Tuesday, May 22, 2012

HUJAH BAGI MENOLAK PERMOHONAN PERISYTIHARAN BUKAN BERAGAMA ISLAM

Ini pula adalah hujah saya selaku peguam syarie salah sebuah Majlis Agama Islam negeri di Malaysia selaku Defendan bagi menolak permohonan individu yang ingin mengisytiharkan dirinya sebagai bukan lagi Islam. Alhamdulillah permohonan beliau telah ditolak oleh Mahkamah. Namun kes tersebut tidak berakhir di situ. Marilah kita sama-sama berusaha mempertahankan agama Islam ini daripada dicemari oleh gejala yang tidak sihat ini.

ISU 1: Punca Bidangkuasa Mahkamah

1.        Defendan Kedua menghujahkan bahawa Mahkamah Yang Mulia ini adalah mempunyai bidang kuasa bagi mendengar dan memutuskan permohonan Plaintif ini selari dengan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan. Namun demikian ini tidak bermakna Mahkamah ini wajar meluluskan permohonan Plaintif memandangkan terdapat peruntukan lain dan Undang-Undang Islam yang perlu dirujuk oleh Mahkamah ini yang mana selari dengan peruntukan seksyen 46 (2) (b) (x) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 yang memperuntukkan:

Seksyen 46. Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah.

(1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Syarie.

(2) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah--

(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berhubungan dengan--
 (x) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

2.        Perenggan 3 Hujahan Plaintif tersebut berkaitan pemakaian Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan sebagai punca kuasa Mahkamah Yang Mulia ini untuk meluluskan permohonan Plaintif keluar dari agama Islam adalah tidak dipersetujui. Sebaliknya Defendan Kedua menghujahkan bahawa Perkara 11, Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan hanya memberi kebebasan kepada mana-mana orang untuk menganuti dan mengamalkan agama yang dipilihnya tetapi ia tidak memberikan hak kepada Plaintif atau mana-mana orang Islam untuk keluar dari agama Islam.

3.        Perkara 11 Fasal 1 tersebut telah pun dapat dimanfaatkan oleh Plaintif sebelum ini ketika mana Plaintif memilih untuk memeluk agama Islam dengan kerelaannya sendiri. Pada masa itu Perkara 11 Fasal 1 adalah terpakai kepada Plaintif dan tiada sesiapa boleh menghalang atau memaksa Plaintif memeluk atau tidak memeluk agama Islam ketika proses pengislaman tersebut hendak dilangsungkan dan tiada sesiapa juga boleh menghalang Plaintif untuk mengamalkan agama Islam setelah agama Islam dianuti oleh Plaintif.

4.        Dalam perenggan 2 Pernyataan Tuntutan Pindaan Plaintif bertarikh 24 Februari 2010 (selepas ini disebut sebagai Pernyataan Tuntutan Pindaan Plaintif tersebut) telah jelas menyebutkan Plaintif telah menganuti agama Islam pada 17 Julai 1981 dan tidak terdapat sebarang dakwaan dibangkitkan oleh Plaintif bahawa beliau telah dipaksa menganut agama Islam.

5.        Dalam perenggan 3 Pernyataan Tuntutan Pindaan Plaintif tersebut juga telah menyebutkan dengan jelas bahawa Plaintif telah mengamalkan ajaran Islam sejauh keupayaan dirinya dan mendidik dua orang anak beliau sebagai penganut agama Islam. Ini sekali lagi membuktikan Plaintif telah diberi kebebasan untuk mengamalkan ajaran Islam yang mana adalah selari dengan peruntukan Perkara 11, Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan:

“Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4) mengembangkan ugamanya.”
(sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan Kedua di Lampiran A)

6.        Setelah Plaintif menganuti agama Islam dan mengamalkannya, maka Perkara 11 Fasal 1 tersebut tidak lagi boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh Plaintif bagi menukar kepada agama lain kerana sebagai seorang Islam, Plaintif telah terikat dengan undang-undang diri berkaitan agamanya iaitu agama Islam yang mana tidak membenarkan penganutnya keluar dari agama Islam.

7.        Perkara ini adalah konsisten dengan fasal seterusnya dalam Perkara 11, iaitu Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan:

“Undang-Undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.”

8.        Perbuatan Plaintif untuk meninggalkan agama  Islam dan kembali kepangkuan masyarakat asal beliau seperti yang disebutkan dalam perenggan 4 Pernyataan Tuntutan Pindaan Plaintif dan perbuatan Plaintif untuk keluar dari agama  Islam seperti yang dihujahkan dalam perenggan 3 Hujahan Plaintif tersebut adalah sama seperti suatu ‘pengembangan iktikad atau kepercayaan agama’ yang disebutkan dalam peruntukan di atas. Ini kerana perbuatan ‘keluar Islam’ yang diistilahkan sebagai ‘murtad’ boleh dianggap sebagai suatu bentuk iktikad atau kepercayaan agama. Ini kerana apabila perbuatan memeluk Islam adalah dianggap sebagai suatu bentuk iktikad atau kepercayaan agama, maka perbuatan keluar Islam juga boleh dianggap sebagai suatu bentuk iktikad atau kepercayaan agama. Justeru membenarkan perbuatan murtad adalah sama seperti membenarkan pengembangan suatu bentuk iktikad yang menyalahi agama Islam.

9.        Dalam kes Muhamad Ramzan Maniarason yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Pahang (JH XXII Bahagian 2, 1427H) Yang Arif Hakim Bicara telah mengulas berkaitan pemakaian Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan ini dengan berkata:

“Walaupun pada zahirnya Perkara 11 ini kebebasan beragama tapi ianya bukanlah tiket untuk menukar agama dengan sewenang-wenangnya sesuka hati. Pemohon ini telah memilih agama Islam maka ianya berhak mengamalkan Agama Islam itu. Setelah selama 12 tahun memeluk agama Islam adalah tidak wajar bagi pemohon ini memilih untuk keluar pula dari agama Islam atau cuba mengamalkan agama lain pula.”

(sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan Kedua di Lampiran B)

ISU 2: Proses Rundingcara Akidah dan Kandungan Laporan Bertulis

10.    Perenggan 4 Hujahan Plaintif tersebut berkaitan perintah menghadiri kaunseling atau rundingcara akidah adalah dipersetujui.

11.    Walau bagaimanapun, Defendan Kedua tidak bersetuju dengan kenyataan Plaintif di perenggan 5 Hujahan Plaintif tersebut berkaitan dakwaan bahawa laporan rundingcara / kaunseling tersebut mengandungi fakta yang tidak benar. Sebaliknya kami menghujahkan bahawa dokumen laporan rundingcara bertarikh 15 Disember 2010 yang dilampirkan bersama surat dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan bertarikh 20 Disember 2010 adalah perlu diterima sebagai dokumen awam.

12.    Pihak Plaintif sepatutnya membawa keterangan yang kukuh jika Plaintif berhasrat untuk menafikan fakta-fakta yang tercatat di dalam laporan tersebut. Namun demikian sepanjang perbicaraan dijalankan Plaintif telah tidak membawa apa-apa keterangan saksi yang boleh mengokong dakwaannya tersebut. Justeru Mahkamah ini haruslah menerima laporan tersebut dengan sewajarnya.

13.    Dengan hormatnya kami merujuk perkara 4.4.6 dan 5.4 dalam laporan tersebut yang menyebutkan bahawa (terdapat kemungkinan) anak-anak Plaintif bakal / akan membuat permohonan keluar Islam di Mahkamah selepas kes Plaintif ini diselesaikan. Ini mengukuhkan lagi hujahan kami sebelum ini bahawa perbuatan Plaintif untuk keluar dari Islam boleh disifatkan sebagai suatu bentuk ‘pengembangan iktikad atau kepercayaan agama’ disebabkan perbuatan Plaintif ini secara tidak langsung boleh menjadi ikutan kepada anak-anak beliau sendiri secara khususnya dan kepada masyarakat Islam lain secara umumnya. 

14.    Apabila sesuatu perbuatan itu boleh menjadi ikutan kepada orang lain, sama ada secara langsung atau tidak langsung maka ia akan boleh berkembang. Justeru perbuatan tersebut bolehlah ditakrifkan sebagai suatu bentuk ‘pengembangan’.

15.    Perenggan 6 Hujahan Plaintif tersebut berkaitan pengataan Plaintif bahawa beliau tidak pernah mempengaruhi kedua-dua anak beliau meninggalkan agama Islam adalah kabur dan tidak disokong dengan keterangan yang jelas daripada anak-anak Plaintif sendiri. Memandangkan anak-anak Plaintif tidak dijadikan saksi oleh Plaintif, dan tidak dipanggil ke Mahkamah untuk disiasat maka kami mencadangkan supaya pengataan Plaintif ini diketepikan. Sebaliknya Mahkamah ini hendaklah menerima fakta yang tercatat dalam laporan rundingcara tersebut.

16.    Sepatutnya, jika Plaintif mengkehendaki supaya Mahkamah ini menolak laporan kaunseling tersebut dan menerima pengataan beliau berkaitan status anak-anak beliau, Plaintif sepatutnya memanggil anak-anak beliau tersebut dan juga panel yang menjalankan rundingcara akidah tersebut ke Mahkamah ini untuk disiasat dengan sewajarnya.

17.    Tetapi dalam kes ini Plaintif telah tidak memfailkan sepina terhadap pihak yang sepatutnya sebaliknya bertindak memfailkan sepina terhadap pihakyang tidak sepatutnya disepina dan akhirnya Plaintif menarik balik sepina tersebut. Ini membuktikan Plaintif tidak konsisten dalam menentukan pendirian beliau.

18.    Perenggan 7 dan 8 Hujahan Plaintif tersebut berkaitan pengataan Plaintif mengenai perjalanan proses rundingcara akidah tersebut adalah kabur dan tidak disokong dengan keterangan saksi. Sepertimana yang dihujahkan sebelum ini, Plaintif sepatutnya memanggil pihak yang berkaitan untuk memberi keterangan kepada Mahkamah ini namun ia tidak dilakukan oleh Plaintif setelah peluang yang sewajarnya diberikan. Justeru dalam isu ini, kami menghujahkan bahawa Mahkamah ini boleh menerima fakta-fakta yang dikemukakan dalam laporan rundingcara tersebut selagi mana ianya tidak dicabar dengan bukti yang sewajarnya oleh Plaintif.
 
19.    Kami membantah hujahan Plaintif di perenggan 9 Hujahan Plaintif tersebut yang meminta Mahkamah ini menolak laporan kaunseling tersebut dan kami juga tidak bersetuju dengan hujahan Plaintif bahawa laporan tersebut perlu ditolak hanya semata-mata kerana Defendan Pertama enggan menghadirkan diri ke Mahkamah untuk memberikan keterangan. Dalam kes ini kehadiran Defendan Pertama dan Kedua melalui wakil dan peguam syarie masing-masing adalah mencukupi selagi mana tidak menyalahi perintah Mahkamah ini.

20.    Dalam hal ini kami menegaskan bahawa Defendan Pertama atau Defendan Kedua tidak diwajibkan memberi keterangan bagi menjawab tuntutan Plaintif ini disebabkan Plaintif sebagai pihak yang mendakwa telah gagal mendatangkan bukti yang kukuh bagi mensabitkan dakwaan beliau. Plaintif tidak seharusnya meletakkan beban ke atas Defendan Pertama atau Defendan Kedua bagi membuktikan tuntutannya. Ini selari dengan peruntukan seksyen 126 (3) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 yang memperuntukkan:

Apabila Plaintif telah mengemukakan semua keterangan bagi kesnya, Hakim hendaklah memanggil Defendan untuk mengemukakan keterangan bagi menjawab tuntutan Plaintif, dan dalam hal sedemikian Defendan hendaklah diberi pilihan sama ada hendak mengemukakan keterangan atau mengemukakan hujah bahawa tiada kes untuk dijawab.

21.    Dalam kes ini Defendan telah menyempurnakan haknya apabila memilih untuk tidak memberikan keterangan dan hanya memilih untuk mengemukakan hujah bahawa tiada kes untuk dijawab.

22.    Berdasarkan kepada perkara 4.4.3 hingga 4.4.5 Laporan tersebut adalah jelas Plaintif sebenarnya telah salah faham terhadap ajaran Islam kerana menganggap saudara mara atau kedua-dua anaknya tidak akan menziarahi atau tidak dibenarkan untuk menziarahi upacara pengkebumiannya sekiranya Plaintif mati sebagai seorang Islam.

23.    Kami menghujahkan bahawa di dalam ajaran Islam, orang bukan Islam yang terdiri daripada saudara mara, jiran, sahabat handai dan orang-orang kebanyakan yang lain adalah boleh dibenarkan untuk menziarahi upacara pengkebumian orang Islam dengan menjaga adab-adab yang ditetapkan. Namun begitu mereka tidaklah boleh dipaksa untuk menghadirinya seperti mana mereka juga tidak boleh dipaksa untuk menghadiri pengkebumian seseorang yang bukan beragama  Islam.

24.    Perenggan 10 Hujahan Plaintif tersebut berkaitan ketidakhadiran Defendan Pertama dan Defendan Kedua adalah dipersetujui dan sebagai penjelasan  hujahan kami di perenggan 21 dan 22 adalah dirujuk.


ISU 3: Proses dan Prosedur  Pengislaman Plaintif

25.    Hujahan Plaintif di perenggan 11 Hujahan Plaintif tersebut adalah tidak dipersetujui. Tarikh Plaintif memeluk Islam seperti mana yang dinyatakan dalam pernyataan tuntutan Plaintif dan dokumen pengislaman Plaintif adalah pada 17 Julai 1981 dan bukannya pada 16 Julai 1981.

26.    Dakwaan Plaintif bahawa ketika proses pengislaman dijalankan beliau tidak pernah diberitahu bahawa beliau tidak boleh meninggalkan agama Islam selepas proses pengislaman adalah dipertikaikan dan tidak relevan untuk dibangkitkan di dalam hujahan ini.

27.    Kami sebaliknya menghujahkan bahawa bukanlah merupakan suatu keperluan di sisi undang-undang supaya pihak yang mengislamkan seseorang memberitahu kepada orang yang hendak memeluk Islam bahawa beliau tidak boleh meninggalkan Islam. Sekiranya perkara sedemikian itu menjadi kemusykilan di dalam fikiran Plaintif, Plaintif sendiri sepatutnya perlu bertanya tentang perkara itu kepada Qadhi sebelum Plaintif membuat apa-apa keputusan sama ada hendak memeluk Islam atau sebaliknya.

28.    Kami juga curiga dengan pengataan Plaintif tersebut disebabkan ia tidak disokong dengan keterangan mana-mana saksi. Apatah lagi pengislaman Plaintif telah dijalankan di hadapan pegawai atasan Defendan Kedua yang berkaliber yang menjawat jawatan sebagai Qadhi di Pejabat Qadhi Daerah Petaling. 

29.    Justeru kami percaya bahawa segala keperluan yang dikehendaki oleh Hukum Syarak telah dipenuhi dengan semunasabahnya semasa proses pengislaman Plaintif dijalankan. Dan kami menghujahkan tiada apa-apa kecatatan nyata telah dibuktikan oleh Plaintif yang boleh menyebabkan proses pengislaman Plaintif menjadi tidak sah.

(sila rujuk salinan daftar muallaf Plaintif dalam Ikatan Autoriti Defendan Kedua di Lampiran C)

30.    Perenggan 12 Hujahan Plaintif tersebut berkaitan tujuan Plaintif memeluk Islam untuk berkahwin telah tidak dicatatkan di dalam daftar muallaf tersebut. Justeru ia adalah di luar daripada pengetahuan Defendan Kedua. Namun begitu kami menghujahkan bahawa tidak terdapat sebarang bukti dikemukakan oleh Plaintif bagi mengesahkan dakwaan tersebut.

31.    Berdasarkan kepada qarinah tarikh pernikahan Plaintif pada 18 Ogos 1982 sepertimana diakui oleh Plaintif dalam soal balas pada 25 Julai 2011, adalah didapati Plaintif bernikah selepas setahun daripada tarikh memeluk Islam. Justeru dakwaan bahawa Plaintif memeluk Islam hanya semata-mata untuk berkahwin adalah diragui. Ini kerana jika Plaintif memeluk Islam hanya semata-mata untuk berkahwin, sudah tentu Plaintif akan berkahwin dalam masa yang paling singkat setelah memeluk Islam dan ia boleh dilakukan dalam masa bebarapa hari selepas memeluk Islam dan mungkin juga boleh dilakukan pada hari yang sama dengan tarikh memeluk Islam dan tidak perlu menunggu selama setahun.

32.    Berdasarkan kepada qarinah tarikh perceraian Plaintif yang berlaku pada 10 Disember 2004 dan tarikh permohonan ini difailkan pada tahun 2007, maka kami juga meragui kenyataan Plaintif yang mengatakan tujuan beliau memeluk Islam adalah untuk berkahwin dengan isterinya ketika itu. Sekiranya benar Plaintif memeluk Islam hanya semata-mata untuk berkahwin, maka sudah tentu sebaik sahaja berlaku perceraian Plaintif sepatutnya memfailkan permohonan ini atau selewat-lewatnya sebaik sahaja iddah isteri Plaintif tamat dalam tempoh 3 bulan dan tidak perlu Plaintif menunggu sehingga hampir 3 tahun. Ini menunjukkan pernyataan Plaintif tersebut adalah seperti diada-adakan dan tidak disokong dengan sebarang bukti kukuh.

(sila rujuk salinan perintah Mahkamah dalam Ikatan Autoriti Defendan Kedua di Lampiran D)

33.    Plaintif sendiri telah memberitahu Mahkamah semasa keterangan utama bertarikh 16 Mei 2011 bahawa sejak mengucap dua kalimah syahadah, Plaintif tidak ada niat untuk keluar Islam hinggalah pada tahun 2007. Ini membuktikan proses keislaman Plaintif sebelum ini adalah sempurna dan tidak timbul sebarang keraguan.

34.    Keterangan Plaintif ketika disoal balas pada 25 Julai 2011 bahawa beliau tidak beriman dengan maksud dua kalimah syahadah dan beliau tidak mempercayai kepada kewujudan Tuhan semasa kalimah syahadah diucapkan di hadapan Qadhi adalah diragui kerana tidak disokong oleh keterangan saksi. Sekiranya perkara ini dizahirkan oleh Plaintif semasa proses pengislaman sudah tentu pengislaman Plaintif tidak akan diterima dari awal. Namun perbuatan Plaintif yang tidak menzahirkan perkara ini pada masa pengislaman adalah menunjukkan Plaintif telah menerima untuk beriman dengan kaimah syahadah tersebut.

ISU 4: Pengamalan Islam oleh Plaintif

35.    Pengataan Plaintif selanjutnya di perenggan 12 Hujahan Plaintif tersebut bahawa beliau tidak pernah menunaikan solat dan ibadat berpuasa dan haji juga telah tidak disokong dengan keterangan saksi dan bercanggah dengan pernyataan Plaintif di perenggan 3 Pernyataan Tuntutan Pindaan Plaintif. Dalam hal ini Plaintif sepatutnya memanggil saksi contohnya seperti bekas isteri beliau yang mungkin mengetahui tentang dakwaan ini.

36.    Walau apapun, kami menghujahkan bahawa kegagalan Plaintif menunaikan ibadat-ibadat tersebut bukanlah hujah muktamad yang boleh diterima oleh Mahkamah ini untuk mensabitkan dakwaan atau permohonan Plaintif secara automatik. Ini kerana kegagalan Plaintif menunaikan ibadat-ibadat yang wajib pada zahirnya hanyalah dianggap sebagai suatu perbuatan dosa yang mendapat siksaan dari Allah Taala semasa di akhirat dan boleh dikenakan hukuman ta’zir oleh Pemerintah semasa di dunia.

ISU 5: Maksud Kebebasan Beragama

37.    Sebagai jawapan kepada hujahan Plaintif berkaitan kebebasan beragama yang dinyatakan dalam perenggan 13 hingga 18 Hujahan Plaintif tersebut Defendan Kedua dengan ini merujuk dan mengulang semula hujahan balas Defendan Kedua dalam Isu Pertama dan Isu Ketiga.

38.    Sebagai tambahan kami menghujahkan bahawa hak Plaintif untuk memeluk agama Islam telahpun terpelihara dan hak Plaintif untuk mengamalkan agama Islam akan terus terpelihara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Plaintif tidak perlu bimbang terhadap penerimaan masyarakat asal Plaintif kerana hak Plaintif berkaitan pengamalan agama Islam tidak boleh dihalang oleh masyarakat asal Plaintif tersebut.

39.    Plaintif juga tidak perlu berasa bimbang tentang upacara pengkebumian jenazah beliau atau berlakunya perebutan jenazah beliau setelah kematian beliau. Ini kerana perkara itu boleh diselesaikan menerusi undang-undang sekiranya berlaku perebutan jenazah yang dibimbangi oleh Plaintif.

40.    Di dalam hujahan Plaintif tersebut Plaintif menekankan soal kebebasan beragama sedangkan dalam keterangan Plaintif pada 16 Mei 2011 Plaintif telah berikrar bahawa Plaintif tidak berhasrat untuk masuk apa-apa agama selepas ini. Ini menunjukkan tidak ada isu untuk mengatakan hak beragama Plaintif telah diprejudiskan oleh Defendan-Defendan atau mana-mana pihak.

41.    Kami bersetuju dengan hujahan Plaintif di perenggan 18 mengenai keputusan isu bantahan awal kes ini yang telah dibacakan oleh Mahkamah ini bahawa “Sesungguhnya tiada Mahkamah atau mana-mana pihak boleh memberi kebenaran kepada seseorang Islam untuk keluar Islam atau keluar daripada agama Islam atau murtad seperti yang didakwa oleh Plaintif. “

42.    Perkara ini telah dimuktamadkan dalam kes rayuan antara Majlis Agama Islam Pulau Pinang lwn. Siti Fatimah Tan Binti Abdullah  (JH 27 Bahagian 2, 1430H) di mana Panel Hakim Rayuan telah menyatakan:

 32. “Sebaliknya bagi mereka yang memeluk Islam dan seterusnya memenuhi syarat-syarat syahadah dan juga telah diterima oleh masyarakat sebagai seorang Islam, maka mereka tidak boleh diisytiharkan sebagai bukan lagi Islam di bawah peruntukan ini….”

33. “Kami juga percaya bahawa jika Mahkamah Syariah diberikan bidangkuasa untuk membenarkan seseorang Islam keluar daripada Agama Islam, maka ianya telah bercanggah dan bertentangan dengan Hukum Syarak itu sendiri sedangkan matlamat undang-undang Syariah diwujudkan adalah bagi menjaga maqasid Syariah dan maqasid syariah yang paling utama ialah menjaga agama Islam.

(sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan Kedua di Lampiran E)

43.    Hal ini tidak bermaksud menghalang kebebasan beragama kerana seseorang itu telah pun diberikan kebebasan memilih, sebelum memeluk Islam sama ada hendak memeluk Islam atau tidak memeluk Islam. Apabila  seseorang itu telah memilih untuk memeluk Islam maka haknya di bawah Perlembagaan telah tertunai.

44.    Seseorang yang telah memeluk Islam tidak boleh menggunakan peruntukan yang sama untuk dijadikan hujah bagi membenarkannya keluar daripada agama Islam kerana perkara tersebut bertentangan dengan undang-undang Islam yang diiktiraf oleh Perlembagaan di bawah Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan.

45.    Kuasa Mahkamah ini untuk mengisytiharkan seseorang itu bukan lagi atau bukan beragama Islam hanyalah dalam kes di mana seseorang telah didapati secara tidak sah diperlakukan atau dianggap sebagai seorang Islam, sedangkan orang itu bukan seorang Islam. Namun dalam kes ini Plaintif telah memeluk Islam dan diperlakukan sebagai seorang Islam dengan cara yang sah di bawah undang-undang.

46.    Justeru permohonan Plaintif yang hendak keluar dari Islam ini dilihat sebagai suatu perbuatan yang mengikut hawa nafsu dan tidak bersandarkan kepada lunas agama Islam yang dianuti oleh Plaintif. Maka ia hendaklah ditolak oleh Mahkamah ini.

47.    Perenggan 19 Hujahan Plaintif tersebut yang mempertikaikan tindakan Defendan Kedua membangkitkan soalan tentang keturunan Plaintif, ibu bapa Plaintif dan pengetahuan agama Islam Plaintif adalah dibantah. Ini kerana Plaintif sendiri telah bersandarkan kepada alasan keturunan untuk meneruskan tindakan keluar Islam seperti mana dalam kenyataan Plaintif bertarikh 15 September 2011 Plaintif mengatakan: “ada masalah untuk jadi orang Islam sebab saya (Plaintif) dianggap sebagai orang Melayu”. Plaintif sendiri dalam ikrarnya itu telah mencampur adukkan antara isu agama dan keturunan. Plaintif tidak seharusnya menjadikan alasan dianggap sebagai orang Melayu sebagai alasan untuk keluar Islam. Ini kerana menjadi Melayu atau dianggap Melayu adalah tidak berkaitan dan tidak diperlukan sebagai syarat untuk menjadi orang Islam.

48.    Dakwaan Plaintif bahawa beliau dianggap sebagai orang Melayu sebagai suatu masalah untuk beliau terus menjadi orang Islam adalah tidak berasas. Ini kerana anggapan tersebut hanya dibuat oleh Plaintif sendiri dan tidak disokong dengan keterangan saksi. Apa yang jelas di dalam kad pengenalan Plaintif sendiri tidak tertulis perkataan MELAYU sehingga memprejudiskan status keturunan Plaintif yang sebenar. Sebaliknya dalam kad pengenalan Plaintif hanya ada tertulis perkataan ISLAM yang mana adalah selari dengan agama yang telah dianuti oleh Plaintif secara sah.

49.    Perenggan 20 Hujahan Plaintif tersebut adalah dipersetujui setakat Mahkamah ini berkuasa untuk memerintahkan Plaintif bertaubat. Defendan Kedua tidak bersetuju bahawa ini akan menyebabkan Plaintif terpaksa mengaku dirinya sebagai Islam. Ini kerana Plaintif sendiri yang telah memilih untuk menganuti agama Islam sebelum ini dan mengamalkan Islam menurut kemampuannya.

50.    Kami juga menghujahkan bahawa tidak terdapat sebarang mudarat ke atas Plaintif sekiranya permohonan Plaintif ini ditolak dan Plaintif terus dianggap dan diperlakukan sebagai seorang Islam. Ini kerana kewajipan yang dikenakan ke atas seseorang Islam seperti mendirikan solat, berpuasa, berzakat dan menunaikan haji bukanlah suatu yang di luar keupayaan manusia. Bahkan agama Islam menyuruh berbuat kebaikan kepada sesama manusia dengan tidak mengira keturunan dan perbezaan agama.

51.    Dengan kekal sebagai Islam Plaintif masih bebas melakukan segala kebaikan tersebut terhadap masyarakat asalnya. Plaintif juga masih bebas untuk kembali ke pangkuan masyarakat asalnya dan bergaul sesama mereka dengan menjaga batas-batas dan larangan-larangan yang ditetapkan oleh Hukum Syarak.

52.    Sekiranya Plaintif masih jahil dan tidak memahami hukum-hakam Islam dalam soal bermuamalat dan bermuasyarah sesama masyarakat asalnya yang bukan beragama Islam, maka Plaintif sewajarnya mencari ilmu atau mendalami ilmu pengetahuan tersebut samada melalui pihak yang ditauliahkan oleh Defendan Pertama atau Defendan Kedua atau pihak lain yang berkompeten dalam urusan agama Islam dan bukannya dengan tindakan memohon untuk keluar Islam.

53.    Berdasarkan kepada hujahan-hujahan di atas Defendan Kedua dengan penuh tawadduknya memohon supaya Mahkamah Yang Mulia ini menolak tuntutan Plaintif di perenggan 11.1 dan 11.2 Pernyataan Tuntutan Pindaan Plaintif dan meluluskan Tuntutan Balas Defendan Kedua dengan mengeluarkan perintah seperti berikut:

i)                    Mahkamah ini mengesahkan bahawa proses pengislaman Plaintif dan pendaftaran pengislaman Plaintif yang dilaksanakan oleh pihak Defendan Kedua telah dibuat dengan cara yang sah menurut undang-undang dan Hukum Syarak.

ii)                  Plaintif hendaklah terus diperlakukan sebagai seorang Islam sejak daripada tarikh pengislaman Plaintif pada 17 Julai 1981 sehingga ada perintah lain dikeluarkan oleh Mahkamah ini atau Mahkamah lain yang  berbidangkuasa.

iii)                Plaintif diperintahkan untuk mempelajari dan mendalami agama Islam daripada pihak yang ditauliahkan oleh Defendan Pertama atau Defendan Kedua.

iv)                Defendan Pertama atau Defendan Kedua hendaklah melantik seorang  atau beberapa orang pengajar bagi membantu Plaintif dalam mempelajari dan mendalami agama Islam.

v)                  Bagi maksud mempelajari agama Islam, Plaintif hendaklah disifatkan sebagai seorang muallaf dan berhak mendapat apa-apa bantuan yang sewajarnya daripada Defendan Pertama atau Defendan Kedua sepanjang tempoh pembelajaran tersebut berjalan.

vi)                Mahkamah ini membatalkan perintah hadhanah yang telah diserahkan kepada Plaintif berdasarkan perenggan 5 perintah Mahkamah ....... Syariah Wilayah Persekutuan ...... bertarikh 10 Disember 2004 dalam saman no 14....-055-0005-2004.

vii)              Kegagalan mana-mana pihak mematuhi perintah di atas boleh dianggap sebagai suatu penghinaan Mahkamah.

viii)            Apa-apa perintah lain yang suai manfaat menurut undang-undang dan Hukum Syarak.

 Bertarikh pada             haribulan                               tahun  2012.


Disediakan dan dihujahkan dengan suci hati oleh:

                                                                                                            ……………………….
                                                                          Peguam Syarie bagi Defendan Kedua

No comments:

Post a Comment

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus