Saturday, February 27, 2010

Kekhilafan Dalam Berhujah Menentang Sambutan Maulidur Rasul


Amat sedih dan pilu apabila ketajaman akal fikiran yang kita miliki disalahgunakan untuk mencetus perbalahan atau membesarkan ruang perbezaan pendapat. Apatah lagi jika perbezaan dan perbalahan itu berlaku dalam usaha menghayati syiar Islam yang perlu digilap dan dijunjung setiap masa.

Tanpa berselindung lagi, marilah sama-sama kita teliti apakah yang sering berlaku di pentas intelektual ketika membahaskan kewajaran membuat sambutan maulidur rasul. Bukan niat saya untuk mempertahankan secara mutlak keharusan segala acara yang dilakukan dalam sambutan maulidur rasul. Bukan juga niat saya untuk membantah sekeras-kerasnya segala acara dalam sambutan maulidur rasul. Apa yang diniatkan hanyalah mengambil jalan besederhana, mengambil yang baik dan membuka jalan ke arahnya, menolak yang buruk dan menutup pintu ke arahnya, yang akhirnya bermatlamat untuk menyatu padu dan memenangkan umat Islam daripada serangan sulit musuh-musuhnya yang kita tidak pernah tahu tetapi Allah itu Maha Tahu.

HUJAH PENENTANG SESAMA KITA: Jika sekiranya acara peringatan maulid nabi ini diharuskan dalam syariat, nescaya Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam telah menjelaskannya kepada umatnya. Namun tidak pula Baginda mengisyaratkan bahawa peringatan maulidnya merupakan perkara yang disyari'atkan serta Baginda tidak pernah mengadakan acara maulid hingga akhir hayatnya.

Begitu pula para Sahabat yang paling memahami Islam sesudah Baginda tidak pernah melakukannya khususnya Khulafaur-Rasyidin, para tabi'in dan tabi'ut-tabi'in. Menurut jejak sahabat tidak ada acara peringatan maulid. Demikianlah tiga kurun waktu generasi terbaik umat ini tidak pernah menyelenggarakan peringatan maulid. Tetapi ia hanya direka oleh generasi sesudah itu.

JAWAPAN PEMBELAAN KITA: Mengapa ada antara kita seringkali menghujahkan bahawa perkara yang tidak pernah dilakukan Nabi, maka umatnya yang terkemudian pun tidak harus melakukannya. Adakah kita telah memahami perbahasan usul fiqh tentang hukum turuk al-Nabi (perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi) di mana sebahagiannya harus dilakukan oleh umat terkemudian selagi tidak terdapat nas zahir yang menegahnya. Adakah kita terlupa kepada peranan Masalih Mursalah dalam menentukan keharusan sesuatu yang bermatlamat baik tetapi tidak pernah dinaskan oleh Nabi. Adakah kita terlupa bahawa pelaksanaan Islam itu tidak terhenti setakat apa yang telah disyariatkan atau ditaqninkan pada zaman Nabi dan salaful salih sahaja. Ini kerana sumber perundangan Islam yang ditinggalkan asasnya oleh Rasulullah itu tetap hidup fleksibel dan beradaptasi mengikut perkembangan zaman. Yang wafat hanyalah Nabi tetapi ajarannya, qudwahnya, sirahnya, sunnnahnya bahkan namanya tidak pernah mati dan jangan sesekali dibiarkan mati. Sesiapa yang ingin melihat semua itu mati, ketahuilah hakikatnya mata hati merekalah yang telah dimatikan oleh Allah sebelum jasad mereka mati.

Adakah sambutan maulid Nabi ini didakwa sebagai tidak harus atas alasan menyambut tanggal maulid (hari lahir) itu sendiri telah dinaskan sebagai haram dalam setiap keadaan? Jika benar haram menyambut hari maulid dalam setiap keadaan, maka mengapa kita mengharuskan dan membiarkan setiap dari kita menyambut maulidnya (birthday) sendiri? Mengapa kita membiarkan raja-raja yang kita muliakan menyambut maulid mereka dengan pelbagai acara? Sedangkan untuk memperingati raja segala manusia ini (Muhammad SAW) kita berhempas pulas pula membantahnya. Adakah kerana Nabi telah wafat dan tak akan mampu menegur kita atau melucutkan jawatan kita, maka kita menetang maulidnya? Sedangkan terhadap raja kita yang masih hidup, kita tidak sanggup membantahnya kerana bimbang dilabel penderhaka, dilucutkan jawatan atau dipenjarakan.

Adakah sambutan maulid ini didakwa sebagai tidak harus hanya kerana ia tidak dilakukan Nabi. Anehnya mengapa semua perkara yang dilakukan Nabi termasuklah berpoligami melebihi 4 isteri dan berpuasa berterusan, tidak pula kita menghujahkan ia juga harus dilakukan oleh umatnya semata-mata atas alasan mencontohi Nabi. Memang Nabi tidak pernah melakukan sambutan maulidnya kerana itu semua tidak ada faedahnya di zaman Nabi. Yang lebih utama ketika itu hanyalah menyampaikan dakwah Islam dan melaksanakan perintah wahyu tanpa perlu berpaksikan kepada nostalgia tanggal kelahiran Nabi kerana setiap hari, saat dan detik adalah penghayatan kepada ajaran Nabi tanpa perlu menunggu setahun sekali untuk melaksanakannya.

Bukankah kita sedia maklum tentang cintanya Nabi kepada umatnya sehinggakan Baginda banyak kali tidak melakukan sesuatu kebaikan semata-mata bimbang ia akan menjadi kefarduan ke atas umatnya. Ingatkah kita riwayat hadith betapa Nabi berterus terang Baginda sengaja tidak berterusan mendirikan solat tarawikh secara berjemaah di masjid kerana bimbang ia akan menjadi suatu fardu. Apatah lagi Baginda tahu kelemahan umatnya di akhir zaman ibarat buih di lautan yang tidak kuat memikul segala kefarduan. Cuba juga kita lihat apa sabda Nabi dalam mensyariatkan amalan bersugi sebelum solat dengan uslub yang jelas tidak mahu menjadikan ia suatu fardu ke atas umatnya. Lihat juga dalam proses penerimaan perintah solat ketika Mikraj di mana Rasulullah sanggup meminta takhfif berulang kali hingga solat dikurangkan kepada 5 fardu. Itulah antara tanda rahmat dan kasihnya Nabi kepada kita.

Kerana rahmatnya Nabi ini, maka sudah tentu Baginda juga tidak mahu membebankan umatnya yang terkemudian untuk menyambut maulidnya. Seandainya Nabi melakukan sambutan maulid pada zamannya, maka sudah pasti ia akan menjadi suatu sunnah dan kefarduan ke atas umatnya hinggakan kita pada hari ini tidak dapat berdalih lagi untuk menolak kewajipannya atas apapun alasan kelemahan dan kemalasan kita dalam memperjuangkan risalahnya. Justeru ucapkanlah selawat dan terima kasih kepada Nabi kerana Baginda tidak menyambut hari maulidnya. Dengan itu bolehlah kita pada hari ini berdiam diri sahaja pada hari maulidnya ini tanpa perlu rasa bimbang atau mungkin tergamak juga kita membid'ahkan saudara kita yang ikhlas menyambutnya hanya kerana Nabi tidak melakukannya atau kerana kita tidak tahu dan tidak mahu menyambutnya.

Ya. Para Sahabat Nabi juga tidak melakukan acara maulid Nabi ini kerana itu semua tidak ada faedahnya di zaman mereka. Mereka telahpun melakukan sesuatu yang lebih baik daripada menyambut maulid Nabi yang hanya datang setahun sekali. Mereka hidup dan mati berbantalkan sunnah Nabi setiap hari dalam setahun tanpa ada cuti. Maka apa perlunya mereka menyambut maulid Nabi yang sekadar retorik tanpa praktik seperti di zaman kita hari ini. Di zaman mereka 100 peratus sunnah Nabi telah menjadi praktik setiap hari, jadi mengapa perlu ada retorik setahun sekali?

Lainlah kita yang hidup pada hari ini, dalam zaman orang yang sering melupakan Nabi dan tergamak pula meninggalkan sunnah serta perintah Nabi. Maka selayaknya kita dita'dib atau dengan kasarnya dita'zir oleh diri kita sendiri dengan mengadakan acara maulid ini setahun sekali. Tujuannya tidak lain hanya untuk memuhasabah sejauh mana ketaatan kita kepada Nabi. Adakah kita sekadar sanggup beretorik melafazkan cinta kepada Nabi dan selawat kepadanya tetapi mengkesampingkan sebahagian perintahnya? Itu semua dapat dinilai setidak-tidaknya sehari pada hari maulid ini walaupun yang sebaiknya ia dinilai setiap hari. Dengan adanya sambutan ini kita dapat menilai diri sendiri dan diri orang lain di mata Nabi. Pada hari ini kita dapat menilai siapa yang hanya pandai berslogan mencintai Nabi dan siapa pula yang sanggup bertarung nyawa mentaati Nabi.

Andai berat kita menerima sambutan maulid Nabi ini sebagai satu bentuk ta'dib dalam menjunjung Syariat Nabi, maka terimalah ia sebagai satu beban yang lebih berat, sebagai satu bentuk ta'zir atas kealpaan kita mentaati Nabi selama hayat yang ada ini. Tidak ada yang lebih ringan dari itu. Pilihlah antara ta'dib atau ta'zir. Tidak ada lagi takhfif kerana Nabi semasa hayatnya telah banyak memberikan kita takhfif, rukhsah dan rahmah. Kini selepas wafatnya Nabi takhfif apa lagi yang kita mahukan? Malulah kita pada Nabi dan takutlah pada Allah. Segeralah kutip kembali sunnah Nabi yang kita lemparkan sebelum diri kita sendiri dilemparkan....

Wallahu A'lam.






Wednesday, February 24, 2010

Hijrah Ke Acara Baru Dalam Menyambut Maulidur Rasul


Hari ini jam 9.37 malam, setelah berusia hampir 34 tahun, rupanya baru saya sedar bahawa saya tidak pernah menyertai perarakan Maulidul Rasul. Pelik juga memikirkannya. Bukankah saya telah diberi peluang berbuat demikian sejak di bangku sekolah, alam menara gading, pentas perguruan swasta, arena perkhidmatan awam dan atas kapasiti anggota masyarakat sendiri? Saya masih ingat beberapa tahun lalu (ketika dalam perkhidmatan awam) saya telah diberikan sepasang baju Melayu untuk menyertai perarakan Maulidul Rasul. Namun dengan takdir Allah, kaki saya tidak sampai ke lokasi yang dijadualkan. La Haula Wa La Quwata Illa Billah. Anehnya, anak saya yang ketika itu bersekolah Tadika Islam dengan jayanya dapat menyertai perarakan Maulidul Rasul yang dianjurkan oleh sekolahnya.


Saban tahun acara perarakan ini tidak diluputkan dalam menyambut Maulidul Rasul. Namun saya terfikir adakah acara itu masih sesuai dengan kita yang telah mencecah usia dewasa dalam mengenal Rasulullah atau hanya sesuai untuk anak-anak sekolah yang baru mula mengenal Rasulullah? Adakah sepanduk Maulidul Rasul itu hanya berhak dipamerkan oleh kita pada tanggal 12 Rabiulawal untuk beberapa jam sahaja? Mengapa tidak sepanduk itu ditukarkan ke bentuk iklan bill board raksasa yang dipaparkan di merata tempat satu Malaysia, 365 hari setahun? Atau ditukarkan ke bentuk iklan bergerak satu Malaysia pada kenderaan awam (bas, teksi dll) kenderaan jabatan agama, van jenazah atau kenderaan persendirian supaya satu Malaysia dapat melihatnya? Mengapa bendera “Kami Sayang Rasulullah” tidak dikibarkan pada kenderaan kita sepanjang bulan Maulid ini seperti mana jalur Gemilang dikibarkan pada bulan kemerdekaan? Saya percaya untuk membuktikan kecintaan kepada Baginda Rasulullah itu semua lebih patut dilakukan bahkan ada banyak lagi yang perlu dilakukan.


Apa kata kalau kita merintis beberapa acara baru dalam Maulidul Rasul kali ini. Biarkanlah anak-anak sekolah kita meneruskan acara perarakan mereka. Tapi kita yang telah disahkan jawatan sebagai khalifah Allah dan Rasulullah, patutlah memikul tugas lain yang lebih besar. Bukan lagi sekadar berarak seperti anak-anak kita. Kita jadikan tanggal 12 Rabiul Awal sebagai permulaan kepada episod baru dalam menghayati Syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW.


Kalau kita benar-benar cintakan Rasulullah, lakukanlah acara ini pada setiap kali sambutan Maulidul Rasul:


1- ACARA OPS SELAWAT: Tiada lagu, tiada nasyid, tiada hiburan di mana-mana kecuali Selawat Ke Atas Rasul. Dengan itu kita akan mendapat pahala berlipat ganda dan syafaat Baginda di Akhirat. Berpuluh-puluh jenis selawat telah tersaji, pilihlah yang mana suka untuk dialunkan, didendangkan, dikasidahkan, dideklamasikan menjadi nasyid, lagu, sajak, puisi dan apa saja yang menghiburkan. Ciptalah selawat baru untuk Rasulullah yang dicintai. Buatlah pertandingan supaya ada sambutan. Buktikanlah anda seorang komposer yang handal dalam mencipta Selawat demi Selawat, bukan sekadar handal dalam mencipta lagu jiwang berkarat. Ingatlah pesan khatib di atas mimbar Jumaat…


2- ACARA OPS AURAT: Tiada pakaian, tiada fesyen di mana-mana melainkan yang menutup aurat dan menghampiri sunnah Rasulullah. Para muslimah jangan lupa labuhkan lagi tudungmu lebih dari hari biasa (jika sebelum ini tudungmu tak cukup labuh). Para Muslim jangan lupa menjubah atau menyerbankan dirimu walaupun sejenak di salah satu dari 5 waktu dalam saf solat di surau, masjid atau rumah sendiri. Para pereka fesyen, serlahkan dirimu dengan ciptaan busana Muslim untuk dipakai pada hari Maulid.


3- ACARA OPS MAKSIAT: Tiada maksiat, tiada lagha. Semua kelab malam, pub, disko dan rumah perjudian walaupun berlesen wajib ditutup setidak-tidaknya 24 jam dari terbenam matahari maghrib 12 Rabiul Awal hingga terbenam matahari berikutnya. Orang bukan Islam apatah lagi orang Islam patut menghormati acara ini dan menahan diri dari melakukan maksiat setidak-tidaknya untuk 24 jam setahun. Masjid dan surau dibuka 24 jam dan diisi penuh dengan program 24 jam.


4- ACARA LAFAZKAN AYAT CINTAMU PADA RASULULLAH: Bagi menambah atau menggantikan acara berarak membawa sepanduk, kibarkan bendera “I luv Muhammad Rasulullah” atau seumpamanya atau tampalkan sticker atau sepanduk di setiap kenderaan, rumah, premis, masjid, laman web atau blog dan biarkan ia terus berkibar atau terpampang sepanjang masa hingga tiba 12 Rabiul Awal yang akan datang lalu ditukarkan dengan yang baru. Syarikat berasaskan Syariah patutlah berlumba-lumba memasang atau menyewa bill board bagi memaparkan iklan/ mesej cinta kepada Rasulullah. Kad ucapan Maulidul Rasul dikirimkan dan salam tahniah untuk umat Muhammad perlu dipaparkan dalam akbar yang boleh ditaja oleh mana-mana pihak yang terlalu cintakan Rasulullah dan umatnya.


5- ACARA HALAQAH QURAN: Baca al-quran pada 12 Rabiul Awal lebih daripada biasa. Siarkan bacaan al-Quran dicorong radio atau kaca TV atau melalui pembesar suara di masjid lebih lama dan diikuti dengan terjemahan dan tafsirnya.


6- ACARA HALAQAH HADITH: Pengajian di surau atau masjid hendaklah dipanjangkan masanya atau di’grand’kan lebih daripada biasa. Hendaklah juga ada dalam pengisiannya topik pengajian sekurang-kurangnya satu hadith sahih berserta syarah terhadap sanad dan matan yang lengkap dan apikasi hadith tersebut dalam kehidupan moden.


7- ACARA GIATKAN INFAK: Para dermawan, bersedekahlah pada 12 Rabiul Awal lebih daripada biasa.Hasil kutipan antaranya hendaklah digunakan untuk diagihkan kepada anggota masyarakat setempat yang memerlukan (miskin, anak yatim dll) dengan serta-merta pada tanggal 12 Rabiul Awal itu juga atau sebelum berakhir bulan Rabiul Awal. Tingkatkan kebajikan di bulan ini melalui zakat, wakaf, hibah, qard hasan dan seumpamanya.


8- ACARA DAKWAHKAN ISLAM: Muallaf yang memeluk Islam dengan ikhlas pada 12 Rabiul Awal di hadapan pendaftar muallaf yang ditauliahkan patutlah diberikan insentif zakat dengan serta merta dan lebih daripada muallaf biasa. Perlu diberikan liputan media kepada muallaf yang memeluk Islam pada 12 Rabiul Awal.


9- ACARA PRAKTIKKAN SYARIAH: Yang paling menyayat hati, kalau boleh, jika kebetulan ada pesalah jenayah Syariah yang hendak disebat (relevan dengan isu semasa) maka sebatlah mereka secara berkelompok pada 12 Rabiul Awal ini sama ada di penjara (dengan disiarkan secara langsung melalui media elektronik) atau sebaik-baiknya dilaksanakan dalam perkarangan masjid yang terhampir dengan penjara.


10- Lain-lain acara yang difikirkan sesuai dan bermanfaat untuk agama Islam.


Wallahu A'lam.

Thursday, February 18, 2010

BAITULMAL: Mari Memulakan Sumbangan QARD HASAN


Entri kali ini jelas bunyinya sebagai satu seruan ke arah kebaikan. Namun saya teringat seruan Allah Taala supaya kita tidak mengatakan apa yang kita tidak buat, sepertimana firmanNya:

يا أيها الذين آمنوا لمَ تقولون ما لا تفعلون كبر مقتا عند الله أن تقولوا ما لا تفعلون

"Wahai Orang-Orang Yang Beriman! Mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak lakukan? Berdosa besar di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang kamu tidak lakukan"

Justeru saya katakan di sini... Ya Allah, saya telah melakukan QARD HASAN ini, kini izinkan saya menyeru orang lain supaya melakukannya pula.

Inilah QARD HASAN yang pertama saya lakukan kepada Baitulmal pada Julai 2009, sebagai satu lagi cara beramal dan beribadat melalui harta selain daripada WAKAF, SEDEKAH, WASIAT, HIBAH, ZAKAT dan lain-lain. QARD HASAN ini juga adalah manifestasi kepada kertas kerja yang pernah saya bentangkan dalam Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009. Semoga ia diterima ALLAH dan yang mana baik dapatlah dijadikan ikutan.

Inilah surat permohonan yang saya tulis untuk melakukan QARD HASAN yang pertama dari potongan gaji saya yang terakhir daripada sumber Baitulmal MAIS. Daripada Baitulmal kepada Baitulmal. Daripada Allah kepada Allah. Taqabbal minna Ya Karim.


JURAISH BIN KAMARUDDIN
Bahagian Undang-Undang
Majlis Agama Islam Selangor 019-3611150
15hb. Julai 2009

______________________________________________________________
Ketua Akauntan,
Bahagian Baitulmal
Majlis Agama Islam Selangor

Assalamualaikum Wrt. Wbt.

Puan,

PERMINTAAN POTONGAN GAJI BAGI TUJUAN QARD HASAN KEPADA BAITULMAL

Dengan segala hormatnya perkara di atas dan ucapan dalam pembentangan kertas kerja saya bertajuk “Pemerkasaan Entiti dan Sumber Perbendaharaan Baitulmal Menerusi Dinamika Muamalat dan Undang-Undang Syariah” dalam Konvensyen Baitulmal Kebangsaan pada 25 Jun 2009 adalah dirujuk.

Sehubungan itu, dengan sukacitanya saya memohon supaya gaji bulan terakhir saya (Julai 2009) dipotong sebanyak RM1,000.00 bagi tujuan dikreditkan ke akaun amanah MAIS sebagai qard hasan selama tempoh satu (1) tahun yang tamat selepas 31 Julai 2010.

Segala keuntungan yang terhasil daripada wang tersebut adalah diperuntukkan ke akaun baitulmal untuk manfaat umum. Pihak saya tidak akan mengambil sebarang manfaat yang terhasil daripada wang tersebut selama tempoh di atas. Sebaliknya pihak saya hanya akan menuntut semula wang pokok sebanyak RM1,000.00 selepas tamat tempoh yang dinyatakan.

Seandainya berlaku penyusutan nilai wang atau kerugian dalam tempoh di atas yang disebabkan oleh faktor yang di luar kawalan pihak MAIS, maka pihak saya tidak akan menuntut sebarang ganti rugi, dan hanya menuntut baki wang yang masih tinggal sahaja (sekiranya ada).

Sekiranya berlaku kematian di pihak saya dalam tempoh di atas, maka wang pokok tersebut adalah menjadi harta pusaka saya yang perlu dibahagikan kepada waris-waris saya yang berhak selepas tamat tempoh yang dinyatakan.

Berikut adalah antara nama waris saya yang boleh dihubungi oleh pihak puan:


1. ***** Hubungan: Isteri
Alamat: ****Klang Selangor
Telefon: *** (dipadamkan)

2. ***** Hubungan: Bapa
Alamat: ******
Telefon: ****** (dipadamkan)

Segala kerjasama daripada pihak puan amatlah diharapkan dan diucapkan ribuan terima kasih. Sekian,Wassalam.

Yang suci hati,


(JURAISH BIN KAMARUDDIN)
Pegawai Syariah,
Bahagian Undang-Undang MAIS

s.k. Timbalan Setiausaha,
Majlis Agama Islam Selangor.

Saturday, January 16, 2010

HUJAH Kebenaran Poligami Di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor

Dalam entri kali ini, ingin saya paparkan penghujahan dalam kes kebenaran nikah poligami yang pernah saya kemukakan di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor baru-baru ini. Alhamdulillah hujah ini telah diterima baik oleh Mahkamah dengan mendapat kepujian. Yang Arif Tuan Hakim telah mengesyorkan hujah seperti ini dikemukakan kepada Mahkamah bagi memudahkan Mahkamah membuat keputusan dalam setiap isu dan fakta yang dibangkitkan. Dalam blog ini saya hanya menyiarkan penghujahan keterangan sahaja kerana latar belakang kes, dokumentasi dan keterangan pihak-pihak terlalu panjang untuk dimuatkan di sini. Saya juga telah memajhulkan nama pihak-pihak supaya ia tidak menjejaskan kepentingan anakguam saya.

Isu 1: Kehadiran wali bakal isteri boleh dikecualikan, dalam keadaan khas untuk kes kebenaran poligami.

Isu 2: Nafkah anak boleh dikecualikan, dalam keadaan khas bagi membuktikan kemampuan berpoligami.

Isu 3:
Giliran bermalam harus dilebihkan untuk isteri pertama dalam keadaan khas.


PENGHUJAHAN KETERANGAN


Berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh pihak Plaintif, Defendan dan bakal isteri, maka adalah dihujahkan seperti berikut:


Permohonan Plaintif untuk berpoligami atau mempunyai isteri kedua adalah suatu yang diharuskan oleh syarak berdasarkan firman Allah Taala: (Surah al-Nisa’ (4); ayat 3)


Bermaksud: “Maka berkahwinlah dengan siapa yang kamu sukai daripada wanita-wanita dua, tiga atau empat. Maka jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil, maka berkahwinlah dengan seorang sahaja atau (pakailah) hamba perempuan yang kamu miliki.”


Plaintif telah berjaya membuktikan keempat-empat alasan yang dikemukakan olehnya untuk mendapatkan kebenaran berpoligami kerana kesemua kehendak yang ditetapkan dalam subseksyen 23 (5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 telah dapat dipatuhi.


a) Mengenai kehendak subseksyen 23(5) (a) Plaintif telah berjaya membuktikan bahawa perkahwinan poligami ini sebagai suatu yang patut atau perlu. Ini kerana alasan yang dikemukakan oleh Plaintif bahawa isteri pertama (Defendan) mempunyai keuzuran jasmani untuk melahirkan zuriat tambahan adalah suatu yang wajar dan boleh diterima mengikut hukum syarak kerana meramaikan zuriat seperti yang dihajati oleh pihak Plaintif adalah suatu yang digalakkan oleh Rasulullah SAW. Perkara tersebut dijelaskan dalam banyak hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Nasa’i, Ahmad, al-Baihaqi, al-Tabrani, Ibn Hibban dan al-Hakim (Berdasarkan carian secara digital menggunakan perisian al-Maktabah al-Syamilah Versi 2) . Berikut adalah hadith yang tercatat dalam Sunan Abu Daud, terbitan Darul Kutub al-Ilmiyyah, cetakan ketiga 2007, dalam Kitab al-Nikah, Bab Man Tazauwaja al-Walud, jilid kompilasi penuh, halaman 327, hadith nombor 2050:


حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ أَخْبَرَنَا مُسْتَلِمُ بْنُ سَعِيدٍ ابْنَ أُخْتِ مَنْصُورِ بْنِ زَاذَانَ عَنْ مَنْصُورٍ يَعْنِي ابْنَ زَاذَانَ عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ قُرَّةَ عَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنِّي أَصَبْتُ امْرَأَةً ذَاتَ حَسَبٍ وَجَمَالٍ وَإِنَّهَا لاَ تَلِدُ أَفَأَتَزَوَّجُهَا قَالَ لاَ ثُمَّ أَتَاهُ الثَّانِيَةَ فَنَهَاهُ ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ فَقَالَ: تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الأُمَمَ

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran A)


Bermaksud: “Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku menyukai seorang wanita yang berketurunan baik, mempunyai kedudukan dan berharta, akan tetapi dia tidak boleh beranak. Adakah boleh aku menikahinya?” Maka Rasulullah bersabda: “Jangan kamu menikahinya”. Kemudian lelaki itu datang lagi untuk kali kedua dan bertanya soalan yang sama. Lalu Rasulullah tetap melarangnya. Kemudian dia datang untuk kali ketiga dengan soalan yang sama. Lalu Rasulullah bersabda: “Kahwinilah wanita yang penyayang dan mampu melahirkan ramai anak kerana aku berbangga dengan umatku yang ramai.”


- Adalah dihujahkan di sini bahawa fakta bahawa bakal isteri Plaintif tidak pernah dikurniakan anak dalam perkahwinan terdahulu tidaklah boleh menafikan sifat asalnya sebagai seorang yang mampu melahirkan anak. Ini kerana tiada keterangan dikemukakan bagi mengesahkan bakal isteri Plaintif memang tidak mampu melahirkan anak. Malah menurut hukum syarak soal mendapatkan anak adalah diluar kuasa manusia untuk menentukan kerana semuanya adalah tertakluk kepada ketentuan Allah. Mahkamah ini wajar melihat kepada sifat zahir bakal isteri Plaintif yang masih muda dan pada kebiasaannya masih berpeluang untuk mendapatkan zuriat.


Isu Nafkah anak boleh dikecualikan

b) Mengenai kehendak subseksyen 23(5) (b) Plaintif juga telah berjaya membuktikan bahawa Plaintif berkemampuan menanggung segala nafkah yang berbangkit dalam perkahwinan poligami ini. Ini kerana jika dihitung, baki pendapatan Plaintif setelah ditolak segala tanggungan yang bakal ditanggung berikutan daripada perkahwinan poligami ini adalah berbaki sebanyak RM1,487.40. Jumlah ini adalah suatu yang munasabah untuk digunakan bagi keperluan diri Plaintif sendiri. Mengenai ketiadaan nafkah 2 orang anak Plaintif iaitu anak pertama dan kedua, Plaintif berhak diberi pengecualian daripada memberi nafkah kepada anak-anak tersebut kerana mereka telah mendapat biasiswa penuh Kerajaan Persekutuan. Perkara ini tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak ketika perbicaraan. Ini selari dengan pandangan Mazhab Syafi'i berdasarkan kitab Mughni al-Muhtaj oleh Khatib al-Syarbini, terbitan Darul Kutub al-Ilmiyyah, cetakan 2000, jilid 5, halaman 183-185:


( وَلَا تَجِبُ ) النَّفَقَةُ ( لِمَالِكٍ كِفَايَتَهُ ) وَلَوْ زَمِنًا أَوْ صَغِيرًا أَوْ مَجْنُونًا لاِسْتِغْنَائِهِ عَنْهَا ( وَلاَ لِمُكْتَسِبِهَا ) بِأَنْ يَقْدِرَ عَلَى كَسْبِ كِفَايَتِهِ مِنْ كَسْبٍ حَلاَلٍ يَلِيقُ بِهِ لاِنْتِفَاءِ حَاجَتِهِ إلَى غَيْرِهِ ، وَإِنْ كَانَ يَكْسِبُ دُونَ كِفَايَتِهِ اسْتَحَقَّ الْقَدْرَ الْمَعْجُوزَ عَنْهُ خَاصَّةً .

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran B)


Bermaksud: “Tidak wajib memberi nafkah kepada seseorang yang mempunyai kecukupannya sendiri walaupun dia seorang yang menghidap penyakit yang tidak boleh sembuh, kanak-kanak yang masih kecil atau orang cacat mental (gila) disebabkan adanya kekayaan mereka sendiri daripada memerlukan nafkah…


- Adalah dihujahkan bahawa anak pertama dan kedua Plaintif telah mempunyai kecukupannya sendiri kerana mereka telah mendapat dan memiliki bantuan penuh biasiswa pelajaran sepanjang tempoh pengajian mereka. Justeru hukum memberi nafkah ke atas mereka tidak lagi diwajibkan ke atas Plaintif.


Isu Giliran bermalam harus dilebihkan untuk isteri pertama

c) Mengenai kehendak subseksyen 23(5) (c) Plaintif juga telah berjaya membuktikan bahawa Plaintif berupaya memberi layanan dan giliran yang adil kepada kedua-dua isteri. Mengenai pembahagian giliran 4 malam kepada isteri pertama (Defendan) dan 3 malam kepada isteri kedua (bakal isteri), perkara ini tidaklah merupakan satu kezaliman kepada isteri kedua. Ini kerana bakal isteri sendiri telah bersetuju dan tidak menyatakan sebarang bantahan terhadap pembahagian tersebut. Sekiranya bantahan berbangkit daripada isteri kedua di kemudian hari, Plaintif boleh mengubah kaedah giliran mengikut kesesuaian semasa. Tambahan pula Plaintif melebihkan giliran untuk isteri pertama kerana wujud keperluan khusus untuk melaksanakan tanggungjawab Plaintif sebagai bapa kepada anak-anak bersama isteri pertama. Ini selari dengan pandangan Mazhab Syafi'i berdasarkan kitab al-Iqna’ oleh al-Khatib al-Syarbini, terbitan Darul Kutub al-Ilmiyyah, jilid 2, halaman 275-276:


((وَالتَّسْوِيَةُ فِي الْقِسْمِ بَيْنَ الزَّوْجَاتِ وَاجِبَةٌ وَلاَ يَدْخُلُ عَلَى غَيْرِ الْمَقْسُوْمِ لَهَا لِغَيْرِ حَاجَةٍ))... أما دخوله لحاجة كوضع متاع أو أخذه أو تسليم نفقة أو تعريف خبر فجاز لحديث عائشة رضي الله تعالى عنها : )كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يطوف علينا جميعا فيدنو من كل امرأة من غير مسيس أي وطء- حتى يبلغ إلى التي هو يومها فيبيت عندها( ولا يقضي إذا دخل لحاجة وإن طال الزمن

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran C)


Hadith riwayat: Abu Daud, Ahmad, al-Baihaqi, al-Hakim, al Tabrani dan al-Daruqatni.


Bermaksud: “Menyamakan dalam giliran bermalam di antara isteri-isteri adalah WAJIB dan tidak boleh suami memasuki (rumah) isteri yang bukan pada masa gilirannya tanpa sebarang keperluan… Adapun jika suami memasuki (rumah) isteri tersebut (yang bukan pada masa gilirannya) kerana keperluan seperti meletak barang atau mengambilnya, atau menyerahkan nafkah atau mengetahui perkhabaran maka ia diharuskan berdasarkan kepada hadith Aisyah r.a. berkata: Rasulullah SAW pernah mengunjungi kami semua lalu Baginda singgah ke rumah setiap isteri tanpa bersentuhan (yakni bersetubuh) sehingga Baginda sampai ke (rumah) isteri yang mempunyai giliran pada hari itu, lalu Baginda bermalam bersamanya.” Dan tidak perlu suami itu menqada’ giliran jika ia dilakukan kerana keperluan walaupun mengambil masa yang lama.


Berdasarkan kepada hadith tersebut adalah harus bagi Plaintif melebihkan 1 hari (siang) untuk mengunjungi anak-anak yang tinggal bersama isteri pertama pada hujung minggu dan tidak perlu diqada’ ini kerana mengunjungi anak juga adalah satu keperluan yang diiktiraf oleh Syarak.


d) Mengenai kehendak subseksyen 23(5) (d) Plaintif juga telah berjaya membuktikan bahawa perkahwinan Plaintif dengan isteri kedua tidak akan menimbulkan kemudaratan kepada isteri pertama iaitu Defendan.


Ini selari dengan hadith Rasulullah SAW: لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ yang bermaksud: “Tidak boleh memudaratkan dan tidak boleh saling membalas dengan kemudaratan” Fakta bahawa perkahwinan poligami ini tidak memudaratkan isteri pertama tidak pernah dipertikai oleh pihak Defendan yang merupakan isteri pertama Plaintif. Jika wujud persoalan sama ada terjadi kemudaratan ke atas Defendan, maka Defendan sendiri hendaklah membuktikannya. Plaintif tidak diletakkan beban untuk membuktikan wujudnya kemudaratan terhadap Defendan kerana pada asalnya kemudaratan itu tidak wujud. Ini selari dengan kaedah fiqhiyyah: الأصل العدم bermaksud: Asal (bagi sesuatu perkara yang mendatang) adalah tiada.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif Kitab al-Asybah wa al-Nazair, m/s: 129 seperti di Lampiran D).


Isu Kehadiran wali bakal isteri boleh dikecualikan

Adalah juga dihujahkan bahawa ketidakhadiran wali bakal isteri bukanlah satu kecacatan yang boleh menghalang kebenaran poligami dikeluarkan oleh Mahkamah ini. Ini kerana alasan-alasan berikut:


a) Keperluan kehadiran wali kepada bakal isteri yang ditetapkan dalam subseksyen 23(5) EUKINS 2003 bukanlah lagi merupakan perkara utama yang perlu diambilkira oleh Mahkamah di dalam kes ini kerana kesemua 4 syarat untuk mendapatkan kebenaran berpoligami yang ditetapkan dalam subseksyen 23(5) telah dapat dipenuhi berdasarkan kepada keterangan Plaintif (suami), isteri sedia ada (Defendan) dan bakal isteri.

b) Subseksyen 23(5) perlulah difahami dan ditafsirkan secara purposif, maksud atau tujuan dan bukannya secara literal. Ini kerana tafsiran secara literal boleh menyulitkan Mahkamah yang akan terpaksa memanggil “mana-mana orang lain yang difikirkan oleh Mahkamah boleh memberi keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu” walaupun orang itu tidak wujud atau kehadirannya tidak diperlukan apabila kesemua fakta telah diperolehi daripada keterangan pemohon (suami), isteri sedia ada, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri. Mahkamah juga akan terpaksa memanggil wali bakal isteri walaupun wali bakal isteri tidak wujud atau ia adalah seorang wali hakim. Oleh sebab itu tafsiran yang lebih sesuai dalam memahami peruntukan ini adalah tafsiran secara maksud. Dengan tafsiran secara maksud ini kehadiran pihak-pihak yang disebutkan hanyalah perlu setakat untuk mendapatkan keterangan mengenai empat perkara utama yang ditetapkan sebagai syarat poligami di bawah subseksyen yang sama. Sekiranya fakta mengenai keempat-empat perkara utama itu telah diperolehi tanpa perlu memanggil kesemua pihak yang disebutkan, maka ia adalah memadai.

c) Dalam kes ini bakal isteri adalah berstatus janda yang menurut hukum Syarak, tidak boleh dipaksa berkahwin oleh wali dan seorang janda berhak memilih suami yang disukainya tanpa perlu mendapat persetujuan wali (Ini tidak bermaksud seseorang bakal isteri boleh bernikah tanpa wali). Justeru sekalipun wali kepada bakal isteri tidak bersetuju dengan perkahwinan poligami ini, dia tidak boleh menjalankan kuasa ijbar (memaksa perkahwinan) terhadap bakal isteri. Bahkan bakal isteri boleh meneruskan perkahwinan menggunakan wali yang lain sama ada wali ab’ad atau wali hakim. Menurut Mazhab Syafi'i berdasarkan kitab Mughni al-Muhtaj, jilid 4, halaman 246-247:


( وَلِلأَبِّ ) وِلاَيَةُ اْلأِِجْبَارِ وَهِيَ ( تَزْوِيجُ ) ابْنَتِهِ ( الْبِكْرِ صَغِيرَةً أَوْ كَبِيرَةً ) عَاقِلَةً أَوْ مَجْنُونَةً إنْ لَمْ يَكُنْ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا عَدَاوَةٌ ظَاهِرَةٌ ( بِغَيْرِ إذْنِهَا ) لِخَبَرِ الدَّارَقُطْنِيّ : { الثَّيِّبُ أَحَقُّ بِنَفْسِهَا مِنْ وَلِيِّهَا ، وَالْبِكْرُ يُزَوِّجُهَا أَبُوهَا }


Bermaksud: “Bapa mempunyai kuasa untuk memaksa perkahwinan anak perempuannya yang masih anak dara sama ada masih kanak-kanak atau telah dewasa, sama ada anaknya itu berfikiran waras atau gila jika tidak terdapat permusuhan yang zahir antara ayah dan anak perempuannya itu, (iaitu boleh memaksa anak perempuannya berkahwin) tanpa keizinannya, berdasarkan kepada hadith diriwayatkan oleh al-Daruqatni: ((Janda itu lebih berhak ke atas dirinya daripada walinya, dan anak dara itu boleh dinikahkan (secara paksa) oleh bapanya)).”


( وَلَيْسَ لَهُ تَزْوِيجُ ثَيِّبٍ ) بَالِغَةٍ وَإِنْ عَادَتْ بَكَارَتُهَا كَمَا صَرَّحَ بِهِ أَبُو خَلَفٍ الطَّبَرِيُّ فِي شَرْحِ الْمِفْتَاحِ ( إلَّا بِإِذْنِهَا ) لِخَبَرِ الدَّارَقُطْنِيّ السَّابِقِ وَخَبَرِ : { لاَ تُنْكِحُوا الْأَيَامَى حَتَّى تَسْتَأْمِرُوهُنَّ } رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ .


Bermaksud: “dan tidaklah harus bagi wali menikahkan seseorang janda yang telah dewasa walaupun janda itu telah menjadi dara semula seperti mana yang dinyatakan oleh al-Tabari dalam kitab Syarah al-Miftah melainkan dengan keizinan janda itu, berdasarkan kepada hadith al-Daruqatni di atas dan hadith: ((Tidak boleh kamu menikahkan janda-janda sehingga kamu meminta pandangan- yakni persetujuan mereka))”

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif seperti di Lampiran E).


d) Wali yang berkuasa sebagai wali mujbir kepada bakal isteri iaitu bapa kandung telah pun meninggal dunia. Justeru tidak terdapat lagi wali mujbir yang berkuasa menikahkan bakal isteri secara paksa. Wali kepada bakal isteri pada masa sekarang adalah salah seorang daripada tiga (3) saudara lelaki (abang) sebapa yang tidak mempunyai sebarang kuasa ijbar. Justeru kehadiran salah seorang daripada mereka tidak akan dapat memudaratkan hak bakal isteri untuk memilih suami yang disukainya.

e) Sekalipun wali kepada bakal isteri tidak bersetuju dengan pernikahan poligami ini dan akan bertindak sebagai wali enggan (adhal), maka bakal isteri boleh bertindak memohon kebenaran pernikahan menggunakan wali hakim yang mana kes ini bukanlah forum untuk mendengarnya.

f) Tiada peruntukan yang jelas menetapkan supaya kebenaran berpoligami tidak boleh diberikan semata-mata kerana ketidakhadiran wali kepada bakal isteri kerana memang terdapat kes yang mana wali kepada bakal isteri tidak perlu dipanggil iaitu jika ia melibatkan wali hakim.

g) Hak untuk mempersetujui atau tidak mempersetujui perkahwinan poligami ini adalah terletak kepada Defendan sebagai isteri pertama dan bakal isteri kedua. Hak itu tidak terletak kepada wali bakal isteri. Ini kerana mudarat akibat poligami (sekiranya ada) hanya akan menimpa isteri sedia ada atau bakal isteri. Kemudaratan tersebut tidak akan menimpa wali bakal isteri kerana wali bakal isteri bukanlah suatu pihak dalam perkahwinan poligami tersebut. Hak yang ada pada wali bakal isteri hanyalah untuk mengakadnikahkan perkahwinan dan bukan untuk memilih atau menentukan siapakah bakal suami.

h) Keputusan yang dibuat oleh Mahkamah untuk mengecualikan kehadiran wali kepada bakal isteri dalam kes ini tidak semestinya akan menjejaskan hak wali tersebut. Jika wali kepada bakal isteri tidak berpuas hati dengan tindakan Mahkamah yang tidak memanggilnya hadir ke Mahkamah dalam tuntutan kebenaran poligami ini, satu semakan kehakiman masih boleh dipohon oleh wali kepada bakal isteri seperti mana yang diperuntukkan dalam subseksyen 68(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.


Kesimpulan dan Relif Yang dipohon

Berdasarkan kepada fakta kes dan penghujahan di atas, Plaintif dengan rendah diri dan tawaddu’nya memohon kepada Mahkamah Yang Mulia ini untuk meluluskan permohonan Plaintif dan mengeluarkan perintah seperti berikut:

a) Mahkamah meluluskan permohonan Plaintif untuk berkahwin kali kedua (poligami) dengan bakal isteri fff (K/P: vvv).

b) Mahkamah memerintahkan Plaintif untuk membayar nafkah kepada Defendan sebanyak RM500.00 sebulan dan kepada isteri kedua sebanyak RM500.00 sebulan.

c) Mahkamah memerintahkan Plaintif membayar nafkah kepada dua (2) orang anak Plaintif bernama ccc dan ddd sebanyak RM500.00 sebulan.

d) Mahkamah mengisytiharkan bahawa harta yang diperolehi oleh Plaintif dan Defendan dalam tempoh perkahwinan dan setakat yang telah menjadi milik sempurna, seperti dinyatakan dalam penyata tuntutan adalah harta sepencarian yang hendaklah dibahagikan ½ bahagian kepada Plaintif dan ½ bahagian kepada Defendan sama ada harta tersebut dijual atau tidak.

e) Apa-apa perintah lain yang difikirkan suai manfaat menurut Hukum Syarak.


-Wallahu A’lam-


Bertarikh pada 28 haribulan DISEMBER tahun 2009.

Disediakan dan dihujahkan dengan suci hati oleh:

......................

Peguam Syarie Plaintif

(JURAISH BIN KAMARUDDIN)

Friday, January 15, 2010

Jenama Produk Qard Hasan Baitulmal Berasaskan Jumlah Sumbangan (Siri 9)


Firman Allah Taala dalam ayat 282 surah al-Baqarah:

وَلَا تَسْأَمُوا أَنْ تَكْتُبُوهُ صَغِيرًا أَوْ كَبِيرًا إِلَى أَجَلِهِ ذَلِكُمْ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ وَأَقْوَمُ لِلشَّهَادَةِ وَأَدْنَى أَلَّا تَرْتَابُوا

“Janganlah kamu jemu menulis urusan hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu (catatan-catatan hutang itu) lebih adil di sisi Allah dan lebih menguatkan keterangan saksi dan juga lebih kecil kemungkinan yang boleh menimbulkan keraguan kamu…”

Ayat di atas mengisyaratkan bahawa terdapatnya rasa jemu dalam menulis hutang sama ada hutang itu banyak atau sedikit. Didapati bahawa rasa jemu yang dimaksudkan itu telah dikaitkan dengan perkataan ‘sedikit atau banyak’. Dari situ wujud ihtimal bahawa rasa jemu ini boleh berlaku disebabkan sesuatu sebab yang berpunca daripada transaksi yang berkait rapat dengan jumlah hutang. Antara sebab yang boleh menimbulkan kejemuan dalam urusan jumlah hutang ialah menulis catatan jumlah hutang yang berubah-ubah dari sedikit menjadi banyak dan sebaliknya dari banyak menjadi sedikit sehinggalah tempoh hutang itu selesai. Justeru dapatlah difahami bahawa ayat di atas mengasaskan dalil yang mengharuskan perubahan transaksi hutang dari segi jumlahnya daripada sedikit menjadi banyak dan daripada banyak menjadi sedikit atas persetujuan pihak pemiutang dan penghutang selagi mana ia dicatatkan dengan adil dan tidak melibatkan penipuan serta riba’.

Berdasarkan kepada dalil di atas maka dicadangkan supaya produk qard hasan ini turut diklasifikasikan dari sudut jumlah sumbangan kepada 2 jenis iaitu qard hasan bertambah dan qard hasan berkurang.

4.8.5- Qard Hasan Mutazayid المتزايد (Bertambah)

Iaitu sumbangan sementara untuk tempoh jangka panjang atau pendek yang dibuat oleh seseorang kepada baitulmal atas prinsip qard hasan dengan ikhlas mengharap keredaan Allah, tanpa mendapat pulangan keuntungan material, dengan berlaku penambahan kepada sumbangan dari semasa ke semasa tanpa menjejaskan tempoh matang qard.

Sebagai contoh individu yang menyumbang melalui produk qard hasan muakhkhar (jangka panjang) selama 5 tahun, dengan sumbangan permulaan sebanyak RM1,000.00 kemudian beliau menambah sumbangan (secara automatik melalui potongan gaji) sebanyak RM1,000.00 pada setiap tahun, maka pada tahun kelima beliau telah menyumbang sebanyak RM5,000.00. Apabila tamat tempoh 5 tahun kesemua sumbangan terkumpul berjumlah RM5,000.00 akan dikembalikan kepada penyumbang. Produk ini juga boleh dilaksanakan terhadap qard hasan mu’ajjal (jangka pendek) berdasarkan kiraan bulan (contohnya, minima 3 bulan).

CIRI-CIRI: Baitulmal berhak memanfaatkan sumbangan qard hasan selagi mana penyumbang tidak menebusnya. Jika penyumbang membuat penebusan sebelum tempoh setahun, maka fi perkhidmatan akan dikenakan. Namun jika ia membuat penebusan selepas tempoh setahun, maka tiada bayaran perkhidmatan dikenakan, tertakluk kepada kadar zakat wajib 2.5% jika mencukupi nisab. Jika penyumbang gagal membuat penambahan sumbangan seperti yang dijanjikan, maka tiada fi perkhidmatan dikenakan kerana ketiadaan penambahan sumbangan tidaklah menghilangkan keseluruhan manfaat qard. Namun penyumbang qard hasan sewajarnya tidak memungkiri janjinya selagi mana ia tidak berkeuzuran.


4.8.6- Qard Hasan Mutanaqis المتناقص (Berkurang)

Iaitu sumbangan sementara untuk tempoh jangka panjang atau pendek yang dibuat oleh seseorang kepada baitulmal atas prinsip qard hasan dengan ikhlas mengharap keredaan Allah, tanpa mendapat pulangan keuntungan material, dengan berlaku pengurangan kepada sumbangan dari semasa ke semasa tanpa menjejaskan tempoh matang qard.

Sebagai contoh individu yang menyumbang melalui produk qard hasan muakkhar (jangka panjang) selama 5 tahun, sebanyak RM5,000.00 kemudian beliau mengurangkan sumbangan (secara automatik melalui arahan bayaran tetap dll) sebanyak RM1,000.00 pada setiap tahun, maka pada tahun kelima sumbangan beliau berkurang kepada RM1,000.00. Apabila tamat tempoh 5 tahun baki sumbangan qard hasan yang tinggal akan dikembalikan kepada penyumbang. Ia juga boleh dilakukan terhadap qard hasan mu’ajjal (jangka pendek)berdasarkan kiraan bulan.

CIRI-CIRI: Baitulmal berhak memanfaatkan sumbangan qard hasan selagi mana penyumbang tidak menebusnya. Jika penyumbang membuat penebusan sebelum tempoh setahun (bagi qard hasan muakhkhar) atau kurang tempoh minima (bagi qard hasan mua’jjal), maka fi perkhidmatan akan dikenakan.


Wallahu A'lam.

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus