Ini adalah petikan kertas kerja yang akan (Insya-Allah) dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor akan datang yang sedang dalam penulisan dan kajian akhir.
MEMINTA FATWA MENGENAI HUKUM MENYUMBANG KEPADA BAITULMAL MELALUI PRODUK QARD HASAN DAN MENJENAMAKANNYA UNTUK TUJUAN KEMUDAHPASARAN
(Disediakan oleh: Juraish bin Kamaruddin, Pegawai Syariah, Majlis Agama Islam Selangor)
(Disediakan oleh: Juraish bin Kamaruddin, Pegawai Syariah, Majlis Agama Islam Selangor)
PENDAHULUAN
Istilah ‘Qard Hasan’ (قرض حسن) yang bermaksud pinjaman yang baik (ikhlas dan hanya mengharap keredaan Allah, tanpa mengharap faedah duniawi), telah disebut dalam Al-Quran sejak lebih 1400 tahun yang lalu. Namun qard hasan lazimnya hanya diaplikasikan dalam sistem muamalat Islam dari satu sudut sahaja iaitu apabila individu ingin meminjam daripada institusi tertentu tanpa dikenakan faedah. Sedangkan qard hasan dari sudut keharusan individu memberi pinjam (menyumbang) kepada institusi tertentu seperti baitulmal tanpa faedah duniawi sering pula dilupakan.
Kertas kerja asas berkaitan produk qard hasan dari perspektif yang dimaksudkan ini pernah dibentangkan dalam Konvensyen Baitulmal Kebangsaan pada 25 Jun 2009 di Masjid Wilayah Persekutuan atas tajuk “Pemerkasaan Entiti dan Sumber Perbendaharaan Baitulmal Menerusi Dinamika Muamalat dan Undang-Undang Syariah” (Sila rujuk petikan kertas kerja di Lampiran A). Selari dengan tajuk itu, pembentang kertas kerja tersebut telah memulakan inisiatif membuat sumbangan qard hasan yang pertama kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebanyak RM1,000.00 selama tempoh satu tahun, melalui skim potongan gaji. (Sila rujuk surat di Lampiran B).
Justeru, kertas ini akan membahaskan secara lebih lanjut aplikasi qard hasan sebagai salah satu produk muamalat baitulmal untuk mendapatkan pandangan fatwa.
TUJUAN
Kertas ini dibentang untuk mendapatkan pandangan fatwa mengenai hukum-hakam berkaitan qard hasan dari pelbagai aspek seperti berikut:
i) Hukum orang awam memberi sumbangan[1] secara qard hasan kepada baitulmal dan hukum baitulmal menerima sumbangan tersebut serta kaedah perlaksanaannya yang sesuai.
ii) Hukum mengklasifikasikan qard hasan kepada beberapa jenama produk khusus dengan syarat-syarat khusus seperti qard hasan bertempoh (mu’aqqat) sama ada jangka pendek (mu’ajjal) atau jangka panjang (muakhkhar), qard hasan tanpa tempoh (mutlaq), qard hasan seumur hidup (umra), qard hasan bertambah (mutazayid), qard hasan berkurang (mutanaqis) dan sebagainya.
iii) Hukum-hakam tertentu dalam berurusan atau bermuamalat dengan sumbangan qard hasan apabila melibatkan keuntungan, kerugian, permohonan penebusan sebelum matang, permohonan pertukaran (pindah milik) kepada wakaf, hibah, wasiat, hiwalah, perintah nafkah; kewajipan mengeluarkan zakat dan hak pewarisan harta qard apabila berlaku kematian penyumbang qard dalam tempoh qard hasan masih berkuatkuasa.
[1] PENTING: Penulis ingin mengelak daripada menggunakan istilah ‘memberi pinjam’ atau ‘menerima pinjaman’ tetapi lebih cenderung menggunakan istilah ‘memberi sumbangan’ atau ‘menerima sumbangan’ dalam membahaskan prinsip qard hasan. Ini kerana istilah ‘memberi pinjam’ akan melibatkan persoalan undang-undang yang lebih rumit seperti kelulusan MMKN bagi membuat pinjaman menurut seksyen 10(1) EPAINS 2003 dan seksyen 25(1) Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 yang melarang pihak tidak berlesen daripada menerima, mengambil atau setuju menerima deposit. Qard hasan jika dipandang sepintas lalu seolah-olah sama seperti penerimaan deposit dan pinjaman. Justeru pemilihan perkataan yang sesuai perlu diputuskan daripada awal supaya tidak menimbulkan konflik undang-undang. Sokongan fatwa diperlukan bagi menentukan pemakaian istilah yang sesuai. Qard hasan walaupun kelihatan menyamai deposit dan pinjaman tetapi hakikatnya ia adalah salah satu bentuk sumbangan yang dianggap sebagai hasil baitulmal yang termaktub secara tersirat dalam seksyen 81(2) EPAINS 2003 dan dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan. Hujahan selanjutnya akan dibahaskan dalam kertas ini.
Salam Sdr.Juraish.
ReplyDeleteMenyediakan peluang untuk orang lain melakukan kebajikan dan amal solih seperti diri sendiri melakukannya.
Kiranya ada pihak yang dapat mempromosi secara berkesan mengenai peranan Baitul Mal ini tentu sekali sangat cantik dan indah.
Wassalam. Pak Ngah. Semoga Allah memudahkan urusan kita dalam menegakkan syiar Islam. Baitulmal adalah salah satu syiar Islam yang telah lama tenggelam disebabkan oleh arus kapitalisme. Kini bersempena runtuhnya tembok kapitalisme, ayuhlah kita bangunkan kembali baitulmal di persada dunia...
ReplyDelete