Semalam saya dikunjungi oleh seorang bakal muallaf untuk mendapatkan nasihat undang-undang. Saya memberi penghormatan kepadanya dengan ucapan ‘Selamat Pagi” kerana menjangkakan dia belum menjadi seorang Islam. Dia seorang lelaki berbangsa India dan beragama asal Hindu. Mempunyai seorang isteri yang dikahwini secara Hindu dan berdaftar serta 2 orang anak di bawah umur 18 tahun. Rupanya dia telah lebih setahun mengenali Islam melalui pembacaan dan pemerhatian. Hadirnya membawa persoalan yang merunsingkan benak fikirannya selama ini. Isterinya dapat tahu dia ingin memeluk Islam dan memberikan reaksi negatif dengan memberi ‘notis’ tidak akan ‘menceraikannya’ di mahkamah sivil jika dia memeluk Islam. Si isteri juga menuntut semua harta perkahwinan (sepencarian) diserah kepadanya berserta hak jagaan semua anak.
Alhamdulillah, saya dapat berjumpa dengan seorang bakal muslim yang benar-benar memeluk Islam kerana HIDAYAH. Dia sanggup menyerahkan semua harta perkahwinan (rumah dan kereta) dan hak jagaan anak (hadhanah) kepada si isteri, asalkan si isteri sanggup ‘menceraikannya’ di mahkamah sivil. Tidak ramai bakal muallaf yang sanggup melakukan sepertinya. Insya-Allah, jika ada jodoh, dia akan mengahwini seorang wanita Islam dan menunaikan haji. Tapi dia mengingatkan saya bahawa pemelukan Islamnya ini tidaklah sekali-kali bertujuan untuk mengahwini wanita itu. Kelihatan dia memang ikhlas menerima Islam dengan sebenar-benar penerimaan.
Tindakannya itu mengingatkan saya kepada sabda Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW: “Barang siapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasulnya, maka (dia mendapat pahala disebabkan) hijrahnya itu kerana Allah dan Rasulnya, barang siapa yang berhijrah kerana untuk mendapatkan harta atau mengahwini wanita, maka hijrahnya (tidak mendapat pahala di sisi Allah tetapi) hanya mendapat apa yang dihijrahkannya.”
Alhamdulillah dia telah mendapat nasihat daripada pihak lain dan pada hari ini dia datang kepada saya dengan cadangan seperti berikut mengikut keutamaan:
1) Dia akan menandatangani perjanjian pindah milik rumah dan kereta kepada isterinya yang bukan Islam.
2) Dia akan memberi nafkah sarahidup kepada isterinya yang bukan Islam sebanyak RM… sebulan
3) Dia akan menandatangani persetujuan hak jagaan anak kepada isterinya yang bukan Islam
4) Dia akan terus kekalkan nama isteri bukan islam sebagai penama KWSP dan pampasan insuran.
5) Dia harapkan supaya isterinya setuju dengan perceraian di mahkamah Sivil.
6) Setelah perintah perceraian dikeluarkan oleh Mahkamah Sivil dia akan mendaftarkan keislamannya. Dia tak perlu memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah kerana telahpun bercerai menurut undang-undang.
7) Dia akan berkahwin secara Islam dan menunaikan haji dengan aman disamping tidak lupa tanggungjawab kepada anak-anak yang dijaga oleh bekas isteri.
2) Dia akan memberi nafkah sarahidup kepada isterinya yang bukan Islam sebanyak RM… sebulan
3) Dia akan menandatangani persetujuan hak jagaan anak kepada isterinya yang bukan Islam
4) Dia akan terus kekalkan nama isteri bukan islam sebagai penama KWSP dan pampasan insuran.
5) Dia harapkan supaya isterinya setuju dengan perceraian di mahkamah Sivil.
6) Setelah perintah perceraian dikeluarkan oleh Mahkamah Sivil dia akan mendaftarkan keislamannya. Dia tak perlu memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah kerana telahpun bercerai menurut undang-undang.
7) Dia akan berkahwin secara Islam dan menunaikan haji dengan aman disamping tidak lupa tanggungjawab kepada anak-anak yang dijaga oleh bekas isteri.
Sekali pandang cadangan di atas macam bernas kerana dapat menyelesaikan konflik bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah dalam masalah perceraian bagi orang yang memeluk Islam. Tetapi saya harus menasihatinya supaya menyusun semula keutamaan seperti berikut:
1) Isytihar keislamannya secara rasmi dan mendaftarkan keislaman menurut undang-undang. ALASAN: kerana HIDAYAH ISLAM patut diutamakan dan direbut terlebih dahulu daripada harta, anak dan sebagainya. Apatah lagi dia seorang yang ikhlas menerima Islam. Bukannya Islam semata-mata kerana nak berkahwin atau hendak merebut harta. Jika dia ditakdirkan meninggal dunia selepas didaftarkan sebagai Islam, maka urusan jenazahnya akan menjadi mudah. Urusan hartanya pula, jangan bimbang dan jangan menuduh Majlis Agama akan membolot semua hartanya apabila dia mati.
2) Saya maklumkan kepadanya supaya membuat wasiat 1/3 harta – rumah&kereta (maksimum) kepada bekas isterinya yang bukan islam sejurus selepas dia memeluk Islam. ALASAN: Ini penting supaya jika berlaku kematian mengejut, pihak Majlis Agama boleh melaksanakan urusan pembahagian harta wasiat kepada bekas isteri yang bukan Islam (atas kehendak pewasiat) dan bakinya sahaja yang dijadikan pusaka. Wasiat ini adalah cagaran kepada janji perceraian yang akan diberikan oleh isteri bukan islam. Jika isteri bukan islam tetap enggan ‘menceraikannya’ di Mahkamah Sivil, maka wasiat tersebut boleh dibatalkan. Ini menjadikan keadaan lebih adil kerana jika si suami yang Islam mati dengan meninggalkan isteri bukan islam yang belum tercerai secara sivil, isteri itu akan turut mendapat sebahagian daripada harta pusakanya. Justeru wajarlah wasiat ini dibatalkan. Jika perceraian telah berlaku secara sivil barulah wasiat ini diteruskan. Isterinya yang bukan Islam juga harus ingat, tidak semestinya si suami akan mati dahulu. Boleh jadi si isteri bukan islam yang mati dahulu. Jika ini terjadi maka harta si isteri akan turut diwarisi oleh suami yang Islam menurut undang-undang sivil.
3) Setelah memeluk Islam, saya menasihatinya membuat hibah (nafkah sarahidup dll) yang dijanjikannya kepada isteri bukan Islam. ALASAN: Melakukan pemberian hibah sebelum beragama Islam tidak mendapat pahala. Justeru wajarlah dia memeluk Islam dahulu kemudian baru melakukan hibah. Ini juga penting bagi menunjukkan betapa Islam tidak pernah menghalang penganutnya berbuat baik kepada bekas keluarga yang bukan Islam. Ini juga boleh dijadikan cagaran kepada perceraian yang akan dilakukan oleh isteri bukan Islam di mahkamah Sivil. Jika si isteri tetap tidak mahu menceraikannya, hibah ini boleh dihentikan.
4) Kemaskini penama KWSP dan pampasan insuran. Tunjukkan kepada isteri bukan islam bahawa hanya namanya sebagai penama tunggal bagi KWSP dan insuran tersebut. Dan ingatkan kepadanya dia boleh mengubah penama jika si isteri tidak mahu menceraikannya di Mahkamah sivil.
5) Dan ingatkan juga kepada isteri bukan islam bahawa dia boleh menghibahkan (pindah milik) semua hartanya kepada isteri baru atau orang lain yang Islam supaya di saat kematiaannya tiada apa-apa harta yang dapat dituntut oleh isteri bukan islam sebagai pusaka kerana ia tidak meninggalkan sebarang harta.
6) Dalam masa yang sama tunjukkan kebaikan Islam dan sampaikan dakwah Islam kepada isteri yang bukan Islam dan anak-anak. Setelah melebihi tempoh 3 bulan atau tamat iddah isteri, failkan permohonan faraq nikah di mahkamah Syariah untuk mendapatkan perintah perceraian.
7) Selepas perkahwinan terbubar menurut undang-undang Islam dia bebas berkahwin dengan mana-mana wanita Islam dan menunaikan haji bersama-sama.
8) Hak jagaan anak diselesaikan secara rundingan dan tanpa melalui Mahkamah kerana tidak mahu menjadikan anak sebagai subjek rebutan. Tuntutan di Mahkamah akan menyebabkan anak tidak selesa dan akan menyalahkan Islam sebagai penyebab. Biarlah bapa sendiri yang menjalankan tanggungjawab sebagai da’i untuk menyampaikan kebenaran Islam kepada anak supaya apabila cukup umur, anak itu akan dapat membuat pilihan yang bijak. Saya yakin dia boleh melakukannya.
Dia menerima baik cadangan saya dan akan membincangkannya dengan pihak yang terlebih dahulu menasihatinya. Saya mengakhiri pertemuan dengan memberikan ucapan salam kepadanya kerana yakin dia telahpun menjadi seorang Islam. Alhamdulillah, dia menjawab salam itu.
KESIMPULAN: TIADA JALAN UNTUK MENYEKAT SESEORANG YANG TELAH DIBERI HIDAYAH UNTUK MEMELUK ISLAM. INI ADALAH JANJI ALLAH KERANA DIALAH YANG MEMBERI PETUNJUK.
No comments:
Post a Comment