Showing posts with label ISU MURTAD. Show all posts
Showing posts with label ISU MURTAD. Show all posts

Monday, August 24, 2009

LAPORAN AKHIR: Kajian Kes Murtad Negeri Selangor

Entri kali ini saya hendak kongsikan kesibukan kami ahli penyelidik analisa kajian kes murtad Negeri Selangor dalam menyediakan laporan akhir untuk dikemukakan kepada Majlis Agama Islam Selangor. Kajian ini dibuat terhadap kes-kes yang melibatkan isu murtad yang difailkan sama ada di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Mahkamah Sivil, Jabatan Mufti Selangor (rundingcara akidah) dan Majlis Agama Islam Selangor dari tahun 2003 hingga 2008.

Kajian ini adalah ditaja oleh Majlis Agama Islam Selangor dengan geran penyelidikan sebanyak RM35,000. Ia dimulakan pada pertengahan tahun 2008 yang melibatkan kerjasama daripada pakar akademik daripada UIAM dan UiTM serta pengamal undang-undang daripada MAIS sendiri. Ahli penyelidik yang dilantik adalah seramai 8 orang. Ketua penyelidik dalam projek ini adalah Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dari UiTM. Penyertaan saya sebagai ahli penyelidik dibuat atas tiket pengamal undang-undang Syariah / Peguam Syarie yang mengendalikan kes murtad sebagai wakil MAIS di Mahkamah Syariah.

Dalam kajian ini, saya ditugaskan untuk melakukan analisa terhadap profil kes murtad bersama dengan ahli kumpulan yang lain. Kumpulan saya ini diketuai oleh bekas pensyarah saya ketika mengambil Diploma Undang-Undang dan Pentadbiran Kehakiman Islam (DAIJ) di UIAM, iaitu Datin Paduka Prof. Zaleha Kamaruddin. Manakala kumpulan satu lagi yang diketuai oleh Ketua Penyelidik sendiri akan melaksanakan kajian perundangan berhubung isu murtad.

Dalam analisa yang kami lakukan, terdapat 14 variable (pembolehubah) yang disentuh iaitu kategori defendan yang disaman dalam kes pengisytiharan murtad di mahkamah, bangsa pemohon, agama asal, jantina, status perkahwinan, umur, cara pengislaman, tempat memeluk Islam, tempoh memeluk Islam, tujuan memeluk Islam, tahap bimbingan Islam, tahun fail kes, perwakilan peguam dan sebab murtad. Setiap data yang diperolehi daripada semua kategori pembolehubah akan dianalisa pula secara kualitatif bagi memahami senario kes murtad secara lebih mendalam.

Hasilnya kami mendapati beberapa dapatan yang sangat menarik perhatian. Insya-Allah ia akan dimaklumkan di sini setelah ia dimuktamadkan oleh semua ahli penyelidik dalam masa terdekat. Apapun kita bedoa kepada Allah Taala agar kita semua dikekalkan iman dan ditingkatkan darjat ketaqwaan supaya kita terus tetap berpegang dengan kalimah "LA ILAHA ILLA ALLAH" hingga akhir hayat. Sekian dulu. "Selamat berpuasa". Kullu am wa antum bil khair.

Tuesday, June 16, 2009

KONFLIK: Antara Mahkamah Syariah dan Sivil

Hari ini satu lagi keputusan penting dalam sistem perundangan negara akan bermula. 16 Jun 2009 telah ditetapkan untuk pendengaran permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh ahli keluarga si mati bernama Mohan Singh a/l Janto Singh di Mahkamah Tinggi (Sivil) MT3 Shah Alam. Kes ini dibuat antara lain bagi memohon penentuan status agama si mati yang dipertikaikan sama ada seorang Islam atau sebaliknya.
.
Pemohon-pemohon yang merupakan ahli keluarga si mati telah menamakan 6 pihak sebagai Responden termasuklah Kerajaan Malaysia, Kerajaan Negeri Selangor, Ketua Pengarah Kementerian Perubatan Malaysia, Pengarah Hospital Sg. Buloh, Majlis Agama Islam Selangor dan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu Sikh dan Tao.
.
Pemohon dalam pernyataannya antara lain telah mencabar keesahan undang-undang Syariah yang digubal oleh badan Perundangan Negeri Selangor terutamanya seksyen 61(3)(b)(xi) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Ini satu lagi cabaran yang dikemukakan terhadap undang-undang Islam di samping cabaran-cabaran yang telah dikemukakan sebelum ini dalam kes Abdul Kahar (Rasul Melayu Palsu) dan Lina Joy (Melayu Palsu?)
.
Di sudut lain, sebelum ini pada 4 Jun 2009 satu perintah telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam yang mengesahkan status si mati sebagai seorang Islam pada masa kematiannya dan mengkehendaki Pengarah Hospital Sg. Buloh agar menyerahkan jenazah si mati kepada MAIS. Perintah tersebut dikeluarkan setelah Yang Arif Hakim berpuas hati dengan keterangan saksi dan dokumentar yang dikemukakan oleh pihak MAIS. Antara pertimbangan yang diberikan adalah sijil akuan masuk Islam Pulau Pinang, qarinah perbuatan si mati yang masih menyimpan sijil akuan masuk Islam dengan baik dan ketiadaan permohonan dibuat oleh si mati semasa hidupnya untuk diisytihar sebagai bukan Islam serta pengakuan yang dibuat oleh si mati kepada salah seorang saksi bahawa dia adalah seorang Islam beberapa hari sebelum kematiannya.
.
Walau bagaimanapun, perintah tersebut tidak dapat dilaksanakan oleh pihak hospital atas alasan mereka terpaksa akur dengan perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi Sivil. Bilakah dan bagaimanakah kemelut perundangan ini akan berakhir? Jawapannya telah lama bermula dan hari ini ia dipersaksikan sekali lagi....

Tuesday, June 2, 2009

NO WAY TO MURTAD?

Memohon untuk murtad? Memohon kebenaran untuk murtad? Menuntut hak kebebasan beragama dan meninggalkan agama? Memeluk Islam dengan bersyarat? Semua itu slogan yang tidak pernah tercatat dalam kamus Islam. Tiada kebenaran untuk murtad. Itulah jawapan daripada al-Quran. Antara lain firman Allah Taala yang sering disebut setiap kali khutbah Jumaat:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan kekal sebagai orang Islam".


SAYA ULANGI: Janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan kekal sebagai orang Islam. Maka bagaimana seseorang boleh memasang niat akan murtad apabila tidak jadi berkahwin, atau akan murtad apabila bercerai. Jika niat untuk murtad ini ada dalam hati seseorang ketika saat memeluk Islam, maka Islamnya itu tidaklah sah. Ini kerana perbuatan memeluk Islam dengan meletakkan syarat untuk murtad apabila terjadi sesuatu keadaan, dengan sendirinya menafikan keislaman. Sama juga halnya jika seseorang Islam memasang cita-cita untuk murtad pada esok hari, maka ia akan dikira murtad pada hari itu juga (serta merta), dan wajiblah ia bertaubat.

Memandangkan betapa pentingnya membersihkan hati daripada niat atau cita-cita untuk murtad, maka wajarlah setiap muallaf yang hendak memeluk Islam ditanya apakah ia bercita-cita hendak murtad pada suatu hari nanti? Terutamanya jika pemelukan Islam itu disebabkan oleh faktor perkahwinan dan sebagainya. Tanyakanlah kepadanya, jika perkahwinannya gagal adakah dia berniat untuk murtad? Rekodkanlah jawapannya itu supaya dapat dirujuk bagi membuktikan keesahan Islamnya pada saat ia mula memeluk Islam. Janganlah jadi seperti kes Fatimah Tan yang diputuskan bahawa pemelukan Islamnya itu tidak sah. Alangkah sedihnya, daftar muallaf yang diberi pengiktirafan kehakiman, akhirnya terobek. Bukan kerana murtad tapi kerana pengislaman yang tidak sah.

Wednesday, April 22, 2009

Contoh Penyata Pembelaan Majlis Agama Islam Dalam Tuntutan Perisytiharan Keluar Islam

Berikut dikemukakan contoh dokumen penyata pembelaan untuk panduan kepada pihak-pihak yang berkepentingan dalam kes perisytiharan keluar Islam.
PEMBELAAN DEFENDAN PERTAMA DAN KETIGA
1. Defendan 1 dan Defendan 3 (selepas ini disebut sebagai Defendan-Defendan) merujuk kepada Pernyataan Tuntutan Terpinda Plaintif yang diendorskan bersama Saman Terpinda bertarikh 11hb Februari 2009 (selepas ini disebut sebagai ‘PTP tersebut’).

2. Defendan-Defendan mengakui dakwaan Plaintif yang dinyatakan dalam perenggan 1 hingga perenggan 3(i) PTP tersebut.

3. Dakwaan Plaintif di perenggan 3 (a) hingga perenggan 3(c) PTP tersebut adalah di luar pengetahuan Defendan-Defendan.

4. Dakwaan Plaintif di perenggan 3 (d) hingga perenggan 4 PTP tersebut tidak dipersetujui oleh Defendan-Defendan. Defendan-Defendan menegaskan bahawa pada zahirnya kemasukan Plaintif ke dalam agama Islam adalah sah dan mengikut kehendak undang-undang dan Hukum Syarak.

5. Dakwaan Plaintif di perenggan 5 PTP tersebut adalah di luar pengetahuan Defendan-Defendan. Walau bagaimanapun, Defendan mengatakan bahawa Dakwaan Plaintif yang disebutkan olehnya dalam perenggan 5 tersebut adalah satu pengakuan yang boleh mendedahkan dirinya kepada satu kesalahan jenayah syariah. Defendan-Defendan juga ingin katakan bahawa pengakuan Plaintif dalam perenggan 5 itu tidak semestinya menyebabkan Plaintif secara automatik terkeluar daripada agama Islam melainkan setelah diputuskan oleh Mahkamah ini.

6. Dakwaan Plaintif di perenggan 6 PTP tersebut adalah di luar pengetahuan Defendan-Defendan.

7. Dakwaan Plaintif di perenggan 7 dan 8 PTP tersebut tidak dipersetujui oleh Defendan-Defendan. Defendan-Defendan menegaskan bahawa Plaintif masih sah diperlakukan sebagai seorang Islam bagi maksud mana-mana undang-undang dan pada setiap masa menurut peruntukan seksyen 113 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

8. Dakwaan Plaintif di perenggan 9 dan 10 PTP tersebut diakui oleh Defendan-Defendan.

9. Tuntutan Plaintif di perenggan 11 PTP tersebut tidak dipersetujui oleh Defendan-Defendan.

TUNTUTAN BALAS DEFENDAN PERTAMA & KETIGA

1. Defendan-Defendan menegaskan bahawa pengislaman Plaintif adalah sah, memenuhi kehendak undang-undang dan hukum Syarak dan telah dibuat tanpa sebarang unsur paksaan. Ini menepati akur janji Plaintif dalam borang perisytiharan memeluk agama Islam yang menyatakan:

“Bahawasanya dengan suci hati dan dengan kehendak hati sendiri, tiada kerana dipaksa atau dipujuk. Hanya dengan petunjuk Allah, adalah saya pada hari dan saat ini memeluk agama Islam yang sebenarnya, saya mengaku bahawa saya akan berpegang teguh dan patuh kepada ajaran-ajaran Agama Islam yang sebenarnya hingga ke akhir hayat saya.”

2. Defendan-Defendan menegaskan bahawa Plaintif telah dengan sengaja enggan menunaikan kewajipannya sebagai seorang muallaf yang dikehendaki oleh seksyen 109 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

3. Adalah sukar bagi Defendan-Defendan menjalankan tanggungjawab sosialnya bagi memastikan Plaintif dapat menunaikan kewajipannya sebagai seorang Islam melainkan dengan cara Mahkamah ini memerintahkan Plaintif menjalani proses istitabah untuk bertaubat, mempelajari Islam dan kembali mengamalkan ajaran Islam.

4. Defendan-Defendan menegaskan bahawa dengan menandatangani borang perisytiharan memeluk agama Islam, Plaintif telahpun mempunyai keyakinan untuk berpegang dengan ajaran Islam. Sekiranya wujud sebarang keraguan di hati Plaintif mengenai Islam, maka Defendan hendaklah diberikan peluang bagi menjelaskan kepada Plaintif tentang agama Islam agar segala kekeliruan dan keraguan Plaintif dapat dipulihkan.

5. Defendan-Defendan menegaskan bahawa Plaintif haruslah terus direkodkan sebagai seorang Islam sehingga akhir hayatnya melainkan jika diperintahkan sebaliknya oleh Mahkamah. Defendan-Defendan menyatakan bahawa Plaintif hendaklah meninggalkan cara hidup agama Buddha dan hendaklah segera kembali kepada agama Islam yang telah dianutinya.

6. Defendan-Defendan menegaskan bahawa proses istitabah yang dikenakan terhadap Plaintif bukanlah satu bentuk hukuman bagi kesalahan jenayah, bahkan ia adalah salah satu tatacara bagi prosiding mal yang melibatkan tuntutan perisytiharan keluar Islam sebagaimana yang dikehendaki oleh Hukum Syarak.

7. Defendan-Defendan menjelaskan bahawa menurut Hukum Syarak, Mahkamah ini tidak boleh membuat perisytiharan atau membenarkan tuntutan Plaintif melainkan setelah proses istitabah dijalankan dengan sewajarnya.

8. Oleh yang demikian Defendan-Defendan membuat tuntutan balas seperti mana berikut:

(i) Mahkamah ini mengesahkan bahawa pengislaman Plaintif adalah sah menurut undang-undang dan hukum Syarak.

(ii) Mahkamah ini menolak tuntutan Plaintif.

(iii) Mahkamah ini memerintahkan Plaintif menjalani proses istitabah di pusat pemurnian aqidah Baitul Iman dengan pengawasan Jabatan Mufti Selangor selama tempoh 6 bulan atau tempoh lain yang sesuai, selaras dengan hukum syarak dan peruntukan seksyen 244 dan 245 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.

(iv) Mahkamah mengarahkan pihak Lembaga Zakat Selangor membiayai kos pengurusan yang diperlukan sepanjang masa Plaintif menjalani proses istitabah.

Monday, December 29, 2008

PENULIS BLOG MENGHINA NABI: Terrorist Yang Mengancam Keamanan Sejagat

Sama ada penulis blog menghina Rasulullah SAW itu suka atau tidak, gelaran terrorist atau pengganas sememangnya telah layak dinobatkan kepadanya. Amalan menghina agama lain tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Orang Islam tidak akan tergamak menghina agama lain, apatah lagi menghina agama sendiri. Allah Taala melarang umat Islam menghina tuhan-tuhan patung yang disembah oleh penganut agama lain. Secara qiyas atau mafhum muwafaqahnya, perbuatan menghina nabi, pengasas agama atau pendokong agama lain juga adalah dilarang. Islam mengalakkan hubungan baik antara seluruh manusia sejagat dan tidak menjadikan sentimen agama sebagai pencetus permusuhan. Namun gara-gara penulis blog tersebut telah jelas mempamerkan sikap permusuhannya terhadap Islam yang sentiasa menyambut baik perdamaian.
Sekiranya penulis blog menghina Nabi dan Rasul yang diimani oleh umat Islam itu adalah seorang Islam maka dia wajiblah bertaubat dengan beristighfar dan kembali memperbaharui kalimah syahadahnya. Sekiranya dia bukan orang Islam maka ia hendaklah meminta maaf kepada seluruh umat Islam. Jika sebelum ini ia menzahirkan kata-kata penghinaan dengan cara penyamaran, maka setidak-tidaknya gunakanlah cara yang sama bagi menzahirkan rasa bersalah dan meminta maaf. Janganlah menjadi seperti pepatah melayu ‘lontar batu sembunyi tangan’.

Thursday, December 25, 2008

MENUNTUT KEBENARAN MURTAD: Relif yang Menyalahi Syariah


Segelintir umat Islam masih tersasul lidahnya apabila membicarakan persoalan murtad. Itu belum lagi mengambilkira pihak non-muslim yang sememangnya jahil Syariah. Antara keceluparan mulut mereka ialah apabila mereka berani memfailkan permohonan kebenaran keluar daripada Islam (murtad) di Mahkamah Syariah. ‘Ayat-ayat cinta’ yang biasa digunakan dalam pernyataan tuntutan mereka ialah “menuntut relif supaya Mahkamah Syariah memberi kebenaran kepada Pliantif untuk keluar daripada agama Islam”. Cheewah! Banyak cantik dia punya ‘ayat cinta’!

Di pihak sebelah sini pula, ada juga orang kita yang gatal lidah mengatakan bahawa Mahkamah Syariah berbidang kuasa atau boleh memberi kebenaran untuk seseorang keluar daripada agama Islam. Waw! Siapa pulak yang mengajar mereka ‘ayat cinta’ sedemikian?

Saya suka mengingatkan bahawa Mahkamah Syariah tidak boleh memberi kebenaran untuk murtad dan orang Islam tidak boleh memohon kebenaran murtad. Alasannya sangat mudah. Untuk memudahkan kefahaman, cuba anda tukarkan perkataan ‘murtad’ dengan perkataan ‘zina’. Jadi adakah Mahkamah Syariah boleh memberi kebenaran untuk berzina dan adakah seseorang boleh memohon kebenaran untuk berzina? Lagi sekali, cubalah anda fikirkan betapa celuparnya mulut mereka yang mengatakan Mahkamah Syariah boleh memberi kebenaran untuk murtad. Kalaulah kebenaran murtad boleh diberi, maka kebenaran berzina dan berjudi pun suatu hari nanti akan dituntut oleh mereka.

Kita perlu tahu apakah istilah atau ‘ayat cinta’ yang patut digunakan dalam isu murtad ini. Di sini saya tak tergamak nak mengatakannya. Nanti saya pulak dituduh mengajar orang cara-cara nak murtad.

Thursday, December 18, 2008

BENGKEL BAGAIMANA MENANGANI ISU MURTAD

Alhamdulillah....................... Satu bengkel tertutup bertajuk "Bagaimana Menangani Isu Murtad" telah berjaya dilaksanakan pada hari ini. Ia dibuat sebagai salah satu daripada keperluan penyelidikan yang dijalankan dengan kerjasama beberapa Universiti Awam tempatan. Saya berpeluang menyertainya. Namun tiada laporan lanjut boleh dikemukakan di sini. Posting ini sekadar memaklumkan bahawa usaha-usaha menangani permasalahan murtad sedang dijalankan dan cadangan penyelesaian akan diperhalusi sebaik mungkin sebelum sebarang langkah diambil.

Sunday, November 23, 2008

KEKELIRUAN MURTAD: Kebebasan Memilih Agama vs Kebebasan Bertukar Agama

Istilah MURTAD amat menakutkan dan adakalanya amat menyedihkan untuk didengar. Sebahagian daripada rakyat Malaysia masih keliru antara kebebasan memilih agama dan kebebasan bertukar agama. Apa yang jelas, setiap individu sememangnya berhak memilih dan mengamalkan agamanya, tetapi dia tidak bebas untuk bertukar-tukar agama. Analoginya samalah ibarat kebebasan seseorang memilih pasangan tetapi tidak bebas bertukar-tukar pasangan. Contohnya apabila seorang perempuan telah memilih pasangan lelaki dan telah mengahwininya, maka dia tidak bebas lagi bertukar pasangan untuk berkahwin dengan lelaki lain pula. Sebaliknya dia akan tertakluk kepada peraturan yang dikenakan dalam perkahwinannya dengan lelaki yang telah sedia dipilih olehnya. Sama juga halnya bagi seorang lelaki yang telah memilih pasangan perempuan sebagai isteri, dia tidak bebas bertukar-tukar isteri dengan menceraikan isteri pertama sesuka hati atau berpoligami sesuka hati. Sebaliknya dia dikehendaki melaksanakan kewajipan perkahwinan dan menunaikan hak-hak terhadap isteri yang sedia ada.

Memilih agama bagi orang yang belum beragama atau yang bukan Islam adalah hak yang diakui oleh Islam seperti yang disebut dalam surah al-Kafirun dan ayat 256 surah al-Baqarah. Mereka berhak memilih untuk memeluk Islam atau kekal dengan agama bukan Islam. Inilah yang dimaksudkan dengan ungkapan 'tiada paksaan dalam beragama'. Akan tetapi sesudah mereka memilih Islam sebagai agama, mereka tidaklah bebas bertukar-tukar kepada agama lain. Sebaliknya mereka dikehendaki mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam agama Islam yang telah sedia dipilih oleh mereka sendiri. Antara peraturan yang terpakai dalam bab murtad ialah kewajipan menjalani proses istitabah. Setiap individu yang hendak murtad wajib melalui proses ini supaya mereka dapat diberi pilihan yang adil untuk bertaubat atau sebaliknya. Tiada hukuman muktamad boleh dikenakan ke atas mereka melainkan setelah proses istitabah ini selesai.


JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus