Thursday, April 17, 2014

HUJAH HAK JAGAAN DAN LAWATAN ANAK

-->
Pada kali ini saya kongsikan hujah penggulungan saya dalam kes hadhanah bagi pihak ibu yang telah berjaya mendapat hak jagaan. Manakala hak lawatan tanpa bermalam diberikan kepada pihak bapa, atas alasan anak tersebut belum mencapai umur 2 tahun dan masih terikat dengan penyusuan susu badan dari ibunya.





HUJAH PENGGULUNGAN DEFENDAN

1.      Kes ini merupakan tuntutan Plaintif dan tuntutan balas Defendan berkenaan isu hak lawatan seorang anak hasil perkahwinan Plaintif dan Defendan yang bernama Tarikh Lahir: 13 OKTOBER 2012 yang pada masa sekarang (tarikh perhujahan) berusia setahun empat bulan iaitu kurang daripada dua (2) tahun. Permohonan ini dibuat di bawah peruntukan seksyen 82 (hak jagaan) dan 88(2)(d) (hak lawatan) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang dimulai dengan Saman bertarikh 30/4/2013 dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 28/2/2013.

2.      Mahkamah ini adalah berbidangkuasa mendengar tuntutan ini di bawah peruntukan subseksyen 61(3) (b) (iii) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang menyatakan:
Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah –
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan-
(iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) budak-budak.

-       Begitu juga seksyen 82 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan:

Tertakluk kepada seksyen 83, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan

-       Seterusnya peruntukan seksyen 88(2)(d) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan:

88. (2) Tanpa menyentuh keluasan subseksyen (1), sesuatu perintah jagaan boleh
(c) ..
(d) memberi ibu atau bapa yang tidak diberi jagaan atau seseorang dari keluarga ibu atau bapa yang telah mati atau tidak diberi jagaan hak untuk berjumpa dengan kanak­kanak itu pada masa-masa dan dengan seberapa kerap yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah;

3.      Kedua-dua pihak dalam tuntutan ini adalah beragama Islam dan bermastautin dalam Negeri Selangor. Oleh yang demikian, Mahkamah yang Mulia ini adalah berbidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes ini.

4.      Dalam tuntutan ini, Plaintif diwakili oleh Peguam Syarie …… melalui wakalah bertarikh 28/02/2013. Manakala Defendan diwakili oleh Peguam Syarie Tuan Haji Juraish Bin Kamaruddin daripada Tetuan Juraish Syariah Associates yang berwakalah pada 26/03/2013.

5.      Plaintif telah bersetuju menyerahkan hak jagaan anak tersebut sepenuhnya kepada Defendan selaku ibu kepada anak tersebut berdasarkan kepada pengakuan atau iqrar Plaintif sendiri di dalam Perenggan 8 Pernyataan Tuntutan Plaintif yang bertarikh 28 Feb 2013 tersebut.

6.      Defendan pula pada dasarnya bersetuju memberi hak lawatan anak tersebut kepada Defendan selaku bapa kepada anak tersebut. Namun demikian terma-terma hak lawatan yang ditetapkan oleh Defendan tidak dipersetujui oleh Plaintif.

7.      Terdapat 5 isu berkaitan hak lawatan yang tidak dipersetujui oleh Plaintif dan Defendan yang mana akan dihujahkan di sini untuk pertimbangan pihak Mahkamah, iaitu seperti berikut:

i)             Hak Plaintif selaku bapa membawa anak keluar dan bemalam.

ii)            Kekerapan lawatan; sama ada selang beberapa hari atau beberapa
minggu.

iii)           Waktu / masa lawatan; sama ada pada bila-bila masa atau masa
tertentu yang dijadualkan.

iv)           Tempoh masa lawatan; sama ada beberapa jam, kurang atau lebih
dari itu.

v)            Tempat lawatan; sama ada di rumah pemastautinan ibu (Defendan)
                   atau tempat lain khususnya semasa Defendan tinggal di luar Negeri
                   Selangor atas urusan kontrak pekerjaan.

Yang Arif,

8.      Sebelum isu lawatan tersebut dibahaskan satu persatu, kami ingin menegaskan  di sini bahawa berdasarkan kepada fakta kes ini, adalah dipersetujui bahawa anak tersebut belum mencapai usia genap 2 tahun, di mana usia sebenar anak tersebut pada masa sekarang baru mencecah satu (1) tahun empat (4) bulan, setakat Februari 2014.


ISU 1: Hak Plaintif Selaku Bapa Membawa Anak Keluar Dan Bemalam

9.      Hak membawa anak keluar dan bermalam bolehlah digabungkan sebagai satu isu yang sama kerana kedua-duanya melibatkan perbuatan membawa anak tersebut ke tempat yang terpisah daripada ibunya. Ini berbeza dengan hak lawatan anak tersebut di mana anak yang dilawati masih tidak terpisah dan tetap berada di samping ibunya selaku penjaga.

10.   Bagi menentukan hak membawa anak tersebut keluar dan bermalam bersama Plaintif selaku bapa atau seseorang yang selain daripada ibunya, maka perlulah dilihat terlebih dahulu kepada status penyusuan dan keperluan penyusuan anak tersebut pada masa sekarang. Sekiranya anak tersebut masih terikat dengan penyusuan badan, maka wajarlah sekatan sementara dikenakan terhadap pihak yang hendak melawat anak tersebut supaya tidak sewenang-wenang membawa keluar anak tersebut hingga terpisah daripada ibunya. Ini penting untuk menjaga maslahah dan kebajikan anak itu sendiri yang masih memerlukan penyusuan badan daripada ibunya.

11.   Dalam perenggan 11 pembelaan Defendan dan perenggan 22 Afidavit Keterangan Defendan menegaskan bahawa anak tersebut masih menyusu badan secara terus dan kerap dari Defendan selaku ibunya atau ‘direct breast feeding’. Namun demikian Plaintif cuba mempertikaikan fakta tersebut dengan mendakwa bahawa anak tersebut tidak lagi menyusu badan dari Defendan.


12.   Untuk memutuskan dakwaan pihak manakah yang selari dengan keterangan yang zahir berkaitan isu penyusuan badan ini (al-rada’ah) maka kami merujuk kepada firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah, ayat 233:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ وَعلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Bermaksud: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya”.

13.   Selanjutnya kami merujuk kepada firman Allah Taala di dalam Surah Luqman, ayat 14:
وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ
Bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”. 

Yang Arif,

14.   Dalam kedua-dua ayat di atas telah menetapkan kewajipan asal dalam menyusukan anak adalah selama tempoh 2 tahun genap. Dalam tempoh penyusuan ini sepatutnya anak tersebut  tidak dipisahkan daripada ibunya kerana memisahkan anak dari ibunya dalam tempoh penyusuan, samalah ertinya dengan menceraikan susu anak tersebut atau mengurangkan kesempurnaan penyusuan anak tersebut daripada ibunya. Sedangkan apa yang dianjurkan oleh al-Quran ialah melakukan penyusuan secara sempurna dan menceraikan susu anak hanya selepas anak tersebut mencapai umur 2 tahun. 

15.   Sekiranya permintaan Plaintif untuk membawa anak keluar diterima maka samalah ertinya dengan membenarkan Plaintif merampas hak penyusuan sempurna anak tersebut dari ibunya dan ini adalah merupakan satu kezaliman yang perlu dielakkan demi menjaga kebajikan anak tersebut yang lebih utama didahulukan berbanding kemaslahatan ibu bapanya dan pihak lain.

16.   Dalam tuntutan ini Plaintif cuba menggunakan alasan maslahah untuk menghubungkan silaturahim antara beliau, ahli keluarga beliau dan anak tersebut sehingga memerlukan anak tersebut dibawa keluar dan bermalam bersama Plaintif. Kami tidak menolak kepentingan maslahah menyambung silaturahim tersebut. Namun demikian maslahah silaturahim yang dimaksudkan oleh Plaintif itu masih boleh terhasil dengan menunaikan hak lawatan tanpa membawa keluar.

17.   Bahkan, sekiranya anak tersebut dibawa keluar ini akan menyebabkan timbul pula mafsadah atau kemudaratan ke atas anak tersebut kerana terpisah daripada ibu yang menyusukannya. Ini boleh menyebabkan kesan negatif ke atas anak tersebut seperti kekurangan zat atau sakit lain. Dalam keadaan berlaku pertembungan antara maslahah dan mafsadah seperti ini kami merujuk kepada qaedah fiqhiyyah yang disebutkan oleh al-Sheikh Ahmad al-Zarqa’ dalam kitab Syarh al-Qawaid al-Fiqhiyyah, (terbitan Dar al-Qalam) halaman 205:

درء المفاسد أولي من جلب المصالح
Yang bermaksud: : “Menolak kemudaratan itu lebih utama daripada menghasilkan maslahah”

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran A)

18.   Berdasarkan kaedah di atas, menolak kemudaratan yang bakal menimpa anak tersebut adalah lebih utama dilaksanakan berbanding tindakan menghasilkan maslahah menyambung silaturahim dengan anak tersebut yang sebenarnya masih boleh dilakukan dengan cara lain.


19.   Mafsadah yang menimpa anak tersebut jika terpisah dari susu badan ibunya tidak dapat digantikan dengan memberi susu formula semata-mata. Ini kerana khasiat susu ibu dan susu formula adalah tidak sama. Bahkan umum mengetahui bahawa susu ibu adalah makanan terbaik bagi bayi dan tidak dapat ditandingi oleh mana-mana susu formula.

20.   Apa yang pernah dilakukan oleh Defendan yang memberi susu formula kepada anak tersebut sebelum ini adalah disebabkan oleh faktor keperluan atau darurat kerana Defendan sendiri terpaksa keluar menghadiri kelas pengajiannya ketika itu. Tindakan Defendan keluar untuk mencari ilmu adalah suatu tuntutan fardu ain dan ia tidak boleh diketepikan. Sekiranya tidak diberikan susu formula kepada anak tersebut ketika Defendan keluar menuntut ilmu pasti akan menyebabkan kemudaratan terhadap anak tersebut bahkan boleh membawa kepada kehilangan nyawa. Justeru wajarlah pemberian susu formula diberikan kepada anak tersebut pada ketika darurat tersebut sekadar yang perlu bagi menggantikan susu ibu. Ini selari dengan qaedah fiqhiyyah yang disebutkan oleh al-Sheikh Ahmad al-Zarqa’ dalam kitab Syarh al-Qawaid al-Fiqhiyyah, (terbitan Dar al-Qalam) halaman 187:

الضرورات تقدر بقدرها
Yang bermaksud: “Darurat itu diukur menurut kadarnya.”

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran B)
 
21.   Pemakaian hukum ketika darurat ini tidaklah boleh disamakan dengan keadaan bukan darurat. Tuntutan Plaintif untuk membawa anak keluar dan bermalam bagi mengeratkan silaturahim serta memberikannya susu formula kepada anak tersebut bukanlah suatu yang darurat kerana hubungan silaturahim masih boleh dipupuk dengan mengadakan sesi lawatan yang kerap, dan anak tersebut masih boleh diberikan susu badan oleh Defendan jika anak tersebut tidak dibawa keluar atau bermalam bersama Plaintif.

22.   Oleh yang demikian sekiranya tiada keperluan darurat untuk memisahkan anak tersebut daripada ibunya, mengapa perlu anak tersebut dipisahkan daripada Defendan? Adakah membawa anak keluar untuk tujuan menghubungkan silaturrahim yang dinyatakan oleh pihak Plaintif itu telah mencapai tahap darurat dan adakah tidak terdapat cara lain untuk mencapai matlamat silaturahim yang kurang mudaratnya ke atas anak tersebut?

23.   Bagi membuktikan keperluan penyusuan badan ini, Defendan telah mengemukakan keterangan dokumentar daripada pengamal perubatan iaitu laporan kesihatan anak tersebut yang ditanda di dalam affidavit pernyataan Defendan sebagai Ekshibit NH-2. Dalam laporan ini, doktor yang merawat anak tersebut telah mengesyorkan supaya anak tersebut diberi penyusuan badan sepenuhnya mengikut keperluan bayi (on demand) hingga berumur 2 tahun.

24.   Keperluan bayi yang dimaksudkan oleh doktor tersebut sangat penting untuk diambil kira kerana keperluan yang dimaksudkan adalah berbentuk mutlak dan tidak dapat ditetapkan masa-masa yang tertentu untuk penyusuan. Adalah tidak dapat dipertikaikan, bahawa tiada siapa boleh menentukan bilakah masa anak tersebut akan memerlukan susu badan dari ibunya. Justeru sebagai langkah berhati-hati dan ihtiyat, wajarlah anak tersebut tidak dipisahkan daripada ibunya dalam tempoh penyusuan bagi menjamin keperluan penyusuan anak tersebut sentiasa dapat dipenuhi pada bila-bila masa yang diperlukan oleh anak tersebut sama ada waktu siang atau malam.

25.   Berdasarkan kepada keterangan di atas, dakwaan Defendan bahawa anak tersebut masih terikat dengan keperluan menyusu badan sehingga berumur 2 tahun adalah sangat kuat dan selari dengan keterangan zahir yang dikemukakan kepada Mahkamah. Manakala dakwaan Defendan yang mendakwa anak tersebut tidak lagi menyusu badan tidak disokong dengan apa-apa keterangan. Justeru Mahkamah ini wajarlah menerima keterangan Defendan dan menolak dakwaan Plaintif.

Yang Arif,

26.   Persoalan yang relevan dalam isu penyusuan ini ialah “adakah anak tersebut masih memerlukan susu badan atau tidak?” Jika ini menjadi fakta persoalan, maka keterangan yang dikemukakan oleh Defendan adalah mencukupi untuk membuktikan anak tersebut masih memerlukan susu badan dari Defendan.

27.   Seksyen 73 (1) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 menyatakan:

73. (1) Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana Mahkamah memberikan penghakiman tentang apa-apa hak atau tanggungan disisi undang-undang yang bergantung kepada kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan bahawa fakta itu wujud.

28.   Dalam kes ini Defendan telah berjaya membuktikan fakta bahawa anak tersebut masih terikat dengan keperluan penyusuan badan sehingga anak tersebut berumur 2 tahun.

29.   Hikmah dan kepentingan penyusuan ibu ini tidak dapat dipertikaikan lagi kerana ia telah sabit menurut al-Quran dan kajian saintifik moden. Walaupun ketika anak tersebut dibawa ke Mahkamah untuk penilaian didapati anak tersebut serasi dengan Plaintif selaku bapanya, Plaintif tidak boleh membuat andaian bahawa anak tersebut akan serasi dengan beliau jika beliau memberikannya susu formula bagi menggantikan susu ibu semasa membawa anak tersebut keluar atau bermalam. Ini kerana perkara ini tidak pernah dibuktikan oleh Plaintif dalam sejarah atau pengalaman beliau sebagai bapa kepada anak tersebut dan seharusnya andaian itu tidak diterima.

Yang Arif,

30.   Dalam menentukan hak membawa keluar dan bermalam bersama anak, Mahkamah ini juga wajar mempertimbangkan faktor biologi ibu yang berbeza daripada bapa. Ini kerana ibu diperlukan bukan sahaja untuk penyusuan badan. Bahkan menurut Islam, keperluan biologi anak kepada ibu adalah lebih daripada itu. Ini termasuklah dalam soal memberi belaian, asuhan, gurauan, hiburan, ketenangan, menidurkan anak dan sebagainya yang mana sudah tentu ibu adalah yang terbaik disebabkan kelembutan belaian ibu, bau badan, suara dan degupan jantung ibu lebih serasi dengan anak tersebut sejak dari dalam kandungan lagi.

31.   Hal ini dapat dilihat dari Athar atau amalan sahabat Nabi sebagaimana yang pernah diputuskan oleh Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dalam kes hadhanah yang dihadapkan kepada beliau oleh Saidina Umar al-Khattab, yang mana dicatatkan dalam Masnaf Ibn Abi Syaibah, juzuk 4, halaman 162, isu 222, hadith  no 10 (terbitan al-Maktabah al-Syamilah, versi 2):

عن سعيد بن المسيب أن عمر بن الخطاب طلق أم عاصم ثم أتاها عليها وفي حجرها عاصم فأراد أن يأخذه منها فتجاذباه بينهما حتى بكى الغلام فانطلقا إلى أبي بكر فقال له أبو بكر : يا عمر ! مسحها وحجرها وريحها خير له منك حتى يشب الصبي فيختار.

Bermaksud: Dari Said ibn Musaiyab diriwayatkan bahawa Umar bin Al-Khattab menceraikan isterinya ‘Ummu ‘Asim, kemudian beliau datang kepada bekas isterinya itu ketika ‘Asim berada di ribaannya. ‘Umar mahu mengambil anak daripadanya, maka berlaku tarik menarik anak itu sehingga ia menangis, kemudian kedua-duanya pergi kepada Abu Bakar r.a. lalu Abu Bakar berkata kepada Umar: ”Belaiannya, ribaannya dan bauannya adalah lebih baik daripada engkau, sehingga ia menjangkau umur mumayyiz. Kemudian ia akan membuat pilihan sendiri.”

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran C)

32.   Dalam riwayat di atas, tidak disebut secara jelas berkaitan susu ibu. Namun andaian boleh dibuat bahawa anak tersebut masih menyusu badan dari ibunya kerana anak tersebut masih berada di atas ribaan ibunya dan istilah yang digunakan bagi anak tersebut ialah الغلام dan الصبي adalah lazimnya digunakan bagi merujuk kepada kanak-kanak atau bayi yang dibawah umur 2 tahun, seperti mana istilah لغلاما بول digunakan oleh ulamak fiqh dalam bab najis mukhaffafah yang merujuk kepada air kencing kanak-kanak lelaki yang berumur kurang daripada 2 tahun.

33.   Dalam riwayat di atas, Khalifah Abu Bakar selaku hakim telah tidak membenarkan sama sekali anak tersebut yang masih kecil diambil (bermaksud sama seperti dibawa keluar) oleh bapanya walaupun bapanya adalah salah seorang sahabat Nabi yang terkenal. Sebaliknya apa yang difahami dari riwayat tersebut, hanya hak lawatan sahaja yang dibenarkan kepada pihak bapa. Mafhum daripada riwayat tersebut juga jelas menunjukkan keperluan anak tersebut kepada ibunya perlulah disempurnakan, bukan setakat penyusuan badan. Bahkan sekalipun anak tersebut tidak menyusu badan dari ibunya (kerana kekurangan atau ketiadaan susu ibu, sakit dan sebagainya), ribaan ibu, sentuhan ibu dan bau badan ibunya masih diperlukan oleh anak tersebut yang mana tidak dapat diberi oleh bapa atau orang lain.

34.   Berdasarkan kepada riwayat di atas, di mana hak mengambil anak atau membawa keluar anak telah tidak diberikan kepada bapa atas faktor usia dan keperluan anak kepada ibunya, maka secara qiyasnya hak bermalam juga tidaklah boleh diberi kepada bapa kerana ia juga sama ertinya dengan membawa keluar anak tersebut.

35.   Selain daripada autoriti di atas, di dalam kitab Mughni al-Muhtaj, oleh Al-Khatib al-Syarbini, juzuk 5, halaman 200  juga ada menyebutkan secara jelas bahawa anak perempuan yang dijaga oleh ibu dan masih kecil hendaklah tinggal bersama ibu pada waktu siang dan malam, manakala bapa hendaklah datang menziarahi anak sahaja, seperti mana dalam petikan matan berikut:


( أَوْ ) كَانَ الَّذِي اخْتَارَ الْأُمَّ ( أُنْثَى ) أَوْ خُنْثَى كَمَا بَحَثَهُ شَيْخُنَا ( فَعَنَدَهَا لَيْلًا وَنَهَارًا ) لِاسْتِوَاءِ الزَّمَانَيْنِ فِي حَقِّهَا طَلَبًا لِسِتْرِهَا ( وَ ) لَا يَطْلُبُ الْأَبُ إحْضَارَهَا ، بَلْ ( يَزُورُهَا الْأَبُ ) لِتَأْلَفَ السَّتْرَ وَالصِّيَانَةَ ( عَلَى الْعَادَةِ ) مَرَّةً فِي يَوْمَيْنِ فَأَكْثَرَ لَا فِي كُلِّ يَوْمٍ كَمَا مَرَّ .

تَنْبِيهٌ : قَوْلُهُ عَلَى الْعَادَةِ يَقْتَضِي مَنْعُهُ مِنْ زِيَارَتِهَا لَيْلًا ، وَبِهِ صَرَّحَ بَعْضُهُمْ لِمَا فِيهِ مِنْ التُّهْمَةِ وَالرِّيبَةِ …، وَكَذَا حُكْمُ الصَّغِيرِ غَيْرِ الْمُمَيِّزِ وَالْمَجْنُونِ الَّذِي لَا تَسْتَقِلُّ الْأُمُّ بِضَبْطِهِ فَيَكُونَانِ عِنْدَ الْأُمِّ لَيْلًا وَنَهَارًا وَيَزُورُهُمَا الْأَبُ وَيُلَاحِظُهُمَا بِمَا مَرَّ ...

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran D)

Bermaksud:

“(Ataupun) kalau anak yang memilih ibu itu (adalah anak perempuan) atau khunsa seperti yang dibahaskan oleh guru kami, al-Ramli, (maka hendaklah ia tinggal dengan ibu malam dan siang) kerana persamaan kedua-dua waktu itu dalam hak ibu bertujuan untuk melindunginya. (dan) tidak boleh dituntut anak tersebut datang kepada bapa, bahkan (bapa yang perlu menziarahinya) untuk menyempurnakan perlindungan dan penjagaan, (menurut adat kebiasaan) sekali dalam setiap dua hari atau lebih dan bukan setiap hari seperti mana yang telah dibincangkan terdahulu.

Perhatian: ungkapan ‘menurut adat kebiasaan’ itu membawa maksud dilarang bapa daripada melawat anak perempuan pada waktu malam, dan pendapat ini telah dikemukakan oleh sebahagian ulamak kerana ia mengundang tohmah dan kecurigaan…, dan begitu juga hukum bagi anak kecil yang belum mumayyiz dan orang gila yang tidak boleh dipisahkan dari ibu, maka kedua-dua golongan ini hendaklah berada bersama ibu malam dan siang, dan bapa dibolehkan datang menziarahi dan mengawasi mereka atas sebab yang telah dibincangkan..”

36.   Berdasarkan kepada autoriti di atas, adalah jelas anak perempuan tersebut yang dijaga oleh Defendan adalah masih kecil dan tidak boleh berpisah daripada ibunya. Justeru itu anak tersebut hendaklah dibiarkan terus berada bersama ibunya pada waktu siang dan malam. Manakala Plaintif bolehlah datang menziarahi anak tersebut tanpa membawanya keluar atau bermalam.

Yang Arif,

37.   Setelah Mahkamah menerima fakta bahawa anak tersebut masih kecil dan terikat dengan penyusuan badan daripada Defendan, dan keperluan biologi anak tersebut kepada Defendan selaku ibu, maka tuntutan Plaintif untuk membawa anak tersebut keluar dan bermalam bersama Plaintif pada masa akan datang tidaklah boleh dibenarkan sehinggalah sekurang-kurangnya anak tersebut mencapai umur 2 tahun.
 
38.   Sekatan ini bukanlah bersifat kekal. Bahkan ia hanya bersifat sementara sahaja iaitu selama 8 bulan daripada sekarang sebelum anak tersebut mencapai usia 2 tahun pada bulan Oktober 2014.

39.   Pada pandangan kami, sekatan sementara untuk membawa anak tersebut keluar tidaklah memudaratkan Plaintif atau anak tersebut kerana Plaintif sendiri langsung tidak pernah datang melawat atau berjumpa anak tersebut selama tempoh lebih setahun. Justeru tempoh 8 bulan yang ada ini wajarlah dijadikan sebagai tempoh permulaan bagi mengembalikan kemesraan dan keserasian anak tersebut kepada Plaintif dengan cara diberikan hak lawatan terlebih dahulu tanpa membawa keluar atau bermalam hinggalah anak tersebut berumur 2 tahun. Walau bagaimanapun, hak lawatan ini perlulah dibuat menurut masa dan kekerapan yang sesuai sepertimana yang akan kami hujahkan selepas ini.

ISU 2: Kekerapan, Tempoh  dan Waktu Lawatan

Yang Arif,

40.   Pada pandangan kami, isu berkaitan kekerapan, tempoh dan waktu lawatan bolehlah digabungkan ke dalam satu isu yang sama  kerana kesemuanya merujuk kepada masa lawatan.

41.   Dalam tuntutan ini, Plaintif menuntut supaya hak lawatan anak tersebut diberikan kepada beliau dengan kekerapan secara umum pada bila-bila masa yang sesuai dan munasabah DAN kekerapan secara khusus iaitu pada hari Sabtu dari jam 11.00 pagi hingga Ahad jam 4.00 petang, sebanyak 2 kali dalam sebulan.

42.   Secara matematiknya, jika keseluruhan tempoh masa lawatan khusus yang dituntut oleh Plaintif dikira ia mengambil masa selama 58 jam dalam sebulan. Manakala kekerapan lawatan hanyalah sebanyak 2 kali sebulan dan jarak di antara satu lawatan khusus dengan lawatan yang lain adalah mengambil masa selama 1 hingga 3 minggu.

43.   Sebaliknya Defendan mencadangkan kekerapan dan masa lawatan anak tersebut dibuat secara khusus semasa hari bekerja, iaitu pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat dari jam 6.00 petang hingga 7.00 petang. Manakala bagi hari hujung minggu, Defendan mencadangkan hak lawatan dibuat pada hari Sabtu ATAU Ahad minggu pertama DAN minggu ketiga dari jam 5.00 petang hingga 6.00 petang dan hendaklah memaklumkan kepada Defendan terlebih dahulu.

44.   Walaupun keseluruhan tempoh masa lawatan khusus yang dicadangkan oleh Defendan ini mengambil masa selama 14 jam sahaja dalam sebulan. Namun demikian kekerapan lawatan yang dapat dibuat adalah sebanyak 14 kali dalam sebulan dan jarak masa di antara satu lawatan khusus adalah lebih singkat iaitu antara 1 hingga 3 hari sahaja.

45.   Dari segi matematiknya, cadangan hak lawatan yang diberikan oleh Defendan adalah lebih efektif dan praktikal kerana akan memberikan lebih banyak kekerapan kepada Plaintif untuk menunaikan hak lawatan dan jarak antara suatu lawatan dengan lawatan adalah lebih singkat iaitu kurang dari 3 hari. Ini sudah tentu lebih berkesan dalam membentuk keserasian, kemesraan dan keakraban hubungan antara anak dan Plaintif selaku bapanya dalam keadaan anak tersebut telah setahun lebih tidak diziarahi oleh Plaintif.

46.   Adalah fakta yang tidak dipertikaikan semasa perbicaraan bahawa kali terakhir Plaintif melawat anak terebut adalah pada 20 Januari 2013 yang lalu. Justeru untuk memulakan kembali hubungan antara anak dan bapa yang seolah-olah telah terputus, kaedah lawatan yang dicadangkan oleh Defendan sudah pasti lebih sesuai untuk dilaksanakan dan lebih mudah diterima oleh anak tersebut.

47.   Bahkan penetapan kekerapan hari dan waktu lawatan secara khusus seperti mana yang dicadangkan oleh Defendan adalah lebih wajar dan munasabah berbanding waktu lawatan secara umum yang diminta oleh Plaintif pada bila-bila masa yang munasabah. Ini bagi mengelakkan berlakunya pertikaian dan salah faham antara Plaintif dan Defendan di kemudian hari.

48.   Di sini kami ingin merujuk kepada panduan hak lawatan yang dinyatakan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini dalam kitab Mughni Al-Muhtaj, cetakan Darul al-Kutb al-Ilmiyyah, juzuk 5, halaman 199 ada menetapkan kekerapan waktu ziarah sepertimana berikut:

(والزيارة) على العادة (مرة في أيام) أي يومين فأكثر لا في كل يوم، نعم إن كان منزلها قريبا فلا بأس أن يدخل كل يوم كما قاله الماوردي

Bermaksud: “(Adapun lawatan itu) ditentukan dengan menurut adat kebiasaan (sekali dalam beberapa hari) iaitu jarak masa dua hari atau lebih dan bukan pada setiap hari. Ya, sekiranya rumah ibu berhampiran maka tidak mengapa untuk (bapa) datang melawat anak setiap hari sepertimana yang dikatakan oleh Imam al-Mawardi..”.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran E)
 
49.   Berdasarkan kepada matan kitab di atas, adalah jelas panduan yang diberikan untuk lawatan anak itu hendaklah dibuat sekali dalam beberapa hari, sebagai contoh antara 2 atau 3 hari sekali dan bukannya setiap hari. Panduan yang ditetapkan di atas adalah hampir sama seperti mana cadangan hak lawatan yang telah dikemukakan oleh pihak Defendan.

50.   Meskipun terdapat pengecualian diberikan untuk membolehkan hak lawatan anak dilakukan setiap hari namun ia dikhususkan dalam keadaan jarak rumah ibu yang dekat atau berhampiran sahaja. Bagi memahami jarak “berhampiran” ini adalah lebih tepat jika difahami sebagai ‘tinggal berjiran’ kerana munasabah bagi seseorang jiran melawat dan mengambil tahu keadaan jirannya setiap hari berbanding orang lain yang tidak berjiran.

51.   Jika dirujuk dalam perbincangan fiqh mengenai hak jiran, maka sepertimana yang telah sedia maklum, yang dimaksudkan dengan jiran adalah 40 buah rumah yang bersebelahan. Dalam kes ini kami percaya bahawa jarak rumah Plaintif dan Defendan adalah melebihi 40 buah rumah kerana perbezaan daerah antara Subang dan Cheras yang didiami oleh Plaintif dan Defendan. Oleh itu dapatlah dikatakan jarak rumah Plaintif dan Defendan adalah jauh, walaupun jika diukur dengan jarak masa perjalanan denagn kenderaan ia mengambil masa kurang daripada 30 minit.


52.   Berdasarkan kepada hujah di atas, adalah tidak wajar hak lawatan secara umum dibenarkan kepada Plaintif kerana ini akan membuka ruang kepada Plaintif datang melawat anak terlalu kerap atau setiap hari hingga menimbulkan masyaqqah kepada Defendan dan anak tersebut yang terpaksa menerima kehadiran Plaintif setiap hari tanpa dijadualkan.

53.   Dalam hal ini, Defendan menggunakan pendekatan lawatan secara khusus dan berjadual iaitu berselang sehari kepada Plaintif untuk melawat anak tersebut iaitu hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Ini adalah bertepatan dengan “adat kebiasaan” seperti mana yang dinyatakan dalam kata-kata imam al-Khatib al- Syarbini dengan melihat kepada praktikaliti keadaan Plaintif yang bekerja dan Defendan yang sedang menyiapkan thesis akhir untuk pengajiannya.


54.   Kedua-dua pihak mempunyai komitmen dalam urusan seharian. Oleh itu wajarlah kekerapan lawatan diberikan secara berjadual iaitu pada waktu selepas Plaintif pulang bekerja dari jam 6.00 hingga 7.00 petang. Tempoh masa yang diberikan selama 1 jam adalah mencukupi dan munasabah kerana ini tidak akan mengganggu waktu peribadi pihak-pihak seperti waktu bekerja, persediaan untuk melakukan solat maghrib, dan lain-lain urusan harian.

 

ISU 3: Tempat Lawatan Sama Ada Di Rumah Pemastautinan Ibu (Defendan)
Atau Tempat Lain Khususnya Semasa Defendan Tinggal Di Luar Negeri Selangor.

Yang Arif,


55.   Sebelum isu tempat lawatan dibahaskan, kami ingin menarik perhatian Mahkamah Yang Mulia ini berkaitan isu pemastautinan Defendan pada masa akan datang yang akan berpindah ke luar Negeri Selangor atas keperluan kontrak pekerjaan beliau.

56.   Semasa perbicaraan berjalan, Defendan telah mengemukakan keterangan dokumentar yang ditanda secara kolektif sebagai Ekshibit NH-5 berupa dokumen perjaijian kontrak Skim Latihan Tenaga Pengajar antara Defendan dan Universiti Malaysia Perlis. Berdasarkan kepada dokumen tersebut Defendan dikehendaki kerkhidmat dengan Universiti Malaysia Perlis selama 11 tahun sebaik sahaja tamat pengajian Doktor Falsafah. Pengajian Doktor Falsafah (PhD) yang dijalani oleh Defendan sekarang dijangka akan tamat pada 18 Julai 2014 berdasarkan kepada dokumen surat perlanjutan tempoh pengajian Defendan yang ditanda sebagai D6.

57.   Kesemua dokumen yang dikemukakan oleh Defendan kepada Mahkamah ini tidak dipertikaikan oleh Plaintif semasa perbicaraan. Oleh yang demikian kami memohon supaya dokumen tersebut diterima sebagai keterangan dokumentar selari dengan peruntukkan seksyen 3 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.


Tempat lawatan ketika anak tersebut bermastautin dalam Negeri Selangor

58.   Sebagai pihak yang diberi hak jagaan anak tersebut, Defendan telah menyatakan bahawa  pada masa sekarang anak tersebut akan dijaga di alamat permastautinan Defendan yang merupakan rumah ibu bapa Defendan beralamat di No. … Taman Desa Baiduri, 56000 Cheras Kuala Lumpur. Berdasarkan keterangan pihak-pihak, jarak tempat tinggal Defendan dengan Plaintif lebih kurang 15 kilometer atau 15 hingga 20 minit dengan menaiki kenderaan.

59.   Sehubungan dengan itu Defendan mencadangkan supaya tempat hak lawatan anak tersebut ditetapkan di rumah ibu bapa Defendan sekarang disebabkan ia adalah rumah permastautinan Defendan bersama anak tersebut. Namun demikian Plaintif dalam Afidavit Keterangannya di perenggan 21 menyatakan tidak bersetuju sesi lawatan dibuat di rumah Defendan kerana pihak-pihak telah bercerai.


Yang Arif,


60.   Defendan mengakui bahawa perceraian telah pun berlaku antara Defendan dengan Plaintif dan tempoh iddah juga telah pun tamat. Ini selari dengan perintah Mahkamah yang dilampirkan oleh Defendan dalam affidavit beliau sebagai Ekshibit NH-1. Namun demikian, perceraian tersebut tidaklah menghalang Plaintif datang ke rumah Defendan untuk melawat anak tersebut selagi mana tidak berlaku khulwah.

61.   Sebagai panduan dalam menentukan etika hak lawatan, di dalam kitab Nihayatul Muhtaj ila Syarhil Minhaj oleh al-Ramli (cetakan Dar al-Kutb al-Ilmiyyah), juzuk 7, halaman 232 ada menyebutkan:

( وَلَا يَمْنَعُهَا )  أَيْ الْأَبُ الْأُمَّ  ( دُخُولًا عَلَيْهِمَا )  أَيْ الِابْنِ  وَالْبِنْتِ  إلَى  بَيْتِهِ  ( زَائِرَةً ) حَيْثُ لَا خَلْوَةَ بِهَا مُحَرَّمَةٌ وَلَا رِيبَةَ كَمَا هُوَ ظَاهِرٌ نَظِيرَ مَا يَأْتِي فِي عَكْسِهِ دَفْعًا لِلْعُقُوقِ لَكِنْ لَا تُطِيلُ الْمُكْثَ
(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran F)

Bermaksud:
“dan bapa (tidak boleh menghalang ibu) daripada melawat anak lelaki dan perempuan di rumahnya (dengan tujuan ziarah) dengan syarat tidak berlaku khulwah yang diharamkan dan kecurigaan, dan begitu pula sebaliknya bagi anak-anak tidak boleh dihalang menziarahi ibubapa mereka kerana dikhuatiri menjadi derhaka, dan bagaimanapun masa lawatan ini tidak boleh dilakukan terlalu lama”.

62.   Dalam petikan di atas, apa yang jelas pengarang kitab menyatakan bahawa hak lawatan anak boleh dibuat di rumah anak tersebut tinggal, asalkan tidak berlaku khulwah antara ibu dan bapa yang telah bercerai atau menimbulkan kecurigaan lain.

63.   Adalah merupakan fakta yang tidak dipertikaikan ketika perbicaraan bahawa rumah tempat anak tersebut tinggal adalah merupakan rumah ibubapa Defendan, dan kedua ibubapa Defendan juga tinggal bersama-sama dengan Defendan dan anak tersebut.  Oleh itu, lawatan anak masih boleh dibuat di ruang tamu rumah Defendan, dengan kehadiran ibu bapa Defendan dan bukannya di dalam bilik yang tertutup. Justeru cara lawatan sedemikian tidaklah menyebabkan berlaku khulwah atau menimbulkan apa-apa tohmah dan kecurigaan.

64.   Malah sebelum ini, walaupun belum bercerai dengan Defendan, Plaintif sendiri pernah datang melawat anak tersebut dengan membawa rakan dan kakak Plaintif sebagai teman. Dengan cara ini juga dapat mengelakkan berlaku khulwah dan tohmah di samping dapat memupuk silaturrahim antara semua ahli keluarga Plaintif dan Defendan yang hadir semasa lawatan anak tersebut.


Tempat lawatan ketika anak tersebut di bawa bermastautin di luar Negeri Selangor

65.   Sebelum kami menghujahkan berkaitan tempat lawatan yang sesuai semasa anak tersebut berada di Negeri Perlis, kami ingin menjelaskan terlebih dahulu implikasi undang-undang dan Hukum Syarak apabila anak tersebut di bawa ke luar Negeri Selangor atau luar daripada tempat pemastautinan bapa kepada anak tersebut.

66.   Seksyen 84 (c) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan:

Hak seseorang perempuan terhadap hadhanah adalah hilang -
(a)…
(b)…
(c) jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan mencegah bapa kanak-kanak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu.

67.   Dalam peruntukkan di atas hanya menyebutkan secara jelas bahawa hak seseorang perempuan terhadap jagaan adalah hilang jika dia menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa anak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu ke atas anak tersebut.

68.   Walau bagaimanapun, peruntukan di atas juga dengan jelas memberikan satu pengecualian bahawa seseorang isteri yang telah diceraikan boleh menukar pemastautinan dengan membawa anaknya ke tempat lahirnya, iaitu merujuk kepada tempat tinggal ahli keluarga atau walinya disebabkan selepas perceraian ketaatan isteri itu dikembalikan semula kepada kedua ibubapa atau walinya.

69.   Walau bagaimanapun, dalam peruntukan di atas masih terdapat suatu lakuna kerana tidak disebutkan dengan jelas sama ada perbuatan seseorang perempuan yang menukar pemastautinannya untuk tujuan mencari nafkah dan menyempurnakan perjanjian pekerjaan dengan majikannya dibolehkan dan tidak menghilangkan hak hadhanah.

70.   Dalam hal ini kami merujuk kepada kaedah fiqhiyyah yang dinyatakan oleh Imam al-Suyuti dalam kitab al-Asybah Wa al-Nazair, halaman 276:

الواجب لا يترك إلا لواجب
Yang bermaksud: sesuatu kewajipan itu tidak boleh ditinggalkan kecuali kerana melakukan kewajipan yang lain.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan di Lampiran G)

71.   Kaedah fiqhiyyah tersebut bolehlah diluaskan pemakaiannya kepada kes ini kerana dalam kes ini, mengekalkan pemastautinan anak tersebut di tempat pemastautinan yang biasa atau negeri tempat tinggal bapanya adalah suatu kewajipan bagi memudahkan pengawasan dilakukan oleh pihak bapa. Namun demikian perbuatan mencari nafkah dan menyempurnakan perjanjian pekerjaan yang dilakukan oleh Defendan selaku ibu yang diceraikan juga adalah satu kewajipan disebabkan sebagai ibu tunggal, tugas mencari nafkah adalah merupakan tanggungjawab Defendan. Apatah lagi tugasan yang dilakukan oleh Defendan ini berkait rapat untuk menjaga kepentingan awam kerana Defendan bekerja sebagai pensyarah yang berkewajipan mendidik masyarakat awam yang datang dari seluruh pelusuk negara Malaysia.

72.   Oleh yang demikian kami memohon kepada Mahkamah Yang Mulia ini agar memberikan pengecualian yang sama kepada Defendan dalam isu kebenaran menukar pemastautinan ke negeri Perlis pada masa akan datang atas alasan yang dinyatakan, tanpa menggugurkan hak jagaan ke atas anak tersebut.

73.   Apatah lagi Defendan sebenarnya terikat dengan perjanjian pekerjaan yang telah ditandatanganinya sebelum perkahwinan dengan Plaintif lagi iaitu pada 8 April 2010 dan hal ini telah dimaklumkan kepada Plaintif sebelum berkahwin dan dokumen berkaitan juga telah ditunjukkan sebagai ekshibit dalam kes ini.

74.   Memenuhi dan menepati sesuatu perjanjian yang sah adalah suatu yang wajib menurut Hukum Syarak. Ini sebagaimana dinyatakan oleh Allah Taala dalam surah al-Ma’idah, ayat 1:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian (yang dimeterai dengan sah).

75.   Tambahan pula, dalam kes ini Plaintif sendiri telah bersetuju menyerahkan hak jagaan anak tersebut kepada Defendan walaupun Plaintif telah diberitahu bahawa anak tersebut akan mengikuti Defendan ke Perlis pada masa hadapan. Dalam mana-mana peringkat perbicaraan, Plaintif tidak pernah menarik balik persetujuan tersebut.

76.   Sejajar dengan perpindahan pemastautinan Defendan, maka tempat lawatan bagi anak tersebut juga wajarlah berpindah menurut tempat tinggal Defendan pada masa hadapan. Ini selari dengan qaedah fiqhiyyah:

التابع تابع
Bermaksud: “Perkara yang mengikut itu hendaklah mengikut hukum perkara yang diikut”



Yang Arif,


77.   Berdasarkan fakta-fakta, hujahan dan autoriti di atas, tanpa mengetepikan hasil pemerhatian Mahkamah terhadap anak tersebut, Defendan dengan penuh tawadduknya memohon kepada Mahkamah Yang Mulia ini agar mengeluarkan perintah seperti berikut:

i)       Hak jagaan anak yang bernama …., diserahkan kepada Defendan selaku ibu.

ii)      Hak lawatan, tanpa membawa keluar atau bermalam, diberikan kepada Plaintif selaku bapa selagi mana anak tersebut belum mencapai usia genap 2 tahun, sebagaimana berikut:

a)    Plaintif boleh melawat anak tersebut di alamat kediaman Defendan ….Taman Desa Baiduri, 56000 Cheras Kuala Lumpur pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat dari jam 6.00 petang hingga 7.00 petang dengan memaklumkan terlebih dahulu kepada Defendan dan hendaklah ditemani mahram.

b)    Plaintif boleh melawat anak tersebut di alamat kediaman Defendan … Taman Desa Baiduri, 56000 Cheras Kuala Lumpur pada hari Sabtu atau Ahad, minggu pertama dan minggu ketiga dari jam 5.00 petang hingga 6.00 petang dengan memaklumkan terlebih dahulu kepada Defendan dan hendaklah ditemani mahram.

c)    Sekiranya anak tersebut berpindah mengikut Defendan ke luar Negeri Selangor, atas urusan pekerjaan Defendan, Plaintif boleh melawat anak tersebut di tempat awam atau Balai Polis yang berhampiran dengan tempat tinggal Defendan semasa di luar Negeri Selangor, pada hari Sabtu ATAU Ahad minggu pertama dan minggu ketiga, dari jam 3.00 petang hingga 4.00 petang dengan memaklumkan terlebih dahulu kepada Defendan dan hendaklah ditemani mahram.


iii)    Hak lawatan, membawa keluar dan bermalam, diberikan kepada Plaintif selaku bapa setelah anak tersebut mencapai usia genap 2 tahun, menurut masa dan kekerapan yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah Yang Mulia ini.

iv)    Perintah yang adil mengenai kos guaman Defendan.

v)      Apa-apa perintah lain yang suai manfaat menurut Hukum Syarak.



Bertarikh pada      18        haribulan    FEBRUARI      tahun    2014.


Disediakan dan dihujahkan dengan suci hati oleh:


JURAISH SYARIAH ASSOCIATES
                                                                                                            ……………………….
                                                                                          Peguam Syarie bagi Defendan

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Selaku Prinsipal Partner di Juraish Syariah Associates, saya mempelawa kepada sahabat/ rakan/kenalan yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate Partner di Firma ini. Associate Partners yang diperlukan adalah seperti berikut:

1) Associate Partner (Peguam Syarie)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.
- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie/ Pendakwa Syarie dan seumpamanya sama ada di sektor awam atau swasta.

2) Associate Partner (Perunding Muamalat)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.
- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.

3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.
- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan
- cara memohon: hantarkan resume lengkap beserta salinan sijil dan dokumen berkaitan ke email juraish@yahoo.com beserta satu contoh pliding kes syariah (spt penyata tuntutan atau notis dan afidavit permohonan). Calon yang layak akan dipanggil temuduga.

4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.

MEMPUNYAI DAYA INOVASI DAN MINAT YANG MENDALAM UNTUK MEMARTABAT PERUNDANGAN SYARIAH.



WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus