Tuesday, November 25, 2008

PERJALANAN MEMELUK ISLAM: Merebut Hidayah, Hadhanah, Harta atau Wanita?


Semalam saya dikunjungi oleh seorang bakal muallaf untuk mendapatkan nasihat undang-undang. Saya memberi penghormatan kepadanya dengan ucapan ‘Selamat Pagi” kerana menjangkakan dia belum menjadi seorang Islam. Dia seorang lelaki berbangsa India dan beragama asal Hindu. Mempunyai seorang isteri yang dikahwini secara Hindu dan berdaftar serta 2 orang anak di bawah umur 18 tahun. Rupanya dia telah lebih setahun mengenali Islam melalui pembacaan dan pemerhatian. Hadirnya membawa persoalan yang merunsingkan benak fikirannya selama ini. Isterinya dapat tahu dia ingin memeluk Islam dan memberikan reaksi negatif dengan memberi ‘notis’ tidak akan ‘menceraikannya’ di mahkamah sivil jika dia memeluk Islam. Si isteri juga menuntut semua harta perkahwinan (sepencarian) diserah kepadanya berserta hak jagaan semua anak.

Alhamdulillah, saya dapat berjumpa dengan seorang bakal muslim yang benar-benar memeluk Islam kerana HIDAYAH. Dia sanggup menyerahkan semua harta perkahwinan (rumah dan kereta) dan hak jagaan anak (hadhanah) kepada si isteri, asalkan si isteri sanggup ‘menceraikannya’ di mahkamah sivil. Tidak ramai bakal muallaf yang sanggup melakukan sepertinya. Insya-Allah, jika ada jodoh, dia akan mengahwini seorang wanita Islam dan menunaikan haji. Tapi dia mengingatkan saya bahawa pemelukan Islamnya ini tidaklah sekali-kali bertujuan untuk mengahwini wanita itu. Kelihatan dia memang ikhlas menerima Islam dengan sebenar-benar penerimaan.

Tindakannya itu mengingatkan saya kepada sabda Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW: “Barang siapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasulnya, maka (dia mendapat pahala disebabkan) hijrahnya itu kerana Allah dan Rasulnya, barang siapa yang berhijrah kerana untuk mendapatkan harta atau mengahwini wanita, maka hijrahnya (tidak mendapat pahala di sisi Allah tetapi) hanya mendapat apa yang dihijrahkannya.”

Saya percaya hijrah saudara ini kepada Islam adalah benar-benar kerana Allah. Bukan kerana harta, bukan juga kerana wanita. Rupa-rupanyanya dia yang saya lihat ini telah pun menjadi Islam kerana dia memaklumkan telah mengucapkan syahadah, walaupun tidak melafazkannya di hadapan saya. Malah dia telah mula menunaikan solat 5 waktu. Cuma dia belum mendaftarkan keislamannya kerana ingin menyelesaikan masalah isteri, anak dan harta yang sedia ada. Lihatlah betapa benarnya pernyataan al-Quran bahawa isteri, anak dan harta menjadi ujian dan fitnah bagi manusia. Kalaulah tidak kerana isteri, harta dan anak sudah tentu dia tidak bermasalah memeluk dan mendaftarkan keislamannya.

Alhamdulillah dia telah mendapat nasihat daripada pihak lain dan pada hari ini dia datang kepada saya dengan cadangan seperti berikut mengikut keutamaan:

1) Dia akan menandatangani perjanjian pindah milik rumah dan kereta kepada isterinya yang bukan Islam.
2) Dia akan memberi nafkah sarahidup kepada isterinya yang bukan Islam sebanyak RM… sebulan
3) Dia akan menandatangani persetujuan hak jagaan anak kepada isterinya yang bukan Islam
4) Dia akan terus kekalkan nama isteri bukan islam sebagai penama KWSP dan pampasan insuran.
5) Dia harapkan supaya isterinya setuju dengan perceraian di mahkamah Sivil.
6) Setelah perintah perceraian dikeluarkan oleh Mahkamah Sivil dia akan mendaftarkan keislamannya. Dia tak perlu memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah kerana telahpun bercerai menurut undang-undang.
7) Dia akan berkahwin secara Islam dan menunaikan haji dengan aman disamping tidak lupa tanggungjawab kepada anak-anak yang dijaga oleh bekas isteri.

Sekali pandang cadangan di atas macam bernas kerana dapat menyelesaikan konflik bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah dalam masalah perceraian bagi orang yang memeluk Islam. Tetapi saya harus menasihatinya supaya menyusun semula keutamaan seperti berikut:

1) Isytihar keislamannya secara rasmi dan mendaftarkan keislaman menurut undang-undang. ALASAN: kerana HIDAYAH ISLAM patut diutamakan dan direbut terlebih dahulu daripada harta, anak dan sebagainya. Apatah lagi dia seorang yang ikhlas menerima Islam. Bukannya Islam semata-mata kerana nak berkahwin atau hendak merebut harta. Jika dia ditakdirkan meninggal dunia selepas didaftarkan sebagai Islam, maka urusan jenazahnya akan menjadi mudah. Urusan hartanya pula, jangan bimbang dan jangan menuduh Majlis Agama akan membolot semua hartanya apabila dia mati.

2) Saya maklumkan kepadanya supaya membuat wasiat 1/3 harta – rumah&kereta (maksimum) kepada bekas isterinya yang bukan islam sejurus selepas dia memeluk Islam. ALASAN: Ini penting supaya jika berlaku kematian mengejut, pihak Majlis Agama boleh melaksanakan urusan pembahagian harta wasiat kepada bekas isteri yang bukan Islam (atas kehendak pewasiat) dan bakinya sahaja yang dijadikan pusaka. Wasiat ini adalah cagaran kepada janji perceraian yang akan diberikan oleh isteri bukan islam. Jika isteri bukan islam tetap enggan ‘menceraikannya’ di Mahkamah Sivil, maka wasiat tersebut boleh dibatalkan. Ini menjadikan keadaan lebih adil kerana jika si suami yang Islam mati dengan meninggalkan isteri bukan islam yang belum tercerai secara sivil, isteri itu akan turut mendapat sebahagian daripada harta pusakanya. Justeru wajarlah wasiat ini dibatalkan. Jika perceraian telah berlaku secara sivil barulah wasiat ini diteruskan. Isterinya yang bukan Islam juga harus ingat, tidak semestinya si suami akan mati dahulu. Boleh jadi si isteri bukan islam yang mati dahulu. Jika ini terjadi maka harta si isteri akan turut diwarisi oleh suami yang Islam menurut undang-undang sivil.

3) Setelah memeluk Islam, saya menasihatinya membuat hibah (nafkah sarahidup dll) yang dijanjikannya kepada isteri bukan Islam. ALASAN: Melakukan pemberian hibah sebelum beragama Islam tidak mendapat pahala. Justeru wajarlah dia memeluk Islam dahulu kemudian baru melakukan hibah. Ini juga penting bagi menunjukkan betapa Islam tidak pernah menghalang penganutnya berbuat baik kepada bekas keluarga yang bukan Islam. Ini juga boleh dijadikan cagaran kepada perceraian yang akan dilakukan oleh isteri bukan Islam di mahkamah Sivil. Jika si isteri tetap tidak mahu menceraikannya, hibah ini boleh dihentikan.

4) Kemaskini penama KWSP dan pampasan insuran. Tunjukkan kepada isteri bukan islam bahawa hanya namanya sebagai penama tunggal bagi KWSP dan insuran tersebut. Dan ingatkan kepadanya dia boleh mengubah penama jika si isteri tidak mahu menceraikannya di Mahkamah sivil.

5) Dan ingatkan juga kepada isteri bukan islam bahawa dia boleh menghibahkan (pindah milik) semua hartanya kepada isteri baru atau orang lain yang Islam supaya di saat kematiaannya tiada apa-apa harta yang dapat dituntut oleh isteri bukan islam sebagai pusaka kerana ia tidak meninggalkan sebarang harta.

6) Dalam masa yang sama tunjukkan kebaikan Islam dan sampaikan dakwah Islam kepada isteri yang bukan Islam dan anak-anak. Setelah melebihi tempoh 3 bulan atau tamat iddah isteri, failkan permohonan faraq nikah di mahkamah Syariah untuk mendapatkan perintah perceraian.

7) Selepas perkahwinan terbubar menurut undang-undang Islam dia bebas berkahwin dengan mana-mana wanita Islam dan menunaikan haji bersama-sama.

8) Hak jagaan anak diselesaikan secara rundingan dan tanpa melalui Mahkamah kerana tidak mahu menjadikan anak sebagai subjek rebutan. Tuntutan di Mahkamah akan menyebabkan anak tidak selesa dan akan menyalahkan Islam sebagai penyebab. Biarlah bapa sendiri yang menjalankan tanggungjawab sebagai da’i untuk menyampaikan kebenaran Islam kepada anak supaya apabila cukup umur, anak itu akan dapat membuat pilihan yang bijak. Saya yakin dia boleh melakukannya.

Dia menerima baik cadangan saya dan akan membincangkannya dengan pihak yang terlebih dahulu menasihatinya. Saya mengakhiri pertemuan dengan memberikan ucapan salam kepadanya kerana yakin dia telahpun menjadi seorang Islam. Alhamdulillah, dia menjawab salam itu.

KESIMPULAN: TIADA JALAN UNTUK MENYEKAT SESEORANG YANG TELAH DIBERI HIDAYAH UNTUK MEMELUK ISLAM. INI ADALAH JANJI ALLAH KERANA DIALAH YANG MEMBERI PETUNJUK.

PENGHARAMAN YOGA: Antara Fatwa & Proses Undang-Undang


Kita perlu mengakui bahawa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan adalah forum ulama yang paling berkaliber di peringkat Persekutuan kerana ia dianggotai oleh Mufti-Mufti setiap negeri. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ini sebenarnya ditubuhkan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKBHEI) yang dianggotai oleh Menteri di JPM dan menteri-menteri besar setiap negeri. MKBHEI pula ditubuhkan di bawah Majlis Raja-Raja. Keadaan yang sama berlaku di peringkat negeri yang mempunyai Jawatankuasa Fatwa Negeri di bawah struktur organisasi Majlis Agama Islam Negeri yang diketuai oleh Sultan negeri itu. Apabila Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan atau Negeri mengeluarkan pandangan maka ia telah sah dinamakan sebagai fatwa yang mengikat umat Islam menurut hukum Syarak kerana syarat-syarat ijtihad telah dipenuhi.

Namun menurut struktur perundangan atau proses undang-undang, pandangan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa belumlah menjadi satu undang-undang yang berkuatkuasa sehinggalah ia dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja (bagi fatwa persekutuan) dan diwartakan kepada awam. Untuk sampai ke peringkat itu ia memakan masa dan karenah birokrasi. Namun jika pemerintah tertinggi komited, pasti akhirnya pandangan tersebut akan tergazet menjadi fatwa yang mempunyai kuat kuasa undang-undang.

Dalam isu pengharaman Yoga, umat Islam yang betul-betul bersifat ‘Syariah compliant’ sepatutnya telah akur dan menerima pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu sebagai fatwa yang mengikat dirinya, tanpa perlu menunggu ia diwarta sebagai fatwa yang sah di sisi undang-undang. Namun bagi pihak penguatkuasa undang-undang mereka terpaksa menunggu sehingga pandangan Jawatankuasa Fatwa itu diwartakan. Selagi tidak diwartakan ia belum mempunyai efek undang-undang dan tidak boleh dikuatkuasakan. Justeru kesalahan jenayah mengingkari fatwa (seksyen 12(c) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995) tidak dapat diambil tindakan sewajarnya. Apa yang disebarkan dalam akhbar kebelakangan ini, tidaklah mempunyai kesan pewartaan kerana ia tidak mengikut proses perundangan yang ditetapkan.

Inilah masalahnya bila pembuatan fatwa dan undang-undang tidak dapat diselesaikan dalam satu forum. Walau apapun, kita yang bersifat ‘syariah compliant’ perlulah menerima pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebagai fatwa di peringkat Persekutuan walaupun ia belum melepasi semua proses untuk menjadikannya suatu undang-undang.

Sunday, November 23, 2008

KEKELIRUAN MURTAD: Kebebasan Memilih Agama vs Kebebasan Bertukar Agama

Istilah MURTAD amat menakutkan dan adakalanya amat menyedihkan untuk didengar. Sebahagian daripada rakyat Malaysia masih keliru antara kebebasan memilih agama dan kebebasan bertukar agama. Apa yang jelas, setiap individu sememangnya berhak memilih dan mengamalkan agamanya, tetapi dia tidak bebas untuk bertukar-tukar agama. Analoginya samalah ibarat kebebasan seseorang memilih pasangan tetapi tidak bebas bertukar-tukar pasangan. Contohnya apabila seorang perempuan telah memilih pasangan lelaki dan telah mengahwininya, maka dia tidak bebas lagi bertukar pasangan untuk berkahwin dengan lelaki lain pula. Sebaliknya dia akan tertakluk kepada peraturan yang dikenakan dalam perkahwinannya dengan lelaki yang telah sedia dipilih olehnya. Sama juga halnya bagi seorang lelaki yang telah memilih pasangan perempuan sebagai isteri, dia tidak bebas bertukar-tukar isteri dengan menceraikan isteri pertama sesuka hati atau berpoligami sesuka hati. Sebaliknya dia dikehendaki melaksanakan kewajipan perkahwinan dan menunaikan hak-hak terhadap isteri yang sedia ada.

Memilih agama bagi orang yang belum beragama atau yang bukan Islam adalah hak yang diakui oleh Islam seperti yang disebut dalam surah al-Kafirun dan ayat 256 surah al-Baqarah. Mereka berhak memilih untuk memeluk Islam atau kekal dengan agama bukan Islam. Inilah yang dimaksudkan dengan ungkapan 'tiada paksaan dalam beragama'. Akan tetapi sesudah mereka memilih Islam sebagai agama, mereka tidaklah bebas bertukar-tukar kepada agama lain. Sebaliknya mereka dikehendaki mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam agama Islam yang telah sedia dipilih oleh mereka sendiri. Antara peraturan yang terpakai dalam bab murtad ialah kewajipan menjalani proses istitabah. Setiap individu yang hendak murtad wajib melalui proses ini supaya mereka dapat diberi pilihan yang adil untuk bertaubat atau sebaliknya. Tiada hukuman muktamad boleh dikenakan ke atas mereka melainkan setelah proses istitabah ini selesai.


JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus