Saturday, January 31, 2009

Tak Jadi Kahwin Kerana Wajah Seiras, Bimbang Berlaku ZIHAR

Persoalan Mengenai Zihar Yang Merungsingkan (Dari Seorang Pembaca)

Assalamualaikum,

Pertama sekali sy ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana buku yg saudara hasilkan memberikan sy jawapan yg selama ini mengelirukan sy.Walaupon sy belum mendirikan rumah tangga,namun sy yakin buku ini sesuai utk org seperti sy.Namun jika saudara tidak keberatan,sy ingin mohon jasa baik saudara utk memeberikan sedikit pendapat atau nasihat yg ptt sy berikan buat teman lelaki sy.Sy harap sngt dengan ilmu yg saudara ada,sudi sekiranya saudara memberi nasihat dan pedoman buat kami berdua.

Sebenarnya sy dpt tahu ttg buku saudara dr slh seorang forumer di forum halaqah .Forumer itu mencadangkan agar sy dan teman sy membaca buku itu .Ini kerana tmn lelaki sy menghadapai masalah dimana dia berasa serba salah utk meneruskan hubungan kami bilaman wajah sy seriras wajah arwah akaknya.Perangai sy pon mengingatkan dia kpd arwah kakaknya.Perkara ini berlanjutan selama hampir 2 thn lebih.Namun dia terpaksa memutuskan perhubungan kami dek krn perkara ini.Dia cuba tepis tp akhirnya tidak mampu membuang perasaan itu .Dia bimbang akan berlaku zihar bila kami berkahwin kelak.Dia berterusan rasa serba salah utk meneruskan perhubungan ini.Sudah sy rujuk pd ustaz dan juga mufti namun rasa bersalah itu ttp tidak hilang.Sy redha dgn keputusan nya utk memutuskan perhubungan kami.Cuma nya saya risau jika perkara ini berlanjutan dan sy ingin sngt memberi tahu dia yg apa yg dia alami sekarang ini bukan lagi berkaitan dgn zihar.Cuma sy tidak tahu bagaimana utkmemberitahunya.Sy berharap sngt kiranya sudilah saudara menjelaskan kapada tmn sy itu ttg masalah yg dihadapi.Saya akan menigirimkan buku ini kepada dia nnt dan email yg sy terima dr saudara nnt akan saya sisipkan dalam buku tersebut.Maaf kerana dgn ilmu yg tidak seberapa dr sy,sy tidak boleh menjelaskan kepada tmn sy ttg masalah nya.Harap sngt dpt bantuan dr saudara.Moga dia tidak lagi membayangkan wajah arwah kakaknya apabila berjumpa dgn sy nnt.Jasa baik saudara amat lah sy hargai.sekian wassalam..
--
Penjelasan Kepada Pembaca Melalui Email
--
Waalaikumus Salam,

Saudari dan saudara yang dirahmati Allah.

Islam disyariatkan dengan membawa 1001 rahmat dan kemudahan kepada umatnya. Kedatangan Islam menghapuskan segala kepayahan, kezaliman, kejahilan dan kemunduran. Kejahilan Arab Jahiliyyah yang selama ini mengamalkan zihar untuk menceraikan isteri mereka juga telah terpadam dengan kedatangan Islam. Islam memberi nafas baru bukan sahaja kepada suami yang menziharkan isteri malah juga kepada isteri yang diziharkan.

Antara Rahmat yang dibawa oleh Islam ialah suami yang melakukan zihar diberi peluang untuk menghapuskan dosanya dengan kifarat. Kifarat zihar yang ditetapkan oleh Allah bukanlah perkara yang terlalu sukar untuk dilakukan. Allah tidak mewajibkan kifarah dengan mendaki 7 gunung atau merenangi 7 lautan. Kifarah yang diwajibkan hanya melepaskan hamba (jika ada), berpuasa (jika mampu) atau memberi makan kepada orang miskin. Semua itu pula ditetapkan dengan memberi pilihan kepada suami mengikut tahap kemampuannya.

Rahmat kepada pihak isteri yang dizihar pula ialah dia tidak lagi tergantung tanpa tali selama-lamanya. Dia hanya perlu menungggu selama tempoh 4 bulan untuk memberi peluang kepada suami membayar kifarat, dan dia juga boleh menunggu lebih lama dari itu mengikut tahap kesabarannya. Jika dia tidak mampu lagi bersabar dia diberi hak untuk memutuskan tali perkahwinan demi menyelamatkannya daripada kezaliman dan penindasan suami yang berzihar.

Meskipun begitu hukum dan kesan zihar yang ditetapkan oleh Islam, namun kita seharusnya tidak cepat berasa cemas. Islam telah menetapkan syarat yang ketat bagi memastikan zihar itu tidak berlaku dengan semudah-mudahnya. Perbuatan menyamakan isteri dengan mahram semata-mata tidaklah boleh dikatakan sebagai zihar melainkan jika kesemua rukun dan syarat zihar dipenuhi.

Antara yang penting untuk mengelakkan kekeliruan, perbuatan menyamakan muka isteri dengan muka mahram suami, jika tidak mengandungi niat menghina, menceraikan atau mengharamkan persetubuhan dengannya, bukanlah perbuatan zihar. Jika penyamaan itu dibuat tanpa sebarang niat pun, ia masih tidak dapat dikatakan zihar secara qat'i dan pasti. Dalam menyamakan muka isteri seperti muka mahram, zihar hanya berlaku jika penyamaan itu dibuat dengan niat membenci isteri, mengharamkan persetubuhan dengannya atau menceraikannya. Bukankah ini amat sukar dan mustahil berlaku kerana biasanya suami hanya menyamakan muka isteri dengan muka mahramnya untuk menunjukkan kekaguman, pujian atau kemuliaan. Perbuatan sedemikian yang mengandungi unsur kemuliaan bukanlah zihar menurut pandangan mazhab Syafii. Begitu juga menyamakan perangai isteri dengan perangai mahram bukanlah zihar kerana perangai bukanlah anggota zahir yang boleh diqiyaskan dengan anggota zihar.

Kesimpulannya, memiliki bakal isteri yang mempunyai muka yang sama dengan mahram bukanlah satu risiko atau penghalang untuk menjalinkan ikatan pernikahan lantaran bimbang terjadinya zihar. Kebimbangan terjadinya zihar dalam situasi sedemikian hanyalah sangkaan dan cetusan hati yang tidak berasas. Jika penyamaan tersebut hanya terlintas di dalam hati, ia tidak akan menjadi zihar. Malah jika penyamaan tersebut dilafazkan dengan lidah sekalipun, ia tidak mencetuskan zihar (selagi hati tidak berniat zihar). Kalau memang muka isteri menyerupai muka mahram, apa salahnya fakta itu dilafazkan. Lafazkanlah sepuas-puasnya supaya kegusaran akan hilang. Ia bukan zihar kerana ia bukan satu penipuan atau penghinaan. Berbeza dengan lafaz zihar yang secara terang-terangan merupakan satu penipuan dan penghinaan.

Semoga Allah menyatukan kalian dalam ikatan iman dan taqwa. Amin.

Thursday, January 29, 2009

PERSOALAN MENGENAI HUKUM ZIHAR

KEMUSYKILAN DARI SALAH SEORANG PEMBACA

Salam,

Ust, saya ada satu kemusykilan berkenaan Zihar. Saya sudah membeli dan membaca buku nukilan ust yang bertajuk memahami hukum zihar dan ila. W/bagaimanapun saya masih kurang faham tentang beberapa perkara. Mohon jasa baik ust beri pandangan.

Ust, ketika sedang berbual dengan ibu, bapa dan adik perempuan saya, bapa saya telah bergurau dengan mengatakan yang punggung adik perempuan saya besar. Saya tertawa dan secara spontan mengatakan " nasib baik rita (isteri saya) punya (punggung) kecil lagi". (pada waktu ini, isteri saya tidak ada bersama kami). Selepas itu, saya merasa was-was adakah sudah jatuh zihar?

Mengikut pada buku ust, ada beberapa komponen asas dalam sighah zihar. Berdasarkan kepada statement saya " nasib baik rita punya kecil lagi" tiada komponen huruf tasybih dalam pengucapan saya dan pengucapan saya hanya secara general. Oleh itu, saya berasa confuse sama ada jatuh hukum atau tidak.

Lagi satu, adakah perbandingan iaitu besar & kecil, gemuk & kurus dan sebagainya boleh jatuh zihar?

Harap ust dapat berikan pandangan berdasarkan situasi yang saya terangkan tadi.

Wassalam, terima kasih


JAWAPAN


Waalaikumussalam.

Terima kasih atas pembelian buku tersebut.

Pertamanya suka saya menasihatkan bahawa perkara berkaitan aurat dan anggota sulit ni jangan selalu dibawa bergurau kerana adakalanya kita tak sedar dan takut terlajak kata dan silap gaya boleh mencetuskan hukum zihar yang berat. Untuk berhati-hati lebih baik perkara sedemikian dijauhi.

Dalam kes saudara nampaknya tidaklah perlu dibimbangkan. Pada pandangan saya hukum zihar tidak berlaku dalam masalah ini kerana:

1) Dalam ungkapan anda huruf tasybih tidak disebut secara nyata. Namun tidak semestinya tanpa huruf tasybih, penyamaan tidak dapat berlaku. Mengikut kaedah bahasa, huruf tasybih boleh dikhazafkan (dibuang) jika maksudnya sudah difahami. Contohnya ungkapan, “punggungmu adalah punggung ibuku” atau “punggungmu punggung ibuku”. Walaupun huruf tasybih tidak disebutkan, maksud penyamaan masih dapat difahami. Sebenarnya dalam ungkapan anda masih terdapat unsur tasybih secara tidak nyata. Walau bagaimanapun masih terdapat unsur lain yang lebih perlu diberi perhatian.

2) Maksud penyamaan yang difahami dalam ungkapan anda adalah dalam bentuk negatif atau penafian. Anda seolah-olah hendak mengatakan punggung isteri anda tidak sama dengan punggung adik perempuan anda dari segi besar atau kecilnya. Hal ini menyebabkan zihar tidak dapat berlaku. Zihar hanya berlaku dalam bentuk penyamaan isbat. Zihar tidak berlaku dalam bentuk penyamaan nafi. Namun pada pandangan saya pengucapan tersebut walaupun tidak dikatakan zihar, ia tetap tidak memberikan apa-apa faedah dan masih disifatkan sebagai ucapan yang lagha dan perlu dielakkan.

Kalaulah anda terlanjur mengatakan sebagai contoh: "Rita punya (punggung) pun sama jugak (sama besarnya dengan punggung mahram)", maka ia lebih berbahaya dan mungkin boleh mencetuskan hukum zihar. Namun saya berharap perkara ini tidak berlaku.

Soalan seterusnya mengenai perbandingan besar atau kecil. Jika ia melibatkan perbandingan mengenai anggota aurat atau istimta' seperti menyamakan saiz buah dada isteri dengan saiz buah dada mahram, maka hukumnya sama seperti menyamakannya dengan anggota istimta' dan boleh membawa kepada hukum zihar. Justeru lebih baik ungkapan seperti itu dielakkan. Tapi kalau sekadar menyamakan saiz bra isteri sama dengan saiz bra mahram (untuk tujuan memberitahu saiz yang betul sebelum membeli sesuatu bra) , maka tidaklah berlaku zihar kerana yang disamakan adalah bra (baju dalam) sahaja.

Terima kasih atas soalan saudara. Jika diizinkan soalan ini akan saya siarkan di blog saya untuk tatapan umum dengan menyembunyikan identiti saudara. Semoga orang lain juga mendapat manfaat daripada soalan saudara.

Sekian. Wassalam.

Thursday, January 22, 2009

OBAMA! Andai Kau Tak Mampu Jadi Umar al-Khattab, Jadilah Abu Talib


Obama, namamu disebut lagi.
Obama, namamu teratas kini.
Obama, dulu kau pacar yang hina.
Obama, kini kau pemimpin dunia.
Salahkah jika aku punyai harapan.
Melihat Obama dalam rahmat Tuhan.

Salahkah jika Obama punyai impian.
Melihat manusia dalam dunia yang aman.

Salahkah aku berdoa pada Tuhan.
Memohon Obama kelak menjadi teman.

Obama, jangan sesekali engkau menjadi OMA (Umar),
ibn Hisyam yang hidupnya memusuhi Tuhan
Si Abu Jahal yang matinya dimusuhi Tuhan.
Jangan sesekali engkau menjadi Fir'aun.
Jangan sesekali engkau menjadi Qarun.

Obama, jadilah kau seperti OMA (Umar)
ibn Khattab yang dulunya musuh ketat
akhirnya menjadi teman rapat
al-Faruq yang dulunya kufur
akhirnya menjadi insan bersyukur


Obama, andai kau tak sanggup memikul Islam,
yang telah kau pinjam darahnya di tubuhmu.
Maka, pikullah khilafah di muka bumi.

Obama, andai kau tak mampu mengejar Iman,
yang telah kau lemparkan di jalanan hidupmu.
Maka, kejarlah Imarah di muka bumi.
Obama, andai kau tak mampu menjadi Umar al-Khattab.
Cukuplah jika engkau menjadi Abu Talib
yang melindungi dan menghormati kami
kerana darah yang mengalir di tubuhmu
adalah darah kami juga...

Tuesday, January 20, 2009

BERDOA Moga Allah Kuatkan Islam dengan Salah 1 Daripada 2 Umar-OMA:(ObaMA @ OsaMA)

Adakah anda masih ingat sejarah di era Fatrah Makkiyyah, ketika Islam menerima tentangan yang hebat daripada musyrikin Mekah, Rasulullah SAW lantas berdoa memohon kepada Allah agar Islam dimulia dan dikuatkan dengan salah satu daripada dua Umar, sama ada Umar Ibn Khatab (Khalifah Kedua) atau Umar Ibn Hisyam (Abu Jahal). Baginda SAW berdoa supaya Allah memberikan hidayahNya kepada salah seorang daripada bangsawan Quraisy itu agar salah seorang mereka akan memeluk Islam dan membantu perjuangan Rasulullah SAW.

Akhirnya, ternyata Allah telah memperkenankan doa RasulNya dengan memilih Umar al-Khattab untuk berkhidmat di jalan agamaNya. Hidayah yang diberikan oleh Allah tidak dapat diduga sama sekali walaupun oleh Umar sendiri yang telah bersumpah untuk menghancurkan Islam dengan kekuatannya. Itulah kekuatan doa seorang Rasul. Bahkan Baginda juga bertitah menyatakan doa itu sememangnya kekuatan dan senjata orang Islam.

Kedua-dua Umar ini telah lama meninggalkan dunia yang fana. Seorang telah bertemu TuhanNya dengan penuh keredaan daripada penduduk bumi dan seluruh penduduk langit. Manakala seorang lagi telah mendapat kemurkaan Tuhan dan kebencian seluruh penduduk bumi dan langit.

Pada hari ini sejarah dua Umar ini kembali lagi. Kali ini dengan nama dua OMA. Seorangnya adalah keturunan hamba abdi kulit hitam yang baru dikenali dunia dengan nama ObaMA. Manakala seorang lagi keturunan petani miskin yang bertukar menjadi jutawan Arab yang telah lama dikenali dunia dengan nama OsaMA. Kedua-duanya berkongsi sejarah, dilahirkan dalam fitrah Islam, tapi adakalanya dipandang sebagai penjenayah. Seorang dilempar dengan jenayah murtad, seorang lagi dilempar dengan jenayah terrorism. Namun kedua-duanya kini sedang menduduki kerusi kepimpinan yang berprestij dan berkuasa tinggi. Seorang menduduki kerusi nombor 1 dunia, Presiden Amerika, polis dunia yang digeruni. Seorang lagi menduduki kerusi nombor 1 aktivis Islam, al-Qaeda , musuh Amerika yang paling dikehendaki. Kedua-dua mereka mempunyai kekuatan tersendiri yang sukar ditandingi oleh mana-mana pemimpin dunia.

Barack Obama. Sebutan Arabnya Barak Obama, Obama yang diberkati. Betapa cantiknya nama itu untuk disebut. Tetapi andai kehadirannya hanya menambah kerosakan kepada dunia, maka nama itu hanya layak disebut sebagai BERAK OBAMA. Semoga Allah memberi hidayahnya untuk dua O..MA. Semoga OBAMA bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam. Semoga OSAMA bertekad untuk bermati-matian memperjuangkan Islam.

Justeru saya menyeru kepada seluruh umat Islam dan warga dunia supaya mengungkapkan kembali doa yang pernah diucapkan oleh Rasulullah SAW supaya dunia Islam dimuliakan dengan salah satu daripada dua OMA. Berdoalah memohon kepada Allah, Tuhan Yang Satu, semoga dunia ini akan dimakmur dan didamaikan dengan kepimpinan salah seorang daripada dua OMA ini. Kalau tidak dapat kedua-duanya bersatu, maka cukuplah salah seorang daripadanya dipilih untuk memuliakan Islam dan membawa kemakmuran kepada dunia sejagat. Amin.

اللهم أعز الإسلام بأحد عمرين

Sunday, January 18, 2009

ISRAEL Minta Maaf & Mengaku Dosa, TAPI BELUM SANGGUP BERTAUBAT!

Gencatan senjata di Gaza yang bermula awal pagi hari ini, tidak boleh diharapkan sangat untuk menjamin keamanan Palestin. Israel dengan lagaknya telah mengisytiharkan bahawa mereka tidak menjamin untuk berundur sepenuhnya dari bumi Gaza. Ini bermakna mereka juga tidak menjamin sepenuhnya gencatan senjata dilakukan.

Setelah keletihan, Israel akhirnya mengakui segala dosa kezaliman yang dilakukan oleh mereka terhadap orang awam yang menjadi mangsa ekperimen ketenteraannya. Dosa besar itu cuba ditutupi dengan ungkapan permohonan maaf yang belum tentu ikhlas. Dosa telah diakui, maaf telah dipinta, tapi untuk bertaubat jauh sekali. Jika ada peluang, pasti mereka akan menggunakannya untuk menambahkan lagi kemusnahan di bumi Gaza.

Sampai bila-bila pun, Yahudi tidak akan tunduk kepada perdamaian dengan umat Islam selagi umat Islam tidak mengikut jejak langkah mereka. Allah Taala sendiri telah menyebutkan dalam ayat 120 surah al-Baqarah: “dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang hati dengan kamu (orang-orang Islam) sehinggalah kamu mengikuti agama (dan jejak langkah) mereka”. Namun jika kita umat Islam berani mengikut jejak langkah Yahudi, maka kita pula akan diancam dengan azab Neraka daripada Allah Taala.

Ironinya, memaafkan kezaliman Yahudi samalah ertinya kita mengikut telunjuk kezaliman mereka. Justeru apa yang patut dilakukan oleh umat Islam bukanlah memaafkan Yahudi. Sebaliknya umat Islam wajib mentaubatkan Yahudi sehingga mereka menerima kebenaran dan keadilan Islam. Kita wajib berdakwah dan melakukan istitabah terhadap Yahudi sehingga mereka beriman kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Yahudi telah lama murtad daripada agama yang lurus.

Tidak ada gunanya kita menawarkan perdamaian kepada Yahudi sedangkan mereka tidak mahu berdamai dengan Tuhan. Percayalah, tanpa iman dan kesanggupan berdamai dengan Tuhan, Yahudi tidak akan berdamai dengan sesama manusia, sehinggalah mereka dibunuh oleh manusia yang mengikat perjanjian damai dengan Tuhan. Wahai pencinta Tuhan dan kedamaian jangan memaafkan Yahudi sehinggalah Yahudi bertaubat dengan menerima perjanjian yang berat dari Tuhan dan menerima kebenaran Islam.

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus