Saturday, February 27, 2010

Kekhilafan Dalam Berhujah Menentang Sambutan Maulidur Rasul


Amat sedih dan pilu apabila ketajaman akal fikiran yang kita miliki disalahgunakan untuk mencetus perbalahan atau membesarkan ruang perbezaan pendapat. Apatah lagi jika perbezaan dan perbalahan itu berlaku dalam usaha menghayati syiar Islam yang perlu digilap dan dijunjung setiap masa.

Tanpa berselindung lagi, marilah sama-sama kita teliti apakah yang sering berlaku di pentas intelektual ketika membahaskan kewajaran membuat sambutan maulidur rasul. Bukan niat saya untuk mempertahankan secara mutlak keharusan segala acara yang dilakukan dalam sambutan maulidur rasul. Bukan juga niat saya untuk membantah sekeras-kerasnya segala acara dalam sambutan maulidur rasul. Apa yang diniatkan hanyalah mengambil jalan besederhana, mengambil yang baik dan membuka jalan ke arahnya, menolak yang buruk dan menutup pintu ke arahnya, yang akhirnya bermatlamat untuk menyatu padu dan memenangkan umat Islam daripada serangan sulit musuh-musuhnya yang kita tidak pernah tahu tetapi Allah itu Maha Tahu.

HUJAH PENENTANG SESAMA KITA: Jika sekiranya acara peringatan maulid nabi ini diharuskan dalam syariat, nescaya Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam telah menjelaskannya kepada umatnya. Namun tidak pula Baginda mengisyaratkan bahawa peringatan maulidnya merupakan perkara yang disyari'atkan serta Baginda tidak pernah mengadakan acara maulid hingga akhir hayatnya.

Begitu pula para Sahabat yang paling memahami Islam sesudah Baginda tidak pernah melakukannya khususnya Khulafaur-Rasyidin, para tabi'in dan tabi'ut-tabi'in. Menurut jejak sahabat tidak ada acara peringatan maulid. Demikianlah tiga kurun waktu generasi terbaik umat ini tidak pernah menyelenggarakan peringatan maulid. Tetapi ia hanya direka oleh generasi sesudah itu.

JAWAPAN PEMBELAAN KITA: Mengapa ada antara kita seringkali menghujahkan bahawa perkara yang tidak pernah dilakukan Nabi, maka umatnya yang terkemudian pun tidak harus melakukannya. Adakah kita telah memahami perbahasan usul fiqh tentang hukum turuk al-Nabi (perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi) di mana sebahagiannya harus dilakukan oleh umat terkemudian selagi tidak terdapat nas zahir yang menegahnya. Adakah kita terlupa kepada peranan Masalih Mursalah dalam menentukan keharusan sesuatu yang bermatlamat baik tetapi tidak pernah dinaskan oleh Nabi. Adakah kita terlupa bahawa pelaksanaan Islam itu tidak terhenti setakat apa yang telah disyariatkan atau ditaqninkan pada zaman Nabi dan salaful salih sahaja. Ini kerana sumber perundangan Islam yang ditinggalkan asasnya oleh Rasulullah itu tetap hidup fleksibel dan beradaptasi mengikut perkembangan zaman. Yang wafat hanyalah Nabi tetapi ajarannya, qudwahnya, sirahnya, sunnnahnya bahkan namanya tidak pernah mati dan jangan sesekali dibiarkan mati. Sesiapa yang ingin melihat semua itu mati, ketahuilah hakikatnya mata hati merekalah yang telah dimatikan oleh Allah sebelum jasad mereka mati.

Adakah sambutan maulid Nabi ini didakwa sebagai tidak harus atas alasan menyambut tanggal maulid (hari lahir) itu sendiri telah dinaskan sebagai haram dalam setiap keadaan? Jika benar haram menyambut hari maulid dalam setiap keadaan, maka mengapa kita mengharuskan dan membiarkan setiap dari kita menyambut maulidnya (birthday) sendiri? Mengapa kita membiarkan raja-raja yang kita muliakan menyambut maulid mereka dengan pelbagai acara? Sedangkan untuk memperingati raja segala manusia ini (Muhammad SAW) kita berhempas pulas pula membantahnya. Adakah kerana Nabi telah wafat dan tak akan mampu menegur kita atau melucutkan jawatan kita, maka kita menetang maulidnya? Sedangkan terhadap raja kita yang masih hidup, kita tidak sanggup membantahnya kerana bimbang dilabel penderhaka, dilucutkan jawatan atau dipenjarakan.

Adakah sambutan maulid ini didakwa sebagai tidak harus hanya kerana ia tidak dilakukan Nabi. Anehnya mengapa semua perkara yang dilakukan Nabi termasuklah berpoligami melebihi 4 isteri dan berpuasa berterusan, tidak pula kita menghujahkan ia juga harus dilakukan oleh umatnya semata-mata atas alasan mencontohi Nabi. Memang Nabi tidak pernah melakukan sambutan maulidnya kerana itu semua tidak ada faedahnya di zaman Nabi. Yang lebih utama ketika itu hanyalah menyampaikan dakwah Islam dan melaksanakan perintah wahyu tanpa perlu berpaksikan kepada nostalgia tanggal kelahiran Nabi kerana setiap hari, saat dan detik adalah penghayatan kepada ajaran Nabi tanpa perlu menunggu setahun sekali untuk melaksanakannya.

Bukankah kita sedia maklum tentang cintanya Nabi kepada umatnya sehinggakan Baginda banyak kali tidak melakukan sesuatu kebaikan semata-mata bimbang ia akan menjadi kefarduan ke atas umatnya. Ingatkah kita riwayat hadith betapa Nabi berterus terang Baginda sengaja tidak berterusan mendirikan solat tarawikh secara berjemaah di masjid kerana bimbang ia akan menjadi suatu fardu. Apatah lagi Baginda tahu kelemahan umatnya di akhir zaman ibarat buih di lautan yang tidak kuat memikul segala kefarduan. Cuba juga kita lihat apa sabda Nabi dalam mensyariatkan amalan bersugi sebelum solat dengan uslub yang jelas tidak mahu menjadikan ia suatu fardu ke atas umatnya. Lihat juga dalam proses penerimaan perintah solat ketika Mikraj di mana Rasulullah sanggup meminta takhfif berulang kali hingga solat dikurangkan kepada 5 fardu. Itulah antara tanda rahmat dan kasihnya Nabi kepada kita.

Kerana rahmatnya Nabi ini, maka sudah tentu Baginda juga tidak mahu membebankan umatnya yang terkemudian untuk menyambut maulidnya. Seandainya Nabi melakukan sambutan maulid pada zamannya, maka sudah pasti ia akan menjadi suatu sunnah dan kefarduan ke atas umatnya hinggakan kita pada hari ini tidak dapat berdalih lagi untuk menolak kewajipannya atas apapun alasan kelemahan dan kemalasan kita dalam memperjuangkan risalahnya. Justeru ucapkanlah selawat dan terima kasih kepada Nabi kerana Baginda tidak menyambut hari maulidnya. Dengan itu bolehlah kita pada hari ini berdiam diri sahaja pada hari maulidnya ini tanpa perlu rasa bimbang atau mungkin tergamak juga kita membid'ahkan saudara kita yang ikhlas menyambutnya hanya kerana Nabi tidak melakukannya atau kerana kita tidak tahu dan tidak mahu menyambutnya.

Ya. Para Sahabat Nabi juga tidak melakukan acara maulid Nabi ini kerana itu semua tidak ada faedahnya di zaman mereka. Mereka telahpun melakukan sesuatu yang lebih baik daripada menyambut maulid Nabi yang hanya datang setahun sekali. Mereka hidup dan mati berbantalkan sunnah Nabi setiap hari dalam setahun tanpa ada cuti. Maka apa perlunya mereka menyambut maulid Nabi yang sekadar retorik tanpa praktik seperti di zaman kita hari ini. Di zaman mereka 100 peratus sunnah Nabi telah menjadi praktik setiap hari, jadi mengapa perlu ada retorik setahun sekali?

Lainlah kita yang hidup pada hari ini, dalam zaman orang yang sering melupakan Nabi dan tergamak pula meninggalkan sunnah serta perintah Nabi. Maka selayaknya kita dita'dib atau dengan kasarnya dita'zir oleh diri kita sendiri dengan mengadakan acara maulid ini setahun sekali. Tujuannya tidak lain hanya untuk memuhasabah sejauh mana ketaatan kita kepada Nabi. Adakah kita sekadar sanggup beretorik melafazkan cinta kepada Nabi dan selawat kepadanya tetapi mengkesampingkan sebahagian perintahnya? Itu semua dapat dinilai setidak-tidaknya sehari pada hari maulid ini walaupun yang sebaiknya ia dinilai setiap hari. Dengan adanya sambutan ini kita dapat menilai diri sendiri dan diri orang lain di mata Nabi. Pada hari ini kita dapat menilai siapa yang hanya pandai berslogan mencintai Nabi dan siapa pula yang sanggup bertarung nyawa mentaati Nabi.

Andai berat kita menerima sambutan maulid Nabi ini sebagai satu bentuk ta'dib dalam menjunjung Syariat Nabi, maka terimalah ia sebagai satu beban yang lebih berat, sebagai satu bentuk ta'zir atas kealpaan kita mentaati Nabi selama hayat yang ada ini. Tidak ada yang lebih ringan dari itu. Pilihlah antara ta'dib atau ta'zir. Tidak ada lagi takhfif kerana Nabi semasa hayatnya telah banyak memberikan kita takhfif, rukhsah dan rahmah. Kini selepas wafatnya Nabi takhfif apa lagi yang kita mahukan? Malulah kita pada Nabi dan takutlah pada Allah. Segeralah kutip kembali sunnah Nabi yang kita lemparkan sebelum diri kita sendiri dilemparkan....

Wallahu A'lam.






1 comment:

  1. macam ni lah sheikh.. pendek cerita, secara ilmiah mungkin menanglah pendapat tak perlukan sambbutan maulidurrasul.. (SMR).[SMR dimaksudkan,adalah pakej perarakan bawa sepanduk,jalan ramai-ramai atas jalan raya, slogan dan ceramah agama) Tapi dalam keadaan sekarang, cuba fikir apa faedah kerajaan bagi cuti pada hari tersebut, kalau setiap individu muslim mampu untuk beribadat dan berselawat sepanjang hari pada hari yang didakwa hari kelahiran rasul, tak apalah tak payah buat SMR. Tapi kalau dibuang masa dengan berjalan-jalan, bersantai, membeli-belah, berhibur, tidur pagi sampai tengahari dll benda tak berfaedah ..... c'mon, sekarang ni kita dalam fasaduzzaman. Kita dok hentam orang nak mengingati perjuangan Rasulullah, paling kurang orang yang berarak tu dengar ceramah selepas berarak (kalau ada dan kalau dia tak balik awal). Biasanya ada penceramah. Yang tu takde khilaf, jadi join ajelah ceramah tu. Bab berarak tu kalau nak dikira bid'ah pun kita betulkanlah dalam ceramah, perlahan-lahan orang akan terima, macammana salafi nak masuk dalam masyarakat kalau sifatnya menentang semua bende khilaf, namapun khilaf, negara kita pun iktiraf bid'ah hasanah kalau nak bantah pun ada caranya, takkanlah sampai kita nak bantah SMR sangat-sangat sampai melebihi bantahan kita terhadapp sure heboh... tu lah dia
    p/s: bukan apa sheikh muhami, ter'naik' sheikh. bukan nak kenakan sapa-sapa, ana sependapat dengan anta bab perpecahan umat Islam ni. kecenderungan kita kepada sesuatu kerapkali mengaburi kebenaran(al-haq)

    ReplyDelete

JAWATAN KOSONG FIRMA GUAMAN SYARIE Mei 2012 (DITUTUP 26 SEPT 2012)

Adalah dipelawa kepada individu yang berkelayakan dan berminat untuk membina kerjaya dalam bidang SYARIAH untuk menjadi Associate / Partner di Firma ini, sepertimana berikut:


1) Peguam Syarie (Partner)

-Memiliki sijil amalan Peguam Syarie di Negeri Selangor dan lain-lain Negeri di Malaysia.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman beramal sebagai Peguam Syarie sama ada di sektor awam atau swasta.



2) Perunding Muamalat (Partner)

- Memiliki Ijazah dalam bidang Syariah atau setaraf dan Diploma/Sijil Perancang Harta/Kewangan Islam atau kelulusan ikhtisas yang setaraf.

- Pengalaman tidak diperlukan. Namun keutamaan diberi kepada individu yang berpengalaman dan berkemahiran dalam mengembangkan produk hibah, wasiat, amanah dan sebagainya.



3) Pembantu Peguam

-mempunyai kelulusan diploma, pengalaman dan pengetahuan yang relevan dengan bidang guaman syarie.

- gaji ditawarkan mengikut permintaan dan kebolehan




4) Pelatih dalam kamar/ Pelajar amali/praktical/latihan industri

-tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa.


- CARA memohon: hantarkan resume lengkap ke email juraish@yahoo.com. Calon yang layak akan disenarai pendek dan dipanggil temuduga.








WADAH PERBINCANGAN ISU PERUNDANGAN SYARIAH, SOAL JAWAB AGAMA, KULIAH TAFAQQUH. Kepada semua pengunjung. Semoga blog ini dapat dijadikan wadah perkongsian ilmu dan maklumat. Anda dipelawa mengemukakan pandangan@kemusykilan agama dan undang-undang syariah untuk dimanfaatkan bersama.Setiap rencana yang tersiar dalam laman ini adalah pandangan peribadi daripada penulis blog dan tidak mewakili pendapat atau pendirian mana-mana pihak melainkan dinyatakan sebaliknya oleh penulis.
DECLARE... LA ILAHA ILLA ALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Translate this blog

English French German Spain Italian DutchRussian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Widget by Daus