Monday, November 30, 2009

Kaedah Perlaksanaan Qard Hasan Kepada Baitulmal (Siri 6)


4.7- Kaedah Perlaksanaan Qard Hasan

Berikut dicadangkan kaedah perlaksanaan sumbangan qard hasan kepada baitulmal untuk pertimbang telitian ahli Mesyuarat yang berkenaan:

i) Individu atau syarikat mengisi borang sumbangan qard hasan (akad bertulis) sama ada melalui kaunter pejabat, pos, wakil (agen korporat), email atau internet (laman web); yang mengandungi maklumat lengkap diri penyumbang, maklumat waris (penting jika berlaku kematian), jumlah sumbangan qard hasan, tempoh qard, cara tebus semula qard (melalui akaun bank atau tunai dsb), jenis produk dan sebagainya.

ii) Pelanggan menghantar borang (manual atau online) dan menyerahkan wang sumbangan qard hasan kepada baitulmal melalui kaunter, agen yang dilantik atau pindahan wang menerusi perbankan internet.

iii) Pihak baitulmal mengeluarkan sijil qard hasan kepada penyumbang bagi setiap transaksi qard hasan yang dilakukannya. Sijil tersebut menyatakan nombor siri, nombor akaun, jumlah sumbangan, jenis qard, tempoh qard, dan lain-lain maklumat berkaitan.

iv) Pihak baitulmal mengakaunkan (mendeposit) sumbangan qard hasan ke dalam akaun induk yang dikhaskan. Untuk memudahkan pengurusan akaun, satu akaun data dibuka atas nama setiap penyumbang qard hasan di dalam sistem data kewangan baitulmal bagi memudahkan pengurusan akaun terutamanya bagi mengawasi tarikh tamat (matang) qard dll.

v) Pihak baitulmal mengarahkan kepada pihak bank atau institusi pelaburan supaya semua keuntungan yang diperolehi daripada akaun qard hasan dikreditkan ke akaun induk baitulmal setiap bulan bagi kegunaan / manfaat umum.

vi) Pihak baitulmal boleh menggunakan hasil keuntungan daripada sumbangan qard hasan atau sumbangan pokok qard hasan itu sendiri untuk kegunaan yang diluluskan oleh Majlis tertakluk kepada syarat dan rizab yang ditetapkan.

vii) Pihak baitulmal memulangkan semula wang pokok qard hasan (tanpa sebarang faedah) kepada penyumbang setelah tamat tempoh yang dijanjikan mengikut jenis produk. ATAU memulangkannya kepada waris penyumbang sekiranya penyumbang meninggal dunia. ATAU menukarkannya kepada wakaf, hibah, hadiah dsb mengikut arahan penyumbang dari semasa ke semasa, ATAU menyerahkannya kepada pihak ketiga dengan perintah Mahkamah Syariah dalam kes hiwalah, nafkah, harta sepencarian dll.

Wednesday, November 18, 2009

HAK BAPA:Batalkan Hibah Kepada Anak Derhaka


HAK BAPA UNTUK MEMBATALKAN PEMBERIAN HIBAH KEPADA ANAK

Kita kerap mendengar perkataan ‘anak tak mengenang budi’. Khususnya apabila anak yang telah diberi harta oleh kedua ibubapanya tiba-tiba bertindak ‘membuang’ mereka. Perkara ini kerap terjadi walaupun jarang diceritakan. Namun masih ramai ibubapa yang tidak tahu hak mereka untuk mengambil semula harta tersebut daripada anak mereka. Si anak pula terlalu pintar dan tahu mencari jalan untuk menafikan terus peluang ibubapanya menarik balik pemberian harta tersebut.

Dalam entri ini mari kita dedahkan rahsia kepintaran si anak dan kuasa sebenar si bapa. (Mana boleh anak nak lawan bapak beb!). Dalam kitab fiqah isu ini ada dibahaskan dalam bab hibah, di bawah fasal hukum bapa menarik semula hibah. Dalam konteks sekarang perkara ini perlulah dirujuk ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan perintah pembatalan hibah bagi membolehkan harta itu dipindah milik semula kepada ibu atau bapa. Semoga ia menjadi pengajaran kepada anak yang ‘tak mengenang budi’.

Secara ringkasnya, inilah hukum yang perlu diketahui oleh ibubapa dan anak mengenai hibah atau pemberian ketika hidup:

Ibubapa/ datuk nenek dan ke atas harus (berhak) menarik semula (membatalkan) pemberian hibah yang dibuat kepada anak/cucu dan ke bawah dengan syarat:

1) Harta tersebut sememangnya diperolehi oleh si anak melalui hibah daripada ibubapanya. Justeru bapa perlu membuktikan bahawa harta yang ingin dituntutnya itu adalah harta yang dihibahkannya kepada anaknya. Bapa yang pintar akan memastikan transaksi hibah itu dibuat di hadapan saksi atau dengan dokumen yang berautoriti (seperti surat perisytiharan hibah) untuk keselamatannya di kemudian hari. Anak yang pintar pula akan berusaha menafikan harta itu bukan hibah. Sebagai contoh dia tidak mahu ada saksi melihat pemberian hibah tersebut atau dia tidak mahu ada dokumen yang mengisytiharkan hibah tersebut atau dia mencari jalan supaya harta tersebut diperolehi dengan cara lain seperti jual beli daripada bapanya sendiri walaupun dengan bayaran yang rendah. Inilah rahsianya.Namun hakikatnya siapa yang bertawqa dialah yang paling pintar.

2) Harta tersebut masih wujud. Jika harta itu telah habis ‘dijoli’ oleh si anak, maka bapa tidak dapat lagi menuntutnya kembali. Justeru bapa yang pintar akan memastikan harta tersebut tidak mudah dihabiskan atau dilupuskan oleh si anak dengan sentiasa memantaunya. Anak yang pintar pula akan berbuat apa sahaja untuk mencairkan dan membelanjakan harta itu tanpa atau dengan pengetahuan si bapa walaupun terpaksa menggunakan pujuk rayu atau tipu daya. Inilah rahsianya.Namun hakikatnya siapa yang bertawqa dialah yang paling pintar.


3) Harta itu masih dalam milikan si anak. Jika harta itu telah dipindahmilik kepada orang lain, maka si bapa tidak boleh lagi membuat tuntutan. Justeru bapa yang pintar akan memasukkan kepentingannya ke dalam harta tersebut seperti dengan cara kaveat, pemegangan amanah, penama, wasi, dsb. Manakala anak yang pintar pula akan mencari jalan bagaimana nak melepaskan diri daripada ikatan si bapa.

4) Harta itu tidak diperolehi semula oleh anak dengan cara lain. Jika harta itu telah pernah berpindah milik kepada orang lain kemudian diperolehi semula oleh si anak melalui transaksi yang baru seperti hadiah, pembelian atau pusaka daripada orang lain, maka ia tidak boleh lagi dituntut oleh si bapa. Justeru bapa yang pintar akan berbuat apa yang patut. Manakala anak yang pintar pula akan berbuat apa yang patut untuk memastikan transaksi hibah yang dibuat oleh bapanya telah diselangi oleh transaksi lain. Inilah rahsianya.Namun hakikatnya siapa yang bertawqa dialah yang paling pintar.

Sekian dulu untuk kali ini. Ingat slogan saya: “Menuntut Demi Keadilan Membela Dari Kezaliman”.

Syarat dan Rukun Qard Hasan (Siri 5)


4.6- Syarat dan Rukun Qard

Terdapat 3 rukun asas bagi qard iaitu:

i) Dua pihak yang berakad (penghutang dan pemiutang)

Al-Sheikh Sayyid Sabiq menyebutan bahawa akad qard adalah dianggap sebagai akad memberi milik manfaat (tamlik), maka ia tidak boleh dilakukan melainkan oleh orang yang mempunyai kuasa tasarruf.

Kedua-dua pihak hendaklah berakal waras, baligh, tidak ditegah menggunakan harta (bukan mahjur alaih), sukarela dan mempunyai hak tasarruf kamil terhadap harta. Al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj menyatakan sah qard yang dibuat oleh pihak yang memiliki manfaat harta walaupun dengan cara wasiat (wali bagi pihak anak bawah umur) atau wakaf, meskipun dia tidak memiliki zat harta itu. Ini kerana qard itu hanya melibatkan pemindahan hak memanfaatkan, bukan pemindahan hak milik zat harta. Ibn Rif’ah menambah bahawa harus seseorang mawquf alaih (penerima manfaat wakaf) melakukan qard terhadap harta wakaf (mawquf) sekiranya ia adalah nazir (pemegang amanah) harta wakaf itu. Al-Nawawi pula menukilkan pendapat Sahih dalam mazhab Syafi’i bahawa harus bagi penyewa (al-musta’jir) melakukan qard ke atas harta yang disewanya kerana dia adalah pemilik manfaat harta itu.

ii) Lafaz ijab dan qabul

Al-Nawawi menukilkan pendapat yang paling sah (asah) dalam mazhab Syafi’i, qard tidak akan terlaksana melainkan dengan lafaz, kerana lafaz dapat menzahirkan kerelaan hati. Ini diqiyaskan kepada akad jual beli dan hibah. Akan tetapi memadai dengan lafaz oleh salah satu pihak disertai dengan perbuatan pihak yang lagi satu. Tidak sah qard dilakukan dengan perbuatan oleh kedua-dua pihak tanpa lafaz.

Qard boleh terlaksana engan lafaz sareh yang difahami seperti ‘meminjamkan’ (qard) atau ‘mendahulukan’ (salf) atau ‘saya menghutangkan’ atau ‘aku serahkan harta dengan engkau memberikannya semula’ dan semua lafaz yang membawa kepada makna yang sama [1]. Menurut mazhab Maliki, pemilikan akan sabit dengan wujudnya akad, walaupun harta qard belum diserah terima. Pendapat yang paling sah (asah) dalam mazhab Syafi’i, penghutang akan memiliki manfaat qard hanya setelah berlaku penerimaan.

iii) Harta yang dipinjam/dihutang (al-musta’ar)

Al-Nawawi menyebutkan bahawa syarat utama bagi harta yang dipinjamkan ialah harta yang bermanfaat dan kekal zatnya (sama seperti apa yang disyaratkan dalam mauquf, harta wakaf). Sifat kekal pada zat harta diperlukan bagi membolehkan proses pemulangan balik harta itu dilakukan. Namun begitu boleh juga memberi qard menggunakan harta yang tidak kekal, iaitu harta yang diguna-habis seperti sabun, garam, gula beras dan sebagainya.


Jika zat harta qard itu telah binasa, diguna-habis atau rosak, maka harus bagi orang yang meminjam memulangkan semula harta yang senilai dengannya. Jika zat harta itu masih elok dan tidak berubah, maka ia haruslah memulangkan harta yang asal itu sendiri sama ada senilai atau tidak senilai selagi ia tidak berubah (terkurang nilai) disebabkan oleh perbuatan peminjam. Jika harta itu telah berubah disebabkan perbuatan peminjam, maka wajiblah dikembalikan yang senilai dengannya, atau dipulangkan zat harta bersama tambahan nilai yang terkurang.


[1] Penulis merasakan perlu diijtihadkan sama ada dalam budaya Melayu perkataan ‘aku menyumbangkan secara sementara’ dsb boleh diterima sebagai lafaz sareh bagi qard. Ini kerana maksudnya difahami sama seperti meminjamkan. Jika lafaz ‘menyumbangkan secara sementara’ dapat digunakan bagi maksud qard maka permasalahan undang-undang tentang kuasa meminjam dan menerima deposit tidaklah timbul. Seperti yang telah dinyatakan penulis cuba mengelakkan daripada memakai istilah ‘meminjam’ dalam menghuraikan prinsip qard hasan supaya tidak berlaku konflik undang-undang.

Tuesday, November 17, 2009

Hikmah dan Kelebihan Sumbangan Qard Hasan Kepada Baitulmal (Siri 4)


4.5- Hikmah dan Kelebihan Sumbangan Qard Hasan

i) Dijanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda di sisi Allah kerana ia dilakukan dengan niat ikhlas untuk menolong orang lain yang memerlukan, bukan bertujuan mendapatkan keuntungan dan menindas orang yang susah.

ii) Dapat memberikan manfaat yang besar kepada ekonomi umat Islam kerana manfaat sumbangan qard hasan kepada baitulmal dapat digunakan untuk tujuan umum yang lebih luas, berbeza dengan zakat yang hanya boleh diagih untuk 8 asnaf dan berbeza juga dengan wakaf yang hanya boleh dinikmati oleh mauquf alaih dan harta mawquf tidak boleh dipindahmilik.

iii) Sumbangan pokok qard hasan boleh diurusniaga secara lebih fleksibel iaitu dipindah milik sebagai sedekah, hadiah, hibah, wasiat, wakaf, hiwalah, bayaran nafkah dan sebagainya dalam tempoh qard, atas kehendak penyumbang atau perintah Mahkamah (jika melibatkan kes hiwalah, nafkah dan sebagainya)

iv) Mudah dicairkan atau ditunaikan kerana qard hasan lazimnya berbentuk wang atau harta alih. Dengan itu ia lebih mudah untuk dimanfaatkan dan proses penebusan atau pemulangan semula harta qard hasan juga akan lebih mudah.

v) Keselamatan terhadap sumbangan pokok qard hasan lebih terjamin kerana ia ditadbir oleh pihak baitulmal yang terdiri daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang.

vi) Tidak menghilangkan hakmilik penyumbang terhadap harta pokok yang disumbangkan secara qard hasan kerana ia bukanlah sumbangan kekal. Ini dapat dijadikan suatu bentuk tabung perlindungan kepada penyumbang sekiranya berlaku kecemasan di kemudian hari kerana dia boleh menebus semula sumbangan pokok qard hasan yang pernah dibuatnya.

vii) Tidak memudaratkan ahli keluarga penyumbang qard hasan kerana jika berlaku kematian, sumbangan pokok qard hasan tersebut akan dapat dipusakai oleh waris-waris penyumbang qard hasan mengikut faraid.

viii) Dilindungi di bawah undang-undang kerana qard hasan dianggap sebagai hasil agama Islam yang terletak hak kepada baitulmal dan tidak boleh menerima campurtangan pihak lain menurut Perlembagaan Persekutuan.

ix) Dapat melatih individu supaya menanam minat menginfakkan harta ke jalan Allah bermula dengan memberi pinjam (sumbangan sementara) dan akhirnya mungkin berakhir dengan bersedekah (sumbangan kekal) ketika mana ia tidak lagi memerlukan harta pokok qard hasan tersebut.

x) Mampu menjadi alternatif yang boleh diterima pakai bagi menggantikan prinsip wakaf sementara yang dipertikaikan hukumnya di kalangan fuqaha’.

xi) Mampu menjadi alternatif kepada produk terbitan sukuk (bon Islam) baitulmal yang agak rumit kerana memerlukan kelulusan Suruhanjaya Sekuriti. Qard Hasan lebih mudah dikendalikan oleh baitulmal berbanding sukuk kerana ia tidak melibatkan pembayaran keuntungan kepada pelabur.

xii) Mampu menjadi pencetus untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam sektor kewangan Islam, kerana qard hasan adalah perkara agama (hasil baitulmal) yang termasuk dalam senarai kuasa negeri.

xiii) Dapat memperkasa dan memartabatkan kembali peranan institusi baitulmal dalam sistem ekonomi negara setelah mendapat suntikan dana baru yang meningkatkan hasil baitulmal.

Hukum Menyumbang Qard Hasan Kepada Baitulmal: Siri 3


4.3- Hukum Menyumbang Qard Hasan Kepada Baitulmal

Tidak syak lagi, perbuatan menyumbang secara qard hasan dengan niat ikhlas tanpa mengharapkan faedah duniawi adalah suatu yang sangat disunatkan. Apatah lagi jika sumbangan qard hasan itu diberikan kepada baitulmal, maka sudah tentulah manfaatnya lebih banyak lagi kerana ia dapat digunakan untuk maslahah umum dan tidak terhad kepada individu tertentu sahaja. Ini selari dengan kaedah fiqhiyyah:
(المصلحة العامة أولى من المصلحة الخاصة)
“Maslahah umum itu lebih utama daripada maslahah individu”

Dalam hal ini juga Allah Taala berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 271:

إِنْ تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ وَإِنْ تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَيُكَفِّرُ عَنْكُمْ مِنْ سَيِّئَاتِكُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ (271)

Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa pahala orang yang memberi sedekah kepada orang yang memerlukan dengan merahsiakannya adalah lebih baik daripada memberi sedekah dengan cara menghebahkannya. Jika qard hasan ini diqiyaskan kepada sedekah, maka memberi sumbangan (pinjaman) qard hasan dengan perantaraan baitulmal juga adalah lebih afdal kerana dengan cara itu identiti orang yang memerlukan bantuan akan terahsia dan tidak diketahui kerana orang yang memberi bantuan tidak mengetahui siapakah orang yang menerima manfaat daripada bantuannya. Dengan cara itu orang yang menerima manfaat qard hasan tidaklah dapat disakiti oleh orang yang membantunya dengan perbuatan mengungkit-ungkit atau sebagainya.


4.4- Hukum Baitulmal Menerima Sumbangan Qard Hasan

Prinsip hukum menetapkan bahawa apabila haram memberi atau menggunakan sesuatu maka haramlah mengambilnya, berdasarkan kepada kaedah fiqhiyyah:
ما حرم استعماله حرم اتخاذه

Kaedah ini antara lain diambil daripada prinsip pengharaman rasuah yang ditegah daripada mengguna, memberi mahupun menerimanya. Secara mukhalafahnya, dapatlah dikatakan bahawa apabila harus memberikan sesuatu maka harus jugalah menerimanya. Justeru apabila dihukumkan perbuatan memberi sumbangan qard hasan kepada baitulmal sebagai sunat, maka hukum pihak baitulmal menerima sumbangan tersebut juga adalah sunat. Malah jika sampai ke tahap darurat dan kegawatan ekonomi, maka qard itu boleh menjadi wajib, maka menerimanya juga boleh menjadi wajib. Ini selari dengan kaedah fiqhiyyah yang lain:
ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Dr. Mustofa al-Khin menyebutkan dalam al-Fiqh al-Manhaji, halaman 1432, hukum qard menjadi WAJIB jika pemiutang mengetahui orang yang berhutang amat memerlukan hutang tersebut untuk menampung hidupnya dan keluarganya dan tiada cara lain untuk dia memperolehinya kecuali dengan cara berhutang.

Dalam hal ini, baitulmal bolehlah dianggap sebagai individu yang mempunyai tanggungjawab ekonomi dan sosial yang besar untuk menjaga kemaslahatan seluruh umat Islam di negerinya. Sekiranya hasil baitulmal tidak mencukupi untuk membantu seluruh ahli masyarakat di negerinya, melainkan melalui qard hasan, maka qard hasan itu akan menjadi WAJIB.

Wednesday, November 11, 2009

Wajarkah Firma Guaman Syarie Swasta Memberi Khidmat Guaman PERCUMA?

Dalam entri kali ini izinkan saya untuk mendapatkan pandangan daripada pembaca sekalian berkaitan institusi kepeguaman syarie. Khidmat guaman syarie percuma sering saja dikaitkan dengan agensi kerajaan seperti Biro Bantuan Guaman di peringkat Persekutuan dan Unit Guaman Syarie JAIS di peringkat Negeri Selangor. Amat jarang kedengaran firma guaman syarie swasta yang sanggup memberikan khidmat guaman syarie secara percuma. Apakah ini disebabkan terdapat halangan undang-undang atau halangan lain?



Apakah reaksi anda jika anda mendapati wujudnya mana-mana firma guaman syarie swasta yang menawarkan khidmat guaman percuma untuk anakguam yang berpendapatan rendah? Sebagai contoh dalam keadaan seperti ini:

Kos guaman PERCUMA untuk pemohon yang berpendapatan kurang daripada RM1,000.00 sebulan dalam kes yang melibatkan:

a) Muallaf yang telah menghayati agama Islam dalam kes kebenaran nikah mengunakan wali hakim;

b) Ibu Tunggal yang ditinggal langsung oleh suami tanpa nafkah dalam kes perceraian fasakh/ ta’liq secara sebelah pihak;

c) Waris si mati dalam kes pengesahan pusaka (sijil faraid) yang melibatkan lebihan baki yang diserah kepada baitulmal;

d) Orang kena tuduh dalam kes jenayah Syariah yang sanggup mengaku bersalah dan telah bertaubat tetapi bercadang untuk merayu bagi diringankan hukuman;

Adakah dengan bantuan guaman ini dapat menyampaikan mesej dakwah secara berkesan? Contohnya untuk muallaf yang hendak berkahwin, agar mereka lebih menghayati agama Islam, untuk ibu tunggal supaya mereka tidak terus menderita dan dapat menutup pintu kejahatan, untuk waris pusaka supaya pembahagian harta dapat diselesaikan dengan baik dan dapat dimanfaatkan oleh baitulmal, untuk orang kena tuduh supaya ia mengaku bersalah dan bertaubat.

Saturday, November 7, 2009

KEMELUT PGSM vs DR. ASRI: Kembali Kepada Yang Hak dan BERDAMAI

Entri kali ini, saya cuma ingin kongsikan pendirian saya dalam kemelut yang sedang melanda PGSM dan Dr. Asri. Sebagai seorang pengamal undang-undang Syariah yang turut berpayung di bawah PGSM, saya menyeru supaya kita sama-sama mencari jalan damai. Firman Allah : "dan perdamaian sulh itu adalah lebih baik". Tiada yang kalah jika sesuatu permasalahan dapat diselesaikan secara damai, iaitu setelah setiap pihak memahami hak dan tanggungjawab masing-masing. Andainya pertikaian diteruskan hingga ke muka pengadilan, sudah pasti akan ada yang rasa dikalahkan. Dalam keadaan tersebut, walaupun penghakiman telah diperolehi, pada hakikatnya ia tidak dapat memuaskan hati kedua-dua pihak. Justeru hakimilah diri sendiri sebelum kita dihakimi.
***
Saya tetap bersama kalian selagi kalian bersatu kerana Allah dan RasulNya, selagi kalian memaafkan antara satu sama lain, selagi kalian berkasih sayang kerana Allah, selagi kalian mengakui kekhilafan diri yang bernama insan, selagi kalian mengucapkan kalimah LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD-UR-RASULULLAH. Kita tetap sama walaupun pendapat kita berbeza.
***
WALLAHU MUSTA'AN.

Sunday, November 1, 2009

Firma Guamanku: Selepas 3 Bulan Berlalu

Hari ini tamatlah 3 bulan pertama saya mengendalikan firma guaman syarie sendiri. Masih banyak keperluan firma yang perlu dibina. Masih banyak lagi ilmu dan seni guaman yang perlu diterokai. Sebelum ini peluang agak terhad untuk mendapatkan pengalaman mengendalikan pelbagai kes kekeluargaan dan kehartaan. Kini dengan kebebasan mengendalikan kes, pengalaman baru mula ditimba. Apapun syukur kepada Allah, atas pertolonganNya semua urusan berjalan dengan lancar. Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang sentiasa menyokong, memperkenal dan memberi tunjuk ajar dalam menguruskan firma. Bersama-samalah kita berjuang dalam memartabatkan perundangan Syariah di muka bumi ini.
"Menuntut Demi Keadilan Membela Dari Kezaliman"
JURAISH SYARIAH ASSOCIATES

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus