1.
Kes
ini merupakan tuntutan Plaintif dan tuntutan balas Defendan berkenaan isu hak lawatan
seorang anak hasil perkahwinan Plaintif dan Defendan yang bernama … Tarikh
Lahir: 13 OKTOBER 2012 yang pada masa sekarang (tarikh perhujahan) berusia
setahun empat bulan iaitu kurang daripada dua (2) tahun. Permohonan ini
dibuat di bawah peruntukan seksyen 82 (hak jagaan) dan 88(2)(d) (hak lawatan) Enakmen
Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang dimulai dengan Saman
bertarikh 30/4/2013 dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 28/2/2013.
2.
Mahkamah
ini adalah berbidangkuasa mendengar tuntutan ini di bawah peruntukan subseksyen
61(3) (b) (iii) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang
menyatakan:
Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah –
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan
semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang
Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan-
(iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan
atau jagaan (hadhanah) budak-budak.
-
Begitu
juga seksyen 82 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003
menyatakan:
Tertakluk kepada seksyen 83, ibu adalah yang paling
berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih
dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.
-
Seterusnya
peruntukan seksyen 88(2)(d) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri
Selangor) 2003 menyatakan:
88. (2) Tanpa menyentuh keluasan subseksyen (1), sesuatu perintah
jagaan boleh—
(c) …..
(d) memberi ibu atau bapa yang tidak diberi jagaan
atau seseorang dari keluarga ibu atau bapa yang telah mati atau tidak diberi
jagaan hak untuk berjumpa dengan kanakkanak itu pada masa-masa dan dengan seberapa kerap yang difikirkan
munasabah oleh Mahkamah;
3.
Kedua-dua
pihak dalam tuntutan ini adalah beragama Islam dan bermastautin dalam Negeri
Selangor. Oleh yang demikian, Mahkamah yang Mulia ini adalah berbidang kuasa
untuk mendengar dan memutuskan kes ini.
4.
Dalam
tuntutan ini, Plaintif diwakili oleh Peguam Syarie …… melalui wakalah bertarikh
28/02/2013. Manakala Defendan diwakili oleh Peguam Syarie Tuan Haji Juraish Bin
Kamaruddin daripada Tetuan Juraish Syariah Associates yang berwakalah pada
26/03/2013.
5.
Plaintif
telah bersetuju menyerahkan hak jagaan anak tersebut sepenuhnya kepada Defendan
selaku ibu kepada anak tersebut berdasarkan kepada pengakuan atau iqrar
Plaintif sendiri di dalam Perenggan 8 Pernyataan Tuntutan Plaintif yang
bertarikh 28 Feb 2013 tersebut.
6.
Defendan
pula pada dasarnya bersetuju memberi hak lawatan anak tersebut kepada Defendan
selaku bapa kepada anak tersebut. Namun demikian terma-terma hak lawatan yang
ditetapkan oleh Defendan tidak dipersetujui oleh Plaintif.
7.
Terdapat
5 isu berkaitan hak lawatan yang tidak dipersetujui oleh Plaintif dan Defendan
yang mana akan dihujahkan di sini untuk pertimbangan pihak Mahkamah, iaitu
seperti berikut:
i)
Hak
Plaintif selaku bapa membawa anak keluar dan bemalam.
ii)
Kekerapan
lawatan; sama ada selang beberapa hari atau beberapa
minggu.
iii)
Waktu
/ masa lawatan; sama ada pada bila-bila masa atau masa
tertentu yang dijadualkan.
iv)
Tempoh
masa lawatan; sama ada beberapa jam, kurang atau lebih
dari itu.
v)
Tempat
lawatan; sama ada di rumah pemastautinan ibu (Defendan)
atau
tempat lain khususnya semasa Defendan tinggal di luar Negeri
Selangor
atas urusan kontrak pekerjaan.
Yang Arif,
8.
Sebelum
isu lawatan tersebut dibahaskan satu persatu, kami ingin menegaskan di sini bahawa berdasarkan kepada fakta kes
ini, adalah dipersetujui bahawa anak tersebut belum mencapai usia
genap 2 tahun, di mana usia sebenar anak tersebut pada masa sekarang baru
mencecah satu (1) tahun empat (4) bulan, setakat Februari 2014.
ISU 1:
Hak Plaintif Selaku Bapa Membawa Anak Keluar Dan Bemalam
9.
Hak
membawa anak keluar dan bermalam bolehlah digabungkan sebagai satu isu yang
sama kerana kedua-duanya melibatkan perbuatan membawa anak tersebut ke tempat
yang terpisah daripada ibunya. Ini berbeza dengan hak lawatan anak tersebut di
mana anak yang dilawati masih tidak terpisah dan tetap berada di samping ibunya
selaku penjaga.
10. Bagi menentukan hak membawa anak tersebut keluar dan
bermalam bersama Plaintif selaku bapa atau seseorang yang selain daripada
ibunya, maka perlulah dilihat terlebih dahulu kepada status penyusuan dan
keperluan penyusuan anak tersebut pada masa sekarang. Sekiranya anak tersebut
masih terikat dengan penyusuan badan, maka wajarlah sekatan sementara dikenakan
terhadap pihak yang hendak melawat anak tersebut supaya tidak sewenang-wenang membawa
keluar anak tersebut hingga terpisah daripada ibunya. Ini penting untuk menjaga
maslahah dan kebajikan anak itu sendiri yang masih memerlukan penyusuan badan
daripada ibunya.
11. Dalam perenggan 11 pembelaan Defendan dan perenggan 22
Afidavit Keterangan Defendan menegaskan bahawa anak tersebut masih menyusu badan
secara terus dan kerap dari Defendan selaku ibunya atau ‘direct breast
feeding’. Namun demikian Plaintif cuba mempertikaikan fakta tersebut dengan
mendakwa bahawa anak tersebut tidak lagi menyusu badan dari Defendan.
12. Untuk memutuskan dakwaan pihak manakah yang selari
dengan keterangan yang zahir berkaitan isu penyusuan badan ini (al-rada’ah)
maka kami merujuk kepada firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah, ayat
233:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ
لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ وَعلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ
وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Bermaksud: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan
anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak
menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan
pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya”.
13. Selanjutnya kami merujuk kepada firman Allah Taala di
dalam Surah Luqman, ayat 14:
وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ
بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي
عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ
Bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik
kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung
kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan
tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang
demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah),
kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”.
Yang Arif,
14. Dalam kedua-dua ayat di atas telah menetapkan kewajipan
asal dalam menyusukan anak adalah selama tempoh 2 tahun genap. Dalam tempoh penyusuan
ini sepatutnya anak tersebut tidak
dipisahkan daripada ibunya kerana memisahkan anak dari ibunya dalam tempoh
penyusuan, samalah ertinya dengan menceraikan susu anak tersebut atau
mengurangkan kesempurnaan penyusuan anak tersebut daripada ibunya. Sedangkan
apa yang dianjurkan oleh al-Quran ialah melakukan penyusuan secara sempurna dan
menceraikan susu anak hanya selepas anak tersebut mencapai umur 2 tahun.
15. Sekiranya permintaan Plaintif untuk membawa anak keluar
diterima maka samalah ertinya dengan membenarkan Plaintif merampas hak penyusuan
sempurna anak tersebut dari ibunya dan ini adalah merupakan satu kezaliman yang
perlu dielakkan demi menjaga kebajikan anak tersebut yang lebih utama
didahulukan berbanding kemaslahatan ibu bapanya dan pihak lain.
16. Dalam tuntutan ini Plaintif cuba menggunakan alasan maslahah
untuk menghubungkan silaturahim antara beliau, ahli keluarga beliau dan anak
tersebut sehingga memerlukan anak tersebut dibawa keluar dan bermalam bersama
Plaintif. Kami tidak menolak kepentingan maslahah menyambung silaturahim
tersebut. Namun demikian maslahah silaturahim yang dimaksudkan oleh Plaintif
itu masih boleh terhasil dengan menunaikan hak lawatan tanpa membawa keluar.
17. Bahkan, sekiranya anak tersebut dibawa keluar ini akan menyebabkan
timbul pula mafsadah atau kemudaratan ke atas anak tersebut kerana
terpisah daripada ibu yang menyusukannya. Ini boleh menyebabkan kesan negatif
ke atas anak tersebut seperti kekurangan zat atau sakit lain. Dalam keadaan
berlaku pertembungan antara maslahah dan mafsadah seperti ini kami merujuk
kepada qaedah fiqhiyyah yang disebutkan oleh al-Sheikh Ahmad al-Zarqa’
dalam kitab Syarh al-Qawaid al-Fiqhiyyah, (terbitan Dar al-Qalam)
halaman 205:
درء المفاسد أولي من جلب المصالح
Yang bermaksud: :
“Menolak kemudaratan itu lebih utama daripada menghasilkan maslahah”
(Sila rujuk Ikatan
Autoriti Defendan di Lampiran A)
18. Berdasarkan kaedah di atas, menolak kemudaratan yang
bakal menimpa anak tersebut adalah lebih utama dilaksanakan berbanding tindakan
menghasilkan maslahah menyambung silaturahim dengan anak tersebut yang sebenarnya
masih boleh dilakukan dengan cara lain.
19. Mafsadah yang menimpa anak tersebut jika terpisah dari
susu badan ibunya tidak dapat digantikan dengan memberi susu formula
semata-mata. Ini kerana khasiat susu ibu dan susu formula adalah tidak sama.
Bahkan umum mengetahui bahawa susu ibu adalah makanan terbaik bagi bayi dan
tidak dapat ditandingi oleh mana-mana susu formula.
20. Apa yang pernah dilakukan oleh Defendan yang memberi
susu formula kepada anak tersebut sebelum ini adalah disebabkan oleh faktor keperluan
atau darurat kerana Defendan sendiri terpaksa keluar menghadiri kelas
pengajiannya ketika itu. Tindakan Defendan keluar untuk mencari ilmu adalah
suatu tuntutan fardu ain dan ia tidak boleh diketepikan. Sekiranya tidak
diberikan susu formula kepada anak tersebut ketika Defendan keluar menuntut
ilmu pasti akan menyebabkan kemudaratan terhadap anak tersebut bahkan boleh
membawa kepada kehilangan nyawa. Justeru wajarlah pemberian susu formula
diberikan kepada anak tersebut pada ketika darurat tersebut sekadar yang perlu
bagi menggantikan susu ibu. Ini selari dengan qaedah fiqhiyyah yang disebutkan
oleh al-Sheikh Ahmad al-Zarqa’ dalam kitab Syarh al-Qawaid
al-Fiqhiyyah, (terbitan Dar al-Qalam) halaman 187:
الضرورات تقدر بقدرها
Yang bermaksud: “Darurat itu diukur menurut kadarnya.”
(Sila rujuk Ikatan
Autoriti Defendan di Lampiran B)
21. Pemakaian hukum ketika darurat ini tidaklah boleh disamakan
dengan keadaan bukan darurat. Tuntutan Plaintif untuk membawa anak keluar dan
bermalam bagi mengeratkan silaturahim serta memberikannya susu formula kepada
anak tersebut bukanlah suatu yang darurat kerana hubungan silaturahim masih
boleh dipupuk dengan mengadakan sesi lawatan yang kerap, dan anak tersebut
masih boleh diberikan susu badan oleh Defendan jika anak tersebut tidak dibawa
keluar atau bermalam bersama Plaintif.
22. Oleh yang demikian sekiranya tiada keperluan darurat
untuk memisahkan anak tersebut daripada ibunya, mengapa perlu anak tersebut
dipisahkan daripada Defendan? Adakah membawa anak keluar untuk tujuan
menghubungkan silaturrahim yang dinyatakan oleh pihak Plaintif itu telah
mencapai tahap darurat dan adakah tidak terdapat cara lain untuk mencapai
matlamat silaturahim yang kurang mudaratnya ke atas anak tersebut?
23. Bagi membuktikan keperluan penyusuan badan ini, Defendan
telah mengemukakan keterangan dokumentar daripada pengamal perubatan iaitu
laporan kesihatan anak tersebut yang ditanda di dalam affidavit pernyataan
Defendan sebagai Ekshibit NH-2. Dalam laporan ini, doktor yang merawat
anak tersebut telah mengesyorkan supaya anak tersebut diberi penyusuan badan
sepenuhnya mengikut keperluan bayi (on demand) hingga berumur 2 tahun.
24. Keperluan bayi yang dimaksudkan oleh doktor tersebut
sangat penting untuk diambil kira kerana keperluan yang dimaksudkan adalah
berbentuk mutlak dan tidak dapat ditetapkan masa-masa yang tertentu untuk
penyusuan. Adalah tidak dapat dipertikaikan, bahawa tiada siapa boleh
menentukan bilakah masa anak tersebut akan memerlukan susu badan dari ibunya.
Justeru sebagai langkah berhati-hati dan ihtiyat, wajarlah anak tersebut
tidak dipisahkan daripada ibunya dalam tempoh penyusuan bagi menjamin keperluan
penyusuan anak tersebut sentiasa dapat dipenuhi pada bila-bila masa yang
diperlukan oleh anak tersebut sama ada waktu siang atau malam.
25. Berdasarkan kepada keterangan di atas, dakwaan Defendan
bahawa anak tersebut masih terikat dengan keperluan menyusu badan sehingga
berumur 2 tahun adalah sangat kuat dan selari dengan keterangan zahir yang
dikemukakan kepada Mahkamah. Manakala dakwaan Defendan yang mendakwa anak
tersebut tidak lagi menyusu badan tidak disokong dengan apa-apa keterangan. Justeru
Mahkamah ini wajarlah menerima keterangan Defendan dan menolak dakwaan
Plaintif.
Yang Arif,
26. Persoalan yang relevan dalam isu penyusuan ini ialah
“adakah anak tersebut masih memerlukan susu badan atau tidak?” Jika ini menjadi
fakta persoalan, maka keterangan yang dikemukakan oleh Defendan adalah
mencukupi untuk membuktikan anak tersebut masih memerlukan susu badan dari
Defendan.
27. Seksyen 73 (1) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah
(Negeri Selangor) 2003 menyatakan:
73. (1) Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana Mahkamah
memberikan penghakiman tentang
apa-apa hak atau tanggungan disisi undang-undang yang bergantung kepada
kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan bahawa fakta itu
wujud.
28. Dalam kes ini Defendan telah berjaya membuktikan fakta
bahawa anak tersebut masih terikat dengan keperluan penyusuan badan sehingga
anak tersebut berumur 2 tahun.
29. Hikmah dan kepentingan penyusuan ibu ini tidak dapat
dipertikaikan lagi kerana ia telah sabit menurut al-Quran dan kajian saintifik
moden. Walaupun ketika anak tersebut dibawa ke Mahkamah untuk penilaian
didapati anak tersebut serasi dengan Plaintif selaku bapanya, Plaintif tidak
boleh membuat andaian bahawa anak tersebut akan serasi dengan beliau jika
beliau memberikannya susu formula bagi menggantikan susu ibu semasa membawa
anak tersebut keluar atau bermalam. Ini kerana perkara ini tidak pernah
dibuktikan oleh Plaintif dalam sejarah atau pengalaman beliau sebagai bapa
kepada anak tersebut dan seharusnya andaian itu tidak diterima.
Yang Arif,
30. Dalam menentukan hak membawa keluar dan bermalam bersama
anak, Mahkamah ini juga wajar mempertimbangkan faktor biologi ibu yang berbeza
daripada bapa. Ini kerana ibu diperlukan bukan sahaja untuk penyusuan badan. Bahkan
menurut Islam, keperluan biologi anak kepada ibu adalah lebih daripada itu. Ini
termasuklah dalam soal memberi belaian, asuhan, gurauan, hiburan, ketenangan, menidurkan
anak dan sebagainya yang mana sudah tentu ibu adalah yang terbaik disebabkan
kelembutan belaian ibu, bau badan, suara dan degupan jantung ibu lebih serasi
dengan anak tersebut sejak dari dalam kandungan lagi.
31. Hal ini dapat dilihat dari Athar atau amalan sahabat
Nabi sebagaimana yang pernah diputuskan oleh Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dalam
kes hadhanah yang dihadapkan kepada beliau oleh Saidina Umar al-Khattab, yang mana
dicatatkan dalam Masnaf Ibn Abi Syaibah, juzuk 4, halaman 162, isu 222,
hadith no 10 (terbitan al-Maktabah
al-Syamilah, versi 2):
عن سعيد بن المسيب أن عمر بن الخطاب طلق أم عاصم ثم أتاها
عليها وفي حجرها عاصم فأراد أن يأخذه منها فتجاذباه بينهما حتى بكى الغلام فانطلقا
إلى أبي بكر فقال له أبو بكر : يا عمر ! مسحها وحجرها وريحها خير له منك حتى يشب
الصبي فيختار.
Bermaksud: Dari Said ibn Musaiyab diriwayatkan bahawa
Umar bin Al-Khattab menceraikan isterinya ‘Ummu ‘Asim, kemudian beliau datang
kepada bekas isterinya itu ketika ‘Asim berada di ribaannya. ‘Umar mahu
mengambil anak daripadanya, maka berlaku tarik menarik anak itu sehingga ia
menangis, kemudian kedua-duanya pergi kepada Abu Bakar r.a. lalu Abu Bakar
berkata kepada Umar: ”Belaiannya, ribaannya dan bauannya adalah lebih baik
daripada engkau, sehingga ia menjangkau umur mumayyiz. Kemudian ia akan membuat
pilihan sendiri.”
(Sila rujuk
Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran C)
32. Dalam riwayat di atas, tidak disebut secara jelas
berkaitan susu ibu. Namun andaian boleh dibuat bahawa anak tersebut masih menyusu
badan dari ibunya kerana anak tersebut masih berada di atas ribaan ibunya dan
istilah yang digunakan bagi anak tersebut ialah الغلام dan الصبي adalah lazimnya
digunakan bagi merujuk kepada kanak-kanak atau bayi yang dibawah umur 2 tahun,
seperti mana istilah لغلاما بول digunakan oleh ulamak fiqh dalam
bab najis mukhaffafah yang merujuk kepada air kencing kanak-kanak lelaki
yang berumur kurang daripada 2 tahun.
33. Dalam riwayat di atas, Khalifah Abu Bakar selaku hakim
telah tidak membenarkan sama sekali anak tersebut yang masih kecil diambil (bermaksud
sama seperti dibawa keluar) oleh bapanya walaupun bapanya adalah salah seorang
sahabat Nabi yang terkenal. Sebaliknya apa yang difahami dari riwayat tersebut,
hanya hak lawatan sahaja yang dibenarkan kepada pihak bapa. Mafhum daripada riwayat
tersebut juga jelas menunjukkan keperluan anak tersebut kepada ibunya perlulah
disempurnakan, bukan setakat penyusuan badan. Bahkan sekalipun anak tersebut
tidak menyusu badan dari ibunya (kerana kekurangan atau ketiadaan susu ibu,
sakit dan sebagainya), ribaan ibu, sentuhan ibu dan bau badan ibunya masih
diperlukan oleh anak tersebut yang mana tidak dapat diberi oleh bapa atau orang
lain.
34. Berdasarkan kepada riwayat di atas, di mana hak
mengambil anak atau membawa keluar anak telah tidak diberikan kepada bapa atas
faktor usia dan keperluan anak kepada ibunya, maka secara qiyasnya hak bermalam
juga tidaklah boleh diberi kepada bapa kerana ia juga sama ertinya dengan
membawa keluar anak tersebut.
35. Selain daripada autoriti di atas, di dalam kitab Mughni
al-Muhtaj, oleh Al-Khatib al-Syarbini, juzuk 5, halaman 200 juga ada menyebutkan secara jelas bahawa anak
perempuan yang dijaga oleh ibu dan masih kecil hendaklah tinggal bersama ibu
pada waktu siang dan malam, manakala bapa hendaklah datang menziarahi anak
sahaja, seperti mana dalam petikan matan berikut:
(
أَوْ ) كَانَ الَّذِي اخْتَارَ الْأُمَّ ( أُنْثَى ) أَوْ خُنْثَى كَمَا بَحَثَهُ
شَيْخُنَا ( فَعَنَدَهَا لَيْلًا وَنَهَارًا ) لِاسْتِوَاءِ الزَّمَانَيْنِ
فِي حَقِّهَا طَلَبًا لِسِتْرِهَا ( وَ ) لَا يَطْلُبُ الْأَبُ إحْضَارَهَا ، بَلْ
( يَزُورُهَا الْأَبُ ) لِتَأْلَفَ السَّتْرَ وَالصِّيَانَةَ ( عَلَى الْعَادَةِ )
مَرَّةً فِي يَوْمَيْنِ فَأَكْثَرَ لَا فِي كُلِّ يَوْمٍ كَمَا مَرَّ .
تَنْبِيهٌ : قَوْلُهُ عَلَى الْعَادَةِ
يَقْتَضِي مَنْعُهُ مِنْ زِيَارَتِهَا لَيْلًا ، وَبِهِ صَرَّحَ بَعْضُهُمْ لِمَا
فِيهِ مِنْ التُّهْمَةِ وَالرِّيبَةِ ……،
وَكَذَا حُكْمُ الصَّغِيرِ غَيْرِ الْمُمَيِّزِ وَالْمَجْنُونِ الَّذِي
لَا تَسْتَقِلُّ الْأُمُّ بِضَبْطِهِ فَيَكُونَانِ عِنْدَ الْأُمِّ لَيْلًا
وَنَهَارًا وَيَزُورُهُمَا الْأَبُ وَيُلَاحِظُهُمَا بِمَا مَرَّ ...
(Sila rujuk
Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran D)
Bermaksud:
“(Ataupun) kalau anak yang memilih ibu itu (adalah anak
perempuan) atau khunsa seperti yang dibahaskan oleh guru kami, al-Ramli, (maka
hendaklah ia tinggal dengan ibu malam dan siang) kerana persamaan kedua-dua
waktu itu dalam hak ibu bertujuan untuk melindunginya. (dan) tidak boleh dituntut
anak tersebut datang kepada bapa, bahkan (bapa yang perlu menziarahinya) untuk menyempurnakan
perlindungan dan penjagaan, (menurut adat kebiasaan) sekali dalam setiap dua
hari atau lebih dan bukan setiap hari seperti mana yang telah dibincangkan
terdahulu.
Perhatian: ungkapan ‘menurut adat kebiasaan’ itu membawa
maksud dilarang bapa daripada melawat anak perempuan pada waktu malam, dan
pendapat ini telah dikemukakan oleh sebahagian ulamak kerana ia mengundang
tohmah dan kecurigaan…, dan begitu juga hukum bagi anak kecil yang belum
mumayyiz dan orang gila yang tidak boleh dipisahkan dari ibu,
maka kedua-dua golongan ini hendaklah berada bersama ibu malam dan siang,
dan bapa dibolehkan datang menziarahi dan mengawasi mereka atas sebab yang
telah dibincangkan..”
36. Berdasarkan kepada autoriti di atas, adalah jelas anak
perempuan tersebut yang dijaga oleh Defendan adalah masih kecil dan tidak boleh
berpisah daripada ibunya. Justeru itu anak tersebut hendaklah dibiarkan terus
berada bersama ibunya pada waktu siang dan malam. Manakala Plaintif bolehlah
datang menziarahi anak tersebut tanpa membawanya keluar atau bermalam.
Yang Arif,
37. Setelah Mahkamah menerima fakta bahawa anak tersebut
masih kecil dan terikat dengan penyusuan badan daripada Defendan, dan keperluan
biologi anak tersebut kepada Defendan selaku ibu, maka tuntutan Plaintif untuk
membawa anak tersebut keluar dan bermalam bersama Plaintif pada masa akan
datang tidaklah boleh dibenarkan sehinggalah sekurang-kurangnya anak tersebut
mencapai umur 2 tahun.
38. Sekatan ini bukanlah bersifat kekal. Bahkan ia hanya
bersifat sementara sahaja iaitu selama 8 bulan daripada sekarang sebelum anak
tersebut mencapai usia 2 tahun pada bulan Oktober 2014.
39. Pada pandangan kami, sekatan sementara untuk membawa
anak tersebut keluar tidaklah memudaratkan Plaintif atau anak tersebut kerana
Plaintif sendiri langsung tidak pernah datang melawat atau berjumpa anak
tersebut selama tempoh lebih setahun. Justeru tempoh 8 bulan yang ada ini
wajarlah dijadikan sebagai tempoh permulaan bagi mengembalikan kemesraan dan
keserasian anak tersebut kepada Plaintif dengan cara diberikan hak lawatan
terlebih dahulu tanpa membawa keluar atau bermalam hinggalah anak tersebut
berumur 2 tahun. Walau bagaimanapun, hak lawatan ini perlulah dibuat menurut masa
dan kekerapan yang sesuai sepertimana yang akan kami hujahkan selepas ini.
ISU 2:
Kekerapan, Tempoh dan Waktu Lawatan
Yang
Arif,
40. Pada pandangan kami, isu berkaitan kekerapan, tempoh dan
waktu lawatan bolehlah digabungkan ke dalam satu isu yang sama kerana kesemuanya merujuk kepada masa
lawatan.
41. Dalam tuntutan ini, Plaintif menuntut supaya hak lawatan
anak tersebut diberikan kepada beliau dengan kekerapan secara umum pada
bila-bila masa yang sesuai dan munasabah DAN kekerapan secara khusus
iaitu pada hari Sabtu dari jam 11.00 pagi hingga Ahad jam 4.00 petang, sebanyak
2 kali dalam sebulan.
42. Secara matematiknya, jika keseluruhan tempoh masa
lawatan khusus yang dituntut oleh Plaintif dikira ia mengambil masa selama 58
jam dalam sebulan. Manakala kekerapan lawatan hanyalah sebanyak 2 kali sebulan
dan jarak di antara satu lawatan khusus dengan lawatan yang lain adalah
mengambil masa selama 1 hingga 3 minggu.
43. Sebaliknya Defendan mencadangkan kekerapan dan masa lawatan
anak tersebut dibuat secara khusus semasa hari bekerja, iaitu pada hari Isnin,
Rabu dan Jumaat dari jam 6.00 petang hingga 7.00 petang. Manakala bagi hari hujung
minggu, Defendan mencadangkan hak lawatan dibuat pada hari Sabtu ATAU Ahad
minggu pertama DAN minggu ketiga dari jam 5.00 petang hingga 6.00 petang dan
hendaklah memaklumkan kepada Defendan terlebih dahulu.
44. Walaupun keseluruhan tempoh masa lawatan khusus yang
dicadangkan oleh Defendan ini mengambil masa selama 14 jam sahaja dalam
sebulan. Namun demikian kekerapan lawatan yang dapat dibuat adalah sebanyak 14
kali dalam sebulan dan jarak masa di antara satu lawatan khusus adalah lebih
singkat iaitu antara 1 hingga 3 hari sahaja.
45. Dari segi matematiknya, cadangan hak lawatan yang
diberikan oleh Defendan adalah lebih efektif dan praktikal kerana akan
memberikan lebih banyak kekerapan kepada Plaintif untuk menunaikan hak lawatan
dan jarak antara suatu lawatan dengan lawatan adalah lebih singkat iaitu kurang
dari 3 hari. Ini sudah tentu lebih berkesan dalam membentuk keserasian,
kemesraan dan keakraban hubungan antara anak dan Plaintif selaku bapanya dalam
keadaan anak tersebut telah setahun lebih tidak diziarahi oleh Plaintif.
46. Adalah fakta yang tidak dipertikaikan semasa perbicaraan
bahawa kali terakhir Plaintif melawat anak terebut adalah pada 20 Januari 2013
yang lalu. Justeru untuk memulakan kembali hubungan antara anak dan bapa yang
seolah-olah telah terputus, kaedah lawatan yang dicadangkan oleh Defendan sudah
pasti lebih sesuai untuk dilaksanakan dan lebih mudah diterima oleh anak
tersebut.
47. Bahkan penetapan kekerapan hari dan waktu lawatan secara
khusus seperti mana yang dicadangkan oleh Defendan adalah lebih wajar dan
munasabah berbanding waktu lawatan secara umum yang diminta oleh Plaintif pada
bila-bila masa yang munasabah. Ini bagi mengelakkan berlakunya pertikaian dan salah
faham antara Plaintif dan Defendan di kemudian hari.
48. Di sini kami ingin merujuk kepada panduan hak lawatan
yang dinyatakan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini dalam kitab Mughni
Al-Muhtaj, cetakan Darul al-Kutb al-Ilmiyyah, juzuk 5, halaman 199 ada menetapkan
kekerapan waktu ziarah sepertimana berikut:
(والزيارة) على العادة (مرة
في أيام) أي يومين فأكثر لا في كل يوم، نعم إن كان منزلها قريبا فلا بأس أن
يدخل كل يوم كما قاله الماوردي
Bermaksud: “(Adapun lawatan itu) ditentukan dengan
menurut adat kebiasaan (sekali dalam beberapa hari) iaitu jarak masa dua hari
atau lebih dan bukan pada setiap hari. Ya, sekiranya rumah ibu berhampiran maka
tidak mengapa untuk (bapa) datang melawat anak setiap hari sepertimana yang
dikatakan oleh Imam al-Mawardi..”.
(Sila rujuk Ikatan
Autoriti Defendan di Lampiran E)
49. Berdasarkan kepada matan kitab di atas, adalah jelas
panduan yang diberikan untuk lawatan anak itu hendaklah dibuat sekali dalam beberapa
hari, sebagai contoh antara 2 atau 3 hari sekali dan bukannya setiap hari.
Panduan yang ditetapkan di atas adalah hampir sama seperti mana cadangan hak
lawatan yang telah dikemukakan oleh pihak Defendan.
50. Meskipun terdapat pengecualian diberikan untuk
membolehkan hak lawatan anak dilakukan setiap hari namun ia dikhususkan dalam
keadaan jarak rumah ibu yang dekat atau berhampiran sahaja. Bagi memahami jarak
“berhampiran” ini adalah lebih tepat jika difahami sebagai ‘tinggal berjiran’
kerana munasabah bagi seseorang jiran melawat dan mengambil tahu keadaan
jirannya setiap hari berbanding orang lain yang tidak berjiran.
51. Jika dirujuk dalam perbincangan fiqh mengenai hak jiran,
maka sepertimana yang telah sedia maklum, yang dimaksudkan dengan jiran adalah
40 buah rumah yang bersebelahan. Dalam kes ini kami percaya bahawa jarak rumah
Plaintif dan Defendan adalah melebihi 40 buah rumah kerana perbezaan daerah antara
Subang dan Cheras yang didiami oleh Plaintif dan Defendan. Oleh itu dapatlah
dikatakan jarak rumah Plaintif dan Defendan adalah jauh, walaupun jika diukur
dengan jarak masa perjalanan denagn kenderaan ia mengambil masa kurang daripada
30 minit.
52. Berdasarkan kepada hujah di atas, adalah tidak wajar hak
lawatan secara umum dibenarkan kepada Plaintif kerana ini akan membuka ruang
kepada Plaintif datang melawat anak terlalu kerap atau setiap hari hingga
menimbulkan masyaqqah kepada Defendan dan anak tersebut yang terpaksa
menerima kehadiran Plaintif setiap hari tanpa dijadualkan.
53. Dalam hal ini, Defendan menggunakan pendekatan lawatan
secara khusus dan berjadual iaitu berselang sehari kepada Plaintif untuk
melawat anak tersebut iaitu hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Ini adalah bertepatan
dengan “adat kebiasaan” seperti mana yang dinyatakan dalam kata-kata imam al-Khatib
al- Syarbini dengan melihat kepada praktikaliti keadaan Plaintif yang
bekerja dan Defendan yang sedang menyiapkan thesis akhir untuk pengajiannya.
54. Kedua-dua pihak mempunyai komitmen dalam urusan seharian.
Oleh itu wajarlah kekerapan lawatan diberikan secara berjadual iaitu pada waktu
selepas Plaintif pulang bekerja dari jam 6.00 hingga 7.00 petang. Tempoh masa
yang diberikan selama 1 jam adalah mencukupi dan munasabah kerana ini tidak akan
mengganggu waktu peribadi pihak-pihak seperti waktu bekerja, persediaan untuk
melakukan solat maghrib, dan lain-lain urusan harian.
ISU 3: Tempat
Lawatan Sama Ada Di Rumah Pemastautinan Ibu (Defendan)
Atau
Tempat Lain Khususnya Semasa Defendan Tinggal Di Luar Negeri Selangor.
Yang Arif,
55. Sebelum isu tempat lawatan dibahaskan, kami ingin
menarik perhatian Mahkamah Yang Mulia ini berkaitan isu pemastautinan Defendan
pada masa akan datang yang akan berpindah ke luar Negeri Selangor atas
keperluan kontrak pekerjaan beliau.
56. Semasa perbicaraan berjalan, Defendan telah mengemukakan
keterangan dokumentar yang ditanda secara kolektif sebagai Ekshibit NH-5
berupa dokumen perjaijian kontrak Skim Latihan Tenaga Pengajar antara Defendan
dan Universiti Malaysia Perlis. Berdasarkan kepada dokumen tersebut Defendan
dikehendaki kerkhidmat dengan Universiti Malaysia Perlis selama 11 tahun sebaik
sahaja tamat pengajian Doktor Falsafah. Pengajian Doktor Falsafah (PhD) yang
dijalani oleh Defendan sekarang dijangka akan tamat pada 18 Julai 2014
berdasarkan kepada dokumen surat perlanjutan tempoh pengajian Defendan yang
ditanda sebagai D6.
57. Kesemua dokumen yang dikemukakan oleh Defendan kepada Mahkamah
ini tidak dipertikaikan oleh Plaintif semasa perbicaraan. Oleh yang demikian
kami memohon supaya dokumen tersebut diterima sebagai keterangan dokumentar
selari dengan peruntukkan seksyen 3 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri
Selangor) 2003.
Tempat
lawatan ketika anak tersebut bermastautin dalam Negeri Selangor
58. Sebagai pihak yang diberi hak jagaan anak tersebut, Defendan
telah menyatakan bahawa pada masa
sekarang anak tersebut akan dijaga di alamat permastautinan Defendan yang merupakan
rumah ibu bapa Defendan beralamat di No.
… Taman Desa Baiduri, 56000 Cheras Kuala Lumpur. Berdasarkan keterangan pihak-pihak, jarak
tempat tinggal Defendan dengan Plaintif lebih kurang 15 kilometer atau 15
hingga 20 minit dengan menaiki kenderaan.
59. Sehubungan dengan itu
Defendan mencadangkan supaya tempat hak lawatan anak tersebut ditetapkan di
rumah ibu bapa Defendan sekarang disebabkan ia adalah rumah permastautinan
Defendan bersama anak tersebut. Namun demikian
Plaintif dalam Afidavit Keterangannya di perenggan 21 menyatakan tidak
bersetuju sesi lawatan dibuat di rumah Defendan kerana pihak-pihak telah
bercerai.
Yang Arif,
60. Defendan mengakui bahawa perceraian telah pun berlaku
antara Defendan dengan Plaintif dan tempoh iddah juga telah pun tamat. Ini
selari dengan perintah Mahkamah yang dilampirkan oleh Defendan dalam affidavit
beliau sebagai Ekshibit NH-1. Namun demikian, perceraian tersebut
tidaklah menghalang Plaintif datang ke rumah Defendan untuk melawat anak
tersebut selagi mana tidak berlaku khulwah.
61. Sebagai panduan dalam menentukan etika hak lawatan, di
dalam kitab Nihayatul Muhtaj ila Syarhil Minhaj oleh al-Ramli (cetakan
Dar al-Kutb al-Ilmiyyah), juzuk 7, halaman 232 ada menyebutkan:
( وَلَا يَمْنَعُهَا ) أَيْ الْأَبُ الْأُمَّ (
دُخُولًا عَلَيْهِمَا ) أَيْ الِابْنِ وَالْبِنْتِ إلَى بَيْتِهِ (
زَائِرَةً ) حَيْثُ لَا خَلْوَةَ بِهَا مُحَرَّمَةٌ وَلَا رِيبَةَ كَمَا
هُوَ ظَاهِرٌ نَظِيرَ مَا يَأْتِي فِي عَكْسِهِ دَفْعًا لِلْعُقُوقِ لَكِنْ لَا
تُطِيلُ الْمُكْثَ
(Sila rujuk Ikatan
Autoriti Defendan di Lampiran F)
Bermaksud:
“dan bapa (tidak boleh menghalang
ibu) daripada melawat anak lelaki dan perempuan di rumahnya (dengan tujuan ziarah)
dengan syarat tidak berlaku khulwah yang diharamkan dan kecurigaan, dan
begitu pula sebaliknya bagi anak-anak tidak boleh dihalang menziarahi ibubapa
mereka kerana dikhuatiri menjadi derhaka, dan bagaimanapun masa lawatan ini
tidak boleh dilakukan terlalu lama”.
62. Dalam petikan di atas, apa yang jelas pengarang kitab
menyatakan bahawa hak lawatan anak boleh dibuat di rumah anak tersebut tinggal,
asalkan tidak berlaku khulwah antara ibu dan bapa yang telah bercerai atau
menimbulkan kecurigaan lain.
63. Adalah merupakan fakta yang tidak dipertikaikan ketika perbicaraan
bahawa rumah tempat anak tersebut tinggal adalah merupakan rumah ibubapa
Defendan, dan kedua ibubapa Defendan juga tinggal bersama-sama dengan Defendan
dan anak tersebut. Oleh itu, lawatan
anak masih boleh dibuat di ruang tamu rumah Defendan, dengan kehadiran ibu bapa
Defendan dan bukannya di dalam bilik yang tertutup. Justeru cara lawatan
sedemikian tidaklah menyebabkan berlaku khulwah atau menimbulkan apa-apa tohmah
dan kecurigaan.
64. Malah sebelum ini, walaupun belum bercerai dengan
Defendan, Plaintif sendiri pernah datang melawat anak tersebut dengan membawa
rakan dan kakak Plaintif sebagai teman. Dengan cara ini juga dapat mengelakkan
berlaku khulwah dan tohmah di samping dapat memupuk silaturrahim antara semua
ahli keluarga Plaintif dan Defendan yang hadir semasa lawatan anak tersebut.
Tempat
lawatan ketika anak tersebut di bawa bermastautin di luar Negeri Selangor
65. Sebelum kami menghujahkan berkaitan tempat lawatan yang
sesuai semasa anak tersebut berada di Negeri Perlis, kami ingin menjelaskan
terlebih dahulu implikasi undang-undang dan Hukum Syarak apabila anak tersebut
di bawa ke luar Negeri Selangor atau luar daripada tempat pemastautinan bapa
kepada anak tersebut.
66. Seksyen 84 (c) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam
(Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan:
Hak seseorang perempuan terhadap hadhanah adalah hilang -
(a)…
(b)…
(c) jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan
tujuan mencegah bapa kanak-kanak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu ke
atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh
mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu.
67. Dalam peruntukkan di atas hanya menyebutkan secara jelas
bahawa hak seseorang perempuan terhadap jagaan adalah hilang jika dia menukar
pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa anak itu dari
menjalankan pengawasan yang perlu ke atas anak tersebut.
68. Walau bagaimanapun, peruntukan di atas juga dengan jelas
memberikan satu pengecualian bahawa seseorang isteri yang telah diceraikan
boleh menukar pemastautinan dengan membawa anaknya ke tempat lahirnya, iaitu
merujuk kepada tempat tinggal ahli keluarga atau walinya disebabkan selepas
perceraian ketaatan isteri itu dikembalikan semula kepada kedua ibubapa atau
walinya.
69. Walau bagaimanapun, dalam peruntukan di atas masih
terdapat suatu lakuna kerana tidak disebutkan dengan jelas sama ada
perbuatan seseorang perempuan yang menukar pemastautinannya untuk tujuan
mencari nafkah dan menyempurnakan perjanjian pekerjaan dengan majikannya
dibolehkan dan tidak menghilangkan hak hadhanah.
70. Dalam hal ini kami merujuk kepada kaedah fiqhiyyah yang
dinyatakan oleh Imam al-Suyuti dalam kitab al-Asybah Wa al-Nazair,
halaman 276:
الواجب لا يترك إلا لواجب
Yang bermaksud: sesuatu kewajipan itu tidak boleh
ditinggalkan kecuali kerana melakukan kewajipan yang lain.
(Sila rujuk Ikatan
Autoriti Defendan di Lampiran G)
71. Kaedah fiqhiyyah tersebut bolehlah diluaskan
pemakaiannya kepada kes ini kerana dalam kes ini, mengekalkan pemastautinan
anak tersebut di tempat pemastautinan yang biasa atau negeri tempat tinggal
bapanya adalah suatu kewajipan bagi memudahkan pengawasan dilakukan oleh pihak
bapa. Namun demikian perbuatan mencari nafkah dan menyempurnakan perjanjian
pekerjaan yang dilakukan oleh Defendan selaku ibu yang diceraikan juga adalah
satu kewajipan disebabkan sebagai ibu tunggal, tugas mencari nafkah adalah
merupakan tanggungjawab Defendan. Apatah lagi tugasan yang dilakukan oleh
Defendan ini berkait rapat untuk menjaga kepentingan awam kerana Defendan
bekerja sebagai pensyarah yang berkewajipan mendidik masyarakat awam yang
datang dari seluruh pelusuk negara Malaysia.
72. Oleh yang demikian kami memohon kepada Mahkamah Yang
Mulia ini agar memberikan pengecualian yang sama kepada Defendan dalam isu
kebenaran menukar pemastautinan ke negeri Perlis pada masa akan datang atas
alasan yang dinyatakan, tanpa menggugurkan hak jagaan ke atas anak tersebut.
73. Apatah lagi Defendan sebenarnya terikat dengan
perjanjian pekerjaan yang telah ditandatanganinya sebelum perkahwinan dengan
Plaintif lagi iaitu pada 8 April 2010 dan hal
ini telah dimaklumkan kepada Plaintif sebelum berkahwin dan dokumen berkaitan
juga telah ditunjukkan sebagai ekshibit dalam kes ini.
74. Memenuhi dan menepati sesuatu perjanjian yang sah adalah
suatu yang wajib menurut Hukum Syarak. Ini sebagaimana dinyatakan oleh Allah
Taala dalam surah al-Ma’idah, ayat 1:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ
Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta
sempurnakanlah perjanjian-perjanjian (yang dimeterai dengan sah).
75. Tambahan pula, dalam kes ini Plaintif sendiri telah
bersetuju menyerahkan hak jagaan anak tersebut kepada Defendan walaupun
Plaintif telah diberitahu bahawa anak tersebut akan mengikuti Defendan ke
Perlis pada masa hadapan. Dalam mana-mana peringkat perbicaraan, Plaintif tidak
pernah menarik balik persetujuan tersebut.
76. Sejajar dengan perpindahan pemastautinan Defendan, maka
tempat lawatan bagi anak tersebut juga wajarlah berpindah menurut tempat
tinggal Defendan pada masa hadapan. Ini selari dengan qaedah fiqhiyyah:
التابع تابع
Bermaksud: “Perkara yang mengikut itu hendaklah mengikut
hukum perkara yang diikut”
Yang Arif,
77. Berdasarkan fakta-fakta, hujahan dan autoriti di atas,
tanpa mengetepikan hasil pemerhatian Mahkamah terhadap anak tersebut, Defendan dengan
penuh tawadduknya memohon kepada Mahkamah Yang Mulia ini agar mengeluarkan
perintah seperti berikut:
i)
Hak jagaan anak yang bernama …., diserahkan
kepada Defendan selaku ibu.
ii)
Hak
lawatan, tanpa membawa keluar atau bermalam, diberikan kepada Plaintif selaku
bapa selagi mana anak tersebut belum mencapai usia genap 2 tahun, sebagaimana
berikut:
a) Plaintif boleh melawat anak
tersebut di alamat kediaman Defendan ….Taman Desa Baiduri, 56000 Cheras Kuala
Lumpur pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat dari jam 6.00 petang
hingga 7.00 petang dengan memaklumkan terlebih dahulu kepada Defendan dan
hendaklah ditemani mahram.
b) Plaintif boleh melawat anak
tersebut di alamat kediaman Defendan … Taman Desa Baiduri, 56000 Cheras Kuala
Lumpur pada hari Sabtu atau Ahad, minggu pertama dan minggu ketiga
dari jam 5.00 petang hingga 6.00 petang dengan memaklumkan terlebih dahulu
kepada Defendan dan hendaklah ditemani mahram.
c) Sekiranya anak tersebut berpindah
mengikut Defendan ke luar Negeri Selangor, atas urusan pekerjaan Defendan,
Plaintif boleh melawat anak tersebut di
tempat awam atau Balai Polis yang berhampiran dengan tempat tinggal Defendan
semasa di luar Negeri Selangor, pada hari Sabtu ATAU Ahad minggu pertama dan
minggu ketiga, dari jam 3.00 petang hingga 4.00 petang dengan memaklumkan terlebih dahulu kepada Defendan dan
hendaklah ditemani mahram.
iii)
Hak
lawatan, membawa keluar dan bermalam, diberikan kepada Plaintif selaku bapa
setelah anak tersebut mencapai usia genap 2 tahun, menurut masa dan kekerapan
yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah Yang Mulia ini.
iv)
Perintah
yang adil mengenai kos guaman Defendan.
v)
Apa-apa
perintah lain yang suai manfaat menurut Hukum Syarak.
Bertarikh
pada 18
haribulan FEBRUARI tahun 2014.
Disediakan dan dihujahkan dengan
suci hati oleh:
……………………….
Peguam Syarie bagi Defendan
Terima kasih ustaz atas perkongsian ini
ReplyDelete