Showing posts with label KULIAH TAFAQQUH. Show all posts
Showing posts with label KULIAH TAFAQQUH. Show all posts

Thursday, January 1, 2009

FIQH SYAFI'I (Mughni al-Muhtaj) Bab Muamalat -Rukun Jual Beli



وأركانه كما في المجموع ثلاثة وهي في الحقيقة ستة عاقد وهو بائع ومشتر ومعقود عليه وهو ثمن ومثمن وصيغة وهي إيجاب وقبول وكان الأولى للمصنف أن يقدم الكلام على العاقد ثم المعقود عليه ثم الصيغة لكنه بدأ بها كما قال الشارح لأنها أهم للخلاف فيها وأولى من ذلك أن يقال لأن العاقد والمعقود عليه لا يتحقق إلا بها وعبر عنها بالشرط خلاف تعبيره في المجموع كالغزالي بأركان البيع والتعبير بالركن أولى نعم قد يراد بالشرط ما لا بد منه بالركن
Terjemahan dan Syarahan:

Al-Syarbini menukilkan bahawa rukun jualbeli seperti yang tercatat dalam kitab al-Majmu’ (an-Nawawi) ada tiga perkara. Sungguhpun demikian al-Syarbini menegaskan pada hakikatnya rukun jualbeli itu ada enam, iaitu:

1- Orang yang berakad, terdiri daripada penjual dan pembeli.
2- Barang yang diakadkan, terdiri daripada mata wang yang menjadi pengukur harga dan barang jualan yang berharga.
3- Sighah, iaitu ijab dan qabul

Kata al-Syarbini: Adalah lebih baik bagi pengarang kitab al-Minhaj (al-Nawawi) mendahulukan perbahasan tentang orang yang berakad sebagai rukun pertama, kemudian barang yang diakadkan sebagai rukun kedua kemudian barulah sighah. Akan tetapi beliau (al-Nawawi) telah memulakan perbahasan dengan sighah sebagai rukun pertama, seperti mana yang dikatakan oleh pensyarah kitab (Jalaluddin al-Mahalli) atas alasan ia lebih penting disebabkan wujudnya khilaf pada rukun itu. Kata al-Syarbini: Dan yang lebih elok daripada itu jika ia mengatakan kerana orang yang berakad dan barang yang diakad tidak akan terjalin melainkan dengan wujudnya sighah (akad).

Kata al-Syarbini lagi: Dan (dalam kitab al-Minhaj ini) al-Nawawi memakai istilah ‘syarat jual beli’ berbeza daripada istilah yang digunakan olehnya dalam kitab al-Majmuk, sama seperti al-Ghazali (dalam kitab al-Wajiz) yang menggunakan istilah ‘rukun jualbeli’.

Al-Syarbini mengatakan: dan menggunakan istilah ‘rukun’ adalah lebih utama. Akan tetapi diterima juga pengunaan istilah ‘syarat’ kerana kadang-kala apa yang dimaksudkan dengan syarat ialah sesuatu yang mesti ada pada rukun.

Wednesday, December 31, 2008

FIQH SYAFI'I (Mughni al-Muhtaj): Bab Muamalat-Dalil Hadith Jual Beli




وأحاديث كحديث سئل النبي صلى الله عليه وسلم أي الكسب أطيب فقال عمل الرجل بيده وكل بيع مبرور أي لا غش فيه ولا خيانة رواه الحاكم وصححه وحديث إنما البيع عن تراض

Terjemahan dan Syarahan:

Manakala dalil pensyariatan dan keharusan jual beli daripada Hadith ialah seperti hadith: “Sesungguhnya Nabi SAW ditanya mengenai pekerjaan apakah yang paling baik. Maka jawab Baginda: Pekerjaan terbaik ialah kerja halal yang dilakukan oleh seseorang dengan tangannya dan semua jualbeli mabrur (yang menepati semua hukum hakamnya) iaitu yang tiada berlaku penipuan dan khianat padanya.” Hadith ini diriwayatkan oleh al-Hakim dan ia mengatakan hadith ini adalah sahih. Dalil berikutnya adalah hadith bermaksud: “Bahawasanya jualbeli itu berlaku dengan cara reda meredai (antara penjual dan pembeli).”

Thursday, December 18, 2008

Fiqh Syafie: Bab Murtad (Kitab Mughni al-Muhtaj)

Takrif Murtad: iaitu memutuskan (atau menamatkan) keislaman sama ada dengan niat (dalam hati) atau perkataan kufur (yang menyatakan keingkaran terhadap hukum Allah) atau perbuatan (seperti menyembah selain daripaa Allah), sama ada dengan cara mempersendakan, membantah atau mempercayai apa yang bertentangan dengan aqidah Islam.

Saturday, December 13, 2008

Fiqh Syafi'i: Bab Muamalat JUAL BELI (Kitab Mughni al-Muhtaj)



والأصل في الباب قبل الإجماع آيات كقوله تعالى وأشهدوا إذا تبايعتم وقوله تعالى وأحل الله البيع وأظهر قولي الشافعي أن هذه الآية عامة في كل بيع إلا ما خص بالسنة فإنه صلى الله عليه وسلم نهى عن بيوع والثاني أنها مجملة والسنة مبينة لها وتظهر فائدة الخلاف في الاستدلال بها في مسائل الخلاف فعلى الأول يستدل بها وعلى الثاني لا يستدل

Terjemahan dan Syarahan:

Dalil asas (yang menyatakan hukum keharusan) dalam bab jualbeli sebelum berlakunya Ijmak Ulamak ialah beberapa ayat al-Quran seperti firman Allah Taala, (…dan persaksikanlah apabila kamu berjualbeli)- al-Baqarah; ayat 282. Daripada ayat ini ternyatakan bahawa berjual beli itu disyariatkan dalam Islam kerana jika tidak demikian maka tiadalah faedah dianjurkan supaya mengadakan saksi dalam berjual beli. Perintah mendatangkan saksi ketika berjual beli menunjukkan bahawa jual beli itu suatu yang disyariatkan dan tidak dilarang.

Keduanya adalah firman Allah Taala (…dan Allah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba’) –al-Baqarah; ayat 275. Ayat ini lebih jelas daripada ayat pertama kerana menyebutkan hukum halal bagi jual beli. Tambahan daripada itu ayat ini juga menyebut keharaman riba yang bercanggah dengan konsep jual beli.

Menurut Qaul al-Azhar daripada dua qaul Imam al-Syafie, ayat 275 surah al-Baqarah di atas yang menghalalkan jual beli adalah bersifat umum (mengambil hukum lafaz am) yang meliputi semua jenis jualbeli. Beristidlalkan kepada lafaz am ini maka semua jenis jual beli adalah halal melainkan apa yang ditakhsis, dibataskan atau dilarang oleh al-sunnah (Hadith Nabi) seperti hadith “sesungguhnya Rasulullah SAW melarang daripada beberapa jenis jualbeli” (seperti membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain, membeli secara ihtikar atau menyorok barang untuk menjualnya dengan lebih mahal, membeli barang dengan cara memintas di perjalanan sebelum penjual mengetahui harga pasaran dan jual beli yang melibatkan penipuan).

Menurut qaul kedua Imam Syafie (qaul al-zahir), ayat 275 al-Baqarah di atas adalah bersifat mujmal (ringkas) yang tidak menunjukkan keharuskan jual beli secara mutlak bahkan ia memerlukan kepada dalil lain untuk memperincikan syarat-syarat keharusan jual beli. Justeru al-sunnah (hadith Nabi) diperlukan untuk memperincikan (sebagai mubayyin) hukum-hakam jual beli supaya dapat dibezakan jual beli yang dihalalkan dan yang dilarang.

Berdasarkan kepada kedua-dua qaul al-Syafi’i, terdapat beberapa khilaf hukum yang timbul dalam beristidlal dengan ayat di atas, iaitu pada beberapa permasalahan khilaf antaranya terdapat juga dalam bab jual beli. Secara ringkasnya di sini, jika hukum dalam permasalahan khilaf itu diputuskan menurut qaul al-azhar, maka ia akan beristidlal dengan ayat al-Quran yang mempunyai lafaz umum. Sebaliknya jika permasalahan khilaf itu bersandarkan kepada pendapat kedua (qaul az-zahir), maka ia tidak akan beristidlal dengan ayat al-quran yang bersifat mujmal. Bahkan ia akan merujuk kepada al-Sunnah untuk memperincikan hukumnya. Wallahu A’lam.

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus