Saturday, March 13, 2010

Jadilah Yang PERTAMA Memulakan Kebaikan, Asalkan Tidak Bid'ah


Sudah lama saya tidak memasukkan entri baru di blog ini gara-gara kesibukan mengurus firma guaman sendiri dan keluarga hampir 18 jam sehari. Satu komitmen yang jarang-jarang dibebankan ke atas saya semasa di sektor awam sebelum ini. Alhamdulillah malam ini saya digerakkan hati untuk membuat sedikit coretan. Intipati penting dalam posting kali ini ialah kita perlu berusaha memulakan kebaikan yang belum pernah dilakukan oleh orang lain sebelum kita. Jika terbukti sesuatu perkara itu ada kebaikannya, maka kita perlulah memulakan langkah untuk melakukannya walaupun perkara itu tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW sendiri. Ini bukan satu bid’ah kerana Rasulullah SAW sendiri telah memberi galakan untuk kita mencipta dan memulakan kebaikan berdasarkan sabdanya (Riwayat Imam Muslim):

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ


Bermaksud: “Barang siapa yang memulakan dalam Islam satu amalan yang baik lalu perkara itu diikuti (oleh orang lain) sesudahnya, maka dituliskan (ganjaran pahala) untuknya sama seperti ganjaran pahala orang yang melakukannya tanpa dikurangkan pahala mereka sedikitpun....”


Alhamdulillah, sedikit sebanyak daripada kehendak hadith ini telah dapat saya laksanakan. Namun begitu saya pasti di luar sana masih terdapat banyak lagi kebaikan yang belum dimulakan. Di sini ingin saya kongsikan antara kebaikan yang telah saya mulakan. Semoga Allah menerimanya sebagai suatu kebaikan di sisiNya…. Amin.


1. LULUSAN DAIJ PERTAMA DARI SARJANA MUDA ILMU WAHYU UIAM


Yang pertama dari kelulusan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Pengajian Islam Berteraskan Wahyu (B. IRKH) pengkhususan Fiqh dan Usul al-Fiqh, UIAM memohon dan berjaya diterima masuk bagi melanjutkan pengajian dalam Diploma Lanjutan Undang-Undang dan Pentadbiran Kehakiman Islam (DAIJ) di UIAM. Ini berlaku pada sesi 2000/2001 di mana saya satu-satunya calon DAIJ dari lulusan IRKH ketika itu berbanding calon-calon lain yang semuanya berkelulusan Syariah dan Undang-Undang. Saya difahamkan oleh para pensyarah, sebelum saya belum pernah lulusan Bachelor IRKH memohon dan diterima masuk untuk program DAIJ yang memang dikhususkan untuk lulusan Undang-Undang Syariah bagi menjawat jawatan Hakim Syarie dan seumpamanya. Permohonan saya akhirnya diluluskan atas alasan bidang pengkhususan Fiqh dan Usul al-Fiqh mempunyai persamaan (equivalence) dengan pengkhususan Syariah. Tindakan saya ini telah membuka jalan kepada generasi B.IRKH sesudah saya untuk melakukan perkara yang sama dan saya difahamkan ramai juga yang mengikut jejak langkah saya selepas itu. Namun di sebalik kemasukan saya ke program DAIJ banyak individu yang telah memberi galakan dan sokongan antaranya bekas pensyarah IRKH saya Y. Bhg. Prof. Madya Dr. Akram Laldin yang memberi sokongan penuh dalam borang permohonan untuk kemasukan ke program DAIJ. (Terima kasih Prof). Beliau kini Pengarah Eksekutif di Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa (ISRA). Baru pagi tadi saya menghadiri pembentangan kertas kerja beliau dalam Konvensyen Kewangan dan Perbankan Islam 2010 di Masjid Negeri Shah Alam. Walau apapun kebaikan yang pernah saya mulakan, saya pasti beliau telah mendahului saya dalam kebaikan tersebut kerana beliaulah orang yang mendorong dan menyokong saya untuk melakukannya.

(Soalan : Siapa dan di manakah agaknya lulusan B.IRKH yang mengambil DAIJ selepas saya? )


2. PEGUAM SYARIE (SELANGOR) PERTAMA DARI LULUSAN IJAZAH B.IRKH


Yang pertama dari kalangan kelulusan ijazah sarjana muda ilmu wahyu (B. IRKH) diterima sebagai Peguam Syarie Negeri Selangor pada tahun 2005. Saya masih ingat lagi betapa susahnya untuk saya diterima sebagai Peguam Syarie Negeri Selangor ketika itu kerana ijazah saya bukan dari lulusan Undang-Undang Syariah. Walaupun ketika itu saya mempunyai tiket khas kerana berkhidmat di Unit Guaman Syarie, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), namun permohonan pertama saya ditolak atas alasan ijazah saya tidak tertera perkataan SYARIAH. Saya akhirnya merayu kepada Pengerusi Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Selangor pada masa itu Datin Badariah (Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor) dan ditemani oleh Ustazah Sabariah Hj. Salleh, Penolong Pengarah JAIS (terima kasih). Selepas berhujah panjang lebar tentang kesetarafan ijazah saya, akhirnya beliau bersetuju untuk memanjangkan rayuan ini ke dalam mesyuarat jawatankuasa Peguam Syarie dan akhirnya mesyuarat meluluskan permohonan saya untuk diterima temuduga. (Baru terima temuduga, belum lulus lagi). Alhamdulillah, akhirnya temuduga pertama saya dilalui dengan jayanya hinggalah saya ditauliah dan diisytiharkan layak beramal sebagai Peguam Syarie Negeri Selangor. Saya difahamkan jejak langkah saya itu telah diikuti oleh lulusan B.IRKH sesudah saya. Namun saya pasti mereka tidak perlu merayu seperti saya kerana kes saya telah menjadi duluan. Saya juga pasti bahawa individu-individu yang menyokong dan meluluskan permohonan saya telah mendahului saya dalam kebaikan tersebut kerana merekalah yang menyebabkan ia berlaku.


(Soalan : Siapa dan di manakah agaknya Peguam Syarie dari lulusan B.IRKH seperti saya? )


3. PEGAWAI SYARIAH PERTAMA DARI LULUSAN IJAZAH B.IRKH


Yang pertama dari lulusan B.IRKH mengisi jawatan Pegawai Syariah, Majlis Agama Islam Selangor pada 2007 hingga 2009. Ini sekali lagi membukti kelulusan B.IRKH diterima setaraf dengan kelulusan Syariah. Walaupun sebelum ini pada tahun 2002 saya pernah lulus temuduga Pegawai Syariah di Jabatan Perdana Menteri dan diletakkan sebagai calon simpanan, tetapi malangnya tiada kekosongan jawatan pada masa itu yang menyebabkan kelulusan tersebut terbatal. Penerimaan saya ke jawatan Pegawai Syariah di Majlis Agama Islam Selangor mungkin boleh dijadikan jalan permulaan untuk lulusan B.IRKH turut diterima sebagai Pegawai Syariah di Majlis Agama Islam Negeri yang lain. Namun sejauh pengetahuan saya pada masa ini jawatan Pegawai Syariah hanya wujud di Majlis Agama Islam Selangor sahaja dan masih belum diwujudkan di Majlis Agam Islam Negeri yang lain.


4. PENYUMBANG QARD HASAN PERTAMA KEPADA BAITULMAL


Yang pertama memulakan sumbangan QARD HASAN untuk baitulmal Majlis Agama Islam Selangor dalam usaha untuk memperluas dan mempelbagai sumber perbendaharaan baitulmal semasa. Sejumlah dana disalurkan daripada potongan gaji terakhir saya di MAIS pada Julai 2009 dan sejumlah dana lagi disalurkan dari tuntutan bil guaman pertama saya di MAIS pada Februari 2010. Namun sejauh pengetahuan saya jejak langkah ini belum lagi diikuti oleh teman-teman yang lain kerana konsep QARD HASAN yang diketengahkan masih belum dapat diaplikasikan kepada orang awam. Walau apapun saya telah membuktikan ia boleh dilakukan dan saya pasti kini bukan tanggungjawab saya lagi untuk memastikan ia terus dapat dilakukan.


5. FIRMA GUAMAN PERTAMA MELETAKKAN PERKATAAN 'SYARIAH'


Yang pertama meletakkan perkataan SYARIAH pada nama firma guaman persendirian (swasta) iaitu JURAISH SYARIAH ASSOCIATES. Sebelum ini belum pernah perkataan SYARIAH dimasukkan dalam nama firma guaman walaupun ia adalah firma guaman syarie. Saya mengambil langkah untuk menjadi orang pertama melakukannya untuk menunjukkan semangat, azam dan komitmen saya menjunjung SYARIAH walaupun perkataan itu tidak tertulis di atas Ijazah B.IRKH saya. Atas semangat ini, saya bercita-cita untuk memperluaskan skop perkhidmatan yang ditawarkan oleh firma kepada pelbagai bidang yang berteraskan Syariah tidak terhad kepada bidang guaman sahaja. Insya Allah dalam posting akan datang akan diisytiharkan apakah misi terbaru saya dalam visi memartabat perundangan Syariah. Semoga yang baik dapat dikongsi dan diteladani bersama.


Wa Ilallahi Turja'ul-umur

2 comments:

  1. so far takde bau bau bid'ah lagi sheikh, teruskan usaha menjadi yang terbaik, bidaah hanya berlaku dalam ibadah khususiy. mendoakan anta dari selat tebrau

    ReplyDelete
  2. Ya SHEIKH ABU RAZEEN, moga doamu dikabulkan dan perjuanganmu di Selat Tebrau dipermudahkan jua. Walau jauh di mata, tapi dekat di blog.

    ReplyDelete

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus