Alhamdulillah, saya masih berkesempatan memasukkan entri baru setelah sebulan berlalu. Entri kali ini saya ingin berkongsi beberapa kesibukan saya mengurus tanggungjawab yang tak tertanggung lagi. Berat, rumit, sukar, pening, letih, penat, risau dan pelbagai perasaan lain datang berselang seli namun tak pernah ada rasa bosan dan tak pernah kenal erti putus asa. Berbekalkan harapan untuk melihat hari esok yang lebih bermakna bagi umat Islam, langkah-langkah kecil ini diteruskan juga. Hati kecil ini hanya mengharapkan agar bara semangat ini tidak terpadam. Semoga langkah ini tidak terhenti di sini.
Kebetulan minggu ini saya tidak dijadualkan untuk mengendalikan kes di Mahkamah Syariah, maka dapatlah saya meneruskan kerja-kerja yang perlu diselesaikan, antara lainnya:
1) Menyiapkan Kertas Kerja untuk dibentangkan dalam Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009. Kertas ini bertajuk “Memperkasa Entiti dan Sumber Perbendaharaan Baitulmal Melalui Prinsip Muamalat Islam dan Undang-Undang Syariah”. Bahagian pertama tentang memperkasa entiti baitulmal Alhamdulillah dah siap. Bab ini agak ringan sebab tak banyak menyentuh prinsip muamalat dan hanya banyak berpandukan kepada undang-undang. Namun penulisan ini tersangkut di bahagian kedua tentang memperkasa sumber perbendaharaan baitulmal. Bahagian ini agak berat sebab kena kaji secara mendalam setiap prinsip muamalat yang berkaitan dengan baitulmal. Setakat ini ada lebih kurang 37 prinsip muamalat yang perlu dikaji. Ya Allah! Bantulah hambamu ini.
2) Mengkaji dan mencari penyelesaian kepada beberapa kes pusaka yang dirujukkan oleh Amanah Raya Berhad melibatkan tuntutan hutang daripada waris bukan Islam, tuntutan bahagian zawil arham daripada waris bukan Islam, tuntutan hutang nafkah sara diri daripada kerabat zawil arham (bukan waris) yang beragama Islam. Serta kes yang dirujukkan oleh As-Salihin Trustee Berhad melibatkan nazar/wasiat/amanah si mati untuk membina sebuah surau.
3) Menyemak dan mengkaji dokumen wakaf, wasiat dan hibah yang diuruskan oleh MAIS menyentuh pelbagai isu. Antaranya isu hibah umra, hibah ruqba, hibah kepada anak angkat bawah umur yang belum dilantik penjaga (wali) harta, wasiat kepada waris dan sebagainya.
4) Menderaf Pernyataan Tuntutan untuk difailkan ke Mahkamah Tinggi Syariah bagi satu kes pengesahan wakaf melibatkan tapak Pusat Matrikulasi UIAM Petaling Jaya dan hartanah-hartanah disekitarnya bernilai jutaan ringgit yang telah sekian lama dibelenggu masalah dengan perlantikan pemegang amanah yang berlainan daripada apa yang sepatutnya menurut undang-undang. Ini kes berat dan melibatkan isu nasional.
5) Menyiapkan kajian analisa kes-kes permohonan perisytiharan keluar Islam di Negeri Selangor. Jangan berasa panik atau salah faham dengan tajuk ini. Ia memang isu sensitif yang dah lama cuba diselesaikan secara berhemah. Ini juga sudah tentu melibatkan isu nasional. Kajian profil kes dah hampir siap dan menanti untuk pembentangan pada Mei ini. Minit mesyuarat kumpulan sedang disiapkan untuk pengesahan ahli.
6) Menderaf Notis Permohonan Semakan Kehakiman untuk difailkan di Mahkamah Rayuan Syariah Selangor dalam kes perisytiharan keluar Islam yang melibatkan kemasukan pelbagai Defendan termasuklah MAIS, JAIS, JPN dan Pendaftar Muallaf. Notis dah hampir siap, hanya affidavit sokongannya belum dideraf.
7) Membantu menunaikan titah terbaru daripada DYMM Sultan Selangor kepada Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor untuk menyemak dan mencadangkan penambahbaikan terhadap semua Enakmen Syariah yang berkuatkuasa dalam Negeri Selangor. Rasanya tugas terakhir ini adalah paling berat untuk ditunaikan kerana ada lebih kurang 10 Enakmen yang perlu dikaji. Itu belum termasuk kaedah dan peraturan yang dibuat di bawah Enakmen. Petang ini mesyuarat pertama akan diadakan di sini.
8) LAIN-LAIN fail yang dilonggokkan di atas meja yang perlu disemak dan diminit dengan segera.
Itulah sedikit sebanyak beban tugas yang perlu dipikul oleh seorang (bukan 2 orang) Pegawai Syariah di Bahagian Undang-Undang, Majlis Agama Islam Selangor. Jawatan yang belum pernah diwujudkan di mana-mana Majlis Agama Islam Negeri di Malaysia. Jika anda seorang mahasiswa atau pelajar adakah anda bercita-cita untuk menjadi seorang pegawai syariah? (Bagus jika jawapannya “Ya”) Jika anda berada di tempat saya, berapa kerapkah anda boleh memasukkan entri baru dalam blog anda? (Bagus jika jawapannya “tiap-tiap hari” tapi pastikan waktunya sesuai). Sekian dulu. Wassalam.
Salam Ustaz,
ReplyDeleteNak saya bagitau boss ker keja banyak sangat, jangan tambah lagi? Hehehe.. Kalau banyak sangat, delegate sebahagian pada assistant. Boleh juga beri tunjuk ajar. ALhamdulillah. Syukur ada Pegawai Syariah macam ustaz ni. Sentiasa bersemangat untuk memartabatkan Islam sedaya -upaya, walaupun berseorangan. Betullah Tuan Fauzi kata, jaga ustaz baik-baik.. Moga2 terus bersemangat dan komited..
Salam Us.Juraish.
ReplyDeleteLaman blog anda akan terus segar kerana entrinya sesuai sepanjang zaman, walaupun telah lama diposkan untuk bacaan umum.
Sebulan satu entri yang bermanfaat lebih baik daripada entri santai yang banyak.
Teruskan walaupun hanya satu entri untuk sebulan.
Wassalam alaikuma,
ReplyDeleteTerima kasih atas kunjungan dan ulasan.
Wabillahi nasta'in.