Showing posts with label MUNAKAHAT SEMASA. Show all posts
Showing posts with label MUNAKAHAT SEMASA. Show all posts

Friday, December 11, 2009

Kenaikan Mas Kahwin Selangor & Keperluan Penentuan Mahar Al-Ausat


Seperti yang telah dipersetujui dalam beberapa siri bengkel dan mesyuarat fatwa akhirnya kenaikan kadar mas kahwin di Negeri Selangor menjadi kenyataan setelah hampir separuh abad ia tidak dinaikkan.

Apa yang dapat saya simpulkan, keputusan yang dicapai ini dibahagikan kepada 2 perkara. PERTAMA dari segi kadar mahar (al-taqdir) pemerintah Negeri Selangor bersetuju menetapkan RM300.00 sebagai kadar mahar terbaru yang juga merupakan kadar mahar kedua tertinggi selepas Negeri Sembilan yang menetapkan mahar RM200.00. KEDUA dari segi penghadan (al-tahdid) pemerintah Negeri Selangor bersetuju menetapkan bahawa RM300.00 itu adalah kadar mahar MINIMA.

Mengimbau kembali peristiwa perbahasan dalam siri bengkel semakan semula kadar mas kahwin Negeri Selangor yang pernah saya hadiri ketika memegang jawatan Pegawai Syariah di MAIS. Ketika itu majoriti bersetuju bahawa kadar mahar semasa sebanyak RM80.00 perlu dinaikkan. Saya tidak terkecuali dalam hal ini, kerana saya juga bersetuju ia dinaikkan memandangkan kadar lama tidak lagi menepati realiti semasa.

Namun selain itu saya sempat juga mengutarakan pandangan yang menyalahi majoriti dengan mengemukakan cadangan supaya dari segi TAHDID kadar mahar baru ini tidak ditetapkan sebagai KADAR MINIMA, sebaliknya ia ditetapkan sebagai KADAR PERTENGAHAN atau dengan istilah teknikalnya MAHAR AL-AUSAT berdalilkan hadith: "Khairul-umuri ausatuha". Ini bermaksud apa yang ditetapkan oleh pemerintah hanyalah satu kadar mahar yang sederhana dan menepati keadaan semasa dengan tidak menafikan wujudnya keadaan khas yang membolehkan mahar itu ditetapkan selain daripada kadar pertengahan. Dengan kata lain pemerintah hanya mengesyorkan satu kadar mahar standard yang wajar diikuti tetapi tidak wajib diikuti.

Dengan pendekatan ini, ruang untuk mana-mana pasangan meletakkan kadar mahar yang lebih rendah atau lebih tinggi adalah terbuka asalkan dipersetujui oleh kedua-dua pasangan suami isteri. Namun untuk mengawal supaya tidak berlaku penganiayaan terhadap wanita dengan meletakkan kadar yang rendah daripada MAHAR AL-AUSAT dan mengelakkan penganiayaan terhadap lelaki dengan menetapkan kadar yang lebih tinggi daripada MAHAR AL-AUSAT, satu mekanisme kawalan boleh ditetapkan dengan mensyaratkan kebenaran khas pendaftar diperolehi untuk menetapkan kadar mahar selain daripada MAHAR AL-AUSAT.

Pada pandangan saya ketika itu, kaedah menetapkan mahar pertengahan adalah lebih baik daripada tidak menetapkan langsung kadar mahar (seperti beberapa buah negeri) kerana jika ia langsung tidak ditetapkan adakalanya kita akan menghadapi kesukaran untuk menentukan kadar yang dipersetujui. Ketiadaan penetapan mahar juga menyebabkan kita tidak dapat mengukur kadar standard mahar secara legal sebaliknya hanya dapat mengukurnya secara adat dan mithil semata-mata yang adakalanya berbeza-beza. Rujukan kepada mahar mithil pun adakalanya menimbulkan kesukaran jika terdapat dua kadar mithil yang tidak sama. Maka isteri akan menuntut kadar tertinggi, manakala suami pula menuntut kadar terendah.

Pada pandangan saya juga penetapan kadar mahar pertengahan adalah lebih baik daripada menetapkan kadar minima (seperti yang diamalkan oleh kebanyakan negeri), kerana tidak terdapat dalil qat'i yang mensabitkan penetapan mahar minima. Malah sebentuk cincin besi juga boleh dijadikan mahar menurut Hadith. Begitu juga tidak terdapat dalil qat'i yang menetapkan mahar maksima. Walaupun terdapat pandangan Sahabat yang menetapkan kadar maksima ia tidak dapat membataskan keumuman kalimah "qintar" bermaksud 'harta yang banyak' yang disebut dalam al-Quran ketika memperihalkan tentang mahar.

Namun begitu, pandangan saya tersebut belum dapat diterima pada ketika itu kerana majoriti bersetuju menetapkan KADAR MINIMA bukan KADAR PERTENGAHAN. Saya harus menghormati pandangan majoriti dan menerimanya. Apa yang penting tanggungjawab saya sudah tertunai dengan melontarkan cadangan tersebut. Allah sahaja yang lebih mengetahui pandangan manakah yang lebih menghampiri kebenaran.

Tuesday, August 18, 2009

Adakah Isteri Yang Menuntut Fasakh Berhak Mendapat Mut'ah?


Entri kali ini kita akan membincangkan hak isteri khususnya dalam isu mut'ah. Pada prinsipnya selalu kita mendengar bahawa isteri berhak mendapat mut'ah jika dia diceraikan tanpa sebab yang patut mengikut hukum Syarak. Justeru apakah isteri yang menuntut fasakh berhak mendapat mut'ah? Jika anda seorang isteri anda tentu akan menjawab YA. Semoga jawapan itu ada benarnya. Namun sebelum itu mari kita amati 6 keadaan isteri yang tidak berhak mendapat muta'ah.


1) Jika isteri bersetuju dalam perjanjian yang dibuat selepas perceraian bahawa dia tidak akan menuntut mut'ah daripada suaminya.


2) Jika isteri telah membuat perceraian secara tebus talaq atau menukarkan hak muta'ahnya sebagai 'iwad atau bayaran bagi tebus talaq.


3) Jika pembubaran perkahwinan disebabkan oleh pernikahan fasid atau batil yang tidak sah.


4) Jika isteri diceraikan sebelum disetubuhi tetapi telah dibayar kepadanya maskahwin (1/2 mahar muthamma)


5) Jika perceraian berpunca daripada isteri kerana isteri murtad, enggan memeluk Islam, isteri bertukar menjadi mahram suami akibat susuan atau wati' syubhah.


6) Jika perceraian disebabkan oleh kematian suami atau anggapan kematian (mafqud).


Selain itu, terdapat juga pandangan yang menyatakan isteri tidak berhak mendapat mut'ah jika dia menuntut fasakh walaupun atas alasan keaiban daripada pihak suami. Berdasarkan pandangan ini, jika fasakh yang dituntut oleh isteri itu dibuat atas alasan suami tidak memberi nafkah, dia juga tidak layak mendapat mut'ah. Akan tetapi apakah kesannya jika pandangan ini terus diamalkan dan diterima pakai? Adakah ia satu ketetapan atau pendekatan yang dapat menjamin keadilan terhadap isteri?


Ayuh kita bincangkan di sini....

Tuesday, August 11, 2009

ISTERI NUSYUZ: Apa tindakan suami? Terapi Anti-Nusyuz!

Beberapa hari ini, saya kerap dirujuk mengenai persoalan isteri nusyuz. Para suami kerap mengadu isteri mereka telah nusyuz. Aduan ini pada dasarnya belum dapat mensabitkan kenusyuzan isteri, namun ia sudah cukup untuk mensabitkan kepincangan dalam kaedah suami mengurus rumahtangga. Saya tidak menyalahkan para suami (termasuklah diri saya) sepenuhnya. Namun tidak dapat dinafikan, kenusyuzan isteri sedikit sebanyak turut berpunca daripada sikap suami.

Memang lumrah kehidupan, ada hamba yang taat ada hamba yang derhaka. Begitu juga lumrah rumahtangga ada isteri yang taat, ada pula yang tidak taat, itulah isteri nusyuz. Tidak ketinggalan adakalanya suami juga ada yang berlaku nusyuz terhadap isteri tanpa mereka sedari. Pasti ada yang tidak kena, bila isteri berlaku nusyuz. Syaitan sudah tentu tak henti-henti menjadi batu api yang mencetuskan keretakan dalam rumahtangga. Namun syaitan tidak wajar dipersalahkan kerana syaitan sudah sememangnya sentiasa salah. Justeru jangan buang masa menyalahkan syaitan.

Apakah yang harus dilakukan jika isteri mula berlaku nusyuz? Adakah suami perlu terlebih dahulu melakukan tiga (3) tindakan tersusun menurut perspektif al-Quran? Atau suami boleh terus sahaja memfailkan permohonan sabitan nusyuz di Mahkamah Syariah untuk menggugurkan hak isteri terhadap nafkah lantaran bimbang nanti isteri akan failkan tuntutan fasakh? Atau suami boleh sahaja terus menceraikan isterinya?

Pendekatan yang terbaik dalam menyelesaikan isu nusyuz perlulah berpandukan al-Quran yang telah menyediakan tindakan pencegahan sejak peringkat pra-nusyuz lagi. Di peringkat pra-nusyuz suami disuruh memberikan nasihat yang lemah lembut dan berhikmah kepada isteri. Jika nasihat lemah lembut ini tidak berkesan, perlulah nasihat semula disampaikan dengan cara yang lebih tegas dan profesional. Untuk tujuan kehakiman, di peringkat ini suami perlu membuktikan nasihat telah diberi kepada isteri sama ada melalui surat bertulis yang ditujukan kepada isteri dan dibuktikan penerimaannya, atau melalui saksi yang mendengar nasihat tersebut disampaikan secara lisan. Sebagai alternatif, pihak suami boleh mengupah peguam syarie untuk mengemukakan surat kepada isteri agar kembali taat. Mungkin juga 'ayat-ayat cinta' daripada Peguam Syarie mampu merawat penyakit nusyuz isteri.

Seterusnya jika isteri masih enggan taat, bolehlah suami meninggalkan isterinya di tempat tidur. Berpandukan al-Quran, memang boleh. Namun apa pula halnya jika memang suami isteri sudah lama tinggal berasingan. Sudah tentu langkah ini tidak praktikal lagi. Justeru adakah boleh suami terus melakukan tindakan terakhir dengan memukul isteri? Jangan! Isteri tidak suka dipukul walaupun ia dibenarkan oleh Syarak. Melainkan suami seorang 'pemukul' yang profesional, silakanlah. (Yang ni kena belajar cara 'memukul' isteri yang nusyuz secara profesional) Memukul isteri yang nusyuz secara tidak profesional sama seperti mengundang isteri ke majlis perceraian. Jika suami tidak mahu menempa risiko ke jalan perceraian, jangan mencari padah. Silap-silap suami boleh masuk penjara gara-gara memukul isteri. Jangan main-main.

Jadi apa yang harus dilakukan lagi? Adakah suami dah boleh failkan kes sabitan nusyuz? Sabar dulu! Jangan nak cepat sangat. Bangga sangat ke memiliki isteri yang nusyuz? Apa kata kita guna cara psikologi pulak. Cari punca isteri nusyuz, dan lakukan terapi anti-nusyuz. Macammana nak lakukannya? Insya-Allah, jika berkesempatan kita akan bincangkannya lagi.


Sunday, March 22, 2009

Dari Pusara ke Bengkel Kenaikan Kadar Mas Kahwin


Hampir sebulan terbelenggu dengan kesibukan tugas dan urusan keluarga. Selama itu jugalah blog saya tidak sempat dikemaskini. Antara kesibukan urusan keluarga yang terakhir dilalui ialah peristiwa kematian opah saya (sebelah ibu) pada 17 Mac 2009 yang lalu. Maka berangkatlah saya ke bumi tumpah darah, negeri Perak Darul Ridzuan menyusuri penghantaran jenazah ke pusara. Kampung Changkat Tualang, Kota Bharu, Perak di situlah jenazahnya dikebumikan. Semoga aman dan sejahteralah arwah nendaku dan ditempatkan di sisi hamba-hamba yang soleh. Doa seorang cucu semoga sampailah hendaknya kepada nendanya di alam Barzakh. Maafkan cucumu ini, tidak dapat menemani jasadmu ke sana. Cucumu ini perlu meneruskan tugas dan amanah sebagai salah seorang khalifah di bumi. Di bumi ini ada bebanan tugas yang belum selesai... Aku terpaksa meninggalkanmu, seperti mana engkau terpaksa meninggalkanku, kerana Allah.

Selang 2 hari, selepas peristiwa menyayat hati itu, saya bergegas ke Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang Sepang. Menghadiri Bengkel Kenaikan Kadar Mas Kahwin Negeri Selangor bagi menggantikan Timbalan Setiausaha MAIS. Tujuan utama bengkel ini adalah untuk mengkaji kewajaran untuk menaikkan kadar mas kahwin di negeri Selangor. Rupanya kadar mas kahwin sekarang sebanyak RM80.00 disemak kali terakhir pada tahun 1968, 41 tahun yang lalu. Sebelum itu kadar maskahwin di negeri ini hanyalah sebanyak RM44.00, bukan jumlah yang kecil jika diukur pada masa itu. Namun RM80.00 dalam ukuran masa sekarang, amatlah rendah. Pun begitu masih ada negeri lain yang menetapkan mas kahwin serendah RM22.50. Cubalah bayangkan, itukah nilai sebuah perkahwinan? Tidak dinafikan, sabda Nabi SAW: Perkahwinan yang paling banyak berkatnya adalah perkahwinan yang paling mudah maharnya. Meskipun begitu, tiada larangan untuk seseorang lelaki memberikan mahar yang tinggi kepada bakal isterinya menurut kemampuan dan keikhlasan.

Kesimpulan daripada bengkel 2 hari itu, tentu sahaja semua ahli bengkel bersetuju untuk menimbangkan kenaikan kadar mahar. Namun jumlah kenaikan dan kaedah penetapan masih belum dimuktamadkan. Secara peribadi saya telah mencadangkan supaya kadar mas kahwin tidak ditetapkan dalam bentuk kadar tetap atau kadar minima kerana bimbang ini akan mengikat dan membebankan pasangan sekiranya jumlah itu terlalu tinggi, atau akan merendahkan martabat wanita jika jumlah itu terlalu rendah. Justeru saya mencadangkan supaya kadar mas kahwin yang baru ditetapkan dalam kadar berjajaran yang bermula dengan kadar yang agak rendah dan berakhir dengan kadar yang agak tinggi. Namun kadar yang terendah bukanlah kadar minima, dan kadar yang tertinggi bukanlah kadar maksima. Kadar-kadar yang dijajarkan itu hanyalah kadar yang difikirkan sederhana, patut dan sesuai berdasarkan taraf kehidupan masa kini. Namun jika ada pasangan yang ingin memberikan mahar yang lebih rendah atau lebih tingi, ia akan dibenarkan melalui proses tertentu. Kaedah ini belum pernah diamakan di mana-mana negeri dalam Malaysia. Walau bagaimanapun, cadangan yang ganjil dari saya itu tidak begitu mendapat sokongan ahli mesyuarat. Mungkin kerana saya gagal memahamkan mereka keberkesanan cadangan tersebut. Atau mungkin kerana cadangan saya itu tak masuk akal... terserahlah kepada pihak yang arif untuk menilainya. Resolusi bengkel mungkin akan diperhalusi semula pada sesi seterusnya. Jika berkesempatan saya akan terus memperjuangkan idea ini, demi kebaikan semua pihak. Amin....



JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus