Friday, November 29, 2013

LI'AN: Tuduhan Zina Yang Mengakibatkan Perceraian

Adalah dinasihatkan kepada suami supaya berhati hati sblm melemparkan tuduhan berzina terhadap isterinya...

sekiranya tuduhan zina dibuat secara sareh di dalam pliding spt pernyataan tuntutan atau pembelaan di mahkamah, tanpa disertakan dengan bukti 4 orang saksi... maka pihak isteri boleh mengambil tindakan balas mengemukakan tuntutan perceraian secara li'an....

dalam tuntutan li'an tersebut samada tuntutan asal atau tuntutan balas, pihak suami dikehendaki bersumpah li'an bagi mensabitkan dakwaannya.... dan pihak isteri pula berhak bersumpah li'an bagi membuktikan kesuciannya... dan akhirnya terjadilah perceraian secara bain muabbad... selama lamanya... tanpa boleh dinikahi semula dgn cara apa sekalipun...

oleh itu berwaspadalah wahai suami apabila membuat sesuatu dakwaan di mahkamah.. niatmu untuk mengelakkan perceraian mungkin akan berakhir dgn tragedi perceraian yg paling dahsyat....

sekian catatan ringkas kali ini....

Tuesday, February 5, 2013

Hujah: Suami terlepas dari disabitkan talak 3

Dikongsikan hujah ringkas saya dalam kes pengesahan talak 3 melalui SMS. Suami telah menghantar SMS talak 3 kepada isterinya dengan niat talak 1. Maka pada hari ini, setelah suami bersumpah yamin al-mutammimah , maka Mahkamah memutuskan dan mensabitkan jatuh talak 1:

RINGKASAN HUJAH PLAINTIF

1. Dalam permohonan ini, Plaintif telah hadir dan diwakili oleh Peguam Syarie Juraish Bin Kamaruddin daripada Tetuan Juraish Syariah Associates melalui wakalah bertarikh 02/01/2013. Manakala Defendan hadir bersendirian tanpa diwakili Peguam Syarie.


2. Kes ini merupakan tuntutan pengesahan lafaz cerai luar Mahkamah di bawah seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Kes ini dimulai dengan Saman dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 03/12/2012. Plaintif dan Defendan telah memberikan keterangan masing-masing pada 02/01/2013.

3. Plaintif menyatakan bahawa pada 30 November 2012, jam 7.28 petang, beliau telah menghantar SMS dari telefon bimbit beliau bernombor ….. kepada Defendan melalui telefon bimbitnya ……. yang mengandungi lafaz cerai seperti berikut:

“AKU CERAIKAN KO DGN TALAK 3”

4. Walau bagaimanapun, Plaintif tidak pernah membaca SMS tersebut secara berlafaz sebaliknya hanya menghantar SMS tersebut kepada Defendan dan Defendan telah menerima SMS tersebut sejurus selepas ia dihantar kepada Defendan.

5. Ketika menghantar SMS tersebut Plaintif dalam keadaan sedar dan sukarela. Plaintif tidak dipaksa untuk menulis dan menghantar SMS tersebut kepada Defendan.

6. Ketika menghantar SMS tersebut, Plaintif ada berniat cerai dan ada berniat bilangan talak sebanyak satu talak. Plaintif menulis perkataan “talak 3” dalam SMS tersebut bukanlah bertujuan untuk menjatuhkan bilangan 3 talak, tetapi hanya untuk menggambarkan tahap kemarahan Plaintif terhadap Defendan ketika itu. Ini kerana Defendan seolah-olah telah mencabar Plaintif supaya menceraikan Defendan.

7. Plaintif sendiri telah memberitahu Defendan tentang niat talak satu tersebut pada keesokan harinya melalui panggilan telefon.

8. Dalam keterangan Defendan, Defendan menyatakan beliau sendiri tidak pernah meminta Plaintif menjatuhkan talaq tiga ke atasnya. Malah Defendan berasa sedih dengan SMS tersebut kerana Defendan tidak tahu apakah kesalahan besar yang dilakukan oleh beliau sehingga Plaintif sanggup menghantar SMS tersebut. Semasa SMS diterima oleh Defendan, beliau dalam keadaan suci.

PENGHUJAHAN FAKTA KES

Yang Arif,

ISU 1: Adakah lafaz talaq tersebut sah dan menggugurkan talaq.

9. Kami menghujahkan bahawa lafaz talaq tersebut adalah sah menurut Hukum Syarak dan menjatuhkan talaq. Ini kerana ia telah memenuhi kesemua rukun talaq seperti mana berikut:

i) ORANG YANG MELAFAZKAN TALAQ (AL-MUTALLIQ): iaitu Plaintif selaku suami yang sah.

ii) TEMPAT YANG HENDAK DIJATUHKAN TALAQ (AL-MAHAL): iaitu Defendan selaku isteri yang sah.

iii) KUASA MENTALAQKAN (AL-WILAYAH): iaitu wujudnya sifat mukallaf yang sempurna bagi Plaintif untuk melakukan tasarruf dengan sendirinya, iaitu berkuasa menjatuhkan talaq yang telah dibuat melalui tulisan SMS secara sedar, sukarela, tanpa sebarang paksaan atau sebarang halangan yang menafikan kuasa Plaintif menjatuhkan talaq.

iv) LAFAZ TALAQ (AL-SIGHAH): iaitu lafaz talaq secara kinayah menggunakan tulisan SMS yang mengandungi perkataan “CERAI”.

v) NIAT (AL-QASD): iaitu wujudnya niat dalam hati Plaintif selaku suami bahawa SMS tersebut dihantar dengan niat CERAI.

Yang Arif,

10. Sighah talaq melalui tulisan yang disertai dengan niat cerai adalah dikira sebagai lafaz kinayah yang menjatuhkan talak. Ini berdasarkan kepada pandangan yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj, jilid 4, halaman 463:

( لَوْ كَتَبَ نَاطِقٌ ) عَلَى مَا يَثْبُتُ عَلَيْهِ الْخَطُّ كَرِقٍّ وَثَوْبٍ وَحَجَرٍ وَخَشَبٍ لَا عَلَى نَحْوِ مَاءٍ كَهَوَاءٍ ( طَلَاقًا ) …كَأَنْ كَتَبَ زَوْجَتِي أَوْ كُلُّ زَوْجَةٍ لِي طَالِقٌ ، … ( وَلَمْ يَنْوِهِ ) أَيْ الطَّلَاقَ أَوْ نَحْوَهُ ( فَلَغْوٌ ) لَا يُعْتَدُّ بِهِ عَلَى الصَّحِيحِ ( وَإِنْ نَوَاهُ ) وَلَمْ يَتَلَفَّظْ بِهِ ( فَالْأَظْهَرُ وُقُوعُهُ )

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran A)

Bermaksud: “Jika orang (suami) yang boleh bercakap menulis lafaz talak di atas sesuatu yang boleh tetap di atasnya tulisan tersebut seperti kertas, kain, batu, kayu, bukan di atas air mahupun udara, seperti jika dia menulis isteriku atau semua isteriku tertalak, dan dia tidak berniat talak, maka ia menjadi sia-sia dan tidak diambil kira sebagai lafaz talak. Dan jika dia berniat talak (melalui tulisan tersebut), meskipun dia tidak melafazkannya, maka menurut pandangan yang paling jelas dalam mazhab syafie (al-azhar), jatuhlah talak.”

11. Niat cerai yang dibuat oleh Plaintif semasa menghantar SMS tersebut adalah sah sepertimana yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj, jilid 4, halaman 462:

( وَشَرْطُ نِيَّةِ الْكِنَايَةِ اقْتِرَانُهَا بِكُلِّ اللَّفْظِ ) كَمَا فِي الْمُحَرَّرِ وَجَرَى عَلَيْهِ الْبُلْقِينِيُّ فَلَوْ قَارَنَتْ أَوَّلَهُ وَعَزَبَتْ قَبْلَ آخِرِهِ لَمْ يَقَعْ طَلَاقٌ ( وَقِيلَ : يَكْفِي ) اقْتِرَانُهَا ( بِأَوَّلِهِ ) فَقَطْ وَيَنْسَحِبُ مَا بَعْدَهُ عَلَيْهِ .وَرَجَّحَهُ الرَّافِعِيُّ فِي الشَّرْحِ الصَّغِيرِ ، وَنَقَلَ فِي الْكَبِيرِ تَرْجِيحَهُ عَنْ الْإِمَامِ وَغَيْرِهِ ، وَصَوَّبَهُ الزَّرْكَشِيُّ ، وَاَلَّذِي رَجَّحَهُ ابْنُ الْمُقْرِي وَهُوَ الْمُعْتَمَدُ أَنَّهُ يَكْفِي اقْتِرَانُهَا بِبَعْضِ اللَّفْظِ ، سَوَاءٌ أَكَانَ مِنْ أَوَّلِهِ أَوْ وَسَطِهِ أَوْ آخِرِهِ ؛

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran B)

Bermaksud: “dan syarat niat cerai bagi lafaz kinayah hendaklah ia seiringan dengan keseluruhan lafaz, seperti mana yang dinyatakan dalam kitab al-Muharrar (al-Rafie) dan dipegang atas sedemikian itu oleh al-Bulqini, maka kalau niat cerai hanya diiringi ketika awal lafaz dan hilang niat itu sebelum akhir lafaz, tidaklah jatuh talak. Dan dikatakan (menurut qaul kedua) memadai diiringi niat cerai itu pada awal lafaz sahaja dan dikira niat itu terseret kepada apa yang selepasnya. Dan pandangan kedua ini telah ditarjihkan oleh al-Rafie dalam kitab al-Syarh al-Saghir, dan dinukilkan dalam kitab al-Syarh al-Kabir bahawa pendapat ini telah ditarjihkan daripada Imam al-Syafie dan lain-lain tokoh mazhab. Dan pendapat kedua tersebut telah disahkan oleh al-Zarkasyi. Dan pendapat yang ditarjihkan oleh Ibn al-Muqri yang merupakan pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie ialah memadai diiringi niat cerai itu pada sebahagian lafaz kinayah, sama ada pada awal, pertengahan atau hujung lafaz,”

12. Berdasarkan kepada pandangan muktamad dalam mazhab Syafie seperti mana yang dinyatakan di atas, maka adalah dihujahkan bahawa:

i) Lafaz cerai kinayah melalui tulisan SMS yang dibuat oleh Plaintif “AKU CERAIKAN KO DGN TALAK 3” adalah sah kerana Plaintif ada berniat bahawa SMS tersebut adalah untuk menceraikan Defendan.

ii) Niat cerai yang dibuat oleh Plaintif tersebut adalah sah dan boleh diterima sama ada niat itu berlaku pada awal, pertengahan atau akhir lafaz melalui SMS tersebut.

ISU 2: Berapakah bilangan talaq yang jatuh berdasarkan lafaz SMS tersebut.

Yang Arif,

13. Menurut SMS yang ditulis oleh Plaintif, beliau ada menuliskan secara kinayah bahawa talak yang dijatuhkan sebagai ‘TALAK 3”. Manakala berdasarkan kepada niat Plaintif, beliau hanya berniat “TALAK 1” sahaja. Justeru itu di dalam hal ini terdapat perbezaan yang ketara antara tulisan yang berbentuk kinayah dan niat yang dibuat oleh Plaintif. Maka perlulah ditentukan bilangan talak manakah yang terpakai sama ada “talak 3” menurut sighah tulisan yang berbentuk kinayah atau “talak 1” menurut niat Plaintif.

14. Bagi menentukan berapakah jumlah talaq yang jatuh berdasarkan SMS cerai yang ditulis oleh Plaintif tersebut maka kami memetik pandangan yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj, jilid 4, halaman 478:

( فَصْلٌ ) فِي تَعَدُّدِ الطَّلَاقِ بِنِيَّةِ الْعَدَدِ فِيهِ وَغَيْرِ ذَلِكَ ، لَوْ ( قَالَ ) شَخْصٌ لِزَوْجَتِهِ وَلَوْ نَائِمَةً أَوْ مَجْنُونَةً ( طَلَّقْتُك أَوْ أَنْتِ طَالِقٌ ) أَوْ نَحْوَ ذَلِكَ مِنْ الصَّرِيحِ وَإِنْ لَمْ يُخَاطِبْهَا كَقَوْلِهِ : هَذِهِ طَالِقٌ ( وَنَوَى عَدَدًا وَقَعَ ) سَوَاءٌ الْمَدْخُولُ بِهَا وَغَيْرُهَا ؛ لِأَنَّ اللَّفْظَ يَحْتَمِلُ الْعَدَدَ بِدَلِيلِ جَوَازِ تَفْسِيرِهِ بِهِ وَمَا احْتَمَلَ إذَا نَوَاهُ وَقَعَ كَالطَّلَاقِ بِالْكِنَايَةِ … ( وَكَذَا الْكِنَايَةُ ) كَأَنْتِ بَائِنٌ إذَا نَوَى فِيهَا عَدَدًا وَقَعَ مَا نَوَاهُ لِاحْتِمَالِ اللَّفْظِ لَهُ ، فَإِنْ نَوَى وَاحِدَةً أَوْ لَمْ يَنْوِ شَيْئًا وَقَعَتْ وَاحِدَةٌ ؛ لِأَنَّهُ الْمُتَيَقَّنُ .

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran C)

Bermaksud: “Fasal pada menerangkan hukum bilangan talak dengan niat menetapkan bilangan talak dan selainnya. Jika seseorang berkata kepada isterinya walaupun yang sedang tidur atau gila (dalam majlis yang sama): Aku ceraikan engkau atau: Engkau tertalak. Atau lafaz lain yang sareh, walaupun tidak diucapkan kepadanya (bukan dalam majlis yang sama) seperti katanya: Dia tertalak, sedangkan suami itu meniatkan bilangan talak (semasa mengucapkan lafaz talak tersebut), jatuhlah bilangan talak tersebut, sama ada isteri itu telah disetubuhi atau belum. Ini kerana lafaz talak (yang mutlak) itu terkandung padanya bilangan talak bersandarkan dalil harus menafsirkan bilangan talak itu dengan lafaz dan dengan apa yang terkandung (dalam lafaz yang mutlak) apabila ia diniatkan, maka jatuhlah bilangan talak seperti mana jatuhnya talak kinayah (dengan sebab adanya niat)…DAN begitu juga bagi lafaz kinayah (yakni niat bilangan talak pada lafaz kinayah adalah diambilkira sama seperti niat bilangan talak pada lafaz sareh yang mutlak) seperti kata suami: Kamu terpisah secara bain, apabila dia berniat dengan sesuatu bilangan talak, maka jatuhlah apa yang diniatkan kerana terkandung dalam lafaz itu bilangan tersebut. Maka jika dia berniat satu talak atau tidak berniat apa-apa bilangan, jatuhlah satu talak, kerana ia adalah yang diyakini.

Yang Arif,

15. Berdasarkan kepada pandangan di atas, Pengarang telah mengemukakan contoh lafaz kinayah iaitu seperti kata suami kepada isterinya: “Kamu terpisah secara bain”. Lafaz ini adalah berbentuk kinayah yang jika ditafsirkan tanpa mengambilkira niat, maka berkemungkinan jatuh talak tiga kerana terpisah secara bain itu bererti “talak bain” dan talak bain itu adalah talak yang tidak boleh dirujuk, iaitu talak 3. Namun demikian Pengarang telah menyatakan bahawa dalam hal ini, niat suamilah yang lebih utama diambil kira dan bukannya sighah yang zahir kerana sighah tersebut hanya berbentuk kinayah dan memerlukan niat.

16. Oleh yang demikian, berdasarkan kepada hujah-hujah yang dinyatakan di atas, maka kami menghujahkan bahawa jumlah talaq yang jatuh dalam lafaz kinayah yang dibuat oleh Plaintif tersebut adalah menyebabkan jatuh SATU TALAQ sahaja kerana Plaintif ada berniat talak satu.

ISU 3: Adakah Plaintif perlu bersumpah untuk membuktikan dakwaannya berkaitan niat talak satu.

Yang Arif,

17. Dalam penyata pembelaan dan keterangan Defendan, beliau ada meminta supaya Plaintif bersumpah syarie bagi membuktikan bilangan satu talak yang diniatkan oleh Plaintif dalam sighah talak kinayah tersebut. Plaintif juga telah menyatakan semasa perbicaraan akan kesanggupan beliau untuk bersumpah sedemikian.

18. Persoalannya adakah sumpah tersebut perlu diambil oleh Mahkamah? Dalam hal ini kami merujuk kepada kitab Raudhah al-Talibin oleh Imam An-Nawawi jilid 6, halaman 29:

الكناية لا تعمل بنفسها بل لابد فيها من نية الطلاق وتقترن النية باللفظ فلو تقدمت ثم تلفظ بلا نية أو فرغ من اللفظ ثم نوى لم تطلق فلو اقترنت بأول اللفظ دون آخره أو عكسه طلقت على الأصح ولا تلتحق الكناية بالصريح بسؤال المرأة الطلاق ولا بقرينة الغضب واللجاج ومتى تلفظ بكناية وقال ما نويت صدق بيمينه فإن نكل حلفت وحكم بوقوع الطلاق وربما اعتمدت قرائن يجوز الحلف بمثلها.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran D)

Bermaksud: “Lafaz kinayah itu tidak diambilkira dengan sendirinya, bahkan hendaklah diambilkira padanya berdasarkan niat talak. Dan hendaklah beriringan niat itu dengan lafaz. Maka sekiranya niat dibuat lebih dahulu kemudian barulah dibuat lafaz yang tanpa niat, atau niat dibuat sesudah selesai lafaz, tidaklah jatuh talak. Jika niat itu diiringi pada awal lafaz tanpa diiringi pada penghujungnya, atau sebaliknya, jatuhlah talak menurut pandangan yang paling sahih. DAN tidaklah berubah lafaz kinayah itu menjadi sareh disebabkan (selain niat iaitu seperti) permintaan isteri supaya diceraikan dan tidak juga dengan qarinah kemarahan dan persengketaan. Dan apabila suami melafazkan sighah kinayah dan dia berkata ia adalah apa yang aku niatkan, maka hendaklah dibenarkan dakwaan suami dengan sumpah yamin. Maka jika suami itu enggan bersumpah, hendaklah isteri bersumpah lalu dihukumkan jatuh talak (menurut dakwaan isteri) dan bolehlah diambil kira qarinah-qarinah yang harus bersumpah dengan seumpamanya.”



19. Di dalam pandangan di atas,Imam al-Nawawi telah menyatakan bahawa sighah kinayah tidak boleh berdiri dengan sendirinya melainkan dengan berpandukan kepada niat suami. Bahkan permintaan isteri untuk diceraikan dengan apa-apa bilangan talak juga tidak boleh diambilkira bagi menafsirkan maksud sighah kinayah. Begitu juga qarinah keadaan tahap kemarahan suami ketika lafaz kinayah dibuat tidak boleh diambilkira bagi menentukan jatuhnya talak atau bilangan talak.

20. Dalam kes ini Plaintif ada menyatakan beliau menulis SMS “dengan TALAK 3” adalah bagi menggambarkan tahap kemarahan beliau ketika itu. Namun seperti mana yang dinyatakan oleh al-Nawawi, qarinah kemarahan seperti ini tidak boleh dijadikan sandaran bagi menentukan jatuhnya talak atau bilangan talak sebaliknya hendaklah talak dan bilangan talak ditentukan dengan melihat kepada niat suami.

21. Imam al-Nawawi juga telah menyatakan harus memakai kaedah sumpah bagi mensabitkan kebenaran dakwaan suami. Oleh yang demikian berdasarkan kepada pandangan di atas, bolehlah Mahkamah Yang Mulia ini mengarahkan Plaintif bersumpah bagi mensabitkan niat TALAK SATU yang didakwa oleh Plaintif.

22. Pemakaian kaedah bersumpah ini adalah seperti mana yang diperuntukkan oleh Arahan Amalan (JKSM) No. 2 Tahun 2006 (Amalan Sumpah Mahkamah Syariah) yang antara lain menyebutkan:

1. Hak-hak yang boleh menerima pakai sumpah

(a) pertunangan, perkahwinan, rujuk, perceraian, nusyuz atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan hubungan suami isteri.

6. Kuasa Mahkamah Mengarahkan Pihak Bersumpah Al-Mutammimah.

Walau apapun peruntukan Amalan 5, Hakim, boleh mengarahkan mana-mana pihak bersumpah al-Yamin al-Mutammimah.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Pemohon di Lampiran E)

KESIMPULAN

Yang Arif,

23. Berdasarkan kepada fakta-fakta kes dan hujah-hujah di atas, Plaintif memohon agar Mahkamah ini menerima dakwaan Plaintif dan mengesahkan bahawa lafaz talak secara SMS tersebut adalah lafaz talak yang sah dan menggugurkan TALAK SATU dan mengeluarkan apa-apa perintah yang perlu dan suai manfaat menurut Hukum Syarak.

Bertarikh pada 22 haribulan JANUARI tahun 2013.

Disediakan dan dihujahkan dengan suci hati oleh:

……………………….

Peguam Syarie bagi Plaintif





JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus