Monday, December 28, 2009

WASIAT untuk anak ANGKAT, HIBAH untuk anak ABAH



Pendek sahaja tajuk entri kali ini, tapi pengertiannya amat mendalam dan tidak boleh dipandang sebelah mata. 'Wasiat' dan 'hibah' adalah antara beberapa bentuk transaksi kehartaan yang begitu popular dan diiktiraf dalam hukum Syarak. Namun begitu segelintir pengamal wasiat dan hibah adakalanya sering tersalah haluan dalam memilih dan melaksanakan prinsip atau produk yang sesuai dipakai. Akhirnya ini menyebabkan kesan negatif terhadap institusi wasiat dan hibah dan mengakibatkan ia dipandang sebagai tidak praktikal dan tidak dapat memenuhi keperluan semasa.

Antara kesilapan yang sering dilakukan dalam bermuamalat dengan produk wasiat dan hibah adalah seperti berikut:

1) Wasiat dibuat untuk ahli waris sendiri seperti anak dll, dengan kadar yang melebihi bahagian faraid. Walaupun ia harus dilakukan tetapi ia memerlukan persetujuan waris-waris yang lain dan persetujuan yang diterima pakai adalah persetujuan selepas kematian pewasiat, bukan semasa pewasiat masih hidup. Ini akan mengundang masalah kerana kebiasaannya waris akan mengubah fikiran selepas pewasiat meninggal dunia. Akhirnya wasiat hanya tertulis di atas kertas dan fi yang dibayar kepada pengamal wasiat terbuang begitu sahaja (tidak berbaloi) kerana wasiat itu sendiri tidak dapat dilaksanakan.

TINDAKAN PEMBETULAN: Sedang difikirkan supaya wasiat yang dibuat akan terlaksana 100% selepas kematian pewasiat, tanpa sebarang pindaan, pembatalan, penolakan atau pengubahsuaian. Kecualilah jika penerima wasiat enggan menerima wasiat. Tapi jalan lain sedang difikirkan supaya wasiat tersebut boleh diserah kepada penerima wasiat kedua atau ketiga, jika penerima wasiat pertama menolaknya.


2) Hibah dibuat kepada anak sendiri melalui perantaraan pemegang amanah bagi mengelakkan anak bertindak mengingkirkan si ayah setelah hibah diterima. Ini juga adakalanya menimbulkan masalah apabila pemegang amanah sendiri yang pecah amanah dan tidak menyerahkannya kepada penerima hibah pada masa yang sepatutnya. Akhirnya jadilah bak kata pepatah "terlepas dari mulut harimau, masuk mulut buaya".

TINDAKAN PEMBETULAN: Hibah dari seorang bapa perlu dibuat terus kepada anak (yang cukup umur) sebagai penerima hibah dengan beberapa syarat antaranya, transaksi itu perlu didokumenkan sebagai hibah, harta hibah hendaklah dapat dikawal oleh bapa melalui kaedah konvensional seperti kaveat atau kaedah syarak seperti injuksi Mahkamah Syariah, bagi mengelakkan ia dilupuskan sesuka hati oleh si anak. Jika si anak berani-berani menyingkirkan ayahnya setelah menerima harta hibah, maka ayah berhak membuat tindakan pembatalan hibah dan harta tersebut boleh dipindahmilik semula kepada si ayah menerusi saluran undang-undang. Manakala bagi penerima hibah yang tediri daripada anak bawah umur pula, perantaraan wasi harta atau pemegang amanah tidak dapat dielakkan. Namun proses perlantikan wasi tersebut wajar juga dibuat secara kehakiman bagi memastikan kepentingan penerima hibah tidak termudarat.

Itulah sedikit sebanyak apa yang dapat dikongsikan pada kali ini. Dalam entri ini saya menyeru marilah sama-sama kita menjadikan instrumen wasiat dan hibah sebagai satu produk muamalat yang praktikal bukan sahaja untuk orang Islam, bahkan juga kepada orang bukan Islam. Ini bukan perkara baru dalam dunia muamalat yang berasaskan Syariah.

Thursday, December 24, 2009

UCAPAN ISLAMIK TERHADAP BUKAN ISLAM SEMPENA KRISMAS

Kita sedia maklum bahawa terdapat khilaf di kalangan ulama' dalam menentukan hukum mengucapkan selamat kepada orang bukan Islam ketika perayaan mereka terutama jika ia melibatkan elemen keagamaan dan akidah. Sebagai contoh ucapan 'Merry Christmas' sebahagian ulamak menyatakan haram hukumnya jika diucapkan oleh orang Islam kepada penganut Kristian kerana ia membawa kesan akidah seolah-olah kita mengiktiraf kepercayaan Kristian bahawa Allah itu mempunyai anak dan lain-lain kepercayaan yang menyeleweng.

Perayaan Krismas disambut sekadar untuk mengenang tarikh kelahiran Jesus yang kononnya dikatakan sebagai anak tuhan (Subhanallah). Itupun mereka masih bertelagah dalam menentukan tarikh kelahiran Jesus. Menurut kalender Julius (Gereja Ortodoks dan Koptik) ia disambut pada 7 Januari manakala menurut kalender Gregorian ia disambut pada 25 Disember setiap tahun.

Walaupun begitu, jika dikaji secara mendalam perayaan Krismas itu sendiri bukanlah berasal daripada ajaran agama Kristian sebaliknya ia telah bercampur aduk dengan adat. Justeru perayaan Krismas yang disambut oleh penganut Kristian pada hari ini bukanlah suatu perkara agama bahkan ia hanyalah perkara adat kerana ia tidak dinyatakan sebagai suatu tuntutan dalam Bibble. Buktinya tidak terdapat bukti kukuh daripada Bibble atau nas Syarak menyatakan Nabi Isa sendiri pernah menyambut perayaan Krismas kerana baginda sendiri tidak pernah merayakan hari lahirnya.

Walaupun Krismas hanya sekadar perayaan adat, ia perlu juga difahami sebagai suatu upacara agama yang berpengaruh dalam agama Kristian kerana ia telah diiiktiraf seolah-olah sebagai satu upacara keagamaan. Justeru tidaklah perlu bagi umat Islam mengucapkan tahniah atau selamat dengan ungkapan "Merry Christmas" kepada penganut Kristian tanpa sebarang tujuan melainkan dalam keadaan tertentu yang diharuskan sahaja seperti:

1) Pendakwah yang bertujuan untuk mendekati penganut Kristian bagi menyampaikan risalah Tauhid, jika tiada cara lain yang boleh digunakan untuk mendekati mereka.
2) Pemimpin yang bertujuan menjaga keharmonian masyarakat yang diperlukan untuk menjaga keamanan negara, jika situasi memerlukan.
3) Sahabat kepada sahabat karib yang bertujuan untuk menjaga ikatan persahabatan selagi mereka tidak memusuhi Islam
4) Saudara Baru (muallaf) kepada ahli keluarganya yang belum Islam dengan tujuan untuk menjaga silaturrahim dan memujuk mereka kepada Islam.
5) Murid kepada guru yang bukan Islam jika ilmunya diperlukan untuk sesuatu urusan keduniaan yang diiktiraf oleh Syarak, jika keadaan memerlukan.
6) Lain-lain keadaan yang memerlukan.


WALAU BAGAIMANAPUN, adalah lebih wajar jika kita mengungkapkan ucapan selamat tersebut kepada penganut Kristian dengan mengikut cara kita iaitu sebagai contohnya:

i) ASSALAMU 'ALA 'ISA YAUMA WULIDA السلام على عيسى يوم ولد Bermaksud: "Sejahteralah ke atas Nabi Isa pada hari Dia dilahirkan". Ungkapan ini selain diambil daripada mafhum kata-kata Nabi Isa sendiri yang dipetik dalam al-Quran (Surah Maryam, ayat 33) , ada logiknya juga, kerana pada hari Krismas mereka menyambut kelahiran Nabi Isa. Justeru sudah pasti wajar kita mendoakan kesejahteraan untuk Nabi Isa, bukan sekadar kesejahteraan untuk pengikutnya.

ii) ASSALAMU 'ALA MAN ITTABA'A AL-HUDA السلام على من اتبع الهدى (Sumber surah Taha, ayat 47) Bermaksud: "Sejahteralah ke atas sesiapa yang mengikuti Petunjuk". Ini adalah ucapan "salam selamat" yang diungkapkan oleh Nabi Musa dan Harun semasa menghadap Firaun ketika menyampaikan seruan dakwah kepadanya. Ungkapan ini jika diaplikasikan boleh diterima sebagai satu doa kepada penganut Kristian dengan harapan mudah-mudahan mereka akan mendapat petunjuk dan hidayah dalam mencari agama yang benar iaitu ISLAM.

Wallahu A'lam.

Monday, December 14, 2009

SEKADAR PENDAPAT:Pendekatan Terbaik Tangani Isu Kenaikan Mas Kahwin


1) Elakkan daripada menetapkan kadar mahar minima berdalilkan hadith "sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah maharnya." Ungkapan 'yang paling mudah' adakalanya boleh ditafsirkan dari sudut harga/kuantiti atau jumlah mahar. Jika jumlah atau kadar mahar minima telah ditetapkan maka kehendak hadith ini dalam memberikan kemudahan untuk menentukan mahar tidak dapat diraikan sepenuhnya.

2) Elakkan daripada menetapkan kadar mahar maksima berdalilkan umum ayat "dan kamu telah memberikan salah seorangnya (isteri) harta yang banyak (qintar) sebagai mahar -Al-nisa' ayat 20". Ungkapan 'qintar' dalam ayat di atas menunjukkan harus memberikan sejumlah harta yang banyakkepada isteri sebagai mahar tanpa dihadkan kepada suatu kadar maksima. Saidina Umar r.a. sendiri telah menarik balik pendapatnya dalam menetapkan mahar maksima sebanyak 400 dirham setelah beliau dibacakan dengan ayat ini oleh seorang wanita quraisy.

3) Usahakan supaya dapat menentukan kadar mahar pertengahan atau mahar al-ausat berdalilkan hadith: "Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan (sederhana)". Kadar ini bukanlah kadar minima dan bukan juga kadar maksima. Ia hanyalah kadar sederhana yang dirasakan sesuai dan layak oleh pemerintah untuk mengelakkan pertikaian dalam menentukan mahar bagi kebanyakan kes.

4) Usahakan agar suatu mekanisma kawalan ditetapkan bagi membolehkan pemberian mahar dibuat dengan kadar yang lebih rendah atau lebih tinggi daripada kadar mahar pertengahan untuk tidak menyukarkan mana-mana pihak yang hendak berkahwin. Sebagai contoh kebenaran meletakkan mahar yang lebih rendah atau tinggi perlu diperolehi daripada pendaftar semasa proses kebenaran berkahwin. Pendaftar hendaklah meneliti fakta bagi setiap kes dan meluluskan apa-apa kadar mahar yang munasabah yang dipersetujui oleh pasangan suami isteri.

5) Elakkan daripada menetapkan kadar mahar dalam bentuk satu angka tetap seperti RM100, RM200, RM300 dan sebagainya kerana kemungkinan untuk berlaku kesilapan ijtihad dalam menentukan satu nilai tunggal adalah tinggi. Di samping itu satu kadar tetap juga akan mengurangkan pilihan dan fleksibiliti serta menimbulkan kesukaran apabila ia tidak dapat dipenuhi.

6) Usahakan agar penetapan kadar mahar pertengahan itu nanti dibuat dalam angka berjajaran seperti dari RM100 hingga RM300 dan bukannya dalam bentuk angka tetap/tunggal seperti RM100, RM200 atau RM300. Dengan kaedah ini pasangan bebas menentukan apa-apa jumlah mahar dari mana-mana angka yang tercangkup dalam nilai jajaran RM100 hingga RM300. Ini sudah tentu lebih menyenangkan dan tidak terlalu mengikat.

Wallahu A'lam.

4 Jenama Produk Qard Hasan Baitulmal Berasaskan Tempoh Qard (Siri 8)


4.8.1- Qard Hasan Mu’ajjal (المعجل) - Jangka Pendek


Mu'ajjal bermaksud 'disegerakan'. Qard hasan mu'ajjal ini bermaksud sumbangan sementara (mu’aqqat) berjangka pendek yang dibuat oleh seseorang kepada baitulmal atas prinsip qard hasan dengan ikhlas mengharap keredaan Allah, tanpa mendapat pulangan keuntungan material. Contohnya tempoh qard hasan mua’jjal boleh ditetapkan untuk tempoh kurang daripada satu tahun, tertakluk kepada tempoh minima 3 bulan, dan sumbangan minima RM1,000.00 (contoh sahaja). Rasional tempoh kurang setahun ditetapkan untuk produk ini kerana tempoh ini tidak melibatkan kewajipan zakat simpanan atau harta kerana tidak cukup haul. Manakala rasional tempoh minima 3 bulan ditetapkan adalah mengambil kira masa yang munasabah untuk manfaat qard hasan terhasil melalui mudharabah, simpanan tetap dan lain-lain transaksi seperti mana yang diamalkan oleh pihak bank kormersial.

CIRI-CIRI: Baitulmal berhak memanfaatkan sumbangan qard hasan selama tempoh qard yang ditetapkan. Namun penyumbang boleh, sebelum tamat tempoh qard, atas permintaannya, menebus kembali sebahagian atau keseluruhan sumbangan pokok qard hasan dengan membayar fi perkhidmatan yang ditetapkan. Fi perkhidmatan wajar dikenakan bagi mengantikan manfaat qard yang terjejas akibat penyumbang menebusnya lebih awal. Jika fi tidak dikenakan maka qard yang dilakukan akan menjadi sia-sia kerana tiada sebarang manfaat atau tidak sempat dimanfaatkan, bahkan hanya memudaratkan penerima qard, sedangkan niat asal qard itu adalah untuk dimanfaatkan. Namun kadar fi tidak wajar melebihi 2.5% kerana qard hasan adalah infaq yang bukan wajib, maka tidak wajar ia dikenakan bayaran wajib yang melebihi kadar infaq wajib iaitu kadar zakat. Sekiranya penebusan tersebut dibuat selepas tamat tempoh qard, maka tiada bayaran perkhidmatan dikenakan kerana manfaat qardnya telah diperolehi. Wallahu A’lam.

4.8.2- Qard Hasan Muakhkhar (المؤخر ) - Jangka Panjang

Muakhkhar bermaksud dilewatkan. Qard hasan muakhkhar ini bermaksud sumbangan sementara berjangka panjang yang dibuat oleh seseorang kepada baitulmal atas prinsip qard hasan dengan ikhlas mengharap keredaan Allah, tanpa mendapat pulangan keuntungan material. Contohnya sumbangan qard hasan mu’akhkhar boleh dibuat untuk tempoh setahun atau gandaan setahun dan ke atas, tertakluk kepada had minima RM100.00 (contoh sahaja). Rasional tempoh setahun ke atas ditetapkan kerana ia melibatkan tempoh haul yang dikenakan zakat. Jika sumbangan pokok qard hasan itu mencukupi nisab zakat tahunan semasa, maka bayaran zakat akan ditolak secara automatik (tertakluk kepada keputusan fatwa mengenai kewajipan zakat ke atas sumbangan pokok qard hasan yang dihuraikan selepas ini).

CIRI-CIRI: Baitulmal berhak memanfaatkan sumbangan qard hasan selama tempoh qard yang ditetapkan. Namun penyumbang boleh, sebelum tamat tempoh qard, atas permintaannya, menebus kembali sebahagian atau keseluruhan sumbangan pokok qard hasan dengan membayar fi perkhidmatan yang ditetapkan. Sekiranya penebusan tersebut dibuat selepas tamat tempoh minima setahun, maka tiada bayaran perkhidmatan dikenakan, tertakluk kepada kadar zakat wajib 2.5% jika mencukupi nisab. Ini kerana walaupun penebusan dibuat sebelum tempoh matang, namun ia telah melepasi tempoh setahun yang lazimnya sumbangan qard hasan telah dapat dimanfaatkan. Namun begitu ada kemungkinan zakat boleh dikenakan kerana harta pokok telah mencukupi haul tertakluk kepada kadar nisab dan keputusan fatwa.

4.8.3- Qard Hasan Mutlaq (المطلق) -Tanpa Tempoh

Iaitu sumbangan qard hasan secara sementara, tanpa dinyatakan tempoh, yang dibuat oleh seseorang kepada baitulmal dengan ikhlas mengharap keredaan Allah, tanpa mendapat pulangan keuntungan material.

CIRI-CIRI: Baitulmal berhak memanfaatkan sumbangan qard hasan selagi mana sumbangan itu tidak ditebus oleh penyumbang. Jika penyumbang membuat penebusan sebelum tempoh setahun, maka fi perkhidmatan akan dikenakan. Namun jika ia membuat penebusan selepas tempoh setahun, maka tiada bayaran perkhidmatan dikenakan, tertakluk kepada kadar zakat wajib 2.5% jika mencukupi nisab dan haul.

4.8.4- Qard Hasan Umra (العمرى) - Seumur Hidup


Umra bermaksud seumur hidup. Qard hasan Umra ini bermaksud sumbangan sementara untuk tempoh seumur hidup penyumbang, yang dibuat oleh seseorang kepada baitulmal atas prinsip qard hasan dengan ikhlas mengharap keredaan Allah, tanpa mendapat pulangan keuntungan material.

CIRI-CIRI: Baitulmal berhak memanfaatkan sumbangan qard hasan selagi mana penyumbang masih hidup dan tidak menebusnya. Jika penyumbang membuat penebusan pada masa hayatnya, sebelum tempoh setahun, maka fi perkhidmatan akan dikenakan. Namun jika ia membuat penebusan selepas tempoh setahun, maka tiada bayaran perkhidmatan dikenakan, tertakluk kepada kadar zakat wajib 2.5% jika mencukupi nisab dan haul. Setelah penyumbang meninggal dunia, sumbangan pokok qard hasan akan dibahagikan kepada waris-waris yang berhak mengikut sijil faraid kerana ia adalah harta milik penyumbang. Wallahu A'lam.

(NOTA: Cadangan Penjenamaan Produk Qard Hasan Kepada Baitulmal ini masih di peringkat kajian. Satu kertas fatwa sedang dilengkapkan oleh pihak .... untuk dipertimbangkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri ....)

...bersambung dalam: Jenama Produk Qard Hasan Baitulmal Berasaskan Jumlah Sumbangan

Friday, December 11, 2009

Kenaikan Mas Kahwin Selangor & Keperluan Penentuan Mahar Al-Ausat


Seperti yang telah dipersetujui dalam beberapa siri bengkel dan mesyuarat fatwa akhirnya kenaikan kadar mas kahwin di Negeri Selangor menjadi kenyataan setelah hampir separuh abad ia tidak dinaikkan.

Apa yang dapat saya simpulkan, keputusan yang dicapai ini dibahagikan kepada 2 perkara. PERTAMA dari segi kadar mahar (al-taqdir) pemerintah Negeri Selangor bersetuju menetapkan RM300.00 sebagai kadar mahar terbaru yang juga merupakan kadar mahar kedua tertinggi selepas Negeri Sembilan yang menetapkan mahar RM200.00. KEDUA dari segi penghadan (al-tahdid) pemerintah Negeri Selangor bersetuju menetapkan bahawa RM300.00 itu adalah kadar mahar MINIMA.

Mengimbau kembali peristiwa perbahasan dalam siri bengkel semakan semula kadar mas kahwin Negeri Selangor yang pernah saya hadiri ketika memegang jawatan Pegawai Syariah di MAIS. Ketika itu majoriti bersetuju bahawa kadar mahar semasa sebanyak RM80.00 perlu dinaikkan. Saya tidak terkecuali dalam hal ini, kerana saya juga bersetuju ia dinaikkan memandangkan kadar lama tidak lagi menepati realiti semasa.

Namun selain itu saya sempat juga mengutarakan pandangan yang menyalahi majoriti dengan mengemukakan cadangan supaya dari segi TAHDID kadar mahar baru ini tidak ditetapkan sebagai KADAR MINIMA, sebaliknya ia ditetapkan sebagai KADAR PERTENGAHAN atau dengan istilah teknikalnya MAHAR AL-AUSAT berdalilkan hadith: "Khairul-umuri ausatuha". Ini bermaksud apa yang ditetapkan oleh pemerintah hanyalah satu kadar mahar yang sederhana dan menepati keadaan semasa dengan tidak menafikan wujudnya keadaan khas yang membolehkan mahar itu ditetapkan selain daripada kadar pertengahan. Dengan kata lain pemerintah hanya mengesyorkan satu kadar mahar standard yang wajar diikuti tetapi tidak wajib diikuti.

Dengan pendekatan ini, ruang untuk mana-mana pasangan meletakkan kadar mahar yang lebih rendah atau lebih tinggi adalah terbuka asalkan dipersetujui oleh kedua-dua pasangan suami isteri. Namun untuk mengawal supaya tidak berlaku penganiayaan terhadap wanita dengan meletakkan kadar yang rendah daripada MAHAR AL-AUSAT dan mengelakkan penganiayaan terhadap lelaki dengan menetapkan kadar yang lebih tinggi daripada MAHAR AL-AUSAT, satu mekanisme kawalan boleh ditetapkan dengan mensyaratkan kebenaran khas pendaftar diperolehi untuk menetapkan kadar mahar selain daripada MAHAR AL-AUSAT.

Pada pandangan saya ketika itu, kaedah menetapkan mahar pertengahan adalah lebih baik daripada tidak menetapkan langsung kadar mahar (seperti beberapa buah negeri) kerana jika ia langsung tidak ditetapkan adakalanya kita akan menghadapi kesukaran untuk menentukan kadar yang dipersetujui. Ketiadaan penetapan mahar juga menyebabkan kita tidak dapat mengukur kadar standard mahar secara legal sebaliknya hanya dapat mengukurnya secara adat dan mithil semata-mata yang adakalanya berbeza-beza. Rujukan kepada mahar mithil pun adakalanya menimbulkan kesukaran jika terdapat dua kadar mithil yang tidak sama. Maka isteri akan menuntut kadar tertinggi, manakala suami pula menuntut kadar terendah.

Pada pandangan saya juga penetapan kadar mahar pertengahan adalah lebih baik daripada menetapkan kadar minima (seperti yang diamalkan oleh kebanyakan negeri), kerana tidak terdapat dalil qat'i yang mensabitkan penetapan mahar minima. Malah sebentuk cincin besi juga boleh dijadikan mahar menurut Hadith. Begitu juga tidak terdapat dalil qat'i yang menetapkan mahar maksima. Walaupun terdapat pandangan Sahabat yang menetapkan kadar maksima ia tidak dapat membataskan keumuman kalimah "qintar" bermaksud 'harta yang banyak' yang disebut dalam al-Quran ketika memperihalkan tentang mahar.

Namun begitu, pandangan saya tersebut belum dapat diterima pada ketika itu kerana majoriti bersetuju menetapkan KADAR MINIMA bukan KADAR PERTENGAHAN. Saya harus menghormati pandangan majoriti dan menerimanya. Apa yang penting tanggungjawab saya sudah tertunai dengan melontarkan cadangan tersebut. Allah sahaja yang lebih mengetahui pandangan manakah yang lebih menghampiri kebenaran.

Penjenamaan Produk Qard Hasan Baitulmal (Siri 7)


4.8- Hukum Menjenamakan Produk Qard Hasan Baitulmal

Selari dengan perkembangan era globalisasi, keperluan menjenamakan ‎produk-produk muamalat Islam memang tidak dapat dinafikan. Institusi ‎perbankan Islam telah lama memanfaatkan budaya penjenamaan produk ‎untuk memudahkan pemasaran produk perbankan mereka. Justeru baitulmal ‎juga haruslah menggunakan kaedah yang sama untuk memasarkan produk ‎qard hasan ini kepada pasaran dan orang awam. Walau apapun, ‎penjenamaan produk qard hasan ini mestilah menepati piawaian patuh-‎Syariah dengan mendapat pandangan fatwa terlebih dahulu. Berikut dicadangkan beberapa jenama produk qard hasan yang ‎diklasifikasikan berdasarkan kepada tempoh qard dan jumlah qard untuk ‎pertimbang telitian selanjutnya.‎

JENAMA PRODUK BERORIENTASIKAN TEMPOH SUMBANGAN QARD HASAN

Menurut Sayyid Sabiq, jumhur ulama’ berpendapat tidak harus mensyaratkan ‎tempoh dalam sesuatu qard kerana ia adalah tabarru’ sukarela semata-mata. ‎Justeru orang yang memberi qard berhak menuntut kembali qard tersebut ‎pada bila-bila masa, walaupun tempoh qard telah ditetapkan. Namun Imam ‎Malik berpendapat, harus mensyaratkan tempoh qard dan ia menjadi syarat ‎lazim. Jika qard itu telah ditetapkan tempoh tertentu, maka hendaklah diikuti ‎tempoh tersebut dan pemberi qard tidak berhak lagi menuntutnya semula ‎sebelum sampai tempoh yang ditetapkan. Pendapat ini berdalilkan firman Allah ‎dalam surah al-Baqarah ayat 282: “apabila kamu berhutang sehingga tempoh ‎tertentu maka hendaklah kamu menulisnya…” dan hadith riwayat Abu Daud, ‎Ahmad, al-Tirmizi dan al-Daruqatni: “Orang Islam itu terikat dengan syarat yang ‎mereka buat”.‎

Dalam hal memberi tempoh kepada qard, Al-Syarbini menyebutkan dalam ‎Mughni al-Muhtaj ketika membahaskan syarat harta yang dipinjam:‎


فَاَلَّذِي يَظْهَرُ فِيهِ أَنَّ الْعَارِيَّةَ إنْ كَانَتْ مُطْلَقَةً أَوْ مُؤَقَّتَةً بِزَمَنٍ يُمْكِنُ الِانْتِفَاعُ بِهِ فِيهِ صَحَّتْ وَإِلَّا فَلَا ، وَلَمْ أَرَ ‏مَنْ تَعَرَّضَ لِذَلِكَ .

“Pendapat yang zahir dalam masalah ini, sekiranya pinjaman qard itu dibuat ‎secara mutlaq (tanpa bertempoh) atau dalam waktu sementara (yakni ‎bertempoh) selagi mana harta yang dipinjamkan itu boleh dimanfaatkan ‎padanya, maka sah qard itu. Jika ia tidak dapat dimanfaatkan, maka tidak sah. ‎Aku tidak mengetahui ada pandangan lain yang membantah perkara ini”.‎

Daripada pandangan al-Syarbini di atas dapatlah difahami bahawa ‎menetapkan tempoh qard hasan bukanlah suatu yang ditegah asalkan ‎manfaat qard itu dapat diperolehi sepanjang tempoh qard yang ditetapkan. Ini ‎selari dengan matlamat asal qard untuk membantu pihak yang ‎memerlukannya. Justeru apabila harus menetapkan tempoh qard, maka harus ‎jugalah kita mempelbagaikan tempoh itu sama ada berjangka pendek, ‎sederhana atau jangka panjang. Dari sinilah timbulnya asas untuk meletakkan ‎jenama produk qard hasan berdasarkan kepada tempohnya.‎

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus