Wednesday, December 1, 2010

HUJAH INTERIM HARTA SEPENCARIAN

Ini pula adalah antara hujah terawal yang saya sediakan selepas berhijrah ke firma sendiri, dalam kes interim harta sepencarian bagi mendapatkan perintah pembahagian harta sepencarian secara sementara. Mahkamah berpandangan hujah ini masih kabur. Strategi yang saya gunakan juga mungkin tersilap kerana tidak memohon dari awal supaya kes ini didengar secara interparte bagi mengelakkan beberapa kekaburan. Justeru adalah diharapkan kekaburan tersebut mendapat pencerahan daripada tuan puan yang lebih arif dan bijaksana.


HUJAH PERMOHONAN INTERIM
1.‎ Pemohon dalam kes ini M... BIN M... (No.K/P: 64……) beralamat di No…., ‎Jalan PU …, Taman Puchong Utama, Selangor (sila rujuk Ekshibit M-1). ‎Manakala Responden NUR.... BINTI A… (No. K/P: 7006….. ) beralamat …… ‎Pangsapuri Puchong Permata…, Persiaran Puchong Permai 47100, ‎Puchong Selangor. Pemohon adalah bekas suami kepada Responden yang ‎telah bercerai di luar Mahkamah, tanpa kebenaran Mahkamah melalui ‎perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya ‎Selangor melalui kes pengesahan cerai 10001…….. Perceraian ini telah ‎didaftarkan dengan surat perakuan cerai Negeri Selangor nombor daftar …..) ‎seperti yang ditunjukkan dalam Ekshibit M-2.‎

Jenis Permohonan
‎2.‎ Ini adalah permohonan pihak Pemohon secara ex-parte untuk mendapatkan ‎perintah interim pengesahan, penjualan dan pembahagian harta ‎sepencarian iaitu sebuah rumah yang didaftarkan atas nama Pemohon ‎hakmilik P.T. No. …., H.S. (D) No. …. Mukim Petaling dan Daerah Petaling ‎beralamat di No. .. Jalan PU .... Taman Puchong Utama, 47100 Puchong ‎Selangor Darul Ehsan seperti yang ditunjukkan dalam Hakmilik Sementara ‎sebagai Ekshibit M-4). Permohonan ini telah disertai dengan notis perakuan ‎segera yang ditandatangani oleh Peguam Syarie Pemohon bertarikh ‎‎17/03/2010 bagi mendapatkan tarikh pendengaran singkat disebabkan ‎terdapatnya keperluan mendesak kepada penyelesaian sementara dengan ‎segera.‎

Perintah Interim Yang Dimaksudkan
‎3.‎ Bagi mengelakkan kekeliruan, maka dijelaskan di sini bahawa perintah ‎interim yang dimaksudkan adalah pada pembahagian sementara harta ‎sepencarian iaitu menurut kadar yang tidak dipertikai terlebih dahulu. ‎Manakala kadar yang dipertikai akan dibahagikan dan diperintahkan dalam ‎kes induk pembahagian harta sepencarian secara kekal setelah ia ‎dibicarakan. ‎

Kes Induk
‎4.‎ Kes induk tuntutan harta sepencarian telah difailkan oleh Responden melalui ‎saman nombor 10200-017-……-2010 sebelum permohonan perintah interim ‎ini difailkan.‎

Kehadiran dan Perwakilan
‎5.‎ Dalam permohonan ini, Pemohon telah hadir dengan diwakili oleh Peguam ‎Syarienya Tuan Juraish Bin Kamaruddin, daripada Tetuan Juraish Syariah ‎Associates berdasarkan wakalah bertarikh 17/03/2010. ‎

Fakta Kes
‎6.‎ Pemohon dan Responden telah berkahwin pada 17/10/1990 dan bercerai ‎pada 12hb Mac 2009 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya (sila rujuk ‎Ekshibit M-2). Mereka telah dikurniakan empat (4) orang anak daripada ‎perkahwinan tersebut (sila rujuk Ekshibit M-3). Dalam tempoh perkahwinan, ‎iaitu pada tahun 2002 Pemohon telah memperolehi harta sepencarian di atas ‎berupa sebuah rumah P.T. No. …. H.S.(D) No. ….. Mukim dan Daerah ‎Petaling, yang didaftarkan atas nama Pemohon (sila rujuk Ekshibit M-4). ‎Rumah tersebut dibeli oleh Pemohon dengan pinjaman perumahan daripada ‎Malayan Banking Berhad (Maybank) dengan harga belian tidak kurang ‎RM207,841.00 (sila rujuk Ekshibit M-5 yang diterjemahkan dalam Ikatan ‎Autoriti Pemohon di Lampiran A).‎

Beberapa bulan selepas berlaku perceraian, Pemohon menghadapi masalah ‎kewangan kerana telah ditamatkan pekerjaan (sila rujuk Ekshibit M-6 yang ‎diterjemahkan dalam Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran B). Ini ‎menyebabkan Pemohon tidak mampu meneruskan pembayaran bulanan ‎rumah tersebut yang tertunggak selama lapan (8) bulan sehingga akhirnya ‎diberikan notis oleh pihak bank supaya Pemohon mengambil tindakan ‎segera bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang dan kos (sila ‎rujuk Ekshibit M-7 yang diterjemahkan dalam Ikatan Autoriti Pemohon di ‎Lampiran C). Untuk menyelesaikan masalah ini, Pemohon telah mengambil ‎keputusan menjual rumah tersebut kepada pihak ketiga yang bersedia ‎menawarkan harga belian sebanyak RM315,000.00 dan diberi tempoh ‎sehingga Mac 2010 (sila rujuk Ekshibit M-8). ‎

Pemohon melalui Peguam Syarienya telah merundingkan kadar ‎pembahagian hasil jualan rumah tersebut sebagai harta sepencarian antara ‎Pemohon dan Responden melalui perjanjian penyelesaian di luar ‎Mahkamah. Sehubungan dengan itu Pemohon, setelah mengambil kira ‎pelbagai faktor, telah membuat keputusan bersetuju memberikan 1/3 ‎bahagian daripada hasil jualan rumah tersebut kepada Responden dan 2/3 ‎bahagian lagi kepada Pemohon sendiri (sila rujuk Ekshibit M-9). Namun ‎begitu Responden tidak bersetuju dengan tawaran pihak Pemohon ‎sebaliknya menuntut supaya diberikan ½ bahagian daripada hasil jualan ‎rumah tersebut dan ½ bahagian lagi diberi kepada Pemohon (sila rujuk ‎Ekshibit M-10). Daripada tawaran balas pihak Responden, jelas difahami ‎bahawa Responden sememangnya bersetuju supaya rumah tersebut dijual. ‎Pertikaian hanya berlaku pada menentukan kadar bahagian yang masing-‎masing berhak. Responden juga telah memasukkan kaveat persendirian ke ‎atas rumah tersebut (nombor perserahan: 60024/09) untuk menghalang ‎penjualan harta sepencarian tersebut dilakukan tanpa persetujuan ‎Responden (sila rujuk Ekshibit M-11). Namun Pemohon tetap dengan ‎keputusan untuk menjual rumah tersebut untuk mengelakkan daripada ‎dikenakan tindakan undang-undang yang boleh menyebabkan rumah ‎tersebut dilucuthak, dilelong dan sebagainya. Akhirnya Pemohon telah ‎mencadangkan supaya pembahagian sementara hasil jualan harta ‎sepencarian tersebut diberikan kepada Responden dengan kadar 1/3 ‎terlebih dahulu manakala kadar selebihnya yang dituntut oleh Responden ‎hendaklah diselesaikan melalui tindakan Mahkamah (sila rujuk Ekshibit M-‎‎12). Cara pengiraan pembahagian sementara harta sepencarian adalah ‎seperti berikut:‎

Pemohon ‎ Responden Baki
Tawaran Pihak Pemohon ‎2/3‎ ‎1/3‎ ‎-‎
Tuntutan Pihak Responden ‎1/2‎ ‎1/2‎ ‎-‎
Penyelesaian Sementara
‎(Kadar Tidak Dipertikai)‎ ‎1/2‎ ‎1/3‎ ‎1/6‎

Sehubungan dengan cadangan penyelesaian sementara di atas, Pemohon ‎turut mencadangkan supaya baki bahagian yang dipertikai iaitu sebanyak ‎‎1/6 bahagian dijamin dengan cara dipegang amanah oleh pihak yang ‎berkelayakan sehingga perintah pembahagian kekal harta sepencarian ‎dibuat oleh Mahkamah ini. Pemohon selanjutnya mencadangkan supaya ‎bahagian 1/6 itu dipegang amanah oleh Peguam Syarie Pemohon yang ‎akan bertindak menurut arahan Mahkamah ini.‎

PENGHUJAHAN

Yang Arif,‎

Berdasarkan kepada fakta-fakta kes yang dinyatakan di atas, Pemohon ‎membuat penghujahan seperti berikut:‎

Bidang Kuasa Mahkamah Mendengar Tuntutan Mengenai Harta Sepencarian
‎7.‎ Mahkamah ini adalah berbidang kuasa mendengar permohonan berkenaan ‎tuntutan harta sepencarian ini kerana perceraian antara Pemohon dan ‎Responden telah diperintahkan oleh Mahkamah Syariah Negeri Selangor ‎seperti yang ditunjukkan dalam surat perakuan cerai Pemohon. Ini selari ‎dengan seksyen 61(3)(b)(iv) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri ‎Selangor) 2003 dan khususnya seksyen 122 (1) dan (3) Enakmen Undang-‎Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:‎

‎(1)‎ Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq ‎atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintahkan ‎supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa ‎perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka ‎atau supaya mana-mana aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu ‎dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi ‎antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan ‎itu dibahagi antara pihak-pihak itu.‎

‎(3)‎ Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq ‎atau apabila membuat perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa ‎aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal ‎satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya ‎aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara mereka atau supaya ‎mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-‎pihak itu.‎

Justeru Mahkamah ini boleh mengesahkan harta di atas sebagai harta ‎sepencarian antara Pemohon dan Responden. Ini berdasarkan persetujuan ‎pemohon yang merupakan pemilik berdaftar (tunggal) bagi harta di atas yang ‎telah mengakui di dalam afidavitnya bahawa harta di atas adalah harta ‎sepencarian bersama Responden.‎

Pengertian Perintah Interim
‎8.‎ ‎‘Interim’ dari segi bahasa bermaksud ‘sementara’ atau ‘masa perantaraan’. ‎Dari segi istilah ‘perintah interim’ merujuk kepada suatu perintah yang ‎dikeluarkan oleh Mahkamah ketika penggantungan, penangguhan atau ‎masa perantaraan dalam mana-mana tindakan litigasi (kes induk). Secara ‎umumnya ia dikeluarkan oleh Mahkamah untuk memelihara status quo atau ‎kepentingan semasa (maslahah)- dalam masa menanti penyelesaian penuh ‎sesuatu tindakan litigasi. Asas bagi perintah interim ini dibuat oleh ‎Mahkamah dapat diterangkan melalui kaedah perundangan (legal maxim) ‎‎“An act of the court shall prejudice no one” yang bermaksud “Tindakan ‎Mahkamah tidak boleh memudaratkan mana-mana pihak” yang mana ‎berasal daripada kaedah fiqhiyyah ‎تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة‎ dan ‎beberapa kaedah fiqhiyyah yang lain. Justeru untuk memastikan hak mana-‎mana pihak tidak termudarat, Mahkamah boleh mengeluarkan suatu perintah ‎interim.‎

‎(Sila rujuk Ensiklopedia Wikipedia bagi perkataan ‘interim order’ dalam Ikatan ‎Autoriti Pemohon di Lampiran D)‎


Bidang Kuasa Mahkamah Memberi Perintah Interim Harta Sepencarian
‎9.‎ Mahkamah ini adalah berbidang kuasa mengeluarkan perintah interim ‎berkaitan pembahagian sementara harta sepencarian berdasarkan kepada ‎seksyen 197(1) Enakmen Tatacara Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) ‎‎2003 yang memperuntukkan:‎

‎197 (1) Tertakluk kepada Bab ini, Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa ‎mengikut budi bicaranya, untuk memberikan apa-apa perintah interim atas ‎apa-apa terma yang difikirkannya patut dan boleh memberikan apa-apa ‎arahan tentang prosiding selanjutnya.‎

Peruntukan di atas jelas memberikan kuasa yang luas kepada Mahkamah ini ‎untuk membuat apa-apa perintah interim, termasuklah antara lain, dalam isu ‎harta sepencarian, mengikut budi bicaranya yang mana tertakluk kepada prinsip-‎prinsip keadilan dan Hukum Syarak yang dinyatakan di bawah seksyen 244 dan ‎‎245 Enakmen yang sama.‎

Bidang Kuasa Mahkamah Memberi Perintah Interim Secara Ex-Parte
‎10.‎ Mahkamah ini juga adalah berbidang kuasa mengeluarkan perintah interim ‎ini yang didengar secara ex-parte berdasarkan kepada seksyen 200(3) ‎Enakmen Tatacara Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang ‎memperuntukkan:‎

‎(4)‎ Jika Pemohon ialah Plaintif dan kes itu satu kes yang mendesak, ‎permohonan itu boleh dibuat secara ex-parte yang disokong dengan ‎afidavit dan afidavit itu hendaklah mengandungi suatu pernyataan yang ‎jelas dan ringkas lagi padat-‎
‎(a)…, (b)…, (c)…, (d)…, (e)…, (f)…, (g)…‎

Yang Arif,‎

Bagi memahami peruntukan undang-undang di atas, maka ia perlulah ‎ditafsirkan secara harmoni iaitu seperti mana berikut:‎

a)‎ Permohonan secara ex-parte ini tidak hanya terpakai kepada ‎perintah injunksi yang merupakan tajuk utama kepada seksyen 200 ‎‎(Injunksi) Enakmen tersebut. Ini kerana menurut prinsip penafsiran ‎undang-undang yang sedia difahami, tajuk seksyen tidaklah ‎mengikat tafsiran sesuatu undang-undang. Keduanya dalam ‎permulaan seksyen 197 yang disebutkan sebelum seksyen 200 telah ‎disebutkan ungkapan berikut:… “Tertakluk kepada Bab ini,…” Ini ‎bermakna pemakaian seksyen 197 dalam mendapatkan perintah ‎interim hendaklah tertakluk kepada seksyen-seksyen lain yang ‎disebutkan di bawah Bab yang sama iaitu Bab 2, Bahagian XX ‎‎(Perintah Interim), termasuklah seksyen 200. Ketiganya perintah ‎interim itu sendiri terbahagi kepada dua bentuk utama iaitu perintah ‎injunksi, larangan / tegahan (restraining order) (‎النهي‎) dan perintah ‎suruhan / arahan (directive order)‎‏ (الأمر)‏‎. (sila rujuk ikatan autoriti ‎Pemohon di Lampiran D). Perintah interim yang dipohon oleh ‎Pemohon dalam kes ini adalah daripada jenis kedua iaitu perintah ‎suruhan. Memandangkan tiada peruntukan khas mengenai perintah ‎interim berbentuk suruhan di dalam Bab ini, maka tatacaranya ‎bolehlah dibuat dengan merujuk kepada perintah interim berbentuk ‎injunksi kerana terdapat persamaan bahawa kedua-duanya adalah ‎berbentuk perintah interim.‎

b)‎ Ungkapan “Jika Pemohon ialah Plaintif…,” tidak wajar ditafsirkan ‎secara ketat dan literal bagi menafikan hak Pemohon untuk ‎memfailkan permohonan interim secara ex-parte semata-mata ‎kerana Pemohon tidak dapat menjadi seorang Plaintif dalam kes ‎induk harta sepencarian khususnya apabila pihak Responden telah ‎bertindak memfailkan terlebih dahulu kes induk dan menyebabkan ‎Pemohon menjadi Defendan. Dalam kes ini, sebenarnya Pemohon ‎telah cuba membuat pemfailan serentak bagi tuntutan kes induk ‎harta sepencarian dengan bertindak sebagai Plaintif. (Sila rujuk ‎wakalah Peguam Syarie Pemohon sebagai bakal Plaintif dalam kes ‎induk harta sepencarian bertarikh 17/03/2010 di Lampiran E). ‎Namun pemfailan kes tersebut menjadi terhalang disebabkan ‎Responden telah terlebih dahulu, tanpa pengetahuan Pemohon, ‎memfailkan saman bagi kes induk yang masih belum ditetapkan ‎untuk pendengaran. Namun begitu apabila berlaku keadaan seperti ‎ini (Pemohon bukan seorang Plaintif dalam kes induk), maka ‎Pemohon tidak menolak keperluan untuk meraikan Responden yang ‎merupakan Plaintif dalam kes induk. Justeru Pemohon telah ‎memohon secara lisan supaya menjadikan permohonan interim ini ‎didengar secara inter-parte bagi mengelakkan kemudaratan terhadap ‎Responden. Pemohon juga, tanpa perintah, telah menyerah ‎sampaikan sesalinan notis permohonan interim (ex-parte) ini kepada ‎Responden melalui Peguam Syarie yang mewakilinya dalam kes ‎induk iaitu pada 01/04/2010. (Sila rujuk tandatangan penerimaan ‎peguam syarie Responden di Lampiran F). Oleh sebab itu ‎permohonan perintah interim ini wajarlah diteruskan oleh Mahkamah ‎ini sama ada secara ex-parte atau inter-parte mengikut budi bicara ‎Mahkamah ini.‎

Bidang Kuasa Mahkamah Membuat Perintah Interim Untuk Menjual Harta Sepencarian
‎11.‎ Mahkamah ini juga adalah berbidang kuasa membuat perintah interim bagi ‎memerintahkan penjualan harta sepencarian di atas selari dengan ‎peruntukan seksyen 204 Enakmen Tatacara Mahkamah Syariah (Negeri ‎Selangor) 2003 yang memperuntukkan seperti berikut:‎

Penjualan harta mudah musnah, dsb.‎

‎204. Mahkamah boleh, atas permohonan mana-mana pihak dalam ‎mana-mana kausa atau perkara, membuat suatu perintah bagi ‎penjualan oleh mana-mana orang, mengikut apa-apa cara dan atas ‎apa-apa terma, jika ada, sebagaimana yang dinyatakan dalam ‎perintah itu mana-mana harta alih yang menjadi hal perkara kausa ‎atau perkara itu atau yang mengenainya apa-apa soalan mungkin ‎berbangkit dalamnya dan mungkin merosot jika disimpan atau yang ‎bagi apa-apa sebab baik yang lain adalah wajar dijualkan dengan ‎serta merta.‎

Yang Arif,‎

Dalam menafsirkan maksud peruntukan di atas, Pemohon menghujahkan ‎supaya pertimbangan yang teliti perlu diberikan kepada keseluruhan maksud ‎seksyen dan enakmen di atas kerana jika ia hanya difahami secara literal, maka ‎seksyen ini mungkin hanya terpakai bagi perintah interim bagi penjualan harta ‎alih sahaja sedangkan harta sepencarian yang menjadi perkara kausa dalam kes ‎ini berbentuk harta tak alih. ‎

Yang Arif,‎

Pemohon menghujahkan bahawa perintah interim untuk penjualan harta mudah ‎musnah tersebut juga sebenarnya boleh dipakai kepada harta tak alih atas ‎alasan-alasan berikut:‎
i)‎ Tajuk seksyen diletakkan atas ungkapan “penjualan harta mudah ‎musnah dan sebagainya” bukan atas ungkapan “penjualan harta alih ‎mudah musnah dan sebagainya”. Ini menggambarkan jenis harta yang ‎dimaksudkan tidak terbatas kepada harta alih sahaja. Tambahan pula ‎harta mudah musnah juga boleh terpakai kepada harta tak alih seperti ‎rumah apabila ia, sebagai contoh, dalam keadaan tertentu yang ‎terdedah kepada kebakaran, kecurian, kerosakan, atau kemusnahan ‎jika tidak dijaga atau diselenggara dengan baik.‎

ii)‎ Tidak terdapat sebarang peruntukan lain yang jelas melarang perintah ‎interim dibuat bagi penjualan harta tak alih seperti rumah yang menjadi ‎perkara kausa dalam kes ini. Justeru, dalam hal ini bolehlah disifatkan ‎telah wujudnya satu lakuna. Maka dalam keadaan sedemikian ‎Mahkamah ini wajarlah merujuk kepada hukum Syarak seperti yang ‎diperuntukkan dalam seksyen 245(2) Enakmen Tatacara Mahkamah ‎Syariah (Negeri Selangor) 2003.‎

iii)‎ Berdasarkan kepada hukum Syarak, kaedah fiqhiyyah berikut bolehlah ‎dirujuk bagi mengetahui hukum mengeluarkan perintah interim untuk ‎menjual harta tak alih seperti rumah. Antara lainnya;‎

a)‎ Kaedah 1: ‎الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم‏

Yang bermaksud: “Asal suatu perkara itu adalah harus‏ ‏‎ hinggalah ‎ada dalil yang menunjukkan pengharamannya.‎

‎(Sila rujuk buku Perbahasan Kaedah-Kaedah Fiqh dalam Autoriti ‎Hujah Pemohon di Lampiran G)‎

Justeru adalah dibolehkan bagi Mahkamah ini mengeluarkan ‎perintah interim untuk menjual harta tak alih di atas selagi mana ‎tidak ada peruntukan undang-undang lain yang menegahnya.‎

b)‎ Kaedah 2: ‎لا ضرر ولا ضرار‎ atau‎‏ الضرر يزال ‏

Yang bermaksud: “Kemudaratan itu hendaklah dihilangkan”. ATAU ‎kaedah lain yang bermaksud: “Tidak boleh memudaratkan dan ‎tidak boleh saling memudaratkan”‎

‎(Sila rujuk Kitab al-Asybah wa an-Nazair halaman 173 dalam ‎Autoriti Hujah Pemohon di Lampiran H)‎

Dalam hal ini jika rumah tersebut tidak dijual, maka akan timbul ‎kemudaratan terhadap harta benda Pemohon yang ditegah oleh ‎hukum syarak. Seperti yang telah diikrarkan oleh Pemohon di ‎dalam afidavitnya, terdapat sebab yang munasabah untuk ‎Pemohon menjual rumah (harta tak alih) tersebut demi mengelak ‎daripada timbul kemudaratan terhadap hartanya yang akan ‎dikenakan tindakan undang-undang dan kos oleh pihak bank jika ‎Pemohon tidak dapat menyelesaikan akaun pinjaman ‎perumahannya dengan kadar segera. Dalam hal ini pemohon ‎hanya mempunyai dua (2) pilihan samada meneruskan semula ‎bayaran bulanan perumahan (tertakluk kepada penerimaan semula ‎pihak bank) atau menjual rumah tersebut kepada pihak ketiga ‎‎(tertakluk kepada persetujuan lanjut pihak bank). Adalah ternyata ‎kepada Mahkamah ini bahawa pemohon tidak mampu meneruskan ‎bayaran bulanan perumahan atas kekangan kewangan, maka ‎pilihan terakhir yang munasabah untuk Pemohon adalah menjual ‎rumah tersebut kepada pihak ketiga. Oleh sebab itu, adalah wajar ‎permohonan ini dibenarkan demi mengelakkan kemudaratan ‎terhadap harta Pemohon selari dengan kaedah fiqhiyyah di atas.‎

c)‎ Kaedah 3: ‎تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

Bermaksud: “Tindakan pemerintah ke atas rakyat adalah tertakluk ‎kepada maslahah”.‎

‎(Sila rujuk kitab al-Asybah wa an-Nazair halaman 233 dalam ‎Autoriti Hujah Pemohon di Lampiran I)‎

Dalam hal ini, Mahkamah sebagai pihak pemerintah wajarlah ‎mempertimbangkan maslahah yang terhasil daripada perintah ‎interim penjualan harta sepencarian ini. Antara maslahah yang ‎terhasil ialah:‎

ii)‎ Penyelesaian sementara bagi pembahagian harta ‎sepencarian dapat dicapai dengan segera dan mudah tanpa ‎perlu menunggu sehingga penyelesaian penuh tercapai ‎yang kebiasaannya memakan masa yang lama. Ini dapat ‎menjimatkan masa, kos dan tenaga pihak-pihak.‎

iii)‎ Akaun pinjaman rumah tersebut dapat diselesaikan awal ‎‎(early settlement) dengan cara hasil jualan rumah ditolak ‎hutang tertunggak. Ini dapat menyelamatkan rumah tersebut ‎daripada tindakan pelelongan atau pelucuthakan oleh pihak ‎bank jika akaun pinjaman gagal diselesaikan.‎

iv)‎ Pihak-pihak dapat memperbaiki keadaan ekonomi masing-‎masing setelah mendapat wang hasil jualan rumah tersebut ‎yang boleh dimanfaatkan bersama sementara menanti ‎penyelesaian penuh.‎

v)‎ Pihak bank juga dapat memanfaatkan wang awam (deposit ‎pelanggan) yang boleh digunakan bagi membiayai semula ‎rumah tersebut dengan melakukan transaksi penjualan ‎rumah tersebut kepada pihak ketiga yang berminat.‎

vi)‎ Pihak ketiga yang berminat dengan rumah tersebut juga ‎dapat melakukan urusan pembelian rumah tersebut tanpa ‎halangan undang-undang.‎

vii)‎ Rumah tersebut dapat dimanfaatkan oleh pemilik baru yang ‎mana ketika ini telah pun dikosongkan. Adalah suatu ‎kerugian jika rumah yang sebegini berharga dibiarkan ‎kosong terlalu lama.‎

viii)‎ Pada masa hadapan, kes ini boleh menjadi rujukan kepada ‎kes-kes harta sepencarian lain yang memerlukan ‎penyelesaian sementara melalui perintah interim dan ini ‎akan dapat memajukan lagi institusi Kehakiman Syariah di ‎Negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya.‎

d)‎ Kaedah 4: ‎الحاجة تُنَزل منزلة الضرورة عامة كانت أو خاصة ‏

Bermaksud: “Keperluan itu mengambil tempat setaraf dengan ‎darurat sama ada (keperluan itu) berbentuk umum atau ‎khusus.”‎

‎(Sila rujuk kitab Syarh al-Qawaid al-Fiqhiyyah oleh Syeikh Ahmad ‎Bin Syeikh Muhammad Zarqa’ halaman 209-210 dalam Autoriti Hujah ‎Pemohon di Lampiran J)‎

Pengarang kitab tersebut telah mensyarahkan kaedah ini seperti mana ‎berikut:‎

الحاجة تنزل فيما يحظره ظاهر الشرع منزلة الضرورة عامة كانت أو خاصة. وتنزيلها منزلة ‏الضرورة في كونها تثبت حكما وإن افترقا في كون حكم الأولى مستمرا وحكم الثانية موقتا بمدة ‏قيام الضرورة إذ الضرورة تقدر بقدرها...‏

والظاهر أن ما يجوز للحاجة إنما يجوز فيما ورد فيه نص يجوزه, أو تعامل, أو لم يرد فيه شيء ‏منهما ولكن لم يرد فيه نص يمنعه بخصوصه وكان له نظير في الشرع يمكن إلحاقه به وجعل ما ‏ورد في نظيره واردا فيه....‏

Maksudnya: “Keperluan itu mengambil tempat setaraf dengan darurat, seperti ‎mana yang digariskan oleh zahir nas, sama ada keperluan itu bersifat umum ‎atau khusus. Kedudukannya (keperluan itu) dalam mengambil tempat yang ‎setaraf dengan darurat itu adalah pada perihalnya (keperluan itu) yang ‎mensabitkan hukum (yang sama dengan hukum perkara darurat) walaupun ‎kedua-duanya (mungkin) berbeza dari segi perihal hukum pertama (keperluan ‎itu) bersifat kekal, manakala hukum kedua (darurat) bersifat sementara mengikut ‎tempoh wujudnya darurat kerana darurat itu dinilaikan menurut kadarnya.”‎

Menurut hukum zahir apa yang diharuskan oleh sebab keperluan itu adalah ‎diharuskan menurut (1) apa yang dinyatakan oleh nas yang mengharuskannya, ‎atau (2) menurut ta’amul atau ketetapan umum (termasuklah undang-undang ‎dan sebagainya). Atau (3) jika tidak dinyatakan sebarang hukum melalui kedua-‎duanya (nas dan ketetapan undang-undang) akan tetapi tidak terdapat padanya ‎nas yang melarangnya secara khusus dan terdapat pula padanya perkara yang ‎sebanding menurut Hukum Syarak yang boleh diqiyaskan kepadanya, dan (lalu) ‎dijadikan apa yang dinyatakan pada perkara sebanding itu, terpakai juga pada ‎perkara itu.‎

Berdasarkan kepada huraian kaedah fiqhiyyah di atas, maka ternyatalah kuasa ‎Mahkamah membuat perintah interim untuk menjual harta tak alih tidak ‎termaktub di dalam undang-undang dan tidak juga terdapat sebarang undang-‎undang yang melarangnya. Namun begitu wujud peruntukan undang-undang ‎sebanding, iaitu peruntukan yang membenarkan penjualan harta alih. Maka ‎peruntukan ini bolehlah diperluaskan kepada penjualan harta tak alih kerana ‎kedua-duanya (harta alih dan tak alih) adalah harta yang mempunyai nilai dan ‎wajib dipelihara menurut Hukum Syarak dan maqasid syariah di bawah perkara ‎daruriyyah al-khams iaitu antaranya: ‎المحافظة على المال

e)‎ Kaedah 5: ‎ما لا يدرك جله لا يترك كله

Bermaksud: “Apa yang tidak dapat dicapai kesempurnaannya, tidak ‎boleh ditinggalkan kesemuanya.”‎

Berdasarkan kepada kaedah di atas, maka ternyatalah ‎penyelesaian penuh, sempurna dan menyeluruh belum dapat ‎dicapai antara Pemohon dan Responden. Walau bagaimanapun ‎masih terdapat jalan penyelesaian sementara atau penyelesaian ‎sebahagian yang telah tercapai. Justeru selagi mana ada jalan ‎penyelesaian sementara atau penyelesaian sebahagian, maka ia ‎wajarlah diterima kerana ini lebih baik daripada membiarkan ‎pertikaian berterusan tanpa ada sebarang penyelesaian langsung.‎

f)‎ Kaedah 6: ‎الخروج من الخلاف مستحب

Bermaksud: “Keluar dari khilaf itu adalah digalakkan.”‎

‎(Sila rujuk kitab al-Asybah wa an-Nazair halaman 257 dalam ‎Autoriti Hujah Pemohon di Lampiran K)‎

Berdasarkan kepada kaedah di atas maka permohonan Pemohon untuk ‎mendapatkan perintah interim ini bolehlah dianggap sebagai satu jalan untuk ‎menyelesaikan pembahagian harta sepencarian yang tidak dipertikaikan ‎kadarnya oleh pihak-pihak. Ini adalah satu tindakan yang wajar dilakukan ‎dalam usaha pihak-pihak untuk keluar daripada khilaf atau pertikaian selari ‎dengan apa yang digariskan oleh kaedah fiqhiyyah di atas.‎

Bidang Kuasa Mahkamah Membuat Perintah Penjagaan Terhadap Harta Yang Dipertikai
‎12.‎ Mahkamah ini juga adalah berbidang kuasa membuat perintah interim bagi ‎memerintahkan penjagaan baki 1/6 bahagian daripada hasil jualan harta ‎sepencarian tersebut yang masih menjadi pertikaian antara pihak-pihak ‎selari dengan peruntukan seksyen 199(1) dan (3) Enakmen Tatacara ‎Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan seperti ‎berikut:‎

‎199(1) Atas permohonan mana-mana pihak dalam sesuatu kausa atau ‎perkara, Mahkamah boleh membuat suatu perintah bagi penahanan, ‎pemeliharaan atau penjagaan mana-mana harta yang menjadi hal ‎perkara kausa atau perkara itu, atau yang mengenainya apa-apa ‎soalan mungkin berbangkit dalamnya, atau bagi pemeriksaan mana-‎mana harta sedemikian dalam milikan suatu pihak dalam kausa atau ‎perkara itu.‎

‎(3) Jika hak mana-mana pihak kepada suatu dana tertentu dipertikai ‎dalam suatu kausa atau perkara, Mahkamah boleh, atas permohonan ‎suatu pihak dalam kausa atau perkara itu, memerintahkan supaya ‎dana itu dibayar ke dalam Mahkamah atau selainnya dijamin.‎

Peruntukan di atas jelas memberikan kuasa kepada Mahkamah ini untuk ‎membuat perintah interim bagi penjagaan 1/6 bahagian harta sepencarian yang ‎menjadi perkara pertikaian dalam tindakan ini. Untuk melaksanakan perintah ‎penjagaan tersebut Mahkamah ini bolehlah mengguna pakai salah satu daripada ‎kaedah berikut:‎

i)‎ ‎1/6 bahagian daripada wang hasil jualan harta sepencarian yang ‎dipertikai itu dimasukkan terus ke akaun Mahkamah oleh pihak ‎Pemohon sehingga perintah penyelesaian kekal dikeluarkan. Tatacara ‎bagi perkara ini ada diperuntukkan dalam Bahagian XXII Enakmen ‎Tatacara Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003; atau‎

ii)‎ ‎1/6 bahagian daripada wang hasil jualan harta sepencarian yang ‎dipertikai itu dijamin oleh Pemohon dengan cara yang sama seperti ‎bon jaminan yang dipakai dalam menjamin seseorang tertuduh bagi ‎kesalahan jenayah syariah, iaitu Pemohon diarah membuka akaun ‎bank atas namanya dan menyerahkan buku bank tersebut kepada ‎Mahkamah untuk dipegang dan dibekukan sehingga perintah ‎pembahagian kekal dikeluarkan; atau

iii)‎ ‎1/6 bahagian daripada wang hasil jualan harta sepencarian yang ‎dipertikai itu diperintahkan supaya dipegang amanah oleh Peguam ‎Syarie Pemohon seperti yang dicadangkan oleh Pemohon sendiri ‎sehingga perintah pembahagian kekal dikeluarkan.‎

Bidang Kuasa Mahkamah Mengarahkan Pentadbir Tanah Untuk Memberi Kuatkuasa kepada ‎Perintah Interim Pembahagian Harta Sepencarian.‎
‎13.‎ Mahkamah ini juga adalah berbidang kuasa mengeluarkan perintah ‎mengarahkan Pendaftar Hakmilik atau Pentadbir Tanah untuk melakukan ‎perbuatan yang perlu (termasuklah memotong kaveat persendirian yang ‎dimasukkan oleh Responden) untuk memberi kuat kuasa kepada perintah ‎interim pembahagian harta sepencarian di atas. Ini selari dengan peruntukan ‎seksyen 417 (1) Kanun Tanah Negara 1965 yang dibaca bersama seksyen ‎‎421A Akta yang sama yang memperuntukkan seperti berikut:‎

‎417. Autoriti Am Mahkamah‎

‎(1) Mahkamah atau Hakim boleh dengan perintah mengarahkan Pendaftar ‎atau mana-mana Pentadbir Tanah untuk melakukan segala perbuatan ‎seperti mana yang perlu untuk memberi kuatkuasa kepada apa-apa ‎hukuman atau perintah yang diberi atau dibuat dalam mana-mana ‎prosiding yang berhubungan dengan tanah, dan ia hendaklah merupakan ‎kewajipan Pendaftar atau Pentadbir Tanah untuk mematuhi perintah itu ‎selepas itu.‎

‎421A. Tafsiran‎

Bagi maksud-maksud seksyen 417 dan 420, “Mahkamah” termasuklah ‎Mahkamah Syariah.‎

Peruntukan di atas jelas memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah ini untuk ‎mengarahkan Pendaftar Hakmilik atau Pentadbir Tanah yang bertanggungjawab ‎terhadap tanah harta sepencarian yang menjadi perkara tuntutan dalam ‎prosiding ini supaya memotong kaveat persendirian yang dimasukkan oleh ‎Responden ke atas tanah tersebut. ‎

Pemotongan atau pembatalan kaveat tersebut perlu dilakukan bagi ‎membolehkan harta sepencarian tersebut dapat dijual dan dibahagikan menurut ‎kadar yang diperintahkan oleh Mahkamah. Ini selari dengan kaedah fiqhiyyah :‎

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Bermaksud: “Sesuatu yang tidak sempurna apa-apa kewajipan melainkan ‎dengannya, maka perkara itu adalah wajib”.‎

Berdasarkan kepada maklumat alasan kaveat dalam Borang 19B KTN, didapati ‎Responden telah memasukkan kaveat tersebut atas alasan harta sepencarian ‎dan tidak selainnya. Justeru pembatalan kaveat tersebut adalah relevan dengan ‎tujuan ia dimasukkan. Apa yang zahir, kaveat tersebut dibuat hanya atas tujuan ‎untuk menjaga kepentingan harta sepencarian Responden semata-mata. ‎Sedangkan perintah pembatalan kaveat yang dibuat oleh Mahkamah ini ‎mempunyai tujuan yang lebih baik dan adil iaitu untuk menjaga kepentingan ‎harta sepencarian kedua-dua pihak Pemohon dan Responden.‎

Kuasa Tersirat Mahkamah Syariah Untuk Membuat Perintah Pemotongan Kaveat Persendirian
‎14.‎ Selain daripada peruntukan seksyen 417 dan 421A Kanun Tanah Negara ‎‎1965, Mahkamah Syariah juga boleh mendapatkan punca kuasa tersirat ‎dalam mengeluarkan perintah yang dipohon secara ex-parte bagi ‎mengarahkan Pendaftar Hakmilik atau Pentadbir Tanah memotong kaveat ‎persendirian yang dimasukkan oleh Responden berdasarkan kepada ‎seksyen 327(1) dibaca bersama seksyen 5 Kanun Tanah Negara yang ‎memperuntukkan seperti berikut:‎

‎327. Pemotongan kaveat-kaveat sendirian oleh Mahkamah

‎(1)‎ Mana-mana orang atau badan yang terkilan dengan kewujudan suatu ‎kaveat sendirian bolehlah pada bila-bila masa memohon kepada ‎Mahkamah untuk suatu perintah untuk pemotongannya, dan Mahkamah ‎‎(dengan bertindak, jika keadaan-keadaan mengkehendaki sedemikian, ‎ex parte), bolehlah membuat apa-apa perintah atas permohonan itu ‎sepertimana yang difikirkannya adil.‎

‎5. Tafsiran‎

Dalam Akta ini, dalam semua dokumen hakmilik kepada tanah berimilik, ‎dan dalam semua pajakan, lessen, permit, notis, perjanjian dan lain-lain ‎dokumen berhubungan dengan tanah yang diberi, dikeluarkan atau ‎dimasuki oleh atau bagi pihak Pihak Berkuasa Negeri (termasuk dokumen-‎dokumen yang wujud pada permulaan Akta ini); melainkan konteksnya ‎mengkehendaki sebaliknya-‎

‎“Mahkamah” ertinya Mahkamah Tinggi di Malaya;‎

Peruntukan di atas jelas memberikan hak kepada pihak yang terkilan dengan ‎kewujudan kaveat persendirian (termasuklah Pemohon) untuk memohon kepada ‎Mahkamah (termasuklah Mahkamah Syariah) supaya mengeluarkan perintah ‎pemotongan kaveat tersebut. Permohonan tersebut juga dinyatakan boleh dibuat ‎secara ex-parte jika keadaan mengkehendaki sedemikian dan Mahkamah atas ‎permohonan tersebut boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkan adil, ‎termasuklah membuat perintah interim yang dipohon dalam kes ini.‎

Tafsiran “Mahkamah” di dalam seksyen 5 Kanun Tanah Negara, dalam hal ini, ‎perlulah ditafsirkan sebaliknya kerana konteksnya mengkehendaki sedemikian. ‎Justeru perkataan “Mahkamah” di sini perlu ditafsirkan sebagai “Mahkamah ‎Tinggi Syariah di Malaysia”. Ini kerana konteks atau keseluruhan perkara yang ‎menjadi matan dalam tuntutan ini adalah berhubung dengan harta sepencarian ‎orang Islam yang merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah dan tidak ‎sekali-kali menjadi bidang bidang kuasa Mahkamah Tinggi Sivil. Tafsiran ini ‎selari dengan peruntukan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang ‎memperuntukkan Mahkamah-Mahkamah sivil tidaklah boleh mempunyai bidang ‎kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah ‎Syariah yang ditetapkan dalam Jadual Kesembilan Senarai 2 Perlembagaan ‎Persekutuan. Bidang kuasa Mahkamah Syariah memutuskan isu harta ‎sepencarian orang Islam pula telah jelas termaktub dan dikodifikasikan dalam ‎seksyen 61(3)(b)(iv) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) ‎‎2003.‎


Yang Arif,‎

Isu Samada Perintah Interim Penjualan Harta Sepencarian Menjejaskan Hak Pihak Bank
‎15.‎ Adalah diakui bahawa selain daripada kaveat persendirian, terdapat satu lagi ‎halangan transaksi penjualan ke atas harta sepencarian atau tanah tersebut ‎iaitu gadaian bagi menjamin wang pokok yang dimasukkan oleh pihak ‎Malayan Banking Berhad yang tercatat dalam hakmilik dengan nombor ‎perserahan 7654/2002. Hal ini tidak dipertikaikan oleh Pemohon dan dalam ‎prosiding ini Pemohon tidak memohon perintah membatalkan gadaian ‎tersebut kerana perkara itu perlu diselesaikan oleh Pemohon melalui forum ‎yang berlainan (bukan bidang kuasa Mahkamah ini). Proses penarikan balik ‎gadaian tersebut boleh dimulakan oleh Pemohon dengan pihak bank selepas ‎daripada halangan kaveat persendirian tersebut dikeluarkan. Dengan ini, ‎anggapan bahawa perintah penjualan harta sepencarian ini tidak sah ‎dilakukan menurut Hukum Syarak kerana harta tersebut masih dimiliki oleh ‎pihak bank adalah khilaf. Ini kerana Pemohon juga mempunyai hak terhadap ‎harta tersebut dan penjualan yang ingin dilakukan oleh Pemohon tidak ‎sekali-kali akan menjejaskan hak pihak bank. ‎


Kesimpulan
‎16.‎ Berdasarkan hujahan yang dikemukakan di atas, maka adalah jelas ‎Mahkamah Syariah ini mempunyai sepenuh bidang kuasa untuk mendengar ‎dan memutuskan hal kausa dan perkara yang dituntut. Jelasnya Mahkamah ‎ini adalah berbidang kuasa untuk:‎

i)‎ Memutuskan tuntutan berkaitan pembahagian harta sepencarian orang ‎Islam yang telah bercerai secara sah dalam kawasan bidang kuasa ‎Mahkamah ini.‎

ii)‎ Membuat perintah interim untuk pembahagian sementara harta ‎sepencarian mengikut kadar yang tidak dipertikai, munasabah dan adil ‎sehingga pembahagian kekal diputuskan dalam kes induk harta ‎sepencarian.‎

iii)‎ Mendengar permohonan perintah interim ini secara ex-parte jika wujud ‎alasan keterdesakan yang mencukupi, adil dan keadaan memerlukan ‎sedemikian atau secara inter-parte jika diperlukan atau diarahkan ‎sedemikian oleh Mahkamah.‎

iv)‎ Membuat perintah interim untuk menjual serta merta harta tak alih yang ‎menjadi hal perkara dalam tuntutan harta sepencarian atas sebab-sebab ‎yang baik, wajar lagi adil.‎

v)‎ Membuat perintah interim untuk penjagaan sementara dana harta ‎sepencarian yang dipertikai menurut kaedah yang difikirkan sesuai dan ‎adil sehingga keputusan pembahagian kekal harta sepencarian ‎dikeluarkan.‎

vi)‎ Mengarahkan Pendaftar Hakmilik atau Pentadbir Tanah, melalui perintah ‎untuk memotong atau membatalkan kaveat persendirian yang telah ‎dimasukkan atas perkara harta sepencarian.‎

vii)‎ Memberi apa-apa arahan tentang prosiding selanjutnya di dalam kes ‎induk tuntutan harta sepencarian.‎

Relif Yang Sebenarnya Dipohon
‎17.‎ Oleh yang demikian, Pemohon dengan rendah diri dan tawadduknya ‎memohon kepada Mahkamah Yang Mulia ini untuk meluluskan permohonan ‎ini dan mengeluarkan perintah interim yang dipohon seperti mana berikut:‎

i)‎ Mahkamah mengesahkan rumah hakmilik H.S.(D): ...., No. PT ..... ‎Daerah dan Mukim Petaling adalah harta sepencarian antara Pemohon ‎dan Responden.‎

ii)‎ Mahkamah membenarkan Pemohon menjual dengan seberapa segera, ‎rumah tersebut, tertakluk kepada persetujuan pemegang gadaian atau ‎pihak bank yang berkenaan.‎

iii)‎ Mahkamah mengarahkan Pendaftar Hakmilik atau Pentadbir Tanah ‎Negeri Selangor yang berkenaan supaya memberi kerjasama yang ‎sewajarnya kepada Pemohon dalam melaksanakan perintah ini dengan ‎memotong atau membatalkan kaveat persendirian yang dimasukkan oleh ‎Responden (Nombor Perserahan: 60024/09) ke atas hartanah tersebut ‎dan menegah kemasukan kaveat berulang dibuat oleh Responden atas ‎hartanah dan alasan yang sama pada masa hadapan.‎

iv)‎ Mahkamah memerintahkan (secara interim) supaya 1/3 bahagian ‎daripada harga jualan bersih rumah tersebut hendaklah diserahkan oleh ‎Pemohon kepada Responden dalam masa 14 hari daripada tarikh ‎penerimaan bayaran penuh. ‎

v)‎ Mahkamah memerintahkan (secara interim) supaya 1/6 bahagian ‎daripada harga jualan bersih rumah tersebut hendaklah, dalam masa 14 ‎hari, diserahkan oleh Pemohon kepada Peguam Syarie Pemohon yang ‎bertindak sebagai pemegang amanah atau penjaga sementara sehingga ‎perintah selanjutnya dikeluarkan oleh Mahkamah ini.‎

vi)‎ Mahkamah membenarkan (secara interim) Pemohon menyimpan sendiri ‎dan memanfaatkan ½ bahagian daripada harga jualan bersih rumah ‎tersebut.‎

vii)‎ Mahkamah juga memerintahkan Pemohon supaya menyerahkan ‎sesalinan dokumen penjualan rumah di atas dan dokumen bukti harga ‎jualan bersih kepada Responden dan Mahkamah ini, dalam masa 14 hari ‎daripada tarikh dokumen tersebut diterima oleh Pemohon.‎

viii)‎ Apa-apa perintah lain yang difikirkan suai manfaat menurut Hukum ‎Syarak.‎


‎-Wallahu A’lam-‎

Bertarikh pada haribulan APRIL tahun 2010‎

HUJAH KES PENGESAHAN STATUS AGAMA ISLAM


Salam semua. Dah lama tak update blog ni. Petang tadi saya dimaklumkan mengenai keputusan satu kes status agama Islam yang mana diputuskan pemohon memang bukan seorang islam sejak lahir. Justeru dalam kes ini tidak sesekali timbul isu MURTAD kerana pemohon tidak pernah menjadi orang Islam. Ia memang satu keputusan yang menyebelahi keadilan.

Saya teringat pernah menyumbang hujah tambahan untuk kes tersebut masa bulan-bulan pertama saya di MAIS. Masa tu baru 2 bulan kerje di MAIS. Hari ni dah 15 bulan saya berhijrah dari MAIS. Alhamdulillah buat pertama kalinya keputusan sedem
ikian diisytiharkan sebagai lambang keadilan Mahkamah Syariah untuk orang bukan Islam.

Berikut dikemukakan hasil penghujahan saya dahulu yang bila dibaca semula pada hari ini mungkin masih banyak lagi kecatatan yang boleh diperbaiki.

HUJAH TAMBAHAN RESPONDEN

Pendahuluan

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

1. Ini adalah hujah dan autoriti tambahan Responden yang dikemukakan di bawah kod 20 Etika Peguam Syarie yang memperuntukkan:

20. (a) Jika selepas keterangan dan hujah ditutup dan semasa keputusan ditangguhkan, seseorang Peguam Syarie dapat tahu akan suatu kedudukan undang-undang atau akan suatu keputusan undang-undang, yang mana adalah berkaitan secara langsung, dia hendaklah membawanya kepada perhatian Mahkamah dan pihak lawan dan pihak itu hendaklah bersetuju dengan kedudukan atau keputusan itu walaupun menentangnya.

(Sila rujuk Autoriti di Lampiran A)

2. Kod Etika Peguam Syarie di atas bolehlah diterima sebagai amalan Mahkamah ini selari dengan Arahan Amalan No. 4 Tahun 2002 khususnya dalam keadaan lakuna dan tidak terdapat peruntukan yang nyata dalam undang-undang bertulis. Hal yang sedemikian juga menepati seksyen 245(2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.

3. Dalam Kes ini penghujahan telah pun ditutup. Mengikut rekod, Responden telah memulakan penghujahannya pada 12 Jun 2007. Pemohon seterusnya memfailkan hujah permohonannya pada 30 Julai 2007. Kemudian Responden memfailkan penghujahan balasnya pada 29 Ogos 2007. Akhirnya, pada 28 September 2007, Pemohon pula memfailkan jawapan kepada penghujahan balas Responden. Mahkamah ini pada asalnya telah menetapkan keputusan pada 26 Disember 2007, tetapi telah menangguhkannya kepada tarikh 26 Februari 2008.

4. Hujah-hujah terdahulu telah dikemukakan oleh pihak-pihak untuk menjelaskan isu bidang kuasa Mahkamah ini bagi mendengar permohonan di atas serta isu tafsiran undang-undang. Hujah Tambahan ini pula disediakan bagi mengemukakan pendapat mengenai persoalan undang-undang berkaitan pembuktian dan tafsiran undang-undang melalui pendekatan ‘elak mudarat’ (mischief rule) untuk membantu Mahkamah ini dalam membuat keputusan yang seadil-adilnya terhadap pihak-pihak.

BAB 1

Keterangan Afidavit Pemohon Tidak disokong oleh Keterangan Dokumentar yang Mencukupi

5. Dalam affidavit tambahan bertarikh 18/10/2005, Pemohon telah menyatakan perkara-perkara berikut:

(i) Pemohon mendakwa bahawa bapa kandung pemohon yang sebenar adalah seorang Hindu dan telah pulang ke India sebelum Pemohon dilahirkan. Pemohon tidak menyebutkan siapakah nama bapa kandung yang dimaksudkan. Tiada keterangan (bukti bertulis atau lisan) disertakan untuk membuktikan dakwaan ini.

(ii) Pemohon mendakwa bahawa Noor Mohammad sebenarnya adalah jiran Pemohon. Mafhumnya, Pemohon menafikan Noor Muhammad sebagai bapanya. Tiada keterangan bukti bertulis atau lisan disertakan untuk membuktikan dakwaan ini. Afidavit pemohon hanyalah satu dakwaan dan tidak bersifat sebagai suatu bukti.

(iii) Pemohon mendakwa bahawa Noor Mohammad telah meletakkan namanya sebagai bapa kandung Pemohon dalam sijil kelahiran Pemohon. Pemohon tidak menyatakan sama ada kenyataan tersebut diberitahu kepadanya oleh orang lain. Maka difahami seolah-olah ia merupakan pengetahuan peribadi Pemohon. Sedangkan adalah mustahil pemohon dapat mengetahui fakta itu dengan sendirinya kerana ketika itu ia baru sahaja dilahirkan. Keterangan daripada Noor Mohammad tidak disertakan dan Pemohon tidak menyatakan di manakah Noor Mohammad berada sekarang. Justeru dakwaan pemohon ini menimbulkan keraguan.

(iv) Pemohon mengakui setakat bahawa Noor Mohammad adalah berbangsa India dan beragama Islam, selari dengan dokumen yang dikemukakan.

6. Hakikatnya 3 fakta pertama yang didakwa oleh Pemohon seperti di atas adalah perkara asas yang patut dibuktikan dengan keterangan yang mencukupi dan tidak memadai dengan affidavit sahaja.

BAB 2

Keterangan Dokumentar Pemohon Meragukan dan Tidak Konsisten Antara Satu Sama Lain

7. Dalam ekshibit bagi Afidavit bertarikh 18/10/2005, Pemohon telah mengemukakan dokumen Sijil kelahiran lama No. 52014 atau 2862 (Bukit Raja Klang) dengan tarikh pendaftaran 20 Jun 1950 yang menyatakan fakta berikut:

(i) Bahawa nama pemohon adalah M……M.

(ii) Bahawa NOOR MUHAMMAD adalah nama bapa kandung Pemohon yang berketurunan India Muslim.

(iii) Bahawa ibu kandung Pemohon bernama TANNAMAH berketurunan India.

8. Dalam ekshibit bagi Afidavit lanjutan bertarikh 12/09/2006, Pemohon telah mengemukakan dokumen tambahan seperti berikut:

(i) Surat JPN.KP:163/683/PD/AL/2005 (31) bertarikh 25 Julai 2006: Menyatakan bahawa ibu Pemohon beragama Hindu dan berketurunan India.

(ii) Kad pengenalan Pemohon No. 7683478 bertarikh 03 April 1964: Menyatakan nama pemohon sebagai M....m@Maideen s/o Noor Mohammad, berbangsa India.

(iii) Kad pengenalan Pemohon No. 7683478 bertarikh 04 Mac 1972: Menyatakan nama pemohon sebagai M....m@Maideen a/l Noor Mohammad.

(iv) Kad pengenalan Pemohon No. 7683478 bertarikh 20 Februari 1990: Menyatakan nama pemohon sebagai M....m.

(v) Cabutan Sijil Kelahiran Pemohon E 454021 bertarikh 17 Januari 2006: Menyatakan nama pemohon sebagai M....m, nama bapa Pemohon Noor Mohammad berketurunan India Muslim; dan nama ibu Pemohon Tannamah berketurunan India Muslim.

9. Pertentangan fakta yang dimaksudkan ialah seperti berikut:

(i) Telah dibuktikan bahawa nama Pemohon semasa lahir adalah M....M. Namun tidak dinyatakan dan dibuktikan bagaimana namanya boleh bertukar kepada M....M@MAIDEEN. Keterangan yang ada hanyalah permohonan Pemohon untuk menukarkan namanya daripada M....M@MAIDEEN kepada M....M sahaja. Dengan sebab itu timbul persoalan bahawa jika Pemohon tidak pernah mengamalkan Islam, mengapa namanya pernah pada suatu masa ditukarkan kepada MAIDEEN?

(ii) Telah dibuktikan dalam sijil kelahiran lama bahawa nama ibu Pemohon adalah TANNAMAH dan berbangsa India semasa Pemohon dilahirkan. Namun dinyatakan dalam cabutan sijil kelahiran baru bahawa nama ibu Pemohon adalah TANNAMAH berbangsa India Muslim. Kemudian dinyatakan pula dalam surat Jabatan Pendaftaran Negara bahawa ibu Pemohon adalah berbangsa India dan beragama Hindu. Persoalannya yang mana satukah dokumen yang muktamad berkaitan status ibu Pemohon? Adakah ibu pemohon seorang India Hindu atau India Muslim?

(iii) Manakala keterangan mengenai nama bapa Pemohon sebagai NOOR MOHAMMAD berbangsa India Muslim adalah konsisten dan tidak terdapat sebarang percanggahan. Justeru, fakta ini tidak menimbulkan keraguan di peringkat ini.

BAB 3

Kesan Terhadap Agama Seseorang Anak Jika Ibu Atau Bapanya dibuktikan Sebagai Islam

10. Islam telah menetapkan prinsip bahawa agama anak itu akan mengikut agama ibubapanya. Ini berdasarkan kepada nas hadith:

(كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه)

Yang bermaksud: “ Setiap anak itu dilahirkan atas (agama) fitrah-yakni agama Islam. Maka ibu bapanyalah yang (menukarkan agamanya dengan cara) meyahudikannya, mengkristiankannya atau memajusikannya.”

11. Dalam perkara ini, para fuqaha’ juga telah menggunapakai kaedah fiqhiyyah (التابع تابع) yang bermaksud “hukum pengikut adalah mengikut apa yang diikutinya”. Dengan yang demikian agama anak yang dilahirkan akan dikira mengikut keadaan berikut:

(i) Jika ia anak laqit ( لقيط)(anak jumpa /anak pungutan yang tidak diketahui ibubapanya), maka dilihat pada tempat anak itu dijumpai, jika ia dijumpai dalam perkampungan orang Islam, maka anak itu dihukum sebagai beragama Islam.

(ii) Jika anak itu adalah anak tawanan perang, yang ditawan sendirian tanpa ibu bapanya, maka anak itu juga dihukum Islam mengikut agama orang yang menawannya.

(iii) Jika anak itu diketahui ibu bapanya, maka dilihat kepada agama ibu bapanya. Jika salah seorang dari mereka beragama Islam, maka anak itu juga dihukum sebagai Islam.

(iv) Jika salah seorang daripada ibu bapa anak itu memeluk Islam, sedangkan anak itu belum baligh, maka anak yang belum baligh itu juga dihukum sebagai Islam kerana mengikut agama ibu atau bapanya yang memeluk Islam.

(Sila rujuk Autoriti di Lampiran B, Kitab Matla’ al-Badrain, ms:27)

12. Dalam kes ini, keterangan zahir (sijil kelahiran) menunjukkan pemohon adalah anak kepada seorang bapa yang Islam. Boleh jadi keislaman bapanya itu terjadi sebelum pemohon dilahirkan lagi atau boleh jadi selepas pemohon dilahirkan. Apa yang pasti ketika berlakunya keislaman bapa pemohon, pemohon masih belum baligh. Jika berdasarkan keterangan zahir ini, maka pemohon sudah boleh dikategorikan sebagai orang Islam sama ada secara fitrah atau secara ikutan.

13. Persoalannya adakah keterangan zahir ini (sijil kelahiran pemohon) dengan bentuknya yang sedemikian rupa boleh diterima sebagai bukti yang muktamad untuk membuktikan keislaman bapa pemohon yang merupakan persoalan induk bagi menentukan agama pemohon?

14. Persoalan yang lebih kritikal ialah apakah pemohon boleh dikatakan sebagai anak tidak sah taraf (anak zina) yang tidak sabit nasabnya kepada bapa biologinya (Noor Mohammad) seperti yang dihujahkan oleh peguam syarie Pemohon?- (Jika demikian maka keislaman bapa biologinya tidak akan sesekali mengikat pemohon). Adakah kita hanya boleh mengandaikan bahawa bapa pemohon telah memeluk Islam kemudian barulah ia melakukan pernikahan dan persetubuhan dengan ibu Pemohon yang bukan Islam (yang mana berlaku persetubuhan tidak sah)? Adakah kita tidak boleh mengandaikan bahawa bapa pemohon berkahwin dan melakukan persetubuhan dengan ibu pemohon dalam keadaan agama asal (Hindu), kemudian memeluk Islam sebelum atau beberapa ketika selepas pemohon dilahirkan (yang mana telahpun berlaku persetubuhan yang sah)?

15. Pihak yang mendakwa pemohon sebagai anak tidak sah taraf hendaklah mendatangkan bukti. Kami sesungguhnya percaya dengan andaian kedua bahawa pemohon adalah seorang anak yang sah taraf kepada bapanya sehinggalah dibuktikan sebaliknya.

BAB 4

Adakah Dokumen Yang Ada Memadai Untuk Membuktikan Keislaman Ibu dan Bapa Pemohon

16. Secara teorinya, pembuktian seseorang sebagai Islam yang tidak didaftarkan sebagai muallaf hendaklah berdasarkan kepada merit kebolehupayaannya melafazkan kalimah syahadah dalam keadaan sukarela. Dalam hal ini seksyen 114 dan 107 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah dirujuk.

17. Dalam kes ini, keterangan yang ada menunjukkan bapa pemohon yang didaftarkan sebagai Noor Mohammad, telah tidak didaftarkan sebagai seorang muallaf di bawah undang-undang Negeri Selangor serta belum dapat dibuktikan sebagai muallaf di bawah mana-mana undang-undang bertulis negeri yang lain. Dalam hal ini, merit kebolehupayaannya mengucapkan dua kalimah syahadah dengan sukarela perlulah dibuktikan dengan saksi yang berkelayakan. Sijil kelahiran pemohon (berkaitan maklumat islamnya bapa pemohon) bukanlah bukti muktamad yang boleh berfungsi sebagai suatu daftar muallaf yang perlu diberi pengiktirafan kehakiman. Ia juga (berkaitan fakta Islam) tidak kompeten menggantikan tempat saksi. Justeru pihak yang mengatakan bapa pemohon adalah benar-benar orang Islam, perlulah mendatangkan bukti.

18. Keislaman ibu pemohon yang disifatkan dalam cabutan sijil kelahiran pemohon yang baru (berdasarkan perkatan India Muslim), juga tidak berupaya menjalankan fungsi sebagai suatu daftar muallaf yang diperakui bagi maksud menentukan keislaman seseorang. Justeru, jika ada pihak yang mengatakan ibu pemohon sebagai seorang Islam hendaklah juga mendatangkan bukti.

19. Pembuktian seseorang sebagai Islam (seperti pemohon) yang hanya berdasarkan kepada keturunan India Muslim masih boleh dipertikaikan selagi tidak dibuktikan salah seorang daripada keturunannya yang usul adalah beragama Islam. Selagi keislaman keturunan yang usul tidak dibuktikan, maka adalah tidak sah keturunan yang furu’ dihukumkan sebagai Islam. Sebagai contoh, jika seseorang dikatakan sebagai Islam kerana ia adalah anak kepada seorang bapa yang India Muslim, maka perlulah dibuktikan terlebih dahulu bahawa bapanya itu sememangnya seorang muslim. Dalam kes ini, kedudukan bapa pemohon belum dapat dibuktikan sebagai seorang India muslim secara muktamad.

20. Perakuan, ikrar bersumpah dan affidavit-afidavit pemohon bahawa bapanya adalah seorang India Muslim, tidak dapat diterima untuk membuktikan fakta keislaman bapanya itu. Malah penggunaan nama Islam bagi seorang yang berbangsa India bukanlah suatu yang muktamad untuk dijadikan bukti bahawa ia telah memeluk Islam, selagi ia tidak dibuktikan dengan sewajarnya.

21. Kami merujuk kepada laporan kes kematian seorang India bernama AHMAD BIN HUSIN (KPT: 531208-10-5825) yang meninggal dunia pada 28 Disember 2007. Keterangan bertulis di dalam repot polis mendapati si mati yang menggunakan nama Islam adalah seorang India beragama Hindu dan bukan beragama Islam berdasarkan siasatan-siasatan yang wajar.

(Salinan Repot Polis disertakan sebagai Lampiran C)

22. Maklumat lisan secara tidak bertulis daripada pegawai-pegawai penyiasat di dalam kes kematian AHMAD BIN HUSIN (yang disebutkan nama-nama mereka dalam repot polis di atas) mendapati bahawa si mati hanya menggunakan nama Islam untuk memudahkan proses mendapatkan kewarganegaraan sahaja, sedangkan ia tidak pernah mengamalkan ajaran Islam dan tidak dibuktikan sama ada ia pernah mengucapkan dua kalimah shahadah semasa hayatnya.

23. Berdasarkan kepada maklumat dan kes di atas, kami membuat andaian ada kemungkinan bapa pemohon juga telah menggunakan nama Islam untuk tujuan memudahkan permohonan kewarganegaraan. Apatah lagi peristiwa ini berlaku pada tahun 1950, iaitu sebelum merdeka. (Dimana bapa pemohon mungkin berasal daripada golongan pekerja estet getah yang di bawa masuk oleh penjajah British, berdasarkan catatan dalam surat beranak pemohon bahawa pekerjaan bapanya sebagai Rubber tapper). Andaian kami ini disokong dengan tiadanya makluman pengenalan diri bapa pemohon di dalam sijil kelahiran pemohon yang lama mahupun yang baru. Ini menunjukkan status kewarganegaraan bapa pemohon tidak dapat dipastikan. Ia mungkin disebabkan bapa pemohon telah dihantar pulang atau pulang sendiri ke India sebelum kemerdekaan Malaysia tercapai, seperti dinyatakan oleh Pemohon.

24. Keraguan mengenai Islamnya bapa pemohon juga dapat ditimbulkan berdasarkan qarinah. Ini kerana jika benar bapa pemohon seorang Islam mengapa ia menamakan anaknya (iaitu pemohon) dengan nama bukan Islam? Ini menimbulkan andaian bahawa ia sememangnya tidak pernah menghayati agama Islam dan berkemungkinan ia bukan beragama Islam. Hujahan ini telah disebut oleh peguam Syarie pemohon. Namun ia hanya menggunakan fakta tersebut untuk membuktikan pemohon bukan Islam pada masa kelahirannya. Sebaliknya kami menggunakan fakta qarinah ini untuk membuktikan bahawa bapa pemohon sendiri sebagai bukan Islam pada masa mendaftarkan kelahiran anaknya, dan ini secara automatik menyebabkan anaknya juga tidak menjadi seorang Islam pada masa tersebut.

BAB 5

Status Agama Pemohon Setelah Gagal dibuktikan Ibu atau bapanya sebagai Islam

25. Berdasarkan kepada fakta, pembuktian dan penghujahan di atas kami percaya dan berpuas hati bahawa pemohon bukanlah seorang Islam sejak dari lahir lagi. Tambahan pula keterangan affidavit yang telah diberikan oleh pemohon menunjukkan pemohon dibesarkan oleh ibunya dalam agama Hindu dan tidak pernah mengamalkan Islam dalam hidupnya. Tambahan pula tidak terdapat sebarang keterangan bahawa pemohon pernah melafazkan dua kalimah syahadah pada bila-bila masa dalam hidupnya.

26. Justeru kami hanya bersetuju dan memohon supaya permohonan pemohon ini diklasifikasikan sebagai permohonan untuk mengesah dan mengisytiharkan bahawa pemohon bukan seorang Islam atau belum pernah menjadi seorang Islam.

BAB 6

Sama ada Mahkamah Berbidang kuasa Mengisytiharkan Pemohon Bukan Seorang Islam

27. Perspektif yang perlu dipegang oleh pengamal undang-undang Islam ialah, undang-undang itu adalah alat untuk menyampaikan hukum Syarak. Manakala Hukum Syarak adalah matlamat atau tujuan yang dikehendaki di sebalik suatu kodifikasi undang-undang. Ini mungkin berbeza daripada perspektif pengamal undang-undang sivil. Berdasarkan kepada prinsip ini, adalah perlu undang-undang Islam difahami berdasarkan kepada matlamatnya, bukan sekadar bergantung kepada teks dan matannya sahaja.

28. Untuk sampai kepada matlamat perundangan, sebarang kecacatan teks undang-undang perlulah diperbaiki secara ‘in advance’ oleh badan kehakiman yang melaksanakan undang-undang tersebut, bukan sekadar meletakkan tugasan itu kepada pembuat undang-undang. Jika tidak, akan terhasillah kemudaratan awam dalam melaksanakan sesuatu keperluan undang-undang.

29. Sudah tentu dalam perundangan Islam kaedah fiqhiyyah (الضرر يزال) sentiasa diamalkan dan menjadi perhatian. Memandangkan Akta Tafsiran sedia ada semata-mata tidak mampu menyelesaikan isu tafsiran perkataan yang kabur, maka perlulah Mahkamah ini merujuk kepada hukum Syarak dalam mencari bentuk tafsiran yang sesuai dan adil.

30. Untuk mengelakkan kemudaratan yang diakibatkan oleh maksud literal sesuatu teks undang-undang, maka adalah perlu suatu pendekatan yang lebih maju dan proaktif digunapakai. Pendekatan inilah yang disebut sebagai pendekatan ‘elak mudarat’ (mischief rule). Kami mencadangkan supaya pendekatan ini diaplikasikan dalam memahami peruntukan seksyen 61(3)(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang menyebutkan bidang kuasa mal Mahkamah Tinggi Syariah untuk mendengar dan memutuskan semua tindakan atau prosiding berhubungan dengan:

“perisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam

Yang Arif,

31. Kami percaya jika pendekatan ‘elak mudarat’ diguna pakai, Mahkamah ini akan memperolehi bidang kuasa yang secukupnya untuk memutuskan permohonan ini, seperti mana yang dipohon dalam perenggan 26.

BAB 7

Pemakaian Tafsiran Elak Mudarat (Mischief Rule) Untuk Meluaskan Bidang Kuasa Mengisytiharkan Seseorang Bukan Islam

32. Untuk memahami apakah sebenarnya pendekatan ‘elak mudarat’ kami kemukakan pandangan Allahyarham Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim dalam karyanya The Malaysian Legal System, DBP, Halaman 108-110 dengan ringkasan dan terjemahan seperti mana berikut:

Pendekatan Elak Mudarat

Kadangkala kita sukar untuk mengatakan, walaupun setelah meneliti keseluruhan statut, bahawa sememangnya perkataan itu membawa maksud yang sangat jelas. Kadangkala pula, ada perkataan atau prasa yang benar-benar kabur. Kadangkala, dalam keadaan tertentu pemakaian perkataan atau prasa itu, walaupun tidak begitu kabur tetapi masih samar-samar atau tidak jelas. Dalam keadaan ini, Mahkamah akan melihat kepada keseluruhan tujuan badan perundangan, yang terhasil daripada pembacaan keseluruhan statut. Berdasarkan kepada prinsip ini, Mahkamah dibenarkan untuk melihat kepada keadaan undang-undang terdahulu untuk mencari kekurangan yang ingin diperbaiki oleh undang-undang semasa. Berikut adalah empat perkara yang yang perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah untuk mengetahui niat atau tujuan sesuatu statut:

(a) apakah keadaan undang-undang awam yang terpakai sebelum sesuatu undang-undang itu digubal.

(b) Apakah kecacatan dan kekurangan yang telah tidak diperbaiki oleh undang-undang awam yang terdahulu.

(c) Apakah remedi yang telah disediakan oleh badan perundangan untuk menyelesaikan masalah yang wujud dalam masyarakat.

(d) Apakah alasan rasional yang terdapat di sebalik remedi tersebut.

Kemudian daripada itu, para hakim hendaklah sentiasa membuat pertimbangan yang dapat menyingkirkan kecacatan undang-undang serta mengemukakan remedinya (sebagai jalan keluar).

Dalam kes Raja Shariman & Satulagi lwn C.A. Ribiero & Lain-lain (1921), satu tindakan menuntut kerugian yang diakibatkan oleh fitnah di dalam akhbar telah dibawa terhadap tiga defendan, iaitu pencetak, penerbit dan penyunting. Defendan pertama telah membayar melalui Mahkamah sebanyak RM1000.00 yang diterima oleh Plaintif untuk dijadikan pelepasan tuntutan terhadapnya. Defendan kedua gagal memfailkan pembelaan dan Defendan ketiga membuat pembelaan antara lainya bahawa penerimaan Plaintif terhadap wang yang dibayar oleh Defendan pertama telah menyebabkan tindakan itu dianggap selesai. Persoalannya berkisar tentang penafsiran seksyen 12 Ordinan Fitnah 1915, sama ada Plaintif dalam tindakan fitnah berhak meneruskan tindakan dan menuntut gantirugi selanjutnya daripada pelanggar-hak bersama, setelah ia menerima bayaran melalui Mahkamah oleh salah seorang defendan. Seksyen tersebut menyebutkan:

Apabila dalam mana-mana tindakan fitnah pihak Plaintif menyaman lebih daripada seorang Defendan…, dan pihak Plaintif boleh menerima permohonan maaf tersebut, wang atau pampasan-pampasan lain, dan menyelesaikan atau menarik balik tindakan serta membatalkan tindakan di antaranya dan seorang daripada beberapa Defendan tanpa melibatkan Defendan-Defendan yang lain.

Mahkamah yang memutuskan bahawa Plaintif masih boleh meneruskan tindakan untuk mendapatkan gantirugi selanjutnya terhadap Defendan-Defendan lain, telah menafsirkan perkataan “tanpa melibatkan defendan-defendan lain” dengan maksud yang bukan difahami menurut tatabahasa. Ketua Hakim yang terpelajar berpendapat:

Perkataan ‘tanpa melibatkan defendan-defendan lain’ adalah jelas bertujuan untuk memaksudkan sesuatu yang lebih mendalam daripada maksud tatabahasa yang biasa difahami daripada perkataan itu, yang mana saya mesti berikhtiyar memastikan dan memberikan kesan supaya maksud perkataan itu terpakai bagi mencapai tujuan yang dimaksudkan. Untuk memastikan tujuan penggubal undang-undang, saya perlu melihat kepada ruang lingkup dan matlamat Ordinan yang diperolehi daripada peruntukan- peruntukan lain di dalamnya, dan menyiasat kecacatan yang ada di dalam undang-undang yang mana badan Perundangan bertujuan untuk memperbaikinya.

Ketua Hakim memutuskan bahawa perkataan ‘tanpa melibatkan defendan-defendan yang lain’ hendaklah difahami dengan maksud ‘tanpa melibatkan hak plaintif untuk meneruskan tindakan terhadap defendan-defendan yang lain’.

Begitu juga pendekatan elak mudarat telah digunakan dengan ketara dalam kes Lim Moh Joo lwn Pendakwa Raya (1970). Dalam kes ini statut yang menjadi persoalan ialah Kanun Prosedur Jenayah. Wan Sulaiman J berpendapat bahawa peruntukan seksyen 391(1) dalam Kanun tersebut yang mengkehendaki pendakwa raya untuk menyerahkan salinan laporan kepada tertuduh tidak lewat daripada 10 hari bersih sebelum memulakan perbicaraan hendaklah difahami sebagai satu pendakwaan yang dibuat oleh orang perseorangan. Beliau berkata:

Dalam penghakiman saya, ini adalah satu kes di mana Mahkamah mesti mengubahsuai bahasa undang-undang untuk menepati tujuan yang dimaksudkan oleh pembuat undang-undang. Saya perlu menyatakan dengan tegas bahawa memang terdapat asas yang mencukupi untuk menyokong keputusan ini.

Demikian juga yang dikatakan oleh Denning LJ dalam kes Seaford Court Estates, Ltd. Lwn Ps Anser (1949):

Ia sememangnya dapat menyelesaikan masalah Hakim jika Akta Parlimen digubal dengan panduan Wahyu dan kejelasan yang benar-benar sempurna. Dengan ketiadaan semua itu, apabila kecacatan timbul, seorang hakim tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan menyalahkan penggubal undang-undang. Dia mestilah mengorak langkah untuk memulakan satu tugasan membina dalam mencari tujuan badan perundangan, dan dia hendaklah melakukan ini bukan sekadar berpandukan teks bahasa statut, tetapi juga berpandukan kepada keadaan sosial yang menimbulkan kecacatan itu, serta mempertimbangkan kecacatan yang dibenarkan untuk diperbaiki, kemudian dia hendaklah mengemukakan penyelesaian dalam bentuk ungkapan bertulis bertujuan untuk ‘menghidupkan’ niat badan perundangan.

Yang Arif,

33. Dalam keseluruhan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, kami tidak menjumpai seksyen lain yang menyentuh mengenai bidangkuasa membicarakan pertikaian tentang status agama seseorang yang masih hidup kecuali subseksyen 61(3)(b)(xi) yang menyentuh tentang status agama seseorang yang telah mati. Oleh itu kami bimbang dan khuatir sekiranya subseksyen di atas disalah tafsir sehingga mengakibatkan banyak kes yang kritikal berkaitan orang yang masih hidup tidak dapat diselesaikan.

34. Kami juga suka merujuk kepada undang-undang terdahulu iaitu seksyen 42 Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Negeri Selangor 1989 yang mana tidak langsung memperuntukkan bidang kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk membicarakan kes yang melibatkan pertikaian status agama seseorang. Kami yakin, inilah kecacatan yang ada dalam undang-undang terdahulu yang mana cuba diperbaiki oleh undang-undang sekarang.

(Sila rujuk Autoriti di Lampiran E)

35. Berdasarkan kepada fakta di atas, kami juga meyakini bahawa sememangnya penggubal undang-undang telah berniat untuk memberikan bidang kuasa memutuskan pertikaian mengenai status agama Islam seseorang kepada Mahkamah ini melalui Enakmen yang ada sekarang. Namun niat tersebut terselindung dan terhalang disebabkan penggunaan teks perkataan yang kurang sesuai. Ini menyebabkan bidang kuasa yang diberikan kelihatan terbatas.

36. Kami juga suka merujuk kepada keadaan sosial sekarang yang telah menampakkan lagi kecacatan peruntukan undang-undang tersebut. Kalaulah kes ini tidak ditimbulkan, nescaya kita tidak dapat melihat kecacatan peruntukan di atas. Namun setelah kes ini ditimbulkan, maka ternyatalah peruntukan undang-undang yang ada sekarang mengandungi kecacatan yang wajar diperbaiki secara proaktif oleh Mahkamah ini.

Yang Arif,

37. Pendekatan literal jika digunakan terhadap subseksyen 61(3)(b)(x) EPAINS 2003 akan membawa maksud Mahkamah ini hanya berbidang kuasa mendengar kes untuk menyistiharkan bahawa seseorang yang masih hidup itu bukan lagi seorang Islam. Dengan erti kata lain orang itu dahulunya adalah seorang Islam, tetapi pada hari perisytiharan dibuat ia tidak lagi beragama Islam atau sudah pun berlaku murtad. Berpandukan kepada penafsiran secara literal, adalah sukar untuk Mahkamah ini melaksanakan bidang kuasa bagi memutuskan seseorang Islam itu tidak murtad (atau masih lagi orang Islam). Sedangkan kemungkinan tersebut boleh sahaja berlaku dalam mana-mana kes. Jelas sekali kuasa Mahkamah ini akan diprejudiskan sekiranya pendekatan literal diguna pakai secara ketat.

38. Jika Mahkamah ini menguna pakai pendekatan elak mudarat (mischief rule) dalam menafsirkan subseksyen yang sama, maka Mahkamah ini akan dapat melaksanakan empat (4) jenis bidang kuasa yang cukup penting dan berkaitan antara satu sama lain, iaitu:

(i) Boleh meliputi perisytiharan bahawa seseorang yang hidup itu adalah Islam pada masa yang lalu, tetapi bukan Islam pada masa sekarang. (Bukan lagi orang Islam). Ini adalah maksud literal yang biasa dipakai.

(ii) Boleh meliputi perisytiharan bahawa seseorang yang hidup itu adalah bukan Islam pada masa dahulu (belum lagi orang Islam), tetapi Islam pada masa sekarang. Terpakai dalam kes jenayah di mana seseorang Islam menafikan bidang kuasa Mahkamah Syariah terhadapnya kerana ia belum memeluk Islam pada suatu masa yang lalu.

(iii) Boleh meliputi perisytiharan bahawa seseorang yang hidup itu adalah orang Islam pada masa yang lalu, dan orang Islam pada masa sekarang (masih lagi orang Islam). Terpakai dalam kes pemohon yang memohon peristiharan murtad, kemudian ia telah bertaubat dan kembali kepada Islam.

(iv) Boleh meliputi perisytiharan bahawa seseorang yang hidup itu adalah bukan Islam pada masa yang lalu dan bukan Islam pada masa sekarang (bukan / tidak pernah (menjadi) orang Islam). Ini adalah bentuk tafsiran yang hendak dipakai dalam kes ini.

39. Keempat-empat jenis bidang kuasa di atas sangat diperlukan oleh Mahkamah ini bagi melaksanakan keseluruhan fungsinya dan fungsi undang-undang yang diamanahkan kepadanya. Ini kerana tidak terdapat Mahkamah lain yang boleh diberikan bidang kuasa seperti di atas melainkan Mahkamah Syariah, selari dengan perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga tidak terdapat undang-undang bertulis lain yang memberikan bidang kuasa terperinci untuk membicarakan status Islam atau bukan Islam seseorang kecuali Enakmen di atas.

40. Kami yakin bahawa tidak ada satu perkataan yang khusus dapat digunakan bagi mewakili keempat-empat keadaan dan bidang kuasa yang dinyatakan di atas. Sebab itu adalah sukar bagi penggubal undang-undang sendiri memikirkan dan meletakkan perkataan yang sesuai bagi menjelaskan maksud peruntukan di atas. Oleh itu adalah tidak wajar jika kita hanya berpegang kepada maksud tunggal bagi perkataan ‘bukan lagi’ dan melupakan maksud-maksud lain yang sangat berkaitan.

41. Oleh yang demikian maksud perkataan ‘bukan lagi orang Islam’ wajarlah dibaca termasuk perkataan ‘belum lagi orang Islam’ dan ‘masih lagi orang Islam’ dan ‘tidak pernah menjadi orang Islam’. Ini kerana tidak ada satu perkataan tunggal yang boleh mewakili maksud-maksud yang empat. Kami percaya jika memang terdapat perkataan tunggal yang boleh memberi maksud sedemikian, sudah pasti badan perundangan akan menggunakan perkataan itu dalam teks peruntukan di atas.

Yang Arif,

42. Jika tafsiran literal semata-mata digunapakai dalam memahami perkataan ‘bukan lagi’ sudah tentu banyak maksud lain yang dalam keadaan berlawanan dengannya akan terabai. Ini akan mengakibatkan Mahkamah ini tidak berbidang kuasa untuk mengisytiharkan bahawa seseorang yang hidup itu masih lagi orang Islam kerana perkataan ‘bukan lagi orang Islam’ secara literalnya tidak meliputi orang yang masih lagi orang Islam. Jika demikian, Mahkamah hanya boleh mengisytiharkan seseorang itu telah murtad (bukan lagi orang Islam), walaupun ia sebenarnya masih lagi orang Islam kerana peruntukkan tersebut tidak menyebutkan perkataan ’masih lagi orang Islam’. Jika ini berlaku, maka malanglah nasib seorang Islam yang berjaya mempertahankan keislamannya.

43. Untuk mengelakkan kemudaratan awam, maka Mahkamah ini perlu melihat apakah kecacatan (mischief rule) undang-undang terdahulu yang hendak diperbaiki oleh peruntukan dalam Enakmen di atas. Jika dilihat adalah jelas undang-undang terdahulu mempunyai kecacatan ketara kerana ia tidak langsung memberi kuasa kepada Mahkamah ini untuk membicarakan tuntutan perisytiharan dan pengesahan status agama Islam. Adalah jelas juga bahawa undang-undang sekarang telah digubal bagi menyediakan remedi bagi tuntutan pengesahan status agama Islam seseorang. Namun malangnya, perkataan yang digunapakai tidak dapat menzahirkan remedi tersebut.

44. Oleh sebab itu perlulah Mahkamah ini menafsirkan peruntukan di atas secara mendalam menjangkau maksud tatabahasanya yang terhad bagi menzahirkan remedi yang dimaksudkan oleh penggubal undang-undang. Adalah perlu juga bagi Mahkamah ini mengubahsuai bahasa undang-undang setakat yang perlu bagi menyampaikan kepada tujuan sebenar yang dimaksudkan oleh Penggubal undang-undang, seperti yang diutarakan oleh Wan Sulaiman J dalam penghakimannya, dan setakat yang tidak bertentangan dengan hukum Syarak. Inilah yang dikatakan sebagai pendekatan ’elak mudarat’ yang diiktiraf bahkan sangat diutamakan dalam hukum Syarak.

BAB 8

Pemakaian Tafsiran Implikasi Tersirat Untuk Meluaskan Bidang Kuasa Kepada Orang Bukan Islam

45. Ini adalah persoalan terakhir yang perlu diputuskan untuk melengkapkan perbahasan mengenai bidang kuasa Mahkamah ini. Jika ternyata pemohon seorang yang tidak pernah menjadi orang Islam, maka bagaimana Mahkamah Syariah ini boleh mempunyai bidang kuasa terhadapnya? Adalah mudah jika Mahkamah ini hanya berpandukan kepada tafsiran literal subseksyen 61(3)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Dengan itu Mahkamah ini berhak menolak kes yang dikemukakan oleh Pemohon ini atas alasan orang bukan Islam seperti pemohon tidak termasuk dalam pengertian subseksyen di atas.

46. Peguam Syarie Pemohon dan Peguam Syarie Responden terdahulu telahpun menghujahkan kewajaran pemakaian suatu bentuk tafsiran yang berlainan daripada tafsiran literal, (walau apapun istilah yang dipakai) bagi menzahirkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam kes ini. Tidak perlu lagi kami mengulangi perkara yang sama.

47. Di sini kami ingin menyatakan bahawa adalah wajar pendekatan yang diutarakan itu (yang kami sebut sebagai ’Implikasi Tersirat’) digunapakai oleh Mahkamah ini setakat yang tidak berlawanan dengan Hukum Syarak. Jika tidak demikian, bagaimana lagi caranya untuk Mahkamah ini mendapatkan bidang kuasa tersebut. Adakah perlu Mahkamah ini menunggu sehingga badan perundangan memperbaiki kelemahan undang-undang Syariah sedia ada, atau Mahkamah ini merasakan perlu bertindak proaktif membaikinya berdasarkan kepada keperluan Hukum Syarak yang mana selari dengan kaedah fiqhiyyah:

(ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب)

‘Sesuatu perkara wajib yang tidak dapat disempurnakan melainkan dengan adanya suatu perkara lain, maka perkara lain itu juga adalah wajib’.

Penjelasannya: Badan perundangan sukar dan mungkin tidak akan memperbaiki kelemahan undang-undang sedia ada selagi kelemahan itu tidak dibuktikan. Dengan keberanian Mahkamah ini memperbaiki kelemahan undang-undang, maka terbuktilah secara automatik bahawa undang-undang itu memang terdapat kelemahan. Ini kerana tiada bukti yang lebih kukuh daripada pengesahan sesebuah Mahkamah.

(ما لا يدرك جله لا يترك كله)

‘Sesuatu yang tidak dapat dicapai kesemuanya, tidak boleh ditinggalkan kesemuanya’


Penjelasannya: Memang sepatutnya kelemahan dan kecacatan yang ada dalam undang-undang diperbaiki kesemuanya oleh badan perundangan (penggubal usul). Tetapi ini tidak mungkin dapat dilakukan kerana ketidakmampuan badan itu menditilkan pecahan masalah mengikut jenis-jenis kes yang bersifat furu’. Bahkan tugasan menditilkan permasalah furu’ hanya mampu dilakukan oleh Mahkamah yang dihadapkan dengan kes sebenar. Adalah lebih baik jika Mahkamah ini membantu melengkapkan sedikit daripada kecatatan undang-undang (dengan melengkapkan furu’) daripada Mahkamah ini membiarkan kesemuanya (usul dan furu’) dalam keadaan cacat.

48. Jika Mahkamah ini tidak menerima pakai pendekatan ’implikasi tersirat’, maka Mahkamah ini akan menghadapi satu lagi masalah yang besar iaitu: Mahkamah ini tidak akan memperolehi kuasa nyata (literal) untuk mengesahkan sama ada seseorang itu Islam atau bukan Islam. Ini kerana peruntukan yang ada hanya menyebutkan Mahkamah ini berbidang kuasa mengisytiharkan seseorang bukan lagi orang Islam. Dari segi literal sudah tentu maksud ’mengisytiharkan’ berbeza daripada ’mengesahkan’. Bagaimana Mahkamah ini hendak mengisytiharkan status agama seseorang jika tidak dengan menyiasat dan mengesahkan statusnya terlebih dahulu? Inilah yang dikatakan pendekatan ’implikasi tersirat’. Oleh itu Mahkamah ini perlu menyiasat dan mengesahkan terlebih dahulu status seseorang sama ada Islam atau sebaliknya. Kemudian barulah Mahkamah ini berkuasa mengisytiharkan statusnya. Walaupun perkara ini tidak disebut secara literal Mahkamah ini perlu melakukannya demi kepentingan keadilan dan melaksanakan kehendak serta maksud undang-undang (yang sememangnya sentiasa tidak sempurna).

49. Kami menyerahkan tugasan yang sukar dan mulia ini kepada Mahkamah yang mulia ini, setelah kami sedaya upaya berusaha dan membantu mencari kesimpulan yang termampu dilakukan.

50. Akhirnya adalah dihujahkan dan disimpulkan sebagaimana berikut:

i) Pemohon telah gagal membuktikan bahawa bapanya adalah bukan Noor Mohammad. Setakat bukti yang dizahirkan bapa pemohon adalah bernama Noor Mohammad.

ii) Pemohon telah gagal membuktikan salah seorang ibu atau bapanya sebagai seorang Islam. Bukti yang zahir tidak mencukupi untuk membuktikan bapa pemohon, mahupun ibunya sebagai seorang Islam.

iii) Tiada keterangan yang dapat membuktikan pemohon sebagai seorang Islam. Bukti yang zahir menunjukkan bahawa Pemohon adalah seorang yang bukan Islam sejak dari kelahirannya.

iv) Mahkamah ini berbidang kuasa mendengar permohonan pemohon yang merupakan orang bukan Islam berdasarkan pendekatan ‘implikasi tersirat’.

v) Mahkamah ini juga berbidang kuasa menyiasat dan mengesahkan bahawa pemohon seorang yang bukan Islam berdasarkan pendekatan ‘implikasi tersirat’.

vi) Mahkamah ini berbidang kuasa mengisytiharkan bahawa pemohon adalah bukan orang Islam berdasarkan pendekatan ‘elak mudarat’ yang selari dan boleh diterima mengikut hukum Syarak.

-Wallahu A’lam-

Bertarikh pada 09 haribulan JANUARI tahun 2008.

Disediakan dan dihujahkan dengan suci hati oleh:

............………………..

JURAISH BIN KAMARUDDIN

Peguam Syarie Kedua bagi Responden

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus