Wednesday, December 8, 2010

HUJAH HARTA SEPENCARIAN:( Tanah Sebelum Merdeka, Melalui Prinsip Iqta' Al-Mawat)

Berikut adalah hujahan kes yang telah diterima oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi mempertahankan pembelaan bagi tuntutan harta sepencarian terhadap tanah yang didakwa diperolehi sebelum merdeka dan sebelum pemakaian Kanun Tanah Negara 1965. Hujahan Plaintif bahawa prinsip Ihya' al-Mawat hendaklah terpakai bagi menentukan pemilikan tanah adalah ditolak. Sebaliknya Mahkamah menerima hujah Defendan 3 (Majlis Agama Islam Selangor) bahawa prinsip Iqta' Al-Mawat adalah diterima.

HUJAH JAWAPAN DEFENDAN 3 TERHADAP HUJAH BERTULIS PLAINTIF

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Dengan izin Yang Arif,

1. Defendan 3 memohon Mahkamah Yang Mulia ini merujuk kepada hujah Defendan 3 bertarikh 27 April 2010 dan hujah bertulis Plaintif bertarikh 21 Julai 2010.

2. Adalah ternyata bahawa hujahan Defendan 3 di perenggan 13 hingga 22 telah tidak dipertikaikan oleh Plaintif. Khususnya yang menyentuh isu kuasa Defendan 3 sebagai pentadbir baitulmal, kuasa baitulmal untuk menerima lebihan faraid daripada harta peninggalan si mati, kuasa Defendan 3 yang merupakan suatu perbadanan untuk membuat perwakilan di Mahkamah, cara surat kuasa perwakilan telah dibuat dengan wajar, cara Defendan 3 membuat keputusan mesyuarat berkaitan tuntutan Plaintif telah dibuat dengan wajar dan keesahan wakalah Peguam Syarie Defendan 3 adalah dipersetujui oleh Plaintif.

3. Dalam hujah jawapan ini, Defendan 3 ingin menjawab beberapa isu yang ditimbulkan oleh Plaintif dalam hujahan bertulis Plaintif iaitu seperti mana berikut:

a) Apakah prinsip Ihya’ al-Mawat digunapakai pada masa hartanah tersebut diterokai (1953).

b) Apakah penerokaan hartanah tersebut menepati syarat-syarat Ihya’ al-Mawat.

c) Adakah Plaintif sendiri ada melakukan perbuatan yang bercanggah dengan prinsip Ihya’ al-Mawat.

d) Adakah keterangan Plaintif tentang masa bermula perkahwinan dan masa bermula penerokaan hartanah tersebut tidak menimbulkan sebarang keraguan.

e) Adakah alasan bahawa Plaintif menyangkakan hartanah telah dijual boleh diterima untuk membenarkan tuntutan dibuat selepas berlalu tempoh lebih 40 tahun daripada tarikh perceraian.

PRINSIP IHYA’ AL-MAWAT TIDAK LAGI DIGUNAPAKAI PADA MASA HARTANAH DITEROKAI

Dengan izin Yang Arif,

4. Defendan 3 menghujahkan bahawa konsep Ihya’ al-Mawat tidak lagi diguna pakai secara longgar pada masa hartanah tersebut diterokai (iaitu dikatakan pada tahun 1953). Sebaliknya konsep yang digunapakai pada masa hartanah tersebut diterokai ialah satu prinsip syarak yang agak ketat yang dinamakan sebagai konsep Iqta’ al-Mawat (إقطاع الموات) atau pelupusan tanah, pemberimilikan atau pemutusan hak tanah oleh pemerintah.

5. Melalui konsep Iqta’ al-Mawat ini, maka pemilikan tanah hanya berlaku apabila pemerintah telah memberi atau memutuskan hak milik kepada seseorang atau orang yang meneroka tanah tersebut. Ini berbeza dengan konsep ihya’ al-mawat yang melaluinya mana-mana orang bebas meneroka tanah yang tidak bermilik tanpa memerlukan kebenaran atau kawalan pihak pemerintah.

6. Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni jilid 12, halaman 143, perkara 4348, begitu juga dalam kitabnya al-Kafi, Jilid 2, halaman 306 menerangkan konsep iqta’ al-mawat ini seperti mana berikut:

( 4348 ) فَصْلٌ : فِي الْقَطَائِعِ ، وَهِيَ ضَرْبَانِ أَحَدُهُمَا إقْطَاعُ إرْفَاقٍ ، وَذَلِكَ إقْطَاعُ مَقَاعِدِ السُّوقِ ، وَالطُّرُقِ الْوَاسِعَةِ ، وَرِحَابِ الْمَسَاجِدِ ، الَّتِي ذَكَرْنَا أَنَّ لِلسَّابِقِ إلَيْهَا الْجُلُوسَ فِيهَا ، فَلِلْإِمَامِ إقْطَاعُهَا لِمَنْ يَجْلِسُ فِيهَا ؛ لِأَنَّ لَهُ فِي ذَلِكَ اجْتِهَادًا ، مِنْ حَيْثُ إنَّهُ لَا يَجُوزُ الْجُلُوسُ إلَّا فِيمَا لَا يَضُرُّ بِالْمَارَّةِ ، فَكَانَ لِلْإِمَامِ أَنْ يُجْلِسَ فِيهَا مَنْ لَا يَرَى أَنَّهُ يَتَضَرَّرُ بِجُلُوسِهِ .وَلَا يَمْلِكُهَا الْمُقْطَعُ بِذَلِكَ ، بَلْ يَكُونُ أَحَقَّ بِالْجُلُوسِ فِيهَا مِنْ غَيْرِهِ

Bermaksud: Fasal pada menerangkan pelupusan tanah atau pemberimilikan hak tanah, iaitu terbahagi kepada dua jenis. Salah satunya dinamakan iqta’ irfaq (pemberian hak mendiami atau memanfaatkan). Contohnya seperti memberi hak mendiami pasar, hak mendiami laluan yang luas, hak mendiami kawasan persekitaran masjid; yang telah kami nyatakan bahawa orang yang pertama sampai ke tempat itu adalah berhak mendiaminya. Maka pemerintah berkuasa memberi hak (iqta’) kepada orang yang mendiaminya kerana ia diharuskan berijtihad dalam perkara itu dengan syarat tidak dibenarkan mendiami tempat itu kecuali jika ia tidak memudaratkan hak lalu lintas. Maka pemerintah berhak memberikan hak menduduki tempat itu kepada orang yang pada pandangannya tidak menyebabkan mudarat dengan pendudukannya itu. Orang yang diberi kebenaran mendiami tidaklah mendapat hakmilik dengan sebab iqta’ irfaq ini. Bahkan ia sekadar mendapat keutamaan untuk mendiami tempat itu berbanding orang lain.

Selanjutnya Ibn Qudamah menyebutkan:

الثَّانِي إقْطَاعُ مَوَاتٍ مِنْ الْأَرْضِ لِمَنْ يُحْيِيهَا ، فَيَجُوزُ ذَلِكَ ؛ لِمَا رَوَى وَائِلُ بْنُ حُجْرٍ ،{ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقْطَعَهُ أَرْضًا ، فَأَرْسَلَ مُعَاوِيَةَ أَنْ أَعْطِهِ إيَّاهُ ، أَوْ أَعْلِمْهُ إيَّاهُ.} حَدِيثٌ صَحِيحٌ

Maksudnya: Jenis kedua pula ialah pemberimilikan hak tanah mati kepada orang yang menghidupkannya, maka ia adalah diharuskan berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Wail Bin Hujr: {Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memberi milik kepadanya (Wail) sebidang tanah.Lalu baginda mengutuskan Muawiyah supaya menyerahkannya (tanah tersebut) kepadanya (Wail), atau menunjukkkannya (kawasan/sempadan tanah itu) kepadanya (Wail). Hadith ini sahih.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan 3: salinan kitab al-Mughni menurut versi terbitan dalam perisian al-Maktabah al-Syamilah dan Maktabah al-Fiqh Wa Usulihi dan salinan kitab al-Kafi fi Fiqh al-Imam Ahmad- di Lampiran A)

7. Terdapat beberapa hadith lain sebagai sokongan kepada hadith di atas yang menerangkan pensyariatan prinsip Iqta’ al-mawat antaranya seperti mana yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dalam Sunannya:

1302 - حَدَّثَنَا مَحْمُودُ بْنُ غَيْلَانَ حَدَّثَنَا أَبُو دَاوُدَ أَخْبَرَنَا شُعْبَةُ عَنْ سِمَاكٍ قَال سَمِعْتُ عَلْقَمَةَ بْنَ وَائِلٍ يُحَدِّثُ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقْطَعَهُ أَرْضًا بِحَضْرَمَوْتَ قَالَ مَحْمُودٌ أَخْبَرَنَا النَّضْرُ عَنْ شُعْبَةَ وَزَادَ فِيهِ وَبَعَثَ لَهُ مُعَاوِيَةَ لِيُقْطِعَهَا إِيَّاهُ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ

Bermaksud: Telah menceritakan kepada kami Mahmud Bin Ghailan, telah menceritakan kepada kami Abu Daud, telah memberitahu kepada kami Syu’bah daripada Simak berkata aku mendengar Alqamah bin Wail menceritakan daripada ayahnya (Wail): Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah memberi hak milik kepadanya (Wail) sebidang tanah di Hadramaut. Berkata Mahmud, telah memberitahu kepada kami al-Nadr daripada Syu’bah dan dia (Syu’bah) menambah pada (riwayat tersebut)- dan (Nabi SAW) mengutuskan Muawiyah untuknya (Wail) bagi memberi hak milik (menetapkan sempadan dll) tanah tersebut kepadanya (Wail). Berkata Abu Isa (al-Tirmizi) bahawa hadith ini bertaraf hasan.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan 3: Sunan al-Tirmizi, Jilid Kompilasi, halaman 356 di Lampiran B)

8. Profesor Haji Salleh Buang dalam kajiannya Kanun Tanah Negara – Kajian Perbandingan Antara Undang-Undang Sivil dan Syariah menghuraikan bahawa dalam Islam ada tiga jenis pelupusan tanah yang utama iaitu pemberian milik penuh, pemberian milik yang bertempoh dan pendudukan sementara:

a) Pemberian Milik Penuh (Iqta’ Tamlik)

Seorang pemilik tanah yang telah diberi milik tanah negeri mengikut kaedah ini boleh menjual, menggadai, memajak, menghibah, mewakaf atau meninggalkan hartanya sebagai harta pusaka kepada warisnya; semasa zaman Rasulullah dan para sahabat, hanya tanah mawat yang boleh dilupuskan di bawah kaedah ini.

b) Pemberian Milik Bertempoh (Iqta’ Istighlal)

Ciri utama pemegangan tanah mengikut kaedah ini ialah pemiliknya dikehendaki membayar sewa kepada pemerintah. Ini berbeza dengan pembayaran usyr mengikut kaedah pertama di atas tadi. Kebanyakan tanah yang tergolong dalam kategori ini ialah tanah kharaj. Terdapat persamaannya di antara kaedah ini dengan state lease di bawah seksyen 76(a) KTN; tetapi berbeza dengan KTN, tanah di bawah kategori ini tidak boleh dijual, dipindah milik, dihibah, dipajak, digadai, diwakaf atau dijadikan pusaka oleh pemiliknya.

c) Pendudukan Sementara (iqta’ irfaq)

Di bawah kaedah ini, beberapa kawasan yang tertentu seperti kawasan pasar, bazar, bahu jalan, medan kota dan ruang terbuka diberi kepada orang tertentu seperti pedagang atau peniaga untuk menjalankan kegiatan mereka. Kemudahan ini amat terhad, baik dari segi luas kawasan atau masa, dan sentiasa tertakluk kepada syarat bahawa ia tidak menyebabkan kesesakan atau halangan lalu lintas. Terdapat persamaan di antara kaedah ini dengan lesen pendudukan sementara di bawah KTN.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan 3: Kanun Tanah Negara – Kajian Perbandingan Antara Undang-Undang Sivil dan Syariah oleh Haji Salleh Buang di Lampiran C)

9. Professor Haji Salleh Buang dalam kajian yang sama menegaskan bahawa pemakaian kaedah Ihya’ al-Mawat sebenarnya pernah di pakai di Malaysia (Tanah Melayu) sebelum kedatangan penjajah Inggeris, khususnya sebelum tahun 1889. Perkara ini telah dinyatakan oleh Tun Salleh Abas (Ketua Hakim Negara pada ketika itu) dalam kes Tengku Jaafar & Seorang Lagi lwn Kerajaan Negeri Pahang. Kes tersebut menyatakan secara khusus bahawa undang-undang tanah di Pahang dalam tahun 1888 (setahun sebelum pemakaian undang-undang Torrens) adalah undang-undang Islam mengikut Mazhab Syafie. Namun pada tahun 1889 sistem Torrens telah dilaksanakan di negara kita kerana pentadbir Inggeris yang menjadi pemerintah de facto di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Pahang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan) ketika itu merasakan undang-undang tanah kita tidak lagi sesuai, terutama sekali peraturan menghidupkan tanah mati (Ihya’ al-Mawat).

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan 3: di Lampiran D – sumber yang sama)

10. Sistem Torrens ini antaranya adalah diambil daripada konsep iqta’ al-mawat itu sendiri yang telah digariskan dalam fiqh Islam seperti yang telah dihuraikan di atas. Menurut Profesor Haji Salleh Buang lagi, secara pentadbirannya sistem Torrens ini, mementingkan dua perkara iaitu:

i) Penggunaan borang tertentu dalam semua urusniaga.

ii) Pendaftaran dengan pihak berkuasa.

Dengan itu timbullah ungkapan kata yang masyhur yang diulang-ulang sepanjang zaman tentang sistem ini, iaitu “di bawah sistem Torrens daftar adalah segala-galanya”.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan 3: di Lampiran E– sumber yang sama)

11. Pemakaian sistem Torrens dengan prinsip iqta’ al-mawat ini tidaklah bercanggah dengan Hukum Syarak kerana ia adalah selari dengan prinsip Siyasah Syariyyah yang bertunjangkan kaedah fiqhiyyah:

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

Bermaksud: “Tindakan pemerintah ke atas rakyat adalah tertakluk kepada maslahah”. Ini kerana pemerintah berkuasa membuat undang-undang yang mengawal dan merancang pemilikan tanah demi manfaat awam. Justeru tidaklah boleh kita mengatakan pemakaian sistem undang-undang tanah yang ada pada ketika itu (1953) yang memerlukan pendaftaran hakmilik adalah bertentangan dengan Hukum Syarak bahkan ia masih berada di bawah kerangka Hukum Syarak di bawah kaedah Iqta’ al-mawat seperti yang telah dihuraikan di atas.

12. Profesor Madya Mohd Ridzuan Awang dalam tulisannya Konsep Pemilikan Harta Dalam Islam: Satu Penilaian telah menyebutkan bahawa konsep Ihya’ al-Mawat adalah diangap sebagai satu bentuk pemilikan tanah yang tidak terancang oleh pemerintah. Manakala konsep iqta’ adalah merupakan satu konsep pemilikan tanah yang dilakukan pemerintah secara terancang. Konsep iqta’ ini boleh dilakukan oleh pemerintah terhadap beberapa jenis tanah yang telah ditentukan, sama ada dalam bentuk iqta’ tamlik (yang menyamai prinsip hakmilik kekal dalam Kanun Tanah Negara), iqta’ istighlal (yang menyamai prinsip hakmilik pajakan) atau iqta’ irfaq (yang menyamai prinsip lesen pendudukan sementara).

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan 3: Konsep Pemilikan Harta Dalam Islam: Satu Penilaian oleh Mohd Ridzuan Awang di Lampiran F)

13. Dengan pemakaian konsep al-iqta’ al-mawat ini, maka pemakaian konsep Ihya’ al-Mawat telah dibataskan dengan beberapa syarat yang ditetapkan dalam bentuk undang-undang. Jelasnya konsep iqta’ al-Mawat ini dilaksanakan melalui proses kodifikasi undang-undang tanah di setiap negeri ketika itu sehinggalah wujudnya Kanun Tanah Negara 1965.

14. Defendan 3 menegaskan bahawa pada masa tanah tersebut diterokai (1953) telah terdapat undang-undang tanah yang diwujudkan mengikut konsep iqta’ al-mawat yang mengawal proses pemilikan tanah di Negeri Selangor yang dinamakan sebagai Land Registration (Government Interests) Enactment 1939. Hal ini dinyatakan dalam subseksyen 438 (1) Kanun Tanah Negara 1965 yang menyatakan:

438. Pemansuhan dan pindaan undang-undang yang wujud.

(1) Enakmen-enakmen yang dinyatakan dalam Jadual Kesebelas dengan ini adalah dimansuhkan dari permulaan Akta ini.

JADUAL KESEBELAS

Negeri Selangor

5 Tahun 1939 Land Registration (Government Interests) Enactment, 1939

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan 3: Kanun Tanah Negara di Lampiran G)

15. Dengan adanya undang-undang tanah tersebut, maka prinsip Ihya’ al-Mawat yang dipakai sejak zaman Rasulullah SAW telah dibataskan oleh pemerintah dengan meletakkan syarat setiap pemilikan tanah mestilah didaftarkan bagi mengesahkan sesuatu pemilikan di sisi undang-undang dan setiap penerokaan tanah kerajaan sebelum ia diberimilik hendaklah mendapat kebenaran pihak berkuasa negeri (kerajaan) melalui lesen pendudukan sementara (TOL).

16. Justeru hujahan Plaintif yang mendakwa bahawa isu pemilikan hartanah tersebut pada masa ia diterokai (1953) adalah tanah mati yang tidak dimiliki dan perlu diputuskan mengikut konsep ihya’ al-mawat adalah tidak benar dan jauh tersasar daripada peruntukan undang-undang dan Hukum Syarak.

17. Sebaliknya kami menegaskan bahawa isu hakmilik tanah mati yang diterokai oleh Plaintif tersebut hendaklah diputuskan mengikut konsep iqta’ al-mawat dan bukan berdasarkan konsep ihya’ al-mawat yang telah dihadkan pemakaiannya ekoran daripada pengkanunan undang-undang yang berkuatkuasa pada masa itu.

18. Dengan pemakaian konsep iqta’ al-mawat ini, maka setiap pemilikan tanah hendaklah dibuktikan dengan pemberian hak milik oleh pemerintah dan bukan dengan penerokaan semata-mata. Plaintif dalam hal ini telah gagal mengemukakan bukti bahawa pemilikan tanah telah diberikan dengan sempurna sebelum berlaku perceraian. Justeru tindakan Plaintif dalam mengusahakan hartanah tersebut dari tahun 1953 hingga 1965 tidaklah perlu diambilkira kerana ia tidak mempunyai sebarang kuat kuasa menurut undang-undang.

PENEROKAAN HARTANAH TIDAK MENEPATI SYARAT IHYA’ AL-MAWAT

19. Plaintif dalam hujahnya telah merujuk kepada konsep Ihya’ al-Mawat seperti yang dihuraikan oleh Prof. Dr. Ahmad Mohamed Ibrahim dalam tulisannya “Konsep Harta Menurut Islam” yang menerangkan syarat Ihya’ al-Mawat seperti berikut:

a) Bukan harta yang dimiliki oleh sesiapa.

b) Bukan yang termasuk dalam kawasan perkampungan atau yang dibangunkan.

c) Bukan tanah yang telah dimanfaatkan dalam apa bentuk sekalipun. Jauh dari perkampungan atau pembangunan.

Selanjutnya Plaintif mendakwa bahawa usaha beliau dalam meneroka hartanah tersebut telahpun memenuhi kesemua syarat Ihya’ al-Mawat di atas.

20. Sebaliknya Defendan 3 menghujahkan bahawa Plaintif telah terkhilaf dalam memahami dan merealisasikan syarat-syarat ihya’ al-mawat terhadap hartanah tersebut. Bahkan kesemua syarat ihya’ al-mawat yang ditetapkan seperti di atas masih belum dipenuhi untuk mensabitkan pemilikan berdasarkan prinsip Ihya Al-Mawat itu sendiri atas alasan-alasan yang akan dihujahkan di bawah ini.

21. Hartanah tersebut pada masa ia diterokai dalam tahun 1953 telahpun dimiliki oleh Kerajaan Negeri Selangor. Plaintif sendiri dalam keterangannya menyatakan ketika tanah tersebut diterokai ia adalah tanah berstatus TOL (lesen pendudukan sementara). Justeru kami menegaskan bahawa pihak yang mengeluarkan lesen pendudukan sementara itulah yang merupakan pemilik kepada tanah tersebut pada masa itu, iaitu Kerajaan Negeri Selangor. Jika Kerajaan Negeri Selangor bukan pemilik tanah tersebut, masakan ia boleh mengeluarkan TOL kepada orang yang hendak meneroka tanah tersebut.

22. Walaupun Kanun Tanah Negara baru dikuatkuasakan pada tahun 1965 namun pada masa tanah tersebut diterokai (1953) telahpun terdapat undang-undang kerajaan berkaitan tanah di Negeri Selangor yang dinamakan sebagai Land Registration (Government Interests) Enactment 1939 yang dimansuhkan selepas pemakaian Kanun Tanah Negara 1965 (KTN). Hal ini diperuntukkan dalam subseksyen 438 (1) KTN yang menyatakan:

438. Pemansuhan dan pindaan undang-undang yang wujud

(1) Enakmen-enakmen yang dinyatakan dalam Jadual Kesebelas dengan ini adalah dimansuhkan dari permulaan Akta ini.

JADUAL KESEBELAS

Negeri Selangor

5 Tahun 1939 Land Registration (Government Interests) Enactment, 1939

23. Berdasarkan kepada enakmen tersebut yang bermaksud Enakmen Pendaftaran Tanah (Hakmilik Kerajaan) 1939, maka Defendan 3 menghujahkan ia adalah satu undang-undang yang jelas mensyaratkan pendaftaran hakmilik tanah dan meletakkan Kerajaan sebagai pemilik asal tanah sebelum ia diberi milik.

24. Hal tersebut dapat digambarkan berdasarkan kepada pemakaian seksyen 40 KTN yang juga dengan jelas menyatakan keseluruhan harta dalam semua tanah Kerajaan dalam wilayah-wilayah Negeri itu adalah hak tunggal kepada pihak berkuasa (Kerajaan) negeri itu sebelum ia diberimilik. Iaitu seperti mana berikut:

40. Harta dalam bentuk tanah Kerajaan, galian dan bahan batuan.

Maka adalah dan hendaklah terletakhak hanya kepada Pihak Berkuasa Negeri semua harta dalam-

(a) semua tanah Kerajaan dalam wilayah-wilayah Negeri itu

(b) semua galian dan bahan batuan yang terkandung dalam atau atas mana-mana tanah dalam Negeri yang hak kepadanya belum lagi diputuskan dengan khususnya oleh Pihak Berkuasa Negeri.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan 3: Kanun Tanah Negara di Lampiran H)

25. ‘Tanah Kerajaan’ pula ditafsirkan dalam seksyen 5 KTN sebagai:

semua tanah di dalam negeri itu (termasuk sebanyak mana dasar mana-mana sungai, dan tepi pantai serta dasar laut, seperti yang adalah dalam lingkungan wilayah Negeri itu atau batas perairan wilayah) selain dari-

(a) tanah berimilik;

(b) tanah rizab;

(c) tanah lombong;

(d) mana-mana tanah yang, di bawah peruntukan-peruntukan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan hutan (sama ada diluluskan sebelum atau selepas permulaan Akta ini) buat masa itu adalah hutan simpanan.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan 3: Kanun Tanah Negara di Lampiran I)

26. Justeru adalah jelas hartanah tersebut yang berstatus TOL atau tanpa status TOL (jika bukti kewujudan TOL tidak memadai) yang diterokai oleh Plaintif dan si mati adalah tergolong dalam tanah kerajaan kerana ia belum diberimilik sehinggalah pada tahun 1969.


27. Profesor Mahmud Saedon Awang Othman dalam tulisannya Konsep Pemilikan Harta Dalam Islam telah memetik pandangan Imam Abu Hanifah dan Jaafariah yang berpendapat, keizinan daripada imam untuk menghidupkan tanah yang mati, adalah syarat untuk pemilikannya. Ini bermakna jika ia dihidupkan tanpa kebenaran imam, maka ia tidak berhak untuk dimilikinya.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan 3: Konsep Pemilikan Harta Dalam Islam di Lampiran J)

28. Plaintif dalam keterangannya telah tidak mengemukakan keterangan dokumentar yang menunjukkan penerokaan hartanah tersebut telah mendapat kebenaran imam atau yang dikenali sebagai lesen pendudukan sementara (TOL). Justeru usaha penerokaan yang dibuat tersebut tidaklah boleh diambil kira bagi maksud mendapatkan pemilikan yang sah.

29. Syarat Ihya’ al-Mawat yang kedua juga tidak dapat dipenuhi kerana hartanah tersebut yang diperihalkan sebagai Lot 3342, PM 154, Mukim Setapak Daerah Gombak Selangor adalah jelas dan nyata termasuk di dalam kawasan perkampungan, perdaerahan atau mukim yang telah dikenalpasti. Plaintif sendiri dalam keterangannya menyatakan kawasan tanah tersebut terletak dalam tempat yang bernama “Buloh Akar”. Ini jelas menunjukkan kawasan tanah yang diterokai tersebut adalah dalam kawasan perkampungan atau penempatan yang dinamakan sebagai “Buloh Akar”. Di dalam suratan hakmilik yang ditanda P1 sendiri ada menyebutkan tempat tanah tersebut terletak di BULOH AKAR iaitu masih dikenali dengan nama yang sama seperti pada masa ia diterokai. Sekiranya tempat hartanah tersebut di luar daripada kawasan perkampungan sudah tentu ketika itu nama tempat itu tidak diketahui oleh Plaintif atau belum diberi nama. Hal ini adalah jelas tidak memenuhi syarat kedua Ihya’ al-Mawat yang dipetik oleh Plaintif sendiri.

30. Syarat ketiga bagi Ihya’ al-Mawat juga tidak dipenuhi kerana hartanah tersebut juga tidak jauh daripada kawasan perkampungan atau kediaman. Plaintif sendiri menyatakan jarak tanah tersebut dengan rumah Plaintif pada masa itu hanyalah 3 batu. Jarak tersebut bukanlah satu jarak yang jauh kerana ia masih tidak melepasi sempadan mukim, daerah atau negeri. Apatah lagi ia tidak melepasi jarak 2 marhalah yang merupakan jarak yang dianggap cukup jauh menurut Hukum Syarak.

31. Keadaan Plaintif yang mampu pergi ke tempat hartanah tersebut sebanyak 2 kali dalam sehari dengan hanya berjalan kaki menguatkan lagi fakta bahawa jarak hartanah tersebut dengan rumah Plaintif adalah terlalu dekat dan tidak menepati syarat ketiga yang diperlukan bagi mensabitkan pemilikan melalui kaedah Ihya’ al-Mawat.

32. Keadaan tanah tersebut yang menurut Plaintif terdiri daripada hutan belukar dengan pokok sebesar batang pinang menguatkan lagi fakta bahawa tanah tersebut tidaklah begitu jauh daripada kawasan perkampungan. Ini kerana jika ia terletak jauh daripada kawasan perkampungan sudah tentu keadaan tanah tersebut terdiri daripada hutan tebal yang belum pernah langsung diterokai sejak dahulu kala dan dipenuhi dengan binatang buas seperti harimau, gajah, beruang dan sebagainya. Sedangkan dalam keterangan Plaintif tidak terdapat kenyataan seperti itu.

33. Berdasarkan hujah dan keterangan di atas, maka jelaslah bahawa sehingga pada masa perceraian dalam tahun 1967, hartanah tersebut masih belum menjadi milik sempurna kepada mana-mana pihak dalam perkahwinan untuk melayakkannya dianggap sebagai harta sepencarian. Sebaliknya ia hanya menjadi milik sempurna kepada si mati pada tahun 1969 yang mana ketika itu perkahwinan antara Plaintif dan si mati telah dibubarkan secara bain.

PLAINTIF SENDIRI MELAKUKAN PERKARA YANG MENYALAHI PRINSIP IHYA’ AL-MAWAT

34. Defendan 3 seterusnya menghujahkan bahawa Plaintif sendiri telah tidak konsisten dalam pemakaian prinsip Ihya’ al-Mawat kerana bertindak menyalahi prinsip itu. Ini kerana jika menurut Prinsip Ihya’ al-Mawat tanah yang telah diusahakan tidak boleh sama sekali dibiar atau ditinggalkan selama tempoh melebihi 3 tahun. Jika tanah tersebut ditinggalkan selama tempoh 3 tahun, maka hakmiliknya akan menjadi luput. Dalam hal ini Plaintif sendiri telah meninggalkan tanah tersebut melebihi 3 tahun.

35. Imam al-Musilli al-Hanafi di dalam kitab al-Ikhtiyar Li Ta’lil al-Mukhtar, bab Ihya’ al-Mawat, jilid 2, halaman 89-90 telah menyebutkan:

الموات: ما لا ينتفع به من الأراضي، وليس ملك مسلم ولا ذمي، وهو بعيد من العمران، إذا وقف إنسان بطرف العمران ونادى بأعلى صوته لا يسمع، من أحياه بإذن الإمام ملكه مسلماً كان أو ذمياً، ولا يجوز إحياء ما قرب من العامر، ومن حجر أرضاً ثلاث سنين فلم يزرعها دفعها الإمام إلى غيره (لأن التحجير ليس بإحياء والإمام دفعها لتحصيل المصلحة من العشر والخراج فإذا لم يحصل دفعها إلى غيه ليحصل)

Bermaksud: Tanah mati: ialah apa-apa bahagian tanah yang belum dimanfaatkan dan tidak dipunyai oleh mana-mana orang Islam atau Zimmi, yang jauh daripada tanah yang telah dibangunkan, iaitu apabila seseorang berada pada penghujung tanah yang telah dibangunkan dan melaungkan dengan sekuat-kuat suaranya namun tidak terdengar sahutan (oleh pemiliknya). Barang siapa menghidupkannya dengan izin pemerintah maka dia memilikinya sama ada dia seorang Islam atau Zimmi. Tidak harus menghidupkan tanah yang berhampiran dengan tanah yang telah dibangunkan. Barang siapa yang membiarkan tanah selama tiga tahun, lalu dia tidak mengusahakannya dengan tanaman, maka pemerintah berhak menyerahkan tanah itu kepada orang lain (kerana membiarkan tanah tidak dikatakan sebagai menghidupkannya sedangkan pemerintah menyerahkan tanah itu untuk mendapatkan maslahah daripada cukai usyur (satu persepuluh daripada hasil) dan cukai al-Kharaj, maka apabila tanah itu tidak mendatangkan hasil (kepada pemerintah) maka harus ia menyerahkan tanah itu kepada orang lain untuk mendapatkan hasil).

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan 3: Kitab al-Ikhtiyar di Lampiran K)

36. Berdasarkan pandangan di atas, Defendan 3 menghujahkan sekiranya prinsip Ihya’ al-mawat digunapakai secara ketat, nescaya tanah tersebut tidak selayaknya menjadi milik Plaintif atau si mati sendiri. Ini kerana berdasarkan keterangan Plaintif sendiri beliau dan si mati telah meninggalkan tanah tersebut dengan tidak mengusahakannya selama tempoh yang melebihi 3 tahun iaitu sejak daripada tahun 1965 hingga sekarang.

37. Larangan membiarkan tanah terbiar ini telahpun diterima sebagai adat Melayu sebelum daripada undang-undang dikanunkan lagi. Profesor Salleh Buang dalam tulisannya Kanun Tanah Negara – Kajian Perbandingan Antara Undang-Undang Sivil dan Syariah telah memetik kata Hakim Besar Sir Benson Maxwell dalam kes Sahrip lwn Mitchell dan Seorang lagi (1879):

Adalah menjadi perkara yang diketahui umum bahawa mengikut undang-undang Melayu lama atau adat di Melaka yang menentukan bahawa Raja adalah pemilik tanah, setiap orang adalah berhak untuk menebang atau menebas serta menduduki tanah hutan rimba atau tanah mati, tertakluk kepada syarat membayar hasil kepada raja atas kadar satu persepuluh daripada hasil bumi yang telah diusahakan. Segala pokok tanaman, serta rumah kediaman yang telah dibina di kawasan tersebut adalah menjadi hak kepunyaannya yang boleh dijual, digadai atau ditinggalkan sebagai warisan kepada anak-anaknya. Jika dia meninggalkan sawah bendangnya atau dusunnya selama tiga tahun, atau ladang gambir atau ladanya selama setahun, haknya menjadi luput dan segalanya kembali kepada raja.

(Sila rujuk Ikatan Autoriti Defendan 3: Kanun Tanah Negara – Kajian Perbandingan Antara Undang-Undang Sivil dan Syariah di Lampiran L)

38. Dalam keterangannya Plaintif telah menyatakan beliau hanya mengusahakan hartanah tersebut bersama si mati dari tahun 1953 hingga 1963. Kemudian setahun setengah selepas itu, Plaintif mengusahakan tanah tersebut berseorangan. Setelah itu Plaintif telah meninggalkan tanah tersebut dan tidak lagi mengusahakannya hinggalah berlaku perceraian pada tahun 1967. Hal ini berterusan hinggalah hakmilik tanah dikeluarkan pada tahun 1969. Bahkan hingga ke hari ini Plaintif tidak lagi meneruskan pembangunan ke atas hartanah tersebut yang mana telah melebihi 45 tahun. Ini menunjukkan Plaintif sendiri telah meninggalkan tanah tersebut yang melambangkan sikap Plaintif tidak bersungguh-sungguh dalam usaha untuk mendapatkan hakmilik tanah tersebut pada masa yang sepatutnya.

39. Sebaliknya Defendan 3 semasa mengambil alih hakmilik tanah tersebut pada tahun 1981 atas jalan lebihan faraid telah membuat pembangunan ke atas hartanah tersebut dengan mendirikan surau dan sekolah agama yang dapat dimanfaatkan hingga ke hari ini.

40. Boleh dikatakan Defendan 3 telah melakukan pembangunan (ihya’) yang sewajarnya ke atas hartanah tersebut semasa ia berada dalam milikan Defendan 3. Lebih tepat lagi Defendan 3 telah berjaya menghayati prinsip Ihya’ al-Mawat berbanding diri Plaintif sendiri. Atas dasar inilah Defendan 3 mempertahankan hartanah ini sebagai salah satu kewajipan dan amanah yang diberikan kepada Defendan 3.

KERAGUAN TENTANG MASA BERMULA PERKAHWINAN DAN MASA BERMULA PENEROKAAN HARTANAH

41. Defendan 3 seterusnya menghujahkan masih terdapat keraguan munasabah yang boleh dibangkitkan terhadap dakwaan Plaintif bahawa beliau telah berkahwin dengan si mati pada tahun 1952. Ini kerana tiada dokumen pernikahan dikemukakan kepada Mahkamah. Jika tarikh kelahiran anak pertama Plaintif (28-09-1959 menurut kad pengenalan Defendan 1) dijadikan sebagai qarinah, maka boleh sahaja beberapa andaian munasabah dibuat bahawa perkahwinan Plaintif dan si mati mungkin berlangsung dalam tahun 1958 (setahun sebelum kelahiran anak pertama), 1957, 1956 atau masa-masa lain sebelumnya yang mana tidak terhad kepada tahun 1952 seperti yang didakwa oleh Plaintif.

42. Ketiadaan dokumen perkahwinan ini memberi kesan yang besar terhadap keesahan dakwaan Plaintif sehingga boleh diandaikan perkahwinan tersebut tidak mempunyai kuatkuasa menurut undang-undang atau boleh diandaikan tahun perkahwinan tersebut berlangsung bukan pada tahun 1952 sebaliknya lebih terkemudian daripada itu.

43. Bertitik tolak daripada andaian perkahwinan tersebut mungkin berlangsung pada tahun 1958, 1957 dan masa lain yang lebih awal, maka usaha yang dilakukan oleh Plaintif bersama di mati pada tahun 1953, 1954, 1955 dan selepasnya boleh dianggap sebagai sia-sia dan tidak diambil kira kerana dibuat di luar daripada perkahwinan.

44. Keraguan juga boleh ditimbulkan terhadap masa sebenar bermulanya usaha bersama antara Plaintif dan si mati. Memandangkan tiada saksi yang dikemukakan oleh Plaintif bagi membuktikan usaha bersama bermula pada tahun 1953, maka boleh sahaja andaian dibuat bahawa usaha bersama tersebut bermula pada tahun 1954, 1955, 1956 atau terkemudian daripada itu.

45. Ketiadaan saksi bagi membuktikan masa sebenar bermulanya usaha bersama memberikan kesan yang besar terhadap kemunasabahan dakwaan Plaintif. Ini kerana boleh sahaja andaian dibuat bahawa usaha bersama itu tidak wujud langsung atau wujud dan bermula pada tahun yang lebih terkemudian daripada tahun 1953 seperti yang didakwa oleh Plaintif.

46. Sekiranya usaha bersama Plaintif diandaikan bermula lebih terkemudian daripada tahun 1953 maka, tahap sumbangan Plaintif sendiri akan menjadi lebih berkurangan berbanding tahap sumbangan si mati. Tahap sumbangan berdasarkan faktor masa ini cukup penting diberi perhatian bagi menentukan bahagian yang masing-masing berhak. Sekiranya faktor masa tidak dapat ditentukan maka sukarlah Mahkamah ini untuk membuat keputusan yang adil.

47. Atas keraguan yang dibangkitkan seperti di atas, Mahkamah ini tidak boleh menerima secara mutlak dakwaan Plaintif bahawa perkahwinannya bermula sejak tahun 1952 dan usaha bersama bagi mendapatkan hartanah tersebut bermula pada tahun 1953.

48. Ketiadaan bantahan daripada Defendan 1 dan Defendan 2 selaku anak kepada Plaintif tidak boleh dijadikan sandaran untuk Mahkamah ini menerima dakwaan Plaintif kerana Defendan 1 dan Defendan 2 tidak kompeten mempersaksikan perkara di atas disebabkan ketidakwujudan mereka pada masa itu (Defendan 1 dan Defendan 3 belum dilahirkan pada tahun 1952 hingga 1958).

49. Oleh kerana terdapat keraguan tentang masa yang sangat penting dan material dalam menentukan masa bermulanya perkahwinan dan masa bermulanya usaha bersama, maka Mahkamah ini wajarlah menolak tuntutan Plaintif.

SANGKAAN PLAINTIF BAHAWA HARTANAH TELAH DIJUAL BUKAN RUKHSAH YANG MEMBENARKAN TUNTUTAN SETELAH BERLALU TEMPOH LEBIH 40 TAHUN DARI TARIKH PERCERAIAN

50. Defendan 3 seterusnya merujuk secara khusus kepada hujah bertulis Plaintif di perenggan 75 hingga 84 yang menyatakan alasan mengapa tuntutan ini dibuat selepas berlalu tempoh melebihi 40 tahun.

51. Defendan 3 mempertikaikan alasan Plaintif tidak tahu membaca sebagai sandaran untuk membenarkan tuntutan ini dibuat melebihi tempoh masa yang munasabah. Ini kerana Plaintif sehingga ke hari ini masih seorang yang tidak tahu membaca. Justeru keadaan Plaintif dari dahulu sampai sekarang adalah sama sahaja sebagai seorang yang tidak tahu membaca. Lainlah jika sekarang Plaintif telah tahu membaca. Oleh yang demikian alasan tidak tahu membaca tidak relevan untuk dipertimbangkan kerana tiada perubahan fakta yang boleh ditunjukkan oleh Plaintif kepada Mahkamah akibat tidak tahu membaca.

52. Sebagai orang yang tidak tahu membaca Plaintif masih boleh mendapatkan tunjuk ajar daripada orang yang tahu membaca dan lebih arif sepanjang hidup Plaintif. Justeru timbul persoalan mengapa hanya pada tahun 2008 Plaintif baru merujuk kepada Peguam Syarienya bagi memfailkan tuntutan ini sedangkan ia boleh dilakukan oleh Plaintif sebelum daripada tahun 2008.

53. Plaintif telah gagal mengambil tahu dan memastikan status sebenar hartanah tersebut pada masa yang sepatutnya. Sebaliknya Plaintif hanya menerima cakap-cakap orang bahawa tanah tersebut telah dijual kesemuanya oleh bekas suaminya tanpa membuat pemeriksaan yang teliti. Sedangkan Plaintif telah mengetahui kewujudan tanah ini sejak tahun 1953 dan dalam keterangannya Plaintif begitu yakin bahawa tanah itu adalah milik suaminya sejak dari mula ia diusahakan bersama-sama.

54. Ironinya, menurut dokumen hakmilik asal yang ditanda D2-D, tidak terdapat rekod yang menunjukkan tanah ini pernah dijual oleh Si mati. Bahkan sejak dari hartanah itu mula diberimilik pada tahun 1969 tanah ini hanya didaftarkan sebanyak ½ bahagian atas nama si mati dan ½ bahagian lagi kepada individu lain bernama Mokhtar Bin Abdul Kadir yang kemudiannya dipindah milik kepada Haji Thamin Bin Haji Abdullah.

55. Ini menunjukkan cakap-cakap orang bahawa tanah tersebut telah dijual kesemuanya adalah omongan kosong yang tidak seharusnya dipercayai oleh Plaintif tanpa membuat usul periksa. Plaintif sebagai orang yang berkehendakkan hartanah tersebut sewajarnya membuat usul periksa dalam hal ini. Plaintif tidak wajar menyalahkan orang lain atau orang yang membuat cakap-cakap kosong tersebut atas kegagalan Plaintif sendiri membuat usul periksa.

56. Defendan 3 juga tidak bersetuju dengan hujahan Plaintif bahawa tempoh yang diambil kira bagi menentukan had masa membuat tuntutan bermula dari tahun 1995 iaitu masa setelah Plaintif dimaklumkan berkaitan status terkini tanah tersebut, yang baru mencapai 13 tahun (1995-2008). Sebaliknya Defendan 3 tetap dengan pendirian bahawa had masa membuat tuntutan sepatutnya bermula selepas tarikh perceraian pada tahun 1967 atau lebih awal daripada itu. Ini kerana telah sabit di sisi hukum syarak hak seseorang isteri terhadap harta sepencarian boleh dibuat selepas perkahwinan dibubarkan. Namun seperti yang Defendan 3 katakan semasa perkahwinan dibubarkan hartanah tersebut tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian kerana ia belum dimiliki oleh mana-mana pihak kepada perkahwinan.

57. Bahkan tempoh bermula had masa membuat tuntutan harta sepencarian boleh dikatakan bermula sejak tahun 1963 lagi, iaitu semasa si mati dikatakan telah berpoligami dengan isteri kedua bernama SYARIFAH. Menurut hukum syarak (dengan merujuk kepada undang-undang syariah pada masa ini) harta sepencarian boleh dibahagikan kepada suami dan isteri sedia ada sebelum sesuatu perkahwinan poligami dibuat. Oleh yang demikian adalah jelas bahawa tempoh masa memfailkan tuntutan harta sepencarian telah berlalu sebanyak 2 kali dalam hidup Plaintif tetapi Plaintif telah gagal memanfaatkan peluang tersebut pada masa yang sepatutnya.

58. Tuntutan Plaintif yang dikemukakan pada masa ini (tahun 2008) yang telah melampaui tempoh 41 atau 45 tahun daripada had masa yang sepatutnya adalah suatu tuntutan yang memudaratkan hak Defendan 3 yang telah banyak membuat pembangunan terhadap hartanah tersebut pada masa sekarang.

59. Seperti yang dinyatakan dalam hujahan Defendan 3 sebelum ini, tuntutan Plaintif ini juga boleh memudaratkan sistem keadilan kerana ia menyulitkan proses pembuktian disebabkan hilangnya bukti yang diperlukan akibat berlalunya masa yang lama.

60. Kesimpulannya Plaintif telah gagal mengemukakan bukti, keterangan dan saksi yang diperlukan bagi mensabitkan tuntutan beliau disebabkan telah berlalunya masa yang lama (melebihi 40 tahun) hingga menyebabkan bukti tersebut luput. Bukti yang telah luput tersebut antara lainnya ialah surat keterangan nikah Plaintif dan si mati, dokumen lesen pendudukan sementara (TOL) dan saksi asal. Pada zahirnya dalam dokumen harta yang dituntut tidak terdapat langsung nama Plaintif dicatatkan sebagai pemilik bersama. Tambahan pula, masa tanah tersebut diberi milik sempurna adalah selepas berlaku perceraian antara Plaintif dan si mati.

61. Atas alasan-alasan yang dinyatakan di atas Defendan 3 dengan penuh tawaduknya memohon kepada Mahkamah Yang Mulia ini agar menolak hujah Plaintif dan menerima hujah Defendan 3 serta membuat perintah seperti mana yang dipohon oleh Defendan 3, yang diulangi di sini seperti berikut:

i) Mahkamah menolak tuntutan harta sepencarian Plaintif terhadap ½ bahagian tanah Nombor Hakmilik PM 154, Lot No. 3342, Mukim Setapak, Daerah Gombak Selangor.

ii) Mahkamah mensabitkan bahawa harta di atas adalah harta pusaka si mati MOHD ZIN atau MOHD ZAIN BIN ABDUL KADIR yang hendaklah dibahagi-bahagikan kepada ahli waris yang berhak menurut Hukum Faraid.

iii) Mahkamah perintahkan kepada Defendan 1, selaku Pentadbir supaya menguruskan pembahagian harta pusaka si mati mengikut Sijil Faraid yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah ini.

iv) Perintah yang adil mengenai kos.

v) Apa-apa perintah lain yang suai manfaat menurut Hukum Syarak.

-Wallahu A’lam-

Bertarikh pada ........ haribulan OGOS tahun 2010

Disediakan dan dihujahkan dengan suci hati oleh:

............………………..

Peguam Syarie bagi Defendan 3

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus