Setelah sekian lama menyepi, kali ini setelah diasak dan diminta oleh pelbagai pihak akhirnya saya bersetuju menginfaqkan hujah kes pengesahan nikah poligami ini untuk manfaat pihak yang berkenaan. Namun huraian atau perincian lanjut adalah bergantung kepada keunikan fakta bagi setiap kes dan hujah ini bukanlah suatu yang konklusif. Alhamdulillah, hujah ini telah diterima di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Dewan 2. Walaupun begitu saya rasa ia masih boleh diperbaiki. Wallahua'lam.
PENGHUJAHAN FAKTA PERSOALAN
ISU 1: Sama ada Mahkamah berbidang kuasa mendengar permohonan ini.
Yang Arif,
1. Dengan tawadduknya kami menghujahkan bahawa Mahkamah ini adalah berbidang kuasa mendengar permohonan ini yang merupakan permohonan untuk mendapatkan perintah bagi mendaftarkan perkahwinan secara poligami yang telah diakadkan tanpa kebenaran Mahkamah ini. Ini selari dengan peruntukan subseksyen 23(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:
“Tiada perkahwinan yang diakadnikahkan tanpa kebenaran di bawah subseksyen (1) boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini melainkan jika Mahkamah berpuashati bahawa perkahwinan sedemikian adalah sah mengikut Hukum Syarak dan Mahkamah telah memerintah supaya perkahwinan itu didaftarkan tertakluk kepada seksyen 124.”
2. Pengkhususan tentang Mahkamah yang berbidangkuasa mendengar kes pengesahan nikah yang melibatkan kes poligami ini telah diperincikan lagi di dalam Arahan Amalan (JKSM) No. 4 Tahun 2007 yang menyatakan seperti berikut:
“….. telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan berhubung dengan permohonan pengesahan nikah yang berkaitan dengan poligami hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah.”
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran A)
3. Bidangkuasa Mahkamah ini juga ada dinyatakan di dalam peruntukan subseksyen 61 (3) (b) (i) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
4. Mahkamah ini juga berbidangkuasa mendengar permohonan ini disebabkan pemastautinan pihak-pihak adalah di dalam Negeri Selangor, selari dengan peruntukan seksyen 4 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:
Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, Enakmen ini terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal dalam Negeri Selangor dan bagi semua orang Islam yang bermastautin dalam Negeri Selangor tetapi tinggal di luar Negeri itu.
ISU 2: Sama ada perkahwinan Pemohon Pertama dan Pemohon Kedua telah menepati kehendak Hukum Syarak, iaitu rukun nikah dan syarat-syaratnya.
Yang Arif,
5. Untuk menentukan sah atau tidaknya perkahwinan antara Pemohon Pertama dan Pemohon Kedua, maka perlulah dipastikan sama ada kesemua lima (5) rukun dan syarat sah nikah yang ditetapkan menurut Hukum Syarak, iaitu rukun berkaitan lafaz ijab qabul (al-sighah), isteri (al-zaujah), dua orang saksi lelaki (al-syahidan), suami (al-zauj) dan wali (al-wali) telah dipenuhi.
6. Keperluan kepada kesemua rukun dan syarat nikah untuk menjadikannya sah ada diperuntukkan dalam seksyen 11 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:
“Sesuatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut Hukum Syarak, untuk menjadikannya sah”.
Rukun Pertama: al-Sighah
7. Berdasarkan kepada pandangan Mazhab Syafi'i, seperti mana yang dinukilkan oleh al-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifat Ma’ani Alfaz al-Minhaj, jilid 5, halaman 226, rukun nikah yang pertama iaitu “sighah” adalah seperti berikut:
فَصْلٌ فِي أَرْكَانِ النِّكَاحِ وَغَيْرِهَا وَأَرْكَانُهُ خَمْسَةٌ : صِيغَةٌ ، وَزَوْجَةٌ ، وَشَاهِدَانِ ، وَزَوْجٌ ، وَوَلِيٌّ ، وَهُمَا الْعَاقِدَانِ ، وَقَدْ بَدَأَ بِالْأَوَّلِ فَقَالَ : ( إنَّمَا يَصِحُّ النِّكَاحُ بِإِيجَابٍ ، وَهُوَ ) قَوْلُ الْوَلِيِّ ( زَوَّجْتُكَ أَوْ أَنْكَحْتُك ) ابْنَتِي مَثَلًا إلَخْ ( وَقَبُولٌ ) وَهُوَ (بِأَنْ يَقُولَ الزَّوْجُ تَزَوَّجْتُ ) هَا ( أَوْ نَكَحْتُ ) هَا إلَخْ ، وَحَذَفَ الْمُصَنِّفُ مَفْعُولُ هَذَيْنِ الْفِعْلَيْنِ مَعَ أَنَّهُ لَا بُدَّ مِنْهُ فِي صِحَّةِ النِّكَاحِ لِمَا يُشِيرُ إلَيْهِ قَوْلُهُ ( أَوْ قَبِلْتُ نِكَاحَهَا ).
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran B)
Bermaksud: “Fasal pada membicarakan tentang rukun nikah dan lain-lain. Rukun nikah itu ada lima iaitu sighah, isteri, dua orang saksi lelaki, suami dan wali, dan kedua-dua mereka itu ialah pihak yang berakad. Dah pengarang (al-Nawawi) memulakan dengan rukun pertama, lalu dia berkata: Hanyasanya sah nikah itu dengan ijab iaitu perkataan wali “aku nikahkan engkau” dengan anak perempuanku sebagai contoh.., dan qabul iaitu dengan perkataan suami aku nikahi(nya), adapun pengarang sengaja tidak menyebutkan ‘maf’ul’ (objek) bagi kata kerja ini, padahal ia hendaklah disebutkan bagi menjadikan nikah sah berdasarkan isyarat yang ditunjukkan dalam katanya, yakni, “atau aku terima nikahnya”
8. Dalam kitab al-Iqna’ oleh al-Syarbini jilid 2, halaman 245, beliau juga telah menghuraikan tentang rukun sighah nikah ini seperti mana berikut:
وَمِمَّا تَرَكَهُ مِنَ اْلأَرْكَانِ الصِّيْغَةُ، وَشَرْطُ فِيْهَا مَا شُرِطَ فِيْ صِيْغَةِ الْبَيْعِ، وَقَدْ مَرَّ بَيَانُهُ وَمِنْهُ عَدَمُ التَّعْلِيْقِ وَالتَّأْقِيْتِ وَلَفْظُ مَا يَشْتَقُّ مِنْ تَزْوِيْجٍ أَوْ إِنْكَاحٍ وَلَوْ بِعَجَمِيَّةٍ يَفْهَمُ مَعْنَاهَا الْعَاقِدَانِ وَالشَّاهِدَانِ
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran C)
Bermaksud: Dan di antara apa yang tidak dinyatakan oleh pengarang (Abu Syujak) berkaitan rukun-rukun nikah (dalam matannya) ialah rukun sighah. Dan syarat bagi rukun sighah itu ialah sama seperti apa yang disyaratkan dalam sighah jual beli yang mana telah dijelaskan sebelum ini. Antara lain hendaklah sighah nikah itu tidak berbentuk taklik (bersyarat) atau berbentuk sementara (terbatas masanya), dan hendaklah lafaznya dari perkataan atau kata terbitan ‘kahwinkan’ atau ‘nikahkan’ walaupun bukan dalam bahasa Arab asalkan difahami maknanya oleh dua orang yang berakad (iaitu wali dan suami) dan kedua-dua orang saksi.
9. Berdasarkan keterangan pihak-pihak dan wali pernikahan ini, adalah didapati bahawa perkahwinan yang diakadkan antara Pemohon Pertama dan Pemohon Kedua telah menggunakan sighah ijab dan qabul seperti mana berikut:
- Lafaz ijab dari jurunikah selaku wakil wali: “…… Bin ……, aku nikahkan engkau dengan …… binti … berwalikan abang kandungnya yang telah berwakilkan kepada aku dengan mas kahwin RM300.00 tunai”.
- Manakala lafaz qabul daripada Pemohon Pertama selaku suami ialah: “Aku terima nikah …… binti …. dengan mas kahwinnya RM300.00 tunai”.
10. Lafaz ijab dan qabul tersebut telah memenuhi syarat yang diperlukan kerana menggunakan perkataan yang sarih iaitu “Aku nikahkan”. Seperti yang dinyatakan dalam kitab di atas, para fuqaha bersetuju menerima lafaz “aku nikahkan” atau “aku kahwinkan” sebagai lafaz aqad nikah disebabkan perkataan tersebut telah didatangkan sendiri olah al-Quran seperti dalam firman Allah Taala dalam surah al-Ahzab; ayat 37:
... زَوَّجْنَاكَهَا
Yang bermaksud: ” … Kami kahwinkan engkau dengannya”
11. Maksud bagi lafaz ijab dan qabul juga adalah selari dan tidak bercanggah antara satu sama lain, iaitu kedua-dua lafaz adalah berkaitan dengan untuk menikahkan pihak isteri yang bernama …. Binti …. dengan pihak suami yang bernama … Bin …..
12. Lafaz ijab dan qabul tersebut juga telah dilakukan dalam keadaan berturut-turut tanpa diselangi oleh masa yang lama yang tidak memutuskan maksud antara ijab dan qabul. Ini telah memenuhi syarat al-muwalat (berturut-turut) yang diperlukan di antara lafaz ijab dan qabul.
13. Lafaz ijab dan qabul juga telah dibuat secara mutlak oleh kedua-dua pihak yang berakad dan tidak dibuat secara bertaklik atau menunjukkan nikah itu sementara atau terbatas waktunya yang mana adalah tidak sah menurut Mazhab Fiqh yang Empat.
Rukun Kedua: Isteri (al-zaujah)
14. Selanjutnya al-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj, jilid 5, halaman 234, menerangkan rukun nikah yang kedua iaitu “isteri” seperti berikut:
وَالرُّكْنُ الثَّانِي : الزَّوْجَةُ ، وَيُشْتَرَطُ فِيهَا خُلُوُّهَا مِنْ الْمَوَانِعِ الْآتِي بَيَانُهَا فِي بَابِ مُحَرَّمَاتِ النِّكَاحِ إنْ شَاءَ اللَّهُ - تَعَالَى - وَيُشْتَرَطُ تَعْيِينُ كُلٍّ مِنْ الزَّوْجَيْنِ
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran D)
Maksudnya: dan rukun kedua: isteri, disyaratkan padanya hendaklah dia bebas daripada sebarang halangan berkahwin yang akan diterangkan dalam bab perempuan yang diharamkan berkahwin- Insya-Allah, dan disyaratkan supaya ditentukan setiap daripada suami dan isteri itu.”
15. Dalam kitab al-Iqna’ oleh al-Syarbini jilid 2, halaman 246, beliau juga telah menghuraikan tentang rukun pengantin perempuan atau bakal isteri ini seperti mana berikut:
وَمِمَّا تَرَكَهُ مِنَ اْلأَرْكَانِ أَيْضًا الزَّوْجَةُ. وَشَرْطُ فِيْهَا حِلٌّ وَتَعْيِيْنٌ وَخُلُوٌّ مِنْ نِكَاحٍ وَعِدَّةٍ فَلاَ يَصِحُّ نِكَاحُ مُحْرِمَةٍ لِلْخَبَرِ السَّابِقِ وَلاَ إِحْدَى امْرَأَتَيْنِ لِلإِْبْهَامِ وِلاَ مَنْكُوْحَةٍ وَلاَ مُعْتَدَّةٍ مِنْ غَيْرِهِ لِتَعَلُّقِ حَقِّ الْغَيْرِ بِهَا.
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran E)
Maksudnya: Dan di antara rukun-rukun nikah yang tidak dinyatakan oleh Pengarang juga antara lain ialah pengantin perempuan. Dan syarat bagi pengantin perempuan itu hendaklah ia dalam keadaan halal (iaitu tidak berihram haji atau umrah), hendaklah ditentukan (secara spesifik dalam akad), hendaklah bukan isteri orang atau dalam iddah. Justeru tidak sah nikah perempuan yang berihram berdalilkan hadith yang terdahulu, dan tidak sah nikah salah seorang perempuan (yang tidak ditentukan) kerana wujudnya kesamaran, dan tidak sah menikahi isteri orang dan tidak sah nikah wanita yang sedang beriddah dari suaminya (selain penantin lelaki) kerana wanita itu masih berkait dengan hak orang lain.
16. Berdasarkan keterangan SP1 dan keterangan dokumentar yang dikemukakan kepada Mahkamah ini, adalah ternyata Pemohon Kedua selaku rukun nikah yang kedua “isteri” adalah bebas daripada sebarang halangan untuk berkahwin dengan Pemohon Pertama. Ini disebabkan Pemohon Kedua mempunyai sifat-sifat berikut:
i) Seorang Islam.
ii) Seorang perempuan.
iii) Tidak dalam berihram Haji atau Umrah.
iv) Seorang yang tidak bersuami iaitu janda yang telah tamat iddah.
v) Seorang yang bukan muhram dengan bakal suami (Pemohon Pertama) dan bukan muhram dengan isteri Pemohon Pertama yang sedia ada.
vi) Seorang yang sukarela berkahwin dengan Pemohon Pertama, tanpa paksaan.
vii) Seorang yang ditentukan dengan jelas dalam akad nikah dengan menyebutkan namanya.
Rukun ketiga: Dua orang saksi lelaki
17. Selanjutnya al-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj, jilid 5, halaman 234 dan 235, menerangkan rukun nikah yang ketiga iaitu “dua orang saksi lelaki” seperti berikut:
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran F)
ثُمَّ شَرَعَ فِي الرُّكْنِ الثَّالِثِ ، فَقَالَ : ( وَلَا يَصِحُّ ) النِّكَاحُ ( إلَّا بِحَضْرَةِ شَاهِدَيْنِ ) لِخَبَرِ ابْنِ حِبَّانَ فِي صَحِيحِهِ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهَا : { لَا نِكَاحَ إلَّا بِوَلِيٍّ وَشَاهِدَيْ عَدْلٍ ، وَمَا كَانَ مِنْ نِكَاحٍ عَلَى غَيْرِ ذَلِكَ فَهُوَ بَاطِلٌ ، فَإِنْ تَشَاحُّوا فَالسُّلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لَا وَلِيَّ لَهُ } .
Maksudnya: Kemudian Pengarang kitab mula menerangkan mengenai rukun ketiga, lalu dia berkata: Dan tidak sah nikah itu melainkan dengan kehadiran dua orang saksi lelaki berdasarkan kepada hadith (mauquf) daripada riwayat Ibn Hibban dalam kitab Sahihnya: Daripada A’isyah r.a. berkata: Tiada nikah melainkan dengan wali dan dua orang saksi yang adil, dan mana-mana pernikahan yang lain daripada itu adalah terbatal, sekiranya kamu berbantah-bantahan, maka sultan itu menjadi wali bagi orang perempuan yang tidak mempunyai wali.
وَشَرْطُهُمَا حُرِّيَّةٌ ، وَذُكُورَةٌ وَعَدَالَةٌ وَسَمْعٌ وَبَصَرٌ
Bermaksud: dan syarat kedua-dua saksi itu (selain hendaklah beragama Islam dan baligh) hendaklah dia merdeka (bukan hamba), lelaki (bukan khunsa), adil (tidak ketara sifat fasiq), boleh mendengar (tidak pekak) dan boleh melihat (tidak buta).
18. Berdasarkan kepada keterangan pihak-pihak dan SP1 maka adalah didapati saksi-saksi kepada pernikahan Pemohon Pertama dan Pemohon Kedua adalah menepati syarat yang ditetapkan di atas iaitu bersifat:
i) Kedua-duanya adalah lelaki.
ii) Kedua-duanya beragama Islam.
iii) Kedua-duanya telah mencapai usia baligh
iv) Kedua-duanya adalah merdeka dan bukan hamba
v) Kedua-duanya adalah bersifat adil
vi) Kedua-duanya boleh melihat dan mendengar.
vii) Kedua-duanya memahami bahasa yang digunakan dalam ijab dan qabul
Rukun keempat: Suami (al-zauj)
19. Al-Syarbini dalam kitab al-Iqna’ fi Alfaz Abi Syuja’, jilid 2, halaman 246, menerangkan rukun nikah yang keempat iaitu “suami” seperti berikut:
القول في شروط الزوج ومما تركه من الأركان أيضا الزوج وشرط فيه حل واختيار وتعيين وعلم بحل المرأة له فلا يصح نكاح محرم ولو بوكيل للخبر السابق ولا مكره وغير معين كالبيع ولا من جهل حلها له احتياطا لعقد النكاح
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran G)
Bermaksud: Pandangan berkaitan syarat-syarat suami dan perkara yang tidak dinyatakan (oleh pengarang- Abi Syuja’) daripada rukun-rukun nikah mengenai suami: dan syarat pada suami itu hendaklah ia halal berkahwin, sukarela, dan ditentukan, dan mengetahui tentang halalnya perempuan yang dinikahinya. Justeru tidak sah nikah suami yang dalam ihram walaupun melalui perantaraan wakil berdasarkan kepada hadith yang lalu, dan tidak sah nikah suami yang dipaksa, dan tidak ditentukan (berdasarkan kepada qiyas atas) hukum jual beli dan tidak sah nikah suami yang tidak mengetahui halalnya perempuan yang dinikahinya atas dasar berihtiyat (berwaspada) dalam melakukan akad nikah.
20. Berdasarkan kepada keterangan pihak-pihak, SP1 dan dokumentar yang dikemukakan kepada Mahkamah maka adalah ternyata Pemohon Pertama selaku rukun nikah keempat iaitu suami telah memenuhi syarat yang ditetapkan di atas kerana:
i) Pemohon Pertama selaku suami adalah seorang lelaki Islam (berdasarkan kepada butiran jantina dan agama dalam kad pengenalan Pemohon Pertama).
ii) Pemohon Pertama tidak mempunyai hubungan mahram dengan bakal isteri (Pemohon Kedua).
iii) Pemohon Pertama adalah seorang yang halal berkahwin dan bukan dalam ihram Haji atau Umrah.
iv) Pemohon Pertama adalah seorang yang halal berkahwin kerana bukan seorang yang memiliki 4 orang isteri pada masa pernikahannya dengan Pemohon Kedua.
v) Pemohon Pertama selaku suami adalah seorang yang ditentukan dengan jelas dalam akad nikah dengan disebutkan nama penuhnya.
vi) Pemohon Pertama selaku suami mengetahui halalnya bernikah dengan bakal isteri (Pemohon Kedua) kerana menurut pengetahuannya tidak terdapat perkara larangan yang mengharamkan perkahwinan dengan Pemohon Kedua.
vii) Pemohon Pertama sukareka berkahwin dengan Pemohon Kedua dan tidak dipaksa.
Rukun kelima: Wali
21. Al-Syarbini selanjutnya dalam kitab al-Iqna’, jilid 2, halaman 246, menerangkan rukun nikah yang kelima iaitu wali seperti berikut:
وأولى الولاة أي من الأقارب في التزويج الأب لأن سائر الأولياء يدلون به كما قاله الرافعي (ثم الجد أبو الأب) وإن علا.... (ثم الأخ للأب والأم) لإدلائه بهما
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran H)
Maksudnya: Wali yang paling utama daripada kaum kerabat dalam pernikahan ialah bapa kerana keseluruhan wali yang lain adalah berketurunan daripadanya sepertimana yang dikatakan oleh al-Rafi’i. Kemudian ialah datuk, iaitu bapa kepada bapa dan ke atas…. Kemudian ialah saudara lelaki seibu sebapa kerana dia berketurunan daripada kedua-dua ibu dan bapa.
22. Syarat-syarat bagi seseorang wali pernikahan pula diterangkan oleh al-Syarbini dalam kitab al-Iqna’ jilid 2, halaman 241-242 seperti mana berikut:
ويفتقر الولي والشاهدان المعتبرون لصحة النكاح إلى ستة شرائط بل إلى أكثر كما سيأتي الأول الإسلام وهو في ولي المسلمة إجماعا وسيأتي أن الكافر يلي الكافرة وأما الشاهدان فالإسلام شرط فيهما سواء أكانت المنكوحة مسلمة أم ذمية إذ الكافر ليس أهلا للشهادة و الثاني البلوغ و الثالث العقل فلا ولاية لصبي ومجنون لأنهما ليسا من أهل الشهادة و الرابع الحرية فلا ولاية لرقيق ولا يكون شاهدا و الخامس الذكورة... والسادس العدالة
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran I)
Bermaksud: Adalah perlu bagi wali dan saksi yang muktabar bagi menjadikan perkahwinan sah memenuhi 6 syarat bahkan lebih sepertimana yang akan dinyatakan. Syarat PERTAMA: Islam yakni syarat yang diperlukan bagi mewalikan pernikahan perempuan Islam secara Ijmak, dan akan dinyatakan bahawa wali yang kafir boleh mewalikan perempuan kafir, Adapun saksi nikah maka syarat Islam itu diperlukan samada perempuan yang dinikahi itu orang Islam atau zimmi kerana orang kafir tidak layak menjadi saksi. Syarat KEDUA mencapai usia baligh, Syarat KETIGA: sempurna akal, justeru tidak boleh kanak-kanak dan orang gila menjadi wali kerana kedua-dua mereka tidak layak menjadi saksi. Syarat KEEMPAT: merdeka, maka hamba tidak layak menjadi wali atau saksi. Syarat KELIMA: lelaki….dan syarat KEENAM: bersifat adil.
23. Berdasarkan keterangan yang dikemukakan kepada Mahkamah, wali bagi pernikahan ini ialah saudara lelaki seibu sebapa kepada Pemohon Kedua. Ini disebabkan bapa kandung Pemohon Kedua selaku wali yang paling utama telah pun meninggal dunia.
24. Status wali yang kedua iaitu datuk (bapa kepada bapa) Pemohon Kedua juga tidak dinyatakan oleh Pemohon-Pemohon semasa perbicaraan sama ada telah meninggal dunia atau sebaliknya. Pihak Mahkamah juga tidak meminta supaya fakta tersebut dinyatakan oleh pemohon-pemohon semasa perbicaraan.
25. Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada qarinah berkaitan umur bapa kandung Pemohon Kedua (sekiranya ditakdirkan masih hidup) dan berdasarkan kepada fakta lain yang telah dinyatakan oleh Pemohon-Pemohon semasa perbicaraan bahawa sebelum ini Pemohon Kedua pernah berkahwin dengan berwalikan abang kandung Pemohon Kedua seibu sebapa, iaitu wali yang sama. Justeru dalam hal ini, kami dengan suci hati, membuat suatu anggapan bahawa status datuk kepada Pemohon Kedua tersebut telah pernah dipastikan oleh pihak berkuasa agama, sebagai telah meninggal dunia atau tidak layak menjadi wali (sekiranya masih hidup).
26. Berdasarkan kepada keterangan SP1 selaku wali pernikahan ini, maka adalah didapati beliau adalah berkelayakan menjadi wali kerana telah memenuhi kesemua syarat wali yang dinyatakan di atas. Bahkan juru nikah yang diwakilkan menjadi wali bagi pernikahan ini yang berjawatan sebagai Naib Qadhi Syarie Majlis Agama Islam Wilayah Yala Thailand juga didapati telah memenuhi syarat sebagai wali pernikahan iaitu:
i) Wali dan wakil wali adalah beragama Islam
ii) Wali dan wakil wali telah mencapai usia baligh.
iii) Wali dan wakil wali dalam keadaan sempurna akal dan tidak gila.
iv) Wali dan wakil wali adalah orang yang merdeka.
v) Wali dan wakil wali adalah orang lelaki.
vi) Wali dan wakil wali bersifat adil atau sekurang-kurang tahap keadilan itu ialah tidak terzahir sifat fasiq mereka pada pandangan umum.
ISU 3: Sama ada beban pembuktian yang dikemukakan oleh Pemohon-pemohon telah mencukupi dan boleh diterima.
Yang Arif,
27. Dalam kes ini, Pemohon-Pemohon telah mengemukakan pembuktian berdasarkan keterangan-keterangan seperti berikut:
i) Keterangan seorang saksi lelaki (SP1) yang bertaraf syahadah atau bayyinah.
ii) Keterangan dokumentar yang bertaraf sebagai bayyinah atau qarinah.
iii) Pernyataan atau pengakuan khusus daripada Pemohon Kedua (isteri) berkaitan fakta pernikahan adalah sama seperti mana yang didakwa oleh Pemohon Pertama, yang mana adalah bertaraf sebagai iqrar.
iv) Sumpah al-Yamin al-Mutammimah yang akan dikemukakan oleh Pemohon Pertama dan Pemohon Kedua kepada Mahkamah.
28. Keterangan SP1 tersebut adalah boleh diterima sebagai saksi yang kompeten memberikan syahadah atau bayyinah berdasarkan kelayakan SP1 sebagai seorang Islam, bersifat adil, mencapai usia baligh, mempunyai ingatan yang baik dan tidak berprasangka. Ini adalah selari dengan peruntukan seksyen 83 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
29. Dokumen-dokumen yang dikemukakan kepada Mahkamah ini seperti mana yang ditandakan dalam Ikatan Dokumen dan Ikatan Dokumen Tambahan Pemohon juga boleh diterima sebagai qarinah berdasarkan sub seksyen 11 (b) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
30. Kesemua dokumen di atas adalah mempunyai kaitan dengan fakta persoalan iaitu sama ada pernikahan yang didakwa berlaku dengan sah atau tidak. Justeru ia bolehlah diterima sebagai qarinah selari dengan pengertian qarinah di dalam seksyen 3 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:
“qarinah” ertinya fakta yang mempunyai kaitan dengan fakta yang satu lagi dengan apa-apa cara yang disebutkan dalam Enakmen ini.”
31. Mahkamah Yang Mulia ini juga telah menerima kebanyakan dokumen tersebut untuk ditandakan sebagai ‘P’ setelah Pemohon-Pemohon menunjukkan salinan asal dokumen tersebut kepada Mahkamah.
32. Kebolehterimaan keterangan dokumentar sebagai salah satu kaedah pembuktian ini adalah selari dengan firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah, ayat 282:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكْتُبُوهُ
Maksudnya:”Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah secara tidak tunai (berhutang) untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya.”
Serta firman Allah Taala dalam surah an-Nur ayat 33:
وَالَّذِينَ يَبْتَغُونَ الْكِتَابَ مِمَّا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ فَكَاتِبُوهُمْ إِنْ عَلِمْتُمْ فِيهِمْ خَيْرًا
Maksudnya: “dan budak-budak (hamba) yang kamu miliki yang menginginkan perjanjian hendaklah kamu tuliskan perjanjian mereka jika kamu mengetahui ada kebaikan kepada mereka.”
33. Dalam kedua-dua ayat di atas Allah Taala telah memerintahkan supaya dibuat catatan berkaitan dengan urusan muamalat yang mana boleh diqiyaskan hukumnya di dalam urusan munakahat seperti di dalam kes. Perintah menulis urusan berkaitan muamalat dan munakahat ini sudah tentu mempunyai tujuan yang tersendiri yang membawa faedah kepada pihak yang melaksanakannya. Antara lain tujuan atau faedahnya ialah untuk dijadikan sebagai bukti sekiranya timbul sesuatu pertikaian di kemudian hari.
34. Sekiranya tulisan atau dokumen tidak boleh digunakan sebagai bukti maka sia-sialah Allah Taala memerintahkan orang Islam menulis berkaitan urusan muamalat dan termasuklah urusan munakahat melalui jalan qiyas.
35. Kami merujuk kepada Arahan Amalan (JKSM) No. 9 Tahun 2007 berkaitan Amalan Pengesahan Perkahwinan Yang Berlawanan Dengan Peruntukan Akta / Enakmen / Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam yang menetapkan antara lainnya seperti berikut:
v) Sekiranya pemohon gagal mengemukakan wali, jurunikah, saksi-saksi atau dokumen-dokumen yang diperlukan, Hakim hendaklah menentukan sahnya perkahwinan yang dipohon berdasarkan peruntukan mengenai qarinah dalam Akta/ Enakmen/ Ordinan Keterangan Mahkamah Syariah Negeri atau Arahan Amalan No. 2 Tahun 2006- Amalan Sumpah Mahkamah Syariah.
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran J)
36. Selain daripada keterangan qarinah di atas, Mahkamah ini juga boleh menerima ikrar Pemohon Kedua selaku pihak isteri yang dibuat berdasarkan kepada affidavit permohonan dan keterangan lisannya kepada Mahkamah ini. Ini kerana pengakuan atau ikrar seseorang perempuan yang telah baligh dan berakal bahawa dia telah berkahwin dengan seseorang lelaki adalah boleh diterima menurut pandangan al-jadid dalam Mazhab Syafi'i.
37. Perkara ini dijelaskan lagi sekali oleh al-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj jilid 5, halaman 245 seperti berikut:
( وَيُقْبَلُ إقْرَارُ الْبَالِغَةِ الْعَاقِلَةِ ) الْحُرَّةِ وَلَوْ سَفِيهَةً فَاسِقَةً بِكْرًا كَانَتْ أَوْ ثَيِّبًا ( بِالنِّكَاحِ ) مِنْ زَوْجٍ صَدَّقَهَا عَلَى ذَلِكَ وَلَوْ غَيْرَ كُفْءٍ ( عَلَى الْجَدِيدِ ) وَإِنْ كَذَّبَهَا الْوَلِيُّ وَالشَّاهِدَانِ إنْ عَيَّنَتْهُمَا ، أَوْ قَالَ الْوَلِيُّ : مَا رَضِيتُ إذَا كَانَ الزَّوْجُ غَيْرَ كُفْءٍ ؛ لِأَنَّ النِّكَاحَ حَقُّ الزَّوْجَيْنِ فَثَبَتَ بِتَصَادُقِهِمَا كَغَيْرِهِ مِنْ الْعُقُودِ ، وَلِاحْتِمَالِ نِسْيَانِ الْوَلِيِّ وَالشَّاهِدَيْنِ وَكَذِبِهِمْ ، وَلَا بُدَّ مِنْ تَفْصِيلِهَا الْإِقْرَارَ فَتَقُولُ : زَوَّجَنِي مِنْهُ وَلِيِّي بِحَضْرَةِ عَدْلَيْنِ وَرِضَائِي إنْ كَانَتْ مِمَّنْ يُعْتَبَرُ رِضَاهَا .
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran K)
Bermaksud: Dan diterima pengakuan seorang perempuan yang telah baligh, berakal dan merdeka walaupun dia seorang yang dungu atau fasiq sama ada anak dara atau janda bahawa dia telah bernikah dengan seorang suami yang juga membenarkan pernyataannya mengenai perkahwinan itu, walaupun suami itu tidak sekufu menurut pendapat al-jadid (baru) meskipun perkara itu didustakan (tidak diakui) oleh wali dan kedua-dua saksi setelah diminta pengesahan mereka. Atau berkata wali: Aku tidak redha jika suami itu tidak sekufu (maka pengakuan si isteri tentang pernikahan itu tetap diterima) kerana pernikahan adalah hak kedua-dua suami isteri, maka hendaklah ia disabitkan atas wujudnya saling percaya mempercayai dalam dakwaan kedua-dua mereka (diqiyaskan) seperti akad-akad yang lain, dan kerana wujud ihtimal (kebarangkalian) terlupa di pihak wali atau kedua-dua saksi atau pendustaan mereka. Maka hendaklah diperincikan pengakuan tersebut dengan kata perempuan itu: Waliku telah menikahkan aku dengannya di hadapan dua orang saksi lelaki yang adil dan dengan keredaanku” (sekiranya perempuan itu terdiri daripada orang yang diambil kira keredaannya.)
38. Berdasarkan kepada pandangan al-jadid dalam Mazhab Syafi'i di atas, maka wajarlah Mahkamah ini menerima iqrar daripada Pemohon Kedua bahawa beliau telah dinikahkan oleh walinya dengan Pemohon Pertama di hadapan dua orang saksi lelaki yang adil kerana ikrar atau pernyataan Pemohon Kedua tersebut telah turut dibenarkan dan diakui oleh pihak Pemohon Pertama selaku suami beliau.
39. Iqrar yang dibuat oleh Pemohon Kedua ini adalah selari dengan pengertian iqrar yang dinyatakan dalam seksyen 17 (1), (2) dan (3) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
40. Walau bagaimanapun, oleh kerana Pemohon-Pemohon hanya mengemukakan seorang saksi dan memandangkan perkahwinan ini juga berkaitan dengan hak Allah selaku al-Syari’ yang menetapkan Hukum Syarak bagi menentukan sahnya sesuatu perkahwinan, maka wajarlah kedua-dua pemohon diminta bersumpah al-Yamin al-Mutammimah bagi menyempurnakan hak Allah dalam mencukupkan keterangan dua orang saksi. Keperluan sumpah ini adalah selari dengan seksyen 88 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
41. Kami juga merujuk kepada Arahan Amalan (JKSM) No. 2 Tahun 2006 (Amalan Sumpah Mahkamah Syariah) yang antara lain menyebutkan:
1. Hak-hak yang boleh menerima pakai sumpah
(a) pertunangan, perkahwinan, rujuk, perceraian, nusyuz atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan hubungan suami isteri.
6. Kuasa Mahkamah Mengarahkan Pihak Bersumpah Al-Mutammimah.
Walau apapun peruntukan Amalan 5, Hakim, boleh mengarahkan mana-mana pihak bersumpah al-Yamin al-Mutammimah.
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran L)
42. Bagi membantu Mahkamah Yang Mulia ini, pihak kami mencadangkan deraf sumpah al-Yamin al-Mutammimah yang dimaksudkan untuk pertimbangan Mahkamah ini.
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran M
PENUTUP
Yang Arif,
43. Berdasarkan fakta-fakta di atas, beban pembuktian telah pun disempurnakan oleh Pemohon-Pemohon. Justeru itu, Pemohon-Pemohon dengan penuh tawadduknya memohon kepada Mahkamah Yang Mulia ini agar menerima tuntutan ini dan mengeluarkan perintah yang dipohon iaitu seperti berikut:
i) Mahkamah mengesahkan bahawa pernikahan secara poligami antara Pemohon Pertama dan Pemohon Kedua yang diakadnikahkan pada 08 November 2010 di Majlis Agama Islam Wilayah Yala Thailand adalah sah menurut Hukum Syarak.
ii) Mahkamah memerintahkan perkahwinan ini didaftarkan dengan sewajarnya menurut seksyen 23 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
iii) Apa-apa perintah lain yang suai manfaat menurut Hukum Syarak.
Bertarikh pada haribulan APRIL tahun 2012.
Disediakan dan dihujahkan dengan suci hati oleh:
……………………….
Peguam Syarie bagi Pemohon Pertama & Kedua
No comments:
Post a Comment