Wednesday, April 22, 2009

Contoh Penyata Pembelaan Majlis Agama Islam Dalam Tuntutan Perisytiharan Keluar Islam

Berikut dikemukakan contoh dokumen penyata pembelaan untuk panduan kepada pihak-pihak yang berkepentingan dalam kes perisytiharan keluar Islam.
PEMBELAAN DEFENDAN PERTAMA DAN KETIGA
1. Defendan 1 dan Defendan 3 (selepas ini disebut sebagai Defendan-Defendan) merujuk kepada Pernyataan Tuntutan Terpinda Plaintif yang diendorskan bersama Saman Terpinda bertarikh 11hb Februari 2009 (selepas ini disebut sebagai ‘PTP tersebut’).

2. Defendan-Defendan mengakui dakwaan Plaintif yang dinyatakan dalam perenggan 1 hingga perenggan 3(i) PTP tersebut.

3. Dakwaan Plaintif di perenggan 3 (a) hingga perenggan 3(c) PTP tersebut adalah di luar pengetahuan Defendan-Defendan.

4. Dakwaan Plaintif di perenggan 3 (d) hingga perenggan 4 PTP tersebut tidak dipersetujui oleh Defendan-Defendan. Defendan-Defendan menegaskan bahawa pada zahirnya kemasukan Plaintif ke dalam agama Islam adalah sah dan mengikut kehendak undang-undang dan Hukum Syarak.

5. Dakwaan Plaintif di perenggan 5 PTP tersebut adalah di luar pengetahuan Defendan-Defendan. Walau bagaimanapun, Defendan mengatakan bahawa Dakwaan Plaintif yang disebutkan olehnya dalam perenggan 5 tersebut adalah satu pengakuan yang boleh mendedahkan dirinya kepada satu kesalahan jenayah syariah. Defendan-Defendan juga ingin katakan bahawa pengakuan Plaintif dalam perenggan 5 itu tidak semestinya menyebabkan Plaintif secara automatik terkeluar daripada agama Islam melainkan setelah diputuskan oleh Mahkamah ini.

6. Dakwaan Plaintif di perenggan 6 PTP tersebut adalah di luar pengetahuan Defendan-Defendan.

7. Dakwaan Plaintif di perenggan 7 dan 8 PTP tersebut tidak dipersetujui oleh Defendan-Defendan. Defendan-Defendan menegaskan bahawa Plaintif masih sah diperlakukan sebagai seorang Islam bagi maksud mana-mana undang-undang dan pada setiap masa menurut peruntukan seksyen 113 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

8. Dakwaan Plaintif di perenggan 9 dan 10 PTP tersebut diakui oleh Defendan-Defendan.

9. Tuntutan Plaintif di perenggan 11 PTP tersebut tidak dipersetujui oleh Defendan-Defendan.

TUNTUTAN BALAS DEFENDAN PERTAMA & KETIGA

1. Defendan-Defendan menegaskan bahawa pengislaman Plaintif adalah sah, memenuhi kehendak undang-undang dan hukum Syarak dan telah dibuat tanpa sebarang unsur paksaan. Ini menepati akur janji Plaintif dalam borang perisytiharan memeluk agama Islam yang menyatakan:

“Bahawasanya dengan suci hati dan dengan kehendak hati sendiri, tiada kerana dipaksa atau dipujuk. Hanya dengan petunjuk Allah, adalah saya pada hari dan saat ini memeluk agama Islam yang sebenarnya, saya mengaku bahawa saya akan berpegang teguh dan patuh kepada ajaran-ajaran Agama Islam yang sebenarnya hingga ke akhir hayat saya.”

2. Defendan-Defendan menegaskan bahawa Plaintif telah dengan sengaja enggan menunaikan kewajipannya sebagai seorang muallaf yang dikehendaki oleh seksyen 109 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

3. Adalah sukar bagi Defendan-Defendan menjalankan tanggungjawab sosialnya bagi memastikan Plaintif dapat menunaikan kewajipannya sebagai seorang Islam melainkan dengan cara Mahkamah ini memerintahkan Plaintif menjalani proses istitabah untuk bertaubat, mempelajari Islam dan kembali mengamalkan ajaran Islam.

4. Defendan-Defendan menegaskan bahawa dengan menandatangani borang perisytiharan memeluk agama Islam, Plaintif telahpun mempunyai keyakinan untuk berpegang dengan ajaran Islam. Sekiranya wujud sebarang keraguan di hati Plaintif mengenai Islam, maka Defendan hendaklah diberikan peluang bagi menjelaskan kepada Plaintif tentang agama Islam agar segala kekeliruan dan keraguan Plaintif dapat dipulihkan.

5. Defendan-Defendan menegaskan bahawa Plaintif haruslah terus direkodkan sebagai seorang Islam sehingga akhir hayatnya melainkan jika diperintahkan sebaliknya oleh Mahkamah. Defendan-Defendan menyatakan bahawa Plaintif hendaklah meninggalkan cara hidup agama Buddha dan hendaklah segera kembali kepada agama Islam yang telah dianutinya.

6. Defendan-Defendan menegaskan bahawa proses istitabah yang dikenakan terhadap Plaintif bukanlah satu bentuk hukuman bagi kesalahan jenayah, bahkan ia adalah salah satu tatacara bagi prosiding mal yang melibatkan tuntutan perisytiharan keluar Islam sebagaimana yang dikehendaki oleh Hukum Syarak.

7. Defendan-Defendan menjelaskan bahawa menurut Hukum Syarak, Mahkamah ini tidak boleh membuat perisytiharan atau membenarkan tuntutan Plaintif melainkan setelah proses istitabah dijalankan dengan sewajarnya.

8. Oleh yang demikian Defendan-Defendan membuat tuntutan balas seperti mana berikut:

(i) Mahkamah ini mengesahkan bahawa pengislaman Plaintif adalah sah menurut undang-undang dan hukum Syarak.

(ii) Mahkamah ini menolak tuntutan Plaintif.

(iii) Mahkamah ini memerintahkan Plaintif menjalani proses istitabah di pusat pemurnian aqidah Baitul Iman dengan pengawasan Jabatan Mufti Selangor selama tempoh 6 bulan atau tempoh lain yang sesuai, selaras dengan hukum syarak dan peruntukan seksyen 244 dan 245 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.

(iv) Mahkamah mengarahkan pihak Lembaga Zakat Selangor membiayai kos pengurusan yang diperlukan sepanjang masa Plaintif menjalani proses istitabah.

No comments:

Post a Comment

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus