Tuesday, July 12, 2011

HUJAH: Suami Terselamat Daripada Disabitkan TALAK TIGA



KES ini telah diputuskan oleh Mahkamah Syariah pada hari ini dengan mensabitkan jatuh talak SATU. Alhamdulillah jodoh anakguam masih panjang, terselamat daripada talak TIGA. Lain kali jangan main-main talak di luar Mahkamah. Jangan sesuka hati je nak sebut bilangan talak yang pelik-pelik. Pengajaran untuk para suami di luar sana....




HUJAH PENGGULUNGAN PLAINTIF

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.


PENDAHULUAN

Pihak-Pihak
1. Plaintif adalah XXX yang bermastautin di …., Jalan Sri Tanjung, Kampung Baru HICOM, Seksyen 26, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Kad Pengenalan Plaintif telah dikemukakan sebagai keterangan dokumentar dan ditanda sebagai P1 dan akuan mastautin Plaintif ditanda sebagai P2.

2. Defendan adalah yyy, No. K.P.P.N: … yang tinggal di alamat yang sama seperti Plaintif. Defendan adalah isteri Plaintif melalui pernikahan kali kedua dengan pihak Plaintif pada 24hb April , 2004 di 3-32, Kampung Ulu Kuang, 31200 Chemor, Perak berwalikan bapa kandung Defendan. Surat Perakuan Nikah Plaintif nombor siri 153967 bil. daftar 32/2004/105/01 dikemukakan kepada Mahkamah dan sebagai P3.

3. Hasil perkahwinan Plaintif dan Defendan mereka dikurniakan dua (2) orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan, iaitu …. yang lahir pada 13/07/2001 dan …. yang lahir pada 04/05/2005. Sijil Kelahiran anak-anak tersebut ditanda sebagai P4a dan P4b.

4. Dalam perkahwinan terdahulu yang diakadkan pada 22hb Mei 2000, Plaintif dan Defendan pernah bercerai dengan talaq satu (1) kali pertama berjumlah satu (1) talaq iaitu pada 19hb Ogos 2003. Surat perakuan cerai Plaintif ditanda sebagai P5 dan surat perakuan nikah Plaintif yang terdahulu ditanda sebagai ID6.

Jenis Tuntutan
5. Kes ini merupakan tuntutan pengesahan lafaz cerai luar Mahkamah di bawah seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Kes ini dimulai dengan Saman bertarikh 21/10/2010 yang difailkan sendiri oleh Plaintif dan Pernyataan Tuntutan Pindaan yang difailkan oleh Peguam Syarie Plaintif bertarikh 17/01/2011.


Kehadiran dan Perwakilan
6. Dalam permohonan ini, Plaintif telah hadir dan diwakili oleh Peguam Syarie Juraish Bin Kamaruddin daripada Tetuan Juraish Syariah Associates melalui wakalah bertarikh 02/12/2010. Manakala Defendan hadir bersendirian tanpa diwakili Peguam Syarie sepanjang prosiding kes berjalan.

KETERANGAN PLAINTIF

7. Keterangan utama Plaintif dibuat secara lisan dan melalui Affidavit Pernyataan Plaintif bertarikh 18 April 2011. Antara lain keterangan Plaintif adalah seperti berikut:

- Plaintif memohon pengesahan lafaz cerai terhadap Defendan, iaitu isterinya yyy.

- Plaintif telah mengesahkan Affidavit Pernyataan yang diikrarkannya pada 18hb April 2011 dari perenggan 1 hingga 30 adalah benar. Plaintif juga menegaskan dan bersetuju serta bertanggungjawab dengan kandungan affidavit tersebut dan bersetuju menjadikannya sebagai keterangan utama beliau dalam Mahkamah ini tanpa sebarang pindaan.

- Pada 15/10/2010 jam 9.30 pagi, di kilang tempat kerja Plaintif, Plaintif telah melafazkan cerai terhadap Defendan melalui telefon dengan lafaz: “AKU CERAI KAU TALAQ 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10”. Ketika itu Plaintif sedang berkerja di kilang manakala Defendan pula berada di rumah. Defendan sedang haid ketika lafaz dibuat. Lafaz tersebut tidak didengari oleh sesiapa pun melainkan Plaintif dan Defendan sahaja (tiada saksi).

- Lafaz tersebut dibuat oleh Plaintif dalam keadaan sedar dan waras, walaupun Plaintif ketika itu dalam keadaan tertekan dengan panggilan telefon tersebut yang dibuat oleh Defendan melalui telefon bimbit supervisor Plaintif berbangsa Cina.

- Menurut Plaintif, maksud “KAU” di dalam lafaz tersebut ialah Defendan iaitu isteri Plaintif yang bernama yyy. Plaintif yakin suara di dalam telefon tersebut adalah suara Defendan.

- Dalam keterangan tambahan Plaintif bertarikh 23 Mei 2011, Plaintif menyatakan bahawa beliau ada berhenti selama 2 saat selepas menyebut “AKU CERAI KAU TALAQ 1” kemudian baru diikuti dengan lafaz seterusnya “2,3,4,5,6,7,8,9,10” yang disebut tanpa berhenti.

- Ketika disoal oleh Mahkamah, Plaintif memberitahu bahawa selepas Plaintif menyebut “AKU CERAI KAU TALAQ 1” Plaintif ada mendengar Defendan masih bercakap lagi (dalam telefon tersebut), lalu selepas itu Plaintif menyebut “2,3,4,5,6,7,8,9,10”.

- Tujuan Plaintif menyebut “2,3,4,5,6,7,8,9,10” ialah untuk memberhentikan perbualan antara Plaintif dan Defendan dan untuk mengelak daripada mendengar suara Defendan dalam panggilan telefon tersebut serta untuk melepaskan rasa tertekan. Plaintif menyebut “2,3,4,5,6,7,8,9,10” seperti membilang secara sepontan. Setelah selesai menyebut “2 hingga 10”, Plaintif mendapati Defendan telah meletakkan telefon. Lalu Plaintif berhenti membilang angka seterusnya dan terus meletakkan telefon.

- Plaintif menyatakan bahawa beliau hanya ada berniat talaq satu ketika melafazkan lafaz cerai di atas.

- Sementara menanti keputusan Mahkamah Yang Mulia ini, Plaintif dan Defendan telah memohon untuk mendaftarkan rujuk di Pejabat Agama Islam Daerah Petaling pada 21/10/2010, iaitu dalam tempoh iddah. Borang permohonan mendaftarkan rujuk tersebut telah dikemukakan kepada Mahkamah ini dan ditanda sebagai P7.


KETERANGAN DEFENDAN
8. Dalam keterangan utama Defendan bertarikh 23/05/2011, Defendan memberi keterangan seperti berikut:

- Defendan mengakui telah mendengar dan faham semua keterangan Plaintif yang diberikan di dalam Mahkamah ini.

- Defendan tidak bersetuju tentang lafaz cerai. Defendan hanya mendengar Plaintif berkata “AKU CERAI KAN…” sahaja. Perkataan “KAU” Defendan tidak dengar.

- Defendan bersetuju dengan tarikh, tempat dan masa yang dinyatakan oleh Plaintif.

- Menurut Defendan beliau dengar Plaintif menyebut, “AKU CERAIKAN TALAQ 1, 2, 3, 4” sahaja.

- Ketika lafaz tersebut dibuat Defendan sedang dalam keadaan haid. Defendan mengakui bahawa beliau faham maksud lafaz tersebut. Defendan juga faham kesan lafaz tersebut terhadap perkahwinannya yang boleh menyebabkan jatuh talaq.

- Defendan menjelaskan kepada Mahkamah, ketika itu beliau dan Plaintif bertengkar di dalam telefon. Malah sebelum lafaz tersebut dibuat, pada sebelah malamnya Plaintif dan Defendan sudah bergaduh dan pergaduhan tersebut membawa ke waktu siang.

- Menurut Defendan, Plaintif ada berkata kepadanya: “tak lalu hidup macam ni. Susah la hidup macam ni. Kalau macam ni, kita berpisahlah”. Kemudian Defendan cakap: “Suka hatilah”. Selepas itu Plaintif lafaz cerai seperti di atas.

- Sebelum ini, Plaintif dan Defendan pernah bercerai talaq satu. Kemudian nikah semula.

Soal Balas Defendan
- Dalam menjawab soal balas dari Peguam Syarie Plaintif, Defendan menyatakan memang terdapat selang masa antara lafaz “TALAQ 1” dan “2,3,4…”. Selang masa tersebut lebih kurang dalam 2 saat hingga 3 saat.


PENGHUJAHAN FAKTA PERSOALAN

Yang Arif,

9. Berdasarkan kepada keterangan yang dikemukakan oleh pihak-pihak kepada Mahkamah ini, maka terdapat beberapa isu utama yang perlu diperbahaskan seperti mana berikut:

i) Adakah Mahkamah ini berbidang kuasa mendengar permohonan ini.

ii) Apakah bunyi lafaz talaq sebenar yang disebut oleh Plaintif.

iii) Adakah lafaz talaq tersebut sah dan menggugurkan talaq

iv) Berapakah bilangan talaq yang jatuh berdasarkan lafaz tersebut.


ISU 1: Adakah Mahkamah ini berbidang kuasa mendengar permohonan ini.

10. Berdasarkan kepada maklumat pengenalan diri Plaintif di dalam kad pengenalan Plaintif yang bertanda P1, status pemastautinan Plaintif berdasarkan kepada akaun pemastautinan bertanda P2, dan dokumen perkahwinan Plaintif bertanda P3, maka kami menghujahkan bahawa Mahkamah ini adalah berbidang kuasa mendengar permohonan ini selari dengan peruntukan seksyen 4 dan 45 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.


ISU 2: Apakah bunyi lafaz talaq sebenar yang disebut oleh Plaintif.

11. Berdasarkan kepada keterangan Plaintif dan Defendan, terdapat perbezaan dakwaan mengenai bunyi lafaz talaq yang diucapkan oleh Plaintif iaitu seperti berikut:

i) DAKWAAN PLAINTIF: “AKU CERAI KAU TALAQ 1,2,3,4,5,6,7,8,9,10”

ii) DAKWAAN DEFENDAN: “AKU CERAI KAN TALAQ 1,2,3,4”


12. Perbezaan lafaz tersebut dapatlah disimpulkan kepada dua perkara iaitu:

i) Perkataan yang disebut sama ada “KAU” atau “KAN”

ii) Bilangan sama ada disebut “1,2,3,4” atau “1,2,3,4,5,6,7,8,9,10”

13. Memandangkan kedua-dua pihak tidak mengemukakan saksi masing-masing, maka dalam persoalan lafaz talaq, menurut Hukum Syarak perkataan atau dakwaan pihak suami adalah lebih utama dan boleh diterima dengan bersumpah, kerana talaq adalah hak suami dan suamilah yang melafazkan talaq itu justeru sudah tentu suami lebih tahu apa yang dilafazkannya berbanding isteri yang mendengarnya kerana boleh jadi isteri tersalah dengar, mendengar sebahagian lafaz atau terlupa. Justeru lafaz yang perlu diterima oleh Mahkamah ini ialah lafaz sepertimana yang didakwa oleh Plaintif selaku suami dan bukannya lafaz seperti mana yang didengar atau didakwa oleh Defendan.


14. Walaupun demikian, berdasarkan kepada keterangan kedua-dua pihak berkaitan lafaz talaq tersebut, kedua-dua pihak bersetuju terhadap beberapa fakta penting bahawa:

i) Lafaz talaq bermula dengan “TALAQ 1” (TALAQ SATU) bukan bermula dengan “TALAQ 2” (TALAQ DUA).

ii) Terdapat selang masa selama 2 saat antara lafaz “TALAQ 1” dan “2,3,4,…. dan seterusnya”.

iii) Tidak terdapat perkataan lain disebut antara “TALAQ 1” dan “2,3,4 …. dan seterusnya”.

iv) Perkataan “TALAQ” hanya disebut pada “TALAQ 1” dan tidak disebut atau diulang pada perkataan “2,3,4 dan seterusnya”

15. Justeru dapatlah disimpulkan bahawa lafaz talaq sebenar yang diucapkan oleh Plaintif adalah berbunyi seperti berikut: “AKU CERAI KAU TALAQ 1. (berhenti selama 2 saat) 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10”.


ISU 3: Adakah lafaz talaq tersebut sah dan menggugurkan talaq.

16. Kami menghujahkan bahawa lafaz talaq tersebut adalah sah menurut Hukum Syarak dan menjatuhkan talaq. Ini kerana ia telah memenuhi kesemua rukun talaq seperti mana berikut:

i) ORANG YANG MELAFAZKAN TALAQ (AL-MUTALLIQ): iaitu Plaintif selaku suami yang sah.

ii) TEMPAT YANG HENDAK DIJATUHKAN TALAQ (AL-MAHAL): iaitu Defendan selaku isteri yang sah.

iii) KUASA MENTALAQKAN (AL-WILAYAH): iaitu wujudnya sifat mukallaf yang sempurna bagi Plaintif untuk melakukan tasarruf dengan sendirinya, iaitu berkuasa menjatuhkan talaq yang telah dibuat secara sedar, sukarela, tanpa sebarang paksaan atau sebarang halangan yang menafikan kuasa Plaintif menjatuhkan talaq.

iv) LAFAZ TALAQ (AL-SIGHAH): iaitu lafaz talaq secara soreh menggunakan perkataan “CERAI” dalam bahasa Melayu yang dapat difahami dengan jelas dan telah diucapkan secara lisan oleh Plaintif kepada Defendan. Lafaz tesebut juga jelas mengandungi kata sandaran yang ditujukan kepada suami iaitu “AKU” dan isteri iaitu “KAU”.

v) NIAT (AL-QASD): iaitu wujudnya niat dalam hati Plaintif selaku suami bahawa lafaz talaq tersebut diniatkan dengan talaq satu.


ISU 4: Berapakah bilangan talaq yang jatuh berdasarkan lafaz tersebut.


17. Bagi menentukan berapakah jumlah talaq yang jatuh dalam lafaz talaq yang diucapkan oleh Plaintif maka perkataan dan struktur ayat dalam lafaz talaq tersebut perlulah diteliti satu persatu. Secara ringkasnya beberapa faktor perlu dipertimbangkan seperti berikut:

i) Kesan wujudnya selang masa atau (fasl) antara perkataan “TALAQ 1” dan bilangan-bilangan lain selepasnya.

ii) Kesan perkataan ‘talaq’ hanya disebut pada “TALAQ 1” dan tidak disebut perkataan ‘talaq’ pada bilangan-bilangan lain selepasnya.

iii) Kesan perkataan ‘dan’ atau apa-apa kata penghubung tidak disebutkan antara perkataan “TALAQ 1” dan bilangan-bilangan lain selepasnya.


FAKTOR 1: KESAN WUJUDNYA SELANG MASA ATAU (FASL) ANTARA PERKATAAN ‘TALAQ 1’ DAN BILANGAN-BILANGAN LAIN SELEPASNYA

18. Berdasarkan keterangan Plaintif, dalam lafaz talaq tersebut didapati wujud selang jarak masa selama dua (2) saat antara perkataan “TALAQ 1” dan “ perkataan “2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10”. Tempoh 2 saat tersebut adalah kadar masa yang mencukupi untuk mengambil sekurang-kurangnya satu nafas atau lebih. Justeru kami menghujahkan bahawa jarak masa 2 saat tersebut adalah memadai bagi memisahkan antara perkataan “TALAQ 1” dan perkataan “2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10” kepada dua ayat yang berlainan.

19. Dengan erti kata lain, selang jarak masa selama tempoh 2 saat ini memberi kesan bahawa perkataan “AKU CERAI KAU TALAQ 1” dan perkataan “2,3,4,5,6,7,8,9,10” menjadi dua ayat yang berbeza dan tidak berhubung antara satu sama lain, di mana setiap ayat membawa maknanya yang tersendiri tanpa bersandar kepada ayat yang lain.

20. Bagi menyokong hujahan ini, kami merujuk kepada pandangan al-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj, jilid 4, halaman 480 yang menerangkan mengenai selang masa atau fasl ((الفصل dalam lafaz talaq seperti mana berikut:

( وَإِنْ ) أَتَى بِثَلَاثِ جُمَلٍ تَكَرَّرَ فِيهَا لَفْظُ الْمُبْتَدَأِ وَالْخَبَرِ كَأَنْ ( قَالَ ) لِمَدْخُولٍ بِهَا (أَنْتِ طَالِقٌ ، أَنْتِ طَالِقٌ ، أَنْتِ طَالِقٌ ، وَتَخَلَّلَ فَصْلٌ فَثَلَاثٌ ) سَوَاءٌ أَقَصَدَ التَّأْكِيدَ أَمْ لَا ؛ لِأَنَّهُ خِلَافُ الظَّاهِرِ
تَنْبِيهٌ : الْمُرَادُ بِالْفَصْلِ أَنْ يَسْكُتَ فَوْقَ سَكْتَةِ التَّنَفُّسِ .
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran A)

Bermaksud: “Jika suami mendatangkan tiga ayat yang berulang-ulang padanya lafaz mubtada’ (subjek) dan khabar (predikat) seperti berkata kepada isteri yang telah disetubuhi: Kamu tertalaq, kamu tertalaq, kamu tertalaq, dan diselangi jarak masa, maka jatuhlah tiga talaq, sama ada dia berniat ta’kid (menguatkan) atau sebaliknya, kerana niat tersebut menyalahi maksud yang zahir. (Huraian:Talaq tiga berlaku dalam masalah ini kerana dengan wujudnya selang masa antara setiap lafaz talaq, maka kesemua lafaz talaq dikira sebagai lafaz yang berasingan, kerana itu adalah maksud yang zahir bagi kewujudan selang masa, di mana setiap lafaz membawa maksud tersendiri iaitu satu talaq, yang menjadikan kesemua lafaz menjadi tiga talaq)

Peringatan:Yang dimaksudkan dengan jarak masa ialah diam sejenak melebihi kadar satu nafas.


21. Berdasarkan pandangan al-Syarbini di atas, maka dapatlah difahami bahawa maksud fasl atau jarak masa yang muktabar ialah kadar berhenti sejenak melebihi satu nafas.

22. Kami menghujahkan selanjutnya bahawa jarak masa selama 2 saat yang wujud antara lafaz talaq “AKU CERAI KAU TALAQ 1” dan lafaz seterusnya adalah jarak masa yang melebihi kadar satu nafas dan diterima sebagai al-fasl bagi memisahkan antara dua lafaz.

23. Bagi mengukuhkan lagi hujahan di ayas, kami juga merujuk kepada pandangan al-Ramli dalam kitab Nihayah al-Muhtaj, jilid 6, halaman 459 yang menerangkan mengenai selang masa atau fasl ((الفصل dalam masalah lafaz talaq yang sama iaitu seperti mana berikut:

( وَلَوْ ) ( قَالَ أَنْتِ طَالِقٌ أَنْتِ طَالِقٌ أَنْتِ طَالِقٌ ) أَوْ أَنْتِ طَالِقٌ طَالِقٌ طَالِقٌ ( وَتَخَلَّلَ فَصْلٌ ) بَيْنَهُمَا بِسُكُوتٍ أَوْ كَلَامٍ مِنْهَا أَوْ مِنْهُ بِأَنْ يَكُونَ فَوْقَ سَكْتَةِ تَنَفُّسٍ وَعِيٍّ (فَثَلَاثٌ) يَقَعْنَ وَلَوْ مَعَ قَصْدِ التَّأْكِيدِ لِبُعْدِهِ مَعَ الْفَصْلِ وَلِأَنَّهُ مَعَهُ خِلَافُ الظَّاهِرِ
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran B)

Bermaksud: “Jika suami berkata: Kamu tertalaq, kamu tertalaq, kamu tertalaq atau: Kamu tertalaq, tertalaq, tertalaq dan diselangi jarak masa antara keduanya dengan diam suami atau dengan percakapan dari isteri atau percakapan dari suami dengan kadar melebihi satu nafas atau jeritan, maka jatuhlah talaq tiga walaupun dengan niat ta’kid kerana berjauhannya niat ta’kid itu bersama jarak masa dan kerana niat ta’kid tersebut bersama dengan berlalunya jarak masa adalah menyalahi maksud yang zahir.


24. Berdasarkan kepada pandangan al-Ramli di atas, kadar jarak masa juga boleh diukur dengan diselangi oleh percakapan lain sama ada daripada pihak suami atau isteri.

25. Dalam kes ini juga, sememangnya didapati ada berlaku percakapan dari Defendan iaitu pihak isteri selepas Plaintif menyebut lafaz “AKU CERAI KAU TALAQ 1”. Plaintif ada mendengar suara Defendan bercakap selepas menyebut lafaz “AKU CERAI KAU TALAQ 1”. Untuk menghentikan percakapan dengan Defendan, Plaintif seterusnya melafazkan perkataan “2,3,4,5,6,7,8,9,10”.

26. Justeru, bersandar kepada faktor ini, maka lafaz talaq yang signifikan atau berkaitan untuk diputuskan oleh Mahkamah dalam kes ini hanyalah ayat yang berbunyi “AKU CERAI KAU TALAQ 1”. Manakala ayat “2,3,4,5,6,7,8,9,10” tidak membawa sebarang maksud atau kesan dalam memahami lafaz talaq atau ayat sebelumnya kerana telah diselangi oleh fasl atau jarak masa 2 saat yang melebihi kadar satu nafas.

27. Perkara ini juga selari dengan niat Plaintif yang ada berniat talaq satu dalam lafaz “AKU CERAI KAU TALAQ 1”. Manakala perkataan “2,3,4,5,6,7,8,9,10” yang hanya diniatkan sekadar membilang secara spontan bagi menghentikan percakapan dengan Defendan, adalah selari dengan zahir lafaz kerana telah disertai dengan fasl atau berhenti seketika dalam tempoh yang mencukupi.

28. Oleh yang demikian, berdasarkan kepada lafaz talaq di atas, maka kami menghujahkan bahawa jumlah talaq yang jatuh dalam lafaz tersebut adalah SATU TALAQ sahaja.


FAKTOR 2: KESAN PERKATAAN ‘TALAQ’ HANYA DISEBUT PADA ‘TALAQ 1’ DAN TIDAK DISEBUT PERKATAAN ‘TALAQ’ PADA BILANGAN-BILANGAN LAIN SELEPASNYA.

29. Bagi menguatkan maksud talaq satu di atas, kami juga ingin membahaskan berkaitan dengan ungkapan perkataan ‘talaq’ yang hanya disebut pada perkataan “TALAQ 1” tetapi tidak disebut pada bilangan-bilangan lain selepasnya. Hal ini menunjukkan bilangan-bilangan lain dari 2 hingga 10 yang disebutkan oleh Plaintif tidak ada kaitan dengan maksud talak yang dilafazkan oleh Plaintif sebelumnya.

30. Bagi menyokong penghujahan ini, kami merujuk kepada pandangan yang dinukilkan oleh Al-Nawawi dalam kitab Raudah al-Talibin, jilid 6, (Bab Talaq), halaman 78 yang mendatangkan beberapa permasalahan furu’ mengenai hukum apabila perkataan ‘talaq’ tidak disebut pada bilangan yang berkaitan dengannya iaitu:
قَالَ أَنْتِ طَالِقٌ نِصْفَ طَلْقَةٍ, أو ثُلُثَ وَرُبُعَ وَسُدُسَ طَلْقَةٍ, لاَ يَقَعُ إِلاَّ طَلْقَةً وَلَوْ كَرَّرَ لَفْظَةَ الطَّلْقَةِ فَقَالَ: ثُلُثَ طَلْقَةٍ, وَرُبُعَ طَلْقَةٍ, وَسُدُسَ طَلْقَةٍ, طُلِقَتْ ثَلاَثاً عَلَى الْمَذْهَبِ, وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُوْرُ.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran C)

Bermaksud: Suami berkata (kepada isterinya): “Kamu tertalaq dengan setengah talaq”, atau: “(Kamu tertalaq) dengan sepertiga dan seperempat dan seperenam talaq”; tidak jatuh melainkan satu talaq. (Huraian: Ini kerana dalam masalah terakhir perkataan’talaq’ disebut sekali pada penghujung bilangan yang menyebabkan kesemua bilangan sebelumnya dihimpunkan bersekali yang keseluruhannya berjumlah 9/12 (atau ¾) yang mana adalah dikira sebagai satu talak.

Manakala sekiranya suami itu mengulangi perkataan / lafaz ‘talaq’ dengan berkata:“(Kamu tertalaq) dengan sepertiga talaq, dan seperempat talaq, dan seperenam talaq” maka tertalaqlah isterinya dengan tiga talaq menurut apa yang difatwakan di dalam Mazhab Syafie, dan demikian juga pendapat yang diputuskan oleh Jumhur Fuqaha’. Huraian: Ini kerana lafaz ‘talaq’ disebut berulang pada setiap bilangan yang menyebabkan setiap pecahan bilangan dikira jatuh satu talaq. Manakala perkataan ‘DAN’ menghimpunkan keseluruhan bilangan talaq menjadi 3 talaq.


31. Berdasarkan kepada pandangan Al-Nawawi di atas, dapatlah difahami bahawa menyebut perkataan “TALAQ” pada sesuatu bilangan akan memberi maksud yang berbeza berbanding sekiranya perkataan “TALAQ” tidak disebutkan pada bilangan itu.

32. Kami merujuk semula kepada lafaz talaq yang disebut oleh Plaintif dalam kes ini hanyalah sekali sahaja iaitu dalam lafaz: “AKU CERAI KAU TALAQ 1”. Manakala pada bilangan seterusnya tidak disebutkan perkataan “TALAQ 2, TALAQ 3, dan seterusnya”. Bahkan hanya disebutkan “2,3,4,5,6,7,8,9,10”.

33. Oleh yang demikian, berdasarkan kepada faktor ini, bilangan “2,3,4,5,6,7,8,9,10” yang disebutkan oleh Plaintif tanpa mengulang perkataan “TALAQ” adalah tidak boleh dikaitkan dengan maksud talaq.

34. Untuk memahami dengan lebih jelas kesan apabila perkataan “TALAQ” tidak disebut pada sesuatu bilangan, kami sekali lagi memetik pandangan al-Nawawi dalam kitab Raudhah al-Talibin, jilid 6, halaman 79 yang berbunyi:


وَلَوْ قَالَ أَنْتِ طَالِقٌ نِصْفَ ثُلُثَ سُدُسَ وَلَمْ يَقُلْ طَلْقَةً وَقَعَ طَلْقَةً بِقَوْلِهِ أَنْتِ طَالِقٌ.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran D)

Bermaksud: Dan sekiranya suami berkata: “Kamu tertalaq setengah, sepertiga, seperenam” dan dia tidak menyebut perkataan “TALAQ”, jatuhlah satu talaq dengan perkataannya “Kamu tertalaq”. (Huraian:Ini kerana perkataan talaq tidak disebutkan pada kesemua bilangan tadi, maka jumlah talaq tidak dapat dikira berdasarkan kepada mana-mana bilangan tersebut. Oleh sebab itu jatuhlah satu talaq berdasarkan perkataan “Kamu tertalaq” kerana bilangan satu talaq adalah bilangan yang asal dan yakin.”

35. Menurut pandangan al-Nawawi tersebut, apabila perkataan “TALAQ” tidak disebutkan pada bilangan yang diucapkan, maka bilangan itu tidak boleh diambil kira dalam menentukan jumlah talaq.

36. Dalam kes ini adalah ternyata kepada Mahkamah ini bahawa perkataan “TALAQ” tidak disebut atau diulang oleh Plaintif pada bilangan-bilangan yang diucapkannya melainkan pada “TALAQ 1”. Justeru bilangan-bilangan tersebut iaitu “2,3,4,5,6,7,8,9,10” tidak boleh diambil kira dalam menentukan jumlah talaq.


FAKTOR 3: KESAN PERKATAAN ‘DAN’ ATAU APA-APA KATA PENGHUBUNG TIDAK DISEBUTKAN ANTARA PERKATAAN ‘TALAQ 1’ DAN BILANGAN-BILANGAN LAIN SELEPASNYA.


37. Bagi mengukuhkan lagi maksud talaq satu seperti di atas, kami merujuk pula kepada faktor ketiga iaitu ketiadaan perkataan ‘DAN’ atau kata penghubung lain antara perkataan ‘TALAQ 1’ dan perkataan “2,3,4,5,6,7,8,9,10”. Ketiadaan perkataan “DAN” ini menyebabkan ia terputus daripada ayat atau perkataan selepasnya. Justeru perkataan atau ayat selepas perkataan “AKU CERAI KAU TALAQ 1” tidak boleh diambil kira dalam memahami lafaz talaq di atas.

38. Bagi menyokong hujahan ini, kami sekali lagi merujuk kepada pandangan yang dinukilkan oleh Al-Nawawi dalam kitab Raudah al-Talibin, jilid 6, (Bab Talaq), halaman 78 yang menyatakan permasalahan furu’ jika perkataan ‘dan’ tidak disebut dalam lafaz talaq, iaitu:


وَلَوْ لمَ ْ يُدْخِلِ الْوَاوَ, فَقَالَ: أَنْتِ طَالِقٌ ثُلُثَ طَلْقَةٍ, رُبُعَ طَلْقَةٍ, سُدُسَ طَلْقَةٍ, لمَ ْيَقَعْ إِلاَّ طَلْقَةً لأَِنَّهُ إِذَا لَمْ يُدْخِلِ الْوَاوَ, كَانَ الْجَمِيْعُ بِمَنْزِلَةِ كَلِمَةٍ وَاحِدَةٍ

Bermaksud: “Dan sekiranya suami itu tidak memasukkan perkataan ‘DAN’ lalu dia berkata: “Kamu tertalaq sepertiga talaq, seperempat talaq, seperenam talaq”, tidak jatuh melainkan satu talaq kerana apabila suami tidak memasukkan perkataan ‘DAN’, maka keseluruhan pecahan bilangan itu dikira bersekali sebagai satu perkataan. (Huraian: yakni kesemua pecahan bilangan digabungkan menjadi 9/12 yang dikira satu talaq. Berbeza dengan masalah sebelumnya apabila suami memasukkan perkataan “DAN” serta turut disebut perkataan “TALAQ” bagi setiap bilangan, maka jatuhlah 3 talaq.)


39. Dalam kes ini, Plaintif tidak ada menyebut perkataan “DAN” atau apa-apa kata penghubung lain antara perkataan “TALAQ 1” dan bilangan selepasnya iaitu “2,3,4,5,6,7,8,9,10”. Bahkan seperti yang telah dihujahkan, Plaintif telah berhenti selepas menyebut “TALAQ 1”. Ini meyakinkan lagi bahawa Plaintif sememangnya tidak bermaksud untuk menghubungkan antara perkataan “TALAQ 1” dan bilangan-bilangan lain selepasnya. Bahkan tujuan atau niat sebenar Plaintif menyebutkan bilangan-bilangan tersebut seperti membilang secara spontan adalah untuk menghentikan percakapan dengan Defendan. Niat dan tujuan Plaintif tersebut telah terlaksana apabila Defendan telah meletakkan telefon setelah Plaintif selesai membilang 2 hingga 10.


KESIMPULAN

Yang Arif,

40. Berdasarkan kepada keterangan pihak-pihak dan hujahan di atas, Plaintif dengan penuh tawaduknya memohon supaya Mahkamah ini menerima maksud dan niat Plaintif dalam keseluruhan lafaz talaq tersebut bahawa ia adalah bermaksud talaq satu dan bahawa perkataan “2,3,4,5,6,7,8,9,10” yang diucapkan oleh Plaintif selepas lafaz talaq tersebut adalah tidak berkaitan dengan jumlah talaq atas alasan-alasan yang dinyatakan.

41. Oleh yang demikian, Plaintif memohon agar Mahkamah ini mengesahkan bahawa perceraian ini adalah perceraian dengan talaq satu secara talaq rajie kali kedua berjumlah dua talaq dan mengeluarkan apa-apa perintah yang perlu dan suai manfaat menurut Hukum Syarak.


Bertarikh pada haribulan tahun 2011.

Disediakan dan dihujahkan dengan suci hati oleh:


……………………….
Peguam Syarie bagi Plaintif

Thursday, March 3, 2011

MENCARI RELIF BARU BAGI MENANGANI ISU HARTA DAN KELUARGA DI MAHKAMAH SYARIAH


Setelah melepasi tempoh setahun dalam menguruskan firma guaman sendiri, saya mendapati masih banyak peranan yang perlu dimainkan oleh Peguam Syarie dalam membantu Mahkamah Syariah dalam memberikan hak dan keadilan kepada masyarakat Islam. Mungkin masih banyak bentuk kes baru yang belum pernah dikemukakan kepada Mahkamah Syariah bagi mencari relif yang bersesuaian. Justeru perlulah Peguam Syarie membuat penyelidikan mendalam dan mencari hujah dan asas perundangan bagi mencari relif yang terbaik melalui Mahkamah Syariah dan tidak sekadar melakukan pengulangan pliding atau hujah atau meneruskan kebiasaan prosedur. Sekali sekala apa salahnya cuba mencari pendekatan baru dan berfikir melepasi kotak pemikiran normal.


Sebagai contoh dalam isu hadhanah anak angkat, penjagaan anak (kafalah) yang melepasi usia mumayyiz, penjagaan anak (walayah) yang melepasi usia baligh, penjagaan ahli keluarga yang kurang upaya atau usia emas, penjagaan anak laqit (yang tidak didaftar sebagai anak angkat), hak jagaan ibu bapa yang berusia.


Contoh lain dalam isu perkahwinan ialah pendaftaran nikah poligami (tanpa kebenaran Mahkamah) dengan cara pembuktian yang ringkas tetapi meyakinkan Mahkamah, permohonan kebenaran nikah poligami dengan perbicaraan yang mudah dan pantas berdasarkan pliding bertulis yang lengkap dan keterangan dokumentar yang memadai, isu penjelasan dan pembuktian lafaz talaq tiga, pengesahan rujuk setelah tamat tempoh iddah dan setelah isteri tersebut berkahwin dengan lelaki lain, pensabitan nasab anak wati' syubhah yang dinafikan.


Contoh dalam isu harta pula ialah pembahagian harta sepencarian selepas poligami, pembahagian pusaka daripada harta KWSP yang mempunyai penama tetapi enggan membahagikannya menurut faraid, prospek baru harta sepencarian KWSP, pembahagian sebahagian harta sepencarian sementara menanti pembahagian penuh, pemberian hibah dan pemindahan hak dilaksanakan ketika hidup dengan kuasa untuk membatalkan hibah diberi kepada penghibah, penulisan wasiat yang praktikal dan mudah dikuatkuasakan menerusi pengendorsan Mahkamah tanpa memerlukan perbicaraan, pewujudan wakaf khas kepada ahli keluarga dan keturunannya secara perkongsian dengan aset bertambah dan hakmilik tidak boleh dilupuskan.


Semoga dengan coretan yang serba ringkas ini dapatlah kita sama-sama mencari jalan dan berinovasi dalam memperbaiki mutu perundangan dan kepeguaman syariah seperti mana motto firma kami: "Menuntut Demi Keadilan, Membela Dari Kezaliman"

Saturday, February 12, 2011

HUJAH: Isu Bidangkuasa Mendengar Tuntutan Harta Sepencarian (Akibat Kematian Suami/Isteri)


Dalam entri kali ini dikongsikan penghujahan kami (selaku Peguam Syarie Plaintif-isteri kedua si mati) berkaitan bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah Selangor mendengar kes tuntutan harta sepencarian akibat kematian salah satu pihak kepada perkahwinan. Dalam hal ini Mahkamah telah memutuskan berbidangkusa mendengar tuntutan tersebut disebabkan antara lain pemastautinan Defendan (isteri pertama si mati dll) dan kedudukan harta yang dituntut adalah di dalam Negeri Selangor. Justeru bantahan awal Defendan yang mendakwa Mahkamah tidak berbidangkuasa mendengar kes tersebut kerana Plaintif bukan pemastautin dalam Negeri Selangor adalah ditolak.

Berikut adalah petikan daripada hujah tersebut untuk dikongsikan bersama.

ISU 1: SAMA ADA MAHKAMAH INI BERBIDANG KUASA MENDENGAR TUNTUTAN HARTA SEPENCARIAN PLAINTIF YANG BUKAN MERUPAKAN PEMASTAUTIN DALAM NEGERI SELANGOR.

1. Dengan rendah diri dan suci hatinya, kami menghujahkan bahawa tanpa menafikan bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah di negeri lain, Mahkamah Yang Mulia ini adalah berbidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan tindakan ini, yang dimulakan oleh Plaintif selaku seorang pemastautin dalam Negeri Perak Darul Ridzuan atas alasan-alasan berikut:

ALASAN PERTAMA:

2. Pemakaian klausa pengecualian dalam seksyen 4 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:

“Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, Enakmen ini terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal dalam Negeri Selangor dan bagi semua orang Islam yang bermastautin dalam Negeri Selangor tetapi tinggal di luar Negeri itu.

3. Seksyen tersebut dengan jelas dimulakan dengan klausa pengecualian ‘kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya’ yang mana adalah memberi maksud bahawa status pemastautinan pihak-pihak dalam Negeri Selangor bukanlah penentu mutlak kepada bidang kuasa Mahkamah ini kerana di sana terdapat beberapa pengecualian yang perlu diambil kira.

4. Bagi membuktikan perkara tersebut, Plaintif dengan hormat merujuk kepada kes tuntutan harta sepencarian yang diakibatkan oleh perceraian antara pihak-pihak dalam perkahwinan, di mana penghakiman terkini menetapkan bahawa Mahkamah yang berbidang kuasa mendengar tuntutan tersebut hanyalah Mahkamah di mana tempat perceraian dibuat, tanpa mengambil kira Negeri di mana pihak-pihak bermastautin pada masa permohonan difailkan. Ini boleh dirujuk dalam Arahan Amalan No. 6 Tahun 2003 yang menyatakan seperti berikut:

Penentuan Mahkamah Yang Berbidangkuasa Membicarakan Kes-Kes Harta Sepencarian.

“… tuntutan harta sepencarian hendaklah dituntut di Mahkamah yang berbidangkuasa dalam Negeri di mana perintah perceraian atau pengesahan perceraian dikeluarkan….”

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran A)

5. Senario yang sama berlaku dalam kes permohonan mengubah perintah yang mana penghakiman terkini menetapkan bahawa Mahkamah yang berbidangkuasa ialah Mahkamah yang mengeluarkan perintah yang hendak diubah tersebut, tanpa mengambil kira pemastautinan pihak-pihak. Ini ada dinyatakan dalam Arahan Amalan No. 9 Tahun 2005 yang menyebutkan:

Mahkamah Yang Berbidangkuasa Mendengar Permohonan Mengubah Perintah

“…Mahkamah yang berbidangkuasa mendengar permohonan mengubah perintah adalah Mahkamah yang telah mengeluarkan perintah tersebut.”

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran B)


6. Kes tuntutan harta sepencarian dan mengubah perintah, kedua-duanya adalah turut berpandukan kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, yang mana Mahkamah Yang Mulia ini hendaklah mempunyai bidangkuasa mendengarnya walaupun pemastautinan Plaintif bukan berada di dalam Negeri Selangor.

7. Memandangkan faktor tempat pemastautinan Plaintif atau Defendan bukanlah menjadi isu utama dalam menentukan bidang kuasa Mahkamah ini, maka peruntukan seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, berkaitan tafsiran perkataan “bermastautin”, seperti mana yang dihujahkan oleh Defendan-Defendan di perenggan 26 hingga 29 penghujahannya, adalah tidak relevan dan tidaklah perlu disentuh dalam hujah jawapan ini.

8. Justeru penghujahan yang dibuat oleh Defendan-Defendan yang hanya melihat kepada tempat pemastautinan Plaintif bagi menentukan bidangkuasa Mahkamah ini adalah terkhilaf dan tersasar daripada kehendak undang-undang kerana terdapat beberapa pengecualian yang perlu diambil kira.

ALASAN KEDUA

9. Pemakaian peruntukan substantif dalam seksyen 61 (3)(b) (iv) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:

Bidang Kuasa Mahkamah Tinggi Syariah

“Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan-
(iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;

10. Adalah jelas bahawa peruntukan di atas, hanya mensyaratkan agama pihak-pihak dalam tuntutan harta sepencarian hendaklah orang Islam, manakala syarat mengenai tempat pemastautinan tidak diperuntukkan sebagai asas dalam menentukan bidang kuasa Mahkamah ini.

11. Ini lagi sekali membuktikan dakwaan Defendan-Defendan bahawa tempat permastautinan Plaintif semata-mata perlu diambilkira bagi menentukan bidang kausa Mahkamah ini dalam mendengar tuntutan harta sepencarian adalah tidak berasas.

12. Adalah dihujahkan di sini bahawa kesemua pihak dalam tindakan yang dimulakan oleh Plaintif ini adalah orang Islam. Justeru itu ia adalah memadai dan menepati syarat yang ditetapkan oleh peruntukan seksyen 61 (3)(b) (iv) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 di atas bagi memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah Yang Mulia ini.

ALASAN KETIGA

13. Pemakaian Fatwa Negeri Selangor yang diwartakan pada 23 Jun 2005 (Sel. P.U. 13) yang memperuntukkan:

Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor

1. Harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan di Negeri Selangor boleh dibahagikan kepada suami atau isteri sebelum difaraidkan termasuk setelah dilepaskan tanggungan si mati.

2. Pembahagian harta sepencarian tersebut hendaklah diberikan mengikut takat sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dari kedua-dua belah pihak.

3. Persetujuan pembahagian hendaklah dibuat melalui perintah Mahkamah.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran C)

14. Fatwa di atas adalah memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Yang Mulia ini untuk mendengar tuntutan pembahagian harta sepencarian yang disebabkan oleh kematian pihak-pihak kepada perkahwinan, di dalam Negeri Selangor, seperti tuntutan yang dimulakan oleh Plaintif ini.

15. Plaintif tertarik untuk menghujahkan tafsiran perkataan “di Negeri Selangor” yang disebutkan dalam fatwa di atas dengan ungkapan penuh seperti berikut: Harta sepencarian, selepas kematian salah satu pihak, dalam perkahwinan di Negeri Selangor.

16. Persoalan yang dibangkitkan oleh Plaintif di sini adakah perkataan “di Negeri Selangor” tersebut merujuk kepada salah satu maksud berikut:
i) Harta sepencarian di Negeri Selangor.
ii) Kematian salah satu pihak di Negeri Selangor.
iii) Salah satu pihak (yang masih hidup bermastautin) di Negeri Selangor.
iv) Perkahwinan di Negeri Selangor.

17. Plaintif menghujahkan bahawa pada zahirnya semua tafsiran di atas adalah terkandung dalam maksud yang dikehendaki oleh fatwa tersebut. Namun tafsiran tersebut tidaklah berbentuk konklusif sehingga menafikan bidangkuasa Mahkamah ini untuk mendengar tuntutan yang melibatkan:
i) Harta sepencarian di luar Negeri Selangor.
ii) Kematian salah satu pihak di luar Negeri Selangor
iii) Salah satu pihak (yang masih hidup bermastautin) di luar Negeri Selangor.
iv) Perkahwinan di luar Negeri Selangor.

18. Ini kerana bidang kuasa Mahkamah ini boleh meliputi harta sepencarian yang berada di luar Negeri Selangor yang mana boleh dikuatkuasakan di bawah peruntukan ‘tindakan bersaling’ berdasarkan kepada seksyen 75 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Bidang kuasa Mahkamah ini juga boleh meliputi pihak-pihak yang berada di luar Negeri Selangor melalui peruntukan ‘penyampaian saman luar bidangkuasa’ berdasarkan seksyen 52 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Begitu juga bagi perkahwinan di luar Negeri Selangor yang wajar diiktiraf oleh Mahkamah ini berdasarkan kepada peruntukan seksyen 6 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

19. Oleh yang demikian tindakan yang dimulakan oleh Plaintif ini adalah menepati maksud fatwa di atas kerana:

i) Harta sepencarian yang dituntut oleh Plaintif sebahagian besarnya berada dalam Negeri Selangor, manakala sebahagian kecil lagi berada di luar Negeri Selangor iaitu Negeri Kedah Darul Aman.

ii) Kematian salah satu pihak kepada perkahwinan, iaitu Allahyarham suami Plaintif adalah bertempat di dalam Negeri Selangor .

iii) Pemastautinan salah satu pihak kepada perkahwinan, iaitu Defendan 1 selaku isteri pertama si mati adalah di dalam Negeri Selangor.

iv) Perkahwinan Plaintif dan si mati yang diakadkan di luar Negeri Selangor iaitu (Negeri Perak) perlu diiktiraf oleh Mahkamah ini menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

ALASAN KEEMPAT

20. Harta sepencarian tak alih yang dituntut oleh Plaintif adalah sebahagian besarnya berada di dalam Negeri Selangor iaitu:

i) Sebuah rumah beralamat di No. 244, ……. Taman Jasa Mukim Batu, Selangor

ii) Sebuah rumah beralamat di No. 14, …….. 40000 Shah Alam, Selangor.

(Sila rujuk Senarai Aset dalam Surat Kuasa Mentadbir di Lampiran D)

21. Sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa harta sepencarian dan selainnya yang terletak di dalam Negeri Selangor adalah tertakluk sepenuhnya kepada bidangkuasa Mahkamah ini selari dengan peruntukan seksyen 61(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:

“Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Selangor dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.”

22. Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya Nizam al-Qada’ Fi as-Syariah al-Islamiyyah halaman 125 ada menukilkan pandangan fuqaha’ yang mana telah dipetik dalam alasan penghakiman kes Noh Bin Atan lwn Syakila Bt Mohamed (1998) Jurnal Hukum Jld XII, Bhg. 1, Jun 1998M:
ولكن إذا تعلقت الدعوى بعقار أو منقول موجود في غير بلد المدعى عليه فإن المحكمة المختصة بنظر الدعوى ويرفع إليها المدعي دعواه هي محكمة محل هذا الشيء من منقول أو عقار على رأي بعض فقهاء المالكية, وقال فريق آخر من المالكية تبقى محكمة محل إقامة المدعى عليه هي المختصة بنظر الدعوى وإليها ترفع, فقد جاء في كتاب الحطاب: إذا كان الشيء المدعى فيه غير بلد المدعى عليه, فقال ابن الماجشون الخصومة حيث المدعى فيه. وقال مطرف وأصبغ حيث المدعى عليه.

Bermaksud: Tetapi jika dakwaan itu berkaitan dengan harta, sama ada harta alih atau tak alih, sedangkan harta itu bukan berada di tempat pihak yang didakwa, maka mahkamah yang berhak mendengar dakwaan tersebut ialah mahkamah di mana harta yang dipertikaikan itu berada. Demikianlah menurut pendapat sebahagian ulamak dalam mazhab Maliki.

Sedangkan sebahagian lain daripada ulamak Maliki pula berpendapat mahkamah yang berhak mendengar dakwaan ialah mahkamah yang berada di tempat pihak yang didakwa.

Terdapat di dalam kitab al-Hattab: “Apabila sesuatu benda yang didakwa itu berada di negeri bukan orang yang didakwa, maka menurut Ibn al-Majisyun: dakwaan itu hendaklah dikemukakan kepada mahkamah di mana benda yang dipertikaikan itu berada. Manakala menurut Mitraf dan Asbagh pula: dakwaan itu hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah negeri pihak yang didakwa.

(Sila rujuk Ikatan autoriti Plaintif di Lampiran E)

23. Berdasarkan kepada kedua-dua pandangan di atas, maka tindakan yang difailkan oleh Plaintif di Mahkamah Yang Mulia ini adalah tepat dan wajar kerana harta sepencarian yang dipertikaikan sama ada harta alih atau tak alih adalah jelas sebahagian besarnya berada di dalam Negeri Selangor dan sekali gus berada dalam negeri pemastautinan pihak yang didakwa, iaitu Defendan 1, Defendan 3 dan Defendan 4.

ALASAN KELIMA

24. Kematian salah satu pihak kepada perkahwinan, iaitu suami kepada Plaintif dan Defendan 1 atau ‘si mati’ adalah bertempat di dalam Negeri Selangor. Ini berdasarkan kepada Sijil Kematian si mati yang mencatatkan bahawa si mati telah meninggal dunia di alamat terakhir:

5, Jalan …………, Seksyen 2, 40000 Shah Alam Selangor

(Sila rujuk Sijil Kematian si mati di Lampiran F)

25. Kami menghujahkan bahawa tempat kematian si mati adalah relevan dan boleh diambilkira bagi menentukan bidang kuasa Mahkamah ini kerana ia menunjukkan qarinah berikut:

i) Si mati pada masa kematiannya adalah seorang pemastautin dalam Negeri Selangor.

ii) Harta alih si mati yang diketahui berada di tangan si mati pada masa kematiannya adalah tertakluk kepada hak dan liabiliti di sisi undang-undang Negeri Selangor, sebagai timbal balas terhadap kewajipan fardu kifayah menguruskan jenazah si mati yang terbeban ke atas masyarakat Islam di Negeri Selangor. Liabiliti terhadap harta si mati adalah termasuk belanja pengurusan jenazah, zakat, hutang piutang dan harta sepencarian yang dituntut terhadap harta si mati, yang mana Mahkamah Syariah Negeri Selangor boleh berbidang kuasa memutuskannya.

iii) Baitulmal di negeri tempat kematian si mati, jika ia tidak berwaris, adalah berhak mengemukakan permohonan kepada Mahkamah di tempat kematian si mati bagi mentadbir atau mempusakai harta si mati.

26. Oleh yang demikian, tempat kematian si mati juga adalah relevan untuk menentukan Mahkamah Syariah manakah yang berbidangkuasa mendengar tuntutan yang dikemukakan terhadap harta si mati, khususnya harta alih yang diketahui berada di tangan si mati semasa kematiannya. Ini kerana hukum terhadap harta alih si mati adalah mengikut tempat di mana harta itu berada atau dibawa oleh si mati.

27. Ini selari dengan kaedah fiqhiyyah: (التابع تابع)
Yang bermaksud: Pengikut itu mengikut (hukum perkara yang diikutnya).

(Sila rujuk al-Asybah wa al-Nazair dalam ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran G)

28. Dalam pemakaian kaedah di atas terhadap kes ini, kami menghujahkan bahawa harta alih si mati hendaklah mengikut undang-undang di tempat harta itu berada atau dibawa oleh si mati, iaitu kali terakhirnya adalah tempat kematian si mati. Justeru tidak syak lagi Mahkamah Syariah inilah yang merupakan Mahkamah yang berbidang kuasa di tempat kematian si mati, iaitu Negeri Selangor Darul Ehsan.

ALASAN KEENAM

29. Mahkamah ini juga berbidang kuasa mendengar tuntutan ini kerana tempat pemastautinan dan alamat penyampaian salah satu pihak (yang masih hidup) dalam perkahwinan, iaitu Defendan 1 selaku isteri pertama si mati, serta Defendan 3 dan Defendan 4 selaku waris-waris si mati, yang mana adalah merupakan majoriti Defendan, berada dalam Negeri Selangor.

30. Ini selari dengan subseksyen 40(1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:

Tertakluk kepada subseksyen (2), tiap-tiap plaintif atau pemohon dan tiap-tiap orang yang memfailkan saman atau dokumen lain dalam mana-mana prosiding, selain seorang pegawai Mahkamah yang bertindak demikian, dan mana-mana orang lain yang diperintahkan oleh Mahkamah untuk berbuat demikian hendaklah memberikan alamat bagi penyampaian di dalam Negeri Selangor.

31. Plaintif telah bertindak mengikut lunas undang-undang apabila memfailkan saman terhadap Defendan 1, Defendan 3 dan Defendan 4 dengan memberikan alamat penyampaian mereka di dalam Negeri Selangor seperti mana alamat yang dinyatakan dalam cabutan daftar alamat kad pengenalan Defendan-Defendan.

(Sila rujuk Cabutan Daftar Alamat Kad Pengenalan Defendan di Lampiran H)

ALASAN KETUJUH

32. Mahkamah ini masih mempunyai bidang kuasa terhadap Defendan 2 yang mempunyai alamat penyampaian di luar Negeri Selangor (Negeri Kedah) berdasarkan kepada seksyen 52 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan tentang penyampaian luar bidang kuasa seperti mana berikut:

“Mahkamah boleh memerintahkan penyampaian saman atau permohonan di luar bidang kuasa jika-
(a)
(b)
(c) tindakan itu dibawa dengan sepatutnya terhadap….., seseorang di luar negeri Selangor ialah suatu pihak yang perlu atau patut dalam tindakan itu;

ALASAN KELAPAN

33. Mahkamah ini juga berbidangkuasa dan boleh menguatkuasakan perintahnya terhadap Defendan 2 berkenaan antara lainnya, harta tak alih si mati yang berada di luar negeri Selangor, yang merupakan sebuah rumah beralamat di Lot 172, Lorong Masjid 1, Kampung Bujang 08100 Bedong Kedah berdasarkan peruntukan “tindakan bersaling” di bawah subseksyen 27(3) Enakmen Mahkamah Syariah (Kedah Darul Aman) 2008 yang memperuntukkan:

Jika Mahkamah Syariah dalam mana-mana negeri di Malaysia membuat suatu perintah atau penghakiman di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dalam negeri itu terhadap seseorang dan orang itu berada atau dipercayai berada dalam Negeri Kedah Darul Aman, maka Hakim Syarie, jika dia berpuashati bahawa perintah atau penghakiman itu telah dikeluarkan dengan sempurna oleh suatu Mahkamah Syariah yang berwibawa dalam mana-mana negeri di Malaysia, boleh mengendorskan perintah atau penghakiman itu dan perintah atau penghakiman itu bolehlah kemudiannya dilaksanakan atau disampaikan, mengikut mana-mana yang berkenaan, seolah-olah perintah atau penghakiman itu telah dikeluarkan dengan sah oleh mana-mana Mahkamah Syariah dalam Negeri Kedah Darul Aman menurut peruntukan Enakmen ini.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran I)

ALASAN KESEMBILAN

34. Menurut Hukum Syarak, pada asalnya Mahkamah yang berbidangkuasa mendengar pertikaian pihak-pihak ialah Mahkamah di tempat Defendan (mudda’a alaihi) atau pihak yang didakwa itu tinggal. Perkara ini banyak dibincangkan dalam bab al-Qada’ dalam perbahasan mengenai al-ikhtisas al-makani.

35. Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitab Nizam al-Qada’ ada menyatakan berkaitan perkara asas dalam menentukan Mahkamah yang berbidang kuasa mendengar pertikaian ialah Mahkamah di tempat pemastautinan pihak yang didakwa. Pandangan beliau ini turut dipetik dalam alasan penghakiman kes Noh Bin Atan lwn Syakila Bt Mohamed (1998) Jurnal Hukum Jld XII, Bhg. 1, Jun 1998M seperti mana berikut:

ترفع الدعوى إلى المحكمة المختصة بنظر الدعوى, وهذه المحكمة في الأصل هي محكمة محل إقامة المدعى عليه, وعلى هذا فإن على المدعي أن يرفع دعواه إلى قاضى البلد أو المحل الذي يقيم فيه عادة المدعى عليه

Bermaksud: Setiap dakwaan hendaklah dikemukakan kepada mahkamah yang berhak mendengar dakwaan. Pada prinsipnya mahkamah ini terletak di tempat pihak yang didakwa itu bermukim. Berdasarkan ini, maka pihak yang mendakwa hendaklah mengemukakan dakwaannya kepada hakim yang berada di tempat pihak yang didakwa kebiasaannya tinggal.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran J)

ALASAN KESEPULUH

36. Menurut Hukum Syarak, Mahkamah sesebuah negeri adalah berbidang kuasa mendengar dan memutuskan pertikaian atau tuntutan yang dibuat di antara pemastautin dalam negeri tersebut dan juga orang luar yang datang ke negeri itu.

37. Ibn Qudamah dalam Kitab al-Mughni fasal 8292 ada menyatakan pandangan tersebut sebagai mana berikut:
يجوز أن يولي قاضيا عموم النظر في خصوص العمل فيقلده النظر في جميع الأحكام في بلد معين فينفذ حكمه فيمن سكنه ومن أتى إليه من غير ساكنه

Bermaksud: Adalah harus (bagi pemerintah) melantik Hakim dengan (memberikannya) kuasa mendengar dakwaan secara umum dalam perkara khusus maka tertakluklah ia (hakim itu, dengan pengkhususan kuasa) mendengar dakwaan tersebut dalam menjalankan semua penghakiman di negeri tertentu. Maka hendaklah terlaksana penghakimannya terhadap orang yang mendiami negeri itu dan orang yang datang ke negeri itu daripada penduduk negeri lain.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran K)

38. Al-Mawardi di dalam kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah ada menyebutkan dengan lebih jelas mengenai bidang kuasa Mahkamah sesebuah negeri terhadap penduduk negerinya dan penduduk luar yang datang ke negeri tersebut iaitu seperti mana berikut:

وَيَجُوزُ أَنْ يَكُونَ الْقَاضِي عَامَّ النَّظَرِ خَاصَّ الْعَمَلِ ، فَيُقَلَّدُ النَّظَرَ فِي جَمِيعِ الْأَحْكَامِ فِي أَحَدِ جَانِبَيْ الْبَلَدِ أَوْ فِي مَحَلَّةٍ مِنْهُ فَيَنْفُذُ جَمِيعُ أَحْكَامِهِ فِي الْجَانِبِ الَّذِي قَلَّدَهُ وَالْمَحَلَّةِ الَّتِي عُيِّنَتْ لَهُ ، وَيَنْظُرُ فِيهِ بَيْنَ سَاكِنِيهِ وَبَيْنَ الطَّارِئِينَ إلَيْهِ ، لِأَنَّ الطَّارِئَ إلَيْهِ كَالسَّاكِنِ فِيهِ إلَّا أَنْ يَقْتَصِرَ بِهِ عَلَى النَّظَرِ بَيْنَ سَاكِنِيهِ دُونَ الْغَرِيبِينَ وَالطَّارِئِينَ إلَيْهِ فَلَا يَتَعَدَّاهُمْ .

Bermaksud: Adalah harus dilantik hakim itu dengan kuasa (mendengar dakwaan) yang umum dalam perkara yang khusus, maka tertakluklah (Hakim itu) untuk mendengar dakwaan tersebut dalam semua penghakiman (prosiding kes) dalam mana-mana kawasan dalam negeri itu atau jajahan takluknya. Maka berkuatkuasalah semua penghakimannya dalam kawasan yang ditadbirnya atau jajahan takluk yang di bawah pengawasannya. Maka ia berbidang kuasa (membuat penghakiman) dalam negeri itu di kalangan penduduk negeri itu dan juga di kalangan orang mendatang ke negeri itu. Ini kerana orang mendatang ke negeri itu (dianggap) sama seperti penduduk negeri itu, melainkan jika dihadkan bidang kuasanya hanya terhadap penduduk negeri itu tanpa meliputi orang luar atau orang mendatang ke negeri itu, maka dengan demikian bidang kuasanya tidak boleh meliputi mereka.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran L)

39. Dalam kes ini, Plaintif yang merupakan pemastautin Negeri Perak telah hadir ke Mahkamah Yang Mulia ini untuk memfailkan tuntutannya. Maka Mahkamah ini perlulah mengambil kira perbuatan Plaintif ini sebagai asas penting bagi menentukan bidangkuasa kepada Mahkamah ini.

40. Memandangkan tidak terdapat peruntukan undang-undang yang menghadkan bidang kuasa Mahkamah ini hanya kepada penduduk Negeri Selangor semata-mata, tanpa terpakai kepada penduduk luar Negeri Selangor, maka kami hujahkan bahawa Mahkamah Yang Mulia ini sudah tentu berbidang kuasa mendengar tuntutan Plaintif yang disifatkan sebagai seorang yang mendatang ke Negeri Selangor ini.

ALASAN KESEBELAS

41. Menurut Hukum Syarak, sekiranya berlaku pertikaian, maka Plaintiflah yang diberi hak untuk memilih Mahkamah mana yang perlu mendengar dan memutuskan tuntutannya disebabkan Plaintif yang terlebih dahulu memfailkan tindakan. Dalam keadaan ini hak tersebut tidak sama sekali diberi kepada Defendan. Ini ada dinyatakan dalam Durar al-Hukkam Fi Syarh Majallah al-Ahkam, Fasal 16 [al-Qadha’], Perkara:1803:

أَمَّا إذَا كَانَ الْقُضَاةُ الْمُتَعَدِّدُونَ فِي بَلْدَةٍ مَأْذُونًا كُلُّ وَاحِدٍ مِنْهُمْ أَنْ يَسْتَمِعَ قَضَايَا جَمِيعِ أَنْحَاءِ تِلْكَ الْبَلْدَةِ وَحَصَلَ اخْتِلَافٌ بَيْنَ الْمُدَّعِي وَالْمُدَّعَى عَلَيْهِ عَلَى هَذَا الْوَجْهِ فَيُرَجَّحُ الْقَاضِي الَّذِي اخْتَارَهُ الْمُدَّعِي لِأَنَّهُ لَمَّا كَانَ الْمُدَّعِي هُوَ مُنْشِئُ الْخُصُومَةِ فَلَهُ - إنْ شَاءَ - إنْشَاءُ الْخُصُومَةِ عِنْدَ هَذَا الْقَاضِي أَوْ ذَلِكَ الْقَاضِي الْآخَرِ وَلَا يُقَالُ لَهُ : لَا تُنْشِئْ الْخُصُومَةَ فِي حُضُورِ هَذَا الْقَاضِي وَأَنْشِئْهَا عِنْدَ ذَلِكَ الْقَاضِي

Bermaksud: Adapun sekiranya terdapat beberapa Hakim (Mahkamah yang berbidang kuasa) dalam negeri (atau negara) yang diberi kuasa bagi setiap mereka untuk mendengar kes-kes di seluruh pelusuk negeri itu, lalu timbul pertikaian antara Plaintif dan Defendan berkaitan perkara ini (penentuan hakim di negeri mana) maka hendaklah diutamakan hakim yang dipilih oleh pihak Plaintif disebabkan Plaintif itu adalah pihak yang memulakan tindakan, maka baginyalah (hak untuk memilih)- jika ia kehendaki- dia boleh memulakan tindakan di hadapan hakim ini atau hakim itu (yang lain), dan tidak sesekali boleh dikatakan kepadanya (berbantahan): “Jangan kamu memulakan tindakan di hadapan hakim ini, dan mulakanlah tindakan di hadapan hakim itu (yang lain).”

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran M, diperoleh dari perisian al-Maktabah al-Syamilah, Versi: 2)

42. Dalam kitab Nizam al-Hukm Fi as-Syariah Wa al-Tarikh al-Islami oleh Zafir al-Qasimi ada menyebutkan pandangan yang dipetik daripada al-Mawardi:

فإن أراد الطالب أن يستعدي قاضي المطلوب على خصمه, وجب عليه أن يعديه, ويحكم بينهما , في جانبه, لحصولهما في عمله

Bermaksud: Jika pihak yang menuntut (Plaintif) berkehendak untuk dipertaklukkan dirinya kepada hakim pihak yang dituntut berkenaan dengan tuntutannya, maka WAJIB ke atas hakim itu menakluki diri pihak yang menuntut itu dan menghakimi antara kedua-duanya (Plaintif dan Defendan) dalam kawasannya kerana terhasil kedua-dua mereka dalam bidangkuasanya.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran N)

43. Berdasarkan kepada nas-nas di atas, adalah ternyata Defendan-Defendan telah jauh melampaui batasan Hukum Syarak dengan membantah dan menafikan hak Plaintif untuk mempertaklukkan dirinya dan memilih Mahkamah Yang Mulia ini untuk memutuskan tuntutan pembahagian harta sepencarian yang dimulakan oleh Plaintif.

ALASAN KEDUA BELAS

Dengan izin Yang Arif,

44. Sesungguhnya Mahkamah Yang Mulia ini telahpun mendengar dan memutuskan hak Plaintif, Defendan-Defendan dan waris-waris si mati yang lain berkaitan dengan pembahagian harta pusaka si mati, sekaligus mengesahkan mempunyai bidang kuasa terhadap permohonan yang difailkan oleh Plaintif selaku Pemohon dalam kes tersebut yang bermastautin di luar Negeri Selangor.

45. Ini adalah berdasarkan kepada sijil faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Dewan 6 di hadapan YAA Tuan Hj Mukhyuddin Bin Hj. Ibrahim bertarikh 27 Oktober 2010.

46. Justeru adalah tidak munasabah jika dikatakan Mahkamah ini tidak berbidang kuasa mendengar tuntutan Saman harta sepencarian ini, sedangkan Mahkamah Tinggi Syariah yang sama telah memutuskan berbidang kuasa mendengar permohonan pengesahan dan pembahagian faraid yang difailkan oleh Plaintif.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran N)

Thursday, January 27, 2011

HUJAH KES WALI ENGGAN


Entri kali ini akan memaparkan hujah penggulungan pertama saya dalam kes pensabitan wali enggan yang telah diluluskan oleh Mahkamah baru-baru ini. Penghujahan yang dibuat tidaklah begitu mendalam disebabkan perbicaraan hanya dijalankan secara sebelah pihak tanpa kehadiran wali. Berikut dikemukakan penghujahan tersebut untuk dimanfaatkan bersama.

PENGHUJAHAN FAKTA PERSOALAN


Yang Arif,‎

Berdasarkan kepada keterangan Plaintif dan saksi-saksi, terdapat 4 isu ‎utama yang perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah ini iaitu seperti mana ‎berikut:‎


ISU 1: Sama ada Mahkamah ini berbidang kuasa mendengar tuntutan ‎Plaintif.‎

‎1.‎ Adalah dihujahkan bahawa Mahkamah ini berbidangkuasa mendengar ‎tuntutan Plaintif disebabkan pemastautinan Plaintif adalah di dalam Negeri ‎Selangor di alamat No. .., Jalan …. 19/13, Seksyen 19, 40300 Shah Alam ‎Selangor dan kedua-dua pihak dalam kes ini adalah orang Islam selari ‎dengan peruntukan seksyen 4 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam ‎‎(Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:‎

Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, Enakmen ‎ini terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal dalam Negeri Selangor dan ‎bagi semua orang Islam yang bermastautin dalam Negeri Selangor tetapi ‎tinggal di luar Negeri itu.‎

‎(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran A)‎

‎2.‎ Alamat pemastautinan Plaintif ini telah dibuktikan dengan keterangan ‎dokumentar berdasarkan surat Akuan Pengesahan Pemastautinan yang ‎ditanda sebagai P1.‎

‎3.‎ Bidangkuasa Mahkamah ini membicarakan tuntutan pengesahan wali ‎enggan juga telah diperuntukkan dengan nyata dalam subseksyen 13(b) ‎Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang ‎menyatakan:‎

Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana pihak ‎perempuan itu bermastautin atau seseorang yang diberi kuasa secara am ‎atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syarie itu telah, selepas ‎penyiasatan yang wajar di hadapan semua pihak yang berkenaan, ‎memberi persetujuannya terhadap perkahwinan itu diakadnikahkan oleh ‎wali Raja mengikut Hukum Syarak, persetujuan tersebut boleh diberi jika ‎perempuan tiada mempunyai wali dari nasab mengikut Hukum Syarak ‎atau jika wali tidak dapat ditemui atau jika wali enggan memberikan ‎persetujuannya tanpa sebab yang mencukupi.‎

‎(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran B)‎

‎4.‎ Selain itu, tidak terdapat tuntutan bertindih yang dibuat oleh Plaintif atau ‎Defendan berkaitan tuntutan yang sama di Mahkamah Syariah yang lain ‎ketika prosiding kes ini berjalan. Ini kerana kes pengesahan wali enggan ‎yang difailkan terdahulu di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan telah pun ‎ditarik balik oleh Plaintif sebelum penghakiman dibuat. Ini berdasarkan ‎kepada surat pengesahan daripada Mahkamah tersebut yang telah ditanda ‎sebagai ID7.‎

‎5.‎ Justeru adalah jelas bahawa Mahkamah ini berbidang kuasa penuh bagi ‎mendengar dan memutuskan permohonan Plaintif ini.‎


ISU 2: Sama ada Defendan boleh disabitkan sebagai Wali Enggan

‎6.‎ Adalah dihujahkan bahawa Mahkamah ini wajar mensabitkan Defendan ‎sebagai seorang wali enggan. Ini adalah atas alasan-alasan berikut:‎

ALASAN PERTAMA: Defendan Telah Mengetahui Hasrat Plaintif Untuk Berkahwin‎

‎7.‎ Berdasarkan kepada keterangan yang dikemukakan oleh Plaintif adalah ‎ternyata bahawa hasrat Plaintif untuk berkahwin telahpun diketahui oleh ‎Defendan. Ini berdasarkan kepada keterangan SP1 dan SP2 serta ‎keterangan dokumentar yang ditanda ID5, ID6, ID7, P9 dan P10.‎

‎8.‎ Berdasarkan kepada keterangan tersebut, maka tidak timbul sebarang ‎keraguan bahawa Defendan sememangnya telah maklum tentang hasrat ‎Plaintif untuk berkahwin dengan pasangannya ……. Bin Mohd S…...‎

‎9.‎ Justeru sebagai wali, Defendan yang mengetahui hasrat Plaintif untuk ‎berkahwin sepatutnya memberi persetujuannya atau menyatakan ‎bantahannya dengan disertai alasan yang munasabah.‎

‎10.‎ Dalam kes ini ternyata Defendan tidak ada memberikan persetujuannya ‎secara bertulis. Walaupun Defendan pernah menyatakan persetujuan secara ‎lisan sebelum ini (semasa majlis pertunangan), namun persetujuan tersebut ‎sudah tidak boleh diambilkira lagi memandangkan pada masa permohonan ‎berkahwin dibuat oleh Plaintif secara rasmi dan bertulis, Defendan telah ‎enggan menandatangani borang kebenaran berkahwin tersebut.‎

‎11.‎ Walaupun Defendan dalam keadaan tidak bersetuju dengan perkahwinan ‎Plaintif, namun beliau tidak ada menyatakan sebarang alasan yang ‎munasabah kepada Mahkamah ini atas bantahannya terhadap perkahwinan ‎yang dicadangkan oleh Plaintif. ‎

‎12.‎ Alasan-alasan yang dikemukakan oleh Defendan berkaitan masalah ‎kesihatan dan kos kehadiran melalui surat beliau kepada Mahkamah ini tidak ‎boleh diterima sebagai alasan munasabah bagi menolak permohonan Plaintif ‎untuk berkahwin. Ini kerana alasan tersebut tidak menyentuh langsung isu ‎kewajaran alasan Plaintif untuk berkahwin dengan pasangannya. Sebaliknya ‎alasan tersebut hanya menyentuh isu kesukaran Defendan untuk hadir ke ‎Mahkamah ini, seolah-oleh Defendan ingan mengelak daripada menyatakan ‎pendirian sebenarnya tentang perkahwinan Plaintif. ‎

ALASAN KEDUA: Bakal Suami Yang Dipilih oleh Plaintif adalah Sekufu

‎13.‎ Defendan juga tidak ada alasan yang wajar untuk menolak cadangan ‎perkahwinan Plaintif bersama pasangannya. Ini kerana cadangan ‎perkahwinan yang dikemukakan oleh Plaintif adalah sangat munasabah dan ‎wajar diterima kerana calon suami yang dipilih oleh Plaintif adalah seorang ‎yang sekufu.‎

‎14.‎ Fakta berkaitan sekufu ini telah disokong oleh keterangan saksi-saksi Plaintif ‎kepada Mahkamah, iaitu dari segi agama, bangsa, keturunan, pendidikan ‎pekerjaan dan latar belakang keluarga yang sama.‎

‎15.‎ Menurut Hukum Syarak, perbuatan Defendan ini telah boleh dianggap ‎sebagai ‘wali enggan’ kerana Plaintif telah meminta untuk dinikahkan dengan ‎lelaki yang sekufu, namun Defendan tidak bersetuju mewalikan pernikahan ‎tersebut.‎

‎16.‎ Hal ini ada dinyatakan dalam kitab Mughni al-Muhtaj oleh Khatib al-Syarbini, ‎Jilid 4, halaman 252:‎

‏( وَإِنَّمَا يَحْصُلُ الْعَضْلُ ) مِنْ الْوَلِيِّ ( إذَا دَعَتْ بَالِغَةٌ عَاقِلَةٌ ) رَشِيدَةً كَانَتْ أَوْ سَفِيهَةً ( ‏إلَى كُفْءٍ وَامْتَنَعَ ) الْوَلِيُّ مِنْ تَزْوِيجِهِ ؛ لِأَنَّهُ إنَّمَا يَجِبُ عَلَيْهِ تَزْوِيجُهَا مِنْ كُفْءٍ ، فَإِنْ ‏دَعَتْهُ إلَى غَيْرِهِ كَانَ لَهُ الِامْتِنَاعُ ؛ لِأَنَّ لَهُ حَقًّا فِي الْكَفَاءَةِ

Bermaksud: “Bahawasanya berlaku keengganan wali itu apabila seseorang ‎perempuan (di bawah pengawasan wali) yang baligh dan berakal sama ada ‎ia terpelajar atau bodoh, meminta (untuk dinikahkan) dengan seorang lelaki ‎yang sekufu, lalu wali itu menolak perkahwinan itu. Ini kerana sesungguhnya ‎adalah menjadi kewajipan wali untuk menikahkannya dengan lelaki yang ‎sekufu. Sekiranya perempuan (yang dibawah pengawasan wali) itu meminta ‎untuk berkahwin dengan lelaki yang tidak sekufu, wali itu boleh menolaknya ‎kerana wali mempunyai hak dalam urusan sekufu.”‎

‎(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran C)‎


ALASAN KETIGA: Defendan Tidak Mencalonkan Bakal Suami Lain yang Sekufu‎

‎17.‎ Dalam kes ini, (tanpa menyentuh perbahasan mengenai kelayakan ‎Defendan untuk bertindak sebagai wali mujbir), Defendan juga didapati tidak ‎mendatangkan pilihan calon suami lain yang sekufu untuk Plaintif. Dalam ‎keterangan saksi-saksi Plaintif dan surat yang dikirimkan oleh Defendan ‎kepada Mahkamah ini tidak terdapat sebarang keterangan berkaitan adanya ‎pilihan calon suami lain yang sekufu dengan Plaintif. Hal ini menyebabkan ‎Defendan tidak berhak menolak pilihan calon suami yang dicadangkan oleh ‎Plaintif.‎

‎18.‎ Di dalam kitab Mughni al-Muhtaj, jilid 4, halaman 253 ada menerangkan ‎perkara di atas seperti mana berikut:‎

‏( وَلَوْ عَيَّنَتْ ) مُجْبَرَةٌ ( كُفُؤًا وَأَرَادَ الْأَبُ ) أَوْ الْجَدُّ الْمُجْبِرُ كُفْئًا ( غَيْرَهُ فَلَهُ ذَلِكَ فِي ‏الْأَصَحِّ ) لِأَنَّهُ أَكْمَلُ نَظَرًا مِنْهَا

Bermaksud: “Sekiranya seorang perempuan yang boleh dipaksa berkahwin ‎meminta berkahwin dengan lelaki pilihannya yang sekufu, sedangkan bapa ‎atau datuknya yang mempunyai kelayakan sebagai wali mujbir (boleh ‎memaksa berkahwin) mengkehendaki supaya ia berkahwin dengan lelaki ‎lain yang sekufu, maka wali itu berhak berbuat demikian (iaitu ‎mengahwinkan perempuan itu dengan lelaki pilihan wali yang sekufu) ‎menurut pendapat yang paling sah (dalam mazhab Syafi'i) kerana ‎pandangan wali itu dalam urusan sekufu adalah lebih sempurna daripada ‎pandangan perempuan tersebut.”‎

‎(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran D)‎

‎19.‎ Memandangkan Defendan tidak berhasrat menggunakan kuasa wali ‎mujbirnya dalam menetapkan calon suami lain yang sekufu dengan Plaintif, ‎maka di sini Plaintif juga tidak berhasrat untuk mempertikai atau ‎membahaskan kelayakan Defendan bertindak sebagai wali mujbir menurut ‎Hukum Syarak.‎

ALASAN KEEMPAT: Qarinah Defendan Enggan Hadir Ke Mahkamah

‎20.‎ Adalah ternyata bahawa Defendan telah enggan hadir ke Mahkamah ini bagi ‎menafikan dakwaan Plaintif tanpa sebarang alasan munasabah. Dakwaan ‎Defendan melalui surat yang diterima oleh Peguam Plaintif bahawa beliau ‎tidak dapat hadir ke Mahkamah kerana masalah kesihatan telah tidak ‎disokong dengan laporan perubatan yang sah. ‎

‎21.‎ Laporan waran tangkap oleh pihak polis yang menyatakan Defendan sedang ‎sakit juga tidak wajar diterima sebagai keterangan muktamad berkaitan ‎kesihatan Defendan kerana keadaan sakit tersebut tidak dibuktikan telah ‎berterusan sepanjang prosiding kes ini berjalan di samping tidak disokong ‎dengan laporan perubatan. Berdasarkan kepada keterangan saksi Plaintif ‎Defendan masih sihat dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan ‎yang serius. ‎

‎22.‎ Justeru keengganan Defendan untuk hadir ke Mahkamah ini adalah satu ‎qarinah yang menunjukkan bahawa dakwaan Plaintif terhadap Defendan ‎sebagai wali enggan adalah benar.‎


ISU 3: Sama ada Plaintif telah mengemukakan bukti yang mencukupi ‎

‎23.‎ Keterangan saksi-saksi Plaintif bagi membuktikan keengganan Defendan ‎dan status sekufu adalah mencukupi dan boleh diterima oleh Mahkamah ini. ‎Ini kerana keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi Plaintif berkaitan ‎keengganan Defendan dan status sekufu tersebut adalah selari antara satu ‎sama lain dan tidak terdapat sebarang percanggahan.‎

‎24.‎ Adalah menjadi kewajipan Defendan untuk menafikan dirinya sebagai wali ‎enggan dengan antara lainnya, mendatangkan bukti bahawa calon suami ‎yang dipilih oleh Plaintif adalah tidak sekufu. ‎

‎25.‎ Ini kerana menurut prinsip pembuktian, Plaintif tidak diletakkan beban yang ‎berat untuk membuktikan status sekufu dengan calon suami yang dipilihnya. ‎Sebaliknya Defendanlah yang diletakkan beban untuk membuktikan calon ‎suami pilihan Plaintif adalah tidak sekufu.‎

‎26.‎ Dalam kes Mahkamah Rayuan Syariah Selangor antara Ramli Bin Abdul ‎Rasyid lwn Marliah Akmar Binti Ramli [Koleksi Penghakiman JAKESS ‎‎2009), Panel Hakim Rayuan telah menyatakan prinsip pembuktian dalam kes ‎wali enggan bahawa pihak wali (perayu) adalah yang seharusnya ‎membuktikan bahawa calon suami yang dipilih oleh anak perempuannya ‎‎(responden) adalah tidak sekufu.‎

‎(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran E)‎

‎27.‎ Oleh yang demikian, maka kami menghujahkan bahawa dakwaan Plaintif ‎bahawa Defendan adalah seorang wali yang enggan telah dapat dibuktikan ‎dengan keterangan yang mencukupi. Manakala Defendan yang tidak hadir ‎bagi menjawab tuntutan Plaintif, telah gagal menafikan dakwan Plaintif dan ‎gagal menyatakan alasan munasabah atas keengganannya menjadi wali ‎perkahwinan Plaintif.‎


ISU 4: Kesan Pensabitan Wali Enggan ‎

Yang Arif, ‎

‎28.‎ Menurut Hukum Syarak apabila seseorang wali akrab (wali nasab) telah ‎disabitkan sebagai wali enggan, maka kuasa wali tersebut akan berpindah ‎kepada wali hakim atau wali raja (sultan). Dalam hal ini kuasa wali aqrab ‎tersebut tidak berpindah kepada wali ab’ad (wali yang lebih jauh) melainkan ‎dalam keadaan tertentu.‎

‎29.‎ Hal ini ada dinyatakan dalam kitab Mughni al-Muhtaj jilid 4, halaman 252:‎

‏ ( وَكَذَا يُزَوِّجُ ) السُّلْطَانُ ( إذَا عَضَلَ ) النَّسِيبُ ( الْقَرِيبُ ) وَلَوْ مُجْبِرًا ، أَيْ امْتَنَعَ مِنْ ‏تَزْوِيجِهَا هُوَ ( وَالْمُعْتِقُ ) وَعَصَبَتُهُ ؛ لِأَنَّهُ حَقٌّ عَلَيْهِمْ ، فَإِذَا امْتَنَعُوا مِنْ وَفَائِهِ وَفَّاهُ الْحَاكِمُ ‏، وَلَا تَنْتَقِلُ الْوِلَايَةُ لِلْأَبْعَدِ جَزْمًا ، وَهَذَا مَحَلُّهُ إذَا كَانَ الْعَضْلُ دُونَ ثَلَاثِ مَرَّاتٍ .‏‎ ‎فَإِنْ ‏كَانَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ زَوَّجَ الْأَبْعَدُ بِنَاءً عَلَى مَنْعِ وِلَايَةِ الْفَاسِقِ كَمَا قَالَ الشَّيْخَانِ

Bermaksud: “Begitu juga Sultan berkuasa menikahkan seseorang ‎perempuan apabila wali nasabnya yang akrab menjadi enggan, ‎walaupun ia adalah wali mujbir, iaitu bilamana wali nasab itu menolak ‎untuk menikahkan perempuan itu, dan begitu juga jika yang enggan itu ‎adalah wali mu’tiq (yang membebaskan hamba perempuan) dan waris ‎asabahnya. Ini kerana menikahkan perempuan itu adalah kewajipan ‎ke atas mereka (para wali) apabila mereka enggan melaksanakan ‎kewajipan tersebut, maka Hakim (Sultan) berhak menunaikannya. Dan ‎tidaklah berpindah kuasa wali tersebut kepada wali ab’ad, iaitu secara ‎pasti. Adapun perkara ini (perpindahan kuasa wali kepada wali hakim) ‎berlaku sekiranya keengganan wali itu kurang daripada 3 kali. Jika wali ‎itu telah enggan sebanyak 3 kali, maka haruslah bagi wali ab’ad untuk ‎menikahkan berasaskan bahawa tertegahnya kuasa wali bagi orang ‎yang fasiq seperti mana yang dinyatakan oleh al-Rafi’i dan al-Nawawi.‎

‎(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran F)‎

‎30.‎ Adalah dihujahkan di sini bahawa ini adalah kali pertama Defendan ‎disabitkan sebagai wali enggan. Ini kerana menurut keterangan saksi kedua ‎Plaintif, sebelum ini Defendan telah bersetuju menjadi wali bagi pernikahan ‎anak perempuan beliau iaitu dua orang kakak Plaintif tanpa sebarang ‎keengganan. Oleh yang demikian, dalam kes ini kuasa wali adalah ‎berpindah kepada wali hakim dan bukannya wali ab’ad.‎

‎31.‎ Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam subseksyen 13(b) ‎Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang ‎menyatakan:‎

Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana pihak ‎perempuan itu bermastautin atau seseorang yang diberi kuasa secara am ‎atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syarie itu telah, selepas ‎penyiasatan yang wajar di hadapan semua pihak yang berkenaan, ‎memberi persetujuannya terhadap perkahwinan itu diakadnikahkan ‎oleh wali Raja mengikut Hukum Syarak, persetujuan tersebut boleh diberi ‎jika perempuan tiada mempunyai wali dari nasab mengikut Hukum Syarak ‎atau jika wali tidak dapat ditemui atau jika wali enggan memberikan ‎persetujuannya tanpa sebab yang mencukupi.‎

KESIMPULAN ‎

Yang Arif,‎

‎32.‎ Adalah dihujahkan di sini bahawa kewajipan Plaintif dalam mengemukakan ‎segala keterangan yang boleh menyokong dakwaannya telah pun ‎dilaksanakan selari dengan sabda Rasulullah ‎
البينة على المدعي واليمين على من أنكر
Yang bermaksud: “Keterangan itu diwajibkan ke atas pihak yang mendakwa, ‎dan sumpah pula diwajibkan ke atas pihak yang menafikan dakwaan”.‎

‎33.‎ Berdasarkan fakta-fakta di atas, Plaintif dengan penuh tawadduknya ‎memohon kepada Mahkamah Yang Mulia ini agar menerima tuntutan Plaintif ‎dan mengeluarkan perintah seperti mana berikut:‎

i)‎ Mahkamah ini mensabitkan Defendan sebagai seorang wali enggan ‎tanpa sebab yang mencukupi menurut Hukum Syarak.‎

ii)‎ Mahkamah membenarkan pernikahan Plaintif dan bakal suaminya K.. ‎Bin Mohd S… diakadkan oleh wali Raja (wali hakim). ‎

iii)‎ Apa-apa perintah yang adil mengenai kos.‎

iv)‎ Apa-apa perintah lain yang suai manfaat menurut Hukum Syarak.‎


Bertarikh pada ......haribulan ‎ Disember ‎ tahun ‎ 2010.‎


Disediakan dan dihujahkan dengan suci hati oleh:‎


‎……………………….‎
‎ Peguam Syarie bagi ‎Plaintif

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus