Definisi Qard Hasan
Al-Qard dalam bahasa Arab bermaksud al-Qat’u yang membawa maksud ‘potongan’. Misalnya perkataan al-miqrad bermaksud gunting iaitu alat untuk memotong. Istilah qard digunakan juga kepada maksud ‘pinjaman’ kerana pinjaman itu adalah potongan ke atas harta pemiutang untuk diberikan kepada peminjam. Al-Hasan pula bermaksud baik. Justeru qard hasan bermaksud pinjaman yang baik.
Definisi qard hasan menurut Syarak pula ialah pinjaman yang diberikan kepada peminjam secara ikhlas kerana Allah untuk membantunya menyelesaikan masalah yang dihadapi yang sangat berhajatkan kepada pertolongan, tanpa mengenakan sebarang bentuk balasan. Mazhab Syafi’i mentakrifkan qard sebagai memberi milik sesuatu harta oleh seseorang kepada orang lain untuk digunakan. Peminjam dikehendaki memulangkan semula harta yang dipinjam kepada pemiutang dalam keadaan yang sama seperti sebelum dipinjam atau diganti dengan barang yang sama nilai dengan harta yang dipinjam. [1]
Istilah Berkaitan Qard Hasan
Menurut Dr. Mustofa al-Khin dalam al-Fiqh al-Manhaji, al-qard dinamakan sebagai al-salaf (السلف)oleh penduduk Hijaz. Al-Salaf bermaksud mendahulukan (seerti dengan memberi pinjam). Misalnya perkataan ‘ulama al-salaf’ bermaksud ‘ulama terdahulu’. Dalam sesetengah kitab fiqh seperti Mughni al-Muhtaj al-qard disebut juga sebagai ‘al-ariyyah’(العارية) . Al-Syarbini mentakrifkan al-ariyyah menurut syarak sebagai keharusan memanfaatkan barang yang halal dimanfaatkan dengan mengekalkan (tidak melupuskan) barang itu.
Dengan sebab itu istilah yang dipakai untuk orang yang meminjam (penghutang), yang meminta atau menerima qard adakalanya disebut sebagai: al-muqtaridh (المقترض), al-mustaqridh (المستقرض), al-mustaslif (المستسلف) atau musta’ir(المستعير) . Manakala orang yang memberi qard atau pemiutang disebut sebagai al-muqridh (المقرض) , al-muslif (المسلف) atau al-mu’ir (المعير).
Untuk mengelakkan kekeliruan, perlu juga dinyatakan di sini bahawa dalam sesetengah kitab seperti Minhaj al-Talibin dan Mughni al-Muhtaj, istilah qiradh (قراض) yang diambil daripada kata asal qard tidak dipakai bagi maksud pinjaman tanpa faedah tetapi ia dipakai bagi maksud al-mudharabah (المضاربة) yang melibatkan perkongsian untung. Sedangkan dalam qard hasan tidak terdapat soal mengambil untung disebabkan ia adalah pertolongan ikhlas. Ini berlaku disebabkan al-Nawawi dan al-Syarbini menggunakan istilah al-ariyyah untuk qard.
[1] Al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj, 3/243. Al-Bujairimi, Hasyiah al-Bujairimi ala al-Minhaj, 8/45
No comments:
Post a Comment