Wednesday, July 28, 2010

JURAISH SYARIAH ASSOCIATES: MENJELANG ULANGTAHUN PERTAMA


Alhamdulillah. Apa lagi yang mampu diucapkan selain dari kalimah kesyukuran kepada Allah. Lagi beberapa hari sahaja lagi, maka genaplah setahun usia firma guaman Juraish Syariah Associates (JSA) beroperasi di atas landscape perundangan negara. 01 Ogos 2009 firma ini mula beroperasi dengan fail kes pertama JSA/PS/01/08-2009/001 merupakan tuntutan harta sepencarian terhadap harta bernilai melebihi RM 1 juta. Kini Alhamdulillah fail kes telah menjangkau angka 60 termasuk 20 fail yang telah diselesaikan, dengan klien yang pelbagai daripada kalangan insan biasa, muallaf, pegawai awam, badan berkanun, selebriti dan kerabat diraja.

Banyak juga yang telah dipelajari sendiri dari pengalaman dan pengamatan sepanjang setahun ini. Namun lebih banyak lagi yang perlu dipelajari. Rupanya banyak juga penemuan yang sebelum ini saya tidak tahu, antara lain:

1) Lebih sibuk dan lebih pening daripada makan gaji, walaupun berbaloi (atau berbaloi-baloi).
2) Lebih penat tapi lebih seronok sampai kadang-kadang tak ingat nak balik rumah atau ambil anak dari sekolah.
3) Lebih banyak fail perlu diletak atas meja supaya tidak terlepas pandang jika disimpan dalam folder atau rak fail.
4) Tiada lagi cuti rehat 30 hari setahun. Walaupun dah direserve untuk cuti, kadang-kadang terpaksa diisi dengan kes yang datang tanpa diduga.
5) Kurang masa untuk menulis blog, menulis buku, balik kampung, malah untuk berface book pun tak dapat hari-hari walaupun internet 24 jam ada atas handphone.
6) Kena lebih banyak berdikari dan bergantung kepada Allah. Tak boleh lagi bergantung kepada majikan sebab dah tak ada majikan, tak ada gaji, tak ada elaun, tak ada pencen.

Sekian dulu, Wassalam.

Sunday, June 6, 2010

Post-Mortem Kegagalan Misi Kemanusiaan Mavi Marmara Ke GAZA


Segala pujian bagi Allah Tuhan Sekalian Alam. Sebaik-baik selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah al-Amin dan sesiapa yang mengikut petunjuknya. Seburuk-buruk kejian, cacian dan laknat ke atas Syaitan Israel dan sesiapa yang bersekutu dengannya.


Entri ini disiarkan bagi mempersoalkan kepada seluruh Umat Islam termasuk diri saya sendiri; mengapakah misi kemanusiaan ke Gaza menerusi kapal pertama bernama Mavi Marmara dapat ditewaskan. Berikut adalah 5 punca kegagalan yang dapat dikenal pasti.


1- Kapal bantuan kemanusiaan tidak belayar serentak


Mengapa kesemua kapal bantuan kemanusiaan tidak dikordinasikan supaya dapat belayar serentak dan tiba di perairan antarabangsa luar Gaza-Israel pada masa yang sama. Sekiranya kesemua kapal bantuan sampai serentak, pasukan bantuan pasti kelihatan lebih kuat dan sukar untuk disekat. Ini kerana jika terdapat lebih daripada satu kapal, pihak musuh pasti sukar untuk memberi fokus dalam serangan dan terpaksa menempuhi usaha yang lebih sukar untuk menggagalkan misi bantuan. Jika satu kapal disekat, kapal lain masih boleh meneruskan misi.


Perhatikan firman Allah Taala dalam Surah al-Saf, ayat 4. “Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berperang dijalan-Nya (untuk membela agama-Nya) dalam barisan yang teratur bagaikan sebuah bangunan yang tersusun kukuh”.


Dalam konteks bantuan kemanusiaan ini, pergerakan kapal dalam satu barisan yang teratur hanya dapat direalisasikan jika ia bergerak menggunakan beberapa kapal dalam masa serentak. Ia tidak dapat dilakukan jika kapal bergerak berasingan dan tidak serentak.


Pengajaran: PERGERAKAN SISTEMATIK ADALAH SENJATA DALAM PEPERANGAN, MANFAATKANLAH IA SEMASA AMAN.


2. Kapal bantuan tidak distruktur kepada kapal yang lebih kecil.


Mengapa kapal bantuan tidak distruktur kepada kapal-kapal yang lebih kecil supaya jumlahnya lebih banyak dan menyukarkan serangan musuh bagi meyekat misi bantuan. Sekiranya kita menghantar kapal yang lebih kecil dengan kuantiti yang lebih banyak, maka ia lebih kelihatan kuat dan sukar untuk disekat.


Lihatlah sahaja bagaimana cara Israel mengekat Mavi Marmara (yang besar gedabak tu). Mereka menghantar kapal kecil dalam jumlah yang banyak (lebih daripada satu). Mereka langsung tidak menggunakan kapal besar. Mereka tahu jika satu kapal besar termusnah berapakah kosnya jika berbanding sebuah kapal kecil. Lihatlah mengapa Amerika menempatkan tenteranya di 75 negara sedangkan mereka boleh megumpulkan kesemuanya di dalam satu negara, tetapi mengapa mereka tidak melakukannya?


Perhatikan pula bagaimana Allah mengutuskan burung-burung Ababil yang kecil dalam kuantiti yang banyak untuk menewaskan tentera bergajah Abrahah sedangkan Allah boleh sahaja menghantar seekor burung raksasa untuk menewaskan Abrahah, tetapi Allah tidak berbuat demikian. Perhatikan pula bagaimana Allah mengutuskan ribuan malaikat untuk membantu tentera Islam dalam peperangan di zaman Rasulullah SAW, sedangkan Allah boleh sahaja menghantar satu malaikat yang besar untuk menewaskan musuh-Nya.


Pengajaran: KUANTITI ADALAH SENJATA DALAM PEPERANGAN, MANFAATKANLAH IA SEMASA AMAN


3. Tidak Mensyukuri Bantuan Allah


Mengapa timbul rasa lucu di kalangan sukarelawan Islam, ketika melihat tentera Israel ketakutan. Saya mendapat maklumat ini daripada laporan akhbar Berita Harian hari ini 5 Jun 2010, halaman 41. Difahamkan ketika sukarelawan mempertahankan diri ketika melawan tentera Israel hanya dengan menggunakan botol air mineral dan tangan kosong, tentera Israel kelihatan lari ketakutan. Ini sudah pasti bantuan Allah yang mencampakkan rasa gerun dan gentar dalam hati tentera Israel seperti mana firmanNya dalam surah Ali Imran, ayat 151: “ Kami akan masukkan ke dalam hati orang kafir itu rasa takut disebabkan mereka mempersekutukan Allah…”


Namun malangnya bantuan Allah ini disahut dengan rasa lucu oleh sebahagian daripada kita. Sepatutnya kita menyahutnya dengan penuh rasa keinsafan, kesyukuran dan keyakinan kepada Allah bukan dengan cara merasa lucu apatah lagi mentertawakan musuh. Mungkin kerana rasa kelucuan ini akhirnya kita terlupa pada tujuan sebenar dan terlalai daripada mensyukuri bantuan Allah dan menyebabkan musuh berjaya menewaskan kita. Alhamdulillah, rahmat dan ehsan Allah kepada kita masih ada.


Pengajaran: BANTUAN ALLAH ADALAH SENJATA UTAMA KETIKA PEPERANGAN, MANFAATKANLAH IA SEMASA AMAN


4. ‘Plan B’ Bantuan Kemanusiaan oleh Tentera Tidak Diisytiharkan


Mengapa sebelum bantuan kemanusiaan oleh sukarelawan dihantar, atau ketika ia cuba disekat, kita tidak mengisytiharkan pelan kedua (sebagai back-up) bahawa bantuan kemanusiaan oleh Tentera Bersenjata akan dibuat jika bantuan kemanusiaan oleh sukarelawan tanpa senjata disekat. Perisytiharan ini sudah pasti akan membuatkan pihak Israel berfikir dua kali untuk menghalang pasukan sukarelawan, kerana bagi mereka penghantaran bantuan yang dibuat oleh sukarelawan adalah lebih mereka sukai daripada penghantaran bantuan oleh pasukan tentera.


Perhatikan bagaimana strategi ini digunakan oleh Rasulullah SAW ketika misi baginda dan kaum muslimin ingin menunaikan Umrah pada tahun 6 Hijrah cuba dihalang oleh Musyrikin Mekah. Baginda mendapatkan pandangan Abu Bakar r.a. Kata Abu Bakar: “Wahai Rasulullah, tuan telah keluar dengan tujuan semata-mata kepada Baitullah, bukan untuk membunuh atau memerangi sesiapa. Bergerak maralah ke Baitullah itu, tetapi jika ada sesiapa yang menghalang, kita perangi dia”. Kemudian Rasulullah SAW bergerak hingga tiba di Lembah Hudaibiyyah dan baginda diberitahu oleh Budail ibn Warqa’ bahawa kaum musyrikin telah bersiap sedia untuk menghalang dan memerangi jamaah Umrah Baginda. Lalu Baginda mengisytiharkan: “Kami datang dengan tujuan mengerjakan Umrah, bukan untuk memerangi sesiapa pun. Sekiranya mereka suka aku minta mereka beri penangguhan sehingga suatu masa. Tetapi jika mereka enggan, demi Allah aku akan perangi mereka……” Kata Budail: “Aku akan sampaikan apa yang engkau katakan itu kepada kaum Musyrikin Mekah”. (sumber fiqh sirah, al-Buti)


Akhirnya dengan strategi tersebut, termeterailah satu perjanjian damai Hudaibiyyah yang tidak membawa pertumpahan darah dan mengakui hak kaum Muslimin melakukan Umrah ke Baitullah pada tahun berikutnya dengan membawa PEDANG BERSARUNG.


Perbuatan Rasulullah SAW dan Sahabat melakukan Umrah dengan pedang bersarung ini bolehlah disamakan dengan konteks kita sekarang dalam membuat pengantaran bantuan kemanusiaan melalui pasukan tentera bersenjata, tanpa niat berperang tetapi bersedia untuk mempertahankan diri.


5. ‘Plan C’ Tindakan Ketenteraan Mutlak tidak Diisytiharkan


Peperangan adalah pelan terakhir yang patut diberitahu awal-awal kepada Israel jika mereka masih menghalang Pelan B dilaksanakan.Beranikah kita melakukannya?


Susah sangatkah untuk kita mengucapkannya (peperangan) dengan mulut kita, walaupun kita tidak berani melakukannya dengan tangan kita. Susah sangatkah untuk kita menundukkan Israel kepada keadilan dan kemanusiaan. Sedangkan…


ISRAEL ITU HANYA SEBUAH NEGARA KECIL

ISRAEL ITU HANYA SEBUAH NEGARA HARAM

ISRAEL ITU HANYA ADA BEBERAPA JUTA PENDUDUK

TENTERA ISRAEL ITU HANYA ADA BEBERAPA RIBU SAHAJA

ISRAEL ITU TERPISAH JAUH DARIPADA SEKUTUNYA AMERIKA

ISRAEL ITU DIKELILINGI OLEH BERPULUH NEGARA ISLAM.

ISRAEL ITU SANGAT LEMAH, TETAPI MASALAHNYA KITA LEBIH LEMAH….


Untuk menewaskan Israel, kita mesti berfikir seperti seorang komander tentera terakhir berfikir. Jangan harap ada bantuan lain sesudah ini….Misi ini perlu diselesaikan walau apapun jua natijahnya. Jangan bimbangkan kekalahan kerana kemenangan sudah pasti milik kita…. Begitulah janji Allah.

Wang Syubhah: Dividen ASB RM35,000 Diserah Kepada Baitulmal Untuk Manfaat Semua


Kali ini saya ingin kongsikan apa yang dilakukan oleh salah seorang anak guam saya untuk membersihkan sumber pendapatannya daripada unsur syubhah. Beliau telah mengambil keputusan untuk menyerahkan RM35,000.00 daripada pendapatan ASB beliau kepada 4 buah baitulmal. Berikut adalah surat iringan yang dikirimkan kepada baitulmal (dengan ubahsuai yang perlu bagi merahsiakan identiti anak guam tersebut):


Kepada: 25 Mei 2010

Senarai Edaran

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Dato’/Tuan/Puan,

PENYERAHAN WANG SYUBHAH HASIL DARI DIVIDEN/ PENDAPATAN/ BONUS ASB KEPADA BAITULMAL OLEH xxx

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk di mana kami mewakili penama di atas.

Bersama-sama ini diserahkan cek dengan jumlah yang dinyatakan bagi tujuan untuk membersihkan hasil pendapatan anakguam kami dalam simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) beliau. Anakguam kami telah mengambil keputusan untuk membersihkan lebih kurang 50% daripada pendapatan ASB beliau yang keseluruhannya berjumlah RM35,000.00.

Wang tersebut dipohon supaya dimasukkan ke dalam Baitulmal negeri yang berkenaan untuk kegunaan yang diharuskan. Berikut adalah kadar pengagihan yang diputuskan oleh anakguam kami:

No. Cek

Penerima

Jumlah (RM)

CIMB 445385

MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU PERAK

10,000.00

CIMB 445386

MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR

10,000.00

CIMB 445388

MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN

8,000.00

CIMB 445390

MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI SEMBILAN

7,000.00

JUMLAH KESELURUHAN (RM)

35,000.00

Diharapkan dengan penyerahan ini, baki pendapatan ASB yang diterima oleh anakguam kami akan dapat dibersihkan daripada segala unsur syubhah dan keraguan serta mendapat keredaan dan keberkatan daripada Allah Taala di dunia dan Akhirat.

Anakguam kami juga berharap agar tindakan beliau ini dapat dirahsiakan melainkan atas kepentingan awam dan tujuan-tujuan lain yang diharuskan.

Segala kerjasama daripada pihak Dato’/ Tuan/ Puan diucapkan ribuan terima kasih. Kepada Allah jua tempat kita dikembalikan.

Sekian, والسلام.

Yang suci hati,

JURAISH SYARIAH ASSOCIATES

Saturday, May 22, 2010

Jenama Produk Berdasarkan Jumlah Sumbangan Qard Hasan (Siri 9)


Allah Taala telah berfirman dalam ayat 282 surah al-Baqarah:


وَلَا تَسْأَمُوا أَنْ تَكْتُبُوهُ صَغِيرًا أَوْ كَبِيرًا إِلَى أَجَلِهِ ذَلِكُمْ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ وَأَقْوَمُ لِلشَّهَادَةِ وَأَدْنَى أَلَّا تَرْتَابُوا

“

Janganlah kamu jemu menulis urusan hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu (catatan-catatan hutang itu) lebih adil di sisi Allah dan lebih menguatkan keterangan saksi dan juga lebih kecil kemungkinan yang boleh menimbulkan keraguan kamu…”


Ayat di atas mengisyaratkan bahawa terdapatnya rasa jemu dalam menulis hutang sama ada hutang itu banyak atau sedikit. Didapati bahawa rasa jemu yang dimaksudkan itu telah dikaitkan dengan perkataan ‘sedikit atau banyak’. Dari situ wujud ihtimal bahawa rasa jemu ini boleh berlaku disebabkan sesuatu sebab yang berpunca daripada transaksi yang berkait rapat dengan jumlah hutang. Antara sebab yang boleh menimbulkan kejemuan dalam urusan jumlah hutang ialah menulis catatan jumlah hutang yang berubah-ubah dari sedikit menjadi banyak dan sebaliknya dari banyak menjadi sedikit sehinggalah tempoh hutang itu selesai. Justeru dapatlah difahami bahawa ayat di atas mengasaskan dalil yang mengharuskan transaksi hutang diubah jumlahnya daripada sedikit menjadi banyak dan daripada banyak menjadi sedikit atas persetujuan pihak pemiutang dan penghutang selagi mana ia dicatatkan dengan adil dan tidak melibatkan penipuan serta riba’.


Berdasarkan kepada dalil di atas maka dicadangkan supaya produk qard hasan ini turut diklasifikasikan dari sudut kuantitinya kepada 2 jenis iaitu qard hasan bertambah dan qard hasan berkurang.


4.8.5- Qard Hasan Bertambah (Mutazayid) القرض الحسن المتزايد

Iaitu sumbangan sementara untuk tempoh jangka panjang atau pendek yang dibuat oleh seseorang kepada baitulmal atas prinsip qard hasan dengan ikhlas mengharap keredaan Allah, tanpa mendapat pulangan keuntungan material, dengan berlaku penambahan kepada sumbangan dari semasa ke semasa tanpa menjejaskan tempoh matang qard.

Sebagai contoh individu yang menyumbang melalui produk qard hasan muakhkhar (jangka panjang) selama 5 tahun, dengan sumbangan permulaan sebanyak RM1,000.00 kemudian beliau menambah sumbangan (secara automatik melalui potongan gaji) sebanyak RM1,000.00 pada setiap tahun, maka pada tahun kelima beliau telah menyumbang sebanyak RM5,000.00. Apabila tamat tempoh 5 tahun kesemua sumbangan terkumpul berjumlah RM5,000.00 akan dikembalikan kepada penyumbang. Produk ini juga boleh dilaksanakan terhadap qard hasan mu’ajjal (jangka pendek) berdasarkan kiraan bulan (contohnya, minima 3 bulan).


CIRI-CIRI: Baitulmal berhak memanfaatkan sumbangan qard hasan selagi mana penyumbang tidak menebusnya. Jika penyumbang membuat penebusan sebelum tempoh setahun, maka fi perkhidmatan akan dikenakan. Namun jika ia membuat penebusan selepas tempoh setahun, maka tiada bayaran perkhidmatan dikenakan, tertakluk kepada kadar zakat wajib 2.5% jika mencukupi nisab. Jika penyumbang gagal membuat penambahan sumbangan seperti yang dijanjikan, maka tiada fi perkhidmatan dikenakan kerana ketiadaan penambahan sumbangan tidaklah menghilangkan keseluruhan manfaat qard. Namun penyumbang qard hasan sewajarnya tidak memungkiri janjinya selagi mana ia tidak berkeuzuran.


4.8.6- Qard Hasan Berkurang (Mutanaqis) القرض الحسن المتناقص

Iaitu sumbangan sementara untuk tempoh jangka panjang atau pendek yang dibuat oleh seseorang kepada baitulmal atas prinsip qard hasan dengan ikhlas mengharap keredaan Allah, tanpa mendapat pulangan keuntungan material, dengan berlaku pengurangan kepada sumbangan dari semasa ke semasa tanpa menjejaskan tempoh matang qard.


Sebagai contoh individu yang menyumbang melalui produk qard hasan muakkhar (jangka panjang) selama 5 tahun, sebanyak RM5,000.00 kemudian beliau mengurangkan sumbangan (secara automatik melalui arahan tetap dll) sebanyak RM1,000.00 pada setiap tahun, maka pada tahun kelima sumbangan beliau berkurang kepada RM1,000.00. Apabila tamat tempoh 5 tahun baki sumbangan qard hasan yang tinggal akan dikembalikan kepada penyumbang. Ia juga boleh dilakukan terhadap qard hasan mu’ajjal (jangka pendek)berdasarkan kiraan bulan.


CIRI-CIRI: Baitulmal berhak memanfaatkan sumbangan qard hasan selagi mana penyumbang tidak menebusnya. Jika penyumbang membuat penebusan sebelum tempoh setahun (bagi qard hasan muakhkhar) atau kurang tempoh minima (bagi qard hasan mua’jjal), maka fi perkhidmatan akan dikenakan.


Saturday, March 13, 2010

Jadilah Yang PERTAMA Memulakan Kebaikan, Asalkan Tidak Bid'ah


Sudah lama saya tidak memasukkan entri baru di blog ini gara-gara kesibukan mengurus firma guaman sendiri dan keluarga hampir 18 jam sehari. Satu komitmen yang jarang-jarang dibebankan ke atas saya semasa di sektor awam sebelum ini. Alhamdulillah malam ini saya digerakkan hati untuk membuat sedikit coretan. Intipati penting dalam posting kali ini ialah kita perlu berusaha memulakan kebaikan yang belum pernah dilakukan oleh orang lain sebelum kita. Jika terbukti sesuatu perkara itu ada kebaikannya, maka kita perlulah memulakan langkah untuk melakukannya walaupun perkara itu tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW sendiri. Ini bukan satu bid’ah kerana Rasulullah SAW sendiri telah memberi galakan untuk kita mencipta dan memulakan kebaikan berdasarkan sabdanya (Riwayat Imam Muslim):

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ


Bermaksud: “Barang siapa yang memulakan dalam Islam satu amalan yang baik lalu perkara itu diikuti (oleh orang lain) sesudahnya, maka dituliskan (ganjaran pahala) untuknya sama seperti ganjaran pahala orang yang melakukannya tanpa dikurangkan pahala mereka sedikitpun....”


Alhamdulillah, sedikit sebanyak daripada kehendak hadith ini telah dapat saya laksanakan. Namun begitu saya pasti di luar sana masih terdapat banyak lagi kebaikan yang belum dimulakan. Di sini ingin saya kongsikan antara kebaikan yang telah saya mulakan. Semoga Allah menerimanya sebagai suatu kebaikan di sisiNya…. Amin.


1. LULUSAN DAIJ PERTAMA DARI SARJANA MUDA ILMU WAHYU UIAM


Yang pertama dari kelulusan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Pengajian Islam Berteraskan Wahyu (B. IRKH) pengkhususan Fiqh dan Usul al-Fiqh, UIAM memohon dan berjaya diterima masuk bagi melanjutkan pengajian dalam Diploma Lanjutan Undang-Undang dan Pentadbiran Kehakiman Islam (DAIJ) di UIAM. Ini berlaku pada sesi 2000/2001 di mana saya satu-satunya calon DAIJ dari lulusan IRKH ketika itu berbanding calon-calon lain yang semuanya berkelulusan Syariah dan Undang-Undang. Saya difahamkan oleh para pensyarah, sebelum saya belum pernah lulusan Bachelor IRKH memohon dan diterima masuk untuk program DAIJ yang memang dikhususkan untuk lulusan Undang-Undang Syariah bagi menjawat jawatan Hakim Syarie dan seumpamanya. Permohonan saya akhirnya diluluskan atas alasan bidang pengkhususan Fiqh dan Usul al-Fiqh mempunyai persamaan (equivalence) dengan pengkhususan Syariah. Tindakan saya ini telah membuka jalan kepada generasi B.IRKH sesudah saya untuk melakukan perkara yang sama dan saya difahamkan ramai juga yang mengikut jejak langkah saya selepas itu. Namun di sebalik kemasukan saya ke program DAIJ banyak individu yang telah memberi galakan dan sokongan antaranya bekas pensyarah IRKH saya Y. Bhg. Prof. Madya Dr. Akram Laldin yang memberi sokongan penuh dalam borang permohonan untuk kemasukan ke program DAIJ. (Terima kasih Prof). Beliau kini Pengarah Eksekutif di Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa (ISRA). Baru pagi tadi saya menghadiri pembentangan kertas kerja beliau dalam Konvensyen Kewangan dan Perbankan Islam 2010 di Masjid Negeri Shah Alam. Walau apapun kebaikan yang pernah saya mulakan, saya pasti beliau telah mendahului saya dalam kebaikan tersebut kerana beliaulah orang yang mendorong dan menyokong saya untuk melakukannya.

(Soalan : Siapa dan di manakah agaknya lulusan B.IRKH yang mengambil DAIJ selepas saya? )


2. PEGUAM SYARIE (SELANGOR) PERTAMA DARI LULUSAN IJAZAH B.IRKH


Yang pertama dari kalangan kelulusan ijazah sarjana muda ilmu wahyu (B. IRKH) diterima sebagai Peguam Syarie Negeri Selangor pada tahun 2005. Saya masih ingat lagi betapa susahnya untuk saya diterima sebagai Peguam Syarie Negeri Selangor ketika itu kerana ijazah saya bukan dari lulusan Undang-Undang Syariah. Walaupun ketika itu saya mempunyai tiket khas kerana berkhidmat di Unit Guaman Syarie, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), namun permohonan pertama saya ditolak atas alasan ijazah saya tidak tertera perkataan SYARIAH. Saya akhirnya merayu kepada Pengerusi Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Selangor pada masa itu Datin Badariah (Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor) dan ditemani oleh Ustazah Sabariah Hj. Salleh, Penolong Pengarah JAIS (terima kasih). Selepas berhujah panjang lebar tentang kesetarafan ijazah saya, akhirnya beliau bersetuju untuk memanjangkan rayuan ini ke dalam mesyuarat jawatankuasa Peguam Syarie dan akhirnya mesyuarat meluluskan permohonan saya untuk diterima temuduga. (Baru terima temuduga, belum lulus lagi). Alhamdulillah, akhirnya temuduga pertama saya dilalui dengan jayanya hinggalah saya ditauliah dan diisytiharkan layak beramal sebagai Peguam Syarie Negeri Selangor. Saya difahamkan jejak langkah saya itu telah diikuti oleh lulusan B.IRKH sesudah saya. Namun saya pasti mereka tidak perlu merayu seperti saya kerana kes saya telah menjadi duluan. Saya juga pasti bahawa individu-individu yang menyokong dan meluluskan permohonan saya telah mendahului saya dalam kebaikan tersebut kerana merekalah yang menyebabkan ia berlaku.


(Soalan : Siapa dan di manakah agaknya Peguam Syarie dari lulusan B.IRKH seperti saya? )


3. PEGAWAI SYARIAH PERTAMA DARI LULUSAN IJAZAH B.IRKH


Yang pertama dari lulusan B.IRKH mengisi jawatan Pegawai Syariah, Majlis Agama Islam Selangor pada 2007 hingga 2009. Ini sekali lagi membukti kelulusan B.IRKH diterima setaraf dengan kelulusan Syariah. Walaupun sebelum ini pada tahun 2002 saya pernah lulus temuduga Pegawai Syariah di Jabatan Perdana Menteri dan diletakkan sebagai calon simpanan, tetapi malangnya tiada kekosongan jawatan pada masa itu yang menyebabkan kelulusan tersebut terbatal. Penerimaan saya ke jawatan Pegawai Syariah di Majlis Agama Islam Selangor mungkin boleh dijadikan jalan permulaan untuk lulusan B.IRKH turut diterima sebagai Pegawai Syariah di Majlis Agama Islam Negeri yang lain. Namun sejauh pengetahuan saya pada masa ini jawatan Pegawai Syariah hanya wujud di Majlis Agama Islam Selangor sahaja dan masih belum diwujudkan di Majlis Agam Islam Negeri yang lain.


4. PENYUMBANG QARD HASAN PERTAMA KEPADA BAITULMAL


Yang pertama memulakan sumbangan QARD HASAN untuk baitulmal Majlis Agama Islam Selangor dalam usaha untuk memperluas dan mempelbagai sumber perbendaharaan baitulmal semasa. Sejumlah dana disalurkan daripada potongan gaji terakhir saya di MAIS pada Julai 2009 dan sejumlah dana lagi disalurkan dari tuntutan bil guaman pertama saya di MAIS pada Februari 2010. Namun sejauh pengetahuan saya jejak langkah ini belum lagi diikuti oleh teman-teman yang lain kerana konsep QARD HASAN yang diketengahkan masih belum dapat diaplikasikan kepada orang awam. Walau apapun saya telah membuktikan ia boleh dilakukan dan saya pasti kini bukan tanggungjawab saya lagi untuk memastikan ia terus dapat dilakukan.


5. FIRMA GUAMAN PERTAMA MELETAKKAN PERKATAAN 'SYARIAH'


Yang pertama meletakkan perkataan SYARIAH pada nama firma guaman persendirian (swasta) iaitu JURAISH SYARIAH ASSOCIATES. Sebelum ini belum pernah perkataan SYARIAH dimasukkan dalam nama firma guaman walaupun ia adalah firma guaman syarie. Saya mengambil langkah untuk menjadi orang pertama melakukannya untuk menunjukkan semangat, azam dan komitmen saya menjunjung SYARIAH walaupun perkataan itu tidak tertulis di atas Ijazah B.IRKH saya. Atas semangat ini, saya bercita-cita untuk memperluaskan skop perkhidmatan yang ditawarkan oleh firma kepada pelbagai bidang yang berteraskan Syariah tidak terhad kepada bidang guaman sahaja. Insya Allah dalam posting akan datang akan diisytiharkan apakah misi terbaru saya dalam visi memartabat perundangan Syariah. Semoga yang baik dapat dikongsi dan diteladani bersama.


Wa Ilallahi Turja'ul-umur

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus