Saturday, January 16, 2010

HUJAH Kebenaran Poligami Di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor

Dalam entri kali ini, ingin saya paparkan penghujahan dalam kes kebenaran nikah poligami yang pernah saya kemukakan di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor baru-baru ini. Alhamdulillah hujah ini telah diterima baik oleh Mahkamah dengan mendapat kepujian. Yang Arif Tuan Hakim telah mengesyorkan hujah seperti ini dikemukakan kepada Mahkamah bagi memudahkan Mahkamah membuat keputusan dalam setiap isu dan fakta yang dibangkitkan. Dalam blog ini saya hanya menyiarkan penghujahan keterangan sahaja kerana latar belakang kes, dokumentasi dan keterangan pihak-pihak terlalu panjang untuk dimuatkan di sini. Saya juga telah memajhulkan nama pihak-pihak supaya ia tidak menjejaskan kepentingan anakguam saya.

Isu 1: Kehadiran wali bakal isteri boleh dikecualikan, dalam keadaan khas untuk kes kebenaran poligami.

Isu 2: Nafkah anak boleh dikecualikan, dalam keadaan khas bagi membuktikan kemampuan berpoligami.

Isu 3:
Giliran bermalam harus dilebihkan untuk isteri pertama dalam keadaan khas.


PENGHUJAHAN KETERANGAN


Berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh pihak Plaintif, Defendan dan bakal isteri, maka adalah dihujahkan seperti berikut:


Permohonan Plaintif untuk berpoligami atau mempunyai isteri kedua adalah suatu yang diharuskan oleh syarak berdasarkan firman Allah Taala: (Surah al-Nisa’ (4); ayat 3)


Bermaksud: “Maka berkahwinlah dengan siapa yang kamu sukai daripada wanita-wanita dua, tiga atau empat. Maka jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil, maka berkahwinlah dengan seorang sahaja atau (pakailah) hamba perempuan yang kamu miliki.”


Plaintif telah berjaya membuktikan keempat-empat alasan yang dikemukakan olehnya untuk mendapatkan kebenaran berpoligami kerana kesemua kehendak yang ditetapkan dalam subseksyen 23 (5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 telah dapat dipatuhi.


a) Mengenai kehendak subseksyen 23(5) (a) Plaintif telah berjaya membuktikan bahawa perkahwinan poligami ini sebagai suatu yang patut atau perlu. Ini kerana alasan yang dikemukakan oleh Plaintif bahawa isteri pertama (Defendan) mempunyai keuzuran jasmani untuk melahirkan zuriat tambahan adalah suatu yang wajar dan boleh diterima mengikut hukum syarak kerana meramaikan zuriat seperti yang dihajati oleh pihak Plaintif adalah suatu yang digalakkan oleh Rasulullah SAW. Perkara tersebut dijelaskan dalam banyak hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Nasa’i, Ahmad, al-Baihaqi, al-Tabrani, Ibn Hibban dan al-Hakim (Berdasarkan carian secara digital menggunakan perisian al-Maktabah al-Syamilah Versi 2) . Berikut adalah hadith yang tercatat dalam Sunan Abu Daud, terbitan Darul Kutub al-Ilmiyyah, cetakan ketiga 2007, dalam Kitab al-Nikah, Bab Man Tazauwaja al-Walud, jilid kompilasi penuh, halaman 327, hadith nombor 2050:


حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ أَخْبَرَنَا مُسْتَلِمُ بْنُ سَعِيدٍ ابْنَ أُخْتِ مَنْصُورِ بْنِ زَاذَانَ عَنْ مَنْصُورٍ يَعْنِي ابْنَ زَاذَانَ عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ قُرَّةَ عَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنِّي أَصَبْتُ امْرَأَةً ذَاتَ حَسَبٍ وَجَمَالٍ وَإِنَّهَا لاَ تَلِدُ أَفَأَتَزَوَّجُهَا قَالَ لاَ ثُمَّ أَتَاهُ الثَّانِيَةَ فَنَهَاهُ ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ فَقَالَ: تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الأُمَمَ

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran A)


Bermaksud: “Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku menyukai seorang wanita yang berketurunan baik, mempunyai kedudukan dan berharta, akan tetapi dia tidak boleh beranak. Adakah boleh aku menikahinya?” Maka Rasulullah bersabda: “Jangan kamu menikahinya”. Kemudian lelaki itu datang lagi untuk kali kedua dan bertanya soalan yang sama. Lalu Rasulullah tetap melarangnya. Kemudian dia datang untuk kali ketiga dengan soalan yang sama. Lalu Rasulullah bersabda: “Kahwinilah wanita yang penyayang dan mampu melahirkan ramai anak kerana aku berbangga dengan umatku yang ramai.”


- Adalah dihujahkan di sini bahawa fakta bahawa bakal isteri Plaintif tidak pernah dikurniakan anak dalam perkahwinan terdahulu tidaklah boleh menafikan sifat asalnya sebagai seorang yang mampu melahirkan anak. Ini kerana tiada keterangan dikemukakan bagi mengesahkan bakal isteri Plaintif memang tidak mampu melahirkan anak. Malah menurut hukum syarak soal mendapatkan anak adalah diluar kuasa manusia untuk menentukan kerana semuanya adalah tertakluk kepada ketentuan Allah. Mahkamah ini wajar melihat kepada sifat zahir bakal isteri Plaintif yang masih muda dan pada kebiasaannya masih berpeluang untuk mendapatkan zuriat.


Isu Nafkah anak boleh dikecualikan

b) Mengenai kehendak subseksyen 23(5) (b) Plaintif juga telah berjaya membuktikan bahawa Plaintif berkemampuan menanggung segala nafkah yang berbangkit dalam perkahwinan poligami ini. Ini kerana jika dihitung, baki pendapatan Plaintif setelah ditolak segala tanggungan yang bakal ditanggung berikutan daripada perkahwinan poligami ini adalah berbaki sebanyak RM1,487.40. Jumlah ini adalah suatu yang munasabah untuk digunakan bagi keperluan diri Plaintif sendiri. Mengenai ketiadaan nafkah 2 orang anak Plaintif iaitu anak pertama dan kedua, Plaintif berhak diberi pengecualian daripada memberi nafkah kepada anak-anak tersebut kerana mereka telah mendapat biasiswa penuh Kerajaan Persekutuan. Perkara ini tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak ketika perbicaraan. Ini selari dengan pandangan Mazhab Syafi'i berdasarkan kitab Mughni al-Muhtaj oleh Khatib al-Syarbini, terbitan Darul Kutub al-Ilmiyyah, cetakan 2000, jilid 5, halaman 183-185:


( وَلَا تَجِبُ ) النَّفَقَةُ ( لِمَالِكٍ كِفَايَتَهُ ) وَلَوْ زَمِنًا أَوْ صَغِيرًا أَوْ مَجْنُونًا لاِسْتِغْنَائِهِ عَنْهَا ( وَلاَ لِمُكْتَسِبِهَا ) بِأَنْ يَقْدِرَ عَلَى كَسْبِ كِفَايَتِهِ مِنْ كَسْبٍ حَلاَلٍ يَلِيقُ بِهِ لاِنْتِفَاءِ حَاجَتِهِ إلَى غَيْرِهِ ، وَإِنْ كَانَ يَكْسِبُ دُونَ كِفَايَتِهِ اسْتَحَقَّ الْقَدْرَ الْمَعْجُوزَ عَنْهُ خَاصَّةً .

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran B)


Bermaksud: “Tidak wajib memberi nafkah kepada seseorang yang mempunyai kecukupannya sendiri walaupun dia seorang yang menghidap penyakit yang tidak boleh sembuh, kanak-kanak yang masih kecil atau orang cacat mental (gila) disebabkan adanya kekayaan mereka sendiri daripada memerlukan nafkah…


- Adalah dihujahkan bahawa anak pertama dan kedua Plaintif telah mempunyai kecukupannya sendiri kerana mereka telah mendapat dan memiliki bantuan penuh biasiswa pelajaran sepanjang tempoh pengajian mereka. Justeru hukum memberi nafkah ke atas mereka tidak lagi diwajibkan ke atas Plaintif.


Isu Giliran bermalam harus dilebihkan untuk isteri pertama

c) Mengenai kehendak subseksyen 23(5) (c) Plaintif juga telah berjaya membuktikan bahawa Plaintif berupaya memberi layanan dan giliran yang adil kepada kedua-dua isteri. Mengenai pembahagian giliran 4 malam kepada isteri pertama (Defendan) dan 3 malam kepada isteri kedua (bakal isteri), perkara ini tidaklah merupakan satu kezaliman kepada isteri kedua. Ini kerana bakal isteri sendiri telah bersetuju dan tidak menyatakan sebarang bantahan terhadap pembahagian tersebut. Sekiranya bantahan berbangkit daripada isteri kedua di kemudian hari, Plaintif boleh mengubah kaedah giliran mengikut kesesuaian semasa. Tambahan pula Plaintif melebihkan giliran untuk isteri pertama kerana wujud keperluan khusus untuk melaksanakan tanggungjawab Plaintif sebagai bapa kepada anak-anak bersama isteri pertama. Ini selari dengan pandangan Mazhab Syafi'i berdasarkan kitab al-Iqna’ oleh al-Khatib al-Syarbini, terbitan Darul Kutub al-Ilmiyyah, jilid 2, halaman 275-276:


((وَالتَّسْوِيَةُ فِي الْقِسْمِ بَيْنَ الزَّوْجَاتِ وَاجِبَةٌ وَلاَ يَدْخُلُ عَلَى غَيْرِ الْمَقْسُوْمِ لَهَا لِغَيْرِ حَاجَةٍ))... أما دخوله لحاجة كوضع متاع أو أخذه أو تسليم نفقة أو تعريف خبر فجاز لحديث عائشة رضي الله تعالى عنها : )كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يطوف علينا جميعا فيدنو من كل امرأة من غير مسيس أي وطء- حتى يبلغ إلى التي هو يومها فيبيت عندها( ولا يقضي إذا دخل لحاجة وإن طال الزمن

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif di Lampiran C)


Hadith riwayat: Abu Daud, Ahmad, al-Baihaqi, al-Hakim, al Tabrani dan al-Daruqatni.


Bermaksud: “Menyamakan dalam giliran bermalam di antara isteri-isteri adalah WAJIB dan tidak boleh suami memasuki (rumah) isteri yang bukan pada masa gilirannya tanpa sebarang keperluan… Adapun jika suami memasuki (rumah) isteri tersebut (yang bukan pada masa gilirannya) kerana keperluan seperti meletak barang atau mengambilnya, atau menyerahkan nafkah atau mengetahui perkhabaran maka ia diharuskan berdasarkan kepada hadith Aisyah r.a. berkata: Rasulullah SAW pernah mengunjungi kami semua lalu Baginda singgah ke rumah setiap isteri tanpa bersentuhan (yakni bersetubuh) sehingga Baginda sampai ke (rumah) isteri yang mempunyai giliran pada hari itu, lalu Baginda bermalam bersamanya.” Dan tidak perlu suami itu menqada’ giliran jika ia dilakukan kerana keperluan walaupun mengambil masa yang lama.


Berdasarkan kepada hadith tersebut adalah harus bagi Plaintif melebihkan 1 hari (siang) untuk mengunjungi anak-anak yang tinggal bersama isteri pertama pada hujung minggu dan tidak perlu diqada’ ini kerana mengunjungi anak juga adalah satu keperluan yang diiktiraf oleh Syarak.


d) Mengenai kehendak subseksyen 23(5) (d) Plaintif juga telah berjaya membuktikan bahawa perkahwinan Plaintif dengan isteri kedua tidak akan menimbulkan kemudaratan kepada isteri pertama iaitu Defendan.


Ini selari dengan hadith Rasulullah SAW: لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ yang bermaksud: “Tidak boleh memudaratkan dan tidak boleh saling membalas dengan kemudaratan” Fakta bahawa perkahwinan poligami ini tidak memudaratkan isteri pertama tidak pernah dipertikai oleh pihak Defendan yang merupakan isteri pertama Plaintif. Jika wujud persoalan sama ada terjadi kemudaratan ke atas Defendan, maka Defendan sendiri hendaklah membuktikannya. Plaintif tidak diletakkan beban untuk membuktikan wujudnya kemudaratan terhadap Defendan kerana pada asalnya kemudaratan itu tidak wujud. Ini selari dengan kaedah fiqhiyyah: الأصل العدم bermaksud: Asal (bagi sesuatu perkara yang mendatang) adalah tiada.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif Kitab al-Asybah wa al-Nazair, m/s: 129 seperti di Lampiran D).


Isu Kehadiran wali bakal isteri boleh dikecualikan

Adalah juga dihujahkan bahawa ketidakhadiran wali bakal isteri bukanlah satu kecacatan yang boleh menghalang kebenaran poligami dikeluarkan oleh Mahkamah ini. Ini kerana alasan-alasan berikut:


a) Keperluan kehadiran wali kepada bakal isteri yang ditetapkan dalam subseksyen 23(5) EUKINS 2003 bukanlah lagi merupakan perkara utama yang perlu diambilkira oleh Mahkamah di dalam kes ini kerana kesemua 4 syarat untuk mendapatkan kebenaran berpoligami yang ditetapkan dalam subseksyen 23(5) telah dapat dipenuhi berdasarkan kepada keterangan Plaintif (suami), isteri sedia ada (Defendan) dan bakal isteri.

b) Subseksyen 23(5) perlulah difahami dan ditafsirkan secara purposif, maksud atau tujuan dan bukannya secara literal. Ini kerana tafsiran secara literal boleh menyulitkan Mahkamah yang akan terpaksa memanggil “mana-mana orang lain yang difikirkan oleh Mahkamah boleh memberi keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu” walaupun orang itu tidak wujud atau kehadirannya tidak diperlukan apabila kesemua fakta telah diperolehi daripada keterangan pemohon (suami), isteri sedia ada, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri. Mahkamah juga akan terpaksa memanggil wali bakal isteri walaupun wali bakal isteri tidak wujud atau ia adalah seorang wali hakim. Oleh sebab itu tafsiran yang lebih sesuai dalam memahami peruntukan ini adalah tafsiran secara maksud. Dengan tafsiran secara maksud ini kehadiran pihak-pihak yang disebutkan hanyalah perlu setakat untuk mendapatkan keterangan mengenai empat perkara utama yang ditetapkan sebagai syarat poligami di bawah subseksyen yang sama. Sekiranya fakta mengenai keempat-empat perkara utama itu telah diperolehi tanpa perlu memanggil kesemua pihak yang disebutkan, maka ia adalah memadai.

c) Dalam kes ini bakal isteri adalah berstatus janda yang menurut hukum Syarak, tidak boleh dipaksa berkahwin oleh wali dan seorang janda berhak memilih suami yang disukainya tanpa perlu mendapat persetujuan wali (Ini tidak bermaksud seseorang bakal isteri boleh bernikah tanpa wali). Justeru sekalipun wali kepada bakal isteri tidak bersetuju dengan perkahwinan poligami ini, dia tidak boleh menjalankan kuasa ijbar (memaksa perkahwinan) terhadap bakal isteri. Bahkan bakal isteri boleh meneruskan perkahwinan menggunakan wali yang lain sama ada wali ab’ad atau wali hakim. Menurut Mazhab Syafi'i berdasarkan kitab Mughni al-Muhtaj, jilid 4, halaman 246-247:


( وَلِلأَبِّ ) وِلاَيَةُ اْلأِِجْبَارِ وَهِيَ ( تَزْوِيجُ ) ابْنَتِهِ ( الْبِكْرِ صَغِيرَةً أَوْ كَبِيرَةً ) عَاقِلَةً أَوْ مَجْنُونَةً إنْ لَمْ يَكُنْ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا عَدَاوَةٌ ظَاهِرَةٌ ( بِغَيْرِ إذْنِهَا ) لِخَبَرِ الدَّارَقُطْنِيّ : { الثَّيِّبُ أَحَقُّ بِنَفْسِهَا مِنْ وَلِيِّهَا ، وَالْبِكْرُ يُزَوِّجُهَا أَبُوهَا }


Bermaksud: “Bapa mempunyai kuasa untuk memaksa perkahwinan anak perempuannya yang masih anak dara sama ada masih kanak-kanak atau telah dewasa, sama ada anaknya itu berfikiran waras atau gila jika tidak terdapat permusuhan yang zahir antara ayah dan anak perempuannya itu, (iaitu boleh memaksa anak perempuannya berkahwin) tanpa keizinannya, berdasarkan kepada hadith diriwayatkan oleh al-Daruqatni: ((Janda itu lebih berhak ke atas dirinya daripada walinya, dan anak dara itu boleh dinikahkan (secara paksa) oleh bapanya)).”


( وَلَيْسَ لَهُ تَزْوِيجُ ثَيِّبٍ ) بَالِغَةٍ وَإِنْ عَادَتْ بَكَارَتُهَا كَمَا صَرَّحَ بِهِ أَبُو خَلَفٍ الطَّبَرِيُّ فِي شَرْحِ الْمِفْتَاحِ ( إلَّا بِإِذْنِهَا ) لِخَبَرِ الدَّارَقُطْنِيّ السَّابِقِ وَخَبَرِ : { لاَ تُنْكِحُوا الْأَيَامَى حَتَّى تَسْتَأْمِرُوهُنَّ } رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ .


Bermaksud: “dan tidaklah harus bagi wali menikahkan seseorang janda yang telah dewasa walaupun janda itu telah menjadi dara semula seperti mana yang dinyatakan oleh al-Tabari dalam kitab Syarah al-Miftah melainkan dengan keizinan janda itu, berdasarkan kepada hadith al-Daruqatni di atas dan hadith: ((Tidak boleh kamu menikahkan janda-janda sehingga kamu meminta pandangan- yakni persetujuan mereka))”

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Plaintif seperti di Lampiran E).


d) Wali yang berkuasa sebagai wali mujbir kepada bakal isteri iaitu bapa kandung telah pun meninggal dunia. Justeru tidak terdapat lagi wali mujbir yang berkuasa menikahkan bakal isteri secara paksa. Wali kepada bakal isteri pada masa sekarang adalah salah seorang daripada tiga (3) saudara lelaki (abang) sebapa yang tidak mempunyai sebarang kuasa ijbar. Justeru kehadiran salah seorang daripada mereka tidak akan dapat memudaratkan hak bakal isteri untuk memilih suami yang disukainya.

e) Sekalipun wali kepada bakal isteri tidak bersetuju dengan pernikahan poligami ini dan akan bertindak sebagai wali enggan (adhal), maka bakal isteri boleh bertindak memohon kebenaran pernikahan menggunakan wali hakim yang mana kes ini bukanlah forum untuk mendengarnya.

f) Tiada peruntukan yang jelas menetapkan supaya kebenaran berpoligami tidak boleh diberikan semata-mata kerana ketidakhadiran wali kepada bakal isteri kerana memang terdapat kes yang mana wali kepada bakal isteri tidak perlu dipanggil iaitu jika ia melibatkan wali hakim.

g) Hak untuk mempersetujui atau tidak mempersetujui perkahwinan poligami ini adalah terletak kepada Defendan sebagai isteri pertama dan bakal isteri kedua. Hak itu tidak terletak kepada wali bakal isteri. Ini kerana mudarat akibat poligami (sekiranya ada) hanya akan menimpa isteri sedia ada atau bakal isteri. Kemudaratan tersebut tidak akan menimpa wali bakal isteri kerana wali bakal isteri bukanlah suatu pihak dalam perkahwinan poligami tersebut. Hak yang ada pada wali bakal isteri hanyalah untuk mengakadnikahkan perkahwinan dan bukan untuk memilih atau menentukan siapakah bakal suami.

h) Keputusan yang dibuat oleh Mahkamah untuk mengecualikan kehadiran wali kepada bakal isteri dalam kes ini tidak semestinya akan menjejaskan hak wali tersebut. Jika wali kepada bakal isteri tidak berpuas hati dengan tindakan Mahkamah yang tidak memanggilnya hadir ke Mahkamah dalam tuntutan kebenaran poligami ini, satu semakan kehakiman masih boleh dipohon oleh wali kepada bakal isteri seperti mana yang diperuntukkan dalam subseksyen 68(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.


Kesimpulan dan Relif Yang dipohon

Berdasarkan kepada fakta kes dan penghujahan di atas, Plaintif dengan rendah diri dan tawaddu’nya memohon kepada Mahkamah Yang Mulia ini untuk meluluskan permohonan Plaintif dan mengeluarkan perintah seperti berikut:

a) Mahkamah meluluskan permohonan Plaintif untuk berkahwin kali kedua (poligami) dengan bakal isteri fff (K/P: vvv).

b) Mahkamah memerintahkan Plaintif untuk membayar nafkah kepada Defendan sebanyak RM500.00 sebulan dan kepada isteri kedua sebanyak RM500.00 sebulan.

c) Mahkamah memerintahkan Plaintif membayar nafkah kepada dua (2) orang anak Plaintif bernama ccc dan ddd sebanyak RM500.00 sebulan.

d) Mahkamah mengisytiharkan bahawa harta yang diperolehi oleh Plaintif dan Defendan dalam tempoh perkahwinan dan setakat yang telah menjadi milik sempurna, seperti dinyatakan dalam penyata tuntutan adalah harta sepencarian yang hendaklah dibahagikan ½ bahagian kepada Plaintif dan ½ bahagian kepada Defendan sama ada harta tersebut dijual atau tidak.

e) Apa-apa perintah lain yang difikirkan suai manfaat menurut Hukum Syarak.


-Wallahu A’lam-


Bertarikh pada 28 haribulan DISEMBER tahun 2009.

Disediakan dan dihujahkan dengan suci hati oleh:

......................

Peguam Syarie Plaintif

(JURAISH BIN KAMARUDDIN)

Friday, January 15, 2010

Jenama Produk Qard Hasan Baitulmal Berasaskan Jumlah Sumbangan (Siri 9)


Firman Allah Taala dalam ayat 282 surah al-Baqarah:

وَلَا تَسْأَمُوا أَنْ تَكْتُبُوهُ صَغِيرًا أَوْ كَبِيرًا إِلَى أَجَلِهِ ذَلِكُمْ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ وَأَقْوَمُ لِلشَّهَادَةِ وَأَدْنَى أَلَّا تَرْتَابُوا

“Janganlah kamu jemu menulis urusan hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu (catatan-catatan hutang itu) lebih adil di sisi Allah dan lebih menguatkan keterangan saksi dan juga lebih kecil kemungkinan yang boleh menimbulkan keraguan kamu…”

Ayat di atas mengisyaratkan bahawa terdapatnya rasa jemu dalam menulis hutang sama ada hutang itu banyak atau sedikit. Didapati bahawa rasa jemu yang dimaksudkan itu telah dikaitkan dengan perkataan ‘sedikit atau banyak’. Dari situ wujud ihtimal bahawa rasa jemu ini boleh berlaku disebabkan sesuatu sebab yang berpunca daripada transaksi yang berkait rapat dengan jumlah hutang. Antara sebab yang boleh menimbulkan kejemuan dalam urusan jumlah hutang ialah menulis catatan jumlah hutang yang berubah-ubah dari sedikit menjadi banyak dan sebaliknya dari banyak menjadi sedikit sehinggalah tempoh hutang itu selesai. Justeru dapatlah difahami bahawa ayat di atas mengasaskan dalil yang mengharuskan perubahan transaksi hutang dari segi jumlahnya daripada sedikit menjadi banyak dan daripada banyak menjadi sedikit atas persetujuan pihak pemiutang dan penghutang selagi mana ia dicatatkan dengan adil dan tidak melibatkan penipuan serta riba’.

Berdasarkan kepada dalil di atas maka dicadangkan supaya produk qard hasan ini turut diklasifikasikan dari sudut jumlah sumbangan kepada 2 jenis iaitu qard hasan bertambah dan qard hasan berkurang.

4.8.5- Qard Hasan Mutazayid المتزايد (Bertambah)

Iaitu sumbangan sementara untuk tempoh jangka panjang atau pendek yang dibuat oleh seseorang kepada baitulmal atas prinsip qard hasan dengan ikhlas mengharap keredaan Allah, tanpa mendapat pulangan keuntungan material, dengan berlaku penambahan kepada sumbangan dari semasa ke semasa tanpa menjejaskan tempoh matang qard.

Sebagai contoh individu yang menyumbang melalui produk qard hasan muakhkhar (jangka panjang) selama 5 tahun, dengan sumbangan permulaan sebanyak RM1,000.00 kemudian beliau menambah sumbangan (secara automatik melalui potongan gaji) sebanyak RM1,000.00 pada setiap tahun, maka pada tahun kelima beliau telah menyumbang sebanyak RM5,000.00. Apabila tamat tempoh 5 tahun kesemua sumbangan terkumpul berjumlah RM5,000.00 akan dikembalikan kepada penyumbang. Produk ini juga boleh dilaksanakan terhadap qard hasan mu’ajjal (jangka pendek) berdasarkan kiraan bulan (contohnya, minima 3 bulan).

CIRI-CIRI: Baitulmal berhak memanfaatkan sumbangan qard hasan selagi mana penyumbang tidak menebusnya. Jika penyumbang membuat penebusan sebelum tempoh setahun, maka fi perkhidmatan akan dikenakan. Namun jika ia membuat penebusan selepas tempoh setahun, maka tiada bayaran perkhidmatan dikenakan, tertakluk kepada kadar zakat wajib 2.5% jika mencukupi nisab. Jika penyumbang gagal membuat penambahan sumbangan seperti yang dijanjikan, maka tiada fi perkhidmatan dikenakan kerana ketiadaan penambahan sumbangan tidaklah menghilangkan keseluruhan manfaat qard. Namun penyumbang qard hasan sewajarnya tidak memungkiri janjinya selagi mana ia tidak berkeuzuran.


4.8.6- Qard Hasan Mutanaqis المتناقص (Berkurang)

Iaitu sumbangan sementara untuk tempoh jangka panjang atau pendek yang dibuat oleh seseorang kepada baitulmal atas prinsip qard hasan dengan ikhlas mengharap keredaan Allah, tanpa mendapat pulangan keuntungan material, dengan berlaku pengurangan kepada sumbangan dari semasa ke semasa tanpa menjejaskan tempoh matang qard.

Sebagai contoh individu yang menyumbang melalui produk qard hasan muakkhar (jangka panjang) selama 5 tahun, sebanyak RM5,000.00 kemudian beliau mengurangkan sumbangan (secara automatik melalui arahan bayaran tetap dll) sebanyak RM1,000.00 pada setiap tahun, maka pada tahun kelima sumbangan beliau berkurang kepada RM1,000.00. Apabila tamat tempoh 5 tahun baki sumbangan qard hasan yang tinggal akan dikembalikan kepada penyumbang. Ia juga boleh dilakukan terhadap qard hasan mu’ajjal (jangka pendek)berdasarkan kiraan bulan.

CIRI-CIRI: Baitulmal berhak memanfaatkan sumbangan qard hasan selagi mana penyumbang tidak menebusnya. Jika penyumbang membuat penebusan sebelum tempoh setahun (bagi qard hasan muakhkhar) atau kurang tempoh minima (bagi qard hasan mua’jjal), maka fi perkhidmatan akan dikenakan.


Wallahu A'lam.

Friday, January 8, 2010

Wajarkah Pihak Berkuasa Islam Mendaftarkan Paten Bagi KALIMAH ALLAH?


Tajuk ini baru dicadangkan untuk ditulis. Ia hasil cadangan seorang rakan blogger di blog saya ini.

Persoalan yang diutarakan adakah wajar pihak berkuasa agama Islam di Malaysia atau di peringkat antarabangsa mendaftarkan paten bagi kalimah Allah melalui undang-undang? Ia bertujuan supaya kalimah ALLAH menjadi hak ekslusif orang Islam sahaja dan tidak boleh digunakan bagi maksud-maksud agama lain. ATAU adakah ia tidak wajar kerana terdapat halangan dari sudut undang-undang atau Hukum Syarak sendiri. Jika ia wajar dan boleh dilakukan, maka siapakah yang perlu memikul tanggungjawab ini. Adakah OIC wajar dipertanggungjawabkan di peringkat antarabangsa manakala Kerajaan Malaysia dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri pula dipertanggungjawabkan di peringkat Nasional? Jika ia tidak dapat dilakukan kerana halangan tertentu, maka apakah tindakan mendapatkan perintah Mahkamah seperti yang sedang dilakukan sekarang dianggap alternatif yang tepat dan memadai? DAN adakah memadai sebahagian pihak berkuasa agama sahaja yang memperjuangkannya di Mahkamah sedangkan sebahagian pihak berkuasa agama yang lain tidak memfailkan tindakan yang sama?Adakah perjuangan memartabatkan kalimah ALLAH ini satu tuntutan fardu kifayah (sebahagian umat Islam atau Majlis Agama Islam dah buat, maka yang lain tak payah) atau fardu ain? ATAU adakah kita hanya perlu berdiam diri tanpa perlu membela KALIMAH ALLAH kerana itu adalah tanggungjawab ALLAH, yang kita tidak berhak campur tangan? Adakah kita wajar mengambil tindakan yang sama seperti yang dilakukan oleh Abdul Mutalib (Datuk Rasulullah SAW) ketika RUMAH ALLAH (Kaabah) hendak dihancurkan oleh tentera bergajah Abrahah pada 1480 tahun yang lalu, di mana beliau hanya membiarkan ALLAH sendiri mempertahankan rumahNYA Yang Suci itu?

Pandangan semua amat dialu-alukan.

Tuesday, January 5, 2010

Siapa ALLAH YANG MAHA ESA Tuhan Sekelian Alam?


Dalam entri ini saya ingin mengulas berkaitan isu penggunaan kalimah Allah yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Sivil (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) oleh seorang hakim bukan Islam baru-baru ini. Mungkin saya agak terlewat mengulas. Ini kerana saya ingin melihat dahulu apakah reaksi pihak majoriti, terutama pihak Kerajaan yang berkuasa tidak kira sama ada ia kerajaan politik atau kerajaan agama (Majlis Agama Islam). Jika saya diberi pilihan untuk memilih pendekatan mana yang hendak diguna pakai di Malaysia, maka sudah tentu saya akan memilih untuk melarang orang bukan Islam daripada menggunakan perkataan Allah dalam perbahasan, penulisan atau penerbitan bagi memperihalkan agama mereka.

Walau apapun keadaannya, ungkapan 'ALLAH' tidak boleh digunakan bagi memperihalkan mengenai berhala atau sembahan orang bukan Islam yang bertentangan dengan matlamat TAUHID. Namun ini tidak bermakna orang bukan Islam tidak boleh menyebut kalimah ALLAH. Mereka boleh dan bebas menyebut kalimah ALLAH jika ia merujuk kepada Tuhan Sekalian Alam yang diimani dan dipercayai oleh penganut Islam.

Sama-samalah kita berusaha agar dakwah Islam dapat sampai kepada orang bukan Islam. Kita sebagai umat Islam harus bangkit bersatu, memperkuat akidah dan mempertahankan kesucian Islam serta membersihkan ajaran Islam daripada unsur-unsur yang boleh mengelirukan. Jangan biarkan orang bukan Islam menyampaikan doktrin mereka tentang perihal ketuhanan ALLAH mengikut kepercayaan sesat mereka. Kita hendaklah mencari peluang dakwah dalam perkara ini. Ini adalah peluang terbaik untuk kita mendakwahkan kepada seluruh manusia tentang siapakah ALLAH yang disebut-sebut itu.

Akhirnya kita harus akur bahawa hanya ALLAH yang berkuasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dialah yang menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki. Beruntunglah mereka yang mendapat petunjuk dan mengenal ALLAH Tuhan Sekalian Alam, Yang Esa, Yang Hak, Yang Menciptakan Seluruh Alam ini...

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus