Tuesday, May 22, 2012

HUJAH PERMOHONAN PENGESAHAN NIKAH POLIGAMI DAN PERINTAH DAFTAR NIKAH

Setelah sekian lama menyepi, kali ini setelah diasak dan diminta oleh pelbagai pihak akhirnya saya bersetuju menginfaqkan hujah kes pengesahan nikah poligami ini untuk manfaat pihak yang berkenaan. Namun huraian atau perincian lanjut adalah bergantung kepada keunikan fakta bagi setiap kes dan hujah ini bukanlah suatu yang konklusif. Alhamdulillah, hujah ini telah diterima di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Dewan 2. Walaupun begitu saya rasa ia masih boleh diperbaiki. Wallahua'lam.

PENGHUJAHAN FAKTA PERSOALAN


ISU 1: Sama ada Mahkamah berbidang kuasa mendengar permohonan ini.

Yang Arif,

1.        Dengan tawadduknya kami menghujahkan bahawa Mahkamah ini adalah berbidang kuasa mendengar permohonan ini yang merupakan permohonan untuk mendapatkan perintah bagi mendaftarkan perkahwinan secara poligami yang telah diakadkan tanpa kebenaran Mahkamah ini. Ini selari dengan peruntukan subseksyen 23(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:


“Tiada perkahwinan yang diakadnikahkan tanpa kebenaran di bawah subseksyen (1) boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini melainkan jika Mahkamah berpuashati bahawa perkahwinan sedemikian adalah sah mengikut Hukum Syarak dan Mahkamah telah memerintah supaya perkahwinan itu didaftarkan tertakluk kepada seksyen 124.”


2.        Pengkhususan tentang Mahkamah yang berbidangkuasa mendengar kes pengesahan nikah yang melibatkan kes poligami ini telah diperincikan lagi di dalam Arahan Amalan (JKSM) No. 4 Tahun 2007 yang menyatakan seperti berikut:

“….. telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai  arahan amalan berhubung dengan permohonan pengesahan nikah yang berkaitan dengan poligami hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah.”
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran A)


3.        Bidangkuasa Mahkamah ini juga ada dinyatakan di dalam peruntukan subseksyen 61 (3) (b) (i) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.


4.        Mahkamah ini juga berbidangkuasa mendengar permohonan ini disebabkan pemastautinan pihak-pihak adalah di dalam Negeri Selangor, selari dengan peruntukan seksyen 4 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:

Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, Enakmen ini terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal dalam Negeri Selangor dan bagi semua orang Islam yang bermastautin dalam Negeri Selangor tetapi tinggal di luar Negeri itu.

ISU 2: Sama ada perkahwinan Pemohon Pertama dan Pemohon Kedua telah menepati kehendak Hukum Syarak, iaitu rukun nikah dan syarat-syaratnya.

Yang Arif,

5.        Untuk menentukan sah atau tidaknya perkahwinan antara Pemohon Pertama dan Pemohon Kedua, maka perlulah dipastikan sama ada kesemua lima (5) rukun dan syarat sah nikah yang ditetapkan menurut Hukum Syarak, iaitu rukun berkaitan lafaz ijab qabul (al-sighah), isteri (al-zaujah), dua orang saksi lelaki (al-syahidan), suami (al-zauj) dan wali (al-wali) telah dipenuhi.

6.        Keperluan kepada kesemua rukun dan syarat nikah untuk menjadikannya sah ada diperuntukkan dalam seksyen 11 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:

“Sesuatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut Hukum Syarak, untuk menjadikannya sah”.

Rukun Pertama: al-Sighah

7.        Berdasarkan kepada pandangan Mazhab Syafi'i, seperti mana yang dinukilkan oleh al-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifat Ma’ani Alfaz al-Minhaj, jilid 5, halaman 226, rukun nikah yang pertama iaitu “sighah” adalah seperti berikut:

فَصْلٌ فِي أَرْكَانِ النِّكَاحِ وَغَيْرِهَا وَأَرْكَانُهُ خَمْسَةٌ : صِيغَةٌ ، وَزَوْجَةٌ ، وَشَاهِدَانِ ، وَزَوْجٌ ، وَوَلِيٌّ ، وَهُمَا الْعَاقِدَانِ ، وَقَدْ بَدَأَ بِالْأَوَّلِ فَقَالَ : ( إنَّمَا يَصِحُّ النِّكَاحُ بِإِيجَابٍ ، وَهُوَ ) قَوْلُ الْوَلِيِّ ( زَوَّجْتُكَ أَوْ أَنْكَحْتُك ) ابْنَتِي مَثَلًا إلَخْ ( وَقَبُولٌ ) وَهُوَ (بِأَنْ يَقُولَ الزَّوْجُ تَزَوَّجْتُ ) هَا ( أَوْ نَكَحْتُ ) هَا إلَخْ ، وَحَذَفَ الْمُصَنِّفُ مَفْعُولُ هَذَيْنِ الْفِعْلَيْنِ مَعَ أَنَّهُ لَا بُدَّ مِنْهُ فِي صِحَّةِ النِّكَاحِ لِمَا يُشِيرُ إلَيْهِ قَوْلُهُ ( أَوْ قَبِلْتُ نِكَاحَهَا ).

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran B)

Bermaksud: “Fasal pada membicarakan tentang rukun nikah dan lain-lain. Rukun nikah itu ada lima iaitu sighah, isteri, dua orang saksi lelaki, suami dan wali, dan kedua-dua mereka itu ialah pihak yang berakad. Dah pengarang (al-Nawawi) memulakan dengan rukun pertama, lalu dia berkata: Hanyasanya sah nikah itu dengan ijab iaitu perkataan wali “aku nikahkan engkau” dengan anak perempuanku sebagai contoh.., dan qabul iaitu dengan perkataan suami aku nikahi(nya), adapun pengarang sengaja tidak menyebutkan ‘maf’ul’ (objek) bagi kata kerja ini, padahal ia hendaklah disebutkan bagi menjadikan nikah sah berdasarkan isyarat yang ditunjukkan dalam katanya, yakni, “atau aku terima nikahnya”

8.        Dalam kitab al-Iqna’ oleh al-Syarbini jilid 2, halaman 245, beliau  juga telah menghuraikan tentang rukun sighah nikah ini seperti mana berikut:


وَمِمَّا تَرَكَهُ مِنَ اْلأَرْكَانِ الصِّيْغَةُ، وَشَرْطُ فِيْهَا مَا شُرِطَ فِيْ صِيْغَةِ الْبَيْعِ، وَقَدْ مَرَّ بَيَانُهُ وَمِنْهُ عَدَمُ التَّعْلِيْقِ وَالتَّأْقِيْتِ وَلَفْظُ مَا يَشْتَقُّ مِنْ تَزْوِيْجٍ أَوْ إِنْكَاحٍ وَلَوْ بِعَجَمِيَّةٍ يَفْهَمُ مَعْنَاهَا الْعَاقِدَانِ وَالشَّاهِدَانِ

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran C)

 Bermaksud: Dan di antara apa yang tidak dinyatakan oleh pengarang (Abu Syujak) berkaitan rukun-rukun nikah (dalam matannya) ialah rukun sighah. Dan syarat bagi rukun sighah itu ialah sama seperti apa yang disyaratkan dalam sighah jual beli yang mana telah dijelaskan sebelum ini. Antara lain hendaklah sighah nikah itu tidak berbentuk taklik (bersyarat) atau berbentuk sementara (terbatas masanya), dan hendaklah lafaznya dari perkataan atau kata terbitan ‘kahwinkan’ atau ‘nikahkan’ walaupun bukan dalam bahasa Arab asalkan difahami maknanya oleh dua orang yang berakad (iaitu wali dan suami) dan kedua-dua orang saksi.

9.        Berdasarkan keterangan pihak-pihak dan wali pernikahan ini, adalah didapati bahawa perkahwinan yang diakadkan antara Pemohon Pertama dan Pemohon Kedua telah menggunakan sighah ijab dan qabul seperti mana berikut:

-          Lafaz ijab dari jurunikah selaku wakil wali: “…… Bin ……, aku nikahkan engkau dengan …… binti … berwalikan abang kandungnya yang telah berwakilkan kepada aku dengan mas kahwin RM300.00 tunai”.

-          Manakala lafaz qabul daripada Pemohon Pertama selaku suami ialah: Aku terima nikah …… binti …. dengan mas kahwinnya RM300.00 tunai”.

10.    Lafaz ijab dan qabul tersebut telah memenuhi syarat yang diperlukan kerana menggunakan perkataan yang sarih iaitu “Aku nikahkan”. Seperti yang dinyatakan dalam kitab di atas, para fuqaha bersetuju menerima lafaz “aku nikahkan” atau “aku kahwinkan” sebagai lafaz aqad nikah disebabkan perkataan tersebut telah didatangkan sendiri olah al-Quran seperti dalam firman Allah Taala dalam surah al-Ahzab; ayat 37:

... زَوَّجْنَاكَهَا

Yang bermaksud: ” … Kami kahwinkan engkau dengannya”

11.    Maksud bagi lafaz ijab dan qabul juga adalah selari dan tidak bercanggah antara satu sama lain, iaitu kedua-dua lafaz adalah berkaitan dengan untuk menikahkan pihak isteri yang bernama …. Binti …. dengan pihak suami yang bernama … Bin …..

12.    Lafaz ijab dan qabul tersebut juga telah dilakukan dalam keadaan berturut-turut tanpa diselangi oleh masa yang lama yang tidak memutuskan maksud antara ijab dan qabul. Ini telah memenuhi syarat al-muwalat (berturut-turut) yang diperlukan di antara lafaz ijab dan qabul.


13.    Lafaz ijab dan qabul juga telah dibuat secara mutlak oleh kedua-dua pihak yang berakad dan tidak dibuat secara bertaklik  atau menunjukkan nikah itu sementara atau terbatas waktunya yang mana adalah tidak sah menurut Mazhab Fiqh yang Empat.



Rukun Kedua: Isteri (al-zaujah)


14.    Selanjutnya al-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj, jilid 5, halaman 234, menerangkan rukun nikah yang kedua iaitu “isteri” seperti berikut:

وَالرُّكْنُ الثَّانِي : الزَّوْجَةُ ، وَيُشْتَرَطُ فِيهَا خُلُوُّهَا مِنْ الْمَوَانِعِ الْآتِي بَيَانُهَا فِي بَابِ مُحَرَّمَاتِ النِّكَاحِ إنْ شَاءَ اللَّهُ - تَعَالَى - وَيُشْتَرَطُ تَعْيِينُ كُلٍّ مِنْ الزَّوْجَيْنِ

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran D)

Maksudnya: dan rukun kedua: isteri, disyaratkan padanya hendaklah dia bebas daripada sebarang halangan berkahwin yang akan diterangkan dalam bab perempuan yang diharamkan berkahwin- Insya-Allah, dan disyaratkan supaya ditentukan setiap daripada suami dan isteri itu.”


15.    Dalam kitab al-Iqna’ oleh al-Syarbini jilid 2, halaman 246, beliau  juga telah menghuraikan tentang rukun pengantin perempuan atau bakal isteri ini seperti mana berikut:

وَمِمَّا تَرَكَهُ مِنَ اْلأَرْكَانِ أَيْضًا الزَّوْجَةُ. وَشَرْطُ فِيْهَا حِلٌّ وَتَعْيِيْنٌ وَخُلُوٌّ مِنْ نِكَاحٍ وَعِدَّةٍ فَلاَ يَصِحُّ نِكَاحُ مُحْرِمَةٍ لِلْخَبَرِ السَّابِقِ وَلاَ إِحْدَى امْرَأَتَيْنِ لِلإِْبْهَامِ وِلاَ مَنْكُوْحَةٍ وَلاَ مُعْتَدَّةٍ مِنْ غَيْرِهِ لِتَعَلُّقِ حَقِّ الْغَيْرِ بِهَا.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran E)

Maksudnya: Dan di antara rukun-rukun nikah yang tidak dinyatakan oleh Pengarang juga antara lain ialah pengantin perempuan. Dan syarat bagi pengantin perempuan itu hendaklah ia dalam keadaan halal (iaitu tidak berihram haji atau umrah), hendaklah ditentukan (secara spesifik dalam akad), hendaklah bukan isteri orang atau dalam iddah. Justeru tidak sah nikah perempuan yang berihram berdalilkan hadith yang terdahulu, dan tidak sah nikah salah seorang perempuan (yang tidak ditentukan) kerana wujudnya kesamaran, dan tidak sah menikahi isteri orang dan tidak sah nikah wanita yang sedang beriddah dari suaminya (selain penantin lelaki) kerana wanita itu  masih berkait dengan hak orang lain.



16.    Berdasarkan keterangan SP1 dan keterangan dokumentar yang dikemukakan kepada Mahkamah ini, adalah ternyata Pemohon Kedua selaku rukun nikah yang kedua “isteri” adalah bebas daripada sebarang halangan untuk berkahwin dengan Pemohon Pertama. Ini disebabkan Pemohon Kedua mempunyai sifat-sifat berikut:

i)       Seorang Islam.

ii)     Seorang perempuan.

iii)   Tidak dalam berihram Haji atau Umrah.

iv)    Seorang yang tidak bersuami iaitu janda yang telah tamat iddah.

v)      Seorang yang bukan muhram dengan bakal suami (Pemohon Pertama) dan bukan muhram dengan isteri Pemohon Pertama yang sedia ada.

vi)    Seorang yang sukarela berkahwin dengan Pemohon Pertama, tanpa paksaan.

vii)  Seorang yang ditentukan dengan jelas dalam akad nikah dengan menyebutkan namanya.



Rukun ketiga: Dua orang saksi lelaki


17.    Selanjutnya al-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj, jilid 5, halaman 234 dan 235, menerangkan rukun nikah yang ketiga iaitu “dua orang saksi lelaki” seperti berikut:

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran F)

ثُمَّ شَرَعَ فِي الرُّكْنِ الثَّالِثِ ، فَقَالَ : ( وَلَا يَصِحُّ ) النِّكَاحُ ( إلَّا بِحَضْرَةِ شَاهِدَيْنِ ) لِخَبَرِ ابْنِ حِبَّانَ فِي صَحِيحِهِ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهَا : { لَا نِكَاحَ إلَّا بِوَلِيٍّ وَشَاهِدَيْ عَدْلٍ ، وَمَا كَانَ مِنْ نِكَاحٍ عَلَى غَيْرِ ذَلِكَ فَهُوَ بَاطِلٌ ، فَإِنْ تَشَاحُّوا فَالسُّلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لَا وَلِيَّ لَهُ } .

Maksudnya: Kemudian Pengarang kitab mula menerangkan mengenai rukun ketiga, lalu dia berkata: Dan tidak sah nikah itu melainkan dengan kehadiran dua orang saksi lelaki berdasarkan kepada hadith (mauquf) daripada riwayat Ibn Hibban dalam kitab Sahihnya: Daripada A’isyah r.a. berkata: Tiada nikah melainkan dengan wali dan dua orang saksi yang adil, dan mana-mana pernikahan yang lain daripada itu adalah terbatal, sekiranya kamu berbantah-bantahan, maka sultan itu menjadi wali bagi orang perempuan yang tidak mempunyai wali.

وَشَرْطُهُمَا حُرِّيَّةٌ ، وَذُكُورَةٌ وَعَدَالَةٌ وَسَمْعٌ وَبَصَرٌ

Bermaksud: dan syarat kedua-dua saksi itu (selain hendaklah beragama Islam dan baligh) hendaklah dia merdeka (bukan hamba), lelaki (bukan khunsa), adil (tidak ketara sifat fasiq), boleh mendengar (tidak pekak) dan boleh melihat (tidak buta).


18.    Berdasarkan kepada keterangan pihak-pihak dan SP1 maka adalah didapati saksi-saksi kepada pernikahan Pemohon Pertama dan Pemohon Kedua adalah menepati syarat yang ditetapkan di atas iaitu bersifat:

i)        Kedua-duanya adalah lelaki.

ii)      Kedua-duanya beragama Islam.

iii)    Kedua-duanya telah mencapai usia baligh

iv)     Kedua-duanya adalah merdeka dan bukan hamba

v)       Kedua-duanya adalah bersifat adil

vi)     Kedua-duanya boleh melihat dan mendengar.

vii)   Kedua-duanya memahami bahasa yang digunakan dalam ijab dan qabul


Rukun keempat: Suami (al-zauj)

19.    Al-Syarbini dalam kitab al-Iqna’ fi Alfaz Abi Syuja’, jilid 2, halaman 246, menerangkan rukun nikah yang keempat iaitu “suami” seperti berikut:

القول في شروط الزوج  ومما تركه من الأركان أيضا الزوج وشرط فيه حل واختيار وتعيين وعلم بحل المرأة له فلا يصح نكاح محرم ولو بوكيل للخبر السابق ولا مكره وغير معين كالبيع ولا من جهل حلها له احتياطا لعقد النكاح   

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran G)

Bermaksud: Pandangan berkaitan syarat-syarat suami dan perkara yang tidak dinyatakan (oleh pengarang- Abi Syuja’) daripada rukun-rukun nikah mengenai suami: dan syarat pada suami itu hendaklah ia halal berkahwin, sukarela, dan ditentukan, dan mengetahui tentang halalnya perempuan yang dinikahinya. Justeru tidak sah nikah suami yang dalam ihram walaupun melalui perantaraan wakil berdasarkan kepada hadith yang lalu, dan tidak sah nikah suami yang dipaksa, dan tidak ditentukan (berdasarkan kepada qiyas atas) hukum jual beli dan tidak sah nikah suami yang tidak mengetahui halalnya perempuan yang dinikahinya atas dasar berihtiyat (berwaspada) dalam melakukan akad nikah.

20.    Berdasarkan kepada keterangan pihak-pihak, SP1 dan dokumentar yang dikemukakan kepada Mahkamah maka adalah ternyata Pemohon Pertama selaku rukun nikah keempat iaitu suami telah memenuhi syarat yang ditetapkan di atas kerana:

i)           Pemohon Pertama selaku suami adalah seorang lelaki Islam (berdasarkan kepada butiran jantina dan agama dalam kad pengenalan Pemohon Pertama).

ii)         Pemohon Pertama tidak mempunyai hubungan mahram dengan bakal isteri (Pemohon Kedua).

iii)       Pemohon Pertama adalah seorang yang halal berkahwin dan bukan dalam ihram Haji atau Umrah.

iv)       Pemohon Pertama adalah seorang yang halal berkahwin kerana bukan seorang yang memiliki 4 orang isteri pada masa pernikahannya dengan Pemohon Kedua.

v)         Pemohon Pertama selaku suami adalah seorang yang ditentukan dengan jelas dalam akad nikah dengan disebutkan nama penuhnya.

vi)       Pemohon Pertama selaku suami mengetahui halalnya bernikah dengan bakal isteri (Pemohon Kedua) kerana menurut pengetahuannya tidak terdapat perkara larangan yang mengharamkan perkahwinan dengan Pemohon Kedua.

vii)     Pemohon Pertama sukareka berkahwin dengan Pemohon Kedua dan tidak dipaksa.



Rukun kelima: Wali

21.    Al-Syarbini selanjutnya dalam kitab al-Iqna’, jilid 2, halaman 246, menerangkan rukun nikah yang kelima iaitu wali seperti berikut:

وأولى الولاة أي من الأقارب في التزويج الأب لأن سائر الأولياء يدلون به كما قاله الرافعي  (ثم الجد أبو الأب) وإن علا.... (ثم الأخ للأب والأم) لإدلائه بهما

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran H)

Maksudnya: Wali yang paling utama daripada kaum kerabat dalam pernikahan ialah bapa kerana keseluruhan wali yang lain adalah berketurunan daripadanya sepertimana yang dikatakan oleh al-Rafi’i. Kemudian ialah datuk, iaitu bapa kepada bapa dan ke atas…. Kemudian ialah saudara lelaki seibu sebapa kerana dia berketurunan daripada kedua-dua ibu dan bapa.


22.    Syarat-syarat bagi seseorang wali pernikahan pula diterangkan oleh al-Syarbini dalam kitab al-Iqna’ jilid 2, halaman 241-242 seperti mana berikut:


ويفتقر الولي  والشاهدان المعتبرون لصحة النكاح إلى ستة شرائط بل إلى أكثر كما سيأتي الأول الإسلام وهو في ولي المسلمة إجماعا وسيأتي أن الكافر يلي الكافرة وأما الشاهدان فالإسلام شرط فيهما سواء أكانت المنكوحة مسلمة أم ذمية إذ الكافر ليس أهلا للشهادة و الثاني البلوغ و الثالث العقل فلا ولاية لصبي ومجنون لأنهما ليسا من أهل الشهادة و الرابع الحرية فلا ولاية لرقيق ولا يكون شاهدا و الخامس الذكورة... والسادس العدالة

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran I)

Bermaksud: Adalah perlu bagi wali dan saksi yang muktabar bagi menjadikan perkahwinan sah memenuhi 6 syarat bahkan lebih sepertimana yang akan dinyatakan. Syarat PERTAMA: Islam yakni syarat yang diperlukan bagi mewalikan pernikahan perempuan Islam secara Ijmak, dan akan dinyatakan bahawa wali yang kafir boleh mewalikan perempuan kafir, Adapun saksi nikah maka syarat Islam itu diperlukan samada perempuan yang dinikahi itu orang Islam atau zimmi kerana orang kafir tidak layak menjadi saksi. Syarat KEDUA mencapai usia baligh, Syarat KETIGA: sempurna akal, justeru tidak boleh kanak-kanak dan orang gila menjadi wali kerana kedua-dua mereka tidak layak menjadi saksi. Syarat KEEMPAT: merdeka, maka hamba tidak layak menjadi wali atau saksi. Syarat KELIMA: lelaki….dan syarat KEENAM: bersifat adil.

23.    Berdasarkan keterangan yang dikemukakan kepada Mahkamah, wali bagi pernikahan ini ialah saudara lelaki seibu sebapa kepada Pemohon Kedua. Ini disebabkan bapa kandung Pemohon Kedua selaku wali yang paling utama telah pun meninggal dunia.

24.    Status wali yang kedua iaitu datuk (bapa kepada bapa) Pemohon Kedua juga tidak dinyatakan oleh Pemohon-Pemohon semasa perbicaraan sama ada telah meninggal dunia atau sebaliknya. Pihak Mahkamah juga tidak meminta supaya fakta tersebut dinyatakan oleh pemohon-pemohon semasa perbicaraan.

25.    Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada qarinah berkaitan umur bapa kandung Pemohon Kedua (sekiranya ditakdirkan masih hidup) dan berdasarkan kepada fakta lain yang telah dinyatakan oleh Pemohon-Pemohon semasa perbicaraan bahawa sebelum ini Pemohon Kedua pernah berkahwin dengan berwalikan abang kandung Pemohon Kedua seibu sebapa, iaitu wali yang sama. Justeru dalam hal ini, kami dengan suci hati, membuat suatu anggapan bahawa status datuk kepada Pemohon Kedua tersebut telah pernah  dipastikan oleh pihak berkuasa agama, sebagai telah meninggal dunia atau tidak layak menjadi wali (sekiranya masih hidup).



26.    Berdasarkan kepada keterangan SP1 selaku wali pernikahan ini, maka adalah didapati beliau adalah berkelayakan menjadi wali kerana telah memenuhi kesemua syarat  wali yang dinyatakan di atas. Bahkan juru nikah yang diwakilkan menjadi wali bagi pernikahan ini yang berjawatan sebagai Naib Qadhi Syarie Majlis Agama Islam Wilayah Yala Thailand juga didapati telah memenuhi syarat sebagai wali pernikahan iaitu:

i)        Wali dan wakil wali adalah beragama Islam

ii)      Wali dan wakil wali telah mencapai usia baligh.

iii)    Wali dan wakil wali dalam keadaan sempurna akal dan tidak gila.

iv)     Wali dan wakil wali adalah orang yang merdeka.

v)       Wali dan wakil wali adalah orang lelaki.

vi)     Wali dan wakil wali bersifat adil atau sekurang-kurang tahap keadilan itu ialah tidak terzahir sifat fasiq mereka pada pandangan umum.


ISU 3: Sama ada beban pembuktian yang dikemukakan oleh Pemohon-pemohon telah mencukupi dan boleh diterima.

Yang Arif,

27.    Dalam kes ini, Pemohon-Pemohon telah mengemukakan pembuktian berdasarkan keterangan-keterangan seperti berikut:

i)                Keterangan seorang saksi lelaki (SP1) yang bertaraf syahadah atau bayyinah.

ii)              Keterangan dokumentar yang bertaraf sebagai bayyinah atau qarinah.

iii)            Pernyataan atau pengakuan khusus daripada Pemohon Kedua (isteri) berkaitan fakta pernikahan adalah sama seperti mana yang didakwa oleh Pemohon Pertama, yang mana adalah bertaraf sebagai iqrar.

iv)             Sumpah al-Yamin al-Mutammimah yang akan dikemukakan oleh Pemohon Pertama dan Pemohon Kedua kepada Mahkamah.


28.    Keterangan SP1 tersebut adalah boleh diterima sebagai saksi yang kompeten memberikan syahadah atau bayyinah berdasarkan kelayakan SP1 sebagai seorang Islam, bersifat adil, mencapai usia baligh, mempunyai ingatan yang baik dan tidak berprasangka. Ini adalah selari dengan peruntukan seksyen 83 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.

29.    Dokumen-dokumen yang dikemukakan kepada Mahkamah ini seperti mana yang ditandakan dalam Ikatan Dokumen dan Ikatan Dokumen Tambahan Pemohon juga boleh diterima sebagai qarinah berdasarkan sub seksyen 11 (b) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.

30.    Kesemua dokumen di atas adalah mempunyai kaitan dengan fakta persoalan iaitu sama ada pernikahan yang didakwa berlaku dengan sah atau tidak. Justeru ia bolehlah diterima sebagai qarinah selari dengan pengertian qarinah  di dalam seksyen 3 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:

“qarinah” ertinya fakta yang mempunyai kaitan dengan fakta yang satu lagi dengan apa-apa cara yang disebutkan dalam Enakmen ini.”


31.    Mahkamah Yang Mulia ini juga telah menerima kebanyakan dokumen tersebut untuk ditandakan sebagai ‘P’ setelah Pemohon-Pemohon menunjukkan salinan asal dokumen tersebut kepada Mahkamah.

32.    Kebolehterimaan keterangan dokumentar sebagai salah satu kaedah pembuktian ini adalah selari dengan firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah, ayat 282:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكْتُبُوهُ

Maksudnya:”Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah secara tidak tunai (berhutang) untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya.”

Serta firman Allah Taala dalam surah an-Nur ayat 33:

وَالَّذِينَ يَبْتَغُونَ الْكِتَابَ مِمَّا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ فَكَاتِبُوهُمْ إِنْ عَلِمْتُمْ فِيهِمْ خَيْرًا

Maksudnya: “dan budak-budak (hamba) yang kamu miliki yang menginginkan perjanjian hendaklah kamu tuliskan perjanjian mereka jika kamu mengetahui ada kebaikan kepada mereka.”


33.    Dalam kedua-dua ayat di atas Allah Taala telah memerintahkan supaya dibuat catatan berkaitan dengan urusan muamalat yang mana boleh diqiyaskan hukumnya di dalam urusan munakahat seperti di dalam kes. Perintah menulis urusan berkaitan muamalat dan munakahat ini sudah tentu mempunyai tujuan yang tersendiri yang membawa faedah kepada pihak yang melaksanakannya. Antara lain tujuan atau faedahnya ialah untuk dijadikan sebagai bukti sekiranya timbul sesuatu pertikaian di kemudian hari.

34.    Sekiranya tulisan atau dokumen tidak boleh digunakan sebagai bukti maka sia-sialah Allah Taala memerintahkan orang Islam menulis berkaitan urusan muamalat dan termasuklah urusan munakahat melalui jalan qiyas.


35.    Kami merujuk kepada Arahan Amalan (JKSM) No. 9 Tahun 2007 berkaitan Amalan Pengesahan Perkahwinan Yang Berlawanan Dengan Peruntukan Akta / Enakmen / Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam yang menetapkan antara lainnya seperti berikut:

v) Sekiranya pemohon gagal mengemukakan wali, jurunikah, saksi-saksi atau dokumen-dokumen yang diperlukan, Hakim hendaklah menentukan sahnya perkahwinan yang dipohon berdasarkan peruntukan mengenai qarinah dalam Akta/ Enakmen/ Ordinan Keterangan Mahkamah Syariah Negeri atau Arahan Amalan No. 2 Tahun 2006- Amalan Sumpah Mahkamah Syariah.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran J)


36.    Selain daripada keterangan qarinah di atas, Mahkamah ini juga boleh menerima ikrar Pemohon Kedua selaku pihak isteri yang dibuat berdasarkan kepada affidavit permohonan dan keterangan lisannya kepada Mahkamah ini. Ini kerana pengakuan atau ikrar seseorang perempuan yang telah baligh dan berakal bahawa dia telah berkahwin dengan seseorang lelaki adalah boleh diterima menurut pandangan al-jadid dalam Mazhab Syafi'i.

37.    Perkara ini dijelaskan lagi sekali oleh al-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj jilid 5, halaman 245 seperti berikut:

( وَيُقْبَلُ إقْرَارُ الْبَالِغَةِ الْعَاقِلَةِ ) الْحُرَّةِ وَلَوْ سَفِيهَةً فَاسِقَةً بِكْرًا كَانَتْ أَوْ ثَيِّبًا ( بِالنِّكَاحِ ) مِنْ زَوْجٍ صَدَّقَهَا عَلَى ذَلِكَ وَلَوْ غَيْرَ كُفْءٍ ( عَلَى الْجَدِيدِ ) وَإِنْ كَذَّبَهَا الْوَلِيُّ وَالشَّاهِدَانِ إنْ عَيَّنَتْهُمَا ، أَوْ قَالَ الْوَلِيُّ : مَا رَضِيتُ إذَا كَانَ الزَّوْجُ غَيْرَ كُفْءٍ ؛ لِأَنَّ النِّكَاحَ حَقُّ الزَّوْجَيْنِ فَثَبَتَ بِتَصَادُقِهِمَا كَغَيْرِهِ مِنْ الْعُقُودِ ، وَلِاحْتِمَالِ نِسْيَانِ الْوَلِيِّ وَالشَّاهِدَيْنِ وَكَذِبِهِمْ ، وَلَا بُدَّ مِنْ تَفْصِيلِهَا الْإِقْرَارَ فَتَقُولُ : زَوَّجَنِي مِنْهُ وَلِيِّي بِحَضْرَةِ عَدْلَيْنِ وَرِضَائِي إنْ كَانَتْ مِمَّنْ يُعْتَبَرُ رِضَاهَا .
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran K)

Bermaksud: Dan diterima pengakuan seorang perempuan yang telah baligh, berakal dan merdeka walaupun dia seorang yang dungu atau fasiq sama ada anak dara atau janda bahawa dia telah bernikah dengan seorang suami yang juga membenarkan pernyataannya mengenai perkahwinan itu, walaupun suami itu tidak sekufu menurut pendapat al-jadid (baru) meskipun perkara itu didustakan (tidak diakui) oleh wali dan kedua-dua saksi setelah diminta pengesahan mereka. Atau berkata wali: Aku tidak redha jika suami itu tidak sekufu (maka pengakuan si isteri tentang pernikahan itu tetap diterima) kerana pernikahan adalah hak kedua-dua suami isteri, maka hendaklah ia disabitkan atas wujudnya saling percaya mempercayai dalam dakwaan kedua-dua mereka (diqiyaskan) seperti akad-akad yang lain, dan kerana wujud ihtimal (kebarangkalian) terlupa di pihak wali atau kedua-dua saksi atau pendustaan mereka. Maka hendaklah diperincikan pengakuan tersebut dengan kata perempuan itu: Waliku telah menikahkan aku dengannya di hadapan dua orang saksi lelaki yang adil dan dengan keredaanku” (sekiranya perempuan itu terdiri daripada orang yang diambil kira keredaannya.)


38.    Berdasarkan kepada pandangan al-jadid dalam Mazhab Syafi'i di atas, maka wajarlah Mahkamah ini menerima iqrar daripada Pemohon Kedua bahawa beliau telah dinikahkan oleh walinya  dengan Pemohon Pertama di hadapan dua orang saksi lelaki yang adil kerana ikrar atau pernyataan Pemohon Kedua tersebut telah turut dibenarkan dan diakui oleh pihak Pemohon Pertama selaku suami beliau.

39.    Iqrar yang dibuat oleh Pemohon Kedua ini adalah selari dengan pengertian iqrar yang dinyatakan dalam seksyen 17 (1), (2) dan (3) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.

40.    Walau bagaimanapun, oleh kerana Pemohon-Pemohon hanya mengemukakan seorang saksi dan memandangkan perkahwinan ini juga berkaitan dengan hak Allah selaku al-Syari’ yang menetapkan Hukum Syarak bagi menentukan sahnya sesuatu perkahwinan, maka wajarlah kedua-dua pemohon diminta bersumpah al-Yamin al-Mutammimah bagi menyempurnakan hak Allah dalam mencukupkan keterangan dua orang saksi. Keperluan sumpah ini adalah selari dengan seksyen 88 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.


41.    Kami juga merujuk kepada Arahan Amalan (JKSM) No. 2 Tahun 2006 (Amalan Sumpah Mahkamah Syariah) yang antara lain menyebutkan:

1. Hak-hak yang boleh menerima pakai sumpah

(a) pertunangan, perkahwinan, rujuk, perceraian, nusyuz atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan hubungan suami isteri.

 6. Kuasa Mahkamah Mengarahkan Pihak Bersumpah Al-Mutammimah.

Walau apapun peruntukan Amalan 5, Hakim, boleh mengarahkan mana-mana pihak bersumpah al-Yamin al-Mutammimah.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran L)


42.    Bagi membantu Mahkamah Yang Mulia ini, pihak kami mencadangkan deraf sumpah al-Yamin al-Mutammimah yang dimaksudkan untuk pertimbangan Mahkamah ini.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran M






PENUTUP

Yang Arif,

43.    Berdasarkan fakta-fakta di atas, beban pembuktian telah pun disempurnakan oleh Pemohon-Pemohon. Justeru itu, Pemohon-Pemohon dengan penuh tawadduknya memohon kepada Mahkamah Yang Mulia ini agar menerima tuntutan ini dan mengeluarkan perintah yang dipohon iaitu seperti berikut:

i)                    Mahkamah mengesahkan bahawa pernikahan secara poligami antara Pemohon Pertama dan Pemohon Kedua yang diakadnikahkan pada 08 November 2010 di Majlis Agama Islam Wilayah Yala Thailand adalah sah menurut Hukum Syarak.

ii)                  Mahkamah memerintahkan perkahwinan ini didaftarkan dengan sewajarnya menurut seksyen 23 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

iii)                Apa-apa perintah lain yang suai manfaat menurut Hukum Syarak.



Bertarikh pada               haribulan       APRIL     tahun      2012.



Disediakan dan dihujahkan dengan suci hati oleh:


                                                                                                            ……………………….
                                                Peguam Syarie bagi Pemohon Pertama & Kedua

Saturday, January 7, 2012

HUJAH TUNTUTAN PERINTAH ISTERI KEMBALI TAAT

Assalamualaikum.... Dah lama sangat saya tak update blog ni dengan hasil penulisan hujah-hujah kes dan info berkaitan Perundangan Syariah. Kali ini saya akan kongsikan hujah Plaintif dalam kes tuntutan isteri kembali taat. Kes ni dah selesai sekitar 5 bulan yang lepas. Alhamdulillah pihak suami dan isteri dah berdamai dan kembali hidup sebagai suami isteri.... Semoga dapat dimanfaatkan....


PENGHUJAHAN FAKTA PERSOALAN

1. Di dalam kes ini Plaintif memohon supaya Mahkamah ini mengeluarkan perintah antara lain agar:

i) Defendan diperintahkan kembali taat kepada Plaintif dan kembali tinggal bersama Plaintif di rumah kelamin yang disediakan oleh Plaintif beralamat LOT ..., KAMPUNG MELAYU, JALAN HOSPITAL SUNGAI BULOH, 47000 SUNGAI BULOH, SELANGOR.

ii) Defendan diperintahkan mentaati perintah Plaintif untuk memasukkan Defendan ke wad psikatri bagi mendiagnosis dan merawat masalah kesihatan mental Defendan.


2. Perincian tentang perintah kembali taat yang dipohon tersebut telah disebutkan dalam Pernyataan Tuntutan Pindaan Plaintif dan notis kembali taat yang ditanda sebagai P12.

3. Sebelum mengeluarkan perintah yang dipohon, Mahkamah ini perlulah mempertimbangkan sama ada arahan kembali taat yang diminta oleh Plaintif terhadap Defendan adalah arahan yang sah menurut Hukum Syarak.


Yang Arif,


ISU 1: BIDANGKUASA MAHKAMAH

4. Mahkamah ini adalah berbidangkuasa memutuskan perkara yang dituntut oleh Plaintif. Ini bedasarkan kepada peruntukan seksyen 61(3) (b) (i) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan seperti berikut:

Dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan-

(i) pertunangan, perkahwinan, ruju’, percraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami isteri;

5. Tuntutan perintah isteri kembali taat yang dipohon oleh Plaintif adalah termasuk dalam “apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami isteri”.

6. Perintah Mahkamah ini adalah diperlukan bagi membolehkan Plaintif meminta bantuan daripada pihak polis untuk mengesan Defendan yang telah meninggalkan rumah kelamin terakhir atau melarikan diri dengan sukarela. Dengan perintah tersebut Defendan seterusnya boleh diminta untuk kembali tinggal bersama Plaintif di rumah kelamin baru yang disediakan oleh Plaintif.



ISU 2: DALIL ISTERI DIWAJIBKAN MENTAATI PERINTAH SUAMI

7. Menurut Hukum Syarak, isteri diwajibkan mentaati suaminya. Ini berdasarkan firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah ayat 228 yang berbunyi:

وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Yang bermaksud: “dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (menurut Syarak). Dalam pada itu, orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat melebihi mereka (isteri-isteri itu). (Ingatlah) Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.

8. Dalam tafsiran ayat di atas, Imam Ibn Kathir telah menyatakan:

وقوله: { وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ } أي: في الفضيلة في الخُلُق، والمنزلة، وطاعة الأمر، والإنفاق، والقيام بالمصالح، والفضل في الدنيا والآخرة، كما قال تعالى: { الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ } [النساء:34] .
Yang bermaksud: “dan Firman Allah: {{Dalam pada itu, orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat melebihi mereka (isteri-isteri itu) }} Yakni: kelebihan dari segi fizikal tubuh badan, kedudukan dalam keluarga, ketaatan perintah, memberi nafkah, menegakkan maslahah dan kelebihan di dunia dan akhirat seperti mana firman Allah Taala: {{ Kaum lelaki itu adalah pemimpin ke atas kaum wanita disebabkan Allah telah melebihkan orang lelaki mengatasi orang wanita dan juga kerana orang lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.”

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran A)

9. Berdasarkan kepada pandangan Ibn Kathir tersebut maka adalah difahami bahawa antara kelebihan suami ke atas isteri yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah kewajipan mentaati perintahnya selagi mana perintah itu tidak menyalahi Hukum Syarak.

10. Menurut sebuah hadith bertaraf hadith hasan yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi daripada Abu Hurairah:


حَدَّثَنَا مَحْمُودُ بْنُ غَيْلَانَ حَدَّثَنَا النَّضْرُ بْنُ شُمَيْلٍ أَخْبَرَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَمْرٍو عَنْ أَبِي سَلَمَةَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
))لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا((

Yang bermaksud: “Kalaulah aku diperintahkan menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang, nescaya aku perintahkan seorang isteri supaya sujud kepada suaminya”

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran B)


11. Hadith di atas menerangkan tentang kedudukan suami yang tinggi di sisi Allah yang wajib ditaati seolah-olah sehingga wajar diperintahkan kepada isteri untuk sujud kepada suami.



ISU 3: KEESAHAN PERINTAH YANG DITUNTUT OLEH PLAINTIF

Yang Arif,

Perintah kembali ke rumah kelamin

12. Kami menghujahkan bahawa perintah kembali taat yang dituntut oleh Plaintif dalam kes ini adalah perintah yang sah dan tidak menyalahi Hukum Syarak. Ini kerana perintah tersebut meminta Defendan supaya pulang ke pangkuan Plaintif selaku suaminya dengan tinggal bersama di rumah kelamin yang disediakan oleh Plaintif.

13. Rumah kelamin yang disediakan oleh Plaintif tersebut yang beralamat di LOT 74C, KAMPUNG MELAYU, JALAN HOSPITAL SUNGAI BULOH, 47000 SUNGAI BULOH, SELANGOR adalah rumah yang sesuai dijadikan rumah kelamin tanpa ada sebarang halangan syarie. Ini kerana SP1 telah mengesahkan bahawa rumah tersebut dilengkapi dengan semua kemudahan yang diperlukan dan SP1 sebagai pemilik rumah juga telah memberi izin kepada Plaintif untuk menjadikan rumah tersebut sebagai rumah kelaminnya bersama Defendan. Defendan sendiri juga pernah datang ke alamat tersebut sebelum ini dan tahu tentang kedudukan rumah tersebut.

14. Dalam hal ini, Dr. Wahbah Zuhaili ada menyatakan dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu jilid 7, halaman 323 seperti berikut:

وعلى الزوجة طاعة زوجها إذا دعاها إلى الفراش ولو كانت على التنور أو على ظهر قتب كما رواه أحمد وغيره ما لم يشغلها عن الفرائض أو يضرها لأن الضرر ونحوه ليس من المعاشرة بالمعروف
Bermaksud: “dan wajib ke atas isteri mentaati suaminya apabila diajak berhubungan kelamin sama ada di dapur atau di atas kenderaan seperti mana diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan selainnya, selagi mana tidak menyebabkan isteri itu meninggalkan perkara fardu atau tidak memudaratkannya kerana kemudaratan dan yang seumpamanya bukan termasuk dalam pergaulan yang baik.”

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran C)

15. Berdasarkan kepada pandangan di atas, perintah supaya Defendan pulang ke rumah kelamin bersama Plaintif adalah wajib ditaati kerana ia tidak menyebabkan Defendan meninggalkan perkara fardu yang lain serta tidak menyebabkan sebarang kemudaratan terhadap Defendan. Bahkan perintah yang diminta oleh Plaintif ini adalah termasuk dalam kategori pergaulan yang baik dengan isteri.

Perintah dimasukkan ke wad psikatri

16. Perintah kedua yang dipohon oleh Plaintif ialah supaya Defendan menurut perintahnya untuk dimasukkan ke wad psikatri bagi mengesan dan merawat penyakit mental Defendan. Kami menghujahkan bahawa perintah tersebut adalah sah dan tidak memudaratkan Defendan. Bahkan perintah tersebut bertujuan untuk menghapuskan kemudaratan daripada diri Defendan. Defendan tidak sepatutnya menolak perintah tersebut melainkan setelah beliau disahkan tidak menghidapi sebarang masalah kesihatan mental.

17. Ini selari dengan kaedah fiqhiyyah yang dinyatakan oleh al-Suyuti dalam kitab al-Asybah wa al-Nazair:

(( الضرر يزال))

Yang bermaksud: “Kemudaratan itu hendaklah dihapuskan”
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran D)
18. Plaintif telahpun membuat permohonan bagi memasukkan Defendan ke wad psikatri. Permohonan tersebut dibuat melalui Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia. Sehubungan dengan itu satu surat jawapan bertarikh 11 Mac 2010 daripada Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti tersebut telah diterima oleh Plaintif dan telah ditanda sebagai P6. Surat tersebut menyatakan bahawa pihak Fakulti sedang dalam proses untuk mengesan pihak Defendan sebelum Defendan boleh diterima masuk ke wad psikatri.

(Sila rujuk terjemahan surat di Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran E)

19. Dengan adanya perintah Mahkamah ini, permohonan Plaintif untuk memasukkan Defendan ke wad psikatri adalah lebih mudah dan berkesan. Tanpa perintah Mahkamah ini besar kemungkinan adalah sukar bagi Plaintif untuk memasukkan Defendan ke wad psikatri berkenaan apatah lagi sekiranya Defendan enggan berbuat demikian secara sukarela setelah diperintahkan oleh Plaintif. Justeru wajarlah Mahkamah ini memberikan perintah tersebut selari dengan kaedah fiqhiyyah:
ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Bermaksud: “Sesuatu yang tidak sempurna apa-apa kewajipan melainkan dengannya, maka perkara itu adalah wajib”.

KESIMPULAN

20. Kewajipan Plaintif dalam mengemukakan segala keterangan yang boleh menyokong tuntutannya telah pun dilaksanakan selari dengan sabda Rasulullah yang bermaksud: “Keterangan itu diwajibkan ke atas pihak yang mendakwa, dan sumpah pula diwajibkan ke atas pihak yang menafikan dakwaan”.

21. Tuntutan pihak Plaintif adalah tidak bertentangan dengan Hukum Syarak dari sudut zahirnya. Ini kerana Plaintif adalah masih suami yang sah kepada Defendan dan wajib ditaati oleh Defendan. Keterangan Plaintif juga telah disokong dengan keterangan seorang saksi lelaki yang kompeten memberikan keterangan sebagai syahadah dan bayyinah.

22. Kewajipan Mahkamah ini adalah menjatuhkan hukum berdasarkan kepada apa yang zahir, bukan sebaliknya. Ini selari dengan sabda Rasullulah SAW:

“Kami menghukum berdasarkan kepada apa yang zahir, dan Allah sahaja (yang mampu) menilai apa yang tersembunyi.”

23. Keterangan dan hujah-hujah yang dikemukakan oleh pihak Plaintif telah disokong dengan nas al-Quran, al-Hadith, ijtihad ulamak dan kaedah-kaedah fiqhiyyah. Dengan yang demikian itu, keterangan, hujahan dan tuntutan Plaintif ini wajarlah diterima oleh Mahkamah.

24. Walau bagaimanapun, memandangkan kes ini dibicarakan secara sebelah pihak tanpa kehadiran Defendan maka wajarlah untuk Plaintif mengangkat sumpah istizhar bagi menolak tohmahan terhadap dirinya selaras dengan kehendak hukum syarak dan peruntukan subseksyen 121 (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.

25. Memandangkan dalam kes ini juga keterangan Plaintif hanya disokong dengan keterangan seorang saksi lelaki, maka Plaintif juga wajarlah dikehendaki bersumpah yamin al-Mutammimah selari dengan kehendak hukum syarak dan peruntukan seksyen 88 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.

26. Keperluan sumpah ini adalah selari dengan Arahan Amalan (JKSM) No. 2 Tahun 2006 (Amalan Sumpah Mahkamah Syariah) yang antara lain menyebutkan:

1. Hak-hak yang boleh menerima pakai sumpah
(a) pertunangan, perkahwinan, rujuk, perceraian, nusyuz atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan hubungan suami isteri.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran F)


27. Berdasarkan fakta-fakta di atas, Plaintif dengan penuh tawadduknya memohon kepada Mahkamah Yang Mulia ini agar menerima tuntutan ini dan mengeluarkan perintah seperti berikut:

i) Defendan diperintahkan kembali taat kepada Plaintif dan kembali tinggal bersama Plaintif di rumah kelamin yang disediakan oleh Plaintif beralamat di LOT 74C, KAMPUNG MELAYU, JALAN HOSPITAL SUNGAI BULOH, 47000 SUNGAI BULOH, SELANGOR.

ii) Defendan diperintahkan mentaati perintah Plaintif untuk memasukkan Defendan ke wad psikatri bagi mendiagnosis dan merawat masalah kesihatan mental Defendan.

iii) Pihak Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Selangor dan Polis Diraja Malaysia hendaklah memberikan kerjasama yang sewajarnya kepada Plaintif untuk memastikan pelaksanaan perintah ini.

iv) Kegagalan Defendan atau mana-mana pihak mematuhi perintah ini boleh diambil tindakan menghina Mahkamah.

v) Apa-apa perintah lain yang adil dan suai manfaat menurut Hukum Syarak.


Bertarikh pada haribulan tahun 2011.

Disediakan dan dihujahkan dengan suci hati oleh:


(JURAISH BIN KAMARUDDIN)
Peguam Syarie bagi Plaintif

Tuesday, July 12, 2011

HUJAH: Suami Terselamat Daripada Disabitkan TALAK TIGA



KES ini telah diputuskan oleh Mahkamah Syariah pada hari ini dengan mensabitkan jatuh talak SATU. Alhamdulillah jodoh anakguam masih panjang, terselamat daripada talak TIGA. Lain kali jangan main-main talak di luar Mahkamah. Jangan sesuka hati je nak sebut bilangan talak yang pelik-pelik. Pengajaran untuk para suami di luar sana....




HUJAH PENGGULUNGAN PLAINTIF

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.


PENDAHULUAN

Pihak-Pihak
1. Plaintif adalah XXX yang bermastautin di …., Jalan Sri Tanjung, Kampung Baru HICOM, Seksyen 26, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Kad Pengenalan Plaintif telah dikemukakan sebagai keterangan dokumentar dan ditanda sebagai P1 dan akuan mastautin Plaintif ditanda sebagai P2.

2. Defendan adalah yyy, No. K.P.P.N: … yang tinggal di alamat yang sama seperti Plaintif. Defendan adalah isteri Plaintif melalui pernikahan kali kedua dengan pihak Plaintif pada 24hb April , 2004 di 3-32, Kampung Ulu Kuang, 31200 Chemor, Perak berwalikan bapa kandung Defendan. Surat Perakuan Nikah Plaintif nombor siri 153967 bil. daftar 32/2004/105/01 dikemukakan kepada Mahkamah dan sebagai P3.

3. Hasil perkahwinan Plaintif dan Defendan mereka dikurniakan dua (2) orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan, iaitu …. yang lahir pada 13/07/2001 dan …. yang lahir pada 04/05/2005. Sijil Kelahiran anak-anak tersebut ditanda sebagai P4a dan P4b.

4. Dalam perkahwinan terdahulu yang diakadkan pada 22hb Mei 2000, Plaintif dan Defendan pernah bercerai dengan talaq satu (1) kali pertama berjumlah satu (1) talaq iaitu pada 19hb Ogos 2003. Surat perakuan cerai Plaintif ditanda sebagai P5 dan surat perakuan nikah Plaintif yang terdahulu ditanda sebagai ID6.

Jenis Tuntutan
5. Kes ini merupakan tuntutan pengesahan lafaz cerai luar Mahkamah di bawah seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Kes ini dimulai dengan Saman bertarikh 21/10/2010 yang difailkan sendiri oleh Plaintif dan Pernyataan Tuntutan Pindaan yang difailkan oleh Peguam Syarie Plaintif bertarikh 17/01/2011.


Kehadiran dan Perwakilan
6. Dalam permohonan ini, Plaintif telah hadir dan diwakili oleh Peguam Syarie Juraish Bin Kamaruddin daripada Tetuan Juraish Syariah Associates melalui wakalah bertarikh 02/12/2010. Manakala Defendan hadir bersendirian tanpa diwakili Peguam Syarie sepanjang prosiding kes berjalan.

KETERANGAN PLAINTIF

7. Keterangan utama Plaintif dibuat secara lisan dan melalui Affidavit Pernyataan Plaintif bertarikh 18 April 2011. Antara lain keterangan Plaintif adalah seperti berikut:

- Plaintif memohon pengesahan lafaz cerai terhadap Defendan, iaitu isterinya yyy.

- Plaintif telah mengesahkan Affidavit Pernyataan yang diikrarkannya pada 18hb April 2011 dari perenggan 1 hingga 30 adalah benar. Plaintif juga menegaskan dan bersetuju serta bertanggungjawab dengan kandungan affidavit tersebut dan bersetuju menjadikannya sebagai keterangan utama beliau dalam Mahkamah ini tanpa sebarang pindaan.

- Pada 15/10/2010 jam 9.30 pagi, di kilang tempat kerja Plaintif, Plaintif telah melafazkan cerai terhadap Defendan melalui telefon dengan lafaz: “AKU CERAI KAU TALAQ 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10”. Ketika itu Plaintif sedang berkerja di kilang manakala Defendan pula berada di rumah. Defendan sedang haid ketika lafaz dibuat. Lafaz tersebut tidak didengari oleh sesiapa pun melainkan Plaintif dan Defendan sahaja (tiada saksi).

- Lafaz tersebut dibuat oleh Plaintif dalam keadaan sedar dan waras, walaupun Plaintif ketika itu dalam keadaan tertekan dengan panggilan telefon tersebut yang dibuat oleh Defendan melalui telefon bimbit supervisor Plaintif berbangsa Cina.

- Menurut Plaintif, maksud “KAU” di dalam lafaz tersebut ialah Defendan iaitu isteri Plaintif yang bernama yyy. Plaintif yakin suara di dalam telefon tersebut adalah suara Defendan.

- Dalam keterangan tambahan Plaintif bertarikh 23 Mei 2011, Plaintif menyatakan bahawa beliau ada berhenti selama 2 saat selepas menyebut “AKU CERAI KAU TALAQ 1” kemudian baru diikuti dengan lafaz seterusnya “2,3,4,5,6,7,8,9,10” yang disebut tanpa berhenti.

- Ketika disoal oleh Mahkamah, Plaintif memberitahu bahawa selepas Plaintif menyebut “AKU CERAI KAU TALAQ 1” Plaintif ada mendengar Defendan masih bercakap lagi (dalam telefon tersebut), lalu selepas itu Plaintif menyebut “2,3,4,5,6,7,8,9,10”.

- Tujuan Plaintif menyebut “2,3,4,5,6,7,8,9,10” ialah untuk memberhentikan perbualan antara Plaintif dan Defendan dan untuk mengelak daripada mendengar suara Defendan dalam panggilan telefon tersebut serta untuk melepaskan rasa tertekan. Plaintif menyebut “2,3,4,5,6,7,8,9,10” seperti membilang secara sepontan. Setelah selesai menyebut “2 hingga 10”, Plaintif mendapati Defendan telah meletakkan telefon. Lalu Plaintif berhenti membilang angka seterusnya dan terus meletakkan telefon.

- Plaintif menyatakan bahawa beliau hanya ada berniat talaq satu ketika melafazkan lafaz cerai di atas.

- Sementara menanti keputusan Mahkamah Yang Mulia ini, Plaintif dan Defendan telah memohon untuk mendaftarkan rujuk di Pejabat Agama Islam Daerah Petaling pada 21/10/2010, iaitu dalam tempoh iddah. Borang permohonan mendaftarkan rujuk tersebut telah dikemukakan kepada Mahkamah ini dan ditanda sebagai P7.


KETERANGAN DEFENDAN
8. Dalam keterangan utama Defendan bertarikh 23/05/2011, Defendan memberi keterangan seperti berikut:

- Defendan mengakui telah mendengar dan faham semua keterangan Plaintif yang diberikan di dalam Mahkamah ini.

- Defendan tidak bersetuju tentang lafaz cerai. Defendan hanya mendengar Plaintif berkata “AKU CERAI KAN…” sahaja. Perkataan “KAU” Defendan tidak dengar.

- Defendan bersetuju dengan tarikh, tempat dan masa yang dinyatakan oleh Plaintif.

- Menurut Defendan beliau dengar Plaintif menyebut, “AKU CERAIKAN TALAQ 1, 2, 3, 4” sahaja.

- Ketika lafaz tersebut dibuat Defendan sedang dalam keadaan haid. Defendan mengakui bahawa beliau faham maksud lafaz tersebut. Defendan juga faham kesan lafaz tersebut terhadap perkahwinannya yang boleh menyebabkan jatuh talaq.

- Defendan menjelaskan kepada Mahkamah, ketika itu beliau dan Plaintif bertengkar di dalam telefon. Malah sebelum lafaz tersebut dibuat, pada sebelah malamnya Plaintif dan Defendan sudah bergaduh dan pergaduhan tersebut membawa ke waktu siang.

- Menurut Defendan, Plaintif ada berkata kepadanya: “tak lalu hidup macam ni. Susah la hidup macam ni. Kalau macam ni, kita berpisahlah”. Kemudian Defendan cakap: “Suka hatilah”. Selepas itu Plaintif lafaz cerai seperti di atas.

- Sebelum ini, Plaintif dan Defendan pernah bercerai talaq satu. Kemudian nikah semula.

Soal Balas Defendan
- Dalam menjawab soal balas dari Peguam Syarie Plaintif, Defendan menyatakan memang terdapat selang masa antara lafaz “TALAQ 1” dan “2,3,4…”. Selang masa tersebut lebih kurang dalam 2 saat hingga 3 saat.


PENGHUJAHAN FAKTA PERSOALAN

Yang Arif,

9. Berdasarkan kepada keterangan yang dikemukakan oleh pihak-pihak kepada Mahkamah ini, maka terdapat beberapa isu utama yang perlu diperbahaskan seperti mana berikut:

i) Adakah Mahkamah ini berbidang kuasa mendengar permohonan ini.

ii) Apakah bunyi lafaz talaq sebenar yang disebut oleh Plaintif.

iii) Adakah lafaz talaq tersebut sah dan menggugurkan talaq

iv) Berapakah bilangan talaq yang jatuh berdasarkan lafaz tersebut.


ISU 1: Adakah Mahkamah ini berbidang kuasa mendengar permohonan ini.

10. Berdasarkan kepada maklumat pengenalan diri Plaintif di dalam kad pengenalan Plaintif yang bertanda P1, status pemastautinan Plaintif berdasarkan kepada akaun pemastautinan bertanda P2, dan dokumen perkahwinan Plaintif bertanda P3, maka kami menghujahkan bahawa Mahkamah ini adalah berbidang kuasa mendengar permohonan ini selari dengan peruntukan seksyen 4 dan 45 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.


ISU 2: Apakah bunyi lafaz talaq sebenar yang disebut oleh Plaintif.

11. Berdasarkan kepada keterangan Plaintif dan Defendan, terdapat perbezaan dakwaan mengenai bunyi lafaz talaq yang diucapkan oleh Plaintif iaitu seperti berikut:

i) DAKWAAN PLAINTIF: “AKU CERAI KAU TALAQ 1,2,3,4,5,6,7,8,9,10”

ii) DAKWAAN DEFENDAN: “AKU CERAI KAN TALAQ 1,2,3,4”


12. Perbezaan lafaz tersebut dapatlah disimpulkan kepada dua perkara iaitu:

i) Perkataan yang disebut sama ada “KAU” atau “KAN”

ii) Bilangan sama ada disebut “1,2,3,4” atau “1,2,3,4,5,6,7,8,9,10”

13. Memandangkan kedua-dua pihak tidak mengemukakan saksi masing-masing, maka dalam persoalan lafaz talaq, menurut Hukum Syarak perkataan atau dakwaan pihak suami adalah lebih utama dan boleh diterima dengan bersumpah, kerana talaq adalah hak suami dan suamilah yang melafazkan talaq itu justeru sudah tentu suami lebih tahu apa yang dilafazkannya berbanding isteri yang mendengarnya kerana boleh jadi isteri tersalah dengar, mendengar sebahagian lafaz atau terlupa. Justeru lafaz yang perlu diterima oleh Mahkamah ini ialah lafaz sepertimana yang didakwa oleh Plaintif selaku suami dan bukannya lafaz seperti mana yang didengar atau didakwa oleh Defendan.


14. Walaupun demikian, berdasarkan kepada keterangan kedua-dua pihak berkaitan lafaz talaq tersebut, kedua-dua pihak bersetuju terhadap beberapa fakta penting bahawa:

i) Lafaz talaq bermula dengan “TALAQ 1” (TALAQ SATU) bukan bermula dengan “TALAQ 2” (TALAQ DUA).

ii) Terdapat selang masa selama 2 saat antara lafaz “TALAQ 1” dan “2,3,4,…. dan seterusnya”.

iii) Tidak terdapat perkataan lain disebut antara “TALAQ 1” dan “2,3,4 …. dan seterusnya”.

iv) Perkataan “TALAQ” hanya disebut pada “TALAQ 1” dan tidak disebut atau diulang pada perkataan “2,3,4 dan seterusnya”

15. Justeru dapatlah disimpulkan bahawa lafaz talaq sebenar yang diucapkan oleh Plaintif adalah berbunyi seperti berikut: “AKU CERAI KAU TALAQ 1. (berhenti selama 2 saat) 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10”.


ISU 3: Adakah lafaz talaq tersebut sah dan menggugurkan talaq.

16. Kami menghujahkan bahawa lafaz talaq tersebut adalah sah menurut Hukum Syarak dan menjatuhkan talaq. Ini kerana ia telah memenuhi kesemua rukun talaq seperti mana berikut:

i) ORANG YANG MELAFAZKAN TALAQ (AL-MUTALLIQ): iaitu Plaintif selaku suami yang sah.

ii) TEMPAT YANG HENDAK DIJATUHKAN TALAQ (AL-MAHAL): iaitu Defendan selaku isteri yang sah.

iii) KUASA MENTALAQKAN (AL-WILAYAH): iaitu wujudnya sifat mukallaf yang sempurna bagi Plaintif untuk melakukan tasarruf dengan sendirinya, iaitu berkuasa menjatuhkan talaq yang telah dibuat secara sedar, sukarela, tanpa sebarang paksaan atau sebarang halangan yang menafikan kuasa Plaintif menjatuhkan talaq.

iv) LAFAZ TALAQ (AL-SIGHAH): iaitu lafaz talaq secara soreh menggunakan perkataan “CERAI” dalam bahasa Melayu yang dapat difahami dengan jelas dan telah diucapkan secara lisan oleh Plaintif kepada Defendan. Lafaz tesebut juga jelas mengandungi kata sandaran yang ditujukan kepada suami iaitu “AKU” dan isteri iaitu “KAU”.

v) NIAT (AL-QASD): iaitu wujudnya niat dalam hati Plaintif selaku suami bahawa lafaz talaq tersebut diniatkan dengan talaq satu.


ISU 4: Berapakah bilangan talaq yang jatuh berdasarkan lafaz tersebut.


17. Bagi menentukan berapakah jumlah talaq yang jatuh dalam lafaz talaq yang diucapkan oleh Plaintif maka perkataan dan struktur ayat dalam lafaz talaq tersebut perlulah diteliti satu persatu. Secara ringkasnya beberapa faktor perlu dipertimbangkan seperti berikut:

i) Kesan wujudnya selang masa atau (fasl) antara perkataan “TALAQ 1” dan bilangan-bilangan lain selepasnya.

ii) Kesan perkataan ‘talaq’ hanya disebut pada “TALAQ 1” dan tidak disebut perkataan ‘talaq’ pada bilangan-bilangan lain selepasnya.

iii) Kesan perkataan ‘dan’ atau apa-apa kata penghubung tidak disebutkan antara perkataan “TALAQ 1” dan bilangan-bilangan lain selepasnya.


FAKTOR 1: KESAN WUJUDNYA SELANG MASA ATAU (FASL) ANTARA PERKATAAN ‘TALAQ 1’ DAN BILANGAN-BILANGAN LAIN SELEPASNYA

18. Berdasarkan keterangan Plaintif, dalam lafaz talaq tersebut didapati wujud selang jarak masa selama dua (2) saat antara perkataan “TALAQ 1” dan “ perkataan “2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10”. Tempoh 2 saat tersebut adalah kadar masa yang mencukupi untuk mengambil sekurang-kurangnya satu nafas atau lebih. Justeru kami menghujahkan bahawa jarak masa 2 saat tersebut adalah memadai bagi memisahkan antara perkataan “TALAQ 1” dan perkataan “2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10” kepada dua ayat yang berlainan.

19. Dengan erti kata lain, selang jarak masa selama tempoh 2 saat ini memberi kesan bahawa perkataan “AKU CERAI KAU TALAQ 1” dan perkataan “2,3,4,5,6,7,8,9,10” menjadi dua ayat yang berbeza dan tidak berhubung antara satu sama lain, di mana setiap ayat membawa maknanya yang tersendiri tanpa bersandar kepada ayat yang lain.

20. Bagi menyokong hujahan ini, kami merujuk kepada pandangan al-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj, jilid 4, halaman 480 yang menerangkan mengenai selang masa atau fasl ((الفصل dalam lafaz talaq seperti mana berikut:

( وَإِنْ ) أَتَى بِثَلَاثِ جُمَلٍ تَكَرَّرَ فِيهَا لَفْظُ الْمُبْتَدَأِ وَالْخَبَرِ كَأَنْ ( قَالَ ) لِمَدْخُولٍ بِهَا (أَنْتِ طَالِقٌ ، أَنْتِ طَالِقٌ ، أَنْتِ طَالِقٌ ، وَتَخَلَّلَ فَصْلٌ فَثَلَاثٌ ) سَوَاءٌ أَقَصَدَ التَّأْكِيدَ أَمْ لَا ؛ لِأَنَّهُ خِلَافُ الظَّاهِرِ
تَنْبِيهٌ : الْمُرَادُ بِالْفَصْلِ أَنْ يَسْكُتَ فَوْقَ سَكْتَةِ التَّنَفُّسِ .
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran A)

Bermaksud: “Jika suami mendatangkan tiga ayat yang berulang-ulang padanya lafaz mubtada’ (subjek) dan khabar (predikat) seperti berkata kepada isteri yang telah disetubuhi: Kamu tertalaq, kamu tertalaq, kamu tertalaq, dan diselangi jarak masa, maka jatuhlah tiga talaq, sama ada dia berniat ta’kid (menguatkan) atau sebaliknya, kerana niat tersebut menyalahi maksud yang zahir. (Huraian:Talaq tiga berlaku dalam masalah ini kerana dengan wujudnya selang masa antara setiap lafaz talaq, maka kesemua lafaz talaq dikira sebagai lafaz yang berasingan, kerana itu adalah maksud yang zahir bagi kewujudan selang masa, di mana setiap lafaz membawa maksud tersendiri iaitu satu talaq, yang menjadikan kesemua lafaz menjadi tiga talaq)

Peringatan:Yang dimaksudkan dengan jarak masa ialah diam sejenak melebihi kadar satu nafas.


21. Berdasarkan pandangan al-Syarbini di atas, maka dapatlah difahami bahawa maksud fasl atau jarak masa yang muktabar ialah kadar berhenti sejenak melebihi satu nafas.

22. Kami menghujahkan selanjutnya bahawa jarak masa selama 2 saat yang wujud antara lafaz talaq “AKU CERAI KAU TALAQ 1” dan lafaz seterusnya adalah jarak masa yang melebihi kadar satu nafas dan diterima sebagai al-fasl bagi memisahkan antara dua lafaz.

23. Bagi mengukuhkan lagi hujahan di ayas, kami juga merujuk kepada pandangan al-Ramli dalam kitab Nihayah al-Muhtaj, jilid 6, halaman 459 yang menerangkan mengenai selang masa atau fasl ((الفصل dalam masalah lafaz talaq yang sama iaitu seperti mana berikut:

( وَلَوْ ) ( قَالَ أَنْتِ طَالِقٌ أَنْتِ طَالِقٌ أَنْتِ طَالِقٌ ) أَوْ أَنْتِ طَالِقٌ طَالِقٌ طَالِقٌ ( وَتَخَلَّلَ فَصْلٌ ) بَيْنَهُمَا بِسُكُوتٍ أَوْ كَلَامٍ مِنْهَا أَوْ مِنْهُ بِأَنْ يَكُونَ فَوْقَ سَكْتَةِ تَنَفُّسٍ وَعِيٍّ (فَثَلَاثٌ) يَقَعْنَ وَلَوْ مَعَ قَصْدِ التَّأْكِيدِ لِبُعْدِهِ مَعَ الْفَصْلِ وَلِأَنَّهُ مَعَهُ خِلَافُ الظَّاهِرِ
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran B)

Bermaksud: “Jika suami berkata: Kamu tertalaq, kamu tertalaq, kamu tertalaq atau: Kamu tertalaq, tertalaq, tertalaq dan diselangi jarak masa antara keduanya dengan diam suami atau dengan percakapan dari isteri atau percakapan dari suami dengan kadar melebihi satu nafas atau jeritan, maka jatuhlah talaq tiga walaupun dengan niat ta’kid kerana berjauhannya niat ta’kid itu bersama jarak masa dan kerana niat ta’kid tersebut bersama dengan berlalunya jarak masa adalah menyalahi maksud yang zahir.


24. Berdasarkan kepada pandangan al-Ramli di atas, kadar jarak masa juga boleh diukur dengan diselangi oleh percakapan lain sama ada daripada pihak suami atau isteri.

25. Dalam kes ini juga, sememangnya didapati ada berlaku percakapan dari Defendan iaitu pihak isteri selepas Plaintif menyebut lafaz “AKU CERAI KAU TALAQ 1”. Plaintif ada mendengar suara Defendan bercakap selepas menyebut lafaz “AKU CERAI KAU TALAQ 1”. Untuk menghentikan percakapan dengan Defendan, Plaintif seterusnya melafazkan perkataan “2,3,4,5,6,7,8,9,10”.

26. Justeru, bersandar kepada faktor ini, maka lafaz talaq yang signifikan atau berkaitan untuk diputuskan oleh Mahkamah dalam kes ini hanyalah ayat yang berbunyi “AKU CERAI KAU TALAQ 1”. Manakala ayat “2,3,4,5,6,7,8,9,10” tidak membawa sebarang maksud atau kesan dalam memahami lafaz talaq atau ayat sebelumnya kerana telah diselangi oleh fasl atau jarak masa 2 saat yang melebihi kadar satu nafas.

27. Perkara ini juga selari dengan niat Plaintif yang ada berniat talaq satu dalam lafaz “AKU CERAI KAU TALAQ 1”. Manakala perkataan “2,3,4,5,6,7,8,9,10” yang hanya diniatkan sekadar membilang secara spontan bagi menghentikan percakapan dengan Defendan, adalah selari dengan zahir lafaz kerana telah disertai dengan fasl atau berhenti seketika dalam tempoh yang mencukupi.

28. Oleh yang demikian, berdasarkan kepada lafaz talaq di atas, maka kami menghujahkan bahawa jumlah talaq yang jatuh dalam lafaz tersebut adalah SATU TALAQ sahaja.


FAKTOR 2: KESAN PERKATAAN ‘TALAQ’ HANYA DISEBUT PADA ‘TALAQ 1’ DAN TIDAK DISEBUT PERKATAAN ‘TALAQ’ PADA BILANGAN-BILANGAN LAIN SELEPASNYA.

29. Bagi menguatkan maksud talaq satu di atas, kami juga ingin membahaskan berkaitan dengan ungkapan perkataan ‘talaq’ yang hanya disebut pada perkataan “TALAQ 1” tetapi tidak disebut pada bilangan-bilangan lain selepasnya. Hal ini menunjukkan bilangan-bilangan lain dari 2 hingga 10 yang disebutkan oleh Plaintif tidak ada kaitan dengan maksud talak yang dilafazkan oleh Plaintif sebelumnya.

30. Bagi menyokong penghujahan ini, kami merujuk kepada pandangan yang dinukilkan oleh Al-Nawawi dalam kitab Raudah al-Talibin, jilid 6, (Bab Talaq), halaman 78 yang mendatangkan beberapa permasalahan furu’ mengenai hukum apabila perkataan ‘talaq’ tidak disebut pada bilangan yang berkaitan dengannya iaitu:
قَالَ أَنْتِ طَالِقٌ نِصْفَ طَلْقَةٍ, أو ثُلُثَ وَرُبُعَ وَسُدُسَ طَلْقَةٍ, لاَ يَقَعُ إِلاَّ طَلْقَةً وَلَوْ كَرَّرَ لَفْظَةَ الطَّلْقَةِ فَقَالَ: ثُلُثَ طَلْقَةٍ, وَرُبُعَ طَلْقَةٍ, وَسُدُسَ طَلْقَةٍ, طُلِقَتْ ثَلاَثاً عَلَى الْمَذْهَبِ, وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُوْرُ.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran C)

Bermaksud: Suami berkata (kepada isterinya): “Kamu tertalaq dengan setengah talaq”, atau: “(Kamu tertalaq) dengan sepertiga dan seperempat dan seperenam talaq”; tidak jatuh melainkan satu talaq. (Huraian: Ini kerana dalam masalah terakhir perkataan’talaq’ disebut sekali pada penghujung bilangan yang menyebabkan kesemua bilangan sebelumnya dihimpunkan bersekali yang keseluruhannya berjumlah 9/12 (atau ¾) yang mana adalah dikira sebagai satu talak.

Manakala sekiranya suami itu mengulangi perkataan / lafaz ‘talaq’ dengan berkata:“(Kamu tertalaq) dengan sepertiga talaq, dan seperempat talaq, dan seperenam talaq” maka tertalaqlah isterinya dengan tiga talaq menurut apa yang difatwakan di dalam Mazhab Syafie, dan demikian juga pendapat yang diputuskan oleh Jumhur Fuqaha’. Huraian: Ini kerana lafaz ‘talaq’ disebut berulang pada setiap bilangan yang menyebabkan setiap pecahan bilangan dikira jatuh satu talaq. Manakala perkataan ‘DAN’ menghimpunkan keseluruhan bilangan talaq menjadi 3 talaq.


31. Berdasarkan kepada pandangan Al-Nawawi di atas, dapatlah difahami bahawa menyebut perkataan “TALAQ” pada sesuatu bilangan akan memberi maksud yang berbeza berbanding sekiranya perkataan “TALAQ” tidak disebutkan pada bilangan itu.

32. Kami merujuk semula kepada lafaz talaq yang disebut oleh Plaintif dalam kes ini hanyalah sekali sahaja iaitu dalam lafaz: “AKU CERAI KAU TALAQ 1”. Manakala pada bilangan seterusnya tidak disebutkan perkataan “TALAQ 2, TALAQ 3, dan seterusnya”. Bahkan hanya disebutkan “2,3,4,5,6,7,8,9,10”.

33. Oleh yang demikian, berdasarkan kepada faktor ini, bilangan “2,3,4,5,6,7,8,9,10” yang disebutkan oleh Plaintif tanpa mengulang perkataan “TALAQ” adalah tidak boleh dikaitkan dengan maksud talaq.

34. Untuk memahami dengan lebih jelas kesan apabila perkataan “TALAQ” tidak disebut pada sesuatu bilangan, kami sekali lagi memetik pandangan al-Nawawi dalam kitab Raudhah al-Talibin, jilid 6, halaman 79 yang berbunyi:


وَلَوْ قَالَ أَنْتِ طَالِقٌ نِصْفَ ثُلُثَ سُدُسَ وَلَمْ يَقُلْ طَلْقَةً وَقَعَ طَلْقَةً بِقَوْلِهِ أَنْتِ طَالِقٌ.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran D)

Bermaksud: Dan sekiranya suami berkata: “Kamu tertalaq setengah, sepertiga, seperenam” dan dia tidak menyebut perkataan “TALAQ”, jatuhlah satu talaq dengan perkataannya “Kamu tertalaq”. (Huraian:Ini kerana perkataan talaq tidak disebutkan pada kesemua bilangan tadi, maka jumlah talaq tidak dapat dikira berdasarkan kepada mana-mana bilangan tersebut. Oleh sebab itu jatuhlah satu talaq berdasarkan perkataan “Kamu tertalaq” kerana bilangan satu talaq adalah bilangan yang asal dan yakin.”

35. Menurut pandangan al-Nawawi tersebut, apabila perkataan “TALAQ” tidak disebutkan pada bilangan yang diucapkan, maka bilangan itu tidak boleh diambil kira dalam menentukan jumlah talaq.

36. Dalam kes ini adalah ternyata kepada Mahkamah ini bahawa perkataan “TALAQ” tidak disebut atau diulang oleh Plaintif pada bilangan-bilangan yang diucapkannya melainkan pada “TALAQ 1”. Justeru bilangan-bilangan tersebut iaitu “2,3,4,5,6,7,8,9,10” tidak boleh diambil kira dalam menentukan jumlah talaq.


FAKTOR 3: KESAN PERKATAAN ‘DAN’ ATAU APA-APA KATA PENGHUBUNG TIDAK DISEBUTKAN ANTARA PERKATAAN ‘TALAQ 1’ DAN BILANGAN-BILANGAN LAIN SELEPASNYA.


37. Bagi mengukuhkan lagi maksud talaq satu seperti di atas, kami merujuk pula kepada faktor ketiga iaitu ketiadaan perkataan ‘DAN’ atau kata penghubung lain antara perkataan ‘TALAQ 1’ dan perkataan “2,3,4,5,6,7,8,9,10”. Ketiadaan perkataan “DAN” ini menyebabkan ia terputus daripada ayat atau perkataan selepasnya. Justeru perkataan atau ayat selepas perkataan “AKU CERAI KAU TALAQ 1” tidak boleh diambil kira dalam memahami lafaz talaq di atas.

38. Bagi menyokong hujahan ini, kami sekali lagi merujuk kepada pandangan yang dinukilkan oleh Al-Nawawi dalam kitab Raudah al-Talibin, jilid 6, (Bab Talaq), halaman 78 yang menyatakan permasalahan furu’ jika perkataan ‘dan’ tidak disebut dalam lafaz talaq, iaitu:


وَلَوْ لمَ ْ يُدْخِلِ الْوَاوَ, فَقَالَ: أَنْتِ طَالِقٌ ثُلُثَ طَلْقَةٍ, رُبُعَ طَلْقَةٍ, سُدُسَ طَلْقَةٍ, لمَ ْيَقَعْ إِلاَّ طَلْقَةً لأَِنَّهُ إِذَا لَمْ يُدْخِلِ الْوَاوَ, كَانَ الْجَمِيْعُ بِمَنْزِلَةِ كَلِمَةٍ وَاحِدَةٍ

Bermaksud: “Dan sekiranya suami itu tidak memasukkan perkataan ‘DAN’ lalu dia berkata: “Kamu tertalaq sepertiga talaq, seperempat talaq, seperenam talaq”, tidak jatuh melainkan satu talaq kerana apabila suami tidak memasukkan perkataan ‘DAN’, maka keseluruhan pecahan bilangan itu dikira bersekali sebagai satu perkataan. (Huraian: yakni kesemua pecahan bilangan digabungkan menjadi 9/12 yang dikira satu talaq. Berbeza dengan masalah sebelumnya apabila suami memasukkan perkataan “DAN” serta turut disebut perkataan “TALAQ” bagi setiap bilangan, maka jatuhlah 3 talaq.)


39. Dalam kes ini, Plaintif tidak ada menyebut perkataan “DAN” atau apa-apa kata penghubung lain antara perkataan “TALAQ 1” dan bilangan selepasnya iaitu “2,3,4,5,6,7,8,9,10”. Bahkan seperti yang telah dihujahkan, Plaintif telah berhenti selepas menyebut “TALAQ 1”. Ini meyakinkan lagi bahawa Plaintif sememangnya tidak bermaksud untuk menghubungkan antara perkataan “TALAQ 1” dan bilangan-bilangan lain selepasnya. Bahkan tujuan atau niat sebenar Plaintif menyebutkan bilangan-bilangan tersebut seperti membilang secara spontan adalah untuk menghentikan percakapan dengan Defendan. Niat dan tujuan Plaintif tersebut telah terlaksana apabila Defendan telah meletakkan telefon setelah Plaintif selesai membilang 2 hingga 10.


KESIMPULAN

Yang Arif,

40. Berdasarkan kepada keterangan pihak-pihak dan hujahan di atas, Plaintif dengan penuh tawaduknya memohon supaya Mahkamah ini menerima maksud dan niat Plaintif dalam keseluruhan lafaz talaq tersebut bahawa ia adalah bermaksud talaq satu dan bahawa perkataan “2,3,4,5,6,7,8,9,10” yang diucapkan oleh Plaintif selepas lafaz talaq tersebut adalah tidak berkaitan dengan jumlah talaq atas alasan-alasan yang dinyatakan.

41. Oleh yang demikian, Plaintif memohon agar Mahkamah ini mengesahkan bahawa perceraian ini adalah perceraian dengan talaq satu secara talaq rajie kali kedua berjumlah dua talaq dan mengeluarkan apa-apa perintah yang perlu dan suai manfaat menurut Hukum Syarak.


Bertarikh pada haribulan tahun 2011.

Disediakan dan dihujahkan dengan suci hati oleh:


……………………….
Peguam Syarie bagi Plaintif

Thursday, March 3, 2011

MENCARI RELIF BARU BAGI MENANGANI ISU HARTA DAN KELUARGA DI MAHKAMAH SYARIAH


Setelah melepasi tempoh setahun dalam menguruskan firma guaman sendiri, saya mendapati masih banyak peranan yang perlu dimainkan oleh Peguam Syarie dalam membantu Mahkamah Syariah dalam memberikan hak dan keadilan kepada masyarakat Islam. Mungkin masih banyak bentuk kes baru yang belum pernah dikemukakan kepada Mahkamah Syariah bagi mencari relif yang bersesuaian. Justeru perlulah Peguam Syarie membuat penyelidikan mendalam dan mencari hujah dan asas perundangan bagi mencari relif yang terbaik melalui Mahkamah Syariah dan tidak sekadar melakukan pengulangan pliding atau hujah atau meneruskan kebiasaan prosedur. Sekali sekala apa salahnya cuba mencari pendekatan baru dan berfikir melepasi kotak pemikiran normal.


Sebagai contoh dalam isu hadhanah anak angkat, penjagaan anak (kafalah) yang melepasi usia mumayyiz, penjagaan anak (walayah) yang melepasi usia baligh, penjagaan ahli keluarga yang kurang upaya atau usia emas, penjagaan anak laqit (yang tidak didaftar sebagai anak angkat), hak jagaan ibu bapa yang berusia.


Contoh lain dalam isu perkahwinan ialah pendaftaran nikah poligami (tanpa kebenaran Mahkamah) dengan cara pembuktian yang ringkas tetapi meyakinkan Mahkamah, permohonan kebenaran nikah poligami dengan perbicaraan yang mudah dan pantas berdasarkan pliding bertulis yang lengkap dan keterangan dokumentar yang memadai, isu penjelasan dan pembuktian lafaz talaq tiga, pengesahan rujuk setelah tamat tempoh iddah dan setelah isteri tersebut berkahwin dengan lelaki lain, pensabitan nasab anak wati' syubhah yang dinafikan.


Contoh dalam isu harta pula ialah pembahagian harta sepencarian selepas poligami, pembahagian pusaka daripada harta KWSP yang mempunyai penama tetapi enggan membahagikannya menurut faraid, prospek baru harta sepencarian KWSP, pembahagian sebahagian harta sepencarian sementara menanti pembahagian penuh, pemberian hibah dan pemindahan hak dilaksanakan ketika hidup dengan kuasa untuk membatalkan hibah diberi kepada penghibah, penulisan wasiat yang praktikal dan mudah dikuatkuasakan menerusi pengendorsan Mahkamah tanpa memerlukan perbicaraan, pewujudan wakaf khas kepada ahli keluarga dan keturunannya secara perkongsian dengan aset bertambah dan hakmilik tidak boleh dilupuskan.


Semoga dengan coretan yang serba ringkas ini dapatlah kita sama-sama mencari jalan dan berinovasi dalam memperbaiki mutu perundangan dan kepeguaman syariah seperti mana motto firma kami: "Menuntut Demi Keadilan, Membela Dari Kezaliman"

Saturday, February 12, 2011

HUJAH: Isu Bidangkuasa Mendengar Tuntutan Harta Sepencarian (Akibat Kematian Suami/Isteri)


Dalam entri kali ini dikongsikan penghujahan kami (selaku Peguam Syarie Plaintif-isteri kedua si mati) berkaitan bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah Selangor mendengar kes tuntutan harta sepencarian akibat kematian salah satu pihak kepada perkahwinan. Dalam hal ini Mahkamah telah memutuskan berbidangkusa mendengar tuntutan tersebut disebabkan antara lain pemastautinan Defendan (isteri pertama si mati dll) dan kedudukan harta yang dituntut adalah di dalam Negeri Selangor. Justeru bantahan awal Defendan yang mendakwa Mahkamah tidak berbidangkuasa mendengar kes tersebut kerana Plaintif bukan pemastautin dalam Negeri Selangor adalah ditolak.

Berikut adalah petikan daripada hujah tersebut untuk dikongsikan bersama.

ISU 1: SAMA ADA MAHKAMAH INI BERBIDANG KUASA MENDENGAR TUNTUTAN HARTA SEPENCARIAN PLAINTIF YANG BUKAN MERUPAKAN PEMASTAUTIN DALAM NEGERI SELANGOR.

1. Dengan rendah diri dan suci hatinya, kami menghujahkan bahawa tanpa menafikan bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah di negeri lain, Mahkamah Yang Mulia ini adalah berbidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan tindakan ini, yang dimulakan oleh Plaintif selaku seorang pemastautin dalam Negeri Perak Darul Ridzuan atas alasan-alasan berikut:

ALASAN PERTAMA:

2. Pemakaian klausa pengecualian dalam seksyen 4 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:

“Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, Enakmen ini terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal dalam Negeri Selangor dan bagi semua orang Islam yang bermastautin dalam Negeri Selangor tetapi tinggal di luar Negeri itu.

3. Seksyen tersebut dengan jelas dimulakan dengan klausa pengecualian ‘kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya’ yang mana adalah memberi maksud bahawa status pemastautinan pihak-pihak dalam Negeri Selangor bukanlah penentu mutlak kepada bidang kuasa Mahkamah ini kerana di sana terdapat beberapa pengecualian yang perlu diambil kira.

4. Bagi membuktikan perkara tersebut, Plaintif dengan hormat merujuk kepada kes tuntutan harta sepencarian yang diakibatkan oleh perceraian antara pihak-pihak dalam perkahwinan, di mana penghakiman terkini menetapkan bahawa Mahkamah yang berbidang kuasa mendengar tuntutan tersebut hanyalah Mahkamah di mana tempat perceraian dibuat, tanpa mengambil kira Negeri di mana pihak-pihak bermastautin pada masa permohonan difailkan. Ini boleh dirujuk dalam Arahan Amalan No. 6 Tahun 2003 yang menyatakan seperti berikut:

Penentuan Mahkamah Yang Berbidangkuasa Membicarakan Kes-Kes Harta Sepencarian.

“… tuntutan harta sepencarian hendaklah dituntut di Mahkamah yang berbidangkuasa dalam Negeri di mana perintah perceraian atau pengesahan perceraian dikeluarkan….”

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran A)

5. Senario yang sama berlaku dalam kes permohonan mengubah perintah yang mana penghakiman terkini menetapkan bahawa Mahkamah yang berbidangkuasa ialah Mahkamah yang mengeluarkan perintah yang hendak diubah tersebut, tanpa mengambil kira pemastautinan pihak-pihak. Ini ada dinyatakan dalam Arahan Amalan No. 9 Tahun 2005 yang menyebutkan:

Mahkamah Yang Berbidangkuasa Mendengar Permohonan Mengubah Perintah

“…Mahkamah yang berbidangkuasa mendengar permohonan mengubah perintah adalah Mahkamah yang telah mengeluarkan perintah tersebut.”

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran B)


6. Kes tuntutan harta sepencarian dan mengubah perintah, kedua-duanya adalah turut berpandukan kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, yang mana Mahkamah Yang Mulia ini hendaklah mempunyai bidangkuasa mendengarnya walaupun pemastautinan Plaintif bukan berada di dalam Negeri Selangor.

7. Memandangkan faktor tempat pemastautinan Plaintif atau Defendan bukanlah menjadi isu utama dalam menentukan bidang kuasa Mahkamah ini, maka peruntukan seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, berkaitan tafsiran perkataan “bermastautin”, seperti mana yang dihujahkan oleh Defendan-Defendan di perenggan 26 hingga 29 penghujahannya, adalah tidak relevan dan tidaklah perlu disentuh dalam hujah jawapan ini.

8. Justeru penghujahan yang dibuat oleh Defendan-Defendan yang hanya melihat kepada tempat pemastautinan Plaintif bagi menentukan bidangkuasa Mahkamah ini adalah terkhilaf dan tersasar daripada kehendak undang-undang kerana terdapat beberapa pengecualian yang perlu diambil kira.

ALASAN KEDUA

9. Pemakaian peruntukan substantif dalam seksyen 61 (3)(b) (iv) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:

Bidang Kuasa Mahkamah Tinggi Syariah

“Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan-
(iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;

10. Adalah jelas bahawa peruntukan di atas, hanya mensyaratkan agama pihak-pihak dalam tuntutan harta sepencarian hendaklah orang Islam, manakala syarat mengenai tempat pemastautinan tidak diperuntukkan sebagai asas dalam menentukan bidang kuasa Mahkamah ini.

11. Ini lagi sekali membuktikan dakwaan Defendan-Defendan bahawa tempat permastautinan Plaintif semata-mata perlu diambilkira bagi menentukan bidang kausa Mahkamah ini dalam mendengar tuntutan harta sepencarian adalah tidak berasas.

12. Adalah dihujahkan di sini bahawa kesemua pihak dalam tindakan yang dimulakan oleh Plaintif ini adalah orang Islam. Justeru itu ia adalah memadai dan menepati syarat yang ditetapkan oleh peruntukan seksyen 61 (3)(b) (iv) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 di atas bagi memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah Yang Mulia ini.

ALASAN KETIGA

13. Pemakaian Fatwa Negeri Selangor yang diwartakan pada 23 Jun 2005 (Sel. P.U. 13) yang memperuntukkan:

Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor

1. Harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan di Negeri Selangor boleh dibahagikan kepada suami atau isteri sebelum difaraidkan termasuk setelah dilepaskan tanggungan si mati.

2. Pembahagian harta sepencarian tersebut hendaklah diberikan mengikut takat sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dari kedua-dua belah pihak.

3. Persetujuan pembahagian hendaklah dibuat melalui perintah Mahkamah.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran C)

14. Fatwa di atas adalah memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Yang Mulia ini untuk mendengar tuntutan pembahagian harta sepencarian yang disebabkan oleh kematian pihak-pihak kepada perkahwinan, di dalam Negeri Selangor, seperti tuntutan yang dimulakan oleh Plaintif ini.

15. Plaintif tertarik untuk menghujahkan tafsiran perkataan “di Negeri Selangor” yang disebutkan dalam fatwa di atas dengan ungkapan penuh seperti berikut: Harta sepencarian, selepas kematian salah satu pihak, dalam perkahwinan di Negeri Selangor.

16. Persoalan yang dibangkitkan oleh Plaintif di sini adakah perkataan “di Negeri Selangor” tersebut merujuk kepada salah satu maksud berikut:
i) Harta sepencarian di Negeri Selangor.
ii) Kematian salah satu pihak di Negeri Selangor.
iii) Salah satu pihak (yang masih hidup bermastautin) di Negeri Selangor.
iv) Perkahwinan di Negeri Selangor.

17. Plaintif menghujahkan bahawa pada zahirnya semua tafsiran di atas adalah terkandung dalam maksud yang dikehendaki oleh fatwa tersebut. Namun tafsiran tersebut tidaklah berbentuk konklusif sehingga menafikan bidangkuasa Mahkamah ini untuk mendengar tuntutan yang melibatkan:
i) Harta sepencarian di luar Negeri Selangor.
ii) Kematian salah satu pihak di luar Negeri Selangor
iii) Salah satu pihak (yang masih hidup bermastautin) di luar Negeri Selangor.
iv) Perkahwinan di luar Negeri Selangor.

18. Ini kerana bidang kuasa Mahkamah ini boleh meliputi harta sepencarian yang berada di luar Negeri Selangor yang mana boleh dikuatkuasakan di bawah peruntukan ‘tindakan bersaling’ berdasarkan kepada seksyen 75 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Bidang kuasa Mahkamah ini juga boleh meliputi pihak-pihak yang berada di luar Negeri Selangor melalui peruntukan ‘penyampaian saman luar bidangkuasa’ berdasarkan seksyen 52 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Begitu juga bagi perkahwinan di luar Negeri Selangor yang wajar diiktiraf oleh Mahkamah ini berdasarkan kepada peruntukan seksyen 6 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

19. Oleh yang demikian tindakan yang dimulakan oleh Plaintif ini adalah menepati maksud fatwa di atas kerana:

i) Harta sepencarian yang dituntut oleh Plaintif sebahagian besarnya berada dalam Negeri Selangor, manakala sebahagian kecil lagi berada di luar Negeri Selangor iaitu Negeri Kedah Darul Aman.

ii) Kematian salah satu pihak kepada perkahwinan, iaitu Allahyarham suami Plaintif adalah bertempat di dalam Negeri Selangor .

iii) Pemastautinan salah satu pihak kepada perkahwinan, iaitu Defendan 1 selaku isteri pertama si mati adalah di dalam Negeri Selangor.

iv) Perkahwinan Plaintif dan si mati yang diakadkan di luar Negeri Selangor iaitu (Negeri Perak) perlu diiktiraf oleh Mahkamah ini menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

ALASAN KEEMPAT

20. Harta sepencarian tak alih yang dituntut oleh Plaintif adalah sebahagian besarnya berada di dalam Negeri Selangor iaitu:

i) Sebuah rumah beralamat di No. 244, ……. Taman Jasa Mukim Batu, Selangor

ii) Sebuah rumah beralamat di No. 14, …….. 40000 Shah Alam, Selangor.

(Sila rujuk Senarai Aset dalam Surat Kuasa Mentadbir di Lampiran D)

21. Sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa harta sepencarian dan selainnya yang terletak di dalam Negeri Selangor adalah tertakluk sepenuhnya kepada bidangkuasa Mahkamah ini selari dengan peruntukan seksyen 61(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:

“Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Selangor dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.”

22. Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya Nizam al-Qada’ Fi as-Syariah al-Islamiyyah halaman 125 ada menukilkan pandangan fuqaha’ yang mana telah dipetik dalam alasan penghakiman kes Noh Bin Atan lwn Syakila Bt Mohamed (1998) Jurnal Hukum Jld XII, Bhg. 1, Jun 1998M:
ولكن إذا تعلقت الدعوى بعقار أو منقول موجود في غير بلد المدعى عليه فإن المحكمة المختصة بنظر الدعوى ويرفع إليها المدعي دعواه هي محكمة محل هذا الشيء من منقول أو عقار على رأي بعض فقهاء المالكية, وقال فريق آخر من المالكية تبقى محكمة محل إقامة المدعى عليه هي المختصة بنظر الدعوى وإليها ترفع, فقد جاء في كتاب الحطاب: إذا كان الشيء المدعى فيه غير بلد المدعى عليه, فقال ابن الماجشون الخصومة حيث المدعى فيه. وقال مطرف وأصبغ حيث المدعى عليه.

Bermaksud: Tetapi jika dakwaan itu berkaitan dengan harta, sama ada harta alih atau tak alih, sedangkan harta itu bukan berada di tempat pihak yang didakwa, maka mahkamah yang berhak mendengar dakwaan tersebut ialah mahkamah di mana harta yang dipertikaikan itu berada. Demikianlah menurut pendapat sebahagian ulamak dalam mazhab Maliki.

Sedangkan sebahagian lain daripada ulamak Maliki pula berpendapat mahkamah yang berhak mendengar dakwaan ialah mahkamah yang berada di tempat pihak yang didakwa.

Terdapat di dalam kitab al-Hattab: “Apabila sesuatu benda yang didakwa itu berada di negeri bukan orang yang didakwa, maka menurut Ibn al-Majisyun: dakwaan itu hendaklah dikemukakan kepada mahkamah di mana benda yang dipertikaikan itu berada. Manakala menurut Mitraf dan Asbagh pula: dakwaan itu hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah negeri pihak yang didakwa.

(Sila rujuk Ikatan autoriti Plaintif di Lampiran E)

23. Berdasarkan kepada kedua-dua pandangan di atas, maka tindakan yang difailkan oleh Plaintif di Mahkamah Yang Mulia ini adalah tepat dan wajar kerana harta sepencarian yang dipertikaikan sama ada harta alih atau tak alih adalah jelas sebahagian besarnya berada di dalam Negeri Selangor dan sekali gus berada dalam negeri pemastautinan pihak yang didakwa, iaitu Defendan 1, Defendan 3 dan Defendan 4.

ALASAN KELIMA

24. Kematian salah satu pihak kepada perkahwinan, iaitu suami kepada Plaintif dan Defendan 1 atau ‘si mati’ adalah bertempat di dalam Negeri Selangor. Ini berdasarkan kepada Sijil Kematian si mati yang mencatatkan bahawa si mati telah meninggal dunia di alamat terakhir:

5, Jalan …………, Seksyen 2, 40000 Shah Alam Selangor

(Sila rujuk Sijil Kematian si mati di Lampiran F)

25. Kami menghujahkan bahawa tempat kematian si mati adalah relevan dan boleh diambilkira bagi menentukan bidang kuasa Mahkamah ini kerana ia menunjukkan qarinah berikut:

i) Si mati pada masa kematiannya adalah seorang pemastautin dalam Negeri Selangor.

ii) Harta alih si mati yang diketahui berada di tangan si mati pada masa kematiannya adalah tertakluk kepada hak dan liabiliti di sisi undang-undang Negeri Selangor, sebagai timbal balas terhadap kewajipan fardu kifayah menguruskan jenazah si mati yang terbeban ke atas masyarakat Islam di Negeri Selangor. Liabiliti terhadap harta si mati adalah termasuk belanja pengurusan jenazah, zakat, hutang piutang dan harta sepencarian yang dituntut terhadap harta si mati, yang mana Mahkamah Syariah Negeri Selangor boleh berbidang kuasa memutuskannya.

iii) Baitulmal di negeri tempat kematian si mati, jika ia tidak berwaris, adalah berhak mengemukakan permohonan kepada Mahkamah di tempat kematian si mati bagi mentadbir atau mempusakai harta si mati.

26. Oleh yang demikian, tempat kematian si mati juga adalah relevan untuk menentukan Mahkamah Syariah manakah yang berbidangkuasa mendengar tuntutan yang dikemukakan terhadap harta si mati, khususnya harta alih yang diketahui berada di tangan si mati semasa kematiannya. Ini kerana hukum terhadap harta alih si mati adalah mengikut tempat di mana harta itu berada atau dibawa oleh si mati.

27. Ini selari dengan kaedah fiqhiyyah: (التابع تابع)
Yang bermaksud: Pengikut itu mengikut (hukum perkara yang diikutnya).

(Sila rujuk al-Asybah wa al-Nazair dalam ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran G)

28. Dalam pemakaian kaedah di atas terhadap kes ini, kami menghujahkan bahawa harta alih si mati hendaklah mengikut undang-undang di tempat harta itu berada atau dibawa oleh si mati, iaitu kali terakhirnya adalah tempat kematian si mati. Justeru tidak syak lagi Mahkamah Syariah inilah yang merupakan Mahkamah yang berbidang kuasa di tempat kematian si mati, iaitu Negeri Selangor Darul Ehsan.

ALASAN KEENAM

29. Mahkamah ini juga berbidang kuasa mendengar tuntutan ini kerana tempat pemastautinan dan alamat penyampaian salah satu pihak (yang masih hidup) dalam perkahwinan, iaitu Defendan 1 selaku isteri pertama si mati, serta Defendan 3 dan Defendan 4 selaku waris-waris si mati, yang mana adalah merupakan majoriti Defendan, berada dalam Negeri Selangor.

30. Ini selari dengan subseksyen 40(1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:

Tertakluk kepada subseksyen (2), tiap-tiap plaintif atau pemohon dan tiap-tiap orang yang memfailkan saman atau dokumen lain dalam mana-mana prosiding, selain seorang pegawai Mahkamah yang bertindak demikian, dan mana-mana orang lain yang diperintahkan oleh Mahkamah untuk berbuat demikian hendaklah memberikan alamat bagi penyampaian di dalam Negeri Selangor.

31. Plaintif telah bertindak mengikut lunas undang-undang apabila memfailkan saman terhadap Defendan 1, Defendan 3 dan Defendan 4 dengan memberikan alamat penyampaian mereka di dalam Negeri Selangor seperti mana alamat yang dinyatakan dalam cabutan daftar alamat kad pengenalan Defendan-Defendan.

(Sila rujuk Cabutan Daftar Alamat Kad Pengenalan Defendan di Lampiran H)

ALASAN KETUJUH

32. Mahkamah ini masih mempunyai bidang kuasa terhadap Defendan 2 yang mempunyai alamat penyampaian di luar Negeri Selangor (Negeri Kedah) berdasarkan kepada seksyen 52 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan tentang penyampaian luar bidang kuasa seperti mana berikut:

“Mahkamah boleh memerintahkan penyampaian saman atau permohonan di luar bidang kuasa jika-
(a)
(b)
(c) tindakan itu dibawa dengan sepatutnya terhadap….., seseorang di luar negeri Selangor ialah suatu pihak yang perlu atau patut dalam tindakan itu;

ALASAN KELAPAN

33. Mahkamah ini juga berbidangkuasa dan boleh menguatkuasakan perintahnya terhadap Defendan 2 berkenaan antara lainnya, harta tak alih si mati yang berada di luar negeri Selangor, yang merupakan sebuah rumah beralamat di Lot 172, Lorong Masjid 1, Kampung Bujang 08100 Bedong Kedah berdasarkan peruntukan “tindakan bersaling” di bawah subseksyen 27(3) Enakmen Mahkamah Syariah (Kedah Darul Aman) 2008 yang memperuntukkan:

Jika Mahkamah Syariah dalam mana-mana negeri di Malaysia membuat suatu perintah atau penghakiman di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dalam negeri itu terhadap seseorang dan orang itu berada atau dipercayai berada dalam Negeri Kedah Darul Aman, maka Hakim Syarie, jika dia berpuashati bahawa perintah atau penghakiman itu telah dikeluarkan dengan sempurna oleh suatu Mahkamah Syariah yang berwibawa dalam mana-mana negeri di Malaysia, boleh mengendorskan perintah atau penghakiman itu dan perintah atau penghakiman itu bolehlah kemudiannya dilaksanakan atau disampaikan, mengikut mana-mana yang berkenaan, seolah-olah perintah atau penghakiman itu telah dikeluarkan dengan sah oleh mana-mana Mahkamah Syariah dalam Negeri Kedah Darul Aman menurut peruntukan Enakmen ini.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran I)

ALASAN KESEMBILAN

34. Menurut Hukum Syarak, pada asalnya Mahkamah yang berbidangkuasa mendengar pertikaian pihak-pihak ialah Mahkamah di tempat Defendan (mudda’a alaihi) atau pihak yang didakwa itu tinggal. Perkara ini banyak dibincangkan dalam bab al-Qada’ dalam perbahasan mengenai al-ikhtisas al-makani.

35. Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitab Nizam al-Qada’ ada menyatakan berkaitan perkara asas dalam menentukan Mahkamah yang berbidang kuasa mendengar pertikaian ialah Mahkamah di tempat pemastautinan pihak yang didakwa. Pandangan beliau ini turut dipetik dalam alasan penghakiman kes Noh Bin Atan lwn Syakila Bt Mohamed (1998) Jurnal Hukum Jld XII, Bhg. 1, Jun 1998M seperti mana berikut:

ترفع الدعوى إلى المحكمة المختصة بنظر الدعوى, وهذه المحكمة في الأصل هي محكمة محل إقامة المدعى عليه, وعلى هذا فإن على المدعي أن يرفع دعواه إلى قاضى البلد أو المحل الذي يقيم فيه عادة المدعى عليه

Bermaksud: Setiap dakwaan hendaklah dikemukakan kepada mahkamah yang berhak mendengar dakwaan. Pada prinsipnya mahkamah ini terletak di tempat pihak yang didakwa itu bermukim. Berdasarkan ini, maka pihak yang mendakwa hendaklah mengemukakan dakwaannya kepada hakim yang berada di tempat pihak yang didakwa kebiasaannya tinggal.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran J)

ALASAN KESEPULUH

36. Menurut Hukum Syarak, Mahkamah sesebuah negeri adalah berbidang kuasa mendengar dan memutuskan pertikaian atau tuntutan yang dibuat di antara pemastautin dalam negeri tersebut dan juga orang luar yang datang ke negeri itu.

37. Ibn Qudamah dalam Kitab al-Mughni fasal 8292 ada menyatakan pandangan tersebut sebagai mana berikut:
يجوز أن يولي قاضيا عموم النظر في خصوص العمل فيقلده النظر في جميع الأحكام في بلد معين فينفذ حكمه فيمن سكنه ومن أتى إليه من غير ساكنه

Bermaksud: Adalah harus (bagi pemerintah) melantik Hakim dengan (memberikannya) kuasa mendengar dakwaan secara umum dalam perkara khusus maka tertakluklah ia (hakim itu, dengan pengkhususan kuasa) mendengar dakwaan tersebut dalam menjalankan semua penghakiman di negeri tertentu. Maka hendaklah terlaksana penghakimannya terhadap orang yang mendiami negeri itu dan orang yang datang ke negeri itu daripada penduduk negeri lain.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran K)

38. Al-Mawardi di dalam kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah ada menyebutkan dengan lebih jelas mengenai bidang kuasa Mahkamah sesebuah negeri terhadap penduduk negerinya dan penduduk luar yang datang ke negeri tersebut iaitu seperti mana berikut:

وَيَجُوزُ أَنْ يَكُونَ الْقَاضِي عَامَّ النَّظَرِ خَاصَّ الْعَمَلِ ، فَيُقَلَّدُ النَّظَرَ فِي جَمِيعِ الْأَحْكَامِ فِي أَحَدِ جَانِبَيْ الْبَلَدِ أَوْ فِي مَحَلَّةٍ مِنْهُ فَيَنْفُذُ جَمِيعُ أَحْكَامِهِ فِي الْجَانِبِ الَّذِي قَلَّدَهُ وَالْمَحَلَّةِ الَّتِي عُيِّنَتْ لَهُ ، وَيَنْظُرُ فِيهِ بَيْنَ سَاكِنِيهِ وَبَيْنَ الطَّارِئِينَ إلَيْهِ ، لِأَنَّ الطَّارِئَ إلَيْهِ كَالسَّاكِنِ فِيهِ إلَّا أَنْ يَقْتَصِرَ بِهِ عَلَى النَّظَرِ بَيْنَ سَاكِنِيهِ دُونَ الْغَرِيبِينَ وَالطَّارِئِينَ إلَيْهِ فَلَا يَتَعَدَّاهُمْ .

Bermaksud: Adalah harus dilantik hakim itu dengan kuasa (mendengar dakwaan) yang umum dalam perkara yang khusus, maka tertakluklah (Hakim itu) untuk mendengar dakwaan tersebut dalam semua penghakiman (prosiding kes) dalam mana-mana kawasan dalam negeri itu atau jajahan takluknya. Maka berkuatkuasalah semua penghakimannya dalam kawasan yang ditadbirnya atau jajahan takluk yang di bawah pengawasannya. Maka ia berbidang kuasa (membuat penghakiman) dalam negeri itu di kalangan penduduk negeri itu dan juga di kalangan orang mendatang ke negeri itu. Ini kerana orang mendatang ke negeri itu (dianggap) sama seperti penduduk negeri itu, melainkan jika dihadkan bidang kuasanya hanya terhadap penduduk negeri itu tanpa meliputi orang luar atau orang mendatang ke negeri itu, maka dengan demikian bidang kuasanya tidak boleh meliputi mereka.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran L)

39. Dalam kes ini, Plaintif yang merupakan pemastautin Negeri Perak telah hadir ke Mahkamah Yang Mulia ini untuk memfailkan tuntutannya. Maka Mahkamah ini perlulah mengambil kira perbuatan Plaintif ini sebagai asas penting bagi menentukan bidangkuasa kepada Mahkamah ini.

40. Memandangkan tidak terdapat peruntukan undang-undang yang menghadkan bidang kuasa Mahkamah ini hanya kepada penduduk Negeri Selangor semata-mata, tanpa terpakai kepada penduduk luar Negeri Selangor, maka kami hujahkan bahawa Mahkamah Yang Mulia ini sudah tentu berbidang kuasa mendengar tuntutan Plaintif yang disifatkan sebagai seorang yang mendatang ke Negeri Selangor ini.

ALASAN KESEBELAS

41. Menurut Hukum Syarak, sekiranya berlaku pertikaian, maka Plaintiflah yang diberi hak untuk memilih Mahkamah mana yang perlu mendengar dan memutuskan tuntutannya disebabkan Plaintif yang terlebih dahulu memfailkan tindakan. Dalam keadaan ini hak tersebut tidak sama sekali diberi kepada Defendan. Ini ada dinyatakan dalam Durar al-Hukkam Fi Syarh Majallah al-Ahkam, Fasal 16 [al-Qadha’], Perkara:1803:

أَمَّا إذَا كَانَ الْقُضَاةُ الْمُتَعَدِّدُونَ فِي بَلْدَةٍ مَأْذُونًا كُلُّ وَاحِدٍ مِنْهُمْ أَنْ يَسْتَمِعَ قَضَايَا جَمِيعِ أَنْحَاءِ تِلْكَ الْبَلْدَةِ وَحَصَلَ اخْتِلَافٌ بَيْنَ الْمُدَّعِي وَالْمُدَّعَى عَلَيْهِ عَلَى هَذَا الْوَجْهِ فَيُرَجَّحُ الْقَاضِي الَّذِي اخْتَارَهُ الْمُدَّعِي لِأَنَّهُ لَمَّا كَانَ الْمُدَّعِي هُوَ مُنْشِئُ الْخُصُومَةِ فَلَهُ - إنْ شَاءَ - إنْشَاءُ الْخُصُومَةِ عِنْدَ هَذَا الْقَاضِي أَوْ ذَلِكَ الْقَاضِي الْآخَرِ وَلَا يُقَالُ لَهُ : لَا تُنْشِئْ الْخُصُومَةَ فِي حُضُورِ هَذَا الْقَاضِي وَأَنْشِئْهَا عِنْدَ ذَلِكَ الْقَاضِي

Bermaksud: Adapun sekiranya terdapat beberapa Hakim (Mahkamah yang berbidang kuasa) dalam negeri (atau negara) yang diberi kuasa bagi setiap mereka untuk mendengar kes-kes di seluruh pelusuk negeri itu, lalu timbul pertikaian antara Plaintif dan Defendan berkaitan perkara ini (penentuan hakim di negeri mana) maka hendaklah diutamakan hakim yang dipilih oleh pihak Plaintif disebabkan Plaintif itu adalah pihak yang memulakan tindakan, maka baginyalah (hak untuk memilih)- jika ia kehendaki- dia boleh memulakan tindakan di hadapan hakim ini atau hakim itu (yang lain), dan tidak sesekali boleh dikatakan kepadanya (berbantahan): “Jangan kamu memulakan tindakan di hadapan hakim ini, dan mulakanlah tindakan di hadapan hakim itu (yang lain).”

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran M, diperoleh dari perisian al-Maktabah al-Syamilah, Versi: 2)

42. Dalam kitab Nizam al-Hukm Fi as-Syariah Wa al-Tarikh al-Islami oleh Zafir al-Qasimi ada menyebutkan pandangan yang dipetik daripada al-Mawardi:

فإن أراد الطالب أن يستعدي قاضي المطلوب على خصمه, وجب عليه أن يعديه, ويحكم بينهما , في جانبه, لحصولهما في عمله

Bermaksud: Jika pihak yang menuntut (Plaintif) berkehendak untuk dipertaklukkan dirinya kepada hakim pihak yang dituntut berkenaan dengan tuntutannya, maka WAJIB ke atas hakim itu menakluki diri pihak yang menuntut itu dan menghakimi antara kedua-duanya (Plaintif dan Defendan) dalam kawasannya kerana terhasil kedua-dua mereka dalam bidangkuasanya.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran N)

43. Berdasarkan kepada nas-nas di atas, adalah ternyata Defendan-Defendan telah jauh melampaui batasan Hukum Syarak dengan membantah dan menafikan hak Plaintif untuk mempertaklukkan dirinya dan memilih Mahkamah Yang Mulia ini untuk memutuskan tuntutan pembahagian harta sepencarian yang dimulakan oleh Plaintif.

ALASAN KEDUA BELAS

Dengan izin Yang Arif,

44. Sesungguhnya Mahkamah Yang Mulia ini telahpun mendengar dan memutuskan hak Plaintif, Defendan-Defendan dan waris-waris si mati yang lain berkaitan dengan pembahagian harta pusaka si mati, sekaligus mengesahkan mempunyai bidang kuasa terhadap permohonan yang difailkan oleh Plaintif selaku Pemohon dalam kes tersebut yang bermastautin di luar Negeri Selangor.

45. Ini adalah berdasarkan kepada sijil faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Dewan 6 di hadapan YAA Tuan Hj Mukhyuddin Bin Hj. Ibrahim bertarikh 27 Oktober 2010.

46. Justeru adalah tidak munasabah jika dikatakan Mahkamah ini tidak berbidang kuasa mendengar tuntutan Saman harta sepencarian ini, sedangkan Mahkamah Tinggi Syariah yang sama telah memutuskan berbidang kuasa mendengar permohonan pengesahan dan pembahagian faraid yang difailkan oleh Plaintif.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran N)

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus