Saturday, February 12, 2011

HUJAH: Isu Bidangkuasa Mendengar Tuntutan Harta Sepencarian (Akibat Kematian Suami/Isteri)


Dalam entri kali ini dikongsikan penghujahan kami (selaku Peguam Syarie Plaintif-isteri kedua si mati) berkaitan bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah Selangor mendengar kes tuntutan harta sepencarian akibat kematian salah satu pihak kepada perkahwinan. Dalam hal ini Mahkamah telah memutuskan berbidangkusa mendengar tuntutan tersebut disebabkan antara lain pemastautinan Defendan (isteri pertama si mati dll) dan kedudukan harta yang dituntut adalah di dalam Negeri Selangor. Justeru bantahan awal Defendan yang mendakwa Mahkamah tidak berbidangkuasa mendengar kes tersebut kerana Plaintif bukan pemastautin dalam Negeri Selangor adalah ditolak.

Berikut adalah petikan daripada hujah tersebut untuk dikongsikan bersama.

ISU 1: SAMA ADA MAHKAMAH INI BERBIDANG KUASA MENDENGAR TUNTUTAN HARTA SEPENCARIAN PLAINTIF YANG BUKAN MERUPAKAN PEMASTAUTIN DALAM NEGERI SELANGOR.

1. Dengan rendah diri dan suci hatinya, kami menghujahkan bahawa tanpa menafikan bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah di negeri lain, Mahkamah Yang Mulia ini adalah berbidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan tindakan ini, yang dimulakan oleh Plaintif selaku seorang pemastautin dalam Negeri Perak Darul Ridzuan atas alasan-alasan berikut:

ALASAN PERTAMA:

2. Pemakaian klausa pengecualian dalam seksyen 4 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:

“Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, Enakmen ini terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal dalam Negeri Selangor dan bagi semua orang Islam yang bermastautin dalam Negeri Selangor tetapi tinggal di luar Negeri itu.

3. Seksyen tersebut dengan jelas dimulakan dengan klausa pengecualian ‘kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya’ yang mana adalah memberi maksud bahawa status pemastautinan pihak-pihak dalam Negeri Selangor bukanlah penentu mutlak kepada bidang kuasa Mahkamah ini kerana di sana terdapat beberapa pengecualian yang perlu diambil kira.

4. Bagi membuktikan perkara tersebut, Plaintif dengan hormat merujuk kepada kes tuntutan harta sepencarian yang diakibatkan oleh perceraian antara pihak-pihak dalam perkahwinan, di mana penghakiman terkini menetapkan bahawa Mahkamah yang berbidang kuasa mendengar tuntutan tersebut hanyalah Mahkamah di mana tempat perceraian dibuat, tanpa mengambil kira Negeri di mana pihak-pihak bermastautin pada masa permohonan difailkan. Ini boleh dirujuk dalam Arahan Amalan No. 6 Tahun 2003 yang menyatakan seperti berikut:

Penentuan Mahkamah Yang Berbidangkuasa Membicarakan Kes-Kes Harta Sepencarian.

“… tuntutan harta sepencarian hendaklah dituntut di Mahkamah yang berbidangkuasa dalam Negeri di mana perintah perceraian atau pengesahan perceraian dikeluarkan….”

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran A)

5. Senario yang sama berlaku dalam kes permohonan mengubah perintah yang mana penghakiman terkini menetapkan bahawa Mahkamah yang berbidangkuasa ialah Mahkamah yang mengeluarkan perintah yang hendak diubah tersebut, tanpa mengambil kira pemastautinan pihak-pihak. Ini ada dinyatakan dalam Arahan Amalan No. 9 Tahun 2005 yang menyebutkan:

Mahkamah Yang Berbidangkuasa Mendengar Permohonan Mengubah Perintah

“…Mahkamah yang berbidangkuasa mendengar permohonan mengubah perintah adalah Mahkamah yang telah mengeluarkan perintah tersebut.”

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran B)


6. Kes tuntutan harta sepencarian dan mengubah perintah, kedua-duanya adalah turut berpandukan kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, yang mana Mahkamah Yang Mulia ini hendaklah mempunyai bidangkuasa mendengarnya walaupun pemastautinan Plaintif bukan berada di dalam Negeri Selangor.

7. Memandangkan faktor tempat pemastautinan Plaintif atau Defendan bukanlah menjadi isu utama dalam menentukan bidang kuasa Mahkamah ini, maka peruntukan seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, berkaitan tafsiran perkataan “bermastautin”, seperti mana yang dihujahkan oleh Defendan-Defendan di perenggan 26 hingga 29 penghujahannya, adalah tidak relevan dan tidaklah perlu disentuh dalam hujah jawapan ini.

8. Justeru penghujahan yang dibuat oleh Defendan-Defendan yang hanya melihat kepada tempat pemastautinan Plaintif bagi menentukan bidangkuasa Mahkamah ini adalah terkhilaf dan tersasar daripada kehendak undang-undang kerana terdapat beberapa pengecualian yang perlu diambil kira.

ALASAN KEDUA

9. Pemakaian peruntukan substantif dalam seksyen 61 (3)(b) (iv) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:

Bidang Kuasa Mahkamah Tinggi Syariah

“Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan-
(iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;

10. Adalah jelas bahawa peruntukan di atas, hanya mensyaratkan agama pihak-pihak dalam tuntutan harta sepencarian hendaklah orang Islam, manakala syarat mengenai tempat pemastautinan tidak diperuntukkan sebagai asas dalam menentukan bidang kuasa Mahkamah ini.

11. Ini lagi sekali membuktikan dakwaan Defendan-Defendan bahawa tempat permastautinan Plaintif semata-mata perlu diambilkira bagi menentukan bidang kausa Mahkamah ini dalam mendengar tuntutan harta sepencarian adalah tidak berasas.

12. Adalah dihujahkan di sini bahawa kesemua pihak dalam tindakan yang dimulakan oleh Plaintif ini adalah orang Islam. Justeru itu ia adalah memadai dan menepati syarat yang ditetapkan oleh peruntukan seksyen 61 (3)(b) (iv) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 di atas bagi memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah Yang Mulia ini.

ALASAN KETIGA

13. Pemakaian Fatwa Negeri Selangor yang diwartakan pada 23 Jun 2005 (Sel. P.U. 13) yang memperuntukkan:

Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor

1. Harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan di Negeri Selangor boleh dibahagikan kepada suami atau isteri sebelum difaraidkan termasuk setelah dilepaskan tanggungan si mati.

2. Pembahagian harta sepencarian tersebut hendaklah diberikan mengikut takat sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dari kedua-dua belah pihak.

3. Persetujuan pembahagian hendaklah dibuat melalui perintah Mahkamah.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran C)

14. Fatwa di atas adalah memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Yang Mulia ini untuk mendengar tuntutan pembahagian harta sepencarian yang disebabkan oleh kematian pihak-pihak kepada perkahwinan, di dalam Negeri Selangor, seperti tuntutan yang dimulakan oleh Plaintif ini.

15. Plaintif tertarik untuk menghujahkan tafsiran perkataan “di Negeri Selangor” yang disebutkan dalam fatwa di atas dengan ungkapan penuh seperti berikut: Harta sepencarian, selepas kematian salah satu pihak, dalam perkahwinan di Negeri Selangor.

16. Persoalan yang dibangkitkan oleh Plaintif di sini adakah perkataan “di Negeri Selangor” tersebut merujuk kepada salah satu maksud berikut:
i) Harta sepencarian di Negeri Selangor.
ii) Kematian salah satu pihak di Negeri Selangor.
iii) Salah satu pihak (yang masih hidup bermastautin) di Negeri Selangor.
iv) Perkahwinan di Negeri Selangor.

17. Plaintif menghujahkan bahawa pada zahirnya semua tafsiran di atas adalah terkandung dalam maksud yang dikehendaki oleh fatwa tersebut. Namun tafsiran tersebut tidaklah berbentuk konklusif sehingga menafikan bidangkuasa Mahkamah ini untuk mendengar tuntutan yang melibatkan:
i) Harta sepencarian di luar Negeri Selangor.
ii) Kematian salah satu pihak di luar Negeri Selangor
iii) Salah satu pihak (yang masih hidup bermastautin) di luar Negeri Selangor.
iv) Perkahwinan di luar Negeri Selangor.

18. Ini kerana bidang kuasa Mahkamah ini boleh meliputi harta sepencarian yang berada di luar Negeri Selangor yang mana boleh dikuatkuasakan di bawah peruntukan ‘tindakan bersaling’ berdasarkan kepada seksyen 75 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Bidang kuasa Mahkamah ini juga boleh meliputi pihak-pihak yang berada di luar Negeri Selangor melalui peruntukan ‘penyampaian saman luar bidangkuasa’ berdasarkan seksyen 52 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Begitu juga bagi perkahwinan di luar Negeri Selangor yang wajar diiktiraf oleh Mahkamah ini berdasarkan kepada peruntukan seksyen 6 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

19. Oleh yang demikian tindakan yang dimulakan oleh Plaintif ini adalah menepati maksud fatwa di atas kerana:

i) Harta sepencarian yang dituntut oleh Plaintif sebahagian besarnya berada dalam Negeri Selangor, manakala sebahagian kecil lagi berada di luar Negeri Selangor iaitu Negeri Kedah Darul Aman.

ii) Kematian salah satu pihak kepada perkahwinan, iaitu Allahyarham suami Plaintif adalah bertempat di dalam Negeri Selangor .

iii) Pemastautinan salah satu pihak kepada perkahwinan, iaitu Defendan 1 selaku isteri pertama si mati adalah di dalam Negeri Selangor.

iv) Perkahwinan Plaintif dan si mati yang diakadkan di luar Negeri Selangor iaitu (Negeri Perak) perlu diiktiraf oleh Mahkamah ini menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

ALASAN KEEMPAT

20. Harta sepencarian tak alih yang dituntut oleh Plaintif adalah sebahagian besarnya berada di dalam Negeri Selangor iaitu:

i) Sebuah rumah beralamat di No. 244, ……. Taman Jasa Mukim Batu, Selangor

ii) Sebuah rumah beralamat di No. 14, …….. 40000 Shah Alam, Selangor.

(Sila rujuk Senarai Aset dalam Surat Kuasa Mentadbir di Lampiran D)

21. Sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa harta sepencarian dan selainnya yang terletak di dalam Negeri Selangor adalah tertakluk sepenuhnya kepada bidangkuasa Mahkamah ini selari dengan peruntukan seksyen 61(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:

“Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Selangor dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.”

22. Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya Nizam al-Qada’ Fi as-Syariah al-Islamiyyah halaman 125 ada menukilkan pandangan fuqaha’ yang mana telah dipetik dalam alasan penghakiman kes Noh Bin Atan lwn Syakila Bt Mohamed (1998) Jurnal Hukum Jld XII, Bhg. 1, Jun 1998M:
ولكن إذا تعلقت الدعوى بعقار أو منقول موجود في غير بلد المدعى عليه فإن المحكمة المختصة بنظر الدعوى ويرفع إليها المدعي دعواه هي محكمة محل هذا الشيء من منقول أو عقار على رأي بعض فقهاء المالكية, وقال فريق آخر من المالكية تبقى محكمة محل إقامة المدعى عليه هي المختصة بنظر الدعوى وإليها ترفع, فقد جاء في كتاب الحطاب: إذا كان الشيء المدعى فيه غير بلد المدعى عليه, فقال ابن الماجشون الخصومة حيث المدعى فيه. وقال مطرف وأصبغ حيث المدعى عليه.

Bermaksud: Tetapi jika dakwaan itu berkaitan dengan harta, sama ada harta alih atau tak alih, sedangkan harta itu bukan berada di tempat pihak yang didakwa, maka mahkamah yang berhak mendengar dakwaan tersebut ialah mahkamah di mana harta yang dipertikaikan itu berada. Demikianlah menurut pendapat sebahagian ulamak dalam mazhab Maliki.

Sedangkan sebahagian lain daripada ulamak Maliki pula berpendapat mahkamah yang berhak mendengar dakwaan ialah mahkamah yang berada di tempat pihak yang didakwa.

Terdapat di dalam kitab al-Hattab: “Apabila sesuatu benda yang didakwa itu berada di negeri bukan orang yang didakwa, maka menurut Ibn al-Majisyun: dakwaan itu hendaklah dikemukakan kepada mahkamah di mana benda yang dipertikaikan itu berada. Manakala menurut Mitraf dan Asbagh pula: dakwaan itu hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah negeri pihak yang didakwa.

(Sila rujuk Ikatan autoriti Plaintif di Lampiran E)

23. Berdasarkan kepada kedua-dua pandangan di atas, maka tindakan yang difailkan oleh Plaintif di Mahkamah Yang Mulia ini adalah tepat dan wajar kerana harta sepencarian yang dipertikaikan sama ada harta alih atau tak alih adalah jelas sebahagian besarnya berada di dalam Negeri Selangor dan sekali gus berada dalam negeri pemastautinan pihak yang didakwa, iaitu Defendan 1, Defendan 3 dan Defendan 4.

ALASAN KELIMA

24. Kematian salah satu pihak kepada perkahwinan, iaitu suami kepada Plaintif dan Defendan 1 atau ‘si mati’ adalah bertempat di dalam Negeri Selangor. Ini berdasarkan kepada Sijil Kematian si mati yang mencatatkan bahawa si mati telah meninggal dunia di alamat terakhir:

5, Jalan …………, Seksyen 2, 40000 Shah Alam Selangor

(Sila rujuk Sijil Kematian si mati di Lampiran F)

25. Kami menghujahkan bahawa tempat kematian si mati adalah relevan dan boleh diambilkira bagi menentukan bidang kuasa Mahkamah ini kerana ia menunjukkan qarinah berikut:

i) Si mati pada masa kematiannya adalah seorang pemastautin dalam Negeri Selangor.

ii) Harta alih si mati yang diketahui berada di tangan si mati pada masa kematiannya adalah tertakluk kepada hak dan liabiliti di sisi undang-undang Negeri Selangor, sebagai timbal balas terhadap kewajipan fardu kifayah menguruskan jenazah si mati yang terbeban ke atas masyarakat Islam di Negeri Selangor. Liabiliti terhadap harta si mati adalah termasuk belanja pengurusan jenazah, zakat, hutang piutang dan harta sepencarian yang dituntut terhadap harta si mati, yang mana Mahkamah Syariah Negeri Selangor boleh berbidang kuasa memutuskannya.

iii) Baitulmal di negeri tempat kematian si mati, jika ia tidak berwaris, adalah berhak mengemukakan permohonan kepada Mahkamah di tempat kematian si mati bagi mentadbir atau mempusakai harta si mati.

26. Oleh yang demikian, tempat kematian si mati juga adalah relevan untuk menentukan Mahkamah Syariah manakah yang berbidangkuasa mendengar tuntutan yang dikemukakan terhadap harta si mati, khususnya harta alih yang diketahui berada di tangan si mati semasa kematiannya. Ini kerana hukum terhadap harta alih si mati adalah mengikut tempat di mana harta itu berada atau dibawa oleh si mati.

27. Ini selari dengan kaedah fiqhiyyah: (التابع تابع)
Yang bermaksud: Pengikut itu mengikut (hukum perkara yang diikutnya).

(Sila rujuk al-Asybah wa al-Nazair dalam ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran G)

28. Dalam pemakaian kaedah di atas terhadap kes ini, kami menghujahkan bahawa harta alih si mati hendaklah mengikut undang-undang di tempat harta itu berada atau dibawa oleh si mati, iaitu kali terakhirnya adalah tempat kematian si mati. Justeru tidak syak lagi Mahkamah Syariah inilah yang merupakan Mahkamah yang berbidang kuasa di tempat kematian si mati, iaitu Negeri Selangor Darul Ehsan.

ALASAN KEENAM

29. Mahkamah ini juga berbidang kuasa mendengar tuntutan ini kerana tempat pemastautinan dan alamat penyampaian salah satu pihak (yang masih hidup) dalam perkahwinan, iaitu Defendan 1 selaku isteri pertama si mati, serta Defendan 3 dan Defendan 4 selaku waris-waris si mati, yang mana adalah merupakan majoriti Defendan, berada dalam Negeri Selangor.

30. Ini selari dengan subseksyen 40(1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:

Tertakluk kepada subseksyen (2), tiap-tiap plaintif atau pemohon dan tiap-tiap orang yang memfailkan saman atau dokumen lain dalam mana-mana prosiding, selain seorang pegawai Mahkamah yang bertindak demikian, dan mana-mana orang lain yang diperintahkan oleh Mahkamah untuk berbuat demikian hendaklah memberikan alamat bagi penyampaian di dalam Negeri Selangor.

31. Plaintif telah bertindak mengikut lunas undang-undang apabila memfailkan saman terhadap Defendan 1, Defendan 3 dan Defendan 4 dengan memberikan alamat penyampaian mereka di dalam Negeri Selangor seperti mana alamat yang dinyatakan dalam cabutan daftar alamat kad pengenalan Defendan-Defendan.

(Sila rujuk Cabutan Daftar Alamat Kad Pengenalan Defendan di Lampiran H)

ALASAN KETUJUH

32. Mahkamah ini masih mempunyai bidang kuasa terhadap Defendan 2 yang mempunyai alamat penyampaian di luar Negeri Selangor (Negeri Kedah) berdasarkan kepada seksyen 52 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan tentang penyampaian luar bidang kuasa seperti mana berikut:

“Mahkamah boleh memerintahkan penyampaian saman atau permohonan di luar bidang kuasa jika-
(a)
(b)
(c) tindakan itu dibawa dengan sepatutnya terhadap….., seseorang di luar negeri Selangor ialah suatu pihak yang perlu atau patut dalam tindakan itu;

ALASAN KELAPAN

33. Mahkamah ini juga berbidangkuasa dan boleh menguatkuasakan perintahnya terhadap Defendan 2 berkenaan antara lainnya, harta tak alih si mati yang berada di luar negeri Selangor, yang merupakan sebuah rumah beralamat di Lot 172, Lorong Masjid 1, Kampung Bujang 08100 Bedong Kedah berdasarkan peruntukan “tindakan bersaling” di bawah subseksyen 27(3) Enakmen Mahkamah Syariah (Kedah Darul Aman) 2008 yang memperuntukkan:

Jika Mahkamah Syariah dalam mana-mana negeri di Malaysia membuat suatu perintah atau penghakiman di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dalam negeri itu terhadap seseorang dan orang itu berada atau dipercayai berada dalam Negeri Kedah Darul Aman, maka Hakim Syarie, jika dia berpuashati bahawa perintah atau penghakiman itu telah dikeluarkan dengan sempurna oleh suatu Mahkamah Syariah yang berwibawa dalam mana-mana negeri di Malaysia, boleh mengendorskan perintah atau penghakiman itu dan perintah atau penghakiman itu bolehlah kemudiannya dilaksanakan atau disampaikan, mengikut mana-mana yang berkenaan, seolah-olah perintah atau penghakiman itu telah dikeluarkan dengan sah oleh mana-mana Mahkamah Syariah dalam Negeri Kedah Darul Aman menurut peruntukan Enakmen ini.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran I)

ALASAN KESEMBILAN

34. Menurut Hukum Syarak, pada asalnya Mahkamah yang berbidangkuasa mendengar pertikaian pihak-pihak ialah Mahkamah di tempat Defendan (mudda’a alaihi) atau pihak yang didakwa itu tinggal. Perkara ini banyak dibincangkan dalam bab al-Qada’ dalam perbahasan mengenai al-ikhtisas al-makani.

35. Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitab Nizam al-Qada’ ada menyatakan berkaitan perkara asas dalam menentukan Mahkamah yang berbidang kuasa mendengar pertikaian ialah Mahkamah di tempat pemastautinan pihak yang didakwa. Pandangan beliau ini turut dipetik dalam alasan penghakiman kes Noh Bin Atan lwn Syakila Bt Mohamed (1998) Jurnal Hukum Jld XII, Bhg. 1, Jun 1998M seperti mana berikut:

ترفع الدعوى إلى المحكمة المختصة بنظر الدعوى, وهذه المحكمة في الأصل هي محكمة محل إقامة المدعى عليه, وعلى هذا فإن على المدعي أن يرفع دعواه إلى قاضى البلد أو المحل الذي يقيم فيه عادة المدعى عليه

Bermaksud: Setiap dakwaan hendaklah dikemukakan kepada mahkamah yang berhak mendengar dakwaan. Pada prinsipnya mahkamah ini terletak di tempat pihak yang didakwa itu bermukim. Berdasarkan ini, maka pihak yang mendakwa hendaklah mengemukakan dakwaannya kepada hakim yang berada di tempat pihak yang didakwa kebiasaannya tinggal.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran J)

ALASAN KESEPULUH

36. Menurut Hukum Syarak, Mahkamah sesebuah negeri adalah berbidang kuasa mendengar dan memutuskan pertikaian atau tuntutan yang dibuat di antara pemastautin dalam negeri tersebut dan juga orang luar yang datang ke negeri itu.

37. Ibn Qudamah dalam Kitab al-Mughni fasal 8292 ada menyatakan pandangan tersebut sebagai mana berikut:
يجوز أن يولي قاضيا عموم النظر في خصوص العمل فيقلده النظر في جميع الأحكام في بلد معين فينفذ حكمه فيمن سكنه ومن أتى إليه من غير ساكنه

Bermaksud: Adalah harus (bagi pemerintah) melantik Hakim dengan (memberikannya) kuasa mendengar dakwaan secara umum dalam perkara khusus maka tertakluklah ia (hakim itu, dengan pengkhususan kuasa) mendengar dakwaan tersebut dalam menjalankan semua penghakiman di negeri tertentu. Maka hendaklah terlaksana penghakimannya terhadap orang yang mendiami negeri itu dan orang yang datang ke negeri itu daripada penduduk negeri lain.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran K)

38. Al-Mawardi di dalam kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah ada menyebutkan dengan lebih jelas mengenai bidang kuasa Mahkamah sesebuah negeri terhadap penduduk negerinya dan penduduk luar yang datang ke negeri tersebut iaitu seperti mana berikut:

وَيَجُوزُ أَنْ يَكُونَ الْقَاضِي عَامَّ النَّظَرِ خَاصَّ الْعَمَلِ ، فَيُقَلَّدُ النَّظَرَ فِي جَمِيعِ الْأَحْكَامِ فِي أَحَدِ جَانِبَيْ الْبَلَدِ أَوْ فِي مَحَلَّةٍ مِنْهُ فَيَنْفُذُ جَمِيعُ أَحْكَامِهِ فِي الْجَانِبِ الَّذِي قَلَّدَهُ وَالْمَحَلَّةِ الَّتِي عُيِّنَتْ لَهُ ، وَيَنْظُرُ فِيهِ بَيْنَ سَاكِنِيهِ وَبَيْنَ الطَّارِئِينَ إلَيْهِ ، لِأَنَّ الطَّارِئَ إلَيْهِ كَالسَّاكِنِ فِيهِ إلَّا أَنْ يَقْتَصِرَ بِهِ عَلَى النَّظَرِ بَيْنَ سَاكِنِيهِ دُونَ الْغَرِيبِينَ وَالطَّارِئِينَ إلَيْهِ فَلَا يَتَعَدَّاهُمْ .

Bermaksud: Adalah harus dilantik hakim itu dengan kuasa (mendengar dakwaan) yang umum dalam perkara yang khusus, maka tertakluklah (Hakim itu) untuk mendengar dakwaan tersebut dalam semua penghakiman (prosiding kes) dalam mana-mana kawasan dalam negeri itu atau jajahan takluknya. Maka berkuatkuasalah semua penghakimannya dalam kawasan yang ditadbirnya atau jajahan takluk yang di bawah pengawasannya. Maka ia berbidang kuasa (membuat penghakiman) dalam negeri itu di kalangan penduduk negeri itu dan juga di kalangan orang mendatang ke negeri itu. Ini kerana orang mendatang ke negeri itu (dianggap) sama seperti penduduk negeri itu, melainkan jika dihadkan bidang kuasanya hanya terhadap penduduk negeri itu tanpa meliputi orang luar atau orang mendatang ke negeri itu, maka dengan demikian bidang kuasanya tidak boleh meliputi mereka.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran L)

39. Dalam kes ini, Plaintif yang merupakan pemastautin Negeri Perak telah hadir ke Mahkamah Yang Mulia ini untuk memfailkan tuntutannya. Maka Mahkamah ini perlulah mengambil kira perbuatan Plaintif ini sebagai asas penting bagi menentukan bidangkuasa kepada Mahkamah ini.

40. Memandangkan tidak terdapat peruntukan undang-undang yang menghadkan bidang kuasa Mahkamah ini hanya kepada penduduk Negeri Selangor semata-mata, tanpa terpakai kepada penduduk luar Negeri Selangor, maka kami hujahkan bahawa Mahkamah Yang Mulia ini sudah tentu berbidang kuasa mendengar tuntutan Plaintif yang disifatkan sebagai seorang yang mendatang ke Negeri Selangor ini.

ALASAN KESEBELAS

41. Menurut Hukum Syarak, sekiranya berlaku pertikaian, maka Plaintiflah yang diberi hak untuk memilih Mahkamah mana yang perlu mendengar dan memutuskan tuntutannya disebabkan Plaintif yang terlebih dahulu memfailkan tindakan. Dalam keadaan ini hak tersebut tidak sama sekali diberi kepada Defendan. Ini ada dinyatakan dalam Durar al-Hukkam Fi Syarh Majallah al-Ahkam, Fasal 16 [al-Qadha’], Perkara:1803:

أَمَّا إذَا كَانَ الْقُضَاةُ الْمُتَعَدِّدُونَ فِي بَلْدَةٍ مَأْذُونًا كُلُّ وَاحِدٍ مِنْهُمْ أَنْ يَسْتَمِعَ قَضَايَا جَمِيعِ أَنْحَاءِ تِلْكَ الْبَلْدَةِ وَحَصَلَ اخْتِلَافٌ بَيْنَ الْمُدَّعِي وَالْمُدَّعَى عَلَيْهِ عَلَى هَذَا الْوَجْهِ فَيُرَجَّحُ الْقَاضِي الَّذِي اخْتَارَهُ الْمُدَّعِي لِأَنَّهُ لَمَّا كَانَ الْمُدَّعِي هُوَ مُنْشِئُ الْخُصُومَةِ فَلَهُ - إنْ شَاءَ - إنْشَاءُ الْخُصُومَةِ عِنْدَ هَذَا الْقَاضِي أَوْ ذَلِكَ الْقَاضِي الْآخَرِ وَلَا يُقَالُ لَهُ : لَا تُنْشِئْ الْخُصُومَةَ فِي حُضُورِ هَذَا الْقَاضِي وَأَنْشِئْهَا عِنْدَ ذَلِكَ الْقَاضِي

Bermaksud: Adapun sekiranya terdapat beberapa Hakim (Mahkamah yang berbidang kuasa) dalam negeri (atau negara) yang diberi kuasa bagi setiap mereka untuk mendengar kes-kes di seluruh pelusuk negeri itu, lalu timbul pertikaian antara Plaintif dan Defendan berkaitan perkara ini (penentuan hakim di negeri mana) maka hendaklah diutamakan hakim yang dipilih oleh pihak Plaintif disebabkan Plaintif itu adalah pihak yang memulakan tindakan, maka baginyalah (hak untuk memilih)- jika ia kehendaki- dia boleh memulakan tindakan di hadapan hakim ini atau hakim itu (yang lain), dan tidak sesekali boleh dikatakan kepadanya (berbantahan): “Jangan kamu memulakan tindakan di hadapan hakim ini, dan mulakanlah tindakan di hadapan hakim itu (yang lain).”

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran M, diperoleh dari perisian al-Maktabah al-Syamilah, Versi: 2)

42. Dalam kitab Nizam al-Hukm Fi as-Syariah Wa al-Tarikh al-Islami oleh Zafir al-Qasimi ada menyebutkan pandangan yang dipetik daripada al-Mawardi:

فإن أراد الطالب أن يستعدي قاضي المطلوب على خصمه, وجب عليه أن يعديه, ويحكم بينهما , في جانبه, لحصولهما في عمله

Bermaksud: Jika pihak yang menuntut (Plaintif) berkehendak untuk dipertaklukkan dirinya kepada hakim pihak yang dituntut berkenaan dengan tuntutannya, maka WAJIB ke atas hakim itu menakluki diri pihak yang menuntut itu dan menghakimi antara kedua-duanya (Plaintif dan Defendan) dalam kawasannya kerana terhasil kedua-dua mereka dalam bidangkuasanya.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran N)

43. Berdasarkan kepada nas-nas di atas, adalah ternyata Defendan-Defendan telah jauh melampaui batasan Hukum Syarak dengan membantah dan menafikan hak Plaintif untuk mempertaklukkan dirinya dan memilih Mahkamah Yang Mulia ini untuk memutuskan tuntutan pembahagian harta sepencarian yang dimulakan oleh Plaintif.

ALASAN KEDUA BELAS

Dengan izin Yang Arif,

44. Sesungguhnya Mahkamah Yang Mulia ini telahpun mendengar dan memutuskan hak Plaintif, Defendan-Defendan dan waris-waris si mati yang lain berkaitan dengan pembahagian harta pusaka si mati, sekaligus mengesahkan mempunyai bidang kuasa terhadap permohonan yang difailkan oleh Plaintif selaku Pemohon dalam kes tersebut yang bermastautin di luar Negeri Selangor.

45. Ini adalah berdasarkan kepada sijil faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Dewan 6 di hadapan YAA Tuan Hj Mukhyuddin Bin Hj. Ibrahim bertarikh 27 Oktober 2010.

46. Justeru adalah tidak munasabah jika dikatakan Mahkamah ini tidak berbidang kuasa mendengar tuntutan Saman harta sepencarian ini, sedangkan Mahkamah Tinggi Syariah yang sama telah memutuskan berbidang kuasa mendengar permohonan pengesahan dan pembahagian faraid yang difailkan oleh Plaintif.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran N)

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus