-Undang Syariah”. http://www.juraish.blogspot.com/

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus