Wednesday, September 26, 2012

HUJAH KES: Hibah Ketika Maradul Maut

Dikongsikan hujah kes hibah ketika marad-ul-maut yang telah diputuskan oleh Mahkamah bahawa harta tersebut disahkan sebagai hibah sebanyak 1/3 sahaja. Manakala baki 2/3 adalah harta pusaka yang hendaklah diserahkan kepada Baitulmal (anakguam saya) selaku waris asabah. Keputusan ini tidak dirayu oleh kedua-dua pihak.


 
ISU 1: Sama ada Defendan mempunyai locus standi bertindak dalam kes ini atas kapasiti sebagai waris asabah.

1.      Berdasarkan kepada keterangan pihak Plaintif selaku anak angkat kepada si mati, dan keterangan SP1 melalui Affidavit Pernyataan beliau, maka adalah didapati si mati tidak ada meninggalkan waris nasab yang beragama Islam. Justeru menurut Hukum Syarak Defendan selaku pentadbir Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor adalah sah bertindak sebagai waris menurut Hukum Syarak.

2.      Kami memetik kitab Raudah al-Talibin karangan Imam an-Nawawi jilid 5, halaman 6-7 yang menyebutkan:
فإن لم يخلف ذا فرض ولا عصبة ورث ذوو الأرحام.
وقولنا إن الصحيح أنهم لا يرثون ولا يرد هو فيما إذا استقام أمر بيت المال بأن ولي إمام عادل
Bermaksud: Sekiranya si mati tidak meninggalkan waris fardu, dan tidak meninggalkan waris asabah, maka hendaklah diwarisi oleh zawil arham. Pada pandangan kami: Sesungguhnya pendapat yang sahih zawil arham itu tidak mewarisi dan tidak juga dipulangkan lebihan harta, iaitu dalam keadaan bilamana urusan baitulmal ditadbir dengan baik dengan diperintah oleh Pemimpin yang adil.

(sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran A)

3.      Berdasarkan pandangan mazhab Syafi'i di atas, maka Defendan selaku pemerintah baitulmal adalah berhak ke atas harta peninggalan si mati yang tidak berwaris sebagai pemegang amanah bagi seluruh umat Islam disebabkan si mati selaku seorang muallaf yang tidak meninggalkan mana-mana waris nasab.

RUKUN-RUKUN HIBAH MENURUT HUKUM SYARAK.

4.      Bagi menentukan kesahihan hibah yang didakwa oleh Plaintif, kesempurnaan setiap rukun hibah perlulah diperinci dan dibuktikan satu persatu. Sekiranya rukun hibah tidak dipenuhi maka hibah tersebut menjadi tidak sah dan dakwaan Plaintif sewajarnya ditolak.

5.      Menurut Jumhur Fuqaha’ terdapat empat (4) rukun hibah yang perlu dipenuhi beserta dengan syarat-syarat bagi setiap rukun iaitu:

i) al-wahib: orang yang menghibahkan - PEMBERI
ii)          al-mawhub lahu: orang yang menerima hibah- PENERIMA
iii)         al-mawhub: HARTA yang dihibah
iv)         al-sighah: lafaz ijab dan qabul

6.      Dalam Mughni al-Muhtaj oleh al-Syarbini jilid 3, halaman 560 ada menyebutkan:

( وَشَرْطُ الْهِبَةِ ) لِتَتَحَقَّقَ عَاقِدَانِ كَالْبَيْعِ ، وَهَذَا هُوَ الرُّكْنُ الْأَوَّلُ ، وَلَهُمَا شُرُوطٌ ، فَيُشْتَرَطُ فِي الْوَاهِبِ الْمِلْكُ ، وَإِطْلَاقُ التَّصَرُّفِ فِي مَالِهِ ، فَلَا تَصِحُّ مِنْ وَلِيٍّ فِي مَالِ مَحْجُورِهِ وَلَا مِنْ مُكَاتَبٍ بِغَيْرِ إذْنِ سَيِّدِهِ ، وَيُشْتَرَطُ فِي الْمَوْهُوبِ لَهُ أَنْ يَكُونَ فِيهِ أَهْلِيَّةُ الْمِلْكِ لِمَا يُوهَبُ لَهُ مِنْ تَكْلِيفٍ وَغَيْرِهِ ، وَسَيَأْتِي أَنَّ غَيْرَ الْمُكَلَّفِ يَقْبَلُ لَهُ وَلِيُّهُ فَلَا تَصِحُّ لِحَمْلٍ وَلَا لِبَهِيمَةٍ وَلَا لِرَقِيقِ نَفْسِهِ ، فَإِنْ أَطْلَقَ الْهِبَةَ لَهُ فَهِيَ لِسَيِّدِهِ ، وَ ( إيجَابٌ وَقَبُولٌ لَفْظًا ) مِنْ النَّاطِقِ مَعَ التَّوَاصُلِ الْمُعْتَادِ كَالْبَيْعِ . وَهَذَا هُوَ الرُّكْنُ الثَّانِي

Bermaksud: dan syarat hibah itu untuk melaksanakannya, ialah dua orang yang berakad, diqiyaskan kepada hukum jualbeli, ini ialah rukun pertama. Dan bagi kedua-duanya ada beberapa syarat. Maka disyaratkan bagi Penghibah hendaklah memiliki, dan mampu melakukan tasarruf secara mutlak terhadap hartanya. Justeru tidak sah hibah dari wali harta terhadap harta orang yang dijaganya (yang tertegah menguruskan hartanya sendiri) dan tidak sah hibah dari hamba mukatab (yang mempunyai kontrak kerja hamba) tanpa izin tuannya, dan disyaratkan bagi penerima hibah hendaklah memiliki kelayakan memiliki barang yang dihibahkan seperti bersifat mukallaf dan sebagainya, dan akan dijelaskan bahawa orang yang bukan mukallaf hendaklah menerima hibah oleh walinya, dan tidak sah hibah kepada kandungan dalam rahim, dan tidak sah kepada binatang dan hamba sendiri, Jika diumumkan hibah kepada hamba itu, maka ia menjadi milik tuannya, dan disyaratkan  ijab dan qabul secara berlafaz daripada orang yang boleh bercakap secara berturut-turut seperti kebiasaan yang diamalkan, sepertimana diqiyaskan dalam hukum jual beli, dan ini adalah rukun yang kedua.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran B)

SYARAT AL-QABD  BAGI PELAKSANAAN HIBAH

7.      Menurut jumhur ulamak termasuklah dalam Mazhab Syafie, selain daripada 4 rukun hibah di atas, terdapat satu syarat utama yang merupakan syarat luzum (iaitu syarat pelaksanaan) bagi hibah yang dinamakan sebagai AL-QABD atau ‘berlakunya penyerahterimaan’.

8.      Keperluan kepada al-qabd ini ada dinyatakan dalam kitab Mughni al-Muhtaj oleh al-Syarbini jilid 3, halaman 565:

 ( وَلاَ يُمْلَكُ مَوْهُوبٌ  إلاَّ بِقَبْضٍ ) ، فَلَا يُمْلَكُ بِالْعَقْدِ لِمَا رَوَى الْحَاكِمُ فِي صَحِيحِهِ { أَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَهْدَى إلَى النَّجَاشِيِّ ثَلَاثِينَ أُوقِيَّةً مِسْكًا ثُمَّ قَالَ لِأُمِّ سَلَمَةَ إنِّي لَأَرَى النَّجَاشِيَّ قَدْ مَاتَ وَلَا أَرَى الْهَدِيَّةَ الَّتِي قَدْ أُهْدِيَتْ إلَيْهِ إلَّا تُسْتَرَدُّ فَإِذَا رُدَّتْ إلَيَّ فَهِيَ لَكِ فَكَانَ كَذَلِكَ }ِ ، وَلاَ بُدَّ أَنْ يَكُونَ الْقَبْضُ ( بِإِذْنِ الْوَاهِبِ ) فِيهِ إنْ لَمْ يَقْبِضْهُ الْوَاهِبُ سَوَاءٌ أَكَانَ فِي يَدِ الْمُتَّهَبِ أَمْ لَا ، فَلَوْ قَبَضَ بِلَا إذْنٍ وَلَا إقْبَاضٍ لَمْ يَمْلِكْهُ
Bermaksud: tidak berpindah milik harta yang dihibah melainkan dengan penyerahterimaan, maka harta yang dihibah itu tidak dimiliki dengan akad semata-mata berdasarkan hadith daripada al-Hakim dalam Sahihnya: (( Sesungguhnya Nabi SAW telah menghadiahkan kepada al-Najashi 30 auqiyyah (unit sukatan) minyak kasturi, kemudian Baginda berkata kepada Ummu Salamah (isteri Baginda): Sesungguhnya aku bermimpi al-Najashi telah meninggal dunia dan aku tidak melihat hadiah yang kuberikan kepadanya melainkan ia dipulangkan semula. Maka sekiranya hadiah itu dipulangkan semula kepada ku, maka ia akan menjadi milik kamu, lalau benarlah terjadi sedemikian)).. Dan hendaklah penyerahterimaan itu dibuat dengan izin pemberi hibah untuk menerimanya jika ia belum diserahkan oleh pemberi hibah, tidak kira sama ada barang itu telah berada di tangan penerima hibah atau tidak, maka jika ia menerima tanpa izin penghibah, atau tanpa penyerahan (oleh penghibah) tidaklah ia menjadi milik penerima hibah.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran C)

9.      Seterusnya dinyatakan dalam kitab Mughni al-Muhtaj oleh al-Syarbini jilid 3, halaman 566:

( فَلَوْ مَاتَ أَحَدُهُمَا ) أَيْ الْوَاهِبُ أَوْ الْمَوْهُوبُ لَهُ ( بَيْنَ الْهِبَةِ وَالْقَبْضِ ) لَمْ يَنْفَسِخْ الْعَقْدُ ، وَ ( قَامَ وَارِثُهُ مَقَامَهُ ) أَيْ وَارِثُ الْوَاهِبِ فِي الْإِقْبَاضِ وَالْإِذْنِ فِي الْقَبْضِ وَوَارِثُ الْمُتَّهَبِ فِي الْقَبْضِ

Bermaksud: maka sekiranya mati salah seorang mereka yakni penghibah atau penerima hibah di antara masa hibah dilafazkan dan masa penyerahterimaan (al-qabd), tidaklah terbatal akad hibah, bahkan warisnya berhak menggantikannya, yakni waris penghibah (menggantikannya) dalam menyerah sampaikan (harta yang dihibah) dan memberi izin bagi penerimaannya manakala waris penerima hibah (menggantikannya) dalam menerima (harta yang dihibah).

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran D)

10.   Berdasarkan kepada pandangan di atas, Qabd hibah ini hendaklah dilaksanakan dengan cara berikut:

i)              Penghibah hendaklah mengizinkan harta tersebut diserah sampaikan kepada penerima hibah sama ada harta tersebut telah berada di tangan penerima hibah atau belum. Jika harta tersebut memang sudah berada dalam tangan penerima hibah, izin penghibah masih diperlukan untuk menjadikan hibah berkuatkuasa.

ii)             Barang yang dihibah tersebut, sekiranya harta alih yang belum diserahkan, maka hendaklah ia diserah sampaikan oleh penghibah atau wakilnya kepada penerima hibah, wakilnya atau walinya. Sekiranya harta tersebut tidak diserah sampaikan kepada penerima hibah, maka hibah tersebut belum terlaksana.

iii)            Penerima hibah atau walinya hendaklah menerima penyerahan harta tersebut dengan cara yang menunjukkan berlakunya penerimaan seperti dipegang dengan tangan (harta alih) atau penguasaan terhadap harta tersebut (bagi harta tak alih). Sekiranya penerima hibah tidak menerima harta yang dihibahkan  tersebut maka hibah tersebut belum berkuatkuasa.

iv)           Penyerahterimaan (proses penyerahan oleh penghibah dan proses penerimaan oleh penerima hibah) tersebut hendaklah dilaksanakan semasa hidup penghibah dan semasa hidup penerima hibah. Sekiranya berlaku kematian salah satu pihak penghibah atau penerima hibah, sebelum penyerahterimaan berlaku, maka terpulanglah kepada waris mereka untuk menyempurnakan penyerahterimaan tersebut atau membatalkannya.

Yang Arif,

11.   Setelah penjelasan terperinci dibuat berkaitan rukun dan syarat hibah, maka tibalah masa untuk Mahkamah ini menilai sama ada rukun-rukun dan syarat-syarat hibah di atas telah dipenuhi dalam kes ini.

12.   Dalam penghujahan ini, kami yang mewakili Defendan hanya menumpukan kepada isu-isu bagi rukun-rukun hibah dan syarat-syarat bagi rukun hibah yang diragui dan dipertikaikan sahaja, iaitu sebagaimana berikut:


ISU 2: RUKUN HARTA YANG DIHIBAHKAN (AL-MAWHUB): Sama ada telah dibuktikan sebagai hak milik penghibah.

13.   Dalam kes ini Plaintif menuntut pengesahan hibah bagi dua (2) harta tak alih,  seperti berikut:

i)              Wang simpanan dalam akaun CIMB Bank (dahulu dikenali Bumiputra-Commerce Bank Berhad) No. Akaun 1224-0065451-52-1 yang berjumlah RM200,000.00. Defendan tidak mempertikaikan bahawa wang simpanan ini adalah hak milik si mati selaku penghibah, berdasarkan kepada buku akaun Bumiputra-Commerce Bank si mati yang ditanda sebagai P15 dengan baki terakhir sebanyak RM214,821.86.

ii)             Harta  si mati seperti peti sejuk, televisyen, air cond, katil, perabut dan hampir kesemua barang-barang yang berada di dalam rumah si mati yang mana kesemua barang tersebut ada bersama Plaintif pada masa ini. Namun tidak terdapat sebarang keterangan tambahan, dokumen dan maklumat berkaitan pemilikan harta tersebut dikemukakan kepada Mahkamah bagi memastikan status pemilikan harta-harta tersebut.

14.   Memandangkan tiada keterangan yang mencukupi diberikan mengenai harta dari jenis kedua, maka Defendan mempertikaikan tentang harta-harta tersebut iaitu peti sejuk, televisyen, air cond, katil, perabut dan lain-lain kerana belum dibuktikan bahawa harta tersebut adalah hak milik penghibah sama ada berdasarkan keterangan saksi atau keterangan dokumentar.

15.   Kewujudan harta tersebut di dalam rumah si mati dan dalam simpanan Plaintif tidak membuktikan harta itu dimiliki oleh si mati. Ini kerana boleh jadi harta itu tidak dimiliki oleh si mati bahkan mungkin hanya disewa atau dipinjam daripada orang lain yang tidak sah dilakukan hibah, atau boleh jadi ia dimiliki oleh si mati secara tidak sah.

16.   Justeru pihak yang mengatakan ia adalah milik si mati selaku penghibah hendaklah mendatangkan bukti. Ini selari dengan hadith Rasulullah SAW:
البينة على المدعي واليمين على من أنكر
Bermaksud: Keterangan hendaklah diberikan oleh pihak yang mendakwa dan sumpah itu hendaklah diberikan oleh pihak yang menafikan dakwaan.

17.   Walau bagaimanapun, harta dari jenis yang pertama iaitu wang simpanan si mati dalam akaun CIMB Bank adalah diakui sebagai hak milik si mati berdasarkan keterangan SP2 dan dokumen yang dikemukakan.

18.   Atas alasan di atas, maka Defendan memohon supaya hibah berkaitan harta-harta selain daripada wang simpanan si mati hendaklah ditolak kerana tiada bukti menunjukkan ia memenuhi rukun dan syarat bagi harta yang dihibahkan.

19.   Justeru dalam hujahan selanjutnya isu harta hibah yang masih relevan untuk dihujahkan ialah berkaitan dengan wang simpanan si mati dalam akaun CIMB bank sahaja.

ISU 3: RUKUN SIGHAH HIBAH: Sama ada wujud sighah ijab hibah sareh secara lisan.

Yang Arif,

20.   Berdasarkan kepada keseluruhan penyata tuntutan Plaintif, dan dalam keterangan utama Plaintif, tidak terdapat sebarang pernyataan yang menunjukkan lafaz ijab hibah yang jelas telah dibuat oleh si mati secara lisan atau berlafaz.

21.   Namun ketika disoal balas Plaintif menyatakan si mati ada melafazkan ijab hibah dalam bahasa Inggeris secara lisan seperti berikut:

“When I die, you take my money and property go back to Filiphine then buy some land and build your house”

22.   Maksud yang difahami daripada ungkapan si mati ialah: “Bila saya mati kamu ambillah duit saya dan harta saya pergilah balik ke Filipina kemudian belilah tanah dan binalah rumah kamu”
23.   Setelah meneliti lafaz di atas, maka didapati ia bukanlah lafaz hibah yang sah kerana ia mengaitkan pemberian tersebut dengan kematian si mati. Pemberian yang dikaitkan dengan kematian adalah dikategorikan sebagai wasiat dan bukannya hibah. Namun ini juga tidak bermakna lafaz ini boleh terus diterima sebagai lafaz wasiat kerana ia hanyalah sekadar dakwaan Plaintif dan lafaz tersebut tidak disokong oleh mana-mana saksi dalam mana-mana peringkat perbicaraan. Justeru Defendan menghujahkan bahawa lafaz tersebut wajarlah diabaikan dan tidak perlu diambil kira.

24.   Berdasarkan kepada keterangan SP1 pula (dalam soal balas), lafaz hibah secara lisan yang didengar dari si mati di Hospital SJMC, beberapa hari sebelum si mati meninggal dunia ialah:

“I am very ill, and I might die soon. Doctor I wish all my belongings to be given to Rey upon my death.”

SP1 menterjemahkan lafaz tersebut dengan maksud: “Doktor, saya sangat sakit, dan umur saya mungkin pendek. Doktor apabila saya meninggal saya nak semua harta saya diberikan kepada Rey”

25.   Setelah meneliti lafaz di atas, maka didapati ia juga bukanlah lafaz hibah yang sah kerana ia mengaitkan pemberian tersebut dengan kematian si mati. Pemberian yang dikaitkan dengan kematian adalah dikategorikan sebagai wasiat dan bukannya hibah. Namun ini juga tidak bermakna lafaz ini boleh terus diterima sebagai lafaz wasiat kerana ia tidak dituntut oleh Plaintif sebagai wasiat dan pengesahan sesuatu wasiat memerlukan kepada pembuktian yang berbeza.

26.   Jika diterima sebagai wasiat sekalipun, lafaz tersebut menunjukkan terdapatnya kebimbangan kematian dalam minda si mati. Justeru ia boleh dikaitkan dengan maradul maut yang mempunyai kesan hukum tertentu, yang akan dihujahkan dalam isu selanjutnya.

27.   Tambahan pula wasiat tersebut boleh dianggap telah dibatalkan oleh si mati sendiri kerana si mati didakwa telah menghibahkan harta tersebut kepada Plaintif semasa hidupnya. Menurut Hukum Syarak wasiat akan terbatal apabila harta yang diwasiatkan telah dilupuskan dengan apa-apa cara. Justeru adalah tidak boleh pemberian tersebut diklasifikasikan sebagai wasiat dan hibah secara serentak dalam satu-satu masa. Apa yang lebih jelas, wasiat si mati, sekiranya ada sekalipun, wajarlah dianggap telah dibatalkan disebabkan si mati telah menghibahkan harta tersebut.

28.   Berdasarkan kepada keterangan soal balas SP3 pula (semasa disoal balas), lafaz ijab hibah yang dibuat oleh si mati secara lisan, pada kali terakhir, iaitu 3 hari sebelum si mati meninggal dunia, adalah berbunyi:

“I want to give all my property and my money to my adopted son Rey who has been looking after me very well”

29.   Maksud ungkapan tersebut seperti yang diterjemahkan sendiri oleh SP3 ialah: “Saya nak memberi semua harta dan wang kepada anak angkat saya Rey yang telah menjaga saya dengan banyak baik”.

30.   Lafaz ijab ini lebih agak berbeza daripada lafaz hibah lisan yang lain kerana ia tidak mengaitkan pemberian tersebut dengan kematian si mati. Namun demikian masih terdapat kekaburan pada maksud lafaz tersebut kerana ia menggunakan perkataan “Saya nak memberi”.

31.   Merujuk kepada Kamus Dewan, perkataan “nak” adalah kependekan bagi perkataan “hendak” yang membawa maksud:
-       1. berhasrat, ingin
-       2. akan, bermaksud akan, mahu

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran E)

32.   Justeru, dengan menyebutkan perkataan “nak memberi” maka maksud hibah menjadi kabur kerana seolah-olah si mati baru “berhasrat atau bercadang untuk memberi” atau “bermaksud akan memberi” tetapi belum memberikannya. Jika si mati benar-benar jelas untuk memberikan hartanya kepada Plaintif, si mati sepatutnya menyebut dengan ungkapan: “saya berikan”.

33.   Di dalam kitab Matla’ul Badrain jilid 2, halaman 2, ada menyebutkan contoh lafaz ijab hibah seperti berikut:

Syarat sighah (ijab dan qabul) hendaklah dengan lafaz:
(1)  Lafaz ijab:
- Aku hibahkan ini kepadamu, atau
- Aku milikkan ini kepadamu, atau
- Aku besarkanmu, Aku muliakanmu, atau
-Aku anugerah ini kepadamu
 (Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran F)

34.   Kewujudan lafaz hibah seperti di atas juga adalah keterangan yang lemah kerana hanya disokong oleh seorang saksi perempuan iaitu SP3 yang merupakan seorang bukan Islam dan ia tidak disokong oleh saksi-saksi lain.

35.   Menurut Hukum Syarak, lafaz ijab dan qabul adalah rukun hibah yang diperlukan bagi menjadikan hibah itu sah.  Imam Jalaluddin al-Mahalli ada menjelaskan mengenai ijab dan qabul ini dalam kitabnya Kanzu al-Raghibin Syarh Minhaj al-Talibin jilid 2, halaman 457:

(وَشَرْطُ الْهِبَّةِ) أَيْ لِتَتَحَقَّقَ (إِيْجَابٌ وَقَبُوْلٌ لَفْظًا) نَحْوَ وَهَبْتُ لَكَ هَذَا, فَيَقُولُ قَبِلْتُ

Bermaksud: “dan syarat hibah itu, yakni untuk melaksanakannya hendaklah ada ijab dan qabul secara berlafaz seperti kata pemberi hibah: Aku hibahkan kepada kamu barang ini, lalu berkata penerima hibah: Aku terima”
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran G)

36.   Justeru, berdasarkan kepada keterangan Plaintif dan tiga orang saksi, adalah didapati Plaintif telah gagal membuktikan wujudnya sighah ijab hibah  sareh secara lisan yang benar-benar boleh dijadikan sandaran. Anehnya jika lafaz ijab hibah tersebut benar-benar wujud, mengapa ia tidak dinyatakan dalam pernyataan tuntutan Plaintif dan keterangan utama beliau dan kenapa ia juga tidak dinyatakan dalam keterangan utama saksi-saksi Plaintif?

37.   Memandangkan sighah ijab hibah secara lisan ini tidak dapat dibuktikan oleh Plaintif maka Mahkamah Yang Mulia ini wajarlah menganggap ia sebagai tidak wujud.

38.   Sebagai rentetan daripada isu ijab hibah yang gagal dibuktikan, maka adalah tidak perlu dibahaskan dalam hujahan ini sama ada wujud atau tidak lafaz qabul dari Plaintif, yang mana kami juga meragui kewujudan sighah qabul tersebut disebabkan lafaz hibah yang dinyatakan oleh SP1 dan SP3 dibuat oleh si mati tanpa dapat dipastikan kehadiran Plaintif di dalam majlis tersebut.

39.   Begitu juga kami berpendapat, adalah tidak perlu dibahaskan sama ada ijab dan qabul tersebut dibuat dengan cara berturut-turut seperti yang disyaratkan menurut Hukum Syarak atau sebaliknya kerana kewujudan lafaz ijab  hibah itu sendiri tidak dapat dibuktikan dengan yakin.

ISU 4: RUKUN SIGHAH HIBAH: Sama ada sighah ijab hibah secara bertulis melalui dokumen P22 (catatan doktor) boleh diterima.

40.   Dalam kes ini Plaintif mendakwa terdapat juga lafaz hibah secara bertulis dibuat oleh si mati semasa hayatnya. Ia telah dikemukakan melalui keterangan dokumentar berdasarkan:

i)              Borang permohonan kiriman wang  sebanyak RM200,000.00 ditanda sebagai P21.

ii)             Catatan SP3 yang didakwa dibuat atas arahan si mati untuk menghibahkan semua harta si mati kepada Plaintif berdasarkan dokumen ID-22 (dipinda kepada P22).

41.   Menurut hukum Syarak sighah ijab hibah secara bertulis adalah dikategorikan sebagai lafaz kinayah yang memerlukan niat penghibah bagi menjadikan lafaz hibah tersebut sah.

42.   Al-Khatib al-Syarbini ada menukilkan di dalam Mughni al-Muhtaj, jilid 3, halaman 560:
وَفِي الذَّخَائِرِ أَنَّ انْعِقَادَ الْهِبَةِ بِالْكِنَايَةِ مَعَ النِّيَّةِ وَبِالِاسْتِيجَابِ عَلَى الْخِلَافِ فِي الْبَيْعِ : أَيْ فَتَصِحُّ وَمِنْ الْكِنَايَةِ الْكِتَابَةُ
Bermaksud: Dan (tertulis) di dalam kitab al-Zakhair: Bahawasanya berlaku hibah dengan lafaz kinayah yang disertai dengan niat, dan (begitu juga berlaku hibah) dengan meminta diijabkan (penerima hibah menyebutkan qabul terlebih dahulu dan meminta penghibah melafazkan ijab selepas itu) berbeza dengan hukum dalam jualbeli. Yakni sah hibah itu. Dan antara contoh kinayah ialah hibah melalui tulisan.
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran H)

43.   Merujuk kepada dokumen hibah yang ditanda sebagai P22, lafaz hibah secara bertulis adalah seperti berikut:

I MURAKAMI EISUKE, OF SOUND MIND, LEAVE ALL MY ASSET (MONEY, PROPERTY ETC) TO MY ADOPTED SON, REYNANTE TABBAL.

44.   Lafaz hibah bertulis tersebut dibuat dalam bahasa Inggeris yang dapatlah diterjemahkan dengan maksud: “Saya Murakami Eisuke, dengan penuh sedar, meninggalkan semua asset (wang, harta dan lain-lain) kepada anak angkat saya Reynante Tabbal.”

45.   Berdasarkan kepada lafaz hibah tersebut maka didapati ia menggunakan perkataan “leave”. Merujuk kepada Kamus Dwibahasa Oxford Fajar, halaman 228 ‘leave’ bermaksud:

      bertolak atau meninggalkan sesuatu tempat
      tertinggal (barang dll)
      meninggalkan (harta dll)
      berhenti dari
      membiarkan

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran I)


46.   Justeru maksud ‘leave’ yang paling tepat seperti mana difahami daripada konteks ayat di atas ialah ‘meninggalkan harta’. Kami menghujahkan bahawa perkataan ‘meninggalkan’ ini tidak membawa maksud hibah yang jelas sebaliknya ia masih bersifat kinayah yang memerlukan niat.

47.   Memandangkan perkataan yang ditulis itu masih bersifat kinayah maka ia tidak dapat diterima sebagai hibah yang soreh melainkan dengan niat penghibah. Persoalannya bagaimanakah niat penghibah ini dapat dibuktikan?

48.   Jika diperhatikan kepada qarinah yang ada, maka tidak terdapat qarinah yang kuat untuk menerima pakai lafaz bertulis P22 ini sebagai hibah yang sareh kerana si mati sendiri tidak menandatangani dokumen P22 tersebut bagi menyempurnakannya. Apatah lagi dokumen tersebut hanya ditulis oleh SP3 yang merupakan orang bukan Islam yang tidak mahir berkaitan hukum Syarak dan ia bukan ditulis oleh si mati sendiri.

49.   SP3 sendiri mengakui dalam soal balas bahawa si mati sendiri faham bahasa Inggeris tetapi tidak begitu fasih dan si mati boleh bercakap bahasa Inggeris tapi tak begitu fasih. Malahan pula SP3 sendiri telah menasihatkan si mati supaya mendapatkan nasihat dahulu daripada penterjemah bahasa Jepun dan tidak menandatangani dokumen tersebut.

50.   Dalam soal semula SP3 sendiri menyatakan bahawa tulisan ini dibacakan kepada si mati dan si mati sendiri juga membacanya, tetapi SP3 tidak pasti sama ada si mati faham atau tidak tulisan tersebut.

51.   Berdasarkan kepada keterangan SP3 tersebut sudah mencukupi untuk menimbulkan keraguan terhadap lafaz hibah bertulis ini kerana berkemungkinan si mati tidak memaksudkannya atau tidak memahami dengan sebenar-benarnya apa yang dituliskan oleh SP3.

52.   Oleh yang demikian Mahkamah ini wajarlah menolak sighah hibah bertulis yang dibuat oleh SP3 melalui catatan persendirian beliau berdasarkan kepada dokumen yang ditanda sebagai P22 tersebut.

ISU 5: RUKUN SIGHAH HIBAH: Sama ada sighah ijab hibah secara bertulis melalui dokumen P21 (borang permohonan kiriman wang) boleh diterima.

Yang Arif,

53.   Merujuk kepada dokumen hibah yang ditanda sebagai P21, ia adalah borang permohonan kiriman wang CIMB Bank dari si mati kepada Plaintif sebanyak RM200,000.00 yang ditandatangani oleh si mati sebelum meninggal dunia. Borang ini juga telah ditandatangani oleh pegawai bank yang berkenaan iaitu SP2.

54.   Dalam borang ini, si mati memohon supaya pihak CIMB Bank memindahkan wang sebanyak RM200,000.00 atau RM199,995.00 (setelah ditolak caj bank) dipindahkan kepada Plaintif di negara Filiphina dengan ditukarkan kepada matawang Peso berjumlah PHP 2,713,636.36.

55.   Walaupun borang ini tidak ditarikhkan, namun borang ini telah disahkan oleh SP2 yang hadir sendiri berjumpa si mati di Hospital SJMC bagi mendapatkan pengesahan si mati untuk mengirimkan wang tersebut kepada Plaintif. Keadaan si mati ketika menandatangani borang ini walaupun dalam keadaan sedar tetapi si mati kelihatan lemah dan perlu mengambil oksigen.

56.   SP2 menyatakan bahawa borang tersebut adalah sah untuk transaksi pindahan wang jika ia dilakukan pada hari yang sama atau beberapa hari semasa si mati masih hidup (disebabkan ia tidak ditarikhkan). Namun demikian apa yang penting, SP2 mengesahkan bahawa transaksi pindahan wang tersebut belum dilaksanakan sehinggalah hari kematian si mati.

57.   Berdasarkan kepada keterangan SP2 tersebut, kami tidak mempertikaikan kesahihan borang ini sebagai suatu sighah hibah bertulis yang telah disertai dengan pengesahan lisan dari si mati atau niat si mati, yang dibuat dihadapan saksi yang merupakan wakil sah yang memegang amanah ke atas wang simpanan si mati tersebut, yang mana menjadikan maksudnya sebagai sighah hibah yang sareh.

58.   Namun demikian ketika soal utama SP2, beliau menyatakan tidak mengingati sama ada Plaintif berada di dalam majlis ketika si mati menandatangani borang ini. Justeru adalah tidak dapat dipastikan sama ada wujud atau tidak sighah qabul dari Plaintif disebabkan Plaintif berkemungkinan tidak berada di dalam majlis tersebut.

59.   Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada tindakan Plaintif yang telah pergi ke kaunter bank berkenaan pada hari tersebut, ia mungkin menunjukkan Plaintif mahu menerima kiriman wang tersebut melalui perbuatan. Akan tetapi, apa yang menimbulkan tanda tanya ialah Plaintif tidak meneruskan perlaksanaan proses kiriman wang tersebut pada hari itu hanya disebabkan pihak bank memberitahu Plaintif untuk membuat bank deraf yang melibatkan beberapa bayaran. Oleh kerana Plaintif tidak pasti tentang perkara itu, Plaintif pulang semula ke Hospital untuk bertanya kepada si mati tentang perkara tersebut.

60.   Setelah si mati ditanya oleh Plaintif, si mati menyatakan terpulanglah kepada Plaintif untuk membuat keputusan berkaitan pindahan wang tersebut. Namun setelah dinasihatkan oleh seorang pegawai hospital bernama Sato, Plaintif telah membuat keputusan menangguhkan transaksi pindahan wang tersebut sehinggalah si mati meninggal dunia.

61.   Kesimpulan yang dapat dibuat dalam isu ini, adalah jelas terdapat sighah ijab bertulis dari si mati untuk menghibahkan RM200,000.00 kepada Plaintif semasa hayatnya. Namun demikian, tidak dapat dipastikan sama ada wujud atau tidak sighah qabul dari pihak Plaintif yang dibuat secara berturut-turut dalam majlis hibah tersebut.

62.   Justeru kami menyerahkan kepada pertimbangan Mahkamah Yang Mulia ini untuk membuat pengesahan mengenai kesahihah sighah ijab dan qabul bagi hibah ke atas wang simpanan si mati sebanyak RM200,000.00 tersebut.




ISU 6: SYARAT QABD HIBAH: Sama ada penyerahterimaan (qabd) harta yang dihibah telah berlaku dengan sempurna.

Yang Arif,

63.   Berdasarkan kepada lima isu yang dibahaskan di atas, kami percaya bahawa dakwaan hibah Plaintif ke atas wang simpanan si mati sebanyak RM200,000.00 tersebut adalah  tidak memenuhi kesemua rukun dan syarat bagi rukun hibah yang ditetapkan oleh Hukum Syarak. Justeru tuntutan Plaintif telah wajar ditolak oleh Mahkamah Yang Mulia ini di peringkat ini.

64.   Walau bagaimanapun, sekiranya Mahkamah Yang Mulia ini berpuas hati dengan kesemua 4 rukun hibah sebagai telah dipenuhi, maka kami akan menghujahkan masih terdapat syarat hibah yang belum disempurnakan oleh Plaintif, khususnya syarat al-qabd.

65.   Persoalan berkaitan qabd hibah ini adalah isu yang paling utama dan penting untuk dibahaskan bagi menentukan kesahihan hibah yang didakwa oleh Plaintif. Keperluan kepada qabd atau penyerahterimaan hibah ini telah dihujahkan dalam perenggan 18 hingga 21 hujahan ini.

66.   Seperti mana yang telah dihujahkan, al-qabd ini memerlukan kepada sekurang-kurangnya 4 perkara penting untuk menjadikannya sempurna. Secara ringkasnya al-qabd yang perlu dilakukan dalam kes harta tak alih (wang simpanan) seperti mana yang dituntut dalam kes ini, ialah:

i)              Penghibah (si mati) mestilah memberi izin supaya penerima hibah  (Plaintif) mengambil atau menerima harta yang dihibah tersebut (wang simpanan).

ii)             Penghibah atau wakilnya (pegawai bank) mestilah menyerahsampaikan harta yang dihibah kepada penerima hibah.

iii)            Penerima hibah mestilah menerima harta yang dihibahkan tersebut (wang simpanan), dengan cara memegang wang tunai secara fizikal atau menguasainya dengan cara semasa, seperti menerimanya ke dalam akaun bank penerima hibah, menerima bank deraf yang dikeluarkan atas nama penerima hibah atau cara lain yang sesuai.

iv)           Penyerahan harta yang dihibah oleh penghibah (al-iqbad) dan penerimaan harta yang dihibah oleh penerima hibah (al-qabd) hendaklah berlaku semasa kedua-dua penghibah dan penerima hibah masih hidup.

Yang Arif,

67.   Perkara pertama dan kedua dalam syarat al-qabd adalah tidak dipertikaikan kerana berdasarkan kepada keterangan Plaintif dan saksi-saksi adalah jelas si mati selaku penghibah telah memberi izin supaya Plaintif menerima kiriman wang tersebut dan si mati telah mengarahkan wakilnya, iaitu pihak bank untuk menyerahkan kiriman wang tersebut kepada Plaintif.

68.   Namun perkara ketiga dan keempat dalam al-qabd adalah dipertikaikan kerana kiriman wang sebanyak RM200,000.00 tersebut belum diterima oleh Plaintif sama ada semasa si mati masih hidup atau selepas si mati meninggal dunia hingga ke hari ini. Justeru pada prinsipnya kami menghujahkan bahawa qabd yang disyaratkan menurut Hukum Syarak tersebut belum berlaku dengan sempurna.

69.   Dalam membicarakan isu ini, kami memetik pandangan al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj, jilid 5, halaman 414 - 415 yang menyatakan:

وَلَوْ أَذِنَ لَهُ وَرَجَعَ عَنْ الْإِذْنِ أَوْ جُنَّ أَوْ أُغْمِيَ عَلَيْهِ أَوْ حُجِرَ عَلَيْهِ كَمَا بَحَثَهُ الزَّرْكَشِيُّ أَوْ مَاتَ أَحَدُهُمَا قَبْلَ الْقَبْضِ بَطَلَ الْإِذْنُ
Bermaksud: dan sekiranya (penghibah) memberi izin (supaya menerima harta hibah) kepada penerima hibah lalu dia menarik balik izinnya, atau dia menjadi gila, atau  tidak sedar diri (koma) atau ditegah menguruskan harta seperti mana yang diutarakan oleh al-Zarkasyi, atau mati salah seorang (penghibah atau penerima hibah) sebelum penerimaan (barang yang dihibah), maka terbatallah keiizinan tersebut.
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran J)
70.   Berdasarkan kepada pandangan tersebut maka adalah jelas, keiizinan yang diberikan oleh si mati kepada wakilnya iaitu SP2 selaku pegawai bank terbabit untuk penyerahan harta yang dihibah kepada penerima hibah adalah terbatal disebabkan berlaku kematian si mati sebelum harta tersebut diterima oleh Plaintif. Justeru tindakan SP2 membekukan transaksi kiriman wang tersebut selepas kematian si mati adalah tindakan yang tepat dan bijak.

71.   Setelah terbatal keiizinan penghibah disebabkan kematiannya, maka kesan selanjutnya bagi hibah tersebut adalah seperti mana yang dinyatakan oleh al-Nawawi dalam Raudah al-Talibin, jilid 4, halaman 431:

ولو مات الواهب أو الموهوب له بعد العقد وقبل القبض فوجهان وقيل قولان أحدهما ينفسخ العقد لجوازه كالشركة والوكالة وأصحهما لا ينفسخ لأنه يؤول إلى اللزوم كالبيع الجائز بخلاف الشركة فعلى هذا إن مات الواهب تخير الوارث في الاقباض وإن مات الموهوب له قبض وارثه إن أقبضه الواهب
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran K)

Bermaksud:dan sekiranya mati penghibah atau penerima hibah selepas akad hibah dan sebelum penyerahterimaan, maka terdapat dua aliran atau dua pandangan. Salah satunya terbatallah akad hibah kerana keharusan membatalkan akad hibah itu boleh diqiyaskan kepada hukum persyarikatan dan perwakilan. Dan pandangan yang paling sahih ialah akad hibah tidak terbatal kerana perlu dikembalikan kepada perlaksanaannya diqiyaskan seperti hukum jual beli yang harus (melakukan khiyar dalam tempohnya) berbeza daripada qiyas ke atas hukum persyarikatan, maka berdasarkan pandangan ini, jika mati penghibah, maka warisnya berhak melakukan khiyar (memilih untuk melaksanakan hibah atau membatalkan) dalam urusan penyerahsampaian harta yang dihibah. Dan jika mati penerima hibah, bolehlah warisnya menerima (harta yang dihibah), jika ia diserahsampaikan oleh penghibah (atau warisnya tadi).




Yang Arif,

72.   Berdasarkan kepada pandangan di atas, maka ternyatalah hak melakukan khiyar atau hak untuk meneruskan penyerahsampaian (al-iqbad) terhadap harta yang dihibah adalah terserah kepada waris si mati selaku penghibah. Dalam hal ini memandangkan si mati tidak meninggalkan waris nasab, maka Defendan selaku pentadbir baitulmal adalah waris yang sah dan berhak menggantikan tempat penghibah dalam membuat keputusan yang sewajarnya.

73.   Status baitulmal sebagai waris yang berhak menggantikan si mati yang tidak berwaris dalam urusan hibah ada dinyatakan dengan jelas oleh al-Bujairimi dalam kitabnya al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, (iaitu syarahan kepada kitab al-Iqna’ oleh al-Khatib al-Syarbini pada menerangkan matannya), jilid 3, halaman 670:

( قَامَ وَارِثُ الْوَاهِبِ إلَخْ ) فَلَوْ لَمْ يَرِثْ الْوَاهِبُ إلَّا بَيْتُ الْمَالِ فَهَلْ يَقُومُ الْإِمَامُ مَقَامَهُ فِي الْإِقْبَاضِ ؟ قَالَ بَعْضُهُمْ : يَنْقَدِحُ أَنْ يُقَالَ إنْ كَانَتْ تِلْكَ الْعَيْنُ لَوْ كَانَتْ مِلْكًا لِبَيْتِ الْمَالِ بِأَنْ لَمْ يَكُنْ وَارِثٌ غَيْرَهُ كَانَ لِلْإِمَامِ أَنْ يُمَلِّكَهَا لِلْمُتَّهِبِ لِأَنَّ لِلْإِمَامِ إقْبَاضَهُ إيَّاهَا وَإِلَّا فَلَا .
Bermaksud: (MATAN: WARIS PENGHIBAH BERHAK MENGGANTIKAN….) Maka sekiranya penghibah tidak meninggalkan waris melainkan baitulmal, maka adakah pemerintah boleh menggantikan tempat penghibah dalam menyerahsampaikan (barang yang dihibah)? Berkata sebahagian mereka: masih berbantahan untuk diperkatakan sekiranya barang yang dihibah itu milik baitulmal disebabkan tidak terdapat waris selainnya maka adalah boleh bagi Pemerintah menyerahmilik barang itu kepada penerima hibah kerana Pemerintah itu berhak menyerahsampaikan kepadanya barang yang dihibah, dan sekiranya tidak (yakni jika terdapat waris lain), maka Pemerintah tidak berhak (melakukan penyerahan).

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran L)


74.   Selanjutnya, kami merujuk kepada peranan baitulmal yang diperuntukkan dalam subseksyen 81(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003:

“Baitulmal hendaklah terdiri daripada semua wang dan harta, alih atau tak alih, yang menurut Hukum Syarak atau di bawah Enakmen ini atau peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya, terakru, atau disumbangkan oleh mana-mana orang, kepada Baitulmal.

75.   Oleh yang demikian, sekiranya Mahkamah berpendapat rukun hibah berkaitan penghibah, penerima hibah, harta yang dihibah dan sighah hibah telah dipenuhi dengan sempurna bagi hibah wang simpanan si mati sebanyak RM200,000.00 tersebut, kami memohon supaya Mahkamah Yang Mulia ini mensabitkan bahawa syarat luzum hibah, iaitu al-qabd masih belum sempurna disebabkan berlaku kematian penghibah sebelum harta diterima (qabd) oleh Plaintif.

76.   Kami juga memohon supaya Mahkamah Yang Mulia ini mensabitkan hak kepada Defendan selaku waris si mati untuk menggantikan si mati selaku penghibah dalam melakukan khiyar atau membuat keputusan selanjutnya sama ada untuk melaksanakan penyerahan harta yang dihibah atau membatalkannya atau melakukan apa-apa perbuatan lain yang suai manfaat menurut pertimbangan dan budibicara Defendan.

ISU 7: Sama ada hibah berlaku dalam keadaan biasa atau keadaan MARADUL-MAUT.

Yang Arif,

77.   Isu ini perlu dibangkitkan di sini kerana sekiranya Mahkamah ini hendak mengesahkan hibah tersebut atau sekiranya Defendan hendak menyempurnakan penyerahsampaian harta yang dihibah tersebut sebagai pengganti si mati, maka perlulah dipastikan kadar hibah yang sepatutnya disahkan. Ini kerana Defendan mendakwa jika hibah tersebut dilakukan dalam keadaan marad al-maut ia  akan tertakluk kepada kadar yang tidak melebihi 1/3 menurut Hukum Syarak.
78.   Bagi memudahkan kefahaman, kami merujuk kepada subseksyen (2) 1 Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999 bagi tafsiran perkataan ‘marad al-maut’ yang diertikan seperti mana berikut:

“marad al-maut” ertinya penyakit membawa maut yang berhubungan dengannya syarat-syarat berikut telah dipenuhi-
(a)  penyakit itu mestilah menyebabkan kematian si mati;
(b)  penyakit itu mestilah menyebabkan kebimbangan kematian dalam minda si mati dan
(c)  mestilah terdapat beberapa tanda luaran suatu penyakit yang serius

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran M)

79.   Persoalannya adakah ketika hibah dibuat si mati dalam keadaan marad al-maut seperti yang diertikan dalam peruntukan di atas. Dan sekiranya sabit hibah dibuat dalam keadaan marad al-maut, apakah kesannya kepada hibah yang dibuat?

80.   Terlebih dahulu kami merujuk pandangan al-Sayyid Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah, jilid 3, halaman 279-280:

هبة المريض مرضَ الموت: إذا كان شخص مريض مرض الموت ووهب غيره هبةً فحكم هبته كحكم الوصية, فإذا وهب هبة لأحد ورثته ثم مات, وادعى باقي الورثة أنه وهبه في مرض موته وادعى الموهوب له أنه وهبه في حال صحته, فإن على الموهوب له أن يثبت قوله, وإن لم يفعل اعتبرت الهبة أنها حصلت في مرض الموت وجرى حكمها على مقتضى ذلك أي أنها لا تصح إلا إذا أجازها الورثة....
Bermaksud: HIBAH PESAKIT KETIKA MARAD AL-MAUT: apabila seseorang pesakit itu berada dalam keadaan marad al-maut dan dia memberikan hartanya kepada orang lain  secara hibah, maka hukum hibahnya itu adalah seperti wasiat (tidak boleh melebihi 1/3). Selanjutnya apabila dia menghibahkan kepada salah seorang warisnya kemudian dia mati (setelah sempurna penyerahterimaan), lalu baki ahli waris yang lain mendakwa bahawa si mati itu melakukan hibah dalam keadaan marad al-maut, dan penerima hibah pula mendakwa bahawa si mati melakukan hibah dalam keadaan sihat, maka (wajib) ke atas penerima hibah membuktikan dakwaannya, sekiranya penerima hibah gagal membuktikannya, maka dianggap hibah tersebut berlaku dalam keadaan marad al-maut dan berlakulah hukum berdasarkan ketetapan tersebut, yakni sesungguhnya hibah itu tidak sah melainkan dengan persetujuan ahli waris.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran N)

81.   Berdasarkan kepada pandangan di atas terdapat beberapa prinsip yang perlu diguna pakai dalam isu marad al-maut ini, iaitu:

i)              Pihak yang mendakwa hibah berlaku dalam keadaan marad al-maut adalah berada di pihak yang lebih meyakinkan. Justeru Plaintif selaku pihak yang mengatakan tidak berlaku marad al-maut hendaklah membuktikan sedemikian.

ii)             Hibah yang dibuat semasa maradul maut, kepada bukan waris, dalam keadaan penghibah meninggalkan waris, hanya sah setakat 1/3 sahaja.

iii)            Hibah yang dibuat semasa marad al-maut, kepada ahli waris, dalam keadaan penghibah meninggalkan waris-waris lain, adalah tidak sah melainkan dengan persetujuan waris-waris lain tersebut.

Yang Arif,

82.    Kami menghujahkan bahawa berdasarkan kepada keterangan SP1 dan SP3 yang merupakan doktor yang merawat si mati, kami meyakini bahawa hibah ke atas wang simpanan si mati sebanyak RM200,000.00 yang dibuat beberapa hari sebelum kematian si mati adalah dibuat dalam keadaan marad al-maut dan telah menepati erti marad al-maut yang diperuntukkan oleh Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999, atas alasan berikut:

i)              Syarat  PERTAMA :penyakit itu mestilah menyebabkan kematian si mati;

Dalam hal ini telah disahkan oleh SP1 (ketika soal balas) dan SP3 selaku doktor yang merawat si mati, bahawa si mati telah mati disebabkan penyakit kanser atau barah hati atau Hepatoma. Malah nama SP3 tercatat sebagai pengesah kematian dalam sijil kematian si mati yang ditanda sebagai P11.

ii)             Syarat KEDUA: penyakit itu mestilah menyebabkan kebimbangan kematian dalam minda si mati

Terdapat banyak petunjuk yang menyokong kenyataan bahawa penyakit tersebut menyebabkan kebimbangan kematian dalam minda si mati. Ini kerana SP1 ada memberitahu (dalam soal balas) bahawa si  mati ada bercakap kepada SP1 semasa di Hospital SJMC, beberapa hari sebelum si mati meninggal dunia dengan lafaz: “Doctor, I am very ill, and I might die soon…” yang bermaksud: “Doktor saya sangat sakit dan umur saya mungkin pendek…..”

Hal ini juga boleh disabitkan dengan pengakuan (ikrar) Plaintif seperti dalam perenggan 13 Penyata Tuntutannya, iaitu : “keadaan kesihatan bapa angkat Plaintif menjadi semakin tidak menentu sepanjang akhir tahun 2006 dan akhirnya dimasukkan ke Pusat Perubatan Subang Jaya pada lebih kurang dalam bulan Disember 2006. Bimbangkan keadaan kesihatannya tersebut, Bapa angkat Plaintif seringkali menyuarakan hasratnya untuk menyerahkan hartanya termasuklah duit simpanan di Bank Bumiputra-Commerce (CIMB Bank Berhad) kepada Plaintif……”

iii)            Syarat KETIGA: mestilah terdapat beberapa tanda luaran suatu penyakit yang serius

Hal ini juga dapat dibuktikan melalui keterangan SP3 (ketika soal balas) bahawa dalam masa terdekat sebelum kematian si mati, si mati ada sakit teruk. Tiga hari sebelum kematian si mati, si mati benar-benar sakit teruk. Si mati juga ada gejala perut besar atau membengkak sejak didiagnos menghidap penyakit barah hati.
Keterangan SP1 selaku doktor juga ada menyebutkan (ketika soal balas): “Keadaan si mati kali terakhir yang saya jumpa boleh diklasifikasikan sebagai serius, dalam tempoh 9 hari saya ada melawat si mati di ICU, masa di ICU si mati dah tak boleh bercakap, ketika itu si mati tidak sedar.

83.   Berdasarkan kepada fakta-fakta di atas, maka tidak syak lagi, kesemua 3 syarat bagi membuktikan wujudnya marad al-maut telahpun berlaku. Justeru Mahkamah ini wajarlah menerima dakwaan Defendan dalam isu kewujudan marad al-maut ini.

84.   Setelah Mahkamah mensabitkan berlakunya keadaan hibah ketika marad al-maut, maka berdasarkan kepada autoriti di Lampiran N, Mahkamah ini bolehlah mensabitkan bahawa hibah tersebut hanya sah setakat 1/3 bahagian sahaja kerana ia diqiyaskan sama seperti hukum wasiat.

85.   Kami merujuk kepada subseksyen 6 (4) Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999:

(4) Jika seseorang pewasiat dalam keadaan marad al-maut, wasiatnya hendaklah tidak melebihi dari satu pertiga dari hartanya dan jika harta yang diwasiatkan itu melebihi satu pertiga, wasiatnya hanya boleh diterima dengan persetujuan semua waris.
.
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran O)

86.   Justeru kami menghujahkan kadar 1/3 inilah yang perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah ini jika Mahkamah ini hendak mengesahkan hibah yang dibuat  oleh si mati. Begitu juga sekiranya Mahkamah ini mengesahkan hibah tersebut belum sempurna al-qabd dan Defendan berhak menggantikan si mati dalam melaksanakan penyerahan harta yang dihibah, maka kadar 1/3 ini jugalah yang akan menjadi pertimbangan pihak Defendan.




KES SYARIAH YANG DIRUJUK

87.   Dalam kes Mahkamah Rayuan Syariah Pahang, antara Ibrahim bin Haji Abu Bakar lwn Mohd Seh bin Mohd Ali dan satu lagi (Jurnal Hukum, Jilid XVI, Bgh II), Perayu telah membuat tuntutan untuk mengesahkan wasiat atau hibah yang dibuat oleh arwah Azhari bin Mohd Ali mengenai sebidang tanah HSD 389, PT 1885, mukim Pekan, Pekan Pahang ke atasnya. Perayu adalah cucu tiri kepada si mati (Azhari). Perayu mendakwa bahawa sebelum meninggal dunia, si mati ada berwasiat dan ini didengar oleh beberapa orang saksi. Kesemua saksi telah membuat satu akuan sumpah berhubung lafaz si mati. Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi telah menolak tuntutan perayu untuk mensabitkan wasiat dan hibah atas alasan surat akuan itu bukanlah surat wasiat si mati kerana tidak ditandatangani oleh si mati sendiri dan tidak berlaku urusan pindah milik tanah semasa hayat si mati.

88.   Panel Hakim Rayuan telah mendengar rayuan tesebut dan memutuskan rayuan Perayu ditolak kerana hibah tidak berlaku disebabkan tidak berlaku ijab dan qabul oleh pemberi hibah sebelum kematiannya. Wasiat si mati juga tidak dapat disahkan kerana dokumen wasiat tersebut meragukan dan tidak menepati kehendak Hukum Syarak, dan kegagalan perayu mengambil tindakan sewajarnya mengenai wasiat yang pada tanggapannya telah memadai dengan hanya mengemukakan akuan bersumpah tidak dapat meyakinkan Mahkamah tentang sahnya wasiat itu.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran P)

89.         Kami percaya keputusan Mahkamah Rayuan Syariah tersebut wajar dihormati dan dijadikan panduan oleh Mahkamah ini. Prinsip yang boleh diguna pakai dalam kes ini berdasarkan kepada kes di atas ialah:

i)              Mahkamah ini wajar menolak tuntutan pengesahan hibah atas alasan tidak dapat dibuktikan telah berlaku ijab dan qabul hibah semasa hidup si mati.


ii)             Mahkamah ini wajar menolak permohonan pengesahan wasiat atas alasan wujudnya keraguan tentang kesahihan dokumen wasiat (seperti dokumen yang ditanda sebagai P22) atau wujud keraguan atau kesamaran pada lafaz sighah wasiat secara lisan.

Yang Arif,

90.         Atas hujah-hujah yang dikemukakan, kami mewakili Defendan  dengan rendah diri dan dengan penuh tawadduk dan tawakkal, memohon supaya Mahkamah Yang Mulia ini menolak tuntutan Plaintif dan meluluskan  tuntutan balas Defendan serta mengeluarkan perintah seperti berikut:

i)              Mahkamah menolak tuntutan pengesahan hibah Plaintif terhadap harta si mati MURAKAMI EISUKE berupa peti sejuk, televisyen, aircond, katil, perabut dan barang-barang yang berada di dalam rumah si mati kerana tidak memenuhi rukun hibah.

ii)             Mahkamah menolak tuntutan pengesahan hibah Plaintif terhadap wang simpanan si mati sebanyak RM200,000.00 dalam akaun CIMB Bank Berhad nombor akaun 1224-0065451-52-1 kerana tidak memenuhi rukun hibah.

ATAU, sebagai alternatif jika Mahkamah mengesahkan rukun hibah telah dipenuhi bagi tuntutan hibah ke atas wang simpanan si mati tersebut,

iii)            Mahkamah mengesahkan bahawa hibah yang dibuat oleh si mati kepada Plaintif terhadap wang simpanan si mati sebanyak RM200,000.00 dalam akaun CIMB Bank Berhad nombor akaun 1224-0065451-52-1, adalah dibuat dalam keadaan marad al-maut dan hanya boleh dilaksanakan setakat 1/3 sahaja, tertakluk kepada keizinan Defendan selaku waris si mati.


iv)           Mahkamah mensabitkan bahawa hibah yang dibuat oleh si mati kepada Plaintif terhadap wang simpanan si mati dalam akaun CIMB Bank Berhad nombor akaun 1224-0065451-52-1 belum disempurnakan syarat al-qabd oleh si mati dan Mahkamah mensabitkan Defendan selaku waris si mati berhak bertindak sebagai pengganti si mati untuk melaksanakan penyerahsampaian hibah tersebut  (al-iqbad) kepada Plaintif atau membatalkannya atau melakukan apa-apa tindakan yang suai manfaat menurut pertimbangan Defendan.

v)            Mahkamah memerintahkan bahawa baki semasa, termasuk segala faedah terakru, daripada wang simpanan si mati dalam akaun CIMB Bank Berhad nombor akaun 1224-0065451-52-1, setelah ditolak pemberian hibah kepada Plaintif (sekiranya ada), adalah harta peninggalan si mati yang hendaklah dibahagikan menurut faraid, iaitu diserahkan keseluruhan bahagian (asabah) kepada Defendan.

vi)           Apa-apa perintah lain yang suai manfaat menurut Hukum Syarak khususnya berkaitan kos guaman Defendan dan hutang si mati yang belum dijelaskan.



Bertarikh pada       08    haribulan      JULAI  tahun   2012.

Wallahu A’lam.
Peguam Syarie Defendan (JURAISH BIN KAMARUDDIN)

No comments:

Post a Comment

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus